CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Sabtu, 1 Januari 2011

SEJ T 6 Konsep Peluasan Kuasa Asing

Konsep Peluasan Kuasa Asing


Pengenalan

Istilah peluasan kuasa asing sebenarnya hanya akan muncul apabila sekurang-kurangnya terdapat dua kuasa pentadbiran atau kerajaan dengan salah satu kuasa itu memasuki hal-hal pentadbiran atau mencampuri, menguasai hak pemerintahan satu kuasa lagi. Selalunya juga, peluasan kuasa ini merujuk kepada aspek politik pentadbiran dan bukan merujuk khusus kepada aspek-aspek perdagangan kerana ia melibatkan sial kedaulatan pemerintahan sesebuah negara atau kerajaan.

Latar belakang peluasan kuasa asing

1. Tanah Melayu

Selalunya, peluasan kuasa asing di Tanah Melayu sering kali merujuk kepada kehadiran kuasa-kuasa barat seperti Portugis, Belanda, British dan Jepun. Peluasan kuasa ini boleh berlaku sama ada melalui penaklukan mahupun melalui perjanjian-perjanjian yang ditandatangani.

Semenjak awal abad ke-16, Melaka telah ditawan oleh kuasa Portugis. Penawanan ini bermakna penguasaan kuasa asing Portugis terhadap hal-hal pentadbiran orang Melayu di samping pengenalan beberapa unsur asing yang sedikit sebanyak telah meresap ke dalam budaya orang Melayu.

Kehadiran kuasa Belanda juga memberi kesan terhadap Tanah Melayu. Kuasa ini menggantikan kuasa Portugis di Melaka tetapi tidak seperti Portugis, mereka hanya menumpukan perhatian dalam hal-hal ekonomi.

British merupakan kuasa asing yang memberi pengaruh yang paling kuat dalam hal pentadbiran dan segala aspek yang lain. Pada awalnya, mereka hanya bertujuan untuk menjalankan kegiatan ekonomi, namun atas dasar keutamaan dengan China, maka mereka pun mula menukar dasar mereka daripada tidak campur tangan kepada campur tangan.

2. Sarawak

Peluasan kuasa asing di Sarawak lebih merujuk kepada pihak British di mana seorang bekas tentera Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI), James Brooke telah dilantik oleh Pangeran Muda Hashim sebagai “Raja Sarawak”. Kedudukannya ini kemudian diperturunkan kepada anaknya. Apabila sampai ke tangan Vyner Brooke, baginda telah menyerahkan kuasanya kepada rakyat Sarawak melalui Majlis Tertinggi dan Majlis Negeri dengan pengisytiharaan Perlembagaan Sarawak pada tahun 1941. Kemudian, Sarawak manjadi tanah jajahan British pada tahun 1946.

3. Sabah

Pada mulanya, Amerika berdagang dengan Sabah melalui perjanjian yang dibuat pada tahun 1850. Melalui perjanjian, C. Lee Moses mendapat tanah pajakan daripada Sultan Brunei. Moses telah memberikan tanah tersebut kepada William Torrey. Beliau mengusahakan tanaman kopi tetapi tidak berjaya dan kawasan itu dijual kepada Baron Von Overbeck dan Alfred Dent. Kompeni Overbeck and Dent kemudian membentuk kompeni British untuk menarik palabur British. Overbeck tidak dapat menyertai kompeni ini kerana dia bukan rakyat British. Dent mendapat piagam daripada British dan sebuah kompeni yang bernama Kompeni Berpiagam Borneo Utara ditubuhkan pada tahun 1881. Kompeni memerintah Sabah sehingga tahun 1946 kemudian diserahkan kepada Kerajaan British.

Mekantilisme

Mekantilisme merupakan satu dasar di mana kekayaan diukur dengan wang emas dan perak dan objektif utamanya adalah untuk meningkatkan kuantiti wang dan galian berharga dalam sesebuah negara. Mengikut pengertian Thomas, mekantilisme ialah konsep di mana hendak menjadikan sesebuah negara itu kaya dan kuat; menjadi semakin kaya setiap tahun disebabkan oleh negara lain.

Kemakmuran yang dimaksudkan oleh golongen mekantilisme ialah berdasar kepada penduduk yang ramai, pekerjaan yang menguntungkan bagi seluruh penduduk semata-mata.

Secara ringkas, mekantilisme merupakan dasar yang mementingkan 3K iaitu kekuasaan, kekayaan dan kebajikan. Kekayaan diperolehi dengan mengusai koloni dan mengadakan imbangan perdagangan yang memihak kepada negara induk. Kekuasaan pula diperolehi dengan membesarkan angkatan tentera, memajukan industri perkapalan dan mengadakan akta perkapalan yang menafikan hak berdagang di koloni untuk kuasa-kuasa asing. Kebajikan rakyat dalam negara induk pula diperolehi dengan meluluskan akta-akta yang dapat meningkatkan produktiviti negara antaranya Apprentice Act 1563 dan Poor Law 1600 di England.

Imperialisme

Imperialisme ialah dasar atau tindakan sesebuah negara menjajah atau mengenakan kuasa pemerintahannya ke atas negara-negara lain. Seperti dasar mekantilisme, imperialisme juga merupakan satu bentuk penjajahan malah ia lebih jelas kerana ia melibatkan kuasa politik dan pemerintahan yang secara langsung meragut kedaulatan sesebuah negara atau kerajaan. Dalam erti kata yang lain, hak untuk mentadbir dan menguasai sesuatu kumpulan masyarakat telah diambil alih oleh satu lagi kuasa baru iaitu kuasa imperialis. Kita juga boleh mengatakan bahawa dasar imperialis itu bermula atau berasaskan kepada konsep mekantilisme.

Kolonialisme

Kolonialisme merupakan satu dasar menguatkuasakan atau mengekalkan kekuasaan atau pemerintahan atas negeri jajahannya. Dengan kata lain, kolonialisme bermaksud tindakan menjajah negara lain. Kalau imperialis hanyalah meletakkan kekuasaannya terhadap sesebuah negara atau kerajaan itu, kolonialisme pula adalah tindakan yang mencampuri hal-hal dalaman negara atau kerajaan yang telah dijajah itu. Maknanya konsep kolonialisme itu merupakan lanjutan kepada usaha imperialisme dalam erti kata pengukuhan kepada usaha penjajahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan