CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Sabtu, 1 Januari 2011

SEJ T 6 Kegagalan British Campur Tangan di Johor Sehingga Tahun 1914

Kegagalan British Campur Tangan di Johor Sehingga Tahun 1914

Pengenalan

Johor merupakan sebuah Negeri Melayu yang paling lama dan rapat hubungan dengan British. Penglibatan British di Johor bermula sejak kedatangan Raffles dan pembukaan Singapura pada tahun 1819. Walau bagaimanapun, Johor merupakan negeri yang paling akhir menerima Penasihat British. Dengan ini, Johor dianggap sebagai negeri yang paling lama mengekalkan kemerdekaannya berbanding dengan Negeri-negeri Melayu yang lain, terutamanya Negeri-negeri Melayu yang menerima campur tangan British mulai 1874. mengikut Rupert Emerson dan K.G. Tregonning, kemerdekaan Johor pada umumnya adalah disebabkan dua faktor, iaitu hubungan berbaik-baik dengan British dan kebijaksanaan pemerintah-pemerintah Johor terutama Tememggung Daeng Ibrahim dan Maharaja Abu Bakar.

Sebab Johor mengekalkan kemerdekaannya

1. Hubungan berbaik-baik dengan British

Sejak pembukaan Singapura 1819, pemerintah Johor dari keluarga Temenggung mengadakan hubungan berbaik-baik dengan pegawai-pegawai British di Negeri-negeri Selat dan Kerajaan British di London. Hubungan yang dimulakan oleh Temenggung Abdul Rahman pada tahun 1819 dengan Raffles telah diteruskan oleh pengganti-penggantinya seperti Temenggung Ibrahim, Sultan Abu Bakar dan Sultan Ibrahim sehingga tahun 1914. Di samping mengekalkan kebebasan Johor, hubungan berbaik-baik dengan British amat menguntungkan Johor.

Dengan usaha British, Temenggung Ibrahim dapat mengukuhkan kekuasaannya ke atas Johor menerusi satu perjanjian pada tahun 1855 dengan Tengku Ali, putera Sultan Hussein yang menuntut takhta Kerajaan Johor dan kekuasaan penuh ke atas Johor. Tuntutan takhta Johor oleh Tengku Ali tidak menjejaskan kestabilan politik Johor kerana tuntutan itu dapat dielakkan oleh pihak British dengan sokongan pihak British terhadap keluarga Temenggung. Sultan Abu Bakar (1862-1895) telag mengeratkan hubungan mesra Johor dengan British. Gelaran Maharaja dan gelaran Sultan telah diiktirafkan oleh pihak British. British juga mengakui kebebasan Johor melalui satu perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1885 dengan Sultan Johor. Perjanjian tahun 1885 telah mengukuhkan kedudukan Sultan Abu Bakar sebagai Sultan berdaulat.

2. Kebijaksanaan pemerintah-pemerintah Johor

Pemerintah-pemerintah Johor telah melaksanakan sistem pentadbiran yang lebih cekap dan sistematik berbanding dengan sistem pemerintah di Negeri-negeri Melayu yang lain terutamanya di Perak dan Selangor. Pada tahun 1895, Sultan Abu Bakar telah memperkenalkan sebuah perlembagaan baru bagi Johor. Perlembagaan bertulis yang berdasarkan sistem perlembagaan di Britain menjamin sistem pentadbiran yang teratur. Dengan adanya perlembagaan ini, kuasa Sultan dapat diperkukuhkan.

Perlembagaan ini merupakan perlembagaan yang bertulis yang pertama di Semenanjung Tanah Melayu. Kebijaksanaan Sultan Abu Bakar dapat dilihat dengan jelas apabila baginda menandatangani perjanjian 1885 dengan British dan bersetuju membenarkan British melantik seorang wakilnya, seorang Konsul untuk kepentingan British di Johor. Kebijaksanaan baginda turut terserlah dalam mengadakan pembaharuan-pembaharuan berdasarkan Barat di Johor. Di samping memperkenalkan beberapa pembaharuan sosial, jentera pentadbiran yang lebih kemas dan sistematik diperkenalkan dengan menerap nilai-nilai pentadbiran Barat. Baginda mengupah beberapa penasihat Eropah tetapi pentadbiran dijalankan oleh Sultan dan Majlis Mesyuarat Negeri.

Perlembagaan memperuntukkan sebuah Jemaah Menteri yang terdiri daripada orang Melayu. Mereka ditugaskan untuk menasihati Sultan. Majlis Negeri yang didirikan terdiri daripada rakyat Johor yang meliputi semua kaum dan dilantik oleh Sultan untuk membuat undang-undang. Dalam keadaan ini, pihak British merasa tidak perlu untuk mengambilalih pentadbiran Negeri Johor kerana satu sistem pentadbiran yang kemas telah wujud di Johor.

3. Tidak berlaku kekacauan di Johor

Temenggung-temenggung Johor seperti Daeng Ibrahim dan puteranya menggunakan kebijaksanaan mereka dalam menangani penghijrahan masuk orang Cina ke Johor dalam pertengahan abad ke-19. Temenggung Daeng Ibrahim menggunakan sistem Kangcu sebagai satu kaedah yang tersusun untuk mengawal peneroka-peneroka yang rajin berusaha itu.

Melalui sistem Kangcu, orang Cina digalakkan berpindah, menetap kekal di Johor dan membuka ladang-ladang lada hitam dan gambir. Temenggung memberikan satu surat tauliah yang disebut surat sungai kepada setiap Kangcu atau ketua puak-puak orang Cina. Surat ini menentukan hak-hak dan tanggungjawab mengawal dan membayar sewa bagi kawasan-kawasan yang dibuka. Sistem Kangcu ini membolehkan kemasukan orang Cina secara beramai-ramai ke Johor.

Pada awal tahun 1860-an lebih kurang 10000 orang Cina telah masuk ke Johor. Mereka menjadi buruh-buruh di ladang-ladang lada hitam dan gambir yang dibuka pada pertengahan abad ke-19. Berbeza dengan Negeri-negeri Melayu yang lain seperti di Perak dan Selangor, tidak terdapat kekacauan yang diakibatkan oleh kongsi gelap di Negeri Johor. Keadaan terkawal kerana baginda membenarkan hanya satu kongsi gelap sahaja iaitu Ghee Hin untuk masuk ke Johor. Malah baginda menggalakkan hanya orang Teochew memasuki Johor.

Dengan cara pentadbiran yang agak sistematik, pergaduhan di antara orang Cina terkawal. Mereka hidup aman damai. Keadaan perebutan kuasa di kalangan pembesar-pembesar seperti yang berlaku di Negeri-negeri Melayu yang lain juga tidak berlaku di Johor. Pemindahan kuasa dari keluarga Sultan kepada keluarga Temenggung terutamanya selepas kemangkatan Sultan Hussein telah berlaku secara lancar dan tanpa sebarang peristiwa yang tidak diingini. Oleh sebab tidak ada kekacauan sama ada dari segi perebutan kuasa di kalangan pembesar atau permusuhan kongsi-kongsi gelap di kalangan orang Cina, maka British tidak mempunyai alasan untuk campur tangan di Johor sehingaa tahun 1914.

4. Kurang potensi ekonomi

Walaupun Johor terletak berhampiran dengan Singapura, British tidak memberi tumpuan yang tegas untuk mengawal Johor kerana negeri itu tidak mempunyai sumber alam yang kaya seperti bijih timah. Kekurangan kepentingan ekonomi British di Johor mengurangkan kecenderungannya untuk mengawal negeri tersebut.

Pengenalan sistem penasihat di Johor 1914

Hubungan Johor dengan British mulai regang pada zaman pemerintahan Sultan Ibrahim (1895-1959). Baginda tidak mengekalkan hubungan baik dengan Pejabat Tanah Jajahan. Sebaliknya baginda menentang kuasa pihak British. Baginda memerintah secara bebas dan sering mengabaikan nasihat British. Malah baginda mengambil beberapa tindakan yang mengecewakan pihak British.

Pada tahun 1899, Sultan Ibrahim enggan membenarkan British membina sebuah landasan keretapi dari Negeri Sembilan ke Johor Bahru. Baginda mahu membina jalan keretapi mengikut syarat-syarat sendiri dengan mendapatkan pinjaman dan jurutera-jurutera sendiri. Tindakan ini tidak disenangi oleh pihak British. Namun demikian, pada 11 Julai 1904, Sultan Ibrahim bersetuju menandatangani Konvensyen Keretapi Johor setelah A. Lyttleton, Setiausaha Tanah Jajahan mengancam akan mengambil tindakan yang tegas ke atas baginda.

Tindakan-tindakan Sultan Ibrahim terus mengancam kepentingan-kepentingan British di Johor. Pada tahun 1905, baginda memebrikan satu konsesi yang luas kepada Perbadanan Negeri Johor yang disokong oleh usahawan-usahawan Belanda. Perbadanan ini diberi hak monopoli selama 20 tahun. Sultan Ibrahim juga mengambil langkah untuk memajukan Johor Bharu sebagai sebuah pelabuhan supaya negeri Johor tidak perlu bergantung dari segi ekonomi kepada Singapura dari Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Tindakan baginda mengamcam kedudukan Singapura sebagai pelabuhan dan pusat perdagangan. Tindakan-tindakan Sultan Ibrahim yang radikal dan pengabaian nasihat British menyebabkan Gabenor Anderson menggunakan alasan pentadbiran negeri Johor untuk memaksa baginda supaya menerima seorang Penasihat British. Akhirnya pada tahun 1914, Sultan Ibrahim menandatangani satu perjanjian dan bersetuju menerima seorang pegawai British yang nasihatnya mesti diminta dan dijalankan dalam semua perkara yang ada hubungan dengan pentadbiran umum negeri dan mengenai semua perkara selain daripada yang menyentuh agama dan adat resam orang Melayu. Dengan ini, British dapat meluaskan kuasanya ke Johor.

7 ulasan:

  1. Nk jurnal perluasan kuasa British di johor cikgu,saye sesak nk buat kerja khusus

    BalasPadam
  2. Mengapa British gagal memperluaskan kuasa semasa pemerintahan sultan Abu bakar di johor

    BalasPadam
  3. Jelaskan faktor-faktor yang telah menghalang perluasan kuasa British di Johor.

    BalasPadam
  4. saya ada soalan nak tanya tapi saya lupa,nanti saya ingat saya tanya

    BalasPadam