CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Sabtu, 1 Januari 2011

SEJ T 6 Kemelesetan Ekonomi 1920-an-1930-an ke Atas Perusahaan Getah

Kemelesetan Ekonomi 1920-an-1930-an ke Atas Perusahaan Getah

Pengenalan

Getah mula diperkenalkan di Tanah Melayu pada abad ke-19 dan menjadi tanaman yang popular sejak awal abad ke-20. Getah melalui zaman mewah antara tahun 1906 hingga tahun 1918 apabila harga meningkat kepada $5 sepaun. Pada tahun 1920-1930, berlaku kejatuhan harga getah di mana pada tahun 1920 harga getah hanya 20 sen sepaun dan 1931-1932 herganya hanya 5 sen sehingga 7 sen sepaun. Kenaikan harga getah antara tahun 1906-1918 telah menggalakkan penanaman getah bukan sahaja di Tanah Melayu tetapi juga di negeri-negeri lain seperti Indonesia, Thailand, Indo-China dan sebagainya.

Perang Dunia Pertama antara tahun 1914 hingga 1918 menyebabkan getah tidak dapat dieksport ke Eropah dan Amerika kerana kekurangan kapal dan masalah peperangan. Akibatnya terdapat banyak simpanan getah di negara-negara pengeluar getah. Keadaan semakin runcing apabila Amerika yang menjadi pengimport utama telah mengurangkan pengeluaran kereta sejak tahun 1920 lagi bagi menumpukan perhatian dalam industri mengeluarkan perkakas perang. Kemelesetan ekonomi 1920-1930 telah memberi kesan ke atas perusahaan getah di Tanah Melayu.

Kemelesetan perusahaan getah semasa 1920-an-1930-an

Tahun-tahun 1920-an

Pada tahun 1920-an, peladang dan pekebun getah menghadapi kehidupan perit terutamanya semasa Perang Dunia Pertama (1914-1918) dan beberapa tahun selepas tamatnya peperangan itu. Hal ini kerana harga getah telah jatuh ke paras yang paling rendah. Sebab-sebab harga getah merosot:

a. Amerika yang menggunakan kira-kira 77% daripada pengeluaran getah dunia telah mengurangkan penggunaan getah kerana perusahaan keretanya dihadkan demi menumpukan perhatian kepada pengeluaran alat-alat kelengkapan perang.

b. Kekurangan pengangkutan perkapalan semasa peperangan telah menjejaskan eksport getah ke Amerika Syarikat dan Eropah.

c. Walaupun begitu, pengeluaran getah di Tanah Melayu tidak berhenti. Pokok-pokok getah yang ditanam sebelum Perang Dunia Pertama mulai mengeluarkan hasil.

d. Apabila peperangan tamat, pengeluaran getah menjadi terlalu banyak, manakala permintaan bagi getah amat terhad.

e. Ini menyebabkan harga getah jatuh dengan teruknya sedangkan kos pengeluarannya masih tinggi. Harga getah menjunam jatuh dari $5.50 sepaun kepada 85 sen pada tahun 1918 dan seterusnya kepada 20 sen pada tahun 1922. Pada masa itu, kos pengeluaran getah adalah 40-50sen sepaun.

Kemelesetan perusahaan getah membimbangkan Kerajaan Inggeris kerana masalah ini memburukan lagi masalah kewangan kerajaan yang terpaksa membayar balik hutang peperangan kepada Amerika Syarikat yang telah membantunya dalam peperangan itu. Oleh itu, Kerajaan Inggeris telah mengambil langkah yang tegas untuk mengawal kemerosotan harga dan lebihan pengeluaran getah.

Tahun-tahun 1930-an

Zaman kemelesetan ekonomi dunia berlaku sekali lagi pada awal tahun 1930-an. Keadaan perusahaan getah di Tanah Melayu ibarat “sudah jatuh ditimpa tangga”.

Pada awal tahun 1932, harga getah jatuh kepada 7 sen sepaun dan pada bulan Jun 1932 pula, getah mencatatkan harga yang paling rendah iaitu 5 sen sepaun. Kemelesetan ekonomi dunia telah mengurangkan permintaan terhadap getah di kalangan negara-negara pengimport getah sementara pengeluaran getah yang semakin bertambah dan simpanan yang bertimbun di kalangan negara-negara pengeluar.

Punca utama pengurangan permintaan dunia terhadap getah ialah berkurangnya penggunaan getah di Amerika Syarikat akibat kemerosotan perusahaan keretanya. Amerika Syarikat mengeluarkan hampir 90% daripada jumlah keluaran kereta dunia dan menggunakan 75-80% daripada pengeluaran getah dunia. Akibat kemelesetan ekonomi dunia, keluaran keretanya telah merosot daripada 5 juta unit kepada 1 juta unit pada tahun 1929. Oleh itu, perusahaan tayar kereta turut menurun dari 77 juta unit pada tahun 1928 kepada 4 juta unit pada tahun 1932.

Kejatuhan harga getah telah membimbangkan negara-negara pengeluar terutamanya Kerajaan Inggeris. Hal ini menyebabkan negara-negara pengeluar dunia bersetuju untuk mengadakan perundingan bagi mengatasi masalah tersebut. Hasil daripada perundingan itu, negara-negara pengeluar getah dunia menandatangani Rancangan Peraturan Getah Antarabangsa pada bulan Mei 1934. Rancangan ini dianggotai oleh hampir semua pengeluar getah dunia termasuk Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Thailand, Myanmar, Indonesia, Indo-China Sri Lanka dan India. Negara-negara tersebut mengeluarkan kira-kira 98.7% daripada jumlah pengeluaran getah dunia pada tahun 1934.

Rancangan Sekatan Stevenson (1922-1928)

Pada tahun 1921, jawatankuasa Stevenson telah ditubuhkan oleh Kerajaan British untuk mengkaji langkah-langkah mengawal kemerosotan perusahaan getah. Pada tahun 1922, Rancangan Sekatan Stevenson dimulakan hasil daripada kaji selidik jawatankuasa ini.

Mengikut rancangan ini, pengeluaran getah dihadkan kepada lebih kurang 60% sahaja daripada jumlah pengeluaran tahun 1920. Bagi menjayakan rancangan ini, Tanah Melayu mengurangkan pengeluarannya daripada 50% kepada 38%. Hasilnya pada tahun 1925, harga getah meningkat kepada $2 sepaun.

Sungguhpun begitu, rancangan ini tetap gagal kerana pengeluaran getah dari negara lain tidak dapat dikawal. Indonesia telah menambahkan pengeluarannya dari 24% kepada 38%. Syarikat-syarikat Amerika telah membuka ladang getah baru seperti Syarikat Ford di Brazil dan Syarikat Firestone di Liberia.

Rancangan ini ditamatkan pada tahun 1928.

Rancangan Peraturan Getah Antarabangsa (1934-1943)

Rancangan Peraturan Getah Antarabangsa telah dimulakan pada tahun 1934 yang bertujuan mengurangkan pengeluaran dan mengawal harga getah. Negara-negara yang menjadi anggota ialah Tanah Melayu, Borneo Utara, Sarawak, Sri Lanka, India, Myanmar, Indo-China, Indonesia dan Thailand. Negara-negara ini mengeluarkan 98.7% daripada jumlah pengeluaran getah sedunia.

Kuota eksport telah ditetapkan untuk setiap anggota tersebut. Penanaman baru dan penanaman semula tidak digalakkan. Atas usaha ini, harga getah telah meningkat daripada 30 sen sepaun pada tahun 1935 kepada 43 sen sepaun pada tahun 1937 dan seterusnya menjadi stabil.

Rancangan ini berjaya menstabilkan harga getah kerana:

a. Hampir semua negara pengeluar getah sedunia telah menganggotai dan mematuhi peraturan-peraturan rancangan tersebut.

b. Kemelesetan ekonomi dunia telah berakhir menjelang pertengahan tahun-tahun 1930-an dan permintaan getah dunia semakin bertambah.

c. Ekonomi Amerika Syarikat berkembang dengan pesat dan kemajuan dalam industri automibil menambahkan penggunaan getah kepada 80% daripada pengeluaran getah dunia.

Perusahaan getah semasa dan selepas Perang Dunia Kedua

Semasa pendudukan Jepun (1942-1945) di Tanah Melayu, pengeluaran getah hampir terhanti sama sekali. Hubungan perdagangan Tanah Melayu dengan pasarannya di Amerika Syarikat dan Eropah terputus. Banyak ladang getah telah dimusnahkan oleh pihak British semasa mereka berundur supaya orang Jepun tidak mendapat hasil getah. Ada di antara ladang-ladang yang telah terbiar. Pihak Jepun pula telah melancarkan gerakan memusnahkan pokok getah dan menggantikannya dengan tanaman makanan.

Semasa Perang Dunia Kedua, Amerika Syarikat menghadapi masalah kekurangan getah apabila Asia Tenggara diserang oleh Jepun. Untuk mengatasi masalah ini, Amerika Syarikat telah mengeluarkan getah tiruan. Selepas peperangan, getah tiruan memberi persaingan kepada getah asli sebab penggunaannya telah diperkenalkan ke semua negeri perindustrian. Pada tahun 1955, penggunaan getah tiruan telah menjadi 1/3 penggunaan getah di dunia.

Getah asli dari Tanah Melayu masih diperlukan kerana ia mempunyai keistimewaan sendiri yang tidak boleh diatasi oleh getah tiruan.

Kesan kemelesetan perusahaan getah 1920-an-1930-an

1. Kesan umum

Kejatuhan harga getah bukan sahaja dirasai oleh pemilik ladang getah tetapi juga orang ramai. Ramai pekerja ladang telah diberhentikan dan menyebabkan berlakunya pengangguran. Sebahagian daripada mereka terutamanya orang India telah dihantar pulang ke India atas perbelanjaan kerajaan. Kejatuhan harga getah telah menyebabkan pemilik ladang tidak dapat menjelaskan hutang mereka kepada ceti. Akibatnya banyak ladang getah jatuh ke tangan ceti. Sebagai contoh, pada tahun 1922, berpuluh-puluh ekar ladang getah telah dirampas oleh ceti kerana kegagalan pemilik-pemilik menjelaskan hutang. Sebelum itu, British juga terpaksa menjelaskan hutangnya kepada Amerika yang telah membantu British dalam Perang Dunia Pertama. Keadaan ini juga tentu akan membahayakan kedudukan mata wang sterling.

Tindakan memberhentikan pekerja ladang menyebabkan berlakunya pengangguran dan kerajaan tidak mampu untuk menghantar pulang semua pekerja ladang yang diberhentikan. Akibatnya, berlaku pelbagai kegiatan jenayah kerana penglibatan mereka dalam kegiatan merompak, mencuri, pecah rumah dan sebagainya. Pada tahun 1930, terdapat 9000 kes yang dilaporkan tetapi pada tahun 1931, terdapat 10500 kes yang dilaporkan. Kejatuhan harga getah telah menyebabkan pekebun kecil mengambil sikap yang negatif. Mereka tidak sanggup menanam semula getah kerana mengambil masa 7-8 tahun untuk mendapatkan hasil dan pada masa yang sama, harga getah masih rendah. Akibatnya, ramai pekebun kecil telah beralik kepada kegiatan ekonomi lain seperti menanam padi, nelayan dan sebagainya. Tindakan pekebun kecil ini telah menyebabkan kemerosotan pengeluaran getah pekebun-pekebun kecil. Sebagai contoh, pada tahun 1934, pekebun kecil mengeluarkan 48% getah Tanah Melayu dan ladang mengeluarkan 52%. Tetapi pada tahun 1942, keluaran pekebun kecil menjadi 39% dan ladang 61%

2. Pusat Penyelidikan Getah (RRI)

Kejatuhan harga getah menyebabkan kerajaan mengambil langkah untuk menjalankan penyelidikan bagi membaiki mutu getah. Untuk tujuan tersebut, Pusat Penyelidikan Getah (RRI) telah ditubuhkan pada tahun 1926 di Sungai Buloh, Selangor dan Kota Tinggi, Johor. RRI bertujuan untuk menjalankan penyelidikan bagi mencari cara-cara yang lebih baik bagi menanam getah, penggunaan getah, cara memproses susu getah dan sebagainya. RRI kemudiannya memberi sumbangan penting dalam perusahaan getah di Tanah Melayu.

3. Langkah berjimat-cermat

Kejatuhan harga getah menyebabkan pendapatan kerajaan melalui cukai eksport ke atas getah berkurangan. Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa mengurangkan perbelanjaan pada Oktober 1931. Laporan Jawatankuasa tersebut menetapkan bilangan kakitangan kerajaan serta gaji mereka dikurangkan 13%. Antara jabatan yang terlibat ialah Jabatan Polis, Kesihatan dan Pelajaran. Tindakan mengurangkan kakitangan kerajaan menyebabkan berlakunya pengangguran antara mereka manakala tindakan mengurangkan gaji membebankan ekonomi mereka. Selain itu, pembangunan awam diberhentikan 2 tahun.

4. Rang undang-undang imigran

Pada tahun 1930, kerajaan telah mengeluarkan rang undang-undang imigran bagi menyekat imigran ke Tanah Melayu. Pada tahun 1933, rang undang-undang orang dagang dilaksanakan bagi menyekat kemasukan mereka serta kebolehan mereka. Rang undang-undang ini bertujuan untuk menyekat kemasukan imigran supaya tidak berlaku pengangguran yang berleluasa di Tanah Melayu.

5. Mempelbagaikan tanaman

Kejatuhan harga getah menyebabkan kerajaan sedar bahayanya pergantungan kepada satu jenis tanaman sahaja. Akibatnya penduduk Tanah Melayu mula menanam tanaman seperti koko, nenas dan sebagainya selain dari menanam getah. Selain itu, penduduk Tanah Melayu juga digalakkan menceburi bidang ekonomi lain selain dari bertani.

6. Menambahkan pengeluaran makanan

Sejak 1920-an, terutamanya pada tahun 1930-an, kerajaan mula mengambil langkah-langkah bagi menambahkan pengeluaran makanan, terutamanya padi. Buat pertama kali, kerajaan mula mengambil langkah-langkah bagi membina sistem pengairan, membuka tanah pertanian baru dan menggalakkan penanaman padi 2 kali setahun. Tujuannya supaya penduduk Tanah Melayu tidak akan mengalami kekurangan makanan sekiranya berlaku lagi kemelesetan ekonomi seperti pada tahun 1920-an dan 1930-an.

7. Menyusun semula pentadbiran ladang

Kejatuhan harga getah menyebabkan pengusaha-pengusaha ladang terutamanya ladang Eropah mengambil langkah menyusun semula pentadbiran yang dianggap “Top Heavy” bagi menjimatkan perbelanjaan. Pegawai-pegawai Eropah digantikan dengan penyelia-penyelia berbangsa Asia dan bilangan kakitangan serta gaji mereka dikurangkan. Sebagai contoh, pada tahun 1918 terdapat 4 orang pegawai Eropah di setiap ladang, 1928 hanya tinggal 2 orang pegawai Eropah di setiap ladang dan 1932 hanya tinggal seorang pegawai Eropah di setiap ladang.

8. Mengurangkan gaji dan pekerja

Kerugian yang dialami akibat dari kejatuhan harga getah telah menyebabkan pihak pengurusan ladang mengambil langkah-langkah mengurangkan pekerja ladang. Tindakan memberhentikan mereka menyebabkan berlakunya pengangguran. Pada tahun 1929, terdapat 258 ribu orang pekerja tetapi pada tahun 1932, hanya tertinggal 145 ribu orang pekerja ladang. Sebahagian daripada mereka telah dihantar pulang ke India atas perbelanjaan kerajaan. Antara tahun 1930-1933, 370 ribu orang telah dihantar pulang ke India. Selain itu, gaji mereka juga dikurangkan. Pada tahun 1932, gaji pekerja ladang ditetapkan 20 sen sehari sedangkan sebelumnya iaitu pada tahun 1929, gaji pekerja ladang adalah antara 50-55 sen sehari.

9. Rancangan Sekatan Stevenson

10. Rancangan Peraturan Getah Antarabangsa

Kesimpulan

Menjelang tahun 1930-an, perusahaan getah telah berkembang sehingga menjadi perusahaan dan sumber pendapatan eksport yang utama di Semenanjung Tanah Melayu. Namun, perusahaan ini telah terbantut semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu (1942-1945). Selepas Perang Dunia Kedua pula, getah tiruan yang diperkenalkan oleh Amerika Syarikat telah menyaingi pasaran getah asli. Namun masih terdapat pasaran bagi getah asli memandangkan mutunya yang lebih tinggi.

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum,kan bila dihadkan pengeluaran,mesti pekerjaan berkurang,jadi ramai menganggur ke???atau pekerja masih bekerja

    BalasPadam