CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Isnin, 17 November 2014

KEMAHIRAN BERNILAI TAMBAH

EMPAT KEMAHIRAN BERNILAI TAMBAH (KBT)

sumber : http://muliatimhmdariff.blogspot.com/2012/09/empat-kemahiran-bernilai-tambah-kbt.html


1. Pengenalan Kemahiran Bernilai Tambah

Kemahiran Benilai Tambah (KBT) merupakan kemahiran umum yang diaplikasikan merentas semua domain atau pelajaran di peringkat sekolah rendah dan menengah. Kemahiran ini memerlukan masa yang lebih lama untuk dikuasai berbanding dengan ilmu dan kemahiran dalam mata pelajaran lain.Dengan sedikt pengubahsuaian atau modifikasi daripada konsep kemahiran generik, KBT merupakan kemahiran yang diperoleh melalui aplikasi kemahiran generik dan pendekatan, teknik serta kaedah tertentu dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
Komponen Kemahiran Bernilai Tambah dalam Sukatan Bahasa Melayu Sekolah Rendah (KBSR) Tahun 2003 adalah seperti Kemahiran Berfikir, Kemahiran Belajar, Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) Kajian Masa Depan (KMD) , Kecerdasan Pelbagai, Pembelajaran Konstruktivisme dan Pembelajaran Kontekstual. Kemahiran Bernilai Tambah ialah kemahiran yang diajarkan dalam bilik darjah, dan dapat diaplikasikan dalam dunia sebenar murid dan dalam senario dunia global.

          
2. Empat komponen Kemahiran Bernilai Tambah



2.1 Kemahiran Berfikir
           
            Semua manusia menjalani proses berfikir, namun begitu cara manusia berfikir adalah berbeza antara seorang individu dengan individu yang lain. Bagitu juga dari segi kualiti dan buah fikiran yang dihasilkan adalah berbeza. Berfikir merupakan aktiviti yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Alat untuk manusia berfikir ialah akal atau minda (Mind) . Kegagalan manusia menggunakan akal dengan bijaksana tarafnya sama dengan haiwan kerana yang membezakan manusia dengan haiwan ialah akal bukannya otak seperti yang disebut oleh sarjana barat. Kepentingan berfikir dalam kehidupan manusia dapat dilihat melalui hadis Rasulullah SAW yang bermaksud “Satu saat berfikir adalah lebih baik daripada 70kali solat sunat” . Begitulah pentingnya berfikir dalam kehidupan manusia.
            Kepentingan berfikir yang menggunakan akal dalam kehidupan manusia, sememangnya tidak boleh dinafikan. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran , kepentingan kemahiran berfikir adalah untuk mengelakkan kesilapan berfikir, iaitu berfikir secara terburu-buru dan berfikir secara sempit. Selain itu , kepentingan berfikir ialah dapat mengelakkan kesilapan ketika membuat kesilapan. Seterusnya , kemahiran berfikir dapat meningkatkan pemikiran kritis dan kreatif seseorang individu. Disamping itu, kemahiran berfikir juga dapat  memperkembangkan daya intelek . Kepentingan kemahiran berfikir juga dapat meningkatkan daya berfikir dan kreativiti dan seterusnya dapat mengalakkan seseorang berfikir diluar kotak pemikiran. Justeru itu, kepentingan kemahiran berfikir ini dapat merialisasikan Wawasan 2020 bagi mencapai status negara maju.
Para penyelidik dapat membuktikan antara factor-faktor yang membezakan orng yang cemerlang dengan orang biasa ialah cara mereka berfikir, iaitu menggunakan akal yang dianugerahi Tuhan. Pakar-pakar bidang berfikir telah mencipta dan menggunakan pelbagai istilah bagi menerangkan pelbagai jenis dan gaya berfikir antaranya ialah Pemikiran Logikal, Pemikiran Kritikal, Pemikiran Kreatif, Pemikiran Analitikal, Pemikiran Proaktif, Pemikiran Konstruktif, Pemikiran Nilai dan Pemikiran Konvergen  dan Divergen.

2.1.1          Pemikiran Logikal
Pemikiran logikal ditandai oleh daya usaha bagi  mengenalpasti apa yang betul dan apa yang salah daripada segi logiknya. Logik terbahagi kepada dua jenis, iaitu logik ciptaan akal manusia semata-mata, contoh Matematik. Logik ini disebut logik akal. Logik yang kedua ialah logik yang berdasarkan realiti alam sebenar yang juga disebut logik natural atau logik alam. Banyak pemikaran yang betul dari segi logik akal tetapi terbukti salah apabila dilihat daripada sudut realiti alam dan hidupan sebenar. Logik akal bersifat nyata dan langsung serta dapat dilihat kerana terdiri daripada suatu set peraturan . Pemikiran logikal mementingkan maklumat dan fakta. Kemahiran berfikir secara logikal mempunyai kaitan dengan pemikiran analitikal dan kritikal. Pemikiran ini penting tetapi tidak dapat menerbitkan idea-idea baharu.

2.1.2          Pemikiran Kritikal
Pada asalnya pemikiran kritikal dicipta untuk membuang kesilapan, kekeliruan dan andaian-andaian yang salah. Menceri kesilapan memang wajar kerana dapat menghindar kesilapan daripada berulang dan kesilapan itu dapat diperbetulkan . Aktiviti mencari kelemahan dapat membantu memperbaiki kelemahan supaya idea atau keadaan menjadi lebih sempurna bagi membolehkan seseorang itu mencapai keberkesanan intelektual.
Pengunaan pemikiran kritikal secara keterlaluan boleh meninggalkan kesan negatif. Ia boleh membunuh pertumbuhan idea-idea baharu dengan mematahkan semangat orang atau individu yang cuba menerbitkan idea-idea baharu tersebut. Idea-idea baharu yang keluar daripada paradigma yang tersedia ada dan ia mencipta paradigma baharu, tetapi pemikiran kritikal menilai idea-idea baharu itu dalam konteks paradigma lama.
Justeru idea-idea baharu itu menerima penilaian negatif oleh pemikiran kritikal. Ringkasnya , berfikir secara kritikal ditandai oleh keupayaan melihat kesilapan, kesalahan , kelemahan dan kecacatan pada cara-cara seseorang individu itu berfikir ataupun idea atau cadangan yang dikemukakan oleh sesuatu kumpulan.
Pemikiran kritikal tidak menerbitkan idea-idea baharu. Pemikiran ini hanya dapat digunakan bagi membuktikan sesuatu idea itu salah atau betul. Walaubagaimanapun berfikir secara kritikal berfokus kepada hasrat membuktikan bahawa idea dan pendapat orang lain salah. Namun begitu, cara berfikir kritikal berguna untuk membantu seseorang untuk mengelakkan diri daripada melakukan kesilapan.

2.1.3          Pemikiran Kreatif
Pemikiran Kreatif ditandai oleh keupayaan melihat sesuatu daripada pelbagai sudut. Pemikiran ini menghasilkan pelbagai persepsi , konsep idea , cara menyelesaikan masalah , meleraikan konflik, reka cipta , mengatur strategi dan taktik, prosedur kerja , teori ,hipotesis, peraturan dan hasil perundingan. Bagi setiap perkara yang dilihat , ada bermacam-macam cara yang lain melihatnya. Bagi setiap cara melakukan sesuatu, ada bermacam-macam cara lain melakukannya. Tegasnya pemikiran kreatif menunjukkan pelbagai ciri seperti sentiasa dan sengaja menghasilkan idea-idea baharu , konsep dan tanggapan baharu. Adakalanya idean yang dikemukakan itu kurang rasional dan mencabar pemikiran logik. Pemikiran kreatif juga mempunyai nilai seperti mengutamakan cara lain bagi melihat sesuatu yang sedang berfikirkan. Ia juga memberi fokus kepada usaha untuk mengubah idea asal atau sedia ada diamana tujuan utama pemikiran ini adalah untuk membawa perubahan dan bukan untuk meneruskan idea yang sedia ada. Ciri lain ialah, mencari kaedah baharu bagi mengantikan penyelesaian yang sedang digunakan. Pemikiran ini cuba membuang budaya kerja cara lama dan lapuk dan digantikan dengan kaedah dan budaya kerja yang baharu sesuai dengan masa dan zaman. Pemikiran ini juga tidak pernah berpuas hati dengan jawapan atau jalan penyelesaian yang digunakan sekarang. Pemikiran ini juga sengaja menghasilkan idea-idea yang boleh memeranjatkan fikiran biasa. Pemikiran kreatif juga memberi perhatian kepada pelbagai kemungkinan yang berlakupada masa akan datang dan gemar membayangkan apa yang akan terjadi akibat adanya idea yang kurang atau tidak logic.
Tegasnya, pemikiran kreatif digunakan bagi menyelesaikan masalah , mencipta peluang-peluang baharu dan menyokong idea yang bertentangan dengan fikiran semasa dan zaman terkini.
      
2.1.4          Pemikiran Analitikal
Berfikir secara analitikal ditandai oleh daya usaha hendak melihat sesuatu itu secara lebih terperinci. Sebagaimana yang diketahui , analisis ialah proses memecah-memecahkan masalah besar kepada bahagian yang lebih kecil supaya dapat ditangani dengan mudah. Analisis melibatkan proses mencari punca-punca dan usaha memahami sesuatu yang kompleks. Matlamat berfikir secara analitikal ialah membuat huraian terperinci berkenaan sesuatu masalah atau kejadian atau peristiwa , menyusun maklumat mengikut kumpulan atau ketegori, mencari perhubungan antara perkara , mencari kaitan sebab dan akibat antara perkara dan peristiwa.
Seseorang itu melakukan pelbagai analisis kerana mahu menjawab soalan –soalan apa, mengapa, bola, bagaimana,siapa dan dimana. Analisis memerlukan maklumat dan fakta. Aktiviti analisis dapat dibahagikan kepada tiga jenis. Pertama, analisis yang cuba memahami sesuatu keadaan yang kompleks dengan cara memecah-mecahkan keadaan itu ke dalam unsur-unsur yang lebih kecil. Kedua analisis yang cuba memahami hubungan sebab-sebab antara sesuatu peristiwa dengan peristiwa yang lain. Ketiga analisis yang cuba memahami persamaan dan perbezaan antara dua benda , perkara atau peristiwa.
Melalui aktiviti analisis , seseorang itu dapat memahami keadaan yang sukar difahami , memahami perkara-perkara dan peristiwa-peristiwa yang baharu berlaku, membuat ramalan apa yang mungkin berlaku pada masa akan datang dan membuat perancangan bagi mengawal kejadian. Oleh hal demikian , aktiviti analisis melalui pemikiran analitikal sangat bermanafaat.

2.1.5          Pemikiran Proaktif
Pemikiran proaktif dimulai oleh daya usaha berfikir sebelum sesuatu perkara itu berlaku. Pemikiran ini menggunakan keupayaan minda atau akal membuat pelbagai ramalan untuk menjangkakan perkara-perkara yang belum berlaku.
Apabila berfikir secara proaktif , seseorang tidak menanti sesuatu terjadi terlebih dahulu atau menunggu arahan daripada mana-mana pihak bagi meransang akal atau mindanya untuk berfikir.
Pemikiran  proaktif sangat penting kerana memerlukan daya imaginasi yang tajam, logik dan betul disamping maklumat yang tepat. Pemikiran begini membolehkan seseorang itumerancang dan bertindak secara proaktif . Ini penting dalam proses persaingan . Di dalam persaingan dunia global, siapa yang Nampak dahulu , bertindak lebih dahulu, dialah yang akan mendapat dahulu.

2.1.6          Pemikiran Konstruktif
Pemikiran konstruktif ataupun ditandai oleh daya usaha bagi memperbaik sebarang kelemahan yang terdapat pada sesuatu idea atau keadaan. Berfikir secara membina ditandai juga dengan daya usaha bagi melakukan perkara-perkara seperti mengemukakan cadangan-cadangan konkrit bagi memperbaik sesuatu idea atau keadaan , mencari cara yang lebih baik bagi melakukan sesuatu , mencari cara terbaik bagi memastikan sesuatui idea dapat dijalankan, mengemukakan bukti-bukti tambahan bagi menyokong idea yang ideal dan mencari ikhtiar atau jalan bagi membolehkan sesuatu idea dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Pemikiran konstruktif sangat berguna dalam dunia hari ini. Dunia ini maju kerana setiap saat adanya individu-individu yang sentiasa berusaha memperbaik lagi apa yang sudah baik. Cipta-ciptaan baharu terbit dari rasa kurang puas hati manusia terhadap apa yang ada dalam dunia hari ini. Pemikiran konstruktif sentiasa mencari-cari cara-cara lain yang terbaik bagi menggantikan idea-idea yang sudah baik di samping memenuhi naluri perasaan ingin mengetahui dan meneroka.

2.1.7          Pemikiran Konvergen dan Divergen
Pemikiran konvergen dan divergen menerangkan dua cara berfikir yang berbeza. Pemikiran konvergen ialah sejenis pemikiran yang diajarkan disekolahsekolah.
Apabila seseorang itu diberikan masalah untuk diselesaikan, murid akan dilatih supaya mencari jawapan dengan menggunakan logik. Cara seseorang murid itu berfikir hendaklah tersusun rapi supaya akhirnya murid itu dapat menemui satu jawapan yang tepat. Mereka berfikir secara rasional , sistematik dan menggunakan fakta-fakta secara tersusun rapi. Oleh hal demikian , pemikir konvergen memiliki keupayaan menyelesaikan masalah jenis tertutup, iaitu soalan yang hanya mempunyai satu jawapan yang tepat. Jawapan soalan dapat dicari dengan menggunakan logik matematik .
Pemikiran divergen berbeza daripada pemikiran konvergan . Pemikiran divergen menggunakan unsur intuisi dan sangat sesuai digunakan bagi menyelesaikan soalan atau masalah terbuka, iaitu soalan atau masalah yang dapat diselesaikan dengan pelbagai cara termasuk yang luar biasa dan memelikkan serta tiada jawapan yang boleh dianggap tepat.
Setiap individu dapat berfikir menggunakan gaya kenvergen atau divergen , tetapi berlainan individu berlainan darjah keupayaannya. Ada individu atau murid lebih berbakat berfikir secara divergen dan ada individu yang lebih seronok dapat berfikir secara konvergen sahaja.
Otak kanan adalah sumber atau asas pemikiran divergen , oleh itu otak kanan merupakan sumber pelbagai idea kreatif dan inovatif. Namun system pendidikan hari ini lebih menekankan dan menghargai fungsi otak kiriyang menjadi sumber pemikiran konvergen. Sistem pendidikan dirangka oleh Kementerian Pelajaran Malaysia mementingkan aktiviti-aktiviti otak kiri sehingga merencat perkembangan otak kanan.
Sistem pendidikan hari ini memerlukan murid di sekolah menjadi pemikir yang analitikal dan kritikal yang dianggap ciri pemikiran akademik. Imaginasi dan kreativiti , iaitu kegiatan otak kanan dan unsure pemikiran divergen tidak dianggap sebagai ciri pemikiran akademik.
Semua individu atau murid mempunyai keupayaan berfikir secara divergen kerana semua individu memiliki otak kanan . Terdapat individu berfikiran divergen yang belajar “bermain permainan konvergen”dan menjadi pandai dalam permainan tersebut. Hal ini disebabkan oleh pemikiran konvergen adalah mudah untuk dipelajari kerana sistemnya yang tertutup . Manakala pemikiran divergen adalah lebih sukar kerana sistemnya yang terbuka.

Berdasarkan perbincangan diatas dapatlah disimpulkan bahawa berfikir melibatkan aktiviti mental yang berlaku dalam minda , iaitu akal atau sistem kognitif seseorang untuk menyelesaikan masalah dan membuat keputusan . Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran, kemahiran berfikir terbahagi kepada dua.
Pertama , kemahiran berfikir kritis , iaitu keupayaan minda atau akal menilai kemunasabahan dan kewajaran sesuatu hujah , membuat pertimbangan wajar dengan alasan dan bukti . Kedua , kemahiran berfikir kreatif , iaitu kecekapan menggunakan minda atau akal untuk menghasilkan atau mencipta idea baharu dan mencari makna serta penyelesaian masalah secara inovatif.
Bagi memudahkan guru mengaplikasikan kemahiran berfikir dalam pengajaran dan pembelajaran , guru boleh menggunakan alat –alat kemahiran berfikir. Jenis alat kemahiran berfikir yang digunakan oleh guru semasa melaksanakan pengajaran dan pembelajaran ialah pengurusan grafik (PG), peta minda,Cognitive Research Trust (CoRT) dan soalan dan penyoalan.     
Kemahiran berfikir sama ada segi menkonsepsikan idea , menyelesaiakn masalah atau membuat keputusan adalah penting dalam kehidupan seharian. Antara kemahiran berfikir yang perlu diserapkan dalam pengajaran bahasa Melayu adalah seperti mencirikan, membanding dan membezakan, mengumpul, mengkategorikan dan mengelas, membuat urutan, menyusun mengikut keutamaan, menganalisis, mengenal pasti kenyataan benar dan palsu, membezakan fakta dan pendapat, mengesan kecondongan pendapat, mengenalpasti sebab dan akibat , mensistesiskan, menilai, menjana idea,membuat inferens, menghubungkait, meramalkan, membuat hipotesis, mengitlak, menginterpretasikan, mentafsirkan, merumuskan, meringkaskan,membuat analogy,menyelesaikan masalah,membuat gambaran mental, membuat keputusan. Kejayaan guru mengintegrasikan kemahiran berfikir secara terancang dalam ma pelajaran bahasa Melayu akan melahirkan murid-murid yang berfikiran kritis dan kreatif serta berpandangan jauh serta mempunyai misi dan visi serta bersifat optimistik.
      
  
2.2       Kemahiran Kecerdasan Pelbagai             

       Teori Kecergasan Pelbagai merupakan satu teori yang penting kerana teori ini mempunyai hubung kait rapat  dengan bidang pendidikan . Setiap insan yang lahir ke dunia ini memiliki pelbagai kecerdasan yang dianugerahi Tuhan. Sehubungan dengan itu, setiap individu atau murid mempunyai pelbagai cara untuk berfikir , bertindak dan belajar dan cara ini berbeza antara seorang individu dengan individu yang lain.
Dalam konteks Teori Kecerdasan Pelbagai (TKP) .Howard Gardner mendefinasikan kecerdasan seperti yang berikut, “An intelligence is the ability to solve problem , or to create products that are valued within one or more cultural settings”. Definasi ini boleh dirumuskan bahawa TKP merupakan kebolehan individu menjelaskan masalah yang dihadapi dalam kehidupan sebenar. TKP merupakan kebolehan individu menjalankan masalah baharu untuk diselesaikan. TKP juga merupakan kebolehan individu membuat sesuatu atau menawarkan perkhidmatan yang bernilai dalam lingkungan sesuatu budaya.
Terdapat Sembilan jenis kecerdasan pelbagai yang boleh diaplikasikan oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran iaitu Verbal linguistik, logik matematik , visual ruang, kinestetik, muzik, interpersonal, intrapersonal, naturalis dan spiritual atau kerohanian. 


2.2.1   Verbal linguistik
       Verbal linguistik ialah kebolehan untuk menggunakan bahasa (kata-kata) secara berkesan dalam lisan dan penulisan , termasuklah kebolehan mengingat maklumat , meyakinkan orang lain semasa bercakap, berpidato , berdebat dan berhujah tentang bahasa itu sendiri atau perkara lain. Verbal linguistik ini akan mendorong seseorang itu suka berkomunikasi melalui lisan, pembacaan dan penulisan. Guru boleh mengaplikasikan kecerdasan ini dengan meminta murid untuk mengarang cerita atau perdebatan sesuatu tajuk mahupun perbentangan hasil perbincangan.

2.2.2   Logik Matematik
       Logik matematik pula lebih kepada kebolehan seseorang menggunakan nombor secara berkesan dan bijak berhujah termasuklah memahami kelompok asas , prinsip sebab-akibat serta kebolehan menjangka. Murid yang mempunyai kecerdasan ini akan cekap meyelesaikan masalah , suka meneroka dan menganalisis , mengemukakan soalan dan jawapan logik , murid juga akan boleh menguji hipotesis serta berfikir secara heuristik. Murid yang mempunyai kecerdasan ini lebih berminat terhadap komputer dam media teknologi dan suka melakukan percubaan dan eksperimen. Dalam p&p , guru boleh menjalankan aktiviti seperti meramal sesuatu cerita atau peristiwa, guru juga boleh menjalankan aktiviti membanding beza dan inferens.

2.2.3   Visual Ruang
       Visual ruang ini lebih menumpukan kepada kemampuan untuk mengamati dunia visual dan ruang serta melahirkan pengamatan tersebut dalam bentuk imaginasi yang diterjemahkan dalam lakaran grafik. Ia juga lebih peka terhadap warna, garis, bentuk dan hubung kait yang terdapat antara unsur-unsur itu. Ia juga menggalakkan seseorang itu suka melukis , membaca peta , carta ,jadual , video, foto dan bahan-bahan multimedia. Bagi aktiviti p&p yang bersesuaian ialah melakar jalan cerita, berlakon menggunakan bahasa isyarat, mencatat nota dalam bentuk pemetaan minda dan menggunakan pen warna untuk menandakan bahagian penting dalam teks cerita.

2.2.4   Kinestetik
       Kenestetik merupakan kemampuan seseorang menggunakan anggota badan untuk meluahkan idea dan perasaan. Ia mempunyai kemahiran fizikal seperti koordinasi mata dan tangan untuk menjaringkan gol , keseimbangan badan untuk meniti di atas tali , keanjalan dan kelenturan badan seperti pergerakan gimrama. Suka bergerak, belajar secara hand-on terutama kraf yang menggunakan tangan. Kinestetik ini cenderong kearah berminat terhadap sukan, drama, tarian dan aktiviti lasak. Aktiviti yang sesuai bagi p&p ialah main peranan, melakonkan cerita dan pantomin.


2.2.5   Muzik
       Ia lebih kepada kemampuan untuk mengesan irama dan lagu termasuk kebolehan mengenal lagu serta membezakan atau mengubah rentak dan tempo dalam melodi yang mudah. Murid yang menguasai ia akan mudah mengingati melodi dan suka bernyanyi dan  gemar akan alat-alat muzik, suka melawat kedai muzik dan  menyaksikan konsert. Mereka juga suka belajar sambil mendengar muzik. Dalam p&p guru boleh menjalankan aktiviti berpuisi dengan iringan muzik, menggunakan lirik lagu untuk mengajarkan tatabahasa dan menggunakan muzik yang berbeza untuk mengajar kemahiran yang berbeza.

2.2.6   Interpersonal
       Interpersonal ialah kebolehan memahami perasaan , memotivasi, tabiat serta hasrat orang lain. Ia juga  berkemampuan mengamati dan memahami kehendak orang lain. Ia juga berkebolehan bertindak dengan bijak terhadap petanda-petanda interpersonal seperti mimik muka , suara dan lenggok badan . Ia juga mempunyai kemahiran bergaul dengan berkesan , memimpin dan mengurus manusia, menjadi pendengar dan perunding yang baik serta suka belajar dan bekerjasama dalam kumpulan. Guru boleh menjalankan p&p dengan melibatkan aktiviti seperti bercerita secara round robin. Menganalisis cerita, berbincang dan merumuskan . Guru juga boleh menggalakkan murid berbincang dalam kumpulan untuk menganalisis dan merumus cerita dan fakta.

2.2.7   Intrapersonal
       Intrapersonal ialah kebolehan memahami diri sendiri dari segi kekuatan , kelemahan ,hasrat dan kehendak termasuklah kemahiran mengenalpasti bagaimana seseorang itu sama atau berbeza dengan orang lain. Ini dapat membantu individu itu menangani perasaan , adap sopan serta mengawal kemarahan atau kesedihan diri. Ia juga berkemampuan untuk mendisiplinkan diri sendiri dan ada keyakinan diri. Ia juga suka bekerja sendirian dan mampu mengurus perasaan sendiri. Ia juga suka melayani minat, hobi dan matlamat sendiri serta suka bersendirian untuk berfikir dan bermuhasabah diri. Dalam p&p aktiviti yang boleh dijalankan ialah menulis karangan autobiografi, mengarang tentang ramalan masa depan, menulis puisi tentang diri sendiri.

2.2.8   Naturalis
            Naturalis melibatkan tentang kebolehan mengenali dan mengklasifikasikan tumbuh-tumbuhan , galian dan haiwan termasuk rumput dan batu –batan serta pelbagai flora dan fauna. Ia juga merupakan kebolehan mengenal artifak budaya dari segi pemakaian dan makanan. Ia juga mempunyai kecenderungan terhadap alam sekitar serta boleh mengenali , meyusun dan mengkategorikan pelbagai sepsis flora dan fauna serta membuat hubungan ekologi. Ia juga memahami alam semula jadi dan kaitan saintifik. Dalam aktiviti p&p guru boleh mengadakan aktiviti seperti aktiviti lawatan dan mendaki gunung, kerja lapangan serta melaksanakan projek yang berkaitan dengan alam semesta.
      
2.2.9   Spritual/Kerohamian
            Ia menjurus kepada mempunyai kecenderungan terhadap perkara –perkara keagamaan dan kerohanian atau spiritual , iaitu yang berkaitan dengan hati, jiwa dan perasaan. Ia juga mempunyai kecintaan terhadap Tuhan dan suka kepada perkara –perkara yang berkaitan dengan alam dan kehidupan. Ia juga boleh mengupas persoalan jati diri dan pembangunan insan yang seimbang dari segi roh dan jasad atau rohani dan jasmani. Aktiviti p&p yang boleh dilaksanakan oleh guru didalam kelas ialah aktiviti seperti menganalisis nilai-nilai murni dalam petikan teks, membuat kajian tentang gejala sosial dalam masyarakat dan menulis karangan yang bertemakan jati diri.

Di sini dapatlah dikatakan bahawa kepentingan Teori Kecerdasan Pelbagai dalam pengajaran dan pembelajaran dapatlah dirumuskan sebagai ia menyokong pembelajaran bersepadu yang menyeluruh selaras dengan Falsafah Pendidikan Guru dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah. Ia juga menerima persamaan dan perbezaan antara individu dengan meninsafi bahawa setiap insane dan murid adalah unik dan belajar dalam cara yang berbeza. Ia juga dapat meningkatkan kecerdasan pelbagai seseorang murid dan menyedari bahawa potensi murid tidak terbatas dan harus dikembangkan dari semasa ke semasa . Ia juga dapat meningkatkan harga diri , kreativiti dan motivasi melalui pengajaran dan pembelajaran yang menarik , mencabar dan menyeronokkan. Ia juga dapat meningkatkan profesionalisme guru dan dapat menggalakkan inovasi dan penyelidikan baharu dalam pengajaran dan pembelajaran. Ia juga mewujudkan suasana kolaboratif antara warga sekolah. Ia juga mempelbagaikan cara penilaian dengan memberikan penekanan kepada penilaian secara holistik. Ia juga menyatakan hakikat setiap insane dan murid mempunyai kekuatan dan kelemahan diri serta minat dan bakat yang berbeza yang wujud sejak lahir dan guru perlu kreatif dan inovatif serta proaktif untuk menghadapi cabaran globalisasi dalam pendidikan khususnya murid zaman maklumat.

           
2.3       Kemahiran Belajar Cara Belajar

       Kemahiran belajar adalah keadah sistematik dan teratur untuk meperoleh dan memproses maklumat . Kemahiran belajar boleh ditakrifkan sebagai keupayaan dan kecekapan yang perlu dikongsikan oleh setiap pelajar untuk membolehkannya mengumpul , memproses dan merumus maklumat secara sendiri dan seterusnya menuju kearah pembelajaran sepanjang hayat.
       Kemahiran melibatkan kemahiran menggunakan mental untuk memperoleh ilmu dalam bidang kognitif , psikomotor dan afektif . Terdapat pelbagai cara murid belajar antaranya cara menhafaz bagi aktiviti kemahiran membaca, cara mendengar bagi aktiviti kemahiran lisan , mencatat nota bagi aktiviti menulis , cara menemuramah bagi aktiviti kemahiran lisan , cara membaca , iaitu makanis dan mentalis bagi aktiviti kemahiran membaca dan cara mengingat bagi aktiviti kemahiran membaca.



       Setiap cara tersebut memerlukan kemahiran tertentu untuk dikuasai oleh seseorang individu atau murid. Penguasaan seseorang murid dalam sesuatu kemahiran belajar menentukan sejauh mana seseorang murid itu dapat memahami apa yang diajarkan oleh guru mereka  dan apa yang dipelajari daripada aktiviti yang dijalankan.
Terdapat tiga sumber utama untuk mendapatkan maklumat, iaitu sumber manusia, alam persekitaran dan elektronik. Contoh sumber manusia ialah melalui temu ramah, wawancara dan temubual orang-orang tertentu seperti ibu bapa , guru  besar, guru disiplin , tokoh dalam masyarakat , pemimpin negara dan lain-lain. Contoh alam dan persekitaran ialah lading, kilang, syarikat perusahaan dan lain-lain manakala contoh sumber elektronik ialah internet.
Kemahiran belajar perlu diajarkan kepada murid-murid supaya mereka peka terhadap teknik pembelajaran yang berkesan. Kemahiran belajar atau belajar cara belajar yang perlu dikuasai bermula daripada menentukan bahan yang optimum sehingga kepada pemerolehan maklumat dan seterusnya memproses maklumat.
Penguasaan kemahiran ini membolehkan murid meningkatkan pengetahuan , cekap bertindak untuk menghadapi dunia yang sering berubah dan mengamalkan pembelajaran seumur hidup.
Antara aspek kemahiran belajar ialah kemahiran yang mendengar, iaitu mendengar secara aktif dan intensif, kemahiran merujuk iaitu aktiviti merujuk kamus, ensikopedia, thesaurus,bibliografi termasuk kemahiran perpustakaan. Aspek kemahiran belajar seterusnya ialah kemahiran membaca , iaitu membaca bagi tujuan pemahaman , membaca pantas, membaca teks yang sukar melalui teknik KWLH dan SQ3R. Kemahiran berbincang, iaitu perbincangan dalam kumpulan atau pihak lain, kemahiran menyoal,iaitu apa, siapa ,bila ,mengapa, di mana, dan bagaimana (5W1H). Kemahiran mencatat , iaitu menulis pantas dan aktiviti melakar dalam bentuk grafik seperti rajah tulang  ikan, rajah pusingan , carta pai, peta minda dan jadual. Kemahiran menghasilkan laporan , iaitu laporan kemalangan , kecurian, lawatan, pelaksanaan aktiviti dan lain-lain. Kemahiran mengorganisasi termasuk membina peta konsep , struktur kursus, senarai barang-barang, jadual, carta alir dan hieraki. Kemahiran mengurus masa dan gaya pembelajaran termasuk penetapan matlamat diri, rancangan pembelajaran , pengawalan tingkah laku belajar dan senarai semak. Kemahiran membuat persediaan menghadapi peperiksaan termasuk strategi membaca kertas soalan peperiksaan , teknik menjawab soalan pelbagai pilihan dan soalan berbentuk esei. Aspek kemahiran belajar yang terakhir ialah kemahiran menyusun strategi belajar termasuk kaedah mengingat jangka panjang dan belajar dalam kumpulan.

2.3.1          Kemahiran mendengar aktif
       Kemahiran mendengar aktif adalah proses mental kerana kemahiran ini melibatkan kefahaman dan proses maklumat yang didengar . Kemahiran ini melibatkan apa yang didengar dan mengapa orang mendengar.

2.3.2          Kemahiran membaca
       Kemahiran membaca bertujuan untuk mendapatkan maklumat, pengetahuan dan fakta sesuatu perkara . Membaca merupakan satu proses yang kompleks yang melibatkan komunikasi antara pembaca dan penulis melalui penulisan dan terdapat empat jenis pembacaan iaitu “skimming”, “scanning”, bacaan intensif dan bacaan laju.



2.3.3          Kemahiran mencatat nota
       Kemahiran mencatat nota adalah aktiviti merekod fakta , maklumat dan isi –isi penting daripada bahan yang dibaca , didengar dan dilihat. Semua maklumat dan fakta ini diterjemahkan dalam bentuk tulisan yang kemas, teratur dan tersusun dengan sistematik supaya mudah dibaca , difahami dan ingat. Mencatat nota berlaku dalam semua situasi seperti kuliah, ceramah, penerangan, membaca buku dan lain-lain. Catatan nota ini merupakan bahan rujukan tambahan.

2.3.4          Kemahiran menulis
       Kemahiran menulis terbahagi kepada dua jenis , iaitu menulis laporan dan menulis cepat. Menulis cepat ditafsirkan sebagai kemahiran menulis dengan kepantasan yang tinggi dan tulisannya boleh dibaca dengan jelas oleh orang lain. Oleh hal demikian, menulis cepat memerlukan unsur-unsur seperti kelajuan menulis, tulisan yang boleh dibaca dan kandungan yang boleh difahami. Manakala menulis laporan terdiri daripada unsur-unsur seperti menyediakan kerangka laporan, menulis draf pertama dan sumber yang diperolehi, melengkapkan penulisan dengan grafik dan jadual , menyemak draf dam pemurnian, penggunaan bahasa dan laras bahasa yang sesuai dan betul dan seterusnya menerbitkan laporan.

2.3.5          Kemahiran mengingat
       Kemahiran mengingat ialah proses yang berkaitan dengan kefahaman dan penggunaan deria lihat yang baik. Kemahiran ini berkaitan dengan proses mengingat kembali dengan menyebut atau menulis fakta dan peristiwa yang berlaku selepas beberapa lama. Jenis ingatan terbahagi kepada dua, iaitu jangka pendek dan jangka panjang dan diantara kaedah yang boleh digunakan ialah mencipta akronim, mencipta lagu, menulis cerita, membuat senarai semak, membuat rantaian, membuat ilustrasi, membuat lakonan dan membuat catatan.

2.3.6          Kemahiran memproses maklumat
       Maklumat ialah pengetahuan ,data , butiran,fakta, keterangan, maklumat atau cerita tentang sesuatu perkara atau seseorang. Kemahiran memproses maklumat ialah keupayaan seseorang mengenal pasti keperluan maklumat, mencari dan mengumpulkan ,mengurus dan mengolah serta membekalkan atau memyampaikan maklumat tersebut bagi memenuhi keperluan tertentu. Sumber maklumat boleh diperolehi daripada pelbagai sumber seperti sumber berasaskan maklumat yang didengar, ditonton dan dibaca. Sumber berasaskan manusia, sumber berasaskan bahan cetak, bahan audiovisual dan sumber berasaskan komputer seperti internet.

2.3.7          Kemahiran menemu ramah
       Maklumat boleh diperolehi dengan menemu ramah individu seperti tokoh, pakar bidang tertentu , orang kenamaan atau orang tang terlibat secara langsung dalam sesuatu peristiwa. Kemahiran menemu ramah seseorang memerlukan persediaan pada peringkat awal (kesesuaian tokoh,menentukan tugasan,masa temu janji dan soalan temu ramah) , semasa pelaksanaan ( menepati masa, soalan hendaklah relevan, merakam hasil temu ramah jika perlu) dan selepas pelaksanaan ( teliti maklumat , bina rangka,lengkapkan maklumat, tambahkan gambar).

2.3.8          Kemahiran membuat rujukan
       Dalam era ledakan maklumat, terlalu banyak maklumat yang perlu diingati . Oleh hal yang demikian, kita perlu megetahui cara berkesan untuk mengenalpasti maklumat dengan cekap tanpa perlu mengingat semuanya. Kemahiran membuat rujukan merupakan satu kaedah untuk mengesan maklumat . Kemahiran membuat rujukan meliputi beberapa perkara seperti maklumat daripada pusat sumber, maklumat dari buku, maklumat dari ensiklopedia, kamus ,internet dan laman web.

Keupayaan murid menguasai kemahiran belajar ini akan membantu meningkatkan pencapaian murid dalam pembelajaran di dalam kelas dan sekali gus dapat mempertingkatkan pencapaian akademik murid tersebut. Justeru guru-guru perlu mengaplikasikan kemahiran belajar kepada murid untuk membolehkan murid meningkatkan ilmu pengetahuan dan kecekapan serta mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat.   


2.4       Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi
            Matlamat pembangunan pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia memberikan penekanan kepada pembangunan TMK yang menyeluruh , antaranya ialah meningkatkan pengetahuan dan kemahiran TMK dalam kalangan guru dan murid serta mengintegrasikan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran (p&p) supaya menjadi lebih berkesan . TMK telah membawa arus perubahan yang besar pada sekolah antaranya ialah TMK membantu murid untuk meneroka , mengakses dan mempersembahkan maklumat dalam pelbagai bentuk serta bersifat dinamik seperti MS Word, Power Point , internet dan lain-lain lagi. TMK juga mewujudkan peluang kepada murid mengakses , memperkembang, mengubah dan berkongsi maklumat serta idea-idea baharu mengikut kadar masa dan kendiri murid itu sendiri.
Kemampuan kemahiran menggunakan TMK bergantung kepada bagaimana alat TMK digunakan untuk dijadikan alat berfikir secara kritikal. Penggunaan TMK perlu dirancang dengan teliti untuk meningkatkan keberkesanan pembelajaran supaya sesuai dengan pembelajaran berfikrah dan bersifat kendiri. Penggunaan TMK dalam p&p juga merupakan alat untuk pembelajaran kolaboratif dan konstruktivisme, iaitu murid digalakkan untuk membina , menilai, memanipulasi dan mempersembahkan idea serta pengetahuan yang baharu. Teknologi pada masa kini mendesak penggunaan sumber-sumber digital secara meluas dengan cara mengintegrasikan dalam p&p di samping penggunaan sumber-sumber sedia ada.
Kemahiran TMK adalah selaras dengan kehendak Kementerian Pelajaran Malaysia dimana ia memastikan semua guru dan murid celik TMK, menyelaraskan semua aktiviti dan inisiatif TMK di bawah jawatankuasa Maklumat Pengkomputeran kementerian. Menilai semua perisian kursus yang telah dihasil. Mengutamakan peranan dan fungsi TMK dalam pendidikan sebagai mata pelajaran atau pengupaya dalam p&p dan menggalakkan penggunaan TMK bagi meningkatkan produktiviti , kecemerlangan dan keberkesanan sistem pengurusan.
Ringkasnya TMK dapat membantu guru mempertingkatkan keberkesanan p&p di bilik darjah .Melalui TMK guru-guru dapat menjimatkan masa , pembelajaran menjadi lebih terbuka dan bebas serta fleksibel. Guru tidak terlalu terikat dengan kurikulum yang terhad . Hal yang demikian dapat mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif, menarik, mencabar dan menyeronokkan murid. Selain guru, murid juga akan mendapat banyak manafaat daripada penggunaan TMK dalam p&p ini dengan cara murid dapat mengakses maklumat yang sukar diperolehi terutama berkaitan dengan isu semasa dan bersifat global. Murid juga dapat mengumpul maklumat yang memerlukan masa yang lama atau mahal untuk diperoleh. Murid akan dapat meningkatkan kreativiti, keyakinan diri dan imaginasi murid melalui tugas projek dan aktiviti kumpulan. Ia juga dapat memberi peluang kepada murid untuk belajar dengan berkesan melalui bimbingan yang minimum daripada guru. Ia akan mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan mencabar kerana murid berpeluang melaksanakan sendiri segala tugasan yang diberikan oleh guru dan seterusnya dapat meningkatkan kemahiran TMK melalui penggunaan secara professional.          


3. Rumusan
       Setelah penerangan tentang empat Kemahiran Bernilai Tambah (KBT) yang telah dibincangkan maka bolehlah dirumuskan bahawa setiap murid mempunyai kebolehan dan kecerdasan yang berbeza, maka kreativiti guru untuk menyesuaikan sesi pengajaran dan pembelajaran dengan jenis kecerdasan murid akan memberi ransangan untuk belajar dengan penuh minat dan bersemangat. Oleh itu, murid akan lebih menguasai ilmu yang dipelajari . Proses ini memungkinkan murid menyedari potensi dan kecerdasan diri. Begitu juga dengan pengintegrasian TMK dalam p&p akan menjadikan suasan penbelajaran lebih aktif , segar dan menyeronokkan.