CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Rabu, 2 Oktober 2019

LATIHAN RUMUSAN


 Soalan 1: Rumusan [30 markah]
Baca petikan berikut dengan teliti, kemudian buat rumusan tentang cabaran-cabaran dalam melaksanakan konsep pembelajaran maya dan inisiatif-inisiatif untuk menggalakkan konsep pembelajaran maya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Konsep pembelajaran maya sudah menjadi satu realiti dengan adanya platform pembelajaran maya yang semakin hari semakin pesat dibangunkan oleh syarikat pembelajaran maya di Malaysia. Hal ini sesuai dengan konsep pembelajaran abad ke-21 yang semakin hari semakin mendapat tempat dalam hati pengguna Internet. Hampir 25 juta pengguna Internet di Malaysia menggunakan perkhidmatan jalur lebar dan peranti komunikasi telefon pintar berbanding dengan pengguna telefon talian tetap dan perkhidmatan-perkhidmatan lain. Namun begitu, sebanyak 23.1% penduduk di negara ini yang tidak memiliki akses Internet telah menjadi halangan kepada pelaksanaan pendidikan maya ini.
Berdasarkan perspektif yang berbeza, ibu bapa pada masa ini masih belum dapat menerima konsep pembelajaran maya sepenuhnya kerana mereka beranggapan bahawa pembelajaran secara konvensional di dalam kelas lebih efektif. Ibu bapa lebih meyakini guru dapat memantau perkembangan anak-anak mereka di dalam kelas. Pada masa yang sama, minda mereka belum terbuka untuk menerima gaya pembelajaran alaf baru. Selain itu, masyarakat juga beranggapan anak-anak mudah menyalahgunakan Internet untuk mengakses laman-laman yang tidak bermanfaat. Hal ini dibuktikan dengan peratus penggunaan Internet untuk pengisian hiburan seperti permainan dalam talian dan sembang amat tinggi dalam kalangan murid. Natijahnya, ramai murid yang mengabaikan pelajaran dan terlibat dengan perkara-perkara negatif.
Menerusi platform pendidikan maya, murid dapat mengelakkan diri daripada menjadi jaguh siber yang membazirkan masa semata-mata. Mereka juga dapat memasuki alam pembelajaran yang diperkenalkan oleh platform pendidikan maya. Selain itu, platform ini mampu mempertingkatkan kefahaman dan kualiti pembelajaran mereka. Dalam masa yang sama, ibu bapa bimbang interaksi yang terhad antara guru maya dengan muridnya dalam bidang akademik. Hal ini dikatakan demikian kerana masalah ini akan mengekang perkembangan prestasi akademik anak-anak mereka.
Persoalannya, mampukah murid-murid di Malaysia untuk mendepani serta memanfaatkan konsep pembelajaran maya pada hari ini? Hal ini berlaku kerana platform pendidikan maya bukan mudah untuk dibentuk dan operasinya memerlukan kos yang tinggi. Murid-murid milenium ini yang mudah berasa bosan juga mahu maklumat diperoleh secepat mungkin dengan konsep maklumat di hujung jari. Namun begitu, kekurangan dalam pembelajaran maya juga ialah murid tidak memiliki peranti untuk mengakses Internet. Situasi ini tidak seharusnya berlaku kerana pakej perkhidmatan jalur lebar dan peranti mampu milik sudah lama bertapak di negara kita. Kesimpulannya, pendidikan di Malaysia perlu seiring dengan perkembangan teknologi maklumat agar negara kita mampu bersaing di peringkat global.
Dipetik dan diubah suai daripada
‘Konsep Pembelajaran Maya’
Majalah Pendidik, November 2018
Soalan 2 : Pemahaman
Soalan 2 (a) – Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i)Berikan maksud rangkai kata lebih efektif.[2 markah]
(ii) Menerusi platform pendidikan maya, pengarang mengemukakan beberapa faedah yang diperoleh seseorang murid.Nyatakan faedah-faedah tersebut. [3 markah]
(iii) Murid dapat memperoleh pelbagai maklumat daripada Internet untuk meningkatkan pengetahuan mereka.Pada pendapat anda, nyatakan cara-cara lain untuk memperoleh maklumat.[4 markah]

Soalan 1 : Rumusan
[ 30 markah ]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang ciri-ciri individu yang memiliki pemikiran kreatif dan halangan-halangan untuk membudayakannya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pendedahan kepada remaja, khususnya tentang budaya berfikir secara kreatif, perlu diperkukuh dan diperhebat dari masa ke masa oleh semua pihak. Banyak remaja pada hari ini berhadapan dengan krisis identiti dan jati diri sebagai akibat ledakan teknologi dan maklumat yang sentiasa mencari kesempatan untuk menerobos keimanan, keupayaan dan potensi mereka. Melalui usaha secara bersepadu sudah tentu kita berupaya untuk membudayakan pemikiran kreatif golongan remaja agar dapat mencipta kecemerlangan tamadun bangsa yang lebih unggul dan jitu.
Kemahiran berfikir dapatlah ditakrifkan sebagai keupayaan minda dan pemikiran untuk meneroka pelbagai kemungkinan ke arah menghasilkan sesuatu yang baharu. Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid menjelaskan bahawa pemikiran kreatif adalah merujuk kepada kemampuan seseorang berfikir tentang sesuatu yang tidak difikirkan oleh orang lain. Banyak ciri yang dapat dikenal pasti daripada individu yang memiliki pemikiran kreatif ini, termasuklah berfikiran terbuka dan tidak terkongkong oleh idea orang lain. Gaya pemikiran golongan ini melampau had batasan pemikiran biasa.
Mereka sanggup menerima kritikan dan risiko daripada tindakan kreatif tersebut. Selain itu, individu berfikiran ini mempunyai keinginan dan kemahuan yang tinggi untuk mencipta dan melakukan sesuatu yang tidak begitu digemari oleh orang lain. Mereka tidak mudah berputus asa dalam menghadapi cabaran. Golongan ini juga suka meneroka dan menaakul idea baharu yang lebih segar, mempunyai perasaan ingin tahu yang sangat kental, dan kuat daya imaginasinya.
Dalam konteks yang lain mereka yang berfikiran kreatif sentiasa berusaha menghasilkan idea baharu yang menuntut individu tersebut untuk mengembangkannya. Mereka juga mampu melihat semua aspek secara menyeluruh. Pemikiran kreatif sering dikaitkan dengan pemikiran inovatif yang condong ke arah penyelesaian masalah dan perlakuan semula jadi yang kompleks. Sehubungan dengan itu pemikiran kreatif dapat dikaitkan juga dengan pemikiran lateral yang menghala ke arah penyelesaian masalah dan melihat sesuatu berdasarkan pelbagai perspektif untuk menyelesaikannya. Pemikiran kreatif yang sistematik menuntut remaja dapat mengenal pasti potensi, minat dan kecenderungan yang dimiliki sebelum melatih diri untuk berfikir di luar kotak. Di samping memiliki idea yang bernas remaja yang berfikiran kreatif memerlukan keberanian yang besar dalam banyak situasi supaya dapat diterjemahkan secara nyata. Tidak dapat dinafikan bahawa pemikiran kreatif memberikan wawasan atau gagasan untuk remaja memperoleh alternatif dalam menghadapi sesuatu rintangan ataupun cabaran yang mendatang.
Sesungguhnya untuk menyerap segala cabaran, tekanan, kekangan, dan perubahan, remaja perlu membudayakan pemikiran kreatif agar elemen kreativiti, imaginatif dan unsur humanistik yang digabungjalinkan secara ideal dapat diintegrasikan. Semua pihak perlu melihat hal ini sebagai peluang dan kesempatan untuk membina budaya yang lebih mantap ke arah melahirkan remaja yang kreatif selaras dengan anjakan transformasi pendidikan negara. Pihak sekolah pula hendaklah mengimplementasikan segala dasar pendidikan yang sentiasa menuntut perubahan dalam kalangan murid dan remaja. Remaja perlu sedar bahawa tanpa kemahiran berfikir secara kreatif, pandangan dan wawasan tidak mungkin akan dapat diperoleh. Oleh itu pemikiran kreatif.

6 ulasan: