CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Selasa, 11 Januari 2011

SEJ T 6 Perkembangan Sosial di Tanah Melayu

Perkembangan Sosial di Tanah Melayu


Pengenalan

Campur tangan British di Tanah Melayu sejak tahun 1874 bukan sahaja membawa kepada perubahan dari segi politik dan ekonomi, bahkan campur tangan mereka juga menyebabkan perubahan dari segi sosial. Sebelum British memperluaskan kuasanya di Tanah Melayu, sistem perhubungan yang wujud amat mundur. Begitu juga dalam bidang kesihatan. Selepas British campur tangan semuanya ini telah mengalami perkembangan yang pesat. British telah memperkenalkan cara membina jalan raya Barat, cara membina landasan keretapi dan amalan perubatan yang diamalkan oleh Barat. Kesemuanya ini telah berjaya meningkatkan tingkat taraf hidup penduduk di Semenanjung Tanah Melayu.


Perhubungan

1. Jalan keretapi

Keretapi merupakan cara pengangkutan moden yang pertama di Semenanjung Tanah Melayu. Jalan-jalan keretapi telah dibina untuk mempercepatkan pengangkutan bijih timah dari kawasan perlombongan ke pelabuhan untuk dieksport. Jalan keretapi yang pertama di Semenanjung Tanah Melayu telah dibina pada tahun 1855 oleh Sir Hugh Low bagi menghubungkan Taiping dengan Port-Weld. Jalan keretapi sepanjang 12.8 kilometer ini dibuka kepada lalulintas pada bulan Jun 1885.

Beberapa lagi jalan keretapi telah dibina oleh British di Perak. Jalan keretapi di antara Tapah dengan Teluk Anson telah dibina pada tahun 1893 manakala di antara Tapah dengan Ipoh pada tahun 1895. Sir Frank Swettenham telah membina beberapa jalan keretapi di Selangor. Jalan keretapi yang pertama telah dibina antara Kuala Lumpur dengan Bukit Kuda pada tahun 1886. Menjelang tahun 1889 jalan keretapi ini dipanjangkan ke Port Swettenham. Pada tahun-tahun 1892 dan 1893 British telah membina jalan-jalan keretapi yang pendek bagi menghubungkan Kuala Lumpur dengan kawasan-kawasan perlombongan bijih timah di Rawang, Kuala Kubu dan Sungai Besi.


Perhentian keretapi tetap yang pertama dibina di Kuala Lumpur pada tahun 1892. Jalan keretapi yang pertama di Negeri Sembilan, iaitu di antara Port Dickson dengan Seremban telah siap dibina pada tahun 1891. Jalan Keretapi sepanjang kira-kira 38 km ini dibina oleh Syarikat Keretapi Sungai Ujong. Pada tahun 1908 Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah membelinya daripada syarikat tersebut.

Selepas penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896, jalan-jalan keretapi yang sedia wujud mula disambungkan atas initiatif Sir Frank Swettenham. Menjelang tahun 1903, terdapat jalan keretapi yang menghubungkan Seremban dengan Perai. Jalan keretapi ini telah dipanjangkan ke Johor Bahru pada tahun 1909 dan ke Singapura pada tahun 1923.

Jalan keretapi di bahagian Utara Semenanjung Tanah Melayu yang menghubungkan Perai, Bukit Mertajam, Sungai Petani, Alor Setar dan Padang Besar di sempadan Siam telah siap dibina pada tahun 1918. Jalan keretapi di bahagian Timur yang menghubungkan Gemas dengan Bahau, Mentakab, Kuala Lipis, Gua Musang, Tumpat dan Sungai Golok disiapkan pada tahun 1931.

2. Jalan raya

Jalan-jalan raya yang pertama dibina untuk meghubungkan kawasan-kawasan bijih timah dan getah dengan pelabuhan-pelabuhan. Kegunaan jalan raya bertambah popular selepas pengenalan kenderaan bermotor pada tahun 1902. Menjelang tahun 1906, Negeri-negeri Melayu Bersekutu mempunyai kira-kira 2560 km jalan raya bertar (metal led roads). Mulai dekad pertama abad ke-20, jalan-jalan raya yang lebih lebar dan kukuh telah dibina bagi memenuhi keperluan kenderaan bermotor yang kian bertambah.


Jalan raya utama ke Perai siap dibina pada tahun 1911. Jalan raya utama dari Kuala Lumpur ke Kuantan telah siap pada tahun 1899. Menjelang tahun 1928 terdapat jalan raya yang menghubungkan Singapura di Selatan dengan Perlis di Utara. Jalan raya utama yang menghubungkan Terengganu dan Pahang dengan pantai Barat telah dibina hanya selepas tahun 1945. Semasa penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948, terdapat kira-kira 9600 km jalan raya motor yang baik.

3. Perkhidmatan udara

Syarikat perkhidmatan udara yang pertama di Tanah Melayu telah ditubuhkan pada tahun 1937 oleh Wearne Brothers. Ia dikenali sebagai Wearne’s Air Service. Syarikat tersebut telah memulakan perkhidmatan udara antara Singapura, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Perkhidmatan udara ini telah dihentikan apabila Perang Dunia Kedua meletus. Pada tahun 1920-an, lapan buah lapangan terbang telah dibina di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh, Taiping, Butterworth dan Alor Setar. Dalam pada itu terdapat sebuah lapangan terbang antarabangsa yang kian maju di Singapura. Pada tahun 1947, Malayan Airways Limited telah ditubuhkan. Pada tahun 1956, sebuah lapangan terbang antarabangsa dibina di Kuala Lumpur.

4. Perkhidmatan perkapalan

Menjelang tahun 1870-an, terdapat beberapa syarikat perkapalan yang menggunakan kapal-kapal stim untuk membawa hasil-hasil Tanah Melayu ke Singapura. Dalam perjalanan balik ke pelabuhan-pelabuhan Tanah Melayu, kapal-kapal tersebut membawa bekalan-bekalan dan alat-alat jentera. Pada tahun 1890, Theodore Cornelius Bogaardt (seorang Belanda) mengasaskan Straits Steamship Company yang muncul sebagai syarikat perkapalan yang terpenting. Selepas tahun 1896, Straits Steamship Company memulakan perkhidmatan penumpang kelas pertama.


Perkhidmatan ini menjadi penting selepas Kuala Lumpur dijadikan pusat pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan tidak dihubungi oleh jalan keretapi persekutuan. Pelabuhan-pelabuhan yang penting ialah Port Swettenham, Port Dickson, Teluk Anson dan Port Weld. Port Swettenham merupakan pelabuhan yang terpenting sekali. Dalam tahun 1930-an, syarikat-syarikat perkapalan menghadapi persaingan hebat dari sistem pengangkutan jalan raya dan keretapi.


Kesihatan

Tanah Melayu menghadapi beberapa masalah kesihatan pada abad ke-19. Penyakit-penyakit seperti malaria, disenteri, demam cacar dan kolera biasa terdapat. Penyakit-penyakit tersebut telah mengakibatkan kematian ramai orang. Sebagai contoh, kira-kira 65 orang telah menjadi mangsa kolera di Larut pada tahun 1874. Jumlah kes beri-beri yang dirawat di Selangor pada tahun 1894 ialah sebanyak 2817 di mana kadar kematian ialah 24%.

Selepas tahun 1900, taraf kesihatan penduduk Tanah Melayu telah bertambah baik. Penyakit-penyakit beri-beri dan malaria dapat dikawal. Antara tahun-tahun 1900-50 kadar kematian bagi orang dewasa dan kanak-kanak telah dikurangkan sebanyak 50%. Kerajaan British telah menubuhkan hospital-hospital, pusat-pusat perubatan dan menjalankan penyelidikan perubatan. Hospital kerajaan yang pertama di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dibuka di Taiping pada tahun 1878.

Pada kira-kira masa yang sama, sebuah hospital telah didirikan di Selangor. Selepas tahun 1884, pusat-pusat perubatan telah dibuka di Tanjung Malim, Batu Gajah, Gopeng, Kerian, Kuala Kangsar. Hospital Besar di Kuala Lumpur telah didirikan manakala sebuah hospital baru di Kelang dibina.

Masyarakat Cina juga membina beberapa hospital seperti Hospital Tai Wah (1895) dan Hospital Tung Shin di Kuala Lumpur.

Menjelang tahun 1896, Perak mempunyai 15 buah hospital, Selangor 14, Negeri Sembilan 3 dan Pahang 2. Menjelang tahun 1908, terdapat 52 buah hospital di Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Penyelidikan perubatan memainkan peranan penting dalam mengawal penyakit-penyakit malaria dan beri-beri. Institusi Penyelidikan Perubatan telah didirikan di Kuala Lumpur pada tahun 1901. Maktab Perubatan King Edward VII telah ditubuhkan di Singapura pada tahun 1905. Maktab tersebut telah menghasilkan beberapa orang doktor tempatan yang dapat berkhidmat di hospital-hospital kerajaan.

Selepas tahun 1909, pusat-pusat spesialis bagi kesihatan mental dan penyakit kusta telah didirikan. Menjelang tahun 1941, kira-kira satu pertiga daripada hospital-hospital di Tanah Melayu merupakan institusi-institusi kerajaan. Hospital-hospital lain dikendalikan oleh estet-estet (melalui undang-undang), persatuan-persatuan mubaligh dan pertubuhan-pertubuhan Cina. Kebanyakan daripada kemudahan perubatan ini terdapat di bandar.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan