CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Sabtu, 1 Januari 2011

SEJ T 6 Penentangan di Pahang

Penentangan di Pahang

Pengenalan

J.P. Rodger memegang jawatan Residen British di Pahang pada bulan Oktober 1888. Seperti di Perak, pengenalan sistem Residen di Pahang ditentang oleh pembesar-pembesar Melayu yang kehilangan kuasa dan keistimewaan mereka. Penentangan sistem Residen oleh orang Melayu di Pahang berkesudahan dengan satu pemberontakan yang meletus pada tahun 1891 di bawah pimpinan Dato’ Bahaman dari Semantan, Tok Gajah dan anaknya Mat kilau.

Sebab-sebab berlaku penentangan di Pahang

1. Perasaan tidak puas hati Sultan

Hubungan Sultan Ahmad dengan British sememangnya tidak memuaskan sejak lama lagi. Hal ini disebabkan Sultan Ahmad masih menyimpan perasaan benci terhadap British kerana memberi bantuan ketika menentang saudaranya Wan Mutahir dalam Perang Saudara di Pahang. Oleh sebab itu, Wan Ahmad enggan menerima Residen British, tetapi dengan adanya tekanan dari British, Wan Ahmad terpaksa mengalah dan menerima Residen pada bulan Oktober 1888 iaitu J.P. Rodger.

Sultan Ahmad berasa kecewa apabila baginda sedar bahawa kekuasaannya semakin berkurangan. Kedudukan baginda dalam Majlis Mesyuarat Negeri tidak berfungsi kerana keputusan adalah diputuskan oleh Residen. Kekuasaannya semakin tercabar apabila pihak British menunjukkan sikap lebih mempercayai putera baginda iaitu Tengku Mahmud. Akibatnya, Sultan Ahmad mengambil keputusan meninggalkan Pekan dalam bulan Disember 1889 dan berangkat ke Pulau Tawar. Tengku Mahmud telah dilantik sebagai wakil Raja.

Walaupun penglibatan Sultan Ahmad dalam penentangan tidak dapat ditentukan dengan jelas, namun sikap anti-Inggeris baginda sudah menjadi pendorong kepada golongan yang menentang British. Oleh sebab itu, tidaklah menghairankan jika terdapat berita yang mengatakan Wan Ahamd mempunyai hubungan sulit dengan golongan penentang.

2. Perasaan tidak puas hati pembesar-pembesar

Langkah-langkah yang diambil oleh J.P. Rodger untuk memperkenalkan peraturan-peraturan baru telah membangkitkan perasaan tidak puas hati di kalangan pembesar Pahang. Para pembesar telah kehilangan hak mereka untuk mengutip cukai, menyimpan hamba abdi, pentadbir keadilan dan sebagainya. Daerah-daerah diwujudkan dan diletak di bawah pengawal British yang dipanggil pemungut cukai dan majistret, misalnya Daerah Pekan oleh F. Belfield, Kuantan oleh A.H. Wall. Residen pula mengambilalih peranan pembesar sebagai penasihat Sultan. Mereka juga tidak mempunyai kuasa dalam Majlis Mesyuarat Negeri. Walaupun para pembesar dibayar elaun sebagai ganti rugi tetapi jumlahnya adalah kecil, misalnya, Orang Besar Berempat menerima $100 sebulan, Orang Kaya Semantan $70 sebulan dan orang Kaya Berlapan $20 sebulan. Keadaan ini menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan pembesar. Pada tahun 1891, mereka bangkit menentang pentadbiran British.

3. Perasaan tidak puas hati Dato’ Bahaman

Dato’ Bahaman menentang pihak British kerana beliau tidak dibenarkan memungut cukai dan tidak diberi elaun yang setanding dengan elaun Orang Besar Berempat, iaitu sebanyak $100 sebulan. Beliau ditawarkan elaun sebanyak $70 sebulan sahaja. Dato’ Bahaman juga berasa marah apabila British membina sebuah balai polis di Lubuk Trua di daerah Semantan, aiitu daerah di bawah jagaanya tanpa kebenaran daripada beliau. Beliau telah menulis sepucuk surat bantahan kepada majistret di Temerloh, iaitu E.A. Wise tetapi beliau gagal mendapat keadilan daripada majistret Temerloh. Sebaliknya, Dato’ Bahaman diberi amaran kerana tindakannya itu.

4. Perasaan tidak puas hati Tok Gajah

Tok Gajah ialah seorang pembesar dari Pulau Tawar. Atas jasanya kepada Sultan Ahmad dalam Perang Saudara (1857-1863), beliau dianugerahi gelaran Orang Besar Raja. Tok Gajah pula berperasaan anti-Inggeris apabila rayuannya untuk pertambahan elaun ditolak oleh pihak British pada Januari 1890. permintaan Tok Gajah untuk menangguhkan pembayaran cukai tanah ke atas orang Melayu juga ditolak oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan pada bulan Disember 1890. Beliau disokong oleh anaknya dalam penentangannya terhadap British.

5. Perasaan tidak puas hati rakyat Pahang

Pengenalan beberapa perubahan oleh British seperti sistem lesen dan permit telah mengakibatkan ketidakpuasan hati rakyat Pahang. Sebagai contoh, mereka terpaksa memperolehi lesen atau permit bagi mendapatkan hasil hutan seperti kayu dan daun rembia. Rakyat juga tidak dibenarkan memakai keris yang selama ini merupakan sebahagian daripada pakaian tradisional mereka. Mulai 1 Januari 1891, British mengenakan cukai ke atas tanah yang diperolehi (kecuali tanah warisan). Kadar cukai adalah tertakluk kepada kategori tanah. Rakyat juga membantah terhadap sistem kerah yang dilaksanakan oleh British bagi projek-projek awam.

6. Perasaan banci orang asing

Mengikut Jang Aisjah, perasaan benci orang asing (Xenophobia) juga bertanggungjawab bagi peletusan pemberontakan Pahang. Rakyat Pahang tidak puas hati dengan kehadiran orang asing, terutamanya pasukan polis yang terdiri daripada orang Sikh. Di Pahang, terdapat juga ramai orang Eropah dan Cina yang terlibat dalam perusahaan perlombongan. Sikap kesombongan serta kejahilan mereka terhadap adat resam tempatan telah menyinggung perasaan orang Melayu. Perasaan anti-orang asing jelas kelihatan apabila Dato’ Bahaman dan Mat Kilau Seringkali menyerang pedagang-pedagang Cina di Pahang.

Proses pemberontakan

Peristiwa yang membawa kepada meletusnya pemberontakan ialah tindakan tidak wajar British di Lubuk Trua. Ketika melakukan penyiasatan di tempat itu, Pemangku Pemungut Hasil dari Semantan telah menangkap 3 orang pengikut Dato’ Bahaman kerana dituduh mengambil hasil-hasil hutan tanpa kebenaran. Ketiga-tiga orang yang tertuduh telah dibicarakan di Lubuk Trua. Tindakan ini merupakan satu penyelewengan kerana kebiasaannya perbicaraan dijalankan di Ibu Pejabat Daerah di Temerloh. Hal ini juga menunjukkan pihak British merasa mereka lebih berkuasa.

Dato’ Bahaman bertindak untuk membebaskan orang-orang tawanan itu dengan menyerang hendap ke atas pasukan kerajaan dan kemudian menyerang balai polis Lubuk Trua. Pada 21 Disember 1891, Temerloh pula diserang dan ditawan. Pihak British telah bertindak balas beberapa hari selepas peristiwa itu berlaku. Satu pasukan yang dipimpin oleh Hugh Clifford telah mara ke Semantan tetapi terpaksa berundur ke Temerloh kerana banjir.

Pihak British mendesak Sultan Ahmad supaya memberi kerjasama kepada pemerintah dalam menhadapi ancaman Dato’ Bahaman. Oleh sebab adanya desakan dan secara kebetulan hubungannya dengan Dato’ Bahaman tidak begitu baik, Sultan Ahmad telah bersetuju. Sultan Ahmad dan puteranya keduanya iaitu Tengku Ali telah menyerang Semantan pada 14 Januari 1892 tetapi Dato’ Bahaman telah mengundurkan diri terlebih dahulu. Sultan Ahmad telah mengumumkan pengampunan dan meminta golongan penentang pulang ke rumah masing-masing.

Tengku Ali telah diarahkan mengawal tempat itu tetapi tidak berupaya untuk menyekat kemaraan Dato’ Bahaman kerana orang-orang Melayu menyokongnya. Dato’ Bahaman telah menawan semula Lubuk Trua pada awal bulan Mac 1892. Peristiwa itu menyebabkan Clifford dan wakil Raja menyerang Semantan dan sekali lagi Dato’ Bahaman telah berundur. Bolo dan Cempaka dimusnahkan. Clifford telah cuba meneruskan tindakan ke atas golongan penentang tetapi Sultan Ahmad mencegahnya memandangkan bermulanya bulan puasa iaitu pada akhir bulan Mac 1892.

Keberanian Dato’ Bahaman telah memberi semangat kepada pembesar-pembesar Melayu yang lain untuk turut menentang British. Atas usaha Tok Gajah, pertemuan telah diadakan dan dalam pertemuan itu, semua pembesar telah bersumpah menyatakan taat setia kepada Sultan Ahmad. Selanjutnya, atas cadangan Tok Gajah, keputusan telah diambil untuk menentang British secara besar-besaran. Mengikut cadangan Tok Gajah, serangan akan dilaksanakan secara serentak. Dato’ Bahaman akan mengambil Semantan, Sultan Ahmad dikehendaki mempertahankan Chenor, Panglima Muda dari Jempul menawan Pekan, Mat Kilau dan Tok Raja akan menawan Kuala Lipis dan Raub sementara Tok Gajah sendiri akan ke Tembeling.

Rancangan tersebut dimulakan dengan serangan oleh Panglima Muda pada 5 April 1892. Dua orang bangsa British daripada Syarikat Penyelidikan Pahang telah dibunuh dan kemudian pasukan Panglima Muda mara ke Pekan. Orang-orang Melayu telah memberi sokongan kepadanya dan ini menyulitkan pihak British. Gerakan penentang British ternyata telah terjejas kerana di medan perjuangan yang lain, keadaan telah berubah. Wan Ahmad yang berada di Pulau Tawar telah mengubah fikiran dan memujuk Tok Raja yang datang mengadapnya supaya tidak menyertai penentangan itu. Tok Gajah juga telah menyertai Sultan Ahmad dan yang menyedihkan, kedua-duanya bertindak ke atas Dato’ Bahaman kemudiannya.

Dato’ Bahaman telah berjaya menawan Semantan. Sekali lagi pihak British meminta Wan Ahmad menyertai pemerintah untuk menentang Dato’ Bahaman. Pasukan Sultan Ahmad dan Tok Gajah telah berjaya mengusir Dato’ Bahaman. Pasukan Sultan Ahmad dan Tok Gajah telah berjaya mengusir Dato’ Bahaman pada 8 Mei 1892. Sementara itu, pasukan Clifford dan Leftenan Kolonel Walker, terus bertindak menyerang Budu pada 21 Mei 1892 tetapi Mat Kilau berjaya melepaskan diri lalu bersatu dengan Dato’ Bahaman yang berada di Cheka.

Dalam bulan Jun 1892, British menyerang Jempul dan menawannya. Keadaan ini menyebabkan Sultan Ahmad menasihatkan Tok Gajah supaya melarikan diri kerana bimbang British akan mengambil tindakan ke atasnya. Oleh itu, dalam bulan Ogos 1892, Tok Gajah melarikan diri untuk menyertai Mat Kilau dan Dato’ Bahaman yang berada di Tembeling. Oleh sebab tekanan-tekanan seterusnya, mereka terpaksa berundur ke Sempadan Kelantan dalam bulan September 1892. Malangnya, Panglima telah terbunuh dalam bulan Oktober 1892.

Melalui Tok Raja yang bertugas sebagai orang perantaraan, usaha telah diambil untuk menghentikan penentangan. Perundingan telah dimulakan dalam bulan Disember 1893 tetapi Mat Kilau dan Mat Lela, putera Dato’ Bahaman, enggan mengambil bahagian. Perundingan yang berjalan sehingga bulan April 1894 tidak memberi sebarang hasil.

Selepas perundingan mengalami kegagalan, perjuangan orang-orang Melayu semakin bersemangat. Hal ini disebabkan peranan yang dimainkan oleh Engku Syed dari Paloh. Ketika ini Dato’ Bahaman telah berjaya mengumpulkan pengikut-pengikutnya dari Besut dan Ulu Lebir. Pada 12 Jun 1894, penentangan meletus kembali apabila golongan penentang menyerang Kuala Tembeling. Seorang anggota polis iaitu Ram Singh yang mendapat luka parah akibat ditikam telah dapat melepaskan diri menaiki sampan ke Pulau Tawar. Golongan penentang telah cuba mendapatkan bantuan dari Tok Raja dari Pulau Tawar tetapi gagal. Hal ini menyebabkan penentang telah cuba membina kubu pertahanan di Jeram Ampai. Satu angkatan tentera British yang besar telah menyerang Jeram Ampai dan menawannya pada 29 Jun 1894. Akhirnya golongan penentang telah berundur ke Kelantan dan Terengganu.

Pihak British telah meminta Kerajaan Siam supaya campur tangan. Akhirnya, dalam bulan November 1895, Dato’ Bahaman dan Mat Kilau serta 4 orang pengikutnya telah menyerah diri kepada pihak Siam dan kemudian dihantar ke Siam. Sementara Tok Gajah dan Mat Kilau terus menetap di Terengganu dan dikatakan meninggal dunia di sana.

1 ulasan:

  1. Siapakah yang istigarkan britiah memegang jawatan residin? Ahli apa? Gelaran apa?

    BalasPadam