CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Rabu, 2 Oktober 2019

LATIHAN RUMUSAN


 Soalan 1: Rumusan [30 markah]
Baca petikan berikut dengan teliti, kemudian buat rumusan tentang cabaran-cabaran dalam melaksanakan konsep pembelajaran maya dan inisiatif-inisiatif untuk menggalakkan konsep pembelajaran maya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Konsep pembelajaran maya sudah menjadi satu realiti dengan adanya platform pembelajaran maya yang semakin hari semakin pesat dibangunkan oleh syarikat pembelajaran maya di Malaysia. Hal ini sesuai dengan konsep pembelajaran abad ke-21 yang semakin hari semakin mendapat tempat dalam hati pengguna Internet. Hampir 25 juta pengguna Internet di Malaysia menggunakan perkhidmatan jalur lebar dan peranti komunikasi telefon pintar berbanding dengan pengguna telefon talian tetap dan perkhidmatan-perkhidmatan lain. Namun begitu, sebanyak 23.1% penduduk di negara ini yang tidak memiliki akses Internet telah menjadi halangan kepada pelaksanaan pendidikan maya ini.
Berdasarkan perspektif yang berbeza, ibu bapa pada masa ini masih belum dapat menerima konsep pembelajaran maya sepenuhnya kerana mereka beranggapan bahawa pembelajaran secara konvensional di dalam kelas lebih efektif. Ibu bapa lebih meyakini guru dapat memantau perkembangan anak-anak mereka di dalam kelas. Pada masa yang sama, minda mereka belum terbuka untuk menerima gaya pembelajaran alaf baru. Selain itu, masyarakat juga beranggapan anak-anak mudah menyalahgunakan Internet untuk mengakses laman-laman yang tidak bermanfaat. Hal ini dibuktikan dengan peratus penggunaan Internet untuk pengisian hiburan seperti permainan dalam talian dan sembang amat tinggi dalam kalangan murid. Natijahnya, ramai murid yang mengabaikan pelajaran dan terlibat dengan perkara-perkara negatif.
Menerusi platform pendidikan maya, murid dapat mengelakkan diri daripada menjadi jaguh siber yang membazirkan masa semata-mata. Mereka juga dapat memasuki alam pembelajaran yang diperkenalkan oleh platform pendidikan maya. Selain itu, platform ini mampu mempertingkatkan kefahaman dan kualiti pembelajaran mereka. Dalam masa yang sama, ibu bapa bimbang interaksi yang terhad antara guru maya dengan muridnya dalam bidang akademik. Hal ini dikatakan demikian kerana masalah ini akan mengekang perkembangan prestasi akademik anak-anak mereka.
Persoalannya, mampukah murid-murid di Malaysia untuk mendepani serta memanfaatkan konsep pembelajaran maya pada hari ini? Hal ini berlaku kerana platform pendidikan maya bukan mudah untuk dibentuk dan operasinya memerlukan kos yang tinggi. Murid-murid milenium ini yang mudah berasa bosan juga mahu maklumat diperoleh secepat mungkin dengan konsep maklumat di hujung jari. Namun begitu, kekurangan dalam pembelajaran maya juga ialah murid tidak memiliki peranti untuk mengakses Internet. Situasi ini tidak seharusnya berlaku kerana pakej perkhidmatan jalur lebar dan peranti mampu milik sudah lama bertapak di negara kita. Kesimpulannya, pendidikan di Malaysia perlu seiring dengan perkembangan teknologi maklumat agar negara kita mampu bersaing di peringkat global.
Dipetik dan diubah suai daripada
‘Konsep Pembelajaran Maya’
Majalah Pendidik, November 2018
Soalan 2 : Pemahaman
Soalan 2 (a) – Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i)Berikan maksud rangkai kata lebih efektif.[2 markah]
(ii) Menerusi platform pendidikan maya, pengarang mengemukakan beberapa faedah yang diperoleh seseorang murid.Nyatakan faedah-faedah tersebut. [3 markah]
(iii) Murid dapat memperoleh pelbagai maklumat daripada Internet untuk meningkatkan pengetahuan mereka.Pada pendapat anda, nyatakan cara-cara lain untuk memperoleh maklumat.[4 markah]

Soalan 1 : Rumusan
[ 30 markah ]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang ciri-ciri individu yang memiliki pemikiran kreatif dan halangan-halangan untuk membudayakannya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pendedahan kepada remaja, khususnya tentang budaya berfikir secara kreatif, perlu diperkukuh dan diperhebat dari masa ke masa oleh semua pihak. Banyak remaja pada hari ini berhadapan dengan krisis identiti dan jati diri sebagai akibat ledakan teknologi dan maklumat yang sentiasa mencari kesempatan untuk menerobos keimanan, keupayaan dan potensi mereka. Melalui usaha secara bersepadu sudah tentu kita berupaya untuk membudayakan pemikiran kreatif golongan remaja agar dapat mencipta kecemerlangan tamadun bangsa yang lebih unggul dan jitu.
Kemahiran berfikir dapatlah ditakrifkan sebagai keupayaan minda dan pemikiran untuk meneroka pelbagai kemungkinan ke arah menghasilkan sesuatu yang baharu. Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid menjelaskan bahawa pemikiran kreatif adalah merujuk kepada kemampuan seseorang berfikir tentang sesuatu yang tidak difikirkan oleh orang lain. Banyak ciri yang dapat dikenal pasti daripada individu yang memiliki pemikiran kreatif ini, termasuklah berfikiran terbuka dan tidak terkongkong oleh idea orang lain. Gaya pemikiran golongan ini melampau had batasan pemikiran biasa.
Mereka sanggup menerima kritikan dan risiko daripada tindakan kreatif tersebut. Selain itu, individu berfikiran ini mempunyai keinginan dan kemahuan yang tinggi untuk mencipta dan melakukan sesuatu yang tidak begitu digemari oleh orang lain. Mereka tidak mudah berputus asa dalam menghadapi cabaran. Golongan ini juga suka meneroka dan menaakul idea baharu yang lebih segar, mempunyai perasaan ingin tahu yang sangat kental, dan kuat daya imaginasinya.
Dalam konteks yang lain mereka yang berfikiran kreatif sentiasa berusaha menghasilkan idea baharu yang menuntut individu tersebut untuk mengembangkannya. Mereka juga mampu melihat semua aspek secara menyeluruh. Pemikiran kreatif sering dikaitkan dengan pemikiran inovatif yang condong ke arah penyelesaian masalah dan perlakuan semula jadi yang kompleks. Sehubungan dengan itu pemikiran kreatif dapat dikaitkan juga dengan pemikiran lateral yang menghala ke arah penyelesaian masalah dan melihat sesuatu berdasarkan pelbagai perspektif untuk menyelesaikannya. Pemikiran kreatif yang sistematik menuntut remaja dapat mengenal pasti potensi, minat dan kecenderungan yang dimiliki sebelum melatih diri untuk berfikir di luar kotak. Di samping memiliki idea yang bernas remaja yang berfikiran kreatif memerlukan keberanian yang besar dalam banyak situasi supaya dapat diterjemahkan secara nyata. Tidak dapat dinafikan bahawa pemikiran kreatif memberikan wawasan atau gagasan untuk remaja memperoleh alternatif dalam menghadapi sesuatu rintangan ataupun cabaran yang mendatang.
Sesungguhnya untuk menyerap segala cabaran, tekanan, kekangan, dan perubahan, remaja perlu membudayakan pemikiran kreatif agar elemen kreativiti, imaginatif dan unsur humanistik yang digabungjalinkan secara ideal dapat diintegrasikan. Semua pihak perlu melihat hal ini sebagai peluang dan kesempatan untuk membina budaya yang lebih mantap ke arah melahirkan remaja yang kreatif selaras dengan anjakan transformasi pendidikan negara. Pihak sekolah pula hendaklah mengimplementasikan segala dasar pendidikan yang sentiasa menuntut perubahan dalam kalangan murid dan remaja. Remaja perlu sedar bahawa tanpa kemahiran berfikir secara kreatif, pandangan dan wawasan tidak mungkin akan dapat diperoleh. Oleh itu pemikiran kreatif.

LATIHAN RUMUSAN BM 2 SPM


Soalan 1 : Rumusan
(30 markah)

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang perkara-perkara yang perlu dilakukan ketika berlakunya jerebu dan punca-punca masyarakat kurang prihatin akan kesan jerebu. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Jerebu merupakan satu fenomena yang disebabkan oleh kewujudan partikel-partikel kecil yang terapung-apung di udara dan tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Partikel-partikel ini terjadi sama ada secara semula jadi atau kesan daripada aktiviti manusia. Apabila partikel ini wujud dalam kuantiti yang banyak dan berkelompak akan terhasil jerebu yang mengundang pelbagai masalah kesihatan. Sekiranya hal ini terjadi, masyarakat perlu sentiasa berada di dalam bangunan atau rumah.
Punca utama berlakunya jerebu ialah akibat aktiviti pembakaran secara terbuka. Misalnya, pembakaran hutan untuk tujuan pertanian atau kebakaran hutan yang berlaku disebabkan kecuaian manusia dan pembakaran sampah secara terbuka. Tahap bahaya jerebu ditentukan berdasarkan Indeks Pencemaran Udara (IPU), iaitu semakin tinggi IPU semakin berbahaya kepada kesihatan manusia. Oleh itu, masyarakat diminta supaya memakai alat penutup hidung ketika berlakunya jerebu. Sekiranya bacaan IPU meningkat ke tahap bahaya masyarakat dicadangkan agar bercuti ke kawasan yang lebih selamat.
Pelepasan asap kenderaan di jalan raya juga menjadi penyumbang kepada masalah jerebu. Kandungan asap yang terdiri daripada gas-gas seperti karbon monoksida, sulfur monoksida dan nitrogen monoksida boleh menjejaskan kesihatan. Pengguna kenderaan seharusnya menggunakan alat pendingin hawa ketika berada di jalan raya bagi mengurangkan risiko terhidu udara yang tercemar. Selain itu, pelepasan asap tanpa kawalan oleh kilang-kilang turut memburukkan lagi keadaan. Kandungan bahan kimia dalam jerebu boleh menyebabkan penyakit paru-paru, sesak nafas, darah tinggi, sakit mata dan kegatalan pada kulit. Untuk mengelakkan masalah kesihatan yang lebih serius, mereka perlu segera mendapatkan rawatan di klinik atau di hospital. Bagi mereka yang beriskio tinggi, khususnya penghidap lelah diharapkan agar sentiasa mengambil ubat seperti yang dinasihatkan oleh pakar perubatan.
Pendedahan awal tentang kesan jerebu kepada kesihatan manusia amat penting. Oleh itu, masyarakat perlu sedar akan bahaya bahan kimia yang terkandung dalam jerebu yang masuk ke dalam tubuh badan. Hal ini demikian kerana bahan tersebut boleh menjejaskan kesihatan dalam jangka masa panjang. Sehubungan dengan itu, orang ramai hendaklah sentiasa membersihkan anggota badan yang terdedah kepada jerebu dengan menggunakan air bersih. Masyarakat juga disarankan agar banyak minum air dan mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti luar sekiranya kawasan mereka dilanda jerebu.
Sesungguhnya, fenomena jerebu mengundang pelbagai masalah yang menjejaskan kehidupan. Oleh itu, masalah jerebu ini perlu ditangani dan pada masa yang sama, masyarakat perlu peka terhadap penjagaan kesihatan ketika berlakunya jerebu.
Dipetik dan diubah suai daripada
“Jerebu Oh Jerebu
Generasi Pengguna, Jun 2013
Soalan 2 : Pemahaman
[35 markah]


Soalan 2 (a) – Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata mengurangkan risiko. [2 markah]
(ii) Pengarang menyatakan bahawa terdapat beberapa faktor yang menyebabkan
berlakunya jerebu.
Nyatakan faktor-faktor tersebut. [3 markah]
(iii) Berdasarkan pengetahuan anda, jelaskan cara-cara yang berkesan untuk
menghebahkan bahaya jerebu. [4 markah]

Soalan 1 : Rumusan
[30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kesan-kesan negatif penggunaan Internet dan langkah-langkah untuk membendung penyalahgunaannya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kelebihan utama Internet berbanding dengan media lain ialah keupayaannya memberikan maklumat tanpa sekatan. Internet membolehkan masyarakat memperoleh dan menyebarkan maklumat dengan bebas. Internet bukan sahaja menjelaskan konsep demokrasi maklumat, malah dapat mengubah cara manusia berkomunikasi. Perubahan cara komunikasi inilah yang menerbitkan krisis dalam aspek keselamatan maklumat dan aspek tanggungjawab.
Sesungguhnya, pengenalan Internet menimbulkan perdebatan dalam pelbagai isu. Penyebaran bahan imperialisme yang dapat meruntuhkan nilai-nilai budaya dan moral sesuatu bangsa jelas menunjukkan bahawa Internet mudah dikaitkan dengan perkara-perkara yang mendatangkan pelbagai keburukan. Internet merupakan media yang membolehkan sesiapa sahaja menerbitkan bahan kepada masyarakat dunia dengan kos yang sangat murah. Hakikat ini telah menyebabkan kerajaan-kerajaan di seluruh dunia cuba mengawal media baharu ini. Keupayaan rangkaian canggih ini menyebarkan imej digital menyebabkan Internet sering dijadikan wahana untuk menyebarkan bahan tidak bermoral secara talian terus.
Di samping itu, Internet digunakan juga untuk menyebarkan pelbagai judul buku yang diharamkan di sesetengah negara. Malah, penerbit buku di seluruh dunia mempersoalkan pelanggaran hak cipta yang banyak dilakukan dalam Internet. Selain itu, rangkaian ini juga digunakan untuk menyebarkan iklan yang mungkin tidak diterima oleh media lain kerana iklan itu melanggar kod etika pengiklanan seperti mengeksploitasikan wanita dan menarik cita rasa kanak-kanak. Kebebasan penyebaran maklumat ini menyebabkan Internet digunakan untuk menyebarkan fitnah dan khabar angin terhadap kerajaan atau organisasi tertentu. Internet turut menimbulkan masalah perundangan terbesar dalam undang-undang harta intelek dan kebebasan hak asasi.
Beberapa terbitan Ensiclopedia World Wide telah disebarkan melalui Internet tanpa izin pemegang hak ciptanya. Perbuatan tersebut memang menyalahi undang-undang, tetapi perkara ini telah berlaku dalam ruang siber dewasa ini. Kebimbangan terhadap Internet turut tertumpu terhadap kegiatan jenayah ekonomi dan penipuan dalam transaksi talian terus. Internet menjadikan sempadan geografi semakin tidak jelas. Internet sering mencabar amalan budaya dan moral. Menyedari hakikat ini, banyak negara berusaha mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi memerangi penyalahgunaan Internet.
Dipetik dan diubah suai daripada
“Penggunaan Internet: Kesan kepada Pengguna”
oleh Salmah Ali
Majalah Siswa,Jun 2012

Soalan 2 : Pemahaman
Soalan 2(a) – Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
i) Berikan maksud rangkai kata sering dijadikan wahana. [2 markah]
ii) Pengarang ada menyatakan beberapa kebaikan Internet.
Nyatakan kebaikan tersebut. [3 markah]
iii) Pada pendapat anda, apakah ciri-ciri laman sesawang mata pelajaran yang mampu menarik minat pelajar? Kemukakan tiga pendapat anda. [4 markah]
Soalan 1 : Rumusan
[30 markah]
Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah penggunaan dron dalam pengurusan hutan dan cara-cara untuk menggalakkan penggunaan dron . Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan. 

            Dron atau pesawat tanpa pemandu (UAV) ialah pesawat tanpa juruterbang yang dikawal jauh oleh juruterbang, sama ada juruterbang ini berada di stesen kawalan atau UAV diterbangkan secara automatik berdasarkan penerbangan praprogram yang dirancang oleh individu yang pakar atau terlatih sahaja. Belakangan ini, keupayaan dron lebih terserlah setelah ditingkatkan perkakasan kemudahan rakaman. Lantaran itu, seiring dengan perkembangan teknologi globalisasi pada hari ini, penggunaan dron menjadi pilihan pengkaji dalam pelaksanaan akitiviti penyelidikan dan pengurusan perhutanan. Hal ini dikatakan sedemikian kerana dron dapat diubah suai daripada pelbagai aspek untuk membantu memberikan hasil yang terbaik.

Aktiviti pengumpulan maklumat lapangan dengan menggunakan dron memerlukan perancangan kerja yang teliti kerana keadaan keliling kawasan perlu diambil kira. Bagi kawasan hutan yang agak ekstrem, perancangan yang teliti seperti mengenal pasti keadaan awan, cuaca dan faktor keliling perlu diambil kira. Dalam konteks ini, pihak Jabatan Perhutanan mengorak langkah dengan menggunakan dron untuk melakukan kerja pemantauan dan pengurusan hutan. Dron mampu bergerak dengan jarak yang laju dan jauh, iaitu sehingga 100 kilometer dengan sekali penerbangan. Oleh hal yang demikian, alat tersebut dapat  membantu jabatan ini memantau aktiviti kawasan hutan dengan lebih sistematik dan berkesan. Sementara itu, penambahan kemudahan rakaman dalam bentuk audio - visual membolehkan gambar kawasan hutan yang diambil, diolah menjadi data pelbagai guna seterusnya menambahkan nilai cerapan.

Di samping itu, penyelidik di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mengkaji kegunaan dron untuk  membantu kajian pemantauan aktiviti pembalakan dan kajian keadaan status kesihatan hutan untuk membolehkan tindak balas terhadap kawasan difokuskan serta tindakan segera kepada kawasan berimpak, seperti tanah runtuh atau kebakaran, dapat dilakukan. Berdasarkan hasil awal daripada kajian FRIM, didapati bahawa pengaplikasian dron dengan konsep perhutanan dapat membantu perolehan data untuk pemetaan yang lebih jitu. Pada masa yang sama, penggunaan tenaga kerja dalam bidang perhutanan dapat diminimumkan. Bagi aktiviti pemantauan hutan yang luas, dron jenis sayap kekal digunakan. Dron jenis ini mampu bergerak jauh dan tempoh penerbangannya lama. Walau bagaimanapun, ada juga kekangan terhadap penggunaan dron jenis ini dalam aktiviti pemantauan kawasan hutan kerana dron ini memerlukan kawasan untuk berlepas dan mendarat.

            Sektor perhutanan tidak mahu ketinggalan dalam penggunaan teknologi terkini, seperti dron, dalam pengurusan dan penyelidikan perhutanan. Penggunaan dron oleh Jabatan Perhutanan dalam pemantauan kawasan hutan, dan oleh FRIM dalam penyelidikan ternyata dapat menjimatkan kos dalam jangka masa yang panjang. Penggunaan dron menyumbang aktiviti yang berkaitan dengan pengurusan hutan secara signifikan. Berdasarkan hasil penggunaan dan penyelidikan, didapati bahawa dron ialah fenomena baharu dalam sektor perhutanan negara.

Dipetik  dan diubah suai daripada ‘Dron dalam Pengurusan Hutan’ oleh Mohd. Izwan Ramlan
Dewan Kosmik, Mac 2017

Soalan 2(a) - Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)         Berikan maksud rangkai kata ditingkatkan perkakasan.                       [2 markah
(ii)        Pengarang menyatakan bahawa terdapat beberapa masalah daripada penggunaan dron dalam pengurusan hutan.Nyatakan masalah-masalah tersebut. 
(iii)       Dron digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang pada hari ini. ( 3M)
Pada pendapat anda, selain fungsinya merakamkan gambar atau video apakah fungsi-fungsi dron yang lain?
[ 4 markah ]


Selasa, 17 September 2019

LATIH TUBI BM KERTAS 2


Soalan 1: Rumusan
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kelebihan-kelebihan sukan berbasikal dan langkah-langkah menggalakkan golongan muda berbasikal.  Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Penganjuran pelbagai program kesukanan oleh pelbagai pihak bukan sahaja dapat meningkatkan penglibatan golongan muda dalam aktiviti sukan, tetapi juga mampu membangunkan bidang sukan ke arah sebuah  negara yang sihat. Oleh itu, bagi membudayakan amalan gaya hidup sihat ini, sukan  berbasikal  dianggap  aktiviti yang sesuai kerana tidak bersifat ekstrem malah mampu menjadi   aktiviti   sukan yang paling mudah dan berkesan.  Aktiviti ini dapat melahirkan individu yang mementingkan gaya hidup sihat selain  menjadikan bersukan sebagai amalan harian dan  menyahut saranan  kerajaan supaya lebih banyak generasi sihat dapat dilahirkan.
 
Selain itu, aktiviti berbasikal dengan kerap adalah cara terbaik untuk mengurangkan risiko masalah kesihatan yang berkaitan dengan gaya hidup yang tidak aktif.  Ketika berbasikal pengaliran darah ke jantung akan meningkat kerana oksigen yang mencukupi membantu jantung berdegup dengan baik. Keadaan ini secara tidak langsung akan menyembuhkan  pelbagai penyakit kronik yang dihidapi oleh pesakit.  Kajian mengenai hubungan antara senaman dan kanser mendapati bahawa berbasikal secara tetap mengurangkan risiko kanser payudara.  Berbasikal  mampu meningkatkan kadar metabolisme, membina otot dan membakar lemak yang berupaya menurunkan  berat badan seseorang.  Aktiviti berbasikal tidak memberikan tekanan kepada sendi sebaliknya membantu menyihatkan otot dan sendi pada kaki dengan gerakannya yang berupaya menguatkan tulang rawan.

Aktiviti berbasikal secara rutin bersama-sama ahli keluarga mampu mengeratkan ikatan kekeluargaan  yang semakin renggang akibat ledakan teknologi maklumat.  Aktiviti ini jika dilakukan pada awal pagi atau lewat malam mampu menenangkan fikiran, mengurangkan kebimbangan dan tekanan melalui peningkatan kepekaan dan daya konsentrasi individu.  Cara yang  murah, selamat dan efektif untuk melangsingkan tubuh  badan   seseorang jika aktiviti berbasikal dipraktikkan berbanding latihan di gim yang tidak mampu  memberikan kesan yang diharap-harapkan.  Hal ini dibuktikan melalui kajian yang menunjukkan aktiviti berbasikal setengah jam setiap hari akan mengurangkan tahap lemak dalam darah selain  aktiviti ini merangsang dan membaiki hati, paru-paru dan peredaran darah, menguatkan otot jantung dan mengurangkan nadi berehat.

Biarpun  dalam suasana santai, sukan berbasikal sangat sesuai untuk melahirkan ramai bakat baharu yang boleh digilap. Hal ini diperkukuh dengan tanggapan bahawa aktiviti berbasikal bukan bertujuan mengikut trend atau mahu menunjuk-nunjuk sebaliknya  penglibatan tersebut kerana timbulnya kesedaran untuk mengekalkan kecergasan dan kesihatan diri. Jelaslah, aktiviti berbasikal mampu memberikan pelbagai manfaat. Namun demikan, pelbagai   persediaan perlu dilakukan sebelum menyertai  aktiviti berbasikal bagi memastikan  keselamatan setiap penunggang basikal itu terjamin. 

(Dipetik dan diubah suai daripada‘Kebaikan Berbasikal Kepada Masyarakat
Oleh Raidatul Batrisyah Mohd Radzif,
 Dewan Siswa, Februari 2017)

                                                                                   

                                                                      

Soalan 2: Pemahaman

[35 markah]

Soalan 2(a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.


(i)                             Berikan maksud rangkai kata daya konsentrasi seseorang.                                  [2 markah]


(ii)             Pengarang  ada menyatakan  faedah-faedah   aktiviti berbasikal selama 30 minit setiap hari kepada seseorang.
                       
Nyatakan faedah-faedah tersebut.
[3 markah]

(iii)           Pelbagai persediaan perlu dilakukan sebelum menyertai aktiviti berbasikal bagi memastikan keselamatan setiap penunggang basikal itu terjamin. 

Pada pendapat anda, apakah persedian-persediaan yang perlu dilakukan  oleh seorang       penunggang basikal agar keselamatn diri terjamin.                                                                                                                                                                                            [4 markah]

Soalan (b) - Cerpen
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

 Dulu-dulu ketika di sekolah rendah, Aiman selalu ponteng sekolah. “ Bosan dan jelak,” tingkahnya kepada babah dan ibu.
“ Mengapa bosan?” tanya babah. Ibu mengerling tajam, marah akan perilaku si anak yang selalu berkontradiksi dan berkontras dengan watak babahnya.
“Heh, kan Aqil ni budak genius, budak cerdik dan pintar! Aqil dah cipta formula sendiri. Biarpun baru berusia lapan tahun, baru belajar tahun dua tahap satu, Aqil mampu menyelesaikan masalah matematik Tingkatan Lima,” kata murid pintar itu membela dir.
Dia mundar-mandir di dalam kelas. “Apalah kau ni Chee Keong, masalah mudah itu pun kau tak dapat buat.” Hujung-hujung cakapnya berbunga sindiran di sebalik dedaun kemaafan.
“Aiman pergi duduk di kerusi awak. Sekali lagi awak ganggu kawan, saya akan bawa awak menghadap Guru Besar,” Guru Kelas bersuara tegas, memberi amaran keras.
Tapi dia degil. Hatinya seteguh karang di lautan, sekeras sinar suria berkedudukan 90 darjah tepat.
Babah dan ibu marah. Dendam yang bertakung sekian lama di dalam tasik hati mencair dalam detik momen yang singkat. Aiman dirotan. Ibu mengemukakan bantahan dan protes dalam hati.

Dipetik daripada cerpen “Hipertensi”
oleh Illias Zaidi
                                           Antologi Sejadah Rindu,
                                                                                              Kementerian Pendidikan Malaysia



(i)         Mengapakah Aiman berasa bosan dan jelak untuk ke sekolah?        
                                                                                                                                       [2 markah]


(ii)        Aiman dirotan oleh bapanya kerana sering membuat masalah ketika di sekolah.
                
Pada pendapat anda, apakah pendekatan-pendekatan  lain yang boleh diambil oleh ibu bapa Aiman untuk memastikan Aiman tidak membuat masalah ketika berada di sekolah?                                                                                                                                                                                                                                                                    [3 markah]                                                                                                                                                                                                                                            
(iii)       Jelaskan satu nilai kemanusiaan yang terdapat dalam petikan dan satu nilai            kemanusiaan daripada keseluruhan cerpen.              
                                                                                                                                       [4 markah]                                                                                                              

Soalan 2(c) - Petikan Prosa Tradisional
Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Maka sembah Kertala Sari, “Daulat tuanku andika Betara, endah apatah pekerjaan membunuh Ratu Melaka dan Laksamana itu, sedang negeri Daha patik alahkan?
            Setelah Seri Betara mendengar cakap Kertala Sari itu, maka titah Seri Betara, “Segeralah engkau pergi ke Melaka itu. Kerajaan seperti cakapmu itu supaya engkau kujadikan penggawa agung.”
            Maka sembah Kertala Sari, “Jikalau tuanku hendak menitahkan patik aji, baiklah segera patik suruh hantarkan ke Melaka dengan sebuah perahu supaya patik segera kerjakan seperti titah paduka Betara itu.”
            Maka titah Seri Betara, “Hai Patih Gajah Mada, segeralah suruh hantar ke Melaka.” Maka Patih Gajah Mada pun berlengkap sebuah perahu dengan sepuluh orang sertanya yang pergi. Setelah sudah lengkap maka Kertala Sari pun belayarlah.
            Berapa lamanya maka Kertala Sari pun sampailah ke Melaka. Maka ia pun singgah di luar kota pada kampung segala Jawa. Maka Kertala Sari pun menyamarkan dirinya kepada segala Jawa yang banyak itu. Maka Kertala Sari pun sedia kala berjalan keluar masuk bermain-main segenap kampung orang kaya-kaya dan saudagar.

Dipetik daripada ‘Kepimpinan Melalui Teladan’ 
                                                                   dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul,
Kementerian Pendidikan Malaysia

(i)                      Berikan maksud  bermain-main segenap kampung.                                                
                                                                                                                                    [2 markah]

(ii)                    Nyatakan perkara-perkara yang berlaku setelah Seri Betara bertitah “Hai Patih Gajah Mada, segeralah suruh hantar ke Melaka.”
[3 markah]

(iii)                  Kertala Sari membuat penyamaran ketika berada di Melaka

              Pada pendapat anda, mengapakah Kertala Sari perlu membuat penyamaran
untuk membunuh Laksamana?                                                                                                                                                                                                                                                                                                              [3 markah]

Soalan 2(d) – Syair

Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
                                                          SYAIR BIDASARI
Dengarkan tuan suatu riwayat,                              
Raja di desa Negeri Kembayat, 
Dikarang fakir dijadikan hikayat,                   
Supaya menjadi tamsil ibarat.

Ada raja suatu negeri,                                             
Sultan halifah akas bestari,
Asalnya baginda raja yang bahari,                
Melimpah ngadil dagang senteri.

Hairan orang empunya temasya,                           
Baginda itulah raja perkasa, 
Sangat tiada merasai susah,
Entah pada esok dan lusa.

Seri sultan raja bestari,                                         
Setelah ia sudah beristeri,
Beberapa bulan beberapa hari,                      
Hamillah puteri permaisuri

Beberapa lamanya dalam kerajaan,                        
Baginda duduk bersuka-sukaan,
Datanglah beroleh kedukaan,                        
Baginda meninggalkan takhta kerajaan.

Datanglah kepada suatu masa,                               
Melayanglah unggas dari angkasa,
Unggas gurda sangat perkasa,                       
Menjadi negeri rosak binasa.

Datanglah menyambar suaranya bahana,               
Gemparlah sekalian mulia dan hina,
Seisi negeri gundah-gelana,                          
Membawa diri ke mana-mana.

Baginda pun sedang dihadap orang,                       
Mendengar gempar seperti perang,
Bertitah baginda raja yang garang,               
"Gempar ini apakah kurang."

Jamilah Hj. Ahmad
Sasbadi Sdn. Bhd.
Antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul
Dewan Bahasa dan Pustaka


(i)                 Berdasarkan rangkap kedua syair di atas, nyatakan ciri-ciri yang perlu ada pada seorang raja?
[2 markah]


(ii)               Serangan unggas gurda menyebabkan Negeri Kembayat musnah.

Sekiranya anda Raja Negeri Kembayat, nyatakan tindakan-tindakan untuk memulihkan negeri anda.
[3 markah]


(iii)      Jelaskan  dua pengajaran yang terdapat  dalam syair tersebut.
[4 markah]



Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa

[ 30 markah ]

Jawab semua soalan.

(a)
Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

(i)              berbangga
(ii)            kebanggaan
(iii)          bersabar
(iv)          kesabaran
(v)            bertahan
(vi)          ketahanan
[6 markah]
(b)
Gabungkan ayat-ayat di bawah supaya menjadi tiga ayat  yang sesuai tanpa mengubah maksud dan struktur asalnya.

  Kerajaan  negeri  telah meluluskan peruntukan yang besar melalui pejabat daerah bagi melaksanakan  rancangan tebatan banjir. Peruntukan itu diberi di seluruh negara.  Ramai penduduk terjejas kehidupan dan mata pencarian mereka akibat banjir. Banjir melanda beberapa buah negeri. Pembinaan tebatan banjir diharapkan dapat meminimumkan kesan kepada mangsa banjir. Pembinaan tebatan banjir diharapkan dapat meminimumkan trauma kepada mangsa banjir.
[6 markah]

(c)
Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan dari segi imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan dari segi imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i)              Setiap penduduk sesebuah taman perumahan harus meluang masa untuk melakukan sesuatu aktiviti bersama-sama demi mengukuhkan tali silaturrahim.

(ii)            Syarikat otomotif yang diusahakan oleh Puan Juliani telah beroperasi semenjak tahun 1998 dan berjaya mencapai sasar jualan sebanyak 95 peratus pada tahun lalu.

(iii)          Tuan Haji Ibrahim bercadang mengadakan janjitemu dengan doktor gigi untuk membuat perawatan gusinya yang sering sakit.
[6 markah]




(d)

















(e)

Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan dari segi imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i)              Banyak kerajaan di dunia mengambil keputusan tidak akan membuat tambatan mata wang mereka  dengan kadar semasa Dolar  di dalam menghadapi konflik kewangan antarabangsa.

(ii)            Jati diri dan integriti merupakan genggaman utama  Encik Abdul Samad dalam melaksanakan tugas yang majikan amanahkan kepadanya.

(iii)          Peristiwa pendaratan tahi bintang di kawasan kebun kelapa sawit itu telah menjadi buah mulut sejumlah besar penduduk-penduduk berhampiran kawasan kejadian.

[6 markah]


Berikan satu peribahasa yang berlawanan maksud dengan peribahasa berikut.
(i)         Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan
(ii)        Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh
(iii)       Bagai isi dengan kuku
[6 markah]




Soalan 4 : Novel

[ 15 markah ]

Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel berikut:

(i)                 Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip Talib
(ii)               Di Sebalik Dinara karya Dayang Noor
(iii)             Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin
(iv)             Pantai Kasih karya Azmah Nordin
(v)               Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip
(vi)             Tirani karya Beb Sabariah
(vii)         Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop
(viii)  Silir Daksina karya Nizar Parman

(a)    Dalam sesebuah novel,  terdapat pelbagai watak yang menghidupkan jalan cerita novel tersebut.

Berdasarkan sebuah novel yang anda kaji, huraikan dua perwatakan watak yang telah ditetapkan dalam novel tersebut.

Novel
Watak
Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip Talib
Pak Saidi
Di Sebalik Dinara karya Dayang Noor
Azraai
Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin
Datuk Abdul Rahman
Pantai Kasih karya Azmah Nordin
Doktor Sadiz
Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip
Embong
Tirani karya Beb Sabariah
Zahid
Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop
Muhammad Taufik
Silir Daksina karya Nizar Parman
Tauke Ong

[7 markah]

(b)   Bahagian pengakhiran sesebuah  novel amat penting kerana mampu memberikan kepuasan kepada pembaca novel tersebut.

Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, bersetujukah anda dengan pengakhiran cerita yang dipaparkan oleh pengarang?  
Berikan alasan anda.