CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Sabtu, 1 Januari 2011

SEJ T 6 Pendidikan

Pendidikan

Pengenalan

Sehingga Laporan Jawatankuasa Pelajaran 1956 (Laporan Razak), tiada terdapat satu sistem pendidikan nasional di Tanah Melayu. Apa yang wujud ialah 4 sistem sekolah yang berlainan di Tanah Melayu, iaitu Sekolah Melayu, Sekolah Cina, Sekolah Tamil dan Sekolah Inggeris. Seperti yang dinyatakan oleh Paul Chang Ming Phang, sistem sekolah berbilang bahasa di Tanah Melayu disebabkan oleh 3 faktor iaitu struktur penduduk yang berbilang bangsa, usaha individu-individu dan badan-badan mubaligh dan ketiadaan satu dasar pendidikan yang sejajar dengan matlamat-matlamat yang tetap. Kewujudan sistem sekolah berbilang bahasa telah menyulitkan proses nation-building selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.


Pendidikan Melayu

1. Pengenalan

Pendidikan Melayu secular telah diperkenalkan oleh British pada abad ke-19. Sebelum itu, pendidikan Melayu umumnya berbentuk agama. Murid-murid diajar mengaji dan membaca al-Quran serta cara-cara bersembahyang. Bahasa pengantarnya ialah Bahasa Arab dan guru-guru biasanya terdiri daripada imam-imam masjid. Bahasa Melayu tidak dititikberatkan. Hal ini adalah kerana ibu bapa mementingkan pendidikan agama Islam. Pada tahun 1821, sebuah Sekolah Melayu dibuka di Gelugor sebagai cawangan Penang Free School (sekolah aliran Inggeris) yang diasaskan oleh R.S. Hutchings pada tahun 1816.

2. Pertumbuhan Sekolah-sekolah Melayu

a. Negeri-negeri Selat

Akibat dari usaha mubaligh-mubaligh beberapa Sekolah Melayu telah dibuka di Singapura, Melaka dan Pulau Pinang. Pada tahun 1855, sebuah Sekolah Melayu telah dibuka di Bayan Lepas (Pulau Pinang). Pada tahun 1856, 2 buah sekolah Melayu telah dibuka di Singapura, satu di Teluk Belanga dan satu lagi di Kampung Gelam. Di Melaka terdapat 9 buah Sekolah Melayu yang dibuka antara tahun-tahun 1858-63. Pada tahun 1871, A.M. Skinner, Pemangku Majistret di Butterworth telah menyusun semula sistem pendidikan Melayu di Province Wellesley.

Beliau mencantumkan sistem persekolahan moden dengan sistem pelajaran Quran. Murid-murid mengikuti pelajaran sekular di sebelah pagi dan mereka mengaji Quran di sebelah petang. Gaji guru-guru yang mengajar pelajaran sekular dibayar oleh kerajaan manakala gaji guru-guru agama dibayar oleh ibu bapa dan murid-murid. Percubaan Skinner telah berjaya dan beliau dilantik sebagai Nazir sekolah-sekolah pada tahun 1872. Bilangan Sekolah Melayu di Negeri-negeri Selat telah meningkat daripada 16 buah pada tahun 1872 (jumlah murid 596 orang) kepada 189 buah pada tahun 1892 (jumlah murid 7218 orang). Pada tahun 1884, Kerajaan British telah membuka sekolah pertama untuk murid-murid perempuan di Teluk Belanga, Singapura. Pada tahun 1889 pula, sebuah lagi sekolah sedemikian telah dibuka di Pulau Pinang.

b. Negeri-negeri Melayu Bersekutu

Nazir Sekolah-sekolah Melayu bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu hanya dilantik pada tahun 1897. Bilangan Sekolah Melayu di negeri-negeri tersebut telah meningkat daripada 168 buah (157 bagi murid lelaki dan 11 bagi murid perempuan) pada tahun 1898 kepada 266 buah pada tahun 1907 (232 bagi murid lelaki dan 34 bagi murid perempuan).

c. Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu

Sekolah Melayu yang pertama di Kedah telah ditubuhkan pada kira-kira tahun 1897. Sekolah ini mula-mulanya dikhaskan untuk anak-anak lelaki orang-orang besar sahaja. Pada tahun 1910 telah ada 20 buah Sekolah Melayu di Kedah. Jawatan Nazir Pelajar diadakan pada tahun 1911. Kelantan mempunyai Sekolah Melayu yang pertama pada tahun 1903. Terengganu tidak mempunyai sebuah pun Sekolah Melayu sebelum tahun 1915 sedangkan Perlis telah mempunyai 5 buah pada tahun 1913. Sekolah-sekolah Melayu tumbuh dengan pesatnya di Johor yang berhampiran dengan Singapura. Pada tahun 1913, negeri Johor mempunyai 56 buah sekolah.

3. Tujuan pendidikan Melayu

Mengikut Dr. Awang Had Salleh, pendidikan sekular Melayu anjuran British mempunyai 4 tujuan besar iaitu:

a. Mengekalkan kestabilan politik dengan tidak memberi pelajaran yang berlebihan.

b. Mengekalkan status quo dengan memastikan orang Melayu tinggal terus di kampung-kampung sebagai penanam padi.

c. Menghasilkan pekerja-pekerja rendah seperti pemandu kereta lembu, penanam padi, nelayan, pekedai-pekedai kecil dan kerani-kerani rendah.

d. Menghapuskan buta huruf supaya orang Melayu tidak tertipu dalam masyarakat berbilang bangsa.

Pada hakikatnya, pendidikan bahasa Melayu sebelum tahun 1942 kurang memberi peluang kepada orang Melayu mencapai kemajuan dalam bidang sosial dan ekonomi. Pendidikan Melayu hanya bertujuan untuk memelihara cara hidup tradisional orang Melayu.

4. Sukatan pendidikan Melayu

Pada amnya, pendidikan Melayu hanyalah untuk empat tahun. Sekolah-sekolah Melayu yang lebih besar menyediakan pelajaran hingga ke darjah 6. Taraf pengajaran umumnya adalah rendah. Sebelum tahun 1917, pengajaran yang diberi di sekolah-sekolah Melayu ialah membaca, menulis, mengira dan ilmu alam serta karangan. Sejak tahun 1917 secara beransur-ansuran, tumpuan juga diberi kepada perkebunan dan pertukangan tangan. Bangunan dan alat kelengkapan sangatlah rendah mutunya berbanding dengan sekolah-sekolah bahasa Inggeris. Kebanyakan sekolah tidak mempunyai bilik darjah yang sesuai.

5. Perkembangan pendidikan Melayu

Perkembangan pendidikan Melayu (terutamanya bagi kanak-kanak perempuan) pada peringkat awal adalah lembap oleh sebab perkara berikut:

a. Ibu bapa cemburukan kehilangan tenaga kanak-kanak mereka yang diperlukan bagi kerja di rumah.

b. Mempunyai syak wasangka terhadap pendidikan sekular yang tidak menitikberatkan pengajaran Quran.

c. Lebih suka anak-anak perempuan duduk di rumah sehingga mereka dikahwinkan.

Mulai abad ke-20 pendidikan Melayu mula berkembang maju. Antara tahun-tahun 1900-23, Kerajaan British di Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah meluluskan beberapa enakmen yang mewajibkan kanak-kanak lelaki Melayu yang berumur antara 7-14 tahun bersekolah sekurang-kurangnya selama setengah tahun jika mereka tinggal dalam lingkungan 2 batu dari sekolah. Enakmen-enakmen tersebut telah menggalakkan perkembangan pendidikan sekular Melayu di Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Berbagai-bagai usaha diambil untuk memperbaiki nilai pendidikan Bahasa Melayu selepas perlantikan R.J. Wilkinson sebagai Nazir Sekolah-sekolah Persekutuan pada tahun 1903. Beliau telah memperkenalkan tulisan rumi yang sistematik serta menyusun kamus Melayu yang pertama. Wilkinson juga bertanggungjawab menerbitkan buku-buku klasik Melayu yang membangkitkan minat orang Melayu terhadap bahasa dan kesusasteraannya sendiri. Kerajaan British telah menubuhkan beberapa maktab latihan perguruan Melayu bagi meninggikan mutu pengajaran di sekolah-sekolah Melayu.

Pada tahun 1878, Maktab Melayu Singapura telah ditubuhkan untuk melatih guru-guru. Maktab ini ditutup pada tahun 1895. Pada tahun 1900 sebuah maktab latihan perguruan dibuka di Melaka. Kemudian pada tahun 1913, sebuah lagi maktab perguruan dibina di Matang, Perak. Maktab Perguruan Melayu yang paling terkemuka ialah Maktab Perguruan Sultan Idris yang telah dibuka pada tahun 1922 di Tanjung Malim, Perak. Pada tahun 1924, sebuah Biro Terjemahan telah ditubuhkan di maktab ini untuk menterjemahkan buku-buku Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu. Pada tahun 1935, Maktab Perguruan Perempuan Melayu dibuka di Melaka. Pelajar-pelajar maktab ini diambil dari Negeri-negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Pendidikan Cina

Pendidijan Cina di Tanah Melayu dipelopori oleh mubaligh-mubaligh Kristian. Persatuan Mubaligh London telah menubuhkan sebuah sekolah Cina di Melaka pada bulan Ogos 1815. Namun demikian, kebanyakan sekolah Cina telah dibuka dan diselenggarakan oleh masyarakat Cina sendiri. Pada tahun 1854, sebuah sekolah Cina telah diasaskan oleh pemimpin-pemimpin Hokkien di Singapura.

Di antara tahun 1854-84, lebih daripada 100 buah sekolah Cina telah dibuka di Tanah Melayu. Sekolah-sekolah ini menggunakan berbagai-bagai loghat sebagai bahasa pengantar. Murid-murid ini mempelajari klasik-klasik Cina secara hafal dan bagaimana menggunakan capua.

Pendidikan Cina telah berkembang pesat mulai abad ke-20 akibat pengaruh pemimpin-pemimpin politik negara China seperti Kung Yu Wei dan Sun Yat Sen. Tujuan mereka ialah untuk memupuk kesedaran politik dan perasaan kebangsaan di kalangan orang Cina seberang laut. Sekolah-sekolah yang berasaskan pengajaran Confucius dan sains moden mula dibuka di seluruh Tanah Melayu dan Singapura.

Di antara tahun 1911-19 lebih daripada 50 buah sekolah Cina telah dibuka di Tanah Melayu. Guru-guru dan buku teks dibawa dari negara China. Di sesetengah sekolah, perkembangan politik di negara China dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran.

Mulai tahun 1920, bahasa Mandarin (Kuo Yu) digunakan sebagai bahasa pengantar di kebanyakan sekolah Cina. Hal ini adalah selaras dengan perkembangan di negara China di mana Mandarin dijadikan bahasa kebangsaan. Pada tahap awal, Kerajaan British membenarkan sekolah-sekolah Cina berkembang dengan pesat dan bebas.

British tidak membantu atau mengawal sekolah-sekolah Cina. Namun demikian, pada tahun 1920, Kerajaan British telah meluluskan enakmen pendaftaran sekolah untuk mengawasi sekolah Cina. Hal ini adalah kerana sekolah Cina telah mula dipengaruhi oleh politik negara China. Di bawah Enakmen Pendaftaran Sekolah, semua guru dan sekolah dikehendaki mendaftar dengan kerajaan. Kerajaan British mula memberi bantuan kewangan kepada sekolah Cina pada tahun 1923.

Kerajaan British melantik seorang Nazir sekolah-sekolah Cina untuk mengawasi sekolah Cina. Sekolah Cina mempunyai pelajaran rendah 6 tahun, menengah rendah 3 tahun dan menengah atas 3 tahun. Sekolah-sekolah menengah menyediakan para pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke universiti di China. Mutu pelajaran sekolah Cina lebih tinggi daripada mutu pelajaran sekolah Melayu dan sekolah Tamil. Menurut Abu Zahari, peruntukan persekutuan bagi sekolah Cina telah bertambah berlipat ganda menjelang tahun 1938.

Pendidikan Tamil

Pada tahun 1821, sebuah sekolah Tamil dibuka di perkarangan Penang Free School. Pada tahun 1850, terdapat sebuah sekolah Anglo-Tamil yang dibantu oleh kerajaan di mana Inggeris dan juga Tamil diajar. Namun demikian, seperti dinyatakan oleh Paul Chang Ming Phang, sejarah sebenar pendidikan Tamil di Tanah Melayu bermula dengan perkembangan ladang kopi, gula, kelapa dan akhirnya getah.

Mulai tahun 1870, sekolah-sekolah kecil telah dibuka di ladang-ladang di mana penduduk India memerlukan pendidikan bagi anak-anak mereka. Kebanyakan sekolah ini merupakan hasil usaha persendirian. Kerajaan pada masa itu tidak menganggapnya perlu bagi memberi pendidikan kepada anak-anak buruh Tamil yang berhijrah masuk. Pada tahun 1905, terdapat 13 buah sekolah Tamil (kerajaan) dan 4 buah sekolah Tamil persendirian di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Menjelang tahun 1920, jumlah murid sekolah Tamil di negeri-negeri tersebut ialah lebih kurang 4000 orang.

Pada tahun 1923, Kerajaan British memperkenalkan satu undang-undang yang memaksa pihak pengurusan ladang untuk mendirikan sebuah sekolah sekiranya terdapat lebih daripada 10 orang anak buruh yang berumur di antara 7-14 tahun. Sekolah-sekolah ini hendaklah dibiayai oleh pihak pengurusan ladang.

Satu masalah utama yang dihadapi oleh sekolah Tamil ialah kekurangan guru-guru yang terlatih. Mutu pelajaran Tamil adalah rendah. Sekolah Tamil di ladang hanya memberikan pelajaran rendah selama 4-5 tahun. Buku-buku dibawa dari India. Persatuan-persatuan orang India ada menubuhkan sekolah Tamil di bandar. Mutu sekolah ini lebih tinggi dari sekolah ladang.

Pada tahun 1920-an, Kerajaan British mula mengawal sekolah Tamil. Seorang Nazir sekolah Tamil berbangsa Eropah telah dilantik pada tahun 1930. Pada tahun 1932, Kerajaan British mula memberi bantuan kewangan kepada sekolah Tamil.

Pendidikan Inggeris

1. Pengenalan

Kebanyakan sekolah Inggeris dibuka oleh mubaligh-mubaligh Kristian dan benda-benda awam. Kerajaan British pada mulanya tidak berminat untuk mengembangkan pendidikan Inggeris bagi faedah rakyat Tanah Melayu. Sekolah Inggeris boleh dibahagikan kepada 2 jenis, iaitu Sekolah Free dan Sekolah Inggeris Separa Bantuan (Grant-in-aid English School). Sekolah-sekolah Free dibuka dengan sumbangan wang dari orang ramai dan kerajaan. Sekolah ini seterusnya telah diambil alih sepenuhnya oleh Kerajaan. Sekolah Inggeris Separa Bantuan dibuka dan dibiayai oleh persatuan mubaligh. Apabila telah mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan, sekolah ini mula berkembang. Sekolah ini juga dikenali sebagai sekolah mubaligh.

2. Sekolah Free

Sekolah Inggeris yang awal ditubuhkan di Negeri-negeri Selat oleh mubaligh-mubaligh. Sekolah ini dinamakan Sekolah Free kerana ia menerima murid-murid dari pelbagai bangsa dan agama. Sekolah Free yang pertama (dan juga di Tanah Melayu) ialah Penang Free School yang diasaskan oleh Rev. R.S. Hutchins pada tahun 1816. Sekolah Free yang lain ialah Singapore Free School dan Malacca Free School. Semenjak ditubuhkan, Sekolah Free berada di bawah naungan kerajaan. Terdapat wakil kerajaan dalam Jawatankuasa Pengurusan sekolah tersebut. Sekolah Free telah diambil alih oleh kerajaan sepenuhnya akibat kegagalan Jawatankuasa Pengurusan untuk membiayai penyelenggaraannya. Sekolah pertama yang diambil alih oleh kerajaan ialah Malacca Free School. Penang Free School telah diambil alih kuasanya oleh kerajaan pada tahun 1920. Mulai tahun 1928, sekolah tersebut menjadi sekolah menengah pada keseluruhannya.

3. Sekolah Mubaligh

Kebanyakan dari sekolah mubaligh (mission schools) telah ditubuhkan dan dibiayai oleh Persatuan Mubaligh London, Kumpulan Mubaligh Roman Catholic, Kumpulan Mubaligh Methodist dan Gereja England (Church of England). Sekolah mubaligh terbuka kepada kanak-kanak terdiri daripada semua bangsa dan agama. Tujuan sekolah tersebut ialah untuk memberi pendidikan am serta memperbaiki akhlak berdasarkan ajaran agama Kristian. Sebelum Perang Dunia Pertama, lebih daripada 75% murid-murid lelaki memasuki sekolah Inggeris di Tanah Melayu dan Singapura adalah di sekolah mubaligh. Persatuan mubaligh telah membuka sekolah bagi murid lelaki dan perempuan.


Mubaligh-mubaligh Kristian adalah bertanggungjawab bagi perkembangan dan kepopularan pendidikan Inggeris di kalangan murid perempuan. Antara sekolah perempuan yang ditubuhkan ialah Sekolah Perempuan Bukit Bintang (Kuala Lumpur-1893), Sekolah Convent (Kuala Lumpur-1899), Sekolah Perempuan Inggeris Pudu (Kuala Lumpur-1914) dan Sekolah Perempuan St. George (Pulau Pinang). Menjelang tahun 1947, terdapat 33 buah sekolah perempuan yang ditubuhkan oleh persatuan-persatuan mubaligh di Tanah Melayu. Pada tahun yang sama hanya terdapat 6 buah sekolah perempuan yang ditubuhkan oleh kerajaan. Antara sekolah mubaligh yang ditubuhkan bagi murid lelaki ialah Sekolah Anglo-Chinese (Pulau Pinang-1891), Sekolah Lelaki Methodist (Kuala Lumpur-1897) dan Sekolah St. John (1904).

4. Sekolah Inggeris Kerajaan

Sekolah Inggeris Kerajaan yang pertama di Perak ialah Government Central School yang ditubuhkan pada tahun 1883. Namanya telah ditukar kepada Sekolah King Edward VII pada tahun 1901. Victoria Institution telah diasaskan pada tahun 1893 di Kuala Lumpur. Pada tahun 1905, Kerajaan British telah menubuhkan Maktab Melayu di Kuala Kangsa yang pada mulanya dibuka hanya kepada anak-anak raja dan pembesar-pembesar Melayu. Tujuan utama Maktab Melayu ialah untuk memberi pendidikan Inggeris kepada golongan atasan Melayu bagi membolehkan mereka menjadi pegawai-pegawai tadbir dalam perkhidmatan awam British di Tanah Melayu. Pada tahun 1919, terdapat 17 buah sekolah Inggeris kerajaan di Tanah Melayu. Sekolah ini bertujuan mendidik anak-anak kelas pertengahan untuk menjadi guru-guru dan kerani-kerani. Kebanyakan murid sekolah tersebut terdiri daripada bangsa Cina dan India.

5. Sukatan pelajaran

Pada peringkat awal tiada terdapat sukatan pelajaran yang seragam bagi sekolah Inggeris. Sukatan Pelajaran yang seragam hanya wujud selepas adanya peperiksaan bagi memperoleh Biasiswa Queen (1885) dan Sijil Cambridge (1891). Sekolah Inggeris dapat dibahagikan kepada sekolah rendah dan sekolah menengah. Sekolah rendah meliputi pendidikan selama 7 tahun, iaitu sampai darjah V. Sekolah menengah pula meliputi selama 4 tahun sehingga murid-murid mencapai Sijil Persekolahan Cambridge.

Mata pelajaran utama yang diajar ialah Bahasa Inggeris, Sejarah, Ilmu Alam, Matematik Asas, Ilmu Kesihatan dan Latihan Jasmani. Kelas-kelas sains hanya terdapat di sekolah menengah yang besar di kawasan bandar. Sukatan pelajaran sekolah Inggeris di Tanah Melayu adalah berasaskan kepada sekolah menengah di Britain. Justeru itu, murid-murid sekolah Inggeris telah mempelajari ilmu alam dan sejarah Britain.

6. Latihan Perguruan Inggeris

Satu sistem yang dinamakan Normal Class telah dimulakan pada tahun 1905 di Kuala Lumpur untuk melatih guru-guru sekolah Inggeris. Guru-guru yang diberi latihan adalah mereka yang sedang berkhidmat. Latihan diadakan 5 jam seminggu di luar jadual waktu pengajaran selama 2 tahun. Tempoh latihan telah dilanjutkan kepada 3 tahun mulai tahun 1925. Selepas Perang Dunia Kedua, Sistem Normal Class telah digantikan dengan maktab pergurusan berasrama. Maktab Perguruan Kirkby telah ditubuhkan berhampiran dengan Liverpool. Maktab Perguruan Brinsford Lodge di Wolverhampton telah ditubuhkan pada tahun 1955.

7. Pendidikan Tinggi dan Universiti

Maktab Perguruan King Edward VII telah diasaskan di Singapura pada tahun 1905. Maktab ini menjadi sebuah universiti pada tahun 1947. Maktab Raffles telah dibuka pada tahun 1929 di Singapura bagi memenuhi keperluan pendidikan tinggi dalam aliran sains dan sastera. Institusi pengajian tinggi yang lain ialah Maktab Pertanian Serdang (1931). Maktab Pertanian Serdang dinaikkan ke taraf universiti pada tahun 1972. Pada tahun 1949, Universiti Malaya (gabungan Maktab Raffles dan Maktab Perubatan King Edward VII) telah dibuka di Singapura. Pada tahun 1959, cawangan Universiti Malaya dibuka di Kuala Lumpur. Cawangan tersebut merupakan nucleus Universiti Malaya yang ditubuhkan pada tahun 1962. Universiti asal di Singapura mula dikenali dengan nama Universiti Singapura.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan