CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Sabtu, 1 Januari 2011

SEJ T 6 Pelanunan

Pelanunan

Pengenalan

Asal-usul pelanunan tidak diketahui dengan jelas. Kegiatan lanun di Perairan Tanah Melayu dan Borneo telah meluas menjelang awal abad yang ke-19. Menjelang tahun 1825, pelanunan merupakan ancaman besar kepada perdagangan di Gugusan Kepulauan Melayu. L.A. Mills menyifatkan sebagai “a great ang blighting curse”. Kumpulan lanun yang paling kuat ialah lanun-lanun dari Mindanao (Filipina). Lain-lain lanun yang penting ialah Balanini dari Kepulauan Sulu, lanun Melayu dari Kepulauan Riau-Lingga, Dayak Laut dari Borneo Utara dan lanun-lanun Cina yang berleluasa selepas tahun 1840. Perahu-perahu tempatan merupakan sasaran serangan lanun. Kapal-kapal Eropah jarang sekali diserang oleh lanun. Ini adalah kerana kapal-kapal tersebut bukan mudah ditawan dan lengkap dengan senjata.

Sebab-sebab kewujudan lanun

1. Pekerjaan turun-temurun

Pelanunan merupakan cara hidup tradisional orang-orang di Gugusan Kepulauan Melayu. Pelanunan dianggap sebagai pekerjaan yang mulia dan memandangkan seorang lanun mestilah berani dalam perjuangan dan mahir dalam ilmu pelayaran. Menurut L.A. Mills, pelanunan bukan sahaja dijalankan oleh rakyat biasa tetapi juga oleh golongan bangsawan, raja dan pedagang.

2. Kedatangan orang Eropah

L.A. Mills berpendapat bahawa kedatangan orang Eropah telah mendorong pelanunan. Orang Portugis dan Belanda telah menghancurkan sistem perdagangan tempatan. Dasar perdagangan monopoli Belanda menyebabkan kehilangan serta mata pencarian sebilangan besar pedagang. Mereka dilarang menjalankan sebarang kegiatan perdagangan di kebanyakan pulau yang berada di bawah pengaruh Belanda. Kehilangan mata pencarian ini memaksa pedagang-pedagang beralih kepada lanun. Sebagai contoh yang paling baik ialah orang Bugis di Makasar.

3. Bentuk muka bumi Gugusan Kepulauan Melayu

Bentuk muka bumi Gugusan Kepulauan Melayu yang berteluk, berpaya dan mengandungi banyak sungai memudahkan lanun-lanun menyembunyikan diri semasa menanti mangsanya atau selepas mengalami kekalahan. Sungai-sungai kecil dijadikan pangkalan memandangkan bahawa kapal besar Eropah tidak dapat mengejar kapal layar kecil lanun kerana airnya cetek. D.G.E. Hall berpendapat bahawa tiada tempat lain di dunia yang mempunyai keadaan geografi sebegitu sesuai bagi pelanunan.

4. Ketidakstabilan politik

Ketidakstabilan politik di Semenanjung Tanah Melayu (terutama sekali di Selangor dan Perak) dan Borneo telah menggalakkan kegiatan lanun. L.A. Mills berpendapat bahawa keruntuhan kerajaan-kerajaan Melayu telah mendorong pelanunan. Seorang pemerintah biasanya terlalu lemah untuk mengawal kegiatan lanun.

5. Desakan ekonomi

Desakan ekonomi juga telah mendorong sebilangan orang tempatan untuk menjadi lanun. Sebagai contoh, penduduk Sambas menjadi lanun apabila perdagangan mereka diambil alih oleh negara jiran, Pontianak di Borneo Barat.

6. Perdagangan

Jenis perdagangan melalui perahu dan tongkang di pesisiran pantai dan sungai memudahkan lagi kegiatan pelanunan. Perkembangan perdagangan Negeri-negeri Selat yang pesat dalam pertengahan abad ke-19 juga mendorong kegiatan pelanunan.

7. Sokongan dari ketua-ketua tempatan

Kegiatan melanin bertambah luas kerana mendapat sokongan dari ketua-ketua tempatan. Ketua-ketua tempatan memberi senjata dan perlindungan kepada lanun-lanun sebagai balasan untuk sebahagian daripada hasil rompakan mereka.

Langkah-langkah untuk mengawal pelanunan sebelum tahun 1835

Sebelum tahun 1835, Kerajaan British tidak mengambil tindakan yang tegas atau berkesan untuk mengawal kegiatan lanun. Negeri-negeri Selat tidak mempunyai bilangan kapal dan angkatan laut yang mencukupi untuk mengawal pelanunan. Pada tahun 1831, Negeri-negeri Selat hanya mempunyai 3 buah kapal kecil bagi melindungi perdagangan. Mahkamah Negeri-negeri Selat tidak mempunyai kuasa untuk membicara atau menghukum lanun-lanun. Sebaliknya, lanun-lanun dihantar ke Calcutta untuk dibicarakan dan selalunya mereka dibebaskan kerana kekurangan bukti. Keadaan ini disebabkan oleh keengganan Kerajaan British terutama sekali selepas tahun 1833, untuk membelanjakan wang ke atas Negeri-negeri Selat yang tidak mendatangkan sebarang hasil baginya. Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 memperuntukkan bahawa Inggeris dan Belanda akan bekerjasama untuk menghapuskan pelanunan. Namu demikian, kerjasama tersebut tidak diamalkan. Kerajaan British hanya mengambil dua langkah yang positif sebelum tahun 1835 untuk mengawal pelanunan:

a. Kapal HMS Southampton bersama dengan kapal perang Diamond pada tahun 1830 berjaya menewaskan sebuah angkatan lanun yang terdiri daripada 30 buah perahu di Selat Melaka.

b. Kapal HMS Harrier pada tahun 1833 telah memusnahkan sebuah petempatan lanun di Pulau Durian yang terletak di selatan Selat Singapura.

Langkah-langkah untuk mengawal pelanunan selapas tahun 1835

Pada tahun 1835, pedagang-pedagang British dan Cina di Singapura menghantar surat-surat rayuan kepada Kerajaan India dan Parlimen British yang menggesa mereka mengambil langkah-langkah yang berkesan bagi menghapuskan pelanunan.

1. Penghantaran kapal-kapal perang

Hasil daripada surat-surat rayuan yang dihantar pada tahun 1835, kerajaan British menghantar kapal perang HMS Andromache di bawah pimpinan Kapten Chads ke Selat Melaka dalam tahun yang sama untuk mengawal kegiatan pelanunan. Pada tahun 1836, dua buah lagi kapal perang iaitu HMS Wolf dan Raleigh dihantar ke Negeri-negeri Selat. Kapal-kapal ini meronda Selat Melaka dan sepanjang pantai timur Semenanjung Tanah Melayu dan berjaya memusnahkan beberapa petempatan lanun termasuk petempatan di Pulau Galang. Pada tahun 1837, kerajaan British menempatkan secara tetap 2 buah kapal Angkatan Laut Diraja dan 5 buah bot bersenjata di Negeri-negeri Selat.

2. Penghantaran kapal-kapal stim

Kapal-kapal stim memainkan peranan penting dalam menghapuskan pelanunan. Pada tahun 1837, Kerajaan British menempatkan kapal stim yang pertama, iaitu Diana di Negeri-negeri Selat untuk mengawal pelanunan. Kedatangan kapal stim Diana merupakan titik peralihan dalam sejarah penghapusan pelanunan. Kapal Diana mempunyai kelajuan sebanyak 5 knot sejam dan tidak perlu bergantung kepada angin bagi pelayaran. Faktor-faktor ini memudahkan operasi-operasi menentang lanun. Dalam pertempuran yang pertama (1837), kapal Diana telah memusnahkan 6 buah perahu lanun di sekitar perairan pantai Terengganu. Pada tahun 1862, Kerajaan India menempatkan 2 buah kapal stim, iaitu Pluto dan Avon di Negeri-negeri Selat.

3. Kuasa membicarakan kes pelanunan

Pada tahun 1837, Negeri-negeri Selat diberi kuasa untuk membicara dan menghukum lanun-lanun. Langkah ini dapat mengawal kegiatan lanun pada setakat yang tertentu.

4. Peranan James Brooke dan Angkatan Laut British di Borneo

James Brooke dengan bantuan Angkatan Laut British (Skuadron Timur Jauh) bertanggungjawab bagi penghapusan kegiatan lanun di Borneo. Pada tahun 1843-1844, James Brooke dengan bantuan kapal HMS Dido yang dipimpin oleh Kapten Keppel memusnahkan kubu-kubu lanun Saribas dan Sikarna (Dayak Laut). Pada tahun 1845, Laksamana Cochrane dan skuadronnya memusnahkan petempatan-petempatan lanun di Teluk Marudu, Barat Laut Borneo. Tugas menghapuskan petempatan lanun di barat laut Borneo diselesaikan oleh Captain Mundy yang memimpin kapal HMS Iris pada tahun 1846. Pada tahun 1847, kapal Nemesis menewaskan satu skuadron Balanini berhampiran dengan Labuan. Pada tahun 1849, James Brooke dengan bantuan kapal-kapal Angkatan Laut British (HMS Albatross dan HMS Royalist) dan kapal-kapal Syarikat Hindia Timur Inggeris (Nemesis dan Semiramis) menewaskan lanun-lanun Dayak Laut dengan teruknya di Batang Maru.

Campur tangan British di Negeri-negeri Melayu pada tahun 1874 telah mengurangkan dengan banyaknya kegiatan pelanunan di Semenanjung Tanah Melayu. Menjelang akhir abad ke-19, pelanunan di perairan Tanah Melayu dan Borneo telah luput sama sekali.

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum cikgu
    kepentingan mengatasi ancaman lanun?

    BalasPadam