CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Sabtu, 1 Januari 2011

SEJ T 6 Kemelesetan Ekonomi 1920-an-1930-an ke Atas Perlombongan Bijih Timah

Kemelesetan Ekonomi 1920-an-1930-an ke Atas Perlombongan Bijih Timah

Pengenalan

Perusahaan bijih timah merupakan perusahaan yang tertua di Tanah Melayu. Sehingga tahun 1820, perlombongan bijih timah merupakan perusahaan orang Melayu. Lombong-lombong bijih timah dikuasai oleh raja-raja dan pembesar-pembesar Melayu. Perlombongan bijih timah dianggap sebagai kerja sambilan oleh orang Melayu. Mulai 1820-an, orang Cina mula melibatkan diri dalam perlombongan bijih timah.

Mulai pertengahan abad ke-19, pelombong Cina telah mengambil alih perusahaan ini daripada orang Melayu dan perusahaan ini telah berkembang dengan pesat. Selaras dengan Revolusi perusahaan di Barat, permintaan terhadap bijih timah amat tinggi. Pada 1920-an, berlaku kemelesetan ekonomi di seluruh dunia. Akibatnya perkembangan perusahaan ini mulai menjadi lembap dan harga bijih timah telah jatuh dengan teruk.

Kemelesetan perusahaan bijih timah semasa 1929-1932

Pada zaman kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 1929-1932, perusahaan bijih timah telah terjejas. Harga bijih timah telah menjunam ke paras yang rendah akibat kekurangan permintaan di pasaran Eropah. Harganya merosot dari $2414 setan pada tahun 1926 kepada $1020 setan pada tahun 1931.

Kemerosotan harga telah mengakibatkan pengangguran di kalangan pelombong-pelombong. Akibatnya, kerajaan telah menghantar pulang ramai pekerja ke negeri Cina. Misalnya, pada tahun 1931, kira-kira 10000 orang pekerja lombong dari Perak dihantar pulang ke negara China. Ramai lagi pulang secara sukarela. Banyak lombong bijih timah terpaksa ditutup. Oleh sebab itu, Kerajaan Tanah Melayu telah mengambil beberapa langkah untuk mengawal pengeluaran bijih timah. Sebagai contoh, pada tahun 1929, kerajaan tidak melayan permohonan baru bagi membuka lombong bijih timah baru dan menghadkan pengeluaran bijih timah atas dasar sukarela.

Walau bagaimanapun, langkah-langkah tersebut tidak berkesan. Sebagai pengeluar bijih timah yang terbesar di dunia, Kerajaan Inggeris mencadangkan satu skim untuk mengawal harga dan pengeluaran bijih timah. Skim ini dipersetujui oleh negara-negara pengeluar bijih timah termasuk Bolivia, Nigeria dan Indonesia dan dilaksanakan menerusi Perjanjian Bijih Timah Antarabangsa yang ditandatangani buat pertama kali pada tahun 1931 dan kemudian pada tahun-tahun 1934 dan 1937. Menurut perjanjian ini negara pengeluar ditetapkan kuota pengeluarannya. Perjanjian Bijih Timah Antarabangsa ini telah berjaya mengukuhkan harga bijih timah.

Perusahaan bijih timah semasa dan selepas Perang Dunia Kedua

Perusahaan bijih timah semakin merosot pada zaman pendudukan Jepun (1942-1945). Perusahaan ini merosot adalah disebabkan oleh:

a. Inggeris memusnahkan lombong bijih timah dan peralatan lain seperti kapal korek sebelum berundur ke Singapura.

b. Eksport bijih timah ke pasaran dunia telah terganggu kerana hubungan dengan dunia luar telah putus.

c. Permintaan bijih timah juga telah merosot kerana negara-negara perindustrian terlibat dalam Perang Dunia Kedua.

d. Jepun telah menyekat pengeluaran dan pengeksportan bijih timah dengan memusnahkan lombong-lombong dan peralatan melombong.

Peristiwa kemerosotan pengeluaran bijih timah amat ketara pada tahun 1945.

Pengeluaran bijih timah pada tahun 1941 ialah 79000 tan tetapi telah merosot kepada 3000 tan pada tahun 1945.

Keadaan perusahaan bijih timah telah berubah selepas tamatnya Perang Dunia Kedua. Sejak tahun 1946, harga bijih timah turun naik akibat permintaan yang tetap di seluruh dunia. Oleh itu, pengeluar-pengeluar bijih timah utama telah menandatangani Perjanjian Timah Antarabangsa pada tahun 1956. Perjanjian ini bertujuan menghadkan pengeluaran dan menstabilkan harga bijih timah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan