CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Selasa, 11 Januari 2011

SEJ T6 Pengisytiharaan Inggeris-Siam 1902

Pengisytiharaan Inggeris-Siam 1902

Pengenalan

Antara tahun 1899 dan 1900, Jerman telah beberapa kali cuba mendapatkan Pulau Langkawi walaupun ditolak oleh Siam. Dalam tahun 1900, timbul pula isu Duff di Kelantan menyebabkan hubungan Inggeris-Siam terjejas. Memandangkan keadaan yang demikian British berasa satu rundingan harus diadakan dengan Siam bagi menyelesaikan masalah ini. Hubungan Siam dengan British bertambah runcing apabila Siam mengambil tindakan ke atas Pattani yang cuba melepaskan diri dari kekuasaan Siam. Pada bulan Disember 1901, Setiausaha Negara bagi Tanah Jajahan iaitu Joseph Chamberlin telah mengarahkan Menteri Inggeris di Bangkok mendesak Siam supaya mengadakan rundingan dengan Inggeris. Hasil daripada peranan Frank Swettenham, satu pengisytiharaan telah diadakan pada bulan Oktober 1902.

Sebab-sebab yang membawa kepada pengisytiharaan

1. Kebimbangan campur tangan kuasa asing

Kebimbangan Inggeris terhadap penguasaan kuasa di Negeri-negeri Melayu Utara semakin bertambah. Pada tahun 1901, Inggeris mendengar khabar angin yang ada pihak-pihak tertentu di Pattani dan Kelantan yang cuba mendapat sokongan Jerman untuk membebaskan negeri-negeri itu daripada cengkaman Siam. Antara tahun 1899-1901 kuasa Jerman, Rusia dan Amerika Syarikat pula berusaha untuk mendapatkan hak-hak kewilayahan di Negeri-negeri Melayu Utara. Jerman telah mempergiatkan usahanya pada tahun 1899-1900 untuk memperoleh Pulau Langkawi untuk digunakan sebagai pangkalan laut di Asia Tenggara. Rusia juga berikhtiar memperoleh Ujong Salang (Pulau Phuket) untuk dijadikan sebagai pangkalan arang batu. Amerika Syarikat berusaha untuk mendapatkan konsesi kewilayahan di Terengganu dan pulau-pulau di sekitarnya. Dengan itu, Inggeris berasa bimbang kalau-kalau Siam tunduk kepada tekanan kuasa-kuasa asing ini.

2. Kegiatan R.W. Duff di Kelantan

Dengan keadaan ini, pada tahun 1900, Sultan Kelantan telah bertindak seolah-olah merdeka. Baginda telah memajakkan tanah seluas 2000 batu persegi atau hampir satu pertiga daripada keluasan Kelantan kepada R.W. Duff, seorang saudagar Inggeris tanpa kebenaran daripada Raja Siam. Tindakan Sultan Kelantan ini telah menimbulkan kebimbangan dan kerumitan Inggeris kerana kemungkinan penyerahan serupa akan dibuat kepada kuasa-kuasa asing yang lain. Justeru itu, Siam pula membantah kepada Inggeris tentang perbuatan Duff itu. Pada tahun 1902, Sultan Terengganu menerima permohonan Amerika Syarikat untuk melombong di Pulau Redang. Dalam keadaan ini, Duff meminta sokongan pihak Inggeris bagi menentang bantahan Siam terhadap pajakan tanah itu. Beliau mengancam mendapatkan sokongan Perancis atau Jerman jika Kerajaan Inggeris enggan menyokong hak pajakannya di Kelantan.

3. Rusuhan dalam negeri

Rusuhan dalam negeri akibat daripada dasar Siam untuk mengetatkan kekuasaannya ke atas Negeri-negeri Melayu Utara juga merupakan faktor yang membawa kepada Pengisytiharaan Inggeris-Siam. Raja Abdul Kadir dari Pattani dan Sultan Mahmud IV dari Kelantan telah meminta bantuan Inggeris untuk mengelakkan ancaman dari Siam. Hal ini kerana Raja Abdul Kadir telah dipenjarakan oleh Siam dalam bulan Februari 1902, manakala Sultan Mahmud IV berasa bimbang akan kedudukannya. Kalau Inggeris tidak memberi bantuan, kemungkinan besar mereka akan meminta bantuan daripada kuasa Eropah yang lain.

4. Peranan Swettenham

Pada masa itu, Frank Swettenham ialah Gabenor Negeri-negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Swettenham menyokong kuat tuntutan Duff sebagai alasan untuk meluaskan pengaruh Inggeris di Negeri-negeri Melayu Utara naungan Siam khususnya ke atas Kelantan dan Terengganu. Beliau mencadangkan kepada Kerajaan Inggeris supaya melantik pegawai-pegawai Inggeris yang berkhidmat di Bangkok sebagai penasihat untuk menguruskan hal-ehwal negeri-negeri Kelantan dan Terengganu. Cadangan ini dibuat atas pendapat bahawa Siam tidak berupaya menguruskan hal-ehwal tempatan negeri-negeri Melayu berkenaan dan berkemungkinan besar Siam akan mendapatkan bantuan daripada kuasa-kuasa Eropah yang lain. Sistem penasihat ini diharap akan memelihara kepentingan Inggeris di negeri-negeri tersebut dan juga melindungi negeri-negeri itu daripada ancaman kuasa-kuasa asing yang lain. Cadangan Swettenham mendapat bantahan kuat daripada Siam tetapi beliau telah menggugut akan mengiktiraf Kelantan dan Terengganu sebagai negeri yang bebas jika sekiranya Siam enggan berunding dengan Inggeris untuk menerima cadangan tersebut sebelum bulan September 1902. Siam berasa terancam dengan ugutan ini dan bersetuju menandatangani satu perjanjian baru pada 6 Oktober 1902.

Syarat-syarat Pengisytiharaan

1. Siam akan menguasai hubungan luar negeri-negeri Kelantan dan Terengganu.

2. Siam tidak akan campur tangan dalam hal-ehwal dalam negeri Kelantan dan Terengganu.

3. Penasihat-penasihat berbangsa Inggeris akan dilantik oleh Siam untuk menasihati Sultan Kelantan dan Terengganu dalam semua hal pentadbiran kecuali perkara-perkara yang berkenaan agama dan adat resam orang Melayu.

4. Kelantan dan Terengganu tidak berhak memberi sebarang konsesi kepada orang asing tanpa perakuan Siam.

5. Siam akan menerima 10% daripada pendapatan jika pendapatan Negeri-negeri Melayu Utara naungan Siam melebihi $100000.

Kesan-kesan Pengisytiharaan

1. Pada tahun 1903, Kelantan menerima W.A. Graham sebagai Penasihat Siam dan pada tahun 1905 Kedah menerima Meadows Frost sebagai Penasihat Kewangan.

2. Terengganu enggan mengesahkan perjanjian tersebut dan enggan menerima penasihat Siam.

3. Mengernai Kedah pula, Inggeris cuba menguatkan kedudukannya dengan memulihkan kewangan Kedah melalui pinjaman tambahan kepda Siam. Pihak Siam pula bersetuju berbuat demikian dengan syarat seorang Penasihat Kewangan bangsa Inggeris dilantik untuk menguruskannya. Dengan itu, J.F. Williamson dilantik sebagai Penasihat Kewangan Kedah untuk memulihkan kewangannya.

4. Walaupun persetiaan ini telah menjelaskan kedudukan Kelantan dan Terengganu sebagai negeri naungan Siam tetapi tidak menenangkan fikiran pihak Inggeris. Hal ini kerana pihak Jerman ingin membantu Siam membina jalan keretapi di Siam Selatan.

5. Peringkat akhir yang membawa kepada penguasaan sepenuhnya Inggeris ke atas Negeri-negeri Melayu Utara ialah melalui Perjanjian Bangkok yang ditandatangani pada 9 Julai 1909.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan