SUMBER :ZAINAFSIAH BINTI ZAKARIASMK SERI PERLING, JOHOR BAHRU JOHOR
CONTOH KARANGAN
CEMERLANG ~ BAHAGIAN A
Pada mayapada yang
mendepani ombak globalisasi ini,
Unit Bimbingan dan Kaunseling di sekolah telah memikul obligasi yang vital
untuk memastikan perkembangan mental dan rohani pelajar-pelajar sejajar dengan
perkembangan fizikal bagi memacu kejayaan Malaysia ke ambang 2020. Hal ini demikian
kerana pelajar-pelajar yang masih berdarah muda setampuk pinang
memerlukan bimbingan daripada guru-guru untuk menghadapi kehidupan yang penuh
dengan ranjau ini. Dengan adanya Unit Bimbingan dan Kaunseling di
sekolah, mestilah para pelajar dapat mengecap kemaslahatan yang dibawa oleh
unit tersebut. Persoalan
yang bermain-main dalam gawang minda kita ialah apakah peranan Unit
Bimbingan dan Kaunseling di sekolah?
Persoalan ini akan dibincangkan secara terperinci hingga ke akar umbi
sebentar lagi.
Marilah
kita capahkan lensa perbincangan dengan menghuraikan peranan Unit
Bimbingan dan Kaunseling dalam menyediakan khidmat nasihat kepada pelajar yang
menghadapi masalah. Pelajar-pelajar yang
masih muda merupakan insan yang kurang berpengalaman bak kata orang tua-tua
kurang makan garam dalam meniti
kehidupan. Oleh
itu, mereka memerlukan nasihat atau saranan yang bernas daripada
guru-guru kaunseling yang banyak makan
garam. Sebagai
tamsilannya, pelajar-pelajar yang menghadapi masalah tentang pergaulan
mereka dengan kawan atau masalah pembelajaran boleh merujuk guru bimbingan dan
kaunseling. Menurut kata-kata Richard
Nixon, “Anda memerlukan pengalaman getir untuk menzahirkan keunggulan
anda.” Jelaslah
di sini bahawa dengan adanya nasihat, bimbingan dan dorongan daripada
guru-guru kaunseling, tentulah para pelajar dapat mengembangkan sayap mereka
dengan keberanian, kepintaran dan jiwa besar mereka untuk mencari resolusi bagi
segala kemelut yang dihadapi oleh mereka.
Seterusnya,
marilah kita luaskan perspektif dengan mendalami peranan Unit Bimbingan dan
Kaunseling dalam memberikan bimbingan kerjaya kepada pelajar-pelajar yang bakal menjejaki alam pembelajaran yang
baharu. Disebabkan
para pelajar bakal menjadi modal insan yang menggerakkan transformasi negara
kita pada masa hadapan, guru-guru kaunseling memainkan peranan yang
signifikan untuk membimbing para pelajar
mengenal pasti bakat dan potensi dalam diri mereka. Dengan uslub ini,
para pelajar dapat mengasah lagi potensi dan kemahiran mereka dan seterusnya
menyerlahkan kehebatan mereka dalam bidang-bidang profesional. Sebagai evidensnya,
kerjasama antara pihak sekolah dengan pihak universiti untuk mengadakan pameran
pendidikan dan kerjaya, dapat menghasilkan sinergi bagi membimbing
pelajar-pelajar untuk meneroka minat mereka dalam bidang-bidang baharu. Sementelahan pula, ceramah-ceramah
tentang peluang melanjutkan pelajaran membolehkan para pelajar untuk memahami
jurusan dan kursus-kursus pelbagai yang ditawarkan oleh universiti. Pepatah Melayu ada
menyatakan bahawa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada
berguna. Maka,
bantuan daripada guru-guru kaunseling dapat membimbing mereka supaya tidak
tersalah pilih kerjaya yang menjadi idaman di hati pelajar.
Jika
ditinjau dari skop yang lain,
Unit Bimbingan dan Kaunseling berperanan penting untuk meningkatkan motivasi
murid. Allahyarham Profesor Hamka
berpendapat bahawa biarpun seribu kapal tenggelam di tengah lautan, namun cita-cita
mansia tidak pernah karam. Ungkapan ini jelas membuktikan betapa pentingnya jiwa
besar untuk menggapai bintang kecemerlangan.
Lantaran itu, bagi mengelakkan semangat
dan cita-cita pelajar daripada luntur, Unit Bimbingan dan Kaunseling senantiasa
berpenat lelah memerah idea untuk mengobarkan jiwa besar dalam diri
pelajar. Sebagai
justifikasinya, unit tersebut sering mengadakan kem motivasi untuk
meningkatkan semangat pelajar untuk menghadapi pancaroba dalam kehidupan. Bagi pelajar-pelajar yang bakal menduduki
peperiksaan ini adalah seperti PT3, SPM dan STPM, minhaj ini adalah amat drastik
agar para pelajar dapat meningkatkan keyakinan diri mereka bagi menongkah arus
dalam kehidupan mereka. Izharlah, Unit Bimbingan dan Kaunseling dapat
memastikan perkembangan mentaliti pelajar agar tidak terjerumus ke dalam lembah
kehinaan.
Sebelum
pena diskusi melabuhkan noktahnya, Unit Bimbingan dan Kaunseling telah
menjamin pembentukan modal insan yang sempurna dari segi mental, iman dan
rohani untuk menerajui negara Malaysia pada persada antarabangsa. Justeru, para
pelajar seyogia menghargai nasihat dan bimbingan daripada guru-guru kaunseling
supaya tidak menjadi insan yang bobrok dan terlibat dalam kebejatan moral. Pihak sekolah juga perlu proaktif dalam menggiatkan
peranan unit ini demi kemaslahan para pelajar.
Anak-anak umpama permata yang perlu digilap sehingga bersinar. Oleh hal yang
demikian, marilah kita bersama-sama mengimplementasikan
strategi-strategi yang pragmatik, efektif dan efisien bagi mengembangkan lagi
peranan Unit Bimbingan dan Kaunseling supaya dapat melahirkan modal insan yang
berkaliber untuk menerajui cerucuk kepimpinan negara kita ke arah yang lebih
maju. Biarlah pepohon terus menghijau,
biarlah matahari terus bersinar dan biarlah Malaysia terus gemilang.
[654 patah kata]
CONTOH KARANGAN
CEMERLANG BAHAGIAN B
SOALAN 1
Setiap
anak seharusnya mempunyai impian untuk menjadi individu kebanggaan keluarga.
a
Berikan
komen anda.
Tiada
ibu dan bapa,
Tiadalah anak yang dilahirkan.
Untaian kata di atas jelas menunjukkan
betapa peri pentingnya keberadaan ibu bapa kerana tanpa mereka berdua, siapalah
kita di dunia ini. Ibu bapalah yang
melahirkan, membesarkan dan memberikan kasih sayang kepada anak-anak. Tugas bapa adalah untuk mencari nafkah untuk
keperluan segenap isi keluarga malahan ibu pula telah melahirkan kita. Tidakkah kita teringin untuk membalas jasa
mereka walaupun sebenarnya kita tidak mampu?
Bagi saya, anak-anak perlu memberikan kasih sayang, menghormati dan
mentaati mereka. Kenapa wujudnya golongan yang menderhaka kepada ibu bapa? Jika difikirkan, ibu bapalah yang mencorakkan
kita umpama kain putih dengan pelbagai corak dan warna yang menarik. Jadi,
menapa kita harus menderhakai mereka?
Ibu bapa orang yang paling rapat dalam kehidupan kita dan memahami
kah gerak geri serta tingkah laku
kita. Sebagai contoh, apabila kita
pulang ke rumah selepas tamat persekolahan, sudah pastinya makanan telah
terhidang di atas meja sedangkan kita tidak memintanya. Jelaslah di sini, ibu bapa menjaga kita
seperti menatang minyak yang penuh bagi memastikan kita mendapat apa-apa yang
kita kehendaki. Oleh itu, setiap anak
seharusnya mempunyai impian untuk menjadi individu kebanggan keluarga.
Perkara pertama yang boleh
dilakukan oleh seorang anak adalah dengan mencari ilmu. Seperti yang kita ketahui, ibu bapa ingin
melihat anaknya berjaya dan tiada ibu bapa yang ingin melihat anaknya gagal
dalam kehidupan. Misalnya, ibu bapa
bertungkus lumus mencari pendapatan untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah
bahkan ada sesetengah ibu bapa yang bersengkang mata dan membanting tulang
empat kerat semata-mata melakukan beberapa pekerjaan dalam satu-satu masa untuk
memberikan pendidikan kepada anak-anaknya.
Oleh hal yang demikian, kita sebagai anak perlu membalas jasa mereka
dengan menimba ilmu. Ilmu amat berharga
persis mutiara yang bersinar. Justeru, mutiara itu hendaklah selalu digilap aga
ilmu tersebut lebih bernilai.
Hakikatnya, kita seharusnya bersungguh-sungguh menimba ilmu agar menjadi
insan yang berjaya pada masa hadapan.
Malahan, dengan kejayaan yang dimiliki dapat membanggakan keluarga
terutama ibu bapa yang banyak berkorban kepada anak-anak. Jadi, anak-anak yang telah berjaya janganlah
seperti kacang lupakan kulit kerana ibu bapalah yang bersungguh-sungguh dalam
memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna. Janganlah kita mengetepikan mereka selepas
kita berjaya, sebaliknya tunjukkanlah kejayaan kepada mereka dan bahagiakan
mereka. Sesungguhnya, melihat anak
mereka berjaya merupakan suatu detik terindah buat mereka. Oleh itulah, janganlah kita menunjukkan
tindak-tanduk yang boleh mematahkan hati dan harapan mereka. Misalnya, meninggikan suara, tidak
menghormati malah lebih teruk iaitu menghantar mereka ke rumah orang tua-tua. Jelaslah di sini, jika kita menimba ilmu,
kita tidak akan melakukan perkara yang melanggar norma-norma masyarakat.
Seterusnya, anak-anak perlu membalas jasa ibu bapa. Sebagai contohnya, anak-anak haruslah menjaga
ibu bapa sehingga ajal mereka sudah tiba.
Hal ini adalah satu cara untuk menjadi individu kebanggan keluarga. Anak-anak juga boleh memberikan sedikit wang
perbelanjaan kepada ibu bapa mereka sebagai tanda terima kasih kepada ibu bapa. Pada masa yang sama, hal ini akan dapat
menggembirakan dan menyenangkan hati ibu bapa.
Sesungguhnya, hidup ini ibarat roda jika kita tidak menghormati ibu bapa
kita, anak-anak kita juga tidak akan menghormati kita. Oleh itu, kita perlu mengerah keringat untuk membalas jasa
mereka. Dalam agama Islam juga menyuruh
umat-Nya menghormati ibu bapa dan suruhan itu jugalah yang merupakan tiket
untuk memasuki syurga. Di samping itu,
anak yang berjaya ialah anak yang menghormati kedua-dua orang tua mereka. Justeru, kita hendaklah memberikan sepenuh
kasih sayang kepada mereka agar mereka sentiasa mendoakan kesejahteraan kita
pula. Dari kecil, kita sudah diajar
cara beradab dengan ibu bapa tetapi mengapa
anak-anak pada zaman sekarang ini sering tidak menghormati ibu bapa dan
ahli keluarganya? Adakah kerana mereka
sudah berjaya selayaknya mereka sombong?
Ingatlah anak-anak, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Selain itu, kita seharusnya menyayangi kedua-dua ibu bapa. Anak yang menjadi kebanggaan keluarga ialah
anak yang mentaati ibu bapa dan melakukan syariat Islam. Menghormati ibu bapa adalah salah satu
syariat Islam yang amat dituntut. Jika
kita berpegang teguh pada prinsip ini, insya-Allah kita akan berjaya di dunia
dan di akhirat. Jadi, menyayangi mereka
adalah salah satu cara menghormati ibu bapa.
Contoh lain yang boleh diketengahkan ialah anak-anak perlu menjaga
mereka ketika sakit, menyediakan tempat tinggal dan sentiasa menziarahi
mereka. Hal ini akan membuatkan mereka
berasa disayangi dan akan meredai segala yang kita lakukan. Realitinya, doa paling baik dan mustajab
ialah doa daripada ibu bapa. Jadi, kita
seharusnya sentiasa memohon restu dan keredaan mereka sepanjang mengharungi
onak dan duri dalam meniti kehidupan.
Kita juga seharusnya mewujudkan keluarga sakinah supaya kehidupan kita
diberkati kelak. Ibu bapa tidak
mengharapkan anak-anak mengharapkan anak-anak mereka memperoleh keputusan
cemerlang malahan mereka amat berharap anak-anaknya menghormati mereka. Jelaslah bahawa setiap anak seharusnya
mempunyai impian untuk menjadi individu kebanggaan keluarga.
Kesimpulannya, banyak cara yang
boleh dilakukan oleh anak-anak dalam memastikan mereka menjadi individu
kebanggaan keluarga. Jadi, tiada sebab
untuk kita lari daripada peranan kita sebagai anak-anak. Ibu bapa yang telah mengorak langkah
membentuk keperibadiaan anak-anak sejak awal sudah pasti akan berasa bangga dan
bahagia kelak. Jadi, usahlah kita
menidakkan tanggungjawab kita sebagai anak adalah sangat besar. Justeru,
anak-anak perlulah menyusun strategi bagi memastikan mereka akan menjadi
kebanggaan keluarga suatu hari nanti.
Tuntasnya di sini, ibu bapa dan keluarga haruslah diberi perhatian
sewajarnya kerana merekalah insan yang paling rapat dan sentiasa ada di sisi
kita sama ada susah mahupun senang.
Jelaslah, kita seharusnya sentiasa ingat dan menjalankan obligasi
sebagai anak yang dapat menjadi kebanggaan keluarga kelak. Terserlah bahawa jika kita berjaya,
sebenarnya kejayaan itu datangnya daripada hasil didikan ibu bapa kita sejak
usia kita setahun jagung lagi. Jikalau
tiada ibu bapa kita yang melentur buluh dari rebungnya, tidaklah seseorang anak
itu berjaya sehingga sekarang.
[904 patah kata]
SOALAN 2
Sekolah
turut berperanan dalam pemupukan amalan mencintai alam sekitar dalam diri
murid-murid.
Huraikan
peranan sekolah dalam pemupukan amalan tersebut dalam diri murid-murid.
Sedasawarsa ini, dek terlalu
dilingkari dengan kemajuan sains dan teknologi, negara ini acap kali tersentak
dengan isu masyarakat yang semakin luntur kecintaannya terhadap alam sekitar
yang seharusnya dipupuk sejak kecil lagi.
Isu ini bukan sahaja menular di media massa seperti akhbar, televisyen
dan Internet malahan, isu ini sering meniti dari bibir ke bibir seluruh
masyarakat di negara ini termasuklah di warung-warung kopi mahupun di
dewan-dewan parlimen. Persoalannya,
apakah yang dimaksudkan dengan nilai kecintaan terhadap alam sekitar? Mengapakah nilai ini sewajarnya dipupuk sejak
usia masih kecil lagi? Nilai kecintaan
terhadap alam sekitar ialah sikap cinta
terhadap alam sekitar sehingga melahirkan usaha untuk sentiasa memelihara dan
memulihara keindahan alam sekitar.
Nilai ini sangat wajar untuk dipupuk kerana nilai ini sangat penting
dalam melestarikan keindahan alam di negara kita demi kebaikan bersama. Apabila nilai ini mulai disemai sejak kecil
lagi, isu pencemaran alam sekitar yang semakin meruncing malah membimbangkan
masyarakat dapat ditangani dengan drastik dan dapat dikurangkan. Apalah gunanya jika negara makmur dengan
teknologi canggih tetapi muflis nilai kecintaan terhadap alam sekitar. Siapakah golongan sasaran yang perlu memikul
obligasi berat dalam melaksanakan uslub kudsi ini? Sudah tentulah murid-murid yang masih berada
di alma mater menjadi sasaran masyarakat bagi menjaga dan melestarikan alam sekitar
ini. Hal ini adalah kerana peribahasa
Melayu yang berbunyi melentur buluh biarlah dari rebung seharusnya
diaplikasikan demi kebaikan bersama.
Oleh itu, peranan pelbagai pihak di sekolah dalam memupuk amalan
mencintai alam sekitar dalam diri murid-murid akan mewarnai fokus perbincangan
ini demi kemaslahatan bersama.
Antara peranan pihak sekolah
adalah dengan menganjurkan program ataupun ‘Kempen Mencintai Alam Sekitar’
setiap tahun dan menyuburkan sikap cinta terhadap alam sekitar. Dengan ini, murid-murid akan semakin tinggi
pengetahuan mereka tentang kebaikan dan kepentingan menjaga keindahan alam
sekitar. Sebagai contohnya, pihak
sekolah boleh melaksanakan pelbagai aktiviti yang lebih menarik supaya dapat menggamit
minat murid-murid untuk menyertai aktiviti ataupun kempen yang dijalankan. Seperti Kuiz Alam Sekitar yang boleh
dianjurkan oleh Kelab Pencinta Alam Sekitar di setiap sekolah. Kembara Alam Sekitar juga boleh dilaksanakan
dengan melibatkan guru-guru dan murid-murid supaya dapat memberikan pendedahan
yang dapat membuka minda murid tentang peri pentingnya alam sekitar pada masa
ini. Dalam aktiviti tersebut, guru-guru
seharusnya membimbing murid-murid untuk lebih mengetahui spesies dan kehidupan
alam sekitar supaya mereka dapat mengetahui pelbagai prakarsa untuk
melestarikan keindahan alam sekitar.
Secara tidak langsung, generasi akan datang juga dapat menikmati
keindahan alam sekitar yang sentiasa terjaga ini. Dengan pendekatan ini, nilai-nilai negatif
dalam diri murid dapat dilunturkan supaya tidak menjadi bebaun kepada negara
pada masa akan datang. Apakah
nilai-nilai negatif yang dimaksudkan itu?
Nilai tersebut adalah seperti nilai mementingkan diri yang hanya
mengutamakan ganjaran material tetapi tidak terhadap nilai kemanusiaan sehingga
sanggup beraja di hati, bersultan di mata demi selaut ganjaran yang
dijanjikan. Oleh itu, guru-guru
seharusnya bersikap prihatin dan sentiasa berusaha menggembleng tenaga untuk
melaksanakan kempen dan aktiviti tersebut supaya dapat menyemaikan amalan
mencintai alam sekitar dalam diri murid-murid.
Selain itu, guru-guru juga
sewajarnya menjalankan pelbagai uslub seperti mengadakan Sudut Info Alam
Sekitar supaya dapat memberikan dan menambahkan pengetahuan murid-murid tentang
alam sekitar yang semakin ditelan kerakusan manusia dek pembangunan sehingga
mengorbankan keindahan dan kesucian alam sekitar. Contoh yang boleh diketengahkan adalah dengan
mengadakan pameran tentang informati dasi alam sekitar di papan kenyataan
sekolah sama ada di kantin, di lobi
mahupun di dinding-dinding sekolah yang memaparkan ilustrasi yang menarik
supaya dapat memikat minat murid untuk membaca, menghayati dan mengaplikasikan
sikap mencintai alam sekitar dalam kehidupan seharian mereka sehinggalah ke
usia tua nanti. Hal ini adalah kerana
apabila murid-murid sering dikelilingi dengan pelbagai informasi yang
bermanfaat, maka akan lahirlah individu yang berpengetahuan luas, berimformasi
yang sering menjadi visi dan misi setiap sekolah. Oleh itu, dengan golongan sasaran inilah yang
akan menjadi cerucuk utama dan pencetus kemajuan negara dalam pelbagai aspek
termasuklah maju pemikirannya sehingga mampu untuk memikirkan akibat dan
padahnya jika hanya mengikut hati dalam setiap tindakan. Dengan ini, tangan dan kaki mereka tidak akan
teradaya untuk memusnahkan alam sekitar yang penting untuk dilestari supaya mereka tidak tergolong dalam kalangan yang rakus memuaskan hati mereka
semata-mata mengaut segunung keuntungan.
Jadi, guru-guru seharusnya tidak mengamalkan sikap bagai enau dalam
belukar melepaskan pucuk masing-masing ataupun melepaskan batuk di tangga dalam memupuk nilai kecintaan
murid terhadap alam sekitar.
Pena ini akan terus
membicarakanbaik di hadapan murid-murid malahan guru-guru juga seharusnya
menjadi suri teladan yang perlu dicontohi oleh setiap murid dalam pelbagai
aspek. Oleh itu, guru-guru adalah antara golongan yang sering
bersama dengan murid selain ibu bapa mereka.
Justeru, guru-guru mahupun semua pihak di sekolah juga seharusnya
menunjukkan sikap yang baik seperti membuang sampah di tempat yang sepatutnya
dan bersama-sama membersihkan halaman sekolah mahupun kelas supaya mereka dapat
bekerjasama sekali gus mengeratkan silaturahim sesama mereka. Tiada gunanya guru-guru sekadar menasihati
tetapi tidak berusaha mendekati murid-murid untuk melakukan setiap pekerjaan
yang digalakkan itu. Jika guru-guru
mengamalkan sikap sedemikian, mereka akan berasa malas dan alpa dengan hanya
bersembang dan berbual-bual kosong semasa menjayakan aktiviti membersihkan
sesuatu kawasan tersebut. Melalui
pemantauan guru-guru, murid-murid akan lebih fokus dan bekerjasama menjayakan
setiap aktiviti yang dirancang. Izharlah
bawaha pihak sekolah seharusnya berusaha bersama-sama murid-murid bagi setiap aktiviti yang dijalankan supaya akan
terpaparlah nilai kecintaan terhadap alam sekitar dalam diri murid-murid.
Sebagai kesimpulannya, semua
pihak terutamanya pihak guru-guru di alma mater seharusnya bersatu untuk
memupuk amalan men-murid cintai alam sekitar dalam diri murid supaya golongan
ini dapat menjadi pembangun kepada keindahanan alam sekitar di negara
kita. Jika tidak dipecahkan ruyung manakan
dapat sagunya. Oleh itu, pihak sekolah
seharusnya berusaha untuk menganjurkan dan melaksanakan uslub-uslub tersebut
supaya amalan mencintai alam sekitar dapat disuburkan dalam diri murid-murid
sejak di bangku sekolah lagi. Mereka
seharusnya didedahkan dengan pelbagai informasi dan maklumat supaya mereka
tidak seperti di bawah tempurung kerana sekiranya kita maju dalam pelbagai
bidang dan cabang di peringkat antarabangsa tetapi tidak ada nilai mencintai
alam sekitar, tiada gunanya. Oleh itu,
murid-murid juga perlu sedar bahawa alam sekitar sangat penting kepada
negara. Persis kata-kata Allahyarham
Profesor Hamka, “kecantikan bukanlah pada wajah semata-mata tetapi pada
akhlaknya.” Jadi, kita perlulah
melestarikan dan mencintai alam sekitar demi kebaikan sejagat.
[984 patah kata]
SOALAN 3
Sebagai
negara yang subur dan kaya dengan pelbagai sumber, Malaysia seharusnya menuju
ke arah negara yang membekalkan makanan yang cukup kepada rakyatnya di samping
mengurangkan kebergantungan kepada makanan yang diimport.
Jelaskan
langkah-langkah yang perlu diambil untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang
menghasilkan makanan yang cukup untuk rakyatnya.
Pada era langit terbuka
ini, kita sering diuar-uarkan dengan
hasil pertanian Negara yang tidak mencukupi untuk membekalkan makanan kepada rakyat
sehingga terpaksa diimport dari negara luar.
Sebagai contoh, beras diimport
dari negara Thailand walaupun Malaysia mempunyai tanah yang subur untuk menanam
padi. Antara tanah yang subur untuk
menanam padi di Malaysia adalah di Kedah, di Kelantan dan di Sabah. Hal ini dikatakan demikian kerana kurangnya
kesedaran rakyat dan pihak berwajib berkaitan makann di Malaysia. Jika Malaysia berselisihan faham dengan
negara-negara mengimport barang ke Malaysia maka negara kita akan terputus
sumber makanan. Oleh itu, jelaslah bahawa Malaysia sebagai
negara yang kaya dengan pelbagai sumber seharusnya mampu membekalkan makanan
yang cukup kepada rakyatnya di samping mengurangkan kebergantungan terhadap
makanan yang diimport. Dengan hal yang
demikian, pelbagai langkah yang perlu diambil untuk menjadikan Malaysia sebuah
negara yang menghasilkan makanan yang cukup untuk rakyatnya.
Langkah yang perlu diambil oleh
pihak berwajib adalah dengan menggalakkan pembukaan tanah-tanah pertanian yang
baharu. Hal ini dikatakan demikian
kerana dengan pembukaan tanah-tanah pertanian yang baharu ini, semakin banyak
sumber makanan yang dapat ditanam dan diusahakan oleh petani khususnya petani
yang berkemahiran ataupun graduan-graduan mengganggur yang tidak mampu untuk
membeli tanah untuk bertani. Pembukaan
tanah-tanah pertanian yang baharu ini boleh diletakkan di bawah rancangan FELDA
atau FELCRA. Kesannya, petani yang berkemahiran ataupun mahasiswa mengganggur
ini dapat memanfaatkan tanah pertanian tersebut sebaik-baik mungkin di samping
dapat menghasilkan produk pertanian yang berkualiti tinggi. Hasil pertanian ini dapat dibekalkan kepada
rakyat sebagai sumber makanan secara berterusan. Dengan ini, kebergantungan Malaysia terhadap
makanan yang diimport dari negara luar dapat dikurangkan. Jelaslah bahawa dengan membuka tanah-tanah
pertanian yang baharu dapat menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar
makanan yang cukup kepada rakyatnya.
Selain itu, kerajaan juga boleh memberikan galakan kepada
rakyat dengan mengadakan kempen dan menyediakan modal dari segi kewangan kepada
rakyat. Kerajaan boleh mengadakan
pameran pertanian di tempat-tempat yang berpotensi untuk membuka tanah
pertanian seperti di Kedah, di Sarawak dan di Terengganu. Pameran yang diadakan ini dapat memberikan
pengetahuan kepada rakyat berkaitan pertanian di samping dapat menarik minat
rakyat untuk bertani. Dari segi
penyediaan modal, kerajaan boleh menyediakan peruntukan kewangan kepada petani
atau rakyat yang berminat untuk bertani dan mempunyai tanah pertanian untuk
membeli anak pokok, biji benih dan baja.
Dengan ilmu yang diperoleh daripada pameran pertanian dan modal yang
disediakan, sudah tentu rakyat berminat untuk bertani sekali gus dapat
menghasilkan sumber makanan yang baik kepada Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan ilmu
pengetahuan berkaitan pertanian, petani-petani dapat menghasilkan produk
pertanian yang berkuali tinggi dan dapat dijadikan sumber makanan negara. Namun, ilmu pengetahuan sahaja tidak
mencukupi untuk menjadikan seseorang itu petani. Sumber kewangan dan modal juga penting untuk
menjadi petani. Sebagai contoh, jika
seseorang itu berpengetahuan tinggi dalam bidang pertanian tetapi tidak
mempunyai sebarang modal untuk memulakan pertanian tidak berguna, begitu juga
sebaliknya. Jika seseorang itu mempunyai
modal yang banyak tetapi tidak berilmu
dalam bidang pertanian juga tidak berguna. Oleh itu, jelaslah bahawa dengan mengadakan
kempen dan menyediakan modal dapat menjadikan Malaysia sebagai negara yang
mampu menyediakan makanan yang cukup kepada rakyatnya.
Di samping itu, rakyat juga
haruslah prihatin dengan menyahut segala kempen yang diadakan oleh pihak
kerajaan agar hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai negera yang mampu
menyediakan makanan yang cukup kepada rakyatnya. Hal ini dikatakan demikian kerana usaha
rakyat dan kerajaan haruslah bergerak seiring agar hasrat tersebut dapat
dicapai. Rakyat yang prihatin akan
menghadirkan diri ke pameran-pameran pertanian yang berdekatan dengan tempat
tinggal mereka untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan pertanian. Rakyat juga boleh membaca risalah pertanian
yang diedarkan untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat berkaitan
pertanian. Rakyat juga boleh memohon
untuk membuka tanah pertanian yang baharu di samping boleh memohon pinjaman
modal untuk membeli anak-anak pokok, baja dan jentera pembajak. Kesannya, rakyat dapat memanfaatkan kemudahan
yang diberikan oleh pihak kerajaan dalam bidang pertanian sebaik-baik mungkin dan
dapat menghasilkan sumber makanan yang berkualiti tinggi untuk mencapai hasrat
menjadikan negara yang mampu menyediakan makanan yang cukup kepada
rakyatnya. Persefahaman dan
permuafakatan yang terjalin antara pihak kerajaan dengan rakyat membawa pelbagai
kebaikan kepada Negara bak kata pujangga muafakat membawa berkat. Oleh itu, jelaskah bahawa jika rakyat
menyahut segala kempen yang diadakan oleh kerajaan maka Malaysia dapat menjadi
negara yang menghasilkan makanan yang cukup kepada rakyatnya.
Kesimpulannya, dalam usaha untuk
menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mampu menghasilkan makanan yang
cukup kepada rakyatnya, pihak kerajaan dan rakyat haruslah bekerjasama
mengambil langkah yang bersesuaian dan pragmatik agar dapat menjadikan Malaysia
sebagai sebuah negara yang mampu menyediakan makanan yang cukup untuk
rakyatnya. Pertanian merupakan sumber
makanan utama negara di samping mengimport makan dari negara luar. Hal ini akan dapat menjimatkan perbelanjaan
ke luar Negara dalam sektor pertanian.
[756 patah kata]
SOALAN 4
Anda
ingin menulis sebuah rencana dalam akhbar tempatan. Tajuk rencana anda ialah ‘Kebaikan-kebaikan
Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi kepada Masyarakat Antarabangsa’.
Tulis
rencana itu selengkapnya.
Kebaikan-kebaikan Penggunaan Teknologi Maklumat
dan Komunikasi (TMK)
Oleh Nur Sakeena binti Azhar
Pada era globalisasi ini,
teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) digunakan oleh masyarakat serata
dunia. Teknologi ini digunakan oleh
pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira umur dan bangsa. Tambahan pula, dengan kecanggihan peranti
elektronik yang membolehkan mereka mengakses teknologi ini dengan mudah dan
pantas di mana-mana sahaja mereka berada.
Dengan kemudahan yang ada, tidak hairanlan pengguna teknologi maklumat
dan komunikasi semakin meningkat dari masa ke masa. Persoalannya, apakah kebaikan-kebaikan
teknologi maklumat dan komunikasi kepada masyarakat antarabangsa sehinggakan
penggunanya semakin meningkat?
Antara kebaikan teknologi ini
ialah kita dapat berhubung antara satu sama lain dengan pantas. Media-media sosial seperti ‘Facebook’,
‘Twitter’, ‘Kik’ dan ‘Instagram’ membolehkan kita mengikuti perkembangan
rakan-rakan kita terutamanya yang bermastautin di luar Negara. Dengan kemudahan ini, kita dapat bersembang
dengan mereka di atas talian untuk bertanyakan khabar. Lebih-lebih lagi, kita juga boleh membuat
panggilan video dengan mereka yang sudah semestinya lebih efisien untuk
melepaskan rindu. Disebabkan kewujudan
teknologi ini, kita tidak perlu lagi mengutus surat semata-mata untuk berhubung
dengan orang yang jauh di mata seperti keadaan pada zaman dahulu kala. Pengeposan surat mengambil masa berhari-hari
ataupun berbulan-bulan berbeza dengan bersembang di laman media sosial yang
dapat dilakukan sekelip mata sahaja asalkan ada akses Internet. Kita tidak perlu lagi membazirkan duit untuk
membeli setem ataupun membeli kad prabayar terutamanya pelajar-pelajar yang
bergantung pada wang saku yang diberikan oleh ibu bapa. Duit lebihan wang saku boleh disimpan ke
dalam tabung untuk sediakan payung sebelum hujan kerana kita tidak tahu kesempitan
wang yang akan kita hadapi kelak.
Lebih-lebih lagi, kita hidup pada zaman atom iaitu kos sara hidup
semakin melambung tinggi. Jadi, menabung
untuk masa depan adalah salah satu langkah yang bijak perlu dilakukan oleh
semua lapisan masyarakat.
Tambahan pula, kita juga dapat
belajar bahasa asing dengan teknologi terkini ini. Kemudahan Internet membolehkan kita belajar
bahasa-bahasa asing yang digunakan secara meluas di seluruh dunia seperti bahasa
Korea, Bahasa Jepun mahupun Bahasa Sepanyol.
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa banyak kelebihan yang kita akan dapat
apabila kita dapat bertutur dalam bahasa asing.
Sebagai contohnya, pengembara atau pelancong dari jepun lebih berpotensi
untuk mendapatkan harga yang murah apabila berada di Mexico kerana berkebolehan
bertutur dalam Bahasa ibunda negara Mexico yang mengagumkan penduduk di
sana. Selain itu, kemudahan komunikasi
juga mengelakkan pelancong sesat jalan kerana kebolehan untuk bertanyakan penduduk
tempatan arah jalan. Tambahan lagi,
peluang juga akan terbuka luas apabila kita dapat bertutur dalam bahasa asing
seperti bahasa Mandarin. Majikan lebih
cenderung akan mengambil orang yang dapat berbahasa Mandarin untuk dihantar ke
China untuk berbincang tentang perniagaan.
Kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi memberikan peluang kepada
kita untuk belajar bahasa asing tanpa perlu menghadiri kelas bahasa asing
secara formal yang pasti memerlukan kos yang mahal.
Seterusnya, kita dapat mengetahui
perkembangan semasa di seluruh dunia.
Apabila kita mengikuti perkembangan semasa di seluruh dunia, kita tidak
akan menjadi seperti katak di bawah tempurung.
Pada masa ini, dunia dihangatkan dengan isu penindasan etnik minority
Rohingnya di Myanmar. Perilaku penduduk
Myammar yang menyalahi hak asasi manusia terhadap etnik Rohingnya sangat
menyayat hati. Hal ini menyebabkan etnik
Rohingnya bertungkus lumus untuk mendapatkan perlindungan. Walaupun ramai yang sudah Berjaya untuk ke
luar negara sebagai pelarian, masih ramai antara mereka yang terkandas di
Myanmar. Ada yang dirogol, ada yang
diseksa, ada juga yang dibunuh secara kejam.
Atas dasar kemanusiaan, pihak sukarelawan sedang berusaha untuk
mengumpulkan dana agar hak asasi manusia etnik Rohingnya dapat diperjuangkan.
Di samping itu, kita dapat
menjana pendapatan secara atas talian.
Kita tidak memerlukan kedai untuk menjalankan perniagaan. Sebaliknya, kita hanya perlu ada kemudahan
Internet. Barang-barang atau
produk-produk tempatan dapat dipasarkan di laman sesawang antarabangsa
‘Ebay’. Hal ini akan menguntungkan
penjual kerana barang dipasarkan berpotensi untuk laku seperti pisang goreng
panas kerana pengguna ‘Ebay’ mencecah jutaan pengguna. Tambahan pula, apabila barangan kita dibeli oleh
penduduk Eropah, kita akan mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda kerana
nilai mata wang mereka yang tinggi.
Jelaslah bahawa kita dapat menjalankan perniagaan dari rumah dengan
menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi.
Akhir sekali, kita dapat
menambahkan ilmu pengetahuan melalui teknologi maklumat dan komunikasi. Semua perkara dapat diketahui menerusi
kemudahan Internet. Penggemar Sejarah
dunia dapat mengetahui kisah Gengkhis Khan yang merupakan seorang pemeringah
yang berpengaruah pada suatu ketika dahulu iaitu semasa Dinasti Chang. Pengetahuan sejarah ini sangatlah unik kerana
Gengkhis Khan sangat mahir dalam menyusun strategi kerana keturunannya dapat
menakluki dunia pda jangka masa yang panjang.
Mengikut kajian yang dilakukan oleh tiga orang daripada 10 orang lelaki
di Asia Tengah merupakan keturunan Gengkhis Khan. Rupa paras keturunan pemerintah berpengaruh
ini sangat unitk kerana mempunyai paras rupa mirip orang berbangsa Cina. Keturusan Gengkhis Khan mempunyai darah
campuran bangsa Mongolia, Arab dan Kaukasia.
Rupa paras mereka sangat menarik kerana mereka berkulit putih, mata
bercelak, hidung mancung dan tinggi.
Konklusinya, teknologi maklumat
dan komunikasi banyak memberikan kebaikan kepada masyarakat antarabangsa. Sebagai rakyat Malaysia, kita wajarlah
memanfaatkan teknologi ini supaya duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
sejajar dengan negara maju yang lain di peringkat antarabangsa.
[796 patah kata]
CONTOH KARANGAN CEMERLANG (3 isi)
BAHAGIAN B
Soalan SPM 2015
Aktiviti
rekreasi seperti aktiviti melancong, berkelah dan bersenam membawa pelbagai
manfaat kepada masyarakat.
Ulas pernyataan
tersebut.
Arus globalisasi yang menerjah dan
melanda negara kita telah menyaksikan pelbagai amalan yang sering dilakukan
pada zaman dahulu semakin dilupakan.
Manusia pada zaman mencabar ini lebih banyak menghabiskan masa dengan
bekerja dan sibuk mengejar arus pemodenan yang bersifat materialistik. Ada kalanya, sikap mereka membawa padah
kepada diri sendiri. Hari demi hari,
sikap manusia berubah seiring dengan peredaran zaman. Antara amalan yang semakin dilupakan pada
masa ini ialah amalan melibatkan diri dalam aktiviti rekreasi. Secara analoginya, aktiviti rekreasi boleh
ditakrifkan sebagai apa-apa aktiviti yang dilakukan di luar rumah untuk mengisi
masa lapang. Antara aktiviti rekreasi
yang popular adalah dengan melancong, berkelah dan bersenam. Secara izharnya, ramai orang sama ada
golongan tua mahupun golongan muda tidak
melakukan aktiviti sebegini lagi. Adakah
mereka berasakan bahawa aktiviti rekreasi ini tidak membawa faedah dan hanya
membuang masa? Sesungguhnya, masih ramai
yang tidak tahu akan manfaat aktiviti rekreasi kepada masyarakat. Sekiranya manfaatnya kita tahu sehingga ke
akar umbi, maka sudah pasti aktiviti rekreasi ini tidak akan dilupakan.
Umum mengetahui bahawa antara manfaat
melakukan aktiviti rekreasi ialah aktiviti ini dapat
merapatkan hubungan dalam kalangan masyarakat. Sejak dahulu lagi, perpaduan bangsa amat
dititikberatkan untuk membentuk sebuah negara yang aman dan harmoni. Dalam konteks ini, semua rakyat sudah tahu
dan maklum akan kepayahan pemimpin negara untuk membentuk perpaduan dalam
kalangan rakyat yang berbilang bangsa di negara kita. Oleh itu, kita perlu mengekalkan perpaduan
yang ada pada zaman sekarang. Melalui
aktiviti rekreasi, hubungan dapat dieratkan kerana masyarakat dapat
berinteraksi dan saling mengenali antara satu sama lain. Aktiviti seperti melancong dan berkelah boleh
dilakukan bersama-sama tanpa mengira bangsa dan keturunan. Melalui aktiviti ini, masyarakat akan dapat mengenal hati budi
masing-masing. Hal ini dapat menjadikan
perasaan sangsi dan persepsi buruk terhadap orang lain dilenyapkan dalam diri
individu. Aktiviti rekreasi juga merupakan medium untuk masyarakat
berbual-bual dan bertanya khabar tentang perkembangan diri masing-masing. Sebagai akibatnya, masyarakat akan dapat
mengeratkan hubungan dan meluangkan masa bersama tanpa ada batasan dari aspek
warna kulit mahupan agama yang dianuti.
Malahan, hubungan yang akrab bagai dakwat dan kertas juga dapat
diwujudkan.
Memang tidak dapat dinafikan bahwa
aktiviti rekreasi juga dapat membantu masyarakat untuk
melepaskan tekanan. Pada zaman
pascamerdeka ini, kebanyakan individu mempunyai pekerjaan yang menuntut mereka
untuk bekerja siang dan malam. Pada masa
yang sama, kerja yang perlu disiapkan juga banyak dan menyebabkan tekanan
kepada setiap individu. Dalam hal ini,
aktiviti rekreasi dapat membantu masyarakat melepaskan tekanan kerana aktiviti
ini boleh menyebabkan masyarakat melupakan masalah buat sementara waktu dan
bergembira. Sehubungan dengan itu,
aktiviti seperti melancong dan bersenam boleh dilakukan pada hari cuti
bersama-sama keluarga atau rakan.
Kebanyakan orang hanya memikirkan masalah yang dihadapi sehingga
memberikan kesan kepada kesihatan mental dan fizikal mereka. Melalui aktiviti rekreasi, masyarakat dapat
merasai keseronokan meluangkan masa bersama dengan orang tersayang. Implikasinya, masyarakat yang sihat dari segi
mental dan fizikal dapat dilahirkan dan masyarakat seperti ini juga dapat
membantu negara mencapai status negara maju.
Lontaran idea terakhir, aktiviti rekreasi
sememangnya dapat melahirkan masyarakat yang cerdas dan
cergas. Pada zaman perkembangan
teknologi IT ini, kebanyakan daripada masyarakat lebih gemar menghabiskan masa
melayari Internet daripada duduk di dalam rumah. Mereka jarang melakukan aktiviti-aktiviti luar untuk mengisi masa lapang. Sekiranya masa mereka banyak dihabiskan
dengan gajet-gajet sahaja, minda mereka sudah tentu tidak akan berkembang dan
membawa kemudaratan kepada tubuh badan mereka.
Melalui aktiviti rekreasi seperti bersenam, masyarakat dapat mengekalkan
kesihatan tubuh badan di samping mengisi masa lapang. Situasi ini dapat disamakan dengan peribahasa
sambil menyelam minum air. Masyarakat
boleh melakukan senaman seperti joging untuk mengeluarkan peluh. Sekiranya aktiviti rekreasi seperti ini
kembali menjadi amalan, maka slogan badan cergas dan minda cerdas dapat
dihidupkan semula. Demi mewujudkan
masyarakat yang cergas dan cerdas, setiap individu perlu meluangkan masa untuk
melakukan aktiviti rekreasi tanpa alasan kerana di mana ada kemahuan, di situ
ada jalan.
Sudah terang lagikan bersuluh, jelaslah
bahawa aktiviti rekreasi membawa banyak faedah kepada masyarakat. Setiap lapisan masyarakat perlu meluangkan
masa untuk melakukan aktiviti rekreasi walaupun sibuk dengan urusan
harian. Sekiranya aktiviti rekreasi ini kembali menjadi amalan, maka
faedahnya akan dapat dinikmati oleh masyarakat dan juga negara. Negara bukan sahaja dapat melahirkan
masyarakat yang sihat mentalnya, bahkan fizikalnya juga. Negara juga akan dapat membentuk masyarakat
yang harmoni dan keamanan yang selama ini dikecapi oleh negara akan dapat
dikekalkan. Sesungguhnya, rakyat
merupakan tunjang utama kepada pembangunan negara. Dalam usaha memajukan negara, rakyat juga
tidak harus lupa akan diri sendiri. Oleh
itu, aktiviti rekreasi ini perlu dijadikan amalan dalam kalangan masyarakat
Malaysia.
[723 patah kata]
CONTOH
KARANGAN A+ [SPM 2010]
Seorang
ibu dapat menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum
tentu dapat menjaga seorang ibu.
|
Situasi seperti di atas seharusnya tidak
berlaku dalam sesebuah masyarakat.
Jelaskan tanggungjawab yang sepatutnya
dilaksanakan oleh anak-anak terhadap ibu bapa.
Pada era pascaglobalisasi ini,
isu keruntuhan institusi keluarga semakin hangat menjadi bicara semua rakyat
Malaysia tidak kira tua mahupun muda. Walaupun berbagai-bagai prakarsa telah
dimainkan oleh para ibu bapa untuk mengekalkan keharmonian keluarga, namun hal
ini seolah-olah tiada nokhtah pengakhiran. Adakah peranan yang dimainkan oleh
Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak cukup bersepadu untuk membawa
paradigma baru ke dalam institusi kekeluargaan? Adakah peranan yang digerakkan
oleh institusi keluarga dalam memacu keluarga mereka di bawah payung
keharmonian gagal. Hal ini mungkin berpunca daripada prakarsa yang dimainkan
oleh anak-anak yang tidak cukup mapan untuk membantu menyelesaikan masalah yang
menunjangi keluarga mereka. Oleh itu, sudah menjadi amanah yang perlu dipikul
anak-anak dalam merangka uslub terbaik untuk sama-sama memikul amanah kerana
berat sama dipikul, ringan sama dijinjing supaya usaha membentuk keluarga yang
cemerlang dalam segenap aspek kehidupan berjaya. Jadi, hendak seribu daya tak
hendak seribu dalih dan oleh itu prakarsa ini hendaklah dimulakan dari sekarang
kerana kita perlu menyediakan payung sebelum hujan. Jadi, anak-anak hendaklah
menggerakkan kembali jentera yang lebih bersepadu bagi membahagiakan ibu bapa
dan sekali gus membentuk keluarga yang bahagia.
Sebenarnya, banyak prakarsa
yang boleh dimainkan oleh anak-anak untuk membahagiakan ibu bapa mereka
antaranya adalah dengan memberikan kejayaan dan kecemerlangan kepada mereka.
Tidakkah semua orang melihat, saban tahun apabila keputusan Sijil Pelajaran
Malaysia diumumkan pasti ada yang berduka dan bergembira. Tetapi tidakkah
mereka menyedari bahawa seorang insan yang bergelar ibu bapa pasti akan
mengalirkan air mata kegembiraan apabila melihat keputusan cemerlang yang
diraih oleh anak-anak mereka? Sudah pastinya terselit seribu kepuasan dalam
diri ibu bapa kerana keperitan dan penderitaan mendidik dan membesarkan
anak-anak telah terbalas dengan kejayaan anak-anak mereka. Oleh itu, anak-anak
hendaklah belajar bersungguh-sungguh dan membesar mengikut acuan yang telah
dibentuk oleh ibu bapa mereka. Orang tua-tua ada menyatakan bahawa usaha tangga
kejayaan, jadi usaha yang gigih tanpa mengenal erti putus asa akan membuahkan
kejayaan yang manis untuk dikecapi. Kegigihan anak-anak semata-mata untuk
mencapai kejayaan bagi dihadiahkan kepada ibu bapa mereka akan dapat
direalisasikan sekiranya mereka berjaya menangkis segala ancaman yang masuk ke
tingkap globalisasi kehidupan mereka. Tuntasnya, sudah jelaslah bahawa kejayaan
dan kecemerlangan dalam pelajaran merupakan salah satu tunjang utama untuk
membahagiakan ibu bapa.
Sedasawarsa ini, anak-anak
yang mempunyai akhlak dan budi pekerti mulia juga merupakan salah satu elemen
utama dalam memberikan kebahagiaan kepada orang tua mereka. Pemuda harapan
bangsa, pemudi tiang negara merupakan kata-kata hikmat yang acap kali ditujukan
khas kepada generasi muda tetapi tidak melampaukah jika semua orang mengatakan
bahawa anak-anak merupakan tonggak utama keluarga, jantung hati, permata
bernilai buat ibu bapa? Bagi segelintir pihak, anggapan ini dipandang sinis
tetapi itulah realiti sebenar bahawa anak merupakan tunjang utama keluarga
dalam memacu ke arah kebahagiaan keluarga. Selama bertahun-tahun anak-anak
dididik dengan kebanyakan ibu bapa yang mengamalkan konsep melentur buluh
biarlah dari rebungnya dan hasilnya, anak-anak telah berjaya menjadi insan yang
berguna dan mampu menangkis segala hedonisme serta panji-panji kejahatan yang
berleluasa kini. Jadi, hati ibu mana yang tidak sejuk melihat anak yang
dipelihara mereka mempunyai keperibadian yang unggul. Oleh itu, anak-anak seharusnya
berusaha menjaga akhlak dan budi pekerti mereka walaupun di mana-mana mereka
berada kerana imej dan maruah keluarga bersandarkan tingkah laku mereka malah
itulah juga yang menjadi kunci kebahagiaan buat ibu bapa mereka.
Sementelahan pula, ibu bapa
juga akan bahagia jika anak-anak mereka menghormati mereka. Dalam menyoroti hal
ini, aspek jasmani, emosi, intelektual dan sosial yang termaktub dalam Falsafah
Pendidikan negara sebenarnya mampu menjadi platform utama untuk anak-anak
membahagiakan ibu bapa mereka. Bagi menyingkap hal ini, aspek jasmani yang
boleh dipraktikkan anak-anak adalah dengan menghormati orang tua mereka sama
ada dalam bentuk perbuatan mahupun perkataan. Sebagai contoh terdekat yang
sangat ketara dengan semua pihak ialah seorang anak hendaklah bersalaman dengan
ibu bapa mereka sebelum pergi ke mana-mana dan mereka hendaklah menundukkan
badan sedikit apabila berjalan di hadapan orang tua. Dalam aspek emosi pula,
anak-anak hendaklah menjaga perasaan ibu bapa mereka dan tidak melakukan
sesuatu perkara yang boleh menguris hati mereka. Dalam menghayati peribahasa
yang berbunyi kerana mulut santan binasa dan sudah terhantuk baru nak tengadah,
anak-anak hendaklah sentiasa menjaga segala tutur bicara mereka supaya
perkataan yang diucapkan tidak menyinggung perasaan ibu bapa mereka. Dalam
memperincikan aspek intelektual pula, anak-anak hendaklah mendengar nasihat
yang diberikan ibu bapa bagi membolehkan mereka memperoleh keberkatan ketika
mereka belajar. Hal ini sekali gus membolehkan segala ilmu yang dipelajari
mampu diserap dengan mudah tidak seperti masuk telinga kiri, keluar telinga
kanan. Eksplisitnya, memang benarlah bahawa sifat hormat seseorang anak
terhadap kedua-dua orang tua mereka mampu membahagiakan mereka.
Yang berat sama dipikul, yang
ringan sama dijinjing merupakan peribahasa yang sering berlegar-legar dan
bermain-main di segenap kehidupan harian rakyat Malaysia. Jadi, dalam
mempraktikkan hal ini, anak-anak hendaklah mengaplikasikan sikap ringan tulang
dengan membantu ibu bapa menguruskan kerja-kerja rumah. Perkara ini bukan
sahaja memudahkan urusan ibu bapa mereka malah dapat mengeratkan hubungan
ukhwah kekeluargaan yang tersimpul rapi. Dalam menyingkap hal ini, konsep
muafakat membawa berkat boleh diamalkan oleh ibu bapa dan anak-anak dengan
saling membantu mengemaskan rumah. Bertitik tolak daripada aktiviti melakukan
kerja-kerja rumah, rumah bukan sahaja cantik malah dapat menghindari diri
daripada segala wabak penyakit akibat tidak mengutamakan kebersihan
persekitaran. Lanjutan daripada hal ini, beban yang digalas oleh ibu bapa akan
menjadi ringan malah mampu melestarikan warna-warni kebahagiaan dan keharmonian
keluarga tersebut. Senario ini sekali gus mengurangkan jurang perpecahan
sesebuah institusi keluarga seperti statistik sahih yang dikeluarkan oleh
Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada tahun 2007 hingga 2008 yang
menunjukkan bahawa satu daripada sepuluh pasangan di Malaysia bercerai setiap
hari. Tuntasnya, memang benarlah bahawa peranan anak-anak dalam membantu meringankan
beban ibu bapa mereka menguruskan kerja-kerja rumah amat signifikan untuk
mewujudkan kebahagiaan buat mereka.
Selain itu, prakarsa lain yang
boleh dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa adalah dengan mendengar nasihat
mereka. Bagi menghuraikan perspektif ini, semua orang dapat menyaksikan bahawa
hampir saban hari ada sahaja kes-kes yang membabitkan ibu bapa dan anak-anak
menghiasi muka-muka depan akhbar di Malaysia sama ada kes pembuangan ibu bapa
atau pergaduhan antara anak dengan kedua-dua ibu bapa mereka. Cuba kita
renungkan kembali peristiwa yang berlaku pada 27 Oktober 2010 di akhbar Harian
Metro bertajuk, ‘Trajedi pilu 9 anak membuang ibu mereka yang sudah tua’.
Wajarkah 9 orang anak bertindak sedemikian rupa? Pastinya peristiwa dan tragedi
hitam ini tidak akan berlaku jika seorang anak tidak mengamalkan peribahasa
seperti kacang lupakan kulit dan mendengar nasihat. Anak-anak yang mendengar
nasihat sudah pasti akan menjaga kebajikan ibu bapa mereka terutama ketika umur
senja mereka. Janganlah anak-anak membiarkan nasihat ibu bapa mereka umpama
mencurah air ke daun keladi kerana segala nasihat itu tidak lebih untuk
kebahagiaan anak-anak itu juga. Deduksinya, memang izharlah bahawa jika
seseorang anak mendengar nasihat ibu bapa maka perkara inilah yang menjadi
kunci kebahagiaan kepada ibu bapa mereka.
Tambahan lagi, mendoakan
kesejahteraan ibu bapa juga adalah antara prakarsa yang boleh dilakukan untuk
membahagiakan ibu bapa. Dalam menghayati hal ini, boleh dilihat dari dua
perspektif yang berbeza. Perspektif pertama, mendoakan kesejahteraan ibu bapa
ketika mereka masih hidup dan yang keduanya, mendoakan kesejahteraan mereka
setelah mereka meninggal dunia. Oleh hal yang demikian, seseorang anak
hendaklah menjadikan doa sebagai budaya yang sinonim dengan diri mereka. Bagi
merealisasikan hal ini, kekerapan berdoa kepada ibu bapa hendaklah dilakukan
sebagai aktiviti rutin selepas solat kerana alah bisa tegal biasa. Tidak
mustahil rasanya langkah ini dipraktikkan dan diaplikasikan dalam kehidupan
seharian kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Jadi, anak-anak
hendaklah mendoakan kesejahteraan, keselamatan, kesihatan dan kemurahan rezeki
untuk pihak ibu bapa mereka. Hal ini bukan sahaja bakal memudahkan urusan ibu
bapa mereka di akhirat kelak malah akan membawa kebahagiaan di dunia lagi. Bagi
merungkai kehidupan selepas mati, ibu bapa pastinya berasa bahagia dan tenang
apabila berada di alam barzakh berkat doa seorang anak yang soleh. Konklusinya,
memang tidak dapat dinafikan bahawa doa merupakan senjata yag penting dan utama
untuk membahagiakan ibu bapa.
Secara kesimpulannya, memang
terdapat banyak peranan yang boleh dimainkan oleh anak-anak untuk membahagiakan
ibu bapa. Oleh itu, anak-anak hendaklah selalu berusaha membahagiakan ibu bapa
mereka secara istiqamah bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam mahupun bersikap
melepaskan batuk di tepi tangga. Hal ini juga mampu membawa kebahagiaan kepada
ibu bapa mereka malah menjadi kayu ukur falah anak-anak dalam meniti kehidupan
yang serba mencabar di alam fana ini. Seterusnya, anak-anak akan menjadi insan
yang cemerlang, gemilang dan terbilang bersama-sama berganding bahu, selangkah
sederap dengan pihak kerajaan dalam menjalankan tranformasi besar-besaran untuk
memastikan keluarga sakinah dapat dilahirkan. Perkara ini sekali gus mampu
membawa evolusi bermakna dalam institusi kekeluargaan dan seterusnya
merealisasikan aspirasi kerajaan dalam mencapai visi kudsi Wawasan 2020. Jadi,
kejayaan seseorang anak membahagiakan ibu bapa mereka sebenarnya mampu menjadi
khazanah berharga untuk memajukan nusa dan bangsa.
[1415 patah kata]
Bahagian B (Karangan MATANG) ~ SPM 2016
1. Remaja kini terdedah kepada
pelbagai cabaran hidup akibat pengaruh rakan sebaya, media massa dan budaya
Barat.
Huraikan
peranan ahli keluarga dalam membantu para remaja menghadapi cabaran-cabaran
tersebut.
Dalam mendepani arus modenisasi
tanpa limitasi ini, pelbagai cabaran hidup yang perlu diharungi oleh setiap
strata masyarakat. Golongan remaja pastinya difokuskan kerana mereka merupakan
golongan majoriti yang mendiami planet Bumi ini. ‘Pemuda harapan bangsa, pemudi
tiang negara’, begitulah slogan yang kini menjadi tunjang utama kepada kemajuan
peradaban negara. Hal ini jelas merujuk kepada golongan remaja kerana mereka
memainkan peranan yang amat besar dalam memastikan kejayaan Malaysia terus
memacu ke hadapan. Namun, apa yang menyayat hati adalah apabila golongan remaja
diperhatikan amat mudah tewas dengan cabaran dunia. Kebobrokan akhlak golongan
remaja yang kian jelas semakin memuncakkan kerisauan semua pihak. Oleh itu,
ahli keluarga perlulah sedar dan membuka mata bahawa terdapat satu
tanggungjawab yang besar di pundak mereka dalam membantu para remaja yang kian
terjerumus dalam lembah kegelapan.
Peranan pertama yang utama ialah
ahli keluarga perlulah memastikan para remaja berkawan dengan mereka yang
mantap akhlak dan sahsiahnya. Memetik kata-kata Saidina Ali bin Abi Talib,
“Manusia yang lemah imannya adalah mereka yang tidak mampu mencari sahabat, dan
yang lebih lemah dari itu ialah mereka yang mensia-siakan sahabat yang telah
dicari”. Kata-kata tokoh Islam yang masyhur ini jelas membuktikan bahawa
sahabat merupakan insan yang penting dalam mencerminkan diri kita yang sebenar.
Tamsilnya, ibu bapa berperanan untuk mengetahui maklumat yang terperinci
tentang rakan anak emas mereka. Tindakan pantas yang pragmatik ini amatlah
signifikan kerana para remaja majoritinya amat mudah terpengaruh dengan rakan
sebaya. Ibu bapa juga perlulah tahu setiap tindak-tanduk para remaja bersama
dengan rakan-rakan mereka di luar rumah. Oleh itu, mereka pastinya berasa takut
untuk melakukan perkara yang berunsurkan negatif dan menurut hawa nafsu
semata-mata bak kata peribahasa Melayu, beraja di hati, bersultan di mata. Hal ini jelas menunjukkan peranan ahli
keluarga terutamanya ibu bapa dalam mengawasi para remaja agar tidak mudah
terpengaruh dengan rakan sebaya.
Seperkara yang tidak kurang penting juga,
media massa kini semakin rancak berkembang dan maju ke hadapan. Media sosial
terutamanya merupakan medium canggih yang majoritinya digunakan oleh golongan
remaja. Hal ini kerana mereka telah pintar dan bijak dalam mengakses
aplikasi-aplikasi seperti ini. Sebagai tamsilan, remaja pastinya mempunyai
aplikasi media sosial seperti ‘Facebook’, ‘Twitter’, ‘Instagram’ dan ‘Whatsapp’
di dalam telefon pintar mereka. Oleh
itu, banyak masa yang telah dihabiskan oleh mereka dengan menatap skrin
bercahaya dari pagi hingga ke petang.
Masyarakat Melayu lazim dengan peribahasa masa itu emas. Bertitik tolak
daripada itu, ahli keluarga perlulah memainkan peranan masing-masing dalam
menasihati remaja agar tidak mensia-siakan waktu yang ada. Ahli keluarga
seperti abang dan kakak sewajarnya berusaha bagai air mencari jenisnya bagi
memastikan adik-beradik mereka agar tidak lalai dan leka dengan media massa.
Mereka seharusnya mengaplikasikan peribahasa buang yang keruh, ambil yang
jernih. Media massa hakikatnya menyediakan kita dengan pelbagai maslahat.
Namun, jika tersilap langkah media tersebut juga berupaya menyajikan kita
dengan seribu mafsadah. Oleh itu, ahli keluarga mestilah tidak mengambil enteng
dalam tugas mereka menasihati para remaja agar tidak terpengaruh dengan media
massa.
Disingkap dari aspek yang lain
pula, ahli keluarga perlulah bahu-membahu dalam membantu para remaja agar tidak
rosak akibat budaya Barat. Hal ini kerana, budaya Barat yang merupakan budaya
hedonistik ini kian menular dalam sukma setiap remaja. Sebagai uswah, para
remaja gemar melayan drama-drama artis dari Korea. Hal ini menyebabkan mereka
mengikut jejak langkah setiap artis pujaan mereka dari aspek penggayaan rambut,
pemakaian baju sehinggalah gaya pertuturan mereka. Para remaja berasa hidung
tinggi dan berbangga apabila mereka dimiripkan dengan artis-artis luar negara.
Rentetan itu, ahli keluarga perlulah mengambil langkah sederap untuk
menghalangkan penerapan budaya asing dalam diri para remaja. Hal ini kerana,
peribahasa Melayu sering mengingatkan, biar mati anak, jangan mati adat.
Peribahasa ini jelas menunjukkan peri pentingnya adat dan budaya resam kaum
kita agar dipelihara sehingga ke generasi yang seterusnya. Oleh itu, ahli
keluarga perlulah menghalang para remaja daripada menyaksikan drama-drama luar
negara, membeli majalah-majalah yang tidak berfaedah serta pertuturan loghat
asing. Oleh itu, para remaja akan terpelihara daripada unsur budaya Barat. Ahli
keluarga juga terutamanya ibu bapa perlulah menerapkan nilai-nilai agama dan
unsur-unsur kerohanian dalam diri remaja. Oleh itu, atma para remaja akan
bersih dan mereka mampu membezakan antara intan dan kaca.
Jika ditelusuri, remaja juga
perlu dipadatkan dengan aktiviti seharian bersama-sama ahli keluarga. Hal ini
kerana golongan remaja mudah lupa tentang asal usul keturunan mereka. Oleh itu,
ahli keluarga wajarlah menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik untuk
dilakukan bersama-sama remaja. Sebagai contoh, aktiviti mengemas rumah,
menonton televisyen, beriadah di taman dan melancong ke luar negara. Ahli
keluarga berperanan memastikan para remaja sentiasa berada di sisi mereka. Oleh
itu, remaja akan terjaga daripada terjebak dengan aktiviti-aktiviti yang tidak
bermoral seperti menghisap rokok, menagih dadah dan ponteng kelas. Ahli
keluarga tidak sewajarnya memainkan peranan masing-masing bagai melepaskan
batuk di tangga. Para remaja pastinya akan berasa terabai lantas memberikan
seribu alasan untuk melakukan perkara-perkara yang negatif. Ibu bapa perlulah menjaga anak mereka bagai
menatang minyak yang penuh kerana sesungguhnya anak-anak terutamanya yang
sedang meniti usia remaja amatlah menagih kasih sayang ibu bapa. Jelaslah
bahawa, aktiviti yang membawa kepada pelbagai maslahat sesama keluarga amatlah
signifikan dalam memastikan para remaja tidak tewas dengan cabaran hidup.
Natijahnya, terdapat pelbagai
peranan yang perlu digalas oleh ahli keluarga dalam memastikan para remaja
mempunyai kekuatan mental dan fizikal dalam menghadapi cabaran hidup yang
mendatang. Ingatlah bahawa kemajuan
negara pada masa hadapan ditentukan oleh golongan remaja pada masa ini. Inspirasi daripada kata-kata George
Washington Carver, “99 peratus kegagalan datangnya daripada mereka yang suka
memberi alasan”. Kata-kata beliau jelas mengingatkan bahawa tiada alasan yang
wajar diberi oleh masyarakat terutamanya ahli keluarga dalam membantu golongan
remaja mengatasi rintangan-rintangan dalam kehidupan mereka. Pada saat getir seperti ini, ahli keluarga
tidak wajar bersikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.
Golongan remaja tidak kuat dan mudah goyah untuk mengorah langkah dalam
kehidupan mereka. Ahli keluarga yang merupakan darah daging mereka sendiri
merupakan insan yang paling penting untuk berada di sisi mereka dalam membantu
mereka membuat keputusan yang tepat yang menjanjikan kecemerlangan hidup
mereka.