CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Sabtu, 1 Januari 2011

SEJ T 6 Negeri-negeri Selat

Negeri-negeri Selat

Pengenalan

Selepas tahun 1824, British mempunyai 3 bentuk petempatan iaitu Pulau Pinang yang telah ditubuhkan pada 1786; Singapura yang diperolehi daripada Temenggung Abdul Rahman pada tahun 1819 dan Melaka yang diterima selepas Perjanjian Inggeris-Belanda 1824. Ketiga-tiga kawasan ini kemudian disatukan dan dipanggil sebagai Negeri-negeri Selat pada tahun 1826.

Penubuhan Negeri-negeri Selat, 1826-1890

Selepas tahun 1824, British mempunyai 3 bentuk petempatan. Pertama, Pulau Pinang yang telah ditubuhkan sejak tahun 1786. Pada tahun 1805, Kerajaan India telah mengangkat Pulau Pinang menjadi “Presidency” ke-4 selepas Madras, Bombay dan Benggala di India. Pulau Pinang mempunyai seorang gabenor sebagai ketua negara. Kedua, Singapura yang ditubuhkan pada 1819 dengan seorang Residen yang bertanggungjawab kepada Kerajaan India. Sebelumnya iaitu di antara 1819-1823, semua arahannya datang secara langsung dari Raffles di Bengkahulu dan bukan dari Pulau Pinang, tetapi selepas Raffles pulang ke England (1824), Singapura terus diletakkan di bawah pentadbiran India. Ketiga, Melaka yang diperolehi melalui pertukaran dengan Bengkahulu yang diserahkan kepada Belanda berdasarkan Perjanjian Inggeris-Belanda diletakkan secara langsung di bawah pentadbiran Kerajaan India.

Pada tahun 1826, Kerajaan India mengambil kesempatan untuk menyatupadukan ketiga-tiga negeri menjadi satu bentuk pemerintahan dengan tujuan untuk mengurangkan bilangan pegawai-pegawai. Pernyataan ini kemudian dipanggil Negeri-negeri Selat. Negeri-negeri Selat ini terus menjadi Presidency ke-4 dan Pulau Pinang dijadikan ibu negerinya. Seorang gabenor dilantik dan ianya tertakluk kepada arahan-arahan dari Kerajaan India. Pada tahun 1832, pusat pentadbiran Negeri-negeri Selat dipindahkan ke Singapura.

Pada tahun 1830, taraf Presidency Negeri-negeri Selat telah diturunkan ke taraf Residency. Dengan itu, jawatan gabenor telah dijadikan Residen. Kemudian 2 orang Timbalan Residen telah dilantik di Pulau Pinang dan Melaka. Tetapi selepas tahun 1832, jawatan gabenor digunakan semula di Negeri-negeri Selat.

Perpindahan pusat pentadbiran Negeri-negeri Selat

Ketika Negeri-negeri Selat di bawah pentadbiran Kerajaan India ia telah diletakkan di bawah kawalan 3 bentuk pentadbiran, antaranya:

a. 1831-1851 – ditadbir oleh Kerajaan Benggala

b. 1851-1858 – diletakkan secara langsung kepada Pejabat Gabenor Jeneral

c. 1858-1867 – diserahkan kepada Pejabat India

Rayuan untuk perpindahan pentadbiran Negeri-negeri Selat dari Pejabat India ke Pejabat Tanah Jajahan telah bertambah kuat selepas pengenalan Akta Mata Wang dan cukai pelabuhan.

Malah, rayuan dibuat kepada Kerajaan India pada masa itu terlibat dalam satu pemberontakan sepoi (Dahagi India, 1857) di mana sepoi-sepoi India bangkit menentang SHTI. Peristiwa Dahagi itu jelas memperlihatkan kelemahan Pejabat India untuk memerintah India sendiri dan membuktikan ketidakmampuan untuk mentadbir Negeri-negeri Selat yang jauh.

Dalam rayuan itu, saudagar-saudagar Negeri-negeri Selat telah meminta Pejabat Tanah Jajahan di London supaya mengambil alih kuasa pentadbiran Negeri-negeri Selat daripada Pejabat India.

Selepas tamatnya peristiwa Dahagi, iaitu 1858, SHTI telah dibubarkan dan kuasa pentadbiran India diletakkan di bawah Kerajaan British di London. Pada 10 Ogos 1866, Parlimen meluluskan Akta Perpindahan Pentadbiran Negeri-negeri Selat dari India ke Pejabat Tanah Jajahan.

Pada 1 April 1867, Akta tersebut dikuatkuasakan dan pentadbiran Negeri-negeri Selat dipindahkan ke Pejabat Tanah Jajahan di London. Dengan ini, Negeri-negeri Selat mencapai taraf Tanah Jajahan Mahkota.

Sebab-sebab perpindahan

1. Kedudukan India yang jauh dari Negeri-negeri Selat

Ketika Negeri-negeri Selat di bawah pentadbiran Kerajaan India, telah timbul beberapa masalah dan rasa tidak puas hati di kalangan orang ramai terutama golongan saudagar yang merupakan golongan terpenting. Mereka menuduh Kerajaan India tidak cuba menyelesaikan masalah dan memenuhi keperluan mereka. Dengan lain perkataan, Kerajaan India cuai menjalankan tugasnya. Kesukaran-kesukaran yang dihadapi oleh Kerajaan India dan mungkin tidak dapat dielakkan kerana kedudukan India yang begitu jauh daripada Negeri-negeri Selat. Keadaan ini menyebabkan satu-satu arahan penting yang hendak disampaikan ke Negeri-negeri Selat mengambil masa yang lama untuk diterima. Keadaan ini menjadi semakin serius apabila tidak ada pegawai-pegawai India yang mengetahui benar-benar akan kedudukan Negeri-negeri Selat. Yang penting, antara India dan Negeri-negeri Selat mempunyai perbezaan yang besar sama ada dari segi politik mahupun dari segi sosial. Oleh itu, segala keputusan yang dibuat oleh Kerajaan India sering-kali bertentangan dengan kehendak-kehendak atau tidak dapat memenuhi keperluan masyarakat Negeri-negeri Selat.

2. Sikap kecuaian Kerajaan India dalam masalah Negeri-negeri Selat

a. Masalah lanun

Sikap cuai Kerajaan India jelas dilihat dalam usaha mereka membasmi lanun yang dikatakan tidak bersungguh-sungguh. Kejadian rompakan berlaku berleluasa di Selat Melaka dan perairan Singapura. Kegiatan lanun dilakukan oleh beberapa puak seperti Ilkanon, Sikarna, Melayu, Dayak dan lain-lain. Kadang-kala, mereka tidak sahaja merompak malah membakar kapal-kapal perdagangan serta membunuh anak-anak kapal atau ditawan lalu dijadikan hamba abdi. Peristiwa rompakan oleh lanun sudah pasti menjejaskan perdagangan Negeri-negeri Selat. Dalam tahun-tahun 1850, orang Cina turut terlibat dalam peristiwa lanun.

b. Mengawal kegiatan kongsi gelap

Seperti masalah lanun, Kerjaan India juga dituduh tidak berjaya dalam usahanya mengawal kegiatan kongsi gelap cina. Dalam hubungan dengan kongsi gelap cina, Kerajaan India menggunakan sistem “indirect rule” iaitu memberi kebebasan kepada kongsi gelap itu menjalankan kegiatan mereka. Oleh sebab kongsi gelap cina di Negeri-negeri Selat ditubuhkan berdasarkan puak-puak, menyebabkan sering terjadi pergaduhan antara mereka yang kemudiannya diikuti oleh peristiwa pembunuhan. Keadaan ini semua memberi kesan buruk kepada saudagar.

Bagi golongan saudagar Negeri-negeri Selat pula, usaha-usaha yang lebih giat hendaklah dijalankan lebih-lebih lagi memandangkan hilangnya monopoli perdagangan Inggeris di Negeri China pada tahun 1833. Dengan kehilangan monopoli perdagangan itu sudah tentu tumpuan hendaklah dibuat ke Negeri-negeri Selat. Tetapi, jika kegiatan lanun dan kongsi gelap tidak dapat dikawal, bermakna cita-cita hendak menjadikan Negeri-negeri Selat sebagai pusat perdagangan Inggeris yang penting di bahagian timur tidak akan tercapai.

3. Sikap kecuaian Kerajaan India terhadap pentadbiran Negeri-negeri Selat

Dasar pengurangan pegawai-pegawai untuk menjimatkan perbelanjaan pentadbiran Negeri-negeri Selat menyebabkan kecekapan pentadbirannya merosot. Ini adalah kerana Negeri-negeri Selat semakin maju tetapi bilangan pegawai tidak mencukupi untuk menguruskan kerja tambahan. Selain itu, pegawai yang dihantar ke Negeri-negeri Selat juga tidak terlatih dalam pentadbiran tempatan. Kebanyakan mereka adalah muda dan tidak faham tentang bahasa dan adat resam orang tempatan. Oleh itu, mereka menghadapi masalah untuk menjalankan tugas dengan cekap. Pegawai-pegawai ini juga diberi gaji yang rendah dan kenaikan pangkat tidak terjamin. Jadi, mereka tidak berminat dalam tugas mereka. Justeru itu, mereka mengamalkan rasuah.

Kerajaan India juga tidak mengambil tindakan tegas untuk mengekalkan keamanan di Negeri-negeri Selat. Bilangan anggota polis tidak mencukupi untuk menjaga ketenteraman, misalnya pada tahun 1831, hanya terdapat 18 orang polis untuk menjaga penduduk seramai 16000 di Singapura. Sistem keadilan di Negeri-negeri Selat juga tidak cekap kerana tidak ada hakim-hakim dan peguam-peguam yang terlatih dan kekurangan mahkamah untuk membicarakan serta mengadili kes-kes jenayah dan awam. Hanya terdapat seorang hakim di Negeri-negeri Selat pada tahun 1856. Ini menyebabkan banyak kes tertangguh.

4. Ketiadaan perwakilan tempatan

Kerajaan Negeri-negeri Selat tidak mempunyai majlis perundangan untuk memilih wakil-wakil rakyat dalam menyuarakan pendapat rakyat tempatan berkenaan pentadbiran Negeri-negeri Selat. Jadi, undang-undang digubal dan diluluskan di majlis perundangan di Calcutta atau Parlimen oleh ahli-ahli dan pegawai-pegawai yang jahil mengenai keadaan Negeri-negeri Selat. Undang-undang yang digubal tidak secocok dengan keadaan di Negeri-negeri Selat kerana keadaan sosioekonomi di Negeri-negeri Selat jauh berbeza daripada India dan Britain. Malah, undang-undang ini digubal tanpa menghiraukan pandangan pegawai-pegawai tempatan. Oleh itu, pedagang-pedagang tidak puas hati dengan tindakan Kerajaan India dan menuntut supaya sebuah majlis perundangan ditubuhkan dan diwakili oleh wakil tempatan.

5. Penempatan banduan di Negeri-negeri Selat

Kerajaan India mengambil keputusan untuk menghantar banduan dari India ke Negeri-negeri Selat, misalnya menjelang tahun 1857, seramai 4000 orang banduan telah dihantar ke Negeri-negeri Selat. Tindakan ini dibantah keras oleh saudagar-saudagar yang diketuai oleh W.H. Read. Mereka menganggap kehadiran banduan akan menjejaskan imej Negeri-negeri Selat dan mengancam nyawa mereka. Besar kemungkinan perdagangan Negeri-negeri Selat akan merosot kerana saudagar asing akan merasa bimbang untuk melakukan aktiviti perdagangan. Selain itu, Negeri-negeri Selat juga terpaksa membiayai perbelanjaan untuk menanggung banduan-banduan itu dan seterusnya menambahkan beban kewangan dan sosial mereka.

6. Dasar tidak campur tangan Kerajaan India

Faktor ini adalah berkaitan dengan kepentingan golongan saudagar. Bagi pendapat mereka, polisi tidak campur tangan di Negeri-negeri Melayu akan merugikan perdagangan dan mengurangkan pengaruh British. Mereka inginkan Kerajaan India untuk campur tangan dan menamatkan keadaan huru-hara di Negeri-negeri Melayu yang semakin berleluasa. Mereka mengharapkan agar keamanan di Negeri-negeri Melayu dapat dipulihkan untuk kemajuan perdagangan dan pelaburan. Namun, Kerajaan India enggan berbuat demikian. Di sebaliknya, mereka mengamalkan dasar pro-Siam di mana dasar ini telah merugikan kegiatan perdagangan saudagar British.

7. Akta Mata Wang, 1855

Pada tahun 1855, Akta Mata Wang telah diluluskan di mana akta ini menjadikan mata wang rupee dan paisa sebagai mata wang yang sah di Negeri-negeri Selat bagi menggantikan mata wang ringgit perak dan sen. Akibatnya, bantahan-bantahan telah timbul disebabkan saudagar-saudagar telah biasa dengan penggunaan wang ringgit dan juga disebabkan nilai wang rupee adalah tidak stabil berbanding dengan nilai wang ringgit. Masalah ini menjadi kemuncak kemarahan dan rasa tidak puas hati golongan saudagar terhadap pentadbiran India. Akhirnya, Kerajaan India terpaksa menarik balik pelaksanaan mata wang rupee.

8. Pengenaan cukai pelabuhan, 1856

Pada awal tahun 1830-an, Kerajaan India telah mengalami kemelesetan ekonomi. Untuk mengatasinya, maka pada tahun 1833 telah dicadangkan untuk mengenakan cukai pelabuhan. Kemudian dalam tahun 1856, ketetapan telah diambil oleh Kerajaan Indiauntuk mengenakan cukai pelabuhan di Negeri-negeri Selat. Kutipan cukai tersebut akan digunakan untuk membiayai pembinaan rumah-rumah api, pelampung-pelampung dan beberapa pangkalan. Ketetapan ini dibantah keras oleh para saudagar kerana mereka merasa kemakmuran yang dirasai dan keuntungan yang diperolehi adalah bergantung kepada taraf pelabuhan bebasnya, terutama pelabuhan Singapura. Mereka bimbang jika cukai pelabuhan dilaksanakan kemungkinan kapal-kapal asing akan berkurangan. Jika keadaan ini berlaku, sudah pasti kedudukan ekonomi saudagar di Negeri-negeri Selat akan terjejas.

Pentadbiran Negeri-negeri Selat, 1867

Kerajaan Negeri-negeri Selat diketuai oleh seorang Gabenor. Gabenor yang pertama ialah Sir Harry Ord. Gabenor dibantu oleh Majlis Kerja Kerajaan dan Majlis Perundangan. Majlis Kerja Kerajaan terdiri daripada ahli-ahli rasmi. Majlis Perundangan terdiri daripada 9 orang ahli rasmi dan 5 orang ahli tidak rasmi. Majlis Perundangan ini membuat undang-undang bagi Negeri-negeri Selat tetapi mesti mendapat persetujuan daripada Parlimen Brirish terlebih dahulu. Gabenor Negeri-negeri Selat diberi kuasa penuh untuk memerintah Negeri-negeri Selat.

3 ulasan: