CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Rabu, 9 Julai 2014

Peribahasa


Sumber


 

Bagai anjing buruk kepala
Orang yang telah diketahui kejahatannya ke mana pergi dihinakan orang juga
Bagai bulan dipagari bintang
Kecantikan makin terserlah apabila dikelilingi orang yang cantik.
Bagai bulan empat belas
Peri keelokan muka perempuan
Bagai cincin dengan permata
Sama padan, cocok benar
Bagai layang-layang putus tali
Sudah putus harapan
Bagai minyak dengan air
Orang bermusuhan atau tidak sehaluan mustahil dapat dicampurkan jadi satu
Bagai murai dicabut ekor
Perempuan yang suka bercakap banyak
Bagai pucuk dilancarkan
Sangat laju atau luncur perginya
Bagaimana acuan begitulah kuihnya
Anak itu mengikut sikap dan rupa ibu bapanya kerana faktor baka
Baik berjagiung-jagung sementara menanti padi masak
Sementara menunggu sesuatu yang lebih baik, yang kurang baik pun boleh dipakai dahulu.
Baik membawa resmi padi daripada membawa resmi lalang
Semakin berilmu atau tinggi pangkat semakin merendahkan diri (tidak sombong)
Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
Bersusah payah dahulu kemudian baru  bersenang-senang
Berkatakanlah besar walaupun pahit
Berterus-terang demi kebenaran walaupun mungkin menyakitkan hati seseorang
Berpeluk tubuh
Berdakap tubuh; tidak membuat apa-apa kerja
Berpeluk tubuh
Hanya memandang dari jauh sahaja, tidak melalukakan apa-apa hanya melihat sahaja.
Bersatu teguh bercerai roboh
Kalau kita bersatu padu, kita akan menjadi kuat tetapi kalau kita bercerai-berai, kita akan menjadi lemah.
Bersekutu bertambah mutu
Bekerjasama antara satu sama lain akan menghasilkan kecemerlangan
Bertangguh itu pencuri masa
Melakukan kerja secara bertangguh akan merugikan diri sendiri.
Besar hati
Bangga, gembira, bongkak, sombong
Biar putih tulang jangan putih mata
Lebih baik mati daripada menanbggung malu
Buah fikiran
Pendapat
Buah hati
Orang yang dikasihi
Buah mulut
Percakapan orang,
Buah tangan
Hasil pekerjaan; barang yang dibawa daripada perjalanan; ole-ole
Bulat hati
Lurus hati, teguh hati ,sungguh-sungguh
Dalam tangan
dalam kekuasaan seseorang
Darah daging
Anak atau orang yang mempunyai pertalian darah
Darah panas
Pemarah, lekas marah
Diam-diam ubu berisi, diam-diam besi berkarat
Diam orang yang berilmu itu berfikir, sementara diam orang yang bodoh itu sia-sia sahaja
Hancur hati
Sedih; putus asa
Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama
Orang yang berjasa itu akan selalu disebut-sebut orang walau berapa lamapun dia telah mati.
Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih
Jika dikehendaki bermacam-macam ikhtiar boleh dijalankan dan demikian kebalikannya
Hidup ini satu perlumbaan
Dalam kehiduoan seharian, kita terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dan berlumba-lumba untuk mencapai sesuatu tujuan.
Hidup segan mati tak mahu
Orang yang hidup melarat
Indah khabar daripada rupa
Khabar mengenai satu-satu perkara biasanya dilebih-lebihkan
Jauhari juga yang mengenal manikam
Hanya orang yang bijak sahaja yang mengetahui tentang keelokan ilmu
Kaki ayam
Tidak berkasut atau berselipar
Kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya
Mengajar seseorang itu hendaklah ketika ia masih muda, kalau sudah besar tidak akan berhasil lagi.
Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga
Kalau pengetahuan itu sedikit, jangan hendak berbuat sesuatu yang besar
Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya
Tidak tercapai cita-cita jika tidak berusaha
Kancil juga lupakan jerat
Orang mudah melupakan bahaya tetapi bahaya tetap mengancam
Kata dikota
Janji mesti ditunaikan
Kata-kata yang lebih tajam daripada mata pedang
Perkataan yang dituturkan lebih menyakitkan
Kebudayaan sendi perpaduan
Kebudayaan menjadi sandaran dalam menyatukan sesuatu bangsa
Kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa
Pengetahuan dan kelebihan itu tidak khusus pada orang-orang tua sahaja
Makan angin
Bersiar-siar untuk mendapatkan angin; melapangkan fikiran
Manis jangan terus ditelan, pahit jangan terus dibuang
Yang nampak baik itu jangan lekas diterima dan yang nampaknya buruk itu jangan lekas ditolak.
Masa itu emas
Masa sangat berharga
Membaca jambatan ilmu
Ilmu pengetahuan dapat ditingkatkan melalui pembacaan
Mencari akal
Berusaha mendapatkan cara untuk mencapai tujuan
Muafakat membawa berkat
Sesuatu kerja yang dilakukan dengan persetujuan bersama akan menghasilkan sesuatu yang baik.
Nasi sudah menjadi bubur
Perbuatan yang sudah terlanjut; tidak dapat diubah lagi.
Otak yang cerdas ada pada badan yang sihat
Dengan kesihatan yang baik, seseorang itu mampu mengemukakan fikiran yang bernas.
Padang jarak padang terkukur
Padang atau tanah luas yaditinggalkan
Putih mata
Berhiba hati menanggung rindu (seperti orang muda melihat tunangnya diambil orang)
Putus asa
Habis harapan (tiada harapan lagi
Rezeki kalau secupak takkkan jadi segantang
Sesuatu sudah ditentukan, tidak boleh diubah lagi.
Ringan mulut
Peramah, lancar dan fasih tutur katanya
Ringan tulang
Rajin bekerja, tangkas
Sayang akan tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan
Anak yang dimanjakan dan isteri yang diuliti selalu itu akhirnya menjadi sombong
Sepakat membawa berkat
Sesuatu pekerjaan jika dilakukan melalui pakatan atau mesyuarat akan membawa hasil yang baik
Seperti enai dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing
Tidak muafakat dalam sesuatu perbincangan, hanya berpegang pada pendapat masing-masing sahaja
Seperti lipas kudung
Selalu bergerak dengan cepat; pantas atau cekap membuat kerja
Sudah terhantuk baru terngadah
Sesudah terkena baru beringat-ingat
Tajam akal
Mudah menangkap sesuatu atau mengerti, pintar , cerdik
Tali barut
Orang yang menjadi ampama 9penyampai rahsia orang lain), barua
Tangan terbuka
Suka menolong orang yang dalam kesusahan, murah hati
Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncangkan dunia
Walaupun bersifat lemah-lembut dan keibuan, wanita mampu menyumbangkan untuk membangunkan negara
Tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain
Tempat berlakunya sesuatu peristiwa pahit lagikan dikenang inikan pula tempat berlakunya peristiwa manis.
Terang hati
Terang fikiran; mudah mengerti
Tulang empat kerat
Anggota badan
Ukur baju di badan sendiri
Tiap-tiap pekerjaan itu hendaklah dipilih sesuai dengan kebolehan kita
Umpama telur sesangkak, pecah satu pecah semuanya
Orang yang semuafakat itu sama hidup sama mati dan tidak berubah setianya.

 

Rabu, 2 Julai 2014

tugasan pt3 sejarah - versi ringkas


Draf pendek

 
1. Tajuk rencana -  Perpaduan kaum di Malaysia

 2. Nama penulis – Nama kita

 3. Isi kandungan: bahagikan isi kandungan berdasarkan konstruk yang dikehendaki
 

(a) Pengenalan

 
Perpaduan boleh ditakrifkan sebagai satu proses yang menyatupadukan anggota masyarakat dan negara seluruhnya melalui ideologi negara supaya tiap-tiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan kebangsaan dalam  kalangan mereka.

 Pada zaman pemerintahan British di negara ini , mereka mengamalkan  dasar pecah dan perintah terutama membiarkan penduduk  negara ini mengamalkan kegiatan ekonomi masing-masing mengikut komposisinya. Orang Melayu berada di kampung yang terlibat dalam bidang pertanian  dan penanaman padi serta menangkap ikan  manakala tenaga buruh di ladang diambil dari  negara India dan di kawasan lombong bijih timah tenaga imigran dari China diambil. Kesannya jurang perpaduan mula timbul disebabkan kegiatan ekonomi yang diusahakan di samping  tempat tinggal yang berbeza . Kesan jangka panjang keadaan ini ialah wujudnya jurang pemisahan antara kaum.

 
Bersama-sama dengan kedatangan imigran ini ialah sistem pendidikan mereka yang dibawa ke negara ini. Orang Cina dan India memiliki sistem sekolah vernakular sendiri yang membawa masuk guru, buku dan sukatan pelajaran dari negara mereka. Kesannya di negara ini telah wujud satu sistem pendidikan yang di dalamnya terdapat sekolah aliran agama , Inggeris, Cina , Tamil dan aliran  Melayu.  Kesan langsung wujudnya sistem  pendidikan zaman British ini menyebabkan terhalangnya proses asimilasi yang boleh memungkinkan pergaulan kaum dapat dilakukan dengan sempurna.

 
Penaklukan Jepun  juga mendatangkan kesan yang hebat ke atas hubungan integrasi kaum di negara ini. Pihak Jepun pula mengamalkan dasar anti-Cina dan pro-Melayu yang ternyata mengeruhkan lagi keadaan semasa dengan menyebabkan timbulnya perasaan benci dan prasangka buruk masyarakat Cina terhadap orang Melayu. Orang Cina bertindak mengambil kesempatan utuk membalas dendam dengan menganggotai Bintang Tiga .Kekosongan politik ketika inilah berlakunya  keganasan 14 hari seperti membunuh, menculik, membakar masjid dan bangunan sebagai cara membalas dendam . Keadaan ini  menyebabkan berlakunya persengketaan kaum antara orang Melayu dan orang Cina.

 
Tragedi 13 Mei 1969 juga merupakan hal yang sangat berkaitan dengan isu perpaduan Negara ini.Kejadian yang berdarah ini merupakan satu bentuk natijah daripada kebebasan yang dikecapi setelah kemenangan di pihak pembangkang pada pilihan raya 1969 yang berkesudahan Parti Perikatan gagal mendapat majority 2/3 daripada kerusi parlimen  . Pada masa inilah memuncaknya perasaan anti  antara kaum Melayu dan Cina yang ternyata menimbulkan kekacauan kepada Negara ini.  

 
Perpaduan negara ini juga diuji dengan pelbagai isu berkaitan dengan agama dan soal hak kerakyatan dan beberapa isu sensitif lain yang mampu menjejaskan perpaduan kaum di negara ini . Ianya dibawa dan dimainkan oleh beberapa badan bukan kerajaan yang cuba mendapatkan nama dalam usaha mendapatkan sokongan . Jika dibiarkan begitu sahaja tanpa diselesaikan atau dirungkai terlebih awal hal ini mampu merobek perpaduan kaum sedia ada pada masa sekarang.

 (b) Kepentingan perpaduan kaum

 Perpaduan dalam kalangan pelbagai etnik di negara kita haruslah dikekalkan untuk menjamin keselamatan negara  agar kemerdekaan yang kita kecapi sekarang ini berkekalan .Hal  ini adalah untuk mengelakkan berulangnya perkara yang tidak diingini seperti rusuhan kaum pada 13 mei 1969 yang telah berlaku di negara kita. Kesan daripada rusuhan ini kita dapat lihat betapa ramai masyarakat negara kita yang mati dalam peristiwa berdarah ini. Oleh itu,  perpaduan  penting agar kejadian yang sama tidak akan berulang. Dalam nada yang sama kita akan dapat mengekalkan kestabilan politik jika kejadian rusuhan kaum ini dapat dielakkan oleh semua anggota masyarakat yang memiliki semangat nasionalisme dan patriotik yang tinggi.

Selain itu, keharmonian ini juga mestilah dikekalkan untuk melahirkan perasaan cintakan tanah air dan sanggup berkorban untuk negara kita.  Perpaduan dalam kalangan etnik di negara ini juga akan dapat mengukuhkan lagi keselamatan negara daripada ancaman  luar dan dalam negara. Warganegara yang memiliki semangat nasionalisme akan melahirkan kekuatan dalam mempertahankan negara ini daripada campurtangan kuasa luar seterusnya memelihara kedaulatan negara ini dan mengekalkan kemerdekaan negara ini seterusnya.

             Perpaduan negara yang jitu juga dapat membina sebuah masyarakat yang saling menghormati antara satu sama lain disebabkan faktor rasa bersama dan kekitaan yang lahir dalam jiwa seluruh anggota masyarakat. Sifat dengki dan khianat akan terlebur begitu sahaja  jika semua anggota masyarakat memiliki sifat saling menghormati yang dipupuk sejak kita kecil lagi.

 
(c) Faktor yang menyumbang kepada pengukuhan perpaduan kaum

 
Peristiwa 13 Mei telah menjadi catatan sejarah yang suram di negara ini. Hal ini demikian kerana peristiwa ini memperlihatkan bahawa hubungan kaum akan menjadi rapuh jika ada  tindakan luar batasan dilakukan dan tindakan mencegah tidak dilakukan dengan secukupnya. Peristiwa berdarah ini menjadi iktibar bahawa perpaduan kaum boleh menjadi bom jangka yang boleh meletup pada bila-bila masa memandangkan terdapat sebahagian anggota masyarakat yang gemar menjaja isu sensitif bagi meraih sokongan politik mudah untuk bangsa mereka. Selepas kejadian ini lahir kesedaran untuk menyatupadukan kaum di negara ini dengan terbentuknya Rukun Negara yang menjadi satu identiti bagi semua anggota masyarakat. Dalam masa yang sama kekurangan orang Melayu dalam bidang ekonomi cuba diselesaikan dengan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru yang dilancarkan pada 1970.

 Rentetan peristiwa tersebut juga  telah terbentuknya MAGERAN pada 17 Mei 1969 yang berfungsi sebagai pengembali keamanan dan undang-undang negara; penentu pentadbiran yang licin dan sempurna; dan pengembali keharmonian dan kepercayaan antara kaum. MAGERAN didapati berjaya mengembalikan keamanan kepada negara selepas dua tahun ditubuhkan. Seterusnya, pada tahun 1969 juga, Jabatan Perpaduan Negara(JPN) dan Majlis Muhibah Negara(MMN) telah dibentuk. JPN yang diketuai Tan Sri Mohd Ghazali Shafie telah ditubuhkan untuk membantu kerajaan menggerakkan dan membimbing rakyat ke arah perpaduan negara. MMN pula ditubuhkan pada 18 Julai 1969 bertujuan memulihkan kepercayaan dan keyakinan antara kaum, mengkaji dan mengatasi masalah untuk menghapuskan perselisihan faham, membantu dan menyusun kerja-kerja sukarela. MMN dan JPN telah digabungkan pada 1Januari 1972 menjadi Kementerian Perpaduan Negara yang kini bergelar Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat yang ditugaskan untuk mengendalikan aktiviti-aktiviti bercorak muhibah untuk masyarakat yang berbilang kaum

 
Penubuhan parti politik di negara kita sebenarnya bermula pada 1940 apabila kesedaran politik mula melonjak hasil pengenalan Malayan Union  oleh Inggeris di negara ini. Penubuhan UMNO , MCA dan MIC pada awalnya bermaksud untuk membela masyarakat atau kaum masing-masing dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Perpaduan kaum mula dibentuk apabila Parti Perikatan mula ditubuhkan hasil gabungan UMNO,MCA dan MIC yang merapatkan hubungan antara orang Melayu, Cina dan India dalam bidang politik dalam usaha memuju kerjasama kaum ke arah mencapai kemerdekaan. Proses ini dilakkukan mulai 1948 hinggalah 1956 . Dapat dilihat pada masa ini kesedaran pentingnya perpaduan kaum dibentuk bagi  menjamin keadaan negara yang aman dan damai dengan penduduknya dapat bekerjasama antara satu sama lain.

 
Kerajaan telah merangka Dasar Pendidikan Kebangsaan sebagai landasan mewujudkan masyarakat yang bersatu padu. Penyata Razak dan Ordinan Pelajaran yang telah termaktub sebelum merdeka telah disemak semula menghasilkan Laporan Rahman Talib dan seterusnya dimaktubkan dalam Akta Pelajaran, 1961 merupakan antara usaha awal kerajaan dalam sektor Pendidikan. Matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan diharapkan dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat negara ini dalam jangka pendek dan panjang demi melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih. Antara strategi yang dirancang untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan ialah menjadikan Bahasa Kebangsaan bahasa pengantar yang utama, mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah, mewujudkan sistem peperiksaan yang sama dan sebagainya.
 

(d) Cabaran untuk mengekalkan perpaduan kaum

 
Cabaran kepentingan etnik dari aspek politik iaitu  politik perkauman boleh menimbulkan perasaan kurang senang hati dan mengukuhkan semangat perkauman jika sesuatu tindakan diambil tanpa mendapat kata sepakat oleh semua pihak. Isu-isu perkauman seperti bahasa, kebudayaan, pendidikan, agama, kerakyatan, dan ekonomi jika dipergunakan untuk tujuan berpolitik, pastinya, ia tidak akan menyumbang ke arah masyarakat yang bersatu padu.Ianya ditambah lagi dengan usaha parti tertentu yang mengemukakan ideologi Malaysian Malaysia bagi  mendapatkan hak yang sama rata dalam kalangan penduduk di negara ini.Sekali pandang ianya merupakan suatu isu yang kecil tetapi sebenarnya isu ini berlawanan dengan kontrak sosial yang dibuat sebelum negara ini mencapai kemerdekaan. 

 
Sejak zaman penjajahan lagi, masalah integrasi telah wujud terutamanya semasa penjajahan British. Mereka menjalankan dasar “divide and rule” iatu dasar pecah dan perintah agar dapat memerintah dan mengeksploitasi ekonomi negara. Dasar ini jugalah yang memisahkan kaum-kaum utama negara ini mengikut bidang ekonomi yang dijalankan. Masyarakat melayu mengendalikan pertanian dan ditempatkan di kawasan luar Bandar iaitu di kampong-kampung. Masyarakat Cina ditempatkan dilombong-lombong bijih timah dan bandar-bandar kerana aktiviti perlombongan dan perdagangan yang dijalankan mereka. Manakala masyarakat India pula ditempatkan di lading-ladang getah. Perubahan fungsi ini telah menyebabkan ketiga-tiga kaum ini terpisah dan hubungan semakin terhada dan menjadi bertambah renggang.

 
Sistem persekolahan yang wujud di negara ini, pada dasarnya berpandukan sistem Barat yang diperkenalkan oleh pentadbiran British mulai abad ke 19, Pelajaran Cina telah memberi kesedaran kebangaaan pemuda –pemuda Cina. Sekolah Cina bukan hanya menggunakah bahasa Cina sebagai bahasa pengantar, gurunya datang dari negara China, buku teks diimport dari negara China dan berkiblatkan China.

Sekolah Tamil pula menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar yang tunggal. Kebanyakan sekolah Tamil terletak di kawasan ladang dan sebahagian besarnya dibiayai oleh syarikat-syarikat yang memiliki ladang-ladang berkenaan. Kerajaan sebelum merdeka menganggap sekolah Inggeris sebagai sistem persekolahan yang unggul. Kelulusan sekolah Inggeris terdedah kepada pemikiran Barat. Perbezaan di antara sekolah Inggeris dengan sekolah-sekolah lain bukan dari segi bahasa pengantar sahaja, sukatan pelajaran juga tidak sama dan sekolah Inggeris juga memberi kesan kepada perpecahan yang berlaku di dalam masyarakat. Jelas sekali, sistem persekolahan sebelum merdeka memainkan peranan penting mengekalkan keperibadian satu-satu golongan etnik dan, di samping itu, mewujudkan dua golongan terdidik – berpelajaran Inggeris dan berpelajaran vernakular  yang tidak mempunyai pandangan dunia (world – view) yang sama. Pihak Inggeris tidak memberatkan objektif perpaduan dalam sistem pelajarannya. Tidak ada satu dasar pendidikan kebangsaan sepertimana yang kita lihat hari ini. Yang penting bagi mereka ialah memberi pelajaran kepada segolongan rakyat untuk membolehkan sebahagian mereka memenuhi keperluan tenaga dan ekonomi.

  (e) langkah-langkah untuk mengekal dan memantapkan perpaduan kaum di Malaysia               

 
Beberapa kempen dan program yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan mampu mengekal dan memantapkan perpaduan kaum di negara ini. Pelan Tindakan Perpaduan & Integrasi Nasional telah dirancang oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. Ia merupakan rancangan lima tahun iaitu dari 2005-2010 yang merancang pelbagai usaha untuk memupuk dan mempertingkatkan perpaduan dan integrasi nasional. Pelan ini mengandungi pelbagai strategi yang dirancang dari pelabagai aspek seperti strategi politik, ekonomi, pendidikan, penggunaan Bahasa Kebangsaan, Agama, Kebudayaan, Integrasi Wilayah, Keselamatan, Pembangunan Kawasan, Penggunaan Tenaga Manusia, Media Massa, Kesukanan, Pemasyarakatan Perpaduan, Pertubuhan Sukarela, Penyelidikan Dan Penerbitan Bahan Bacaan, Pemantauan Isu-isu Semasa dan Konflik, Penubuhan Panel Penasihat Perpaduan Negara (PANEL) dan Jawatankuasa Penasihat Perpaduan Peringkat Negeri (JKPPN), program dan aktiviti perpaduan, Sekolah Wawasan dan Program Latihan Khidmat Negara. Kesemua program, pelan dan aktiviti yang dirancang telah dijalankan dengan bertujuan supaya masyarakat dapat melibatkan diri dan memupuk hubungan etnik yang erat antara rakyat di negara ini.

Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) sejak tahun 1986. Program ini pada awalnya telah dilaksanakan di peringkat sekolah rendah dan kini diperluaskan ke semua sekolah rendah dan menengah pada tahun 2005. KPM memandang berat akan pentingnya dijalin hubungan yang rapat antara murid pelbagai kaum di sekolah supaya wujud kesefahaman dan perpaduan antara mereka. Dengan adanya persefahaman dan berbaik sangka maka akan timbul suasana hormat-menghormati terhadap agama, budaya dan adapt resam sesuatu kaum dengan kaum yang lain. KPM menyediakan peluang kepada murid pelbagai kaum untuk bergaul mesra secara sedar dan terancang. Proses perpaduan ini dapat dipupuk dan dibina agar semangat tersebut dapat diamalkan dalam masyarakat. Usaha ini dijana semula kea rah merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia hidup bersatu padu dan harmoni.Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah lawatan sambil belajar, kursus motivasi, kem perpaduan , sambutan hari perayaan , pameran kebudyaan dan persembahan pentas.  

Sekiranya isu ini diperinci secara mendalam, kerajaan telah mewajibkan remaja yang berumur 17 tahun ke atas menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Modul kenegaraan PLKN sememangnya bertujuan untuk melahirkan semangat perpaduan dalam sanubari remaja daripada masyarakat majmuk yang merupakan bakal pemimpin negara. Selaras dengan modul kenegaraan, para remaja berbilang kaum berpeluang untuk bekerjasama bagai aur dengan tebing dan seterusnya perpaduan dapat disemai melalui aktiviti-aktiviti berkumpulan yang dilaksanakan dalam PLKN. Sesungguhnya, tidak dapat disangkal bahawa PLKN turut memainkan peranan dominan dalam iltizam membentuk perpaduan kaum.

 f) Rumusan

 
Pengetahuan 

Keamanan negara ini sangat penting dalam usaha negara ini menginjak menjadi sebuah negara maju menjelang tahnun 2020. Antara faktor  utama kejayaan ini boleh dicapai ialah melalui situasai keamanan dan kesejahteraan negara sentiasa terjamin atau tidak boleh dikompromi oleh sebarang faktor lain.

Berdasarkan peristiwa  13 Mei 1969  kita wajar  memperkuat semula perpaduan kaum di negara ini agar semua anggota masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni di negara yang kita cintai ini.

Dalam nada yang sama kita seharusnya memahami dan menghayati peristiwa sejarah negara negara ini yang terjajah sekian lama dan memerlukan kekuatan segenap sudut bagi menjamin penjajahan ke atas negara ini tidak lagi akan berlaku .

 
Iktibar

Kita juga seharusnya mengambil iktibar bahawa perpaduan hanya dapat dicapai jika semua rakyat bersatu padu , bertolak ansur, hormat menghormati antara sesama angota masyarakat

 
Harapan

Saya berharap agar semua warga negara ini akan sentiasa mematuhi undang-undang/ peraturan, tidak terpengaruh dengan anasir luar dan menghargai jasa tokoh yang telah banyak berjuang bagi mendapatkan kemerdekaan dan memenuhi kemerdekaan ini agar menjadi lebih bermakna akhirnya.

 
 (g) sumber rujukan