Banyak negeri menggunakan isu vandalisme dalam percubaan PMR 2010 .tengoklah bahan ni kalau berguna.
Vandalisme
Vandalisme ialah perbuatan merosakkan harta benda awam oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Rata-ratanya perbuatan ini dilakukan oleh golongan remaja yang terpengaruh dengan budaya `punk’ dan `rock’ dart Barat.
Vandalisme dilakukan oleh beberapa kategori remaja. Pertama, perbuatan vandalisme ini dilakukan oleh mereka yang hanya ingin mengecapi keseronokan berbuat demikian. Mereka mungkin berbuat demikian sekadar untuk menghabiskan masa lapang. Kedua, golongan remaja yang mengalami konflik jiwa yang hebat. Remaja yang hidup keseorangan merasakan dunia ini tidak bermakna. Kesunyian menyebabkan mereka melakukan vandalisme untuk menarik perhatian orang ramai. Ketiga, golongan yang terdiri daripada mereka yang tidak puas hati dengan keadaan diri dan masyarakat. Keempat, golongan remaja yang dilamun cinta. Vandalisme yang dilakukan oleh golongan ini bertumpu di tamantaman, tepi pantai dan tempat rekreasi. Golongan ini dikuasai dorongan emosi diri.
Walaupun perbuatan vandalisme tidak memudaratkan dan membawa kerosakan yang kekal, perbuatan ini mencemarkan tempat tumpuan orang ramai. Bagaimana kalau lakaran lucah dan perkataan yang memberahikan dibaca oleh golongan muda? Ini sudah tentu akan menimbulkan imaginasi dan khayalan seks yang boleh mendorong seseorang melakukan perbuatan jenayah seperti rogol, mencabul kehormatan dan melakukan hubungan seks bebas. Selain itu, belanja yang tinggi diperlukan untuk membersihkan tempat yang telah diconteng. Semua usaha pembersihan dan pemulihan ini memerlukan tenaga yang bukannya sedikit.
Vandalisme juga boleh mencetuskan ketegangan antara kaum. Sekiranya didapati kedai orang Cina diconteng oleh remaja Melayu atau India, berkemungkinan ia akan menimbulkan konflik dan pergaduhan antara kaum. Ini akan menyukarkan lagi usaha mewujud perpaduan kaum dalam masyarakat berbilang kaum dan agama, sekali gus mengancam keselamatan dan kestabilan negara.
Perbuatan vandalisme tidak boleh dibiarkan. Sesetengah pihak tidak mempedulikan perbuatan ini kerana menganggapnya sebagai fenomena sementara yang akan terhenti dengan sendiri. Benarkah begitu? Vandalisme dilakukan secara berterusan daripada satu generasi kepada generasi lain. Kalau perbuatan ini didiamkan begitu sahaja, sudah tentu kita menggalakkan perbuatan vandalisme. Oleh itu, penyelesaian dan jalan keluar perlu dicari seperti menyediakan tempat khas untuk para remaja meluahkan isi hati.
Walaupun selama ini perbuatan vandalisme tidak dianggap sebagai jenayah dan tidak ada peruntukan undang-undang untuk mendenda atau menangkap para pelakunya, remaja yang didapati melakukan vandalisme seharusnya dikenakan hukuman kompaun. Kompaun ini dapat memberi pengajaran kepada mereka yang ingin melakukan vandalisme, setidak-tidaknya mereka akan berfikir dahulu sebelum berbuat demikian.
Kesimpulannya, masyarakat boleh memainkan peranan penting memberi kefahaman betapa buruknya akhlak mereka yang melakukan vandalisme. Misalnya, ibu bapa sebagai orang yang terdekat dengan remaja patut mendidik anak-anak dengan contoh teladan baik serta mengasihi dan meluangkan masa bersama anak-anak agar tidak timbul fenomena kebosanan dan kekosongan di hati remaja. Pihak sekolah pula boleh menerapkan kesedaran untuk membentuk remaja berjiwa sihat dan berfikiran matang sebelum melangkah ke alam dewasa
Sumber : Tutor Utusan
Faktor-faktor Berlakunya Vandalisme
i. Pengaruh Rakan Sebaya
Pengaruh rakan sebaya boleh menyebabkan vandalisme. Golongan remaja biasanya lebih mudah meniru dan terpengaruh dengan rakan sebaya. Pengaruh rakan sebaya akan mencorakkan sikap, nilai dan tingkah laku remaja, lebih-lebih lagi remaja yang tercicir dan menghadapi masalah keluarga. Kebiasaannya, golongan remaja yang melakukan vandalisme merupakan remaja dalam kumpulan, Mereka tidak mempunyai tujuan dan apabila berkumpul timbullah pelbagai idea termasuklah menconteng harta benda awam dan merosakkannya.
ii. Ibu Bapa dan Keluarga
Ibu bapa ialah pendorong kepada sifat vandalisme di kalangan remaja. Contohnya, ketika memandu ibu bapa membuang sampah atau kulit buah-buahan seperti rambutan dan limau di samping tidak menghiraukan papan tanda had kelajuan. Sesetengah remaja yang terjebak dalam gejala vandalisme berasal daripada keluarga bermasalah atau keluarga yang mengamalkan budaya hidup negatif. Menurut kajian yang dijalankan vandalisme dendam dilakukan oleh remaja yang ingin bebas dan berlatarkan keluarga yang bermasalah. Selain itu kurangnya kawalan dan bimbingan yang sempurna daripada ibu bapa juga antara faktor utama mendorong remaja terjebak dalam gejala negatif ini.
iii. Pengaruh Media Massa
Media massa mempunyai pengaruh dan kesan yang amat kuat dan sukar sekali dielakkan dewasa ini. Paparan adegan-adegan negatif dari filem-filem atau rancangan dari barat yang mempunyai unsur-unsur perlakuan ke arah vandalisme boleh mempengaruhi remaja melakukan vandalisme. Golongan remaja lazimnya mudah meniru dan mengikut hal yang dilihat di sekeliling termasuk media massa, apatah lagi tanpa bimbingan dan tunjuk ajar sewajarnya.
iv. Sikap Apati ( tidak peduli), Individualistik dan Materialistik Masyarakat
Remaja adalah produk sistem sesebuah masyarakat. Masyarakat yang pincang akhirnya akan melahirkan produk yang pincang.Sikap sesetengah masyarakat kini yang mementingkan soal kebendaan dan tidak ambil peduli terhadap isu-isu sosial sememangnya merumitkan masalah yang sedia wujud. Menurut kajian masalah vandalisme banyak berlaku di bandar. Golongan remaja menconteng dan merosakkan harta benda awam bukannya tidak terpelajar tetapi generasi yang dilahirkan di bandar sukar dikawal. Di kawasan bandar sesetengah penduduknya tidak ambil peduli terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Oleh itu golongan remaja merasakan diri mereka bebas untuk meneruskan gejala negatif ini tanpa menghiraukan rasa tanggungjawab terhadap harta benda awam.
Langkah-langkah
i. Penguatkuasaan Undang-undang
Penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang perlu dijalankan oleh pihak berkenaan. Di bawah Akta Kerajaan Tempatan 9 Undang-Undang Kecil Vandalisme 1991), sesiapa yang didapati merosakkan harta benda awam boleh didenda yang membabitkan RM 2,000 atau penjara tidak lebih setahun jika sabit kesalahan.Pelaksanaan undang-undang baru menetapkan pesalah-pesalah vandalisme menjalankan kerja-kerja khidmat masyarakat dan mereka juga akan menggunakan pakaian seragam pesalah vandalisme. (kerja ini dilakukan di tempat awam seperti pusat membeli-belah)Tindakan tegas perlu dikenakan kepada pesalah agar menjadi teladan kepada rakan-rakan.
ii. Peranan Ibu Bapa dan Keluarga
Ibu bapa berperanan memberi tunjuk ajar kepada golongan remaja tentang falsafah kepentingan harta benda awam. Ibu bapa semestinya menerangkan kepada anak-anak tentang pentingnya menganggap harta benda orang lain sama seperti harta sendiri. Secara tidak langsung sekiranya anak sudah diingatkan dengan falsafah ini maka sudah tentu masalah vandalisme tidak seteruk hari ini. Ibu bapa perlu mengasihi dan mendampingi anak-anak mereka supaya tidak berlaku kebosanan dan kekosongan di hati remaja. Kesedaran perlu diterapkan untuk membentuk jiwa remaja yang sihat dan fikiran yang matang sebelum melangkah ke alam dewasa.
iii. Peranan Masyarakat dan Pihak Sekolah.
Setiap anggota masyarakat perlu bersikap prihatin dan memberi perhatian kepada anak mereka agar tidak melakukan perbuatan yang salah ini dan masyarakat perlu peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Masyarakat perlu proaktif terhadap gejala vandalisme yang berlaku di kawasan mereka. Selain itu anggota masyarakat boleh memainkan peranan penting memberikan kefahaman betapa buruknya akhlak vandalisme. Pihak sekolah patut memberi nasihat dan bimbingan kepada pelajar mengenai kepentingan harta awam .Generasi muda perlu diterangkan dengan mendalam tentang tanggungjawab mereka terhadap harta benda awam. Terangkan kepada pelajar apa perasaan mereka sekiranya beg sekolah mereka diconteng atau dikoyak oleh mereka tidak bertanggungjawab Kesedaran seumpama itu akan sedikit sebanyak memberi gambaran tentang pentingnya sikap dan tanggungjawab.
iv. Peranan Media Massa
Selain berfungsi sebagai media hiburan dan sumber maklumat terkini, media massa juga seharusnya ada tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Media massa memainkan peranan dan mempunyai pengaruh kuat dari segi menanam kesedaran memperoleh kerjasama dan menyampai maklumat tentang vandalisme dalam apa bentuk rancaangan yang tersiar atau yang terdapat dalam media massa.
Media massa juga berperanan membantu pihak kerajaan dari segi mengadakan kempen agar masyarakat faham dan menghayati kempen ” Harta Awam Milik Bersama” kerana dengan adanya iltizam dan komitmen daripada media massa maka kempen ini dapat direalisasikan keberkesanannya.
Kerugian akibat vandalisme
Plus rugi RM13 juta akibat vandalisme
2010/03/25
KUALA LUMPUR: Pemegang konsesi Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) membelanjakan lebih RM13 juta untuk memasang semula peralatan dan kemudahan yang dirosakkan di sepanjang lebuh raya itu tahun lalu.
Ketua Pegawai Operasi Plus Expressways, Nik Airina Nik Jaffar, berkata pada tempoh itu lebih 5,000 kes kerosakan harta dilaporkan di sepanjang lebuh raya berkenaan seperti pagar, kabel tembaga telefon kecemasan, kelengkapan di tandas dan perabot.
"Sungguhpun kita komited dengan perbelanjaan ini untuk keselesaan dan keselamatan pengguna kita, perbelanjaan ini lebih baik digunakan bagi projek menaik taraf kemudahan bagi manfaat semua pengguna," katanya pada taklimat media di sini hari ini.
Beliau berkata, Plus komited untuk membanteras aktiviti merosakkan harta awam supaya pengguna lebuh raya boleh menikmati perjalanan yang selesa dan menyenangkan.
"Langkah yang diambil untuk mengatasi masalah ini termasuk meningkatkan pemantauan dan pengawasan serta manjalankan operasi bersama dengan pihak berkuasa serta polis di lebuh raya," katanya.
Plus, katanya, mempunyai lebih 300 anggota PlusRonda dan 60 pasukan intervensi yang bertugas 24 jam untuk mencegah aktiviti merosakkan harta awamnya.
Nik Airina berkata, orang ramai boleh juga memainkan peranan dengan melaporkan aktiviti yang mencurigakan di sepanjang lebuh raya itu dengan menghubungi 24-jam PLUSLine di talian 1800-88-0000.
Lebuh raya itu yang menghubungkan banyak bandar raya dan bandar utama digunakan lebih sejuta kenderaan setiap hari. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan