CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Selasa, 11 Januari 2011

SEJ T6 Penentangan di Terengganu

Penentangan di Terengganu

Pengenalan

Usaha British meluaskan kuasanya di Terengganu menyebabkan rakyat bangkit menentang British antara tahun 1922-1928. Kebangkitan itu berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah. Punca kebangkitan rakyat Terengganu adalah pelaksanaan sistem pentadbiran dan undang-undang bercorak Barat dan cukai-cukai baru yang membebankan rakyat seperti cukai tanah dan pas kerajaan untuk membuka tanah dan mengambil hasil hutan. Pemimpin ulama penentangan ini ialah seorang ulama yang bernama Haji Abdul Rahman Limbong. Penentangan ini bertumpu di Hulu Telemong, Kuala Telemong, Kuala Berang, Alor Limbat dan Tersat.

Kebangkitan tahun 1922 dan 1925

Penentangan terhadap British yang pertama berlaku pada tahun 1922 di Hulu Telemong. Penentangan ini bermula apabila 43 orang rakyat ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membersihkan tanah dan bercucuk tanam tanpa mendapatkan pas kebenaran daripada Kerajaan British. Mereka dibela oleh Haji Abdul Rahman Limbong. Beliau berjaya membebaskan mereka dari tuduhan dengan menitikberatkan undang-undang Islam.

Pada tahun 1925, satu lagi kebangkitan menentang undang-undang British berlaku di Kuala Telemong. Kebangkitan ini disebabkan oleh beberapa orang telah membersihkan tanah kawasan Kuala Telemong untuk bercucuk tanam. Tanah itu adalah kepunyaan Tengku Haji Nik (200 ekar) dan tanah kerajaan yang terbiar (400 ekar). Mereka membersihkan tanah itu tanpa meminta pas kebenaran daripada kerajaan kerana Tengku Haji Nik sendiri yang meminta mereka mengerjakan tanah itu. Kebangkitan ini mendapat sokongan yang kuat daripada ramai rakyat Terengganu. Walau bagaimanapun, tidak berlaku sebarang kejadian buruk dalam kebangkitan tersebut.

Kebangkitan tahun 1928

Peristiwa-peristiwa kebangkitan rakyat Terengganu di Hulu Telemong dan Kuala Telemong pada tahun 1922 dan 1925 telah menambahkan kebencian rakyat terhadap British. Semangat kebangkitan rakyat Terengganu sampai ke kemuncaknya pada tahun 1928 di Kuala Berang.

Penduduk Kuala Berang, Kampung Pelam (Telemong), Tersat dan Dungun telah membuka tanah untuk bercucuk tanam tanpa mengambil pas kebenaran dari pihak British. British mengancam hendak mengambil tindakan ke atas penduduk yang terlibat. Berikutan dengan ancaman itu, penduduk dari kawasan-kawasan tersebut telah berhimpun beramai-ramai untuk bangkit menentang British. Menurut buku “Pemberontakan Tani 1928 di Terengganu”, karangan Timah Hamzah, kira-kira 1000 orang penduduk berkumpul di Tersat, Hulu Telemong pada 21 Mei 1928 dengan tujuan untuk memulakan peperangan terhadap orang kafir.

Pada 23 Mei 1928, penduduk yang berhimpun di Kuala Berang telah menduduki pejabat kerajaan dan memusnahkan balai polis di situ. Pegawai-pegawai British di Kuala Berang terpaksa berundur ke Kuala Terengganu.

Setelah kemenangan awal itu, pejuang-pejuang itu telah menuju ke arah Kuala Terengganu untuk mengadu masalah mereka kepada Sultan Sulaiman. Pada masa itu, Kerajaan British telah menghantar sepasukan polis di bawah pimpinan Dato’ Seri Lela Diraja dari Kuala Terengganu ke Kuala Berang untuk mengawal keadaan. Pasukan polis itu telah bertempur dengan rakyat yang sedang mara di Padang Kachong. Di situ, Dato’ Seri Lela Diraja telah memberi amaran kepada rakyat supaya berhenti dan tidak meneruskan pergerakan. Walau bagaimanapun, kebanyakan tidak menghiraukan amaran tersebut. Akibatnya, pasukan polis telah melepaskan tembakan.

Dengan bantuan polis tambahan dari Negeri-negeri Melayu Bersekutu, British dapat memadamkan kebangkitan rakyat Terengganu. Semua pemimpin yang terlibat ditangkap dan dipenjarakan iaitu Haji Zakaria 7 tahun; Abu Bakar Chinting 10 tahun; Abdullah Jurukka 10 tahun; Mat Tok Pitas 5 tahun dan Lebai Hassan 5 tahun. Penghulu Salleh Pasir Nyior pula telah dibebaskan. Haji Abdul Rahman Limbong juga didapati bersalah tetapi beliau tidak dihukum penjara. Beliau dibuang negeri ke Makkah.

Sebab Haji Abdul Rahman Limbong tidak dipenjarakan ialah beliau dianggap sebagai pemimpin yang sangat berpengaruh dan kehadirannya akan meningkatkan lagi semangat kebangkitan terhadap British. Selain itu, British juga tidak mahu menimbulkan lagi kemarahan penyokong-penyokong beliau sekiranya beliau dihukum penjara. Beliau dihantar ke Makkah juga disebabkan beliau berhasrat pergi ke tanah suci untuk mendalami dan mengajar agama Islam. Haji Abdul Rahman Limbong meninggal dunia di Makkah pada 16 November 1929.

1 ulasan: