CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Selasa, 11 Januari 2011

SEJ T6 Perjanjian Burney 1826

Perjanjian Burney 1826


Pengenalan

Pengaruh Siam di negeri-negeri Melayu Utara membimbangkan British kerana perkembangan ini menjejaskan pendudukan British di Pulau Pinang serta kepentingan British di Tanah Melayu. Akibatnya pada Disember 1825, Kapten Burney dihantar oleh Robert Fullerton bagi mengadakan rundingan dan menandatangani perjanjian dengan Siam. Henry Burney telah diarah berbincang mengenai hubungan perdagangan dan persahabatan antara Siam dengan British, kepentingan British di Tanah Melayu mengenai perdagangan, masalah pembahagian takhta, Sultan Ahmad Tajuddin dan soal kemerdekaan Perak dan Selangor. Selepas berada di Siam selama 6 bulan, Henry Burney berjaya menandatangani perjanjian pada 20 Jun 1826.

Syarat-syarat perjanjian

1. Pedagang-pedagang British dibenarkan berdagang di Bangkok dan dikenakan cukai yang berpatutan.

2. Mengenai Kedah:

a. Kedah kekal sebagai tanah jajahan Siam.

b. Sultan Kedah tidak dibenarkan tinggal di Pulau Pinang, Seberang Perai, Perak, Selangor atau Burma.

c. British bertanggungjawab untuk menghalang Sultan Kedah dan pengikut-pengikutnya menyerang Siam dan wilayah-wilayahnya.

d. British dibenarkan berdagang di Kedah tetapi tidak boleh campur tangan dalam hal pentadbiran.

e. Siam mengiktiraf pendudukan British di Pulau Pinang dan Seberang Perai.

3. Mengenai Perak:

a. Siam mengiktiraf kemerdekaan Perak dan Selangor.

b. British dibenarkan berdagang di Perak tetapi tidak boleh campur tangan dalam hal pentadbiran.

c. Siam dibenarkan menghantar perwakilan antara 40-50 orang ke Perak tetapi tidak dibenarkan menyerang, mengancam dan mencabul Perak.

d. British bertanggungjawab menghalang Selangor menyerang Perak.

e. Mengenai penghantaran bunga emas dan lain-lain hantaran ke Siam, negeri Perak diberi kebebasan sama ada menghantar atau tidak. Sekiranya Perak bersetuju menghantar ke Siam, maka British tidak berhak untuk menghalang.

4. Mengenai Kelantan dan Terengganu:

a. Siam berjanji tidak akan mengganggu perdagangan British di Kelantan atau Terengganu.

b. British dibenarkan berdagang di Terengganu tetapi tidak boleh campur tangan dalam hal pentadbiran.

c. Kelantan dan Terengganu akan terus menghantar ufti yang berupa bunga emas kepada Siam tiap-tiap 3 tahun sekali.


Kesan-kesan perjanjian

1. Kedah

Perjanjian Burney yang telah ditandatangani mengecewakan Sultan Ahmad dan baginda tidak dapat menerimanya. Baginda kecewa kerana dengan terang British telah memperdayakannya. Oleh itu, Sultan Ahmad yang masih menetap di Pulau Pinang mengambil keputusan melancarkan serangan ke atas Siam. Dengan bantuan orang Melayu Kedah, Kelantan dan Terenngganu, Sultan ahmad menyerang Kedah pada tahun 1831, 1836 dan 1838 tetapi kesemua serangan ini gagal kerana British telah mengepung dan melindungi Kedah daripada serangan Sultan Ahmad. Malah, Sultan Ahmad telah dipindahkan dari Pulau Pinang untuk menetap di Melaka.


Baginda terpaksa menetap di Melaka sehingga 1842 bagi mematuhi syarat-syarat Perjanjian Burney. Menjelang tahun 1840, sikap Sultan Kedah, Raja Siam dan British mulai berubah. Sultan Ahmad yang telah lanjut usianya merasai penentangan terhadap Siam tidak berfaedah kerana pihak British tetap menyebelahi mereka. Pihak Siam pula merasa penglibatannya dalam hal ehwal negeri Kedah tidak lagi penting kepada mereka. Pertempuran-pertempuran yang berterusan hanya akan membebankan negeri Siam. Melalui kesedaran itu, Sultan Ahmad mengambil jalan yang lebih berkesan iaitu melalui rundingan. Dengan kerjasama British, satu perwakilan yang diketuai oleh Putera Sultan Ahmad, iaitu Tengku Daik telah dihantar ke Bangkok pada tahun 1841 bagi membincangkan soal pembahagian takhta Sultan Ahmad Tajuddin.

Pada tahun 1842, Sultan Ahmad Tajuddin diserahkan kembali takhtanya dan Kedah mestilah kekal sebagai jajahan takluk Siam dan menghantar bunga emas tiap-tiap 3 tahun sekali. Kedah juga diperkecilkan kawasannya iaitu Setul dan Kubang Pasu diletakkan di bawah pemerintahan Siam dan Perlis dipisahkan dan diperintah oleh Syed Sapee dengan gelaran Raja Perlis.

2. Perak

Siam tidak mematuhi Perjanjian Burney berkaitan dengan Perak. Pada bulan Ogos 1826, pihak berkuasa di Selatan Siam, iaitu Raja Ligor telah menghantar satu angkatan tentera ke Perak dengan alasan untuk membantu Perak dalam hal ehwal pentadbiran. Muslihat Raja Ligor yang sebenarnya ialah untuk memaksa Raja Perak menghantar bunga emas ke Siam. Pada September 1826, Sultan Perak telah memohon bantuan British bagi menghapuskan naungan Siam ke atas Perak.

Akibatnya, Gabenor Fullerton telah menghantar satu angkatan ke Perak yang terdiri daripada 40 orang askar yang diketuai oelh Kapten James Low ke Perak. James Low telah diarahkan untuk menasihati Sultan Perak mengenai haknya untuk memilih sama ada hendak menghantar bunga emas ke Siam atau tidak. Selain itu, Low juga memberi jaminan bantuan kepada Sultan Perak jika Perak diserang oleh Siam. Setelah di Perak, Low berjaya menggulingkan golongan pro-Siam. Askar-askar Siam juga berundur dari Perak. Pada 18 Oktober 1826, Low telah melampaui arahan dan menandatangani persetiaan dengan Sultan Abdullah. Syarat-syaratnya ialah:

a. Perak berjanji tidak akan mengadakan hubungan politik dengan Siam atau negeri-negeri lain.

b. Perak bersetuju tidak akan menghantar bunga emas atau lain-lain persembahan kepada Siam atau negeri-negeri Melayu lain.

c. British beratnggungjawab untuk melindungi Perak daripada sebarang serangan luar.

d. Pedagang-pedagang dari mana-mana negeri dibenarkan berdagang di Perak asalkan mereka tidak campur tangan dalam hal ehwal Perak.

e. Sultan Perak tidak akan membenarkan wakil-wakil yang lebih daripada 30 orang lelaki daripada negara-negara lain masuk ke Perak dengan tujuan untuk campur tangan dalam hal ehwal politik.

f. Dinding dan Pulau Pangkor diserahkan kepada British.

James Low juga berjaya menghancurkan kegiatan lanun di Sungai Kurau selepas tertangkapnya ketua lanun, iaitu Nakhoda Udin yang pro-Siam. Tindakan British ini telah berjaya menyelamatkan Perak daripada menerima nasib seperti Kedah dan menghentikan kemaraan Siam.

3. Kelantan/Terangganu

Perjanjian Burney tidak menentukan dengan jelas hubungan Kelantan dan Terengganu dengan Siam. Akibatnya, Kelantan menerima pertuanan Siam tetapi Terengganu menolaknya. Terengganu menganggap negerinya tidak pernah dijajah oleh Siam. Penghantaran bunga emas hanya menjadi tradisi dan mengekalkan persahabatan dengan Siam. Oleh itu, Siam berusaha untuk mengukuhkan pengaruhnya di Terengganu dan mengekalkan pengaruhnya ke Pahang. Usaha ini dijalankan dengan melibatkan diri dalam perang saudara di Pahang (1857-1863) antara Wan Ahmad dan Wan Mutahir.

Pada Oktober 1862, satu angkatan Siam telah tiba di Kuala Terengganu dalam usaha membantu Wan Ahmad menyerang Pahang. Selain itu, kehadiran angkatan tersebut juga bertujuan membantu Sultan Mahmud dari Lingga merampas takhta Terengganu daripada bapa saudaranya, Sultan Omar yang tidak menerima pertuanan Siam. Kekacauan yang berlaku bukan sahaja mengganggu perdagangan di Pahang tetapi juga di Kelantan dan Terengganu. Akibat dari desakan pedagang-pedagang, gabenor Negeri-negeri Selat, iaitu Cavenagh telah menghantar sebuah kapal perang ke Kuala Terengganu pada November 1862 dengan tujuan hendak mendesak Siam dan Sultan Mahmud dari Lingga berundur dari Terengganu dan tidak melibatkan diri dalam perang saudara Pahang.

Keengganan Siam telah menyebabkan kapal perang British membedil Kuala Terengganu pada 4 November 1862. Akibatnya, angkatan tentera Siam dan Sultan Mahmud dari Lingga mengundurkan diri. Tindakan British ini berjaya menghalang pengaruh Siam dan merebak ke Pahang.

1 ulasan: