CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Selasa, 11 Januari 2011

SEJ T 6 Perubahan Pentadbiran di Sabah dan Sarawak

Perubahan Pentadbiran di Sabah dan Sarawak


Sarawak

1. 1841-1946

Dalam tempoh masa ini, Sarawak adalah dibawah pemerintahan Raja Putih yang mengamalkan pemerintahan monarki. Raja adalah berkuasa mutlak (absolutisme). Walau bagaimanapun, sistem pemerintahan tradisional masih diteruskan. Raja Putih bekerja rapat dan mempunyai hubungan baik dengan pembesar tempatan. James Brooke melantik pembesar tempatan menjadi penasihat kanan dalam pentadbirannya, contohnya Dato’ Patinggi, Dato’ Temenggung, Dato’ Bandar dan Dato’ Imam.

James Brooke telah menubuhkan Majlis Tertinggi pada tahun 1855. Tujuan Majlis ini adalah untuk membuat semua dasar pentadbiran Sarawak. Ia dianggotai oleh pembesar tempatan yang terkemuka.

Pada tahun 1868, Charles Brooke telah menubuhkan Majlis Negeri. Majlis ini meberi peluang kepada pegawai dan pembesar dari kawasan baru untuk menyuarakan masalah mereka. Ahlinya terdiri daripada anggota Majlis Tertinggi, pegawai kanan Eropah dan Melayu serta ketua-ketua kaum Iban. Mesyuarat akan diadakan sekurang-kurangnya 3 tahun sekali. Majlis ini akan membincangkan perkara penting dan dasar kerajaan. Ia juga berhak membuat undang-undang, manasihati raja dan kerajaannya. Majlis ini mengadakan sidang pertamanya di Sibu pada tahun 1867.

Pada tahun 1868, Sarawak telah dibahagikan kepada 5 bahagian. Setiap bahagian ini diketuai oleh seorang Residen dan dibantu oleh seorang Penolong Residen yang berbangsa Eropah serta pegawai tempatan yang bergelar Pegawai Anak Negeri (dilantik dari kalangan pembesar). Pegawai Anak Negeri bertugas untuk menasihati Residen, mengutip cukai dan mengetuai ekspedisi tentera. Setiap bahagian juga mempunyai majlisnya yang sendiri yang dipengerusikan oleh Residen dan ketua-ketua pribumi serta pegawai Eropah.

Di peringkat kampung, ketua penduduk mengekalkan peraturan, menyelesaikan pergaduhan dan memungut cukai.

Pada tahun 1941, Vyner Brooke membentuk satu perlembagaan bagi Sarawak dan berjanji memberi kemerdekaan kepada Sarawak. Mengikut perlembagaan ini, kuasa mutlak Vyner Brooke diserah kepada Majlis Tertinggi dan Majlis Negeri. Majlis Tertinggi terdiri daripada 5 orang ahli manakala Majlis Negeri terdiri daripada 25 orang ahli iaitu 14 orang ahli rasmi dilantik daripada pegawai perkhidmatan awam Sarawak dan 11 orang ahli tidak rasmi dilantik oleh Raja Brooke bagi menjaga kepentingan penduduk Sarawak.

2. 1946-1963

Pada 1 Julai 1946, Sarawak menjadi tanah jajahan British. Perlembagaan 1941 dikekalkan selama 10 tahun yang pertama. Pada tahun 1948, Majlis Tempatan ditubuhkan untuk memberi latihan kepada penduduk pribumi dalam pemerintahan. Majlis Tempatan berkuasa menguruskan pelajaran, kesihatan, bekalan air/elektrik, jalan raya dan pungutan cukai. Pada tahun 1956, perlembagaan baru diluluskan. Pada 1 April 1957, perlembagaan baru dikuatkuasakan.

Mengikut perlembagaan 1956, Majlis Tertinggi dan Majlis Negeri terus wujud untuk membantu Gabenor Sarawak. Ahli Majlis Tertinggi sebanyak 10 orang dan Majlis Negeri 44 orang yang terdiri daripada 22 dipilih oleh rakyat secara tidak langsung dari Majlis Daerah ke Majlis Penasihat Bahagian dan akhirnya ke Majlis Negeri. Majlis Tempatan pula diubah menjadi Majlis Daerah.


Sabah

1. 1881-1946

Kompeni Berpiagam Borneo Utara (KBBU) menggabungkan institusi pentadbiran British dengan institusi-institusi tempatan dalam pentadbiran awam Sabah. Pentadbiran Sabah diketuai oleh seorang Gabenor (dilantik oleh KBBU atas persetujuan British). W.H. Treacher Gabenor pertama. Gabenor dibantu oleh Majlis Penasihat yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan kompeni (Setiausaha Kerajaan, Bendahari, Ketua Pasukan Keselamatan).


Sabah dibahagikan kepada 4 Residensi iaitu Tawau, Sandakan, Pantai Barat dan Pedalaman yang diketuai oleh Residen. Setiap Residensi dibahagikan kepada 7 daerah yang diketuai oleh Pegawai Daerah (orang Eropah) dan dibantu oleh Ketua Anak Negeri. Tugas Pegawai Daerah ialah menjalankan tugas-tugas menjaga keamanan, mengendalikan keadilan, mengutip cukai, membahagi tanah dan menguruskan hal pertanian. Pada tahun 1915, Majlis Penasihat Ketua-ketua Anak Negeri ditubuhkan. Ia berfungsi sebagai orang tengah di antara kerajaan dengan rakyat tempatan. Di peringkat kampung, ketua kampung digelar orang Tua dan tugasnya ialah menjaga hal pentadbiran kampung.


Mahkamah Anak Negeri pula diwujudkan secara tradisional di kalangan penduduk pribumi Sabah. Ia diketuai oleh Ketua Anak Negeri yang berfungsi sebagai hakim tempatan. Mahkamah ini membicarakan kes-kes yang berhubung dengan hokum adat dan syariah. Pada tahun 1912, Majlis Mesyuarat Undangan menggantikan Majlis Penasihat. Majlis ini ditubuhkan bagi memperoleh pandangan berbagai-bagai kaum dalam penggubalan undang-undang. Majlis ini mempunyai 7 orang ahli rasmi, 4 orang ahli tak rasmi (wakil kaum Cina, kaum peladang di Pantai Timur dan Pantai Barat).

2. 1946-1963

Pada 15 Julai 1946, Sabah diserahkan kepada Kerajaan British. Sebab penyerahan ini ialah KBBU tidak mempunyai keupayaan dan sumber kewangan yang mencukupi untuk membina semula Sabah yang mengalami kerosakan teruk semasa Perang Dunia Kedua. Sabah dieprintah oleh Gabenor dengan bantuan sebush Majlis Penasihat.


Pada 17 Oktober 1950, perlembagaan baru diperkenalkan. Mengikut perlembagaan ini, Gabenor dibantu oleh Majlis Eksekutif dan Majlis Mesyuarat Undangan. Majlis Eksekutif mempunyai 9 orang ahli yang bertugas untuk menasihatkan Gabenor atas hal-hal pentadbiran dan dasar kerajaan yang penting. Majlis Mesyuarat Undangan mempunyai 22 orang ahli di mana 4 orang ahli terdiri daripada penduduk tempatan.


Ahli-ahlinya mesti dilantik oleh Gabenor. Pada tahun 1952, Majlis Tempatan yang pertama diasaskan di Daerah Kota Belud, kemudian Sipitang (Januari 1955) dan Papar (1956). Tujuan Majlis Tempatan ialah memberi peluang kepada penduduk tempatan mengambil bahagian dalam pemtadbiran kawasan masing-masing. Majlis Tempatan juga bertanggungjawab dalam hal-ehwal kewangan, pendidikan, kesihatan, bekalan air/elektrik, pertanian dan penternakan. Majlis Tempatan ditukar nama kepada Majlis Daerah kemudian. Pada tahun 1960, perlembagaan digubal semula. Ahli Majlis Eksekutif menjadi 12 orang ahli dan Majlis Mesyuarat Undangan menjadi 25 orang ahli.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan