CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Selasa, 11 Januari 2011

SEJ T 6 SISTEM RESIDEN DI T. MELAYU

Sistem Residen

Pengenalan

Pada 1860-an dan 1870-an, berlaku pelbagai kekacauan di Perak, Selangor, Pahang dan Sungai Ujong. Antara kekacauan itu ialah perebutan takhta, pergaduhan pembesar, pergaduhan antara pelombong Cina dan sebagainya. Kekacauan tersebut telah dijadikan alasan oleh British untuk campur tangan. Hasil usaha Andrew Clarke, dasar campur tangan bermula dari Perak, kemudian Selangor, Sungai Ujong dan Pahang. Berikutan dasar campur tangan, sistem Residen telah diperkenalkan di negeri-negeri tersebut. Di bawah sistem Residen, Sultan menerima seorang residen sebagai penasihat bagi menasihatinya dalam segala hal kecuali hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam dan adat resam Melayu.


Tugas Residen

1. Menasihati Sultan dalam urusan-urusan pentadbiran kecuali dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan agama dan adat istiadat orang Melayu.

2. Mengekalkan ketenteraman dan menegakkan peraturan serta undang-undang di wilayah pemerintahannya. Segala tindakan hendaklah jangan menggunakan paksaan.

3. Membentuk sebuah sistem cukai yang berkesan.

4. Merancang dan membangunkan kawasan-kawasan bandar.

5. Membaiki alat-alat perhubungan


Corak pentadbiran

1. Peringkat negeri

Pemerintahan secara tidak langsung dan nasihat Residen kepada Sultan dijalankan melalui pembentukan Majlis Mesyuarat Negeri. Tujuan utama majlis ini ialah untuk membolehkan para pegawai British berunding dengan para pembesar tempatan tentang segala hal yang berhubung dengan kepentingan masyarakat Melayu.

Majlis ini mula-mulanya ditubuhkan sebagai badan penasihat sahaja. Kemudian, tugas-tugasnya termasuk juga membuat segala undang-undang, menjadi mahkamah rayuan tertinggi dan menjadi badan kerajaan utama yang menguruskan perubahan dalam struktur cukai, pencen kepada orang Melayu dan perlantikan ketua tempatan, pegawai kerajaan dan kadi. Pada amnya, semua perkara yang berkaitan dengan kerajaan tempatan diuruskan oleh majlis ini kecuali urusan mengawal hasil-hasil yang berada di bawah Residen.

Seluruh Mesyuarat Majlis dijalankan dalam Bahasa Melayu dan segala perkara yang berkaitan dengan pentadbiran, ekonomi dan sosial dibincangkan dalam majlis ini. Semua cadangan dan usul Residen harus dibahaskan dan diundi sebelum diluluskan menjadi undang-undang. Semua rang undang-undang harus mempunyai tandatangan Sultan tetapi mestilah terlebih dahulu mendapat keizinan Gabenor yang mempunyai kuasa pembatal.

Sungguhpun majlis ini amat berguna untuk membincangkan pendapat mengenai perkara-perkara yang menyentuh orang Melayu tetapi sebenarnya, majlis ini tidak mempunyai kuasa perundangan yang luas. Lagipun, apabila pentadbiran menjadi semakin rumit, fungsi perundangan majlis ini diabaikan. Lama-kelamaan, majlis ini hanya meluluskan keputusan yang sudah dibuat.

2. Peringkat daerah

Setiap negeri dibahagikan kepada beberapa daerah. Pentadbiran daerah di bawah jagaan seorang Pegawai Daerah British. Di peringkat awal, pegawai daerah dikenali sebagai “Pemungut Cukai dan Majlistret” kerana beliau bertugas untuk memungut hasil dan menjadi majistret di peringkat daerah. Pegawai Daerah juga bertanggungjawab menjaga perbendaharaan daerah dan memungut cukai. Beberapa cawangan jabatan seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Polis dan Jabatan Perubatan ditubuhkan di bawah Ketua Pegawai Eropah dan Pegawai Daerah bertugas untuk mengawasi Kerja Ketua Jabatan tersebut.

3. Peringkat mukim

Setiap daerah dibahagikan kepada beberapa mukim. Seorang pembesar dilantik untuk menjadi Ketua Mukim dengan gelaran Penghulu. Anak raja dilantik menjadi Penghulu kerana

a. Mempunyai pengaruh yang kuat

b. Melibatkan mereka dalam pentadbiran British

c. Mereka lebih memahami sikap dan perasaan rakyat jelata

d. Mereka mempunyai pendidikan yang diperlukan untuk menjalankan tugas

Tugas mereka ialah:

a. Memungut hasil tanah

b. Mentadbir undang-undang tempatan

c. Menjaga keamanan dan keselamatan

d. Mengadakan hubungan erat dengan rakyat jelata

e. Menyampaikan dasar dan usaha kerajaan kepada rakyat jelata

f. Menyampaikan maklumat balas rakyat kepada kerajaan

g. Menyimpan kira-kira dan membuat laporan bertulis

4. Peringkat kampung

Pentadbiran kampung diketuai oleh Ketua Kampung. Biasanya, mereka terdiri daripada orang tua yang dihormati oleh penduduk sesebuah kampung. Ketua Kampung bekerjasama dengan Penghulu di mukim dan mendapat pengiktirafan daripada Sultan negeri masing-masing. Selain Penghulu dan Ketua Kampung, terdapat lagi Kapitan Cina dan Penghulu Dagang.

5. Peringkat bandar

Pada awal tahun 1890-an, sebuah lembaga kesihatan telah ditubuhkan untuk mentadbir Bandar Kuala Lumpur. Tugasnya adalah untuk

a. Mengeluarkan lesen peniaga dan penjaja

b. Meluluskan pelan bangunan

c. Menjaga kebersihan bandar

Ahli-ahlinya terdiri daripada:

a. Jurutera di Jabatan Kerja Raya

b. Ketua Polis Daerah

c. Individu yang dilantik oleh Residen

Masalah yang dihadapi oleh Residen

1. Tidak terdapat sistem pemerintahan pusat di Negeri-negeri Melayu. Ada sesetengah wilayah dan ketua-ketua wilayah tidak tertakluk di bawah kekuasaan Sultan. Mereka bebas menjalankan urusan pentadbiran sendiri.

2. Dalam kehidupan sehari-hari Sultan dan pembesar-pembesar Melayu telah mengikut cara hidup mereka sendiri sebagai warisan sejarah turun-temurun. Oleh itu, amatlah sukar untuk mempengaruhi dan mendesak mereka agar dapat mengubah dan mengikut sistem pentadbiran baru seperti mana sistem Barat.

3. Adalah sukar bagi Residen mengelakkan diri dari campur tangan dalam adat ketika menjalankan tugas kerana adar merupakan kehidupan orang-orang Melayu. Sebagai contoh, sudah menjadi corak pemerintahan di Negeri-negeri Melayu bahawa Sultan dan pembesar-pembesar termasuk ketua-ketua wilayah mempunyai kuasa untuk memungut cukai di wilayah masing-masing. Sultan akan mendapat pembayaran pula dari mereka.

Bukti yang jelas ialah Ngah Ibrahim (Menteri Larut) berkuasa dan bebas memungut cukai di Daerah Larut, Perak. Dato’ Bahaman (Orang Kaya Semantan) di Pahang mempunyai hak memungut cukai di Daerah Semantan terutamanya Sungai Semantan yang menjadi alat perhubungan penting bagi kapal-kapal. Perkara ini yang harus dihadapi oleh Residen kerana sudah menjadi tugas mereka membentuk sistem tersebut untuk pembangunan negeri bukan untuk kepentingan individu seperti yang telah berlaku.

4. Masalah yang tidak kurang pentingnya ialah masalah kewangan. Hal ini disebabkan Kerajaan British tidak memberi bantuan yang cukup kepada mereka. Malah, segala perbelanjaan termasuk gaji Residen ditanggung oleh Sultan atau kerajaan negeri. Masalah kewangan menjadi semakin serius apabila Residen terpaksa menyelesaikan hutang-hutang negeri kepada Negeri-negeri Selat. Negeri-negeri Selat telah membiayai kira-kira £15000 di Perak dan dalam tahun 1877 hutang negeri Perak telah berjumlah £160000. Selain itu, ramai pembesar-pembesar negeri juga telah berhutang, misalnya Ngah Ibrahim telah berhutang kira-kira £50000.

5. Banyak masalah dihadapi untuk mengawal ketenteraman. Hal ini juga disebabkan Residen tidak mempunyai anggota keselamatan yang cukup untuk membantunya di setiap wilayah. Hanya sesetengah Residen sahaja yang mempunyai pasukan polis dan askar seperti Kapten Speedy di Larut. Itupun pemberian dari Ngah Ibrahim kepadanya. Kapten Tatham di Sungai Ujong hanya dibantu oleh kira-kira 50 orang anggota polis.

Perubahan-perubahan yang berlaku

1. Pentadbiran

a. Pembentukan Majlis Mesyuarat Negeri (State Council)

Perubahan yang nyata dalam pemerintahan ialah pembentukan Majlis Mesyuarat Negeri (MMN). Suktan dilantik menjadi Presiden dan ahli-ahli yang lain terdiri daripada Residen, Penolong Residen, pembesar Melayu dan ketua-ketua puak Cina. MMN merupakan satu institusi yang mengendalikan urusan-urusan pentadbiran.

Di Perak, MMN ditubuhkan pada tahun 1877 yang mengandungi 7 ahli iaitu 3 Melayu, 2 Inggeris dan 2 Cina. Pada tahun 1895, keahliannya bertambah menjadi 12 orang iaitu 7 Melayu, 2 Inggeris dan 3 Cina.

Di Selangor, MMN ditubuhkan pada tahun 1878. MMN mempunyai kuasa meluluskan perkara-perkara yang berkaitan dengan kerajaan negeri seperti membincangkan hal-hal dalam negeri seperti cukai, perbelanjaan, perlantikan serta gaji pembesar. MMN juga boleh menimbangkan sama ada hukuman mati patut dijalankan atau ubah.

Namun demikian, perkara-perkara penting seperti belanjawan negeri tetap dirangka oleh Residen yang kemudiannya mendapat persetujuan daripada Gebenor Negeri-negeri Selat.

b. Penubuhan sistem cukai yang efektif

Adalah menjadi tugas Residen untuk menubuhkan satu sistem cukai yang berkesan. Hasil cukai yang diperolehi itu hendaklah digunakan untuk pembangunan negeri seperti membiayai pembinaan jalan raya, keretapi serta alat-alat perhubungan yang lain. Dengan adanya jabatan cukai dan penghasilan dalam negeri, beban Kerajaan Inggeris untuk membiayai pembangunan-pembangunan dalam negeri berkurangan.

Yang nyata kerajaan negeri dapat membayar gaji Residen dan pembesar Melayu. Kerajaan negeri akan dapat menyelesaikan sendiri masalah mereka seperti masalah hutang-piutang, misalnya ketika Hugh Low menjadi Residen Perak, dalam masa 6 tahun sahaja, Perak berjaya membayar kembali hutang-hutang terutama kepada Negeri-negeri Selat di samping telah menambahkan pendapatan negeri tersebut.

c. Terbentuknya satu pentabiran yang stabil

Sungguhpun pada peringkat awalnya pemerintahan Residen tidak berjaya seperti peristiwa Birch di Perak, namun kemudiannya Residen Inggeris telah berjaya mengadakan satu pentadbiran yang stabil di Negeri-negeri Melayu. Satu pentadbiran yang stabil hanya dapat diadakan jika mereka dapat menjamin ketenteraman dalam negeri. Oleh itu, perkara ketenteraman dan mengadakan peraturan dalam negeri mendapat perhatian yang utama.

Kejayaan sistem Residen dapat dibuktikan dalam zaman Hugh Low (1877-1889) di Perak dan zaman Frank Swettenham (1882-1889) di Selangor. Untuk menjamin adanya satu pentadbiran yang stabil, Residen perlu mendapat sokongan dan kerjasama dari pembesar-pembesar dan orang-ornag Melayu. Kelemahan-kelemahan Birch dalam tahun-tahun 1870-an telah memberi satu pengajaran yang besar.

d. Mengadakan undang-undang

Memandangkan adanya rancangan-rancangan dan kemajuan-kemajuan dalam bidang pertanian, maka dibentuk undang-undang mengenai penggunaan tanah, misalnya di Perak telah diadakan Undang-undang Tanah yang dibuat oleh Hugh Low. Dalam undang-undang tersebut dinyatakan peraturan-peraturan pengawalan penggunaan tanah, meletakkan projek-projek dan pendaftaran bagi tanah. Sistem yang serupa telah dibuat di Selangor oleh Frank Swettenham yang diberi nama Land Regulation.

e. Penubuhan badan perancang bandar

Dalam tahun 1890, telah ditubuhkan sebuah badan perancang bandar di Negeri-negeri Melayu yang diberi nama Town Sanitary Board. Badan tersebut bertanggungjawab terhadap pembangunan peraturan-peraturan pembangunan, membina parit-parit, bekalan air dan elektrik serta kesihatan.

2. Ekonomi

a. Pelancaran aktiviti ekonomi

Memandangkan Negeri-negeri Melayu sangat kaya dengan bahan-bahan mentah seperti Perak dan Selangor, maka melalui sistem Residen, pihak British akan mengadakan satu polisi menggunakan sepenuhnya bahan-bahan mentah tersebut untuk memajukan ekonomi yang bukan sahaja akan memberi manfaat kepada Negeri-negeri Melayu, malah juga kepada pihak British. Semua aktiviti ekonomi di Negeri-negeri Melayu akan diserahkan kepada kapitalis-kapitalis Barat.

b. Pembinaan alat perhubungan

Untuk menjayakan rancangan-rancangan pembangunan ekonomi, beberapa rancangan perlu dijalankan seperti membina alat-alat perhubungan, kemudian mendapatkan tanah dan kemudahan pinjaman wang. Kerajaan juga hendaklah memastikan tidak akan timbul pertikaian mengenai penggunaan tanah terutama di kawasan-kawasan perlombongan khasnya bijih timah. Jika perkara-perkara di atas dilakukan sudah pasti akan dapat menggalakkan kemasukan palabur-pelabur asing.

c. Kemajuan pertanian

Selain perkembangan perusahaan bijih timah, dalam pemerintahan Residen juga telah dicapai kemajuan pertanian. Beberapa jabatan tanaman diperkenalkan. Dalam tahun-tahun 1880-an dan awak 1890-an telah ditanam lada, tebu, tembakau, gambir dan kopi. Di Selangor penanaman kopi dan tembakau diperkenalkan oleh Frank Swettenham.

Pada tahun 1885, terdapat kira-kira 20000 ekar kawasan tanah untuk jenis tanaman tersebut di Selangor. Di Perak, penanaman kopi dan gula diperkenalkan oleh Hugh Low dan sejak tahun 1883, negeri itu telah berjaya mengeksport kopi dan gula. Dengan adanya kemajuan perusahaan bijih timah dan dibantu pula oleh pembinaan jalan raya dan keretapi, nilai perdagangan Negeri-negeri Melayu telah bertambah, misalnya, nilai perdagangan negeri Selangor pada tahun 1887 ialah $11 juta sementara negeri Perak dalam tahun yang sama ialah $19 juta.

3. Sosial

a. Kemasukan orang Cina dan India

Dasar imigrasi yang longgar telah membawa kepada kedatangan orang-orang India dan Cina ke Selangor. Kedatangan mereka telah menyebabkan orang-orang Melayu tidak lagi menjadi penduduk majority di Perak dan Selangor. Malah bilangan orang-orang Cina di kawasan perlombongan melebihi orang Melayu. Kedatangan mereka telah mewujudkan masyarakat majmuk di mana orang-orang Cina dan India adalah masyarakat yang berasingan yang tidak dapat mengasimilasikan di dalam masyarakat Melayu kerana beberapa perbezaan.

b. Perbandaran

Kemajuan ekonomi dan pentadbiran telah membawa kepada berlakunya proses urbanisasi perbandaran di mana kawasan-kawasan perlombongan telah muncul sebagai bandar-bandar seperti Taiping, Kuala Lumpur dan Klang. Kemudahan sosial seperti kesihatan, perhubungan, pelajaran dan sebagainya juga diwujudkan.

Kelemahan-kelemahan sistem Residen

1. Kuasa-kuasa Raja-raja Melayu semakin berkurangan

Sungguhpun dengan pentadbiran Residen turut dapat membantu melicinkan perjalanan pentadbiran dan menambahkan ekonomi Negeri-negeri Melayu, tetapi nyata raja-raja Melayu telah kehilangan kuasa yang ada padanya. Walaupun pada teorinya. Residen hanya bertugas memberi nasihat tetapi pada praktiknya ia tidak terlepas dari amalan campur tangan.

Raja-raja dan pembesar-pembesar Melayu hanya mendengar apa yang akan diperkatakan dan dibincangkan oleh Residen tanpa diberi peluang mengambil bahagian. Hanya perkara-perkara yang tidak penting terutamnya mengenai hal-ehwal kampung yang akan dibincangkan secara mendalam dengan Raja-raja dan pembesar-pembesar termasuk ketua-ketua kampung. Dalam membincangkan perkara-perkara penting seperti kewangan, belanjawan dan sebagainya, mereka telah dikecualikan.

Kehilangan kuasa Raja-raja Melayu dan pembesar-pembesar Melayu jelas kelihatan dalam Majlis Mesyuarat Negeri (MMN) kerana MMN tidak lagi berfungsi. Sungguhpun Raja-raja dan para pembesar Melayu mempunyai hak untuk memberi pendapat ataupun sebarang usul, jika ia bertentangan dengan polisi pemerintahan Inggeris maka usul itu ditolak.

Kadang-kala, keputusan yang dibuat oleh MMN tidak diterima oleh British misalnya pernah MMN di Selangor menyingkirkan salah seorang anggotanya iaitu Tengku Panglima Raja tetapi sebaliknya beliau tetap menjadi anggota MMN. Di Perak, Residen telah menolak usul yang dikemukakan oleh Raja Muda Yusuf yang menentang pengambilan orang Cina menjadi anggota MMN.

Kehilangan kuasa tersebut telah menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan Raja-raja Melayu termasuk pembesar-pembesar. Hal ini telah menimbulkan rasa bimbang kepada pihak Inggeris dan tindakan telah diambil untuk mengkaji semula polisi Inggeris ke atas Negeri-negeri Melayu. Pihak Inggeris tidak mahu peristiwa pembunuhan Residen Birch di Perak dan diikuti oleh Perang Perak pada 1875 berulang lagi.

2. Sistem Residen tidak sama

Ketidakseragaman dalam pentadbiran di kalangan Residen-residen British telah terjadi. Hal ini disebabkan setiap Residen tidak menerima arahan-arahan tertentu dan Gabenor Negeri-negeri Selat. Residen hanya diberitahu bahawa mereka bertanggungjawab atas keselamatan dan kepentingan rakyat Inggeris di Negeri-negeri Selat. Oleh sebab itu kelicinan pentadbiran dan kemajuan negeri adalah bergantung kepada peribadi Residen itu sendiri. Tugasnya bergantung kepada kecekapan dan kebijaksanaan individu. Misalnya kecekapan Hugh Low dan Frank Swettenham telah membawa kepada kejayaan negeri Perak dan Selangor.

3. Tekanan ekonomi

Sungguhpun kemajuan dan perkembangan ekonomi telah dicapai hasil perlaksanaan Sistem Residen, namun sebenarnya orang-orang Melayu tidak merasai kenikmatan itu. Sebaliknya orang-orang asing terutama pengusaha Eropah dan Cina telah menguasai sektor ekonomi dan perdagangan orang-orang Melayu kekal dengan corak tradisionalnya iaitu bertani dan menjadi nelayan. Sikap pemerintahan Inggeris menyebabkan perbezaan ekonomi antara orang Melayu dengan kaum-kaum lain terutama orang Cina semakin jauh. Inggeris tidak cuba membantu dan menggalakkan orang-orang Melayu menceburkan diri dalam bidang ekonomi dan perdagangan.

11 ulasan:

  1. nice info.... very great....

    http://kenchenys.blogspot.com

    BalasPadam
  2. British gagal menarik negeri2 melayu utara masuk persekutuan

    BalasPadam
  3. Ciri dea sistem residen dia apa?

    BalasPadam
  4. sistem residen kenapa dianggap sebagai sistem penindas?

    BalasPadam
  5. sangat membantu saya. Tq cikgu....

    BalasPadam
  6. sangat mudah difahami terima kasih cikgu

    BalasPadam
  7. Mengapakah Residen British tidak menasihati raja-raja Melayu dalam perkara berkaitan Agama Islam dan adat Istiadat Melayu?

    BalasPadam