CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Selasa, 11 Januari 2011

SEJ T 6 Perkembangan Perusahaan Bijih Timah di Tanah Melayu

Perkembangan Perusahaan Bijih Timah di Tanah Melayu

Pengenalan

Perusahaan bijih timah dijalankan oleh orang-orang Melayu berabad-abad lamanya sebelum abad ke-19 dan dipercayai sejak abad ke-9, perusahaan ini dijalankan secara kecil-kecilan sebagai pekerjaan sambilan dengan menggunakan teknologi kuno terutamanya mendulang. Orang-orang Melayu menguasai perusahaan bijih timah sehingga tahun 1830. Sejak tahun 1840, pembesar-pembesar Melayu seperti Long Jaafar dan Ngah Ibrahim (Larut), Dato’ Kelana (Sungai Ujong), Raja Abdullah (Kelang) dan lain-lain telah membawa masuk orang-orang Cina dari Negeri-negeri Selat untuk mengerjakan perlombongan bijih timah mereka. Sejak itu, perusahaan bijih timah dikuasai oleh orang-orang Cina. Serentak dengan penglibatan orang-orang Cina, berlaku perkembangan perusahaan bijih timah di Tanah Melayu.

Faktor-faktor perkembangan perusahaan bijih timah

1. Revolusi perusahaan

Perkembangan Revolusi Perusahaan sejak awal abad ke-19 telah menyebabkan permintaan bijih timah oleh industri-industri di Eropah dan Amerika Syarikat meningkat lebih-lebih lagi selepas terciptanya teknologi mengetin makanan oleh Peter Durar dan Nicholas Appot pada tahun 1810. Permintaan bijih timah juga meningkat akibat dari berlakunya Perang Saudara Amerika pada tahun 1860-an di mana bijih timah diperlukan untuk mengetin makanan tentera yang terlibat dalam peperangan. Permintaan yang bertambah menyebabkan harga bijih timah meningkat kepada 7 paun 12 sherling 9 pence pada tahun 1872. Harga yang meningkat telah menggalakkan pengeluaran bijih timah di Tanah Melayu. Permintaan terhadap bijih timah juga meningkat kerana bijih timah mempunyai kualiti-kualiti tertentu yang tidak terdapat pada logam-logam lain. Apabila bijih timah dicampurkan dengan logam lain, ianya akan menambahkan kegunaan logam tersebut.

2. Campur tangan British

Campur tangn British dan perlaksanaan Sistem Residen sejak tahun 1874 di negeri-negeri yang kaya dengan bijih timah seperti Perak dan Selangor telah menamatkan kekacauan seperti pergaduhan di antara pembesar, pergaduhan antara pelombong Cina, lanun dan sebagainya. Keamanan dan peraturan yang wujud serta kestabilan politik telah membolehkan kegiatan perlombongan bijih timah dijalankan tanpa gangguan. Selain itu, keadaan ini telah menarik pelabur-pelabur sama ada dari Tanah Melayu atau seberang laut untuk menambah modal dalam perusahaan bijih timah di Tanah Melayu.

3. Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu 1896

Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu 1896 yang menggabungkan Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang telah berjaya mewujudkan keseragaman dalam Undang-undang Tanah, cukai dan sebagainya di negeri-negeri tersebut. Keseragaman dan kecekapan dalam pentadbiran, keamanan serta kestabilan akibat penubuhan persekutuan telah membolehkan kegiatan perlombongan bijih timah dapat dijalankan dengan lebih giat. Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu juga telah menarik ramai pelabur terutama dari Eropah untuk menanam modal di Tanah Melayu.

4. Sistem perhubungan

Pembinaan sistem perhubungan jalan raya dan keretapi telah memudahkan pengangkutan bijih timah dari kawasan perlombongan ke pelabuhan utama untuk dieksport. Jalan keretapi pertama dibina pada tahun 1885 untuk menghubungkan Taiping dengan Port Weld, 1886 Kuala Lumpur – Kelang, 1891 Port Dickson – Seremban, 1893 Ipoh – Teluk Anson. Menjelang 1903, terdapat jalan keretapi menghubungkan Perai ke Seremban dan disambungkan ke Johor Bahru pada tahun 1909. Pada tahun 1911, sudah terdapat jalan raya dari Perai ke Singpura.

5. Penubuhan bandar

Penubuhan bandar-bandar di kawasan perlombongan bijih timah telah menyediakan pelbagai kemudahan seperti pejabat kerajaan, klinik, sekolah dan sebagainya. Kemudahan-kemudahan ini telah memberi kebaikan kepada penduduk di kawasan yang terlibat/terdiri dari perlombongan. Sebagai contoh, kemudahan kesihatan yang disediakan dapat menjamin kesihatan pekerja-pekerja dan membolehkan kegiatan perlombongan bijih timah dapat dijalankan tanpa gangguan.

6. Kilang pelebur

Pada tahun 1890-an, kilang pelebur telah didirikan di Pulau Pinang dan Singapura. Pembinaan kilang pelebur ini menyebabkan bijih timah tidak perlu dihantar ke Eropah untuk dileburkan. Bijih timah dapat dilebur di Tanah Melayu dan dieksport ke Eropah dan Amerika dalam bentuk jongkong.

7. Kapal korek

Pengenalan kapal korek sejak 1912 telah memberi sumbangan dalam perusahaan bijih timah di Tanah Melayu. Penggunaan kapal korek telah menambahkan pengeluaran bijih timah kerana kapal korek dapat digunakan di kawasan di mana teknik-teknik lain tidak dapat digunakan terutama kawasan berpaya. Oleh sebab harganya mahal, pada peringkat awal, hanya mempu dimiliki oleh pemodal Eropah. Kapal korek yang pertama digunakan dengan jayanya pada tahun 1912 oleh Malayan Tin Trading, Batu Gajah (Perak). Menjelang tahun 1929 terdapat 105 buah kapal korek di Tanah Melayu.

8. Dasar British yang liberal

Dasar British yang liberal terhadap kemasukan imigran-imigran juga memberi sumbangan terhadap perusahaan bijih timah. British bukan sahaja tidak menyekat kemasukan imigran malah menggalakkan lagi kedatangan mereka. Buktinya, British telah menandatangani perjanjian dengan pemilik kapal dan saudagar-saudagar Cina di mana British akan memberi subsidi sebanyak $5 terhadap tiap-tiap imigran Cina yang dibawa masuk ke Tanah Melayu. Untuk menggalakkan kedatangan orang Cina, British menyediakan pelbagai kemudahan. Pada tahun 1877, Jabatan Perlindungan Orang-orang Cina telah ditubuhkan bagi mengurus hal-ehwal orang Cina terutamanya yang berkaitan dengan kemasukan, pekerjaan, perlindungan dan sebagainya. Untuk mendapat keyakinan orang Cina, Jabatan Perlindungan Orang-orang Cina diketuai oleh W.A. Pickering yang dapat bertutur dalam 4 jenis dialek Cina.

9. Bantuan modal

Pelombong-pelombong Cina bukan sahaja mendapat bantuan modal daripada saudagar Negeri-negeri Selat, tetapi juga dari pihak British. Sebagai contoh, pada tahun 1883, Frank Swettenham telah memberi pinjaman sebanyak $52 ribu kepada pelombong Cina di Selangor dan pada tahun 1890, Maxwell telah memberi pinjaman sebanyak $57 ribu kepada pelombong Cina di Perak.

10. Sistem ekonomi orang Cina

Perkembangan perusahaan bijih timah di Tanah Melayu berkait rapat dengan kejayaan orang Cina yang berpunca dengan sistem ekonomi mereka. Dalam sistem ekonomi orang Cina terdapat 4 aspek penting yang memberi sumbangan kepada perkembangan perusahaan bijih timah, iaitu tenaga buruh, teknik peleburan, modal dan pengusaha.

Tenaga buruh didapati dengan mudah dan murah hasil daripada usaha-usaha mereka untuk membawa imigran-imigran Cina dari Selatan Cina terutama dari Kwantung, Kwangsi, Fukkien. Terdapat di antara buruh-buruh ini yang sudah mempunyai pengalaman dalam kegiatan perlombongan di negeri mereka. Merekalah yang kemudiannya menjadi tenaga mahir dan separuh mahir dalam perlombongan bijih timah di Tanah Melayu.

Orang-orang Cina juga telah memperkenalkan teknik-teknik melombong yang lebih baik dari orang Melayu. Antara teknik-teknik tersebut ialah lombong dedah, enjin wap, pam berantai dan lain-lain. Orang-orang Cina juga telah memperkenalkan teknik roda air yang dapat mengelakkan banjir di kawasan perlombongan. Saudagar-saudagar Cina di Negeri-negeri Selat pula telah memberi sumbangan modal bagi menjalankan perusahaan bijih timah di Negeri-negeri Melayu. Selain itu, terdapat pengusaha-pengusaha yang berkebolehan dalam menjalankan perlombongan bijih timah di Tanah Melayu.

11. Kanun Galian 1896

Kanun Galian 1896 meletakkan hal ehwal perlombingan bijih timah di bawah 2 orang penguasa galian persekutuan. Di bawah mereka terdapat merinyu-merinyu yang ditugaskan untuk melicinkan kegiatan perlombongan bijih timah seperti mengeluarkan lesen/menentukan kawasan perlombongan. Pada tahun 1893, seorang ahli kaji bumi telah dilantik untuk menjalankan kerja-kerja saintifik yang berkaitan dengan perlombongan bijih timah terutamanya bagi menentukan kawasan-kawasan yang kaya dengan bijih timah.

12. Perang Dunia Pertama

Perang Dunia Pertama yang meletus di Eropah pada tahun 1914 hingga 1918 juga memberi sumbangan kepada perusahaan bijih timah di Tanah Melayu. Peperangan tersebut menyebabkan permintaan bijih timah meningkat kerana ianya diperlukan untuk menetin makanan tentera yang terlibat dalam peperangan dan membuat senjata.

13. Undang-undang Tanah

Undang-undang Tanah yang liberal telah mebolehkan pengusaha-pengusaha asing memiliki tanah untuk menjalankan perlombongan bijih timah. British juga berjaya menghapuskan hak permilikan tanah oleh pembesar. Tanah menjadi hak kerajaan dan sesiapa sahaja dibenarkan memohon untuk mendapatkan tanah terutamanya bagi menjalankan perusahaan bijih timah.

14. Sistem pengukuran

Sistem pengukuran tanah yang tepat dan hak milik yang jelas telah menamatkan pertikaian merebut tanah terutamanya tanah perlombongan. Keadaan ini sudah tentu membolehkan kegiatan perlombongan bijih timah dapat dijalankan tanpa gangguan.

15. Terusan Suez 1869

Pembukaan Terusan Suez 1869 telah memendekkan perjalanan laut dari Eropah ke Tanah Melayu. Keadaan ini sudah tentu menarik ramai pelabur Eropah untuk datang ke Tanah Melayu dan melabur dalam perusahaan bijih timah.

16. Firma Eropah

Penglibatan firma-firma Eropah telah memajukan lagi perusahaan bijih timah di Tanah Melayu. Kekuatan modal mereka membolehkan lebih banyak lombong bijih timah dibuka. Antara-antara firma-firma itu ialah Syarikat Peterson and Simons, Syarikat Bijih Timah Sungai Ujong dan Syarikat Bijih Timah Selangor, Syarikat Tin Trading dan sebagainya. Selain itu, terdapat juga firma kuasa Barat lain yang menjalankan kegiatan perlombongan bijih timah di Tanah Melayu. Sebagai contoh, firma Perancis yang menjalankan perlombongan bijih timah di Tapah – Do Societe des Mines d’Etains.

17. Dasar Kerajaan British

Dasar Kerajaan British di Tanah Melayu dan di England memberi sumbangan terhadap perkembangan perusahaan bijih timah di Tanah Melayu. Untuk menggalakkan eksport, Kerajaan British di Tanah Melayu telah mengurangkan cukai eksport ke atas bijih timah. Kerajaan British juga berjaya menghalang pembesar-pembesar mengenakan cukai ke atas bijih timah yang dibawa melalui kawasan mereka. Kerajaan British di England pula menghapuskan cukai import ke atas bijih timah pada tahun 1823.


Kesimpulan

Mulai pertengahan abad ke-19, perusahaan bijih timah di Tanah Melayu telah berkembang dengan pesat. Menjelang tahun 1883, Semenanjung Tanah Melayu merupakan pengeluar bijih timah yang terbesar di dunia. Hasil daripada perusahaan bijih timah membolehkan British memodenkan Tanah Melayu

10 ulasan: