CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Sabtu, 1 Januari 2011

SEJ T 6 Negeri-negeri Melayu Bersekutu 1896

Negeri-negeri Melayu Bersekutu 1896

Pengenalan

Idea penubuhan persekutuan dikemukakan oleh Frank Swettenham pada tahun 1892 kepada Gabenor Negeri-negeri Selat, Cecil Smith. Pada tahun 1893, Cecil Smith menghantar laporan kepada Pejabat Tanah Jajahan mencadangkan penubuhan persekutuan yang terdiri daripada Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Dalam laporan itu, beliau menegaskan penubuhan persekutuan akan menguntungkan British dan negeri tersebut dari segi politik, ekonomi dan sosial. Frank Swettenham mengambil inisiatif dengan mendapatkan persetujuan Sultan Perak, Selangor, Pahang dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan terhadap penubuhan persekutuan. Pada 1 Julai 1895, Sultan tersebut menandatangani perjanjian persekutuan. Pada 1 Julai 1896, Negeri-negeri Melayu Bersekutu ditubuhkan semasa Sir Charles Mitchell menjadi Gabenor Negeri-negeri Selat.

Faktor-faktor penubuhan

1. Untuk mewujudkan keseragaman dan kecekapan pentadbiran

Perlaksanaan sistem Residen telah menyebabkan Residen dilantik di Perak pada November 1874, di Selangor pada Disember 1874, Pahang pada tahun 1888 dan Negeri Sembilan pada tahun 1895. Residen dihantar sebagai penasihat untuk menasihati Sultan dalam semua hal kecuali hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam dan adat-istiadat orang Melayu. Walau bagaimanapun, Residen tidak diberi garis panduan di dalam melaksanakan tugas di Negeri-negeri Melayu. Perlaksanaan sistem Residen bergantung kepada sepenuhnya di atas kebijaksanaan Residen yang dilantik. Kejayaan dan kegagalan menjadi tanggungjawab Residen. Akibatnya, berlaku ketidakseragaman dalam pentadbiran di negeri Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan. Kemajuan di antara negeri ini juga tidak seimbang kerana kebolehan dan cara pentadbiran Residen berbeza-beza.


Terdapat juga perbezaan-perbezaan dalam pentadbiran Undang-uhndang Tanah, keadilan dan sistem cukai di antara negeri-negeri tersebut. Kemajuan juga tidak seimbang di mana negeri yang kaya iaitu Perak dn Selangor lebih maju dari negeri yang miskin seperti Pahang. Kerjasama antara negeri sukar dijalankan sebab negeri ini mempunyai unit politik yang berasingan. Frank Swettenham berpendapat penubuhan persekutuan akan mewujudkan keamanan dan kecekapan pentadbiran kerana pentadbiran akan dijalankan mengikut arahan pusat. Perkara yang berkaitan seperti sistem pentadbiran, cukai, undang-undang tanah dan keadilan akan disatukan dan diselaraskan. Hal ini akan menjimatkan kos pentadbiran. Usaha memajukan sistem perhubungan juga dapat dilaksanakan dengan menghubungkan jalan raya dan keretapi di negeri tersebut. Pada dasarnya, penubuhan persekutuan akan mewujudkan kerjasama ekonomi, politik dan sosial.

2. Menghadkan kuasa Residen

Perlaksanaan sistem Residen telah menyebabkan perlantikan Residen di Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan. Walaupun Residen dilantik sebagai penasihat, mereka muncul sebagai kuasa paling berkesan kerana segala urusan pentadbiran dijalankan atas arahan Residen. Sultan dan Majlis Negeri tidak dapat menyekat kuasa Residen. Malah Sultan dan pembesar Melayu terpaksa merujuk kepada Residen dalam menjalankan pentadbiran negeri. Majlis Mesyuarat Negeri kehilangan fungsi sebagai institusi pentadbiran kerana Residen mempunyai kuasa mutlak.


Semua undang-undang yang diluluskan seperti Undang-undang Tanah mesti ditandantangani oleh Residen sebelum berkuatkuasa. Gabenor Negeri-negeri Selat juga tidak dapat mengawal kuasa Residen kerana beliau berada di Singapura dan sibuk dengan urusan-urusan Negeri-negeri Selat. Penubuhan persekutuan akan mengurangkan kuasa Residen kerana mereka terpaksa tertakluk kepada arahan kerajaan pusat dan pentadbiran negeri.

3. Masalah kewangan Pahang

Ahli-ahli sejarah seperti Profesor Khoo Kay Kim dan K.G. Tregonning berpendapat bahawa masalah kewangan Pahang menyebabkan British menubuhkan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. British menduduki Pahang pada tahun 1886 di mana J.P. Rodgers menjadi Residen pertama. British mengambil Pahang dengan harapan Pahang mempunyai prospek ekonomi cemerlang. Apa yang sebenarnya ialah Pahang merupakan negeri miskin dengan jumlah penduduk dan hasil bumi yang kurang.


Pada tahun 1890-an, Pahang menghadapi masalah kewangan. Dalam menjalankan pentadbiran, British mendapat bantuan kewangan dari Negeri-negeri Selat. Pada akhir tahun 1891, hutang Pahang pada Negeri-negeri Selat ialah $600 ribu. Pada akhir tahun 1892, hutang meningkat kepada $800 ribu. Masalah kewangan Pahang semakin runcing apabila berlaku kebangkitan Pahang 1891-1895. Jadi beberapa cadangan dikemukakan oleh British untuk mengatasi masalah ini.

Cadangan pertama ialah British berundur dari Pahang dan menyerahkan pentadbiran kepada Sultan. Langkah ini tidak dapat dilaksanakan kerana ia menjatuhkan maruah British. Tindakan ini juga membuka peluang kepada kuasa lain untuk bertapak di Pahang yang sudah tentu akan menjejaskan kepentingan British.

Cadangan kedua ialah British mendapatkan pinjaman dari Negeri-negeri Selat. Ia tidak dapat dilaksanakan kerana pada tahun 1890-an, Negeri-negeri Selat juga menghadapi masalah kewangan. Hutang yang berjumlah $800 ribu pada tahun 1892 masih belum diselesaikan.

Cadangan ketiga ialah British mendapat bantuan kewangan dari negeri yang kaya seperti Perak dan Selangor. Cadangan ini tidak dapat dilaksanakan kerana Perak dan Selangor enggan membantu sebab ianya satu unit politik berasingan.

Diharapkan dengan penubuhan persekutuan, hasil negeri kaya seperti Perak dan Selangor dapat digunakan untuk membantu negeri-negeri miskin seperti Pahang jika negeri-negeri ini digabungkan sebagai satu unit politik. Frank Swettenham dan C.D. Cowan (Pegawai Tanah Jajahan) menegaskan British tidak sepatutnya berundur dari Pahang sebaliknya memajukan Pahang daripada hasil Perak dan Selangor apabila ia bergabung.

4. Keselamatan

A.C. Miller menegaskan faktor keselamatan menyebabkan penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896. British bimbang kekacauan seperti Perang Perak pada 1875-an dan Kebangkitan Pahang 1891-1895 akan berlaku lagi. Penubuhan persekutuan akan membolehkan Negeri-negeri Melayu Bersekutu mempunyai kemampuan dan keupayaan dari segi ketenteraan, khususnya dalam menjaga keamanan persekutuan tanpa mengharapkan bantuan luar. C.P. Lucan dalam laporannya menegaskan penubuhan persekutuan perlu dilihat dari segi aspek keselamatan negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat.

5. Dasar British

Memang menjadi dasar British pada akhir abad ke-19 untuk menggabungkan negeri kecil di bawah satu pentadbiran yang dikenali sebagai persekutuan. Penubuhan persekutuan akan memberi kebaikan politik, ekonomi dan sosial kepada British dan Negeri Melayu. Negeri-negeri Melayu Bersekutu ditubuhkan selepas kejayaan British dalam penubuhan persekutuan di Amerika Utara, India, Afrika, Australia dan New Zealand. Pendapat ini disokong oleh ahli sejarah seperti A.C. Miller dalam bukunya “Federation Decision of 1895” dan Jagjit Singh dalam bukunya “Administration of the Federation Malay States 1896-1920”.

Syarat-syarat perjanjian persekutuan

1. Perak, Pahang Selangor dan Negeri Sembilan digabungkan sebagai persekutuan yang dikenali sebagai “Ngeri-negeri Melayu Bersekutu”. Persekutuan menjadi negeri lindungan British di mana hal ehwalnya dikuasai oleh British.

2. Perjanjian ini mengesahkan semua perjanjian yang ditandatangani di antara keempat-empat negeri itu.

3. Kuasa Sultan hanya terhad ke atas negeri tersebut. Sultan tidak boleh mengadakan hubungan dengan kuasa lain tanpa kebenaran British.

4. Persekutuan diketuai oleh Residen Jeneral.

5. Gabenor Negeri-negeri Selat dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan.

6. Residen akan menjalankan pentadbiran mengikut arahan kerajaan pusat.

7. Beberapa jabatan persekutuan akan ditubuhkan.

8. Kuala Lumpur menjadi ibu negeri.

9. Negeri-negeri Melayu Bersekutu akan menubuhkan pasukan tentera untuk menjaga keamanan persekutuan dan Negeri-negeri Selat jika diperlukan.

10. Kerjasama antara negeri akan dijalankan dalam politik, ekonomi dan sosial.

11. Majlis Mesyuarat Negeri diberi kuasa meluluskan undang-undang tetapi digubal oleh pegawai persekutuan yang dikenali sebagai Penasihat Undang-undang.

12. Majlis Mesyuarat Raja-raja akan ditubuhkan.

13. Majlis Mesyuarat Persekutuan yang menjadi badan pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu akan ditubuhkan.

14. Tiada syarat dalam perjanjian ini yang bertujuan mengurangkan kekuasaan dan kewibawaan Sultan.

Kesan-kesan

1. Politik

Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu berjaya mewujudkan keseragaman dan kecekapan pentadbiran di seluruh persekutuan. Keamanan dan peraturan yang stabil dan menyeluruh berjaya diwujudkan di seluruh persekutuan. Perkara yang berkaitan dengan persekutuan seperti sistem pentadbiran, cukai, keadilan, Undang-undang Tanah dapat disatu dan diselaraskan kerana semua urusan pentadbiran dijalankan atas arahan kerajaan pusat, khususnya arahan Residen Jeneral yang mengenai persekutan. Bagi memudahkan pentadbiran, beberapa jabatan seperti kewangan, polism kastam, perhutanan, hal-ehwal orang Cina, kerja raya, keretapi ditubuhkan. Frank Swettenham dilantik sebagai Residen Jeneral pertama pada 1 Julai 1896.

Negeri-negeri Melayu Bersekutu bukan merupakan sebuah persekutuan dalam erti kata sebenarnya lebih merupakan kesatuan politik. Semua urusan pentadbiran dijalankan atas arahan kerajaan pusat khususnya Residen Jeneral yang berkuasa penuh dalam semua hal-ehwal termasuk kewangan. Punca utama hasil (duti eksport) juga dibawah kawalan kerajaan pusat. Tiada pembahagian antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Kerajaan negeri hanya mengikut arahan pusat dalam menjalankan pentadbiran. Penubuhan Jabatan Persekutuan menyebabkan tumpuan besar ke atas kerajaan pusat. Jabatan negeri mengikut arahan jabatan pusat.

Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu menyebabkan Residen Jeneral muncul sebagai orang paling berkuasa dalam persekutuan kerana semua urusan pentadbiran dijalankan atas arahannya. Sultan, Residen dan Majlis Mesyuarat Negeri tidak dapat mengawal kuasanya. Mereka tertakluk di bawah arahan Residen Jeneral dalam menjalankan pentadbiran negeri.

Gabenor Negeri-negeri Selat yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan juga tidak dapat mengawal kuasa Residen Jeneral kerana beliau berada di Singapura untuk mentadbir Negeri-negeri Selat. Selain itu, sudah menjadi kecenderungan Residen Jeneral menjalankan pentadbiran tanpa merujuk kepada Pesuruhjaya Tinggi. Majlis Mesyuarat Persekutuan yang diharap mengawal kuasa Residen Jeneral tidak ditubuhkan sehingga tahun 1909.

Penubuhan persekutuan juga menyebabkan Sultan, Residen dan Majlis Mesyuarat Negeri kehilangan kuasa. Mereka tertakluk di bawah arahan Residen Jeneral dalam menjalankan pentadbiran. Kuasa Sultan hanya dalam hal-ehwal agama Islam dan adat resam Melayu. Residen tidak lagi bebas menjalankan pentadbiran negeri kerana mereka tertakluk di bawah arahan Residen Jeneral. Majlis Mesyuarat Negeri kehilangan fungsi sebagai institusi pentadbiran.

Majlis Mesyuarat Negeri diberi kuasa meluluskan undang-undang tetapi undang-undang digubal oleh Pegawai Persekutuan yang dikenali sebagai Penasihat Undang-undang. Majlis Mesyuarat Negeri tiada kuasa pembatal dan terpaksa meluluskan undang-undang yang dipersetujui. Penubuhan Jabatan Persekutuan telah menyebabkan lebih ramai Pegawai British yang diambil tugas. Keadaan ini menunjukkan seolah-olah Negeri-negeri Melayu Bersekutu ditadbir secara langsung oleh British.


Pemusatan kuasa yang keterlaluan telah menimbulkan bantahan Sultan, contohnya, dalam Majlis Mesyuarat Raja-raja Kedua di Kuala Lumpur pada tahun 1903, Sultan Idris (Perak) telah mengecam hebat pemusatan kuasa dan mendesak diambil langkah melaksanakan desentralisasi (pengagihan kuasa) bagi mengembalikan kuasa Sultan, Residen dan Majlis Mesyuarat Negeri. Sultan Idris juga mendesak lebih ramai orang Melayu dilantik dalam jabatan persekutuan. Penubuhan persekutuan membolehkan Sultan Perak, Selangor, Pahang dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan bertemu dan berbincang bersama-sama kepentingan bersama dalam Majlis Mesyuarat Raja-raja sejak tahun 1897 dan Majlis Mesyuarat Persekutuan sejak 1909.

2. Ekonomi

Perkembangan ekonomi yang pesat di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan kestabilan politik telah membawa kepada kestabilan ekonomi. Keseragaman dan kecekapan, keamanan dan keaturan serta pentadbiran yang berkesan telah menyebabkan lebihan hasil dan hasil persekutuan dapat digunakan oleh semua negeri dalam semua gabungannya. Keadaan politik dan peluang-peluang ekonomi telah menggalakkan pelabur-pelabur dari Negeri-negeri Melayu atau Seberang Laut untuk melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi, khususnya bijih timah dan getah.


Kedatangan mereka telah menyebabkan berlakunya pertambahan hasil di Negeri-negeri Melayu Bersekutu, contohnya hasil Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada 1896 berjumlah $8.5 juta telah meningkat kepada $24 juta pada tahun 1909. Pembinaan sistem jalan raya dan jalan keretapi terutamanya yang menghubungkan negeri telah memajukan lagi kegiatan ekonomi Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun 1904, sudah terdapat jalan raya sepanjang 2400 km dan jalan keratapi sepanjang 340 batu. Pada tahun 1903, terdapat jalan keretapi dari Perai ke Seremban dan disambungkan ke Johor Bahru pada tahun 1909.

Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah memajukan perusahaan bijih timah dan getah. Buktinya pada tahun 1889 eksport bijih timah Perak, Pahang Selangor dan Negeri Sembilan berjumlah 20000 tan. Pada tahun 1904, eksport bijih timah persekutuan ialah 70000 tan. Selepas penubuhan persekutuan, orang-orang Eropah mula mengambil alih penguasaan ke atas perlombongan-perlombongan bijih timah yang dikuasai oleh orang-orang Cina. Begitu juga dengan perusahaan getah yang semakin berkembang selepas penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun 1897, hanya terdapat 345 ekar, 1905 – 50 ribu ekar dan 1909 meningkat kepada 200 ribu ekar yang ditanami getah.

3. Sosial

Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah berjaya mewujudkan keamanan dan peraturan. Jaminan keselamatan dan persamaan hak di sisi undang-undang telah menggalakkan imigran Cina dan India, lebih-lebih lagi terdapat peluang dalam perkhidmatan persekutuan dan perkembangan bijih timah. Kedatangan imigran telah menyebabkan pertambahan penduduk di Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Selain itu, kedatangan imigran juga mewujudkan masyarakat majmuk. Orang-orang Cina dan India adalah masyarakat yang berasingan dan tidak dapat mengasimilasikan diri dalam masyarakat Melayu. Penubuhan pesekutuan menyebabkan perutmbuhan dan perkembangan bandar-bandar seperti Taiping, Kuala Lumpur, Kelang dan lain-lain lagi.

Selain itu, terdapat pelbagai kemudahan sosial seperti perhubungan, kesihatan, pelajaran dan lain-lain. Walau bagaimanapun, kemudahan sosial itu mempunyai kepentingan ekonomi kerana ia disediakan di kawasan yang mempunyai kegiatan ekonomi. Pada tahun 1909, terdapat 52 buah klinik di persekutuan dan 1904 kemudahan perhubungan diadakan (2400 km jalan raya dan 340 batu jalan keretapi).


Dalam bidang pelajaran, banyak sekolah-sekolah didirikan di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun 1907, terdapat 266 buah sekolah Melayu, 1903 terdapat 15 buah sekolah Tamil dan 1911, 50 buah sekolah Cina. Selain itu, terdapat sekolah Inggeris yang didirikan oleh kerajaan dan mubaligh. Pada tahun 1905, Maktab Melayu Kuala Kangsar dibina khas untuk anak-anak golongan bangsawan. Pada tahun itu, kerajaan membina maktab teknik di Kuala Lumpur untuk menyediakan tenaga mahir bagi Jabatan Kerja Raya dan keretapi.

SEJ T 6 Konsep Peluasan Kuasa Asing

Konsep Peluasan Kuasa Asing


Pengenalan

Istilah peluasan kuasa asing sebenarnya hanya akan muncul apabila sekurang-kurangnya terdapat dua kuasa pentadbiran atau kerajaan dengan salah satu kuasa itu memasuki hal-hal pentadbiran atau mencampuri, menguasai hak pemerintahan satu kuasa lagi. Selalunya juga, peluasan kuasa ini merujuk kepada aspek politik pentadbiran dan bukan merujuk khusus kepada aspek-aspek perdagangan kerana ia melibatkan sial kedaulatan pemerintahan sesebuah negara atau kerajaan.

Latar belakang peluasan kuasa asing

1. Tanah Melayu

Selalunya, peluasan kuasa asing di Tanah Melayu sering kali merujuk kepada kehadiran kuasa-kuasa barat seperti Portugis, Belanda, British dan Jepun. Peluasan kuasa ini boleh berlaku sama ada melalui penaklukan mahupun melalui perjanjian-perjanjian yang ditandatangani.

Semenjak awal abad ke-16, Melaka telah ditawan oleh kuasa Portugis. Penawanan ini bermakna penguasaan kuasa asing Portugis terhadap hal-hal pentadbiran orang Melayu di samping pengenalan beberapa unsur asing yang sedikit sebanyak telah meresap ke dalam budaya orang Melayu.

Kehadiran kuasa Belanda juga memberi kesan terhadap Tanah Melayu. Kuasa ini menggantikan kuasa Portugis di Melaka tetapi tidak seperti Portugis, mereka hanya menumpukan perhatian dalam hal-hal ekonomi.

British merupakan kuasa asing yang memberi pengaruh yang paling kuat dalam hal pentadbiran dan segala aspek yang lain. Pada awalnya, mereka hanya bertujuan untuk menjalankan kegiatan ekonomi, namun atas dasar keutamaan dengan China, maka mereka pun mula menukar dasar mereka daripada tidak campur tangan kepada campur tangan.

2. Sarawak

Peluasan kuasa asing di Sarawak lebih merujuk kepada pihak British di mana seorang bekas tentera Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI), James Brooke telah dilantik oleh Pangeran Muda Hashim sebagai “Raja Sarawak”. Kedudukannya ini kemudian diperturunkan kepada anaknya. Apabila sampai ke tangan Vyner Brooke, baginda telah menyerahkan kuasanya kepada rakyat Sarawak melalui Majlis Tertinggi dan Majlis Negeri dengan pengisytiharaan Perlembagaan Sarawak pada tahun 1941. Kemudian, Sarawak manjadi tanah jajahan British pada tahun 1946.

3. Sabah

Pada mulanya, Amerika berdagang dengan Sabah melalui perjanjian yang dibuat pada tahun 1850. Melalui perjanjian, C. Lee Moses mendapat tanah pajakan daripada Sultan Brunei. Moses telah memberikan tanah tersebut kepada William Torrey. Beliau mengusahakan tanaman kopi tetapi tidak berjaya dan kawasan itu dijual kepada Baron Von Overbeck dan Alfred Dent. Kompeni Overbeck and Dent kemudian membentuk kompeni British untuk menarik palabur British. Overbeck tidak dapat menyertai kompeni ini kerana dia bukan rakyat British. Dent mendapat piagam daripada British dan sebuah kompeni yang bernama Kompeni Berpiagam Borneo Utara ditubuhkan pada tahun 1881. Kompeni memerintah Sabah sehingga tahun 1946 kemudian diserahkan kepada Kerajaan British.

Mekantilisme

Mekantilisme merupakan satu dasar di mana kekayaan diukur dengan wang emas dan perak dan objektif utamanya adalah untuk meningkatkan kuantiti wang dan galian berharga dalam sesebuah negara. Mengikut pengertian Thomas, mekantilisme ialah konsep di mana hendak menjadikan sesebuah negara itu kaya dan kuat; menjadi semakin kaya setiap tahun disebabkan oleh negara lain.

Kemakmuran yang dimaksudkan oleh golongen mekantilisme ialah berdasar kepada penduduk yang ramai, pekerjaan yang menguntungkan bagi seluruh penduduk semata-mata.

Secara ringkas, mekantilisme merupakan dasar yang mementingkan 3K iaitu kekuasaan, kekayaan dan kebajikan. Kekayaan diperolehi dengan mengusai koloni dan mengadakan imbangan perdagangan yang memihak kepada negara induk. Kekuasaan pula diperolehi dengan membesarkan angkatan tentera, memajukan industri perkapalan dan mengadakan akta perkapalan yang menafikan hak berdagang di koloni untuk kuasa-kuasa asing. Kebajikan rakyat dalam negara induk pula diperolehi dengan meluluskan akta-akta yang dapat meningkatkan produktiviti negara antaranya Apprentice Act 1563 dan Poor Law 1600 di England.

Imperialisme

Imperialisme ialah dasar atau tindakan sesebuah negara menjajah atau mengenakan kuasa pemerintahannya ke atas negara-negara lain. Seperti dasar mekantilisme, imperialisme juga merupakan satu bentuk penjajahan malah ia lebih jelas kerana ia melibatkan kuasa politik dan pemerintahan yang secara langsung meragut kedaulatan sesebuah negara atau kerajaan. Dalam erti kata yang lain, hak untuk mentadbir dan menguasai sesuatu kumpulan masyarakat telah diambil alih oleh satu lagi kuasa baru iaitu kuasa imperialis. Kita juga boleh mengatakan bahawa dasar imperialis itu bermula atau berasaskan kepada konsep mekantilisme.

Kolonialisme

Kolonialisme merupakan satu dasar menguatkuasakan atau mengekalkan kekuasaan atau pemerintahan atas negeri jajahannya. Dengan kata lain, kolonialisme bermaksud tindakan menjajah negara lain. Kalau imperialis hanyalah meletakkan kekuasaannya terhadap sesebuah negara atau kerajaan itu, kolonialisme pula adalah tindakan yang mencampuri hal-hal dalaman negara atau kerajaan yang telah dijajah itu. Maknanya konsep kolonialisme itu merupakan lanjutan kepada usaha imperialisme dalam erti kata pengukuhan kepada usaha penjajahan.

SEJ T 6 Kongsi-kongsi Gelap Cina

Kongsi-kongsi Gelap Cina

Pengenalan

Kongsi-kongsi gelap Cina di Negeri-negeri Selat berasal dari kumpulan Triad. Kumpulan Triad merupakan satu kongsi gelap yang ditubuhkan di negeri China pada tahun 1674. Tujuan kumpulan Triad ialah untuk menggulingkan Kerajaan Manchu dan menggantikannya dengan Dinasti Ming. Kumpulan Triad juga dikenali sebagai nama-nama seperti Liga Hung dan Thian Ti Hui (Liga Syurga dan Bumi). Orang Cina telah menubuhkan kongsi-kongsi gelap tidak lama selepas British menduduki Pulau Pinang (1786) dan Singapura (1819). Sejak tahun 1799 lagi kongsi-kongsi gelap Cina mula menentang pentadbiran British di Pulau Pinang. Antara kongsi-kongsi gelap yang terkenal ialah Ghee Hin (Kantonis) dan Hai San (Hakka). L.A. Mills menganggap kongsi-kongsi gelap Cina di Negeri-negeri Selat sebagai the Pirates and Robbers Co-operative Association. Sebilangan besar ahli kongsi-kongsi gelap tersebut terdiri daripada penjenayah Cina.


Sebab-sebab penubuhan kongsi-kongsi gelap Cina

1. Kewujudan kongsi-kongsi gelap di China Selatan

Kebanyakan orang Cina yang berhijrah secara ramai-ramai ke Negeri-negeri Selat dalam abad ke-19 merupakan bekas ahli kongsi-kongsi gelap di negara China. Tradisi kongsi-kongsi gelap ini telah diteruskan oleh orang Cina di Negeri-negeri Selat.

2. Keperluan organisasi bagi perlindungan dan bantuan bersama

Orang Cina yang berhijrah ke Negeri-negeri Selat berasal dari kawasan-kawasan yang berlainan di negara China dan terdiri daripada berbagai-bagai suku. Mereka juga mempunyai bahasa pertuturan dan adat yang berlainan. Faktor-faktor ini dan keadaan sekeliling yang baru telah menyebabkan orang Cina memasuki kongsi gelap yang seketurunan bagi tujuan perlindungan diri dan bantuan bersama. Selain daripada menjalankan kegiatan-kegiatan jenayah, kongsi-kongsi gelap ini merupakan persatuan kebajikan dan sosial. Mereka membantu ahli-ahli yang berada dalam kesusahan, menguruskan pengebumian ahli-ahli yang meninggal dunia dan membantu ahli-ahli mencari pekerjaan.

3. Kewujudan peluang-peluang kekayaan dan kuasa

Kongsi-kongsi gelap juga ditubuhkan dengan tujuan menguasai lombong-lombong bijih timah, perdagangan kuli, perjudian dan pelacuran.

4. Sikap tidak peduli Kerajaan Negeri-negeri Selat

Sikap tidak peduli Kerajaan Negeri-negeri Selat telah menggalakkan penubuhan kongsi-kongsi gelap Cina. Pegawai-pegawai awam dan pasukan polis tidak mencukupi untuk mengawal kegiatan kongsi-kongsi gelap. Pada tahun 1831, hanya terdapat 18 orang polis sahaja bagi penduduk seramai kira-kira 16000 orang di Singapura. Malahan, tiada terdapat seorang pegawai pun sebelum tahun 1867 yang boleh bertutur dalam bahasa Cina atau memahami adat orang Cina. Tiada terdapat jentera kerajaan sebelum tahun 1877 bagi menguruskan hal-hal berkaitan dengan kaum Cina di Negeri-negeri Selat. Malahan tiada terdapat kakitangan kehakiman yang mencukupi untuk menyelesaikan kes-kes jenayah. Sehingga tahun 1856 hanya terdapat seorang hakim di Negeri-negeri Selat. Keadaan ini telah menggalakkan perkembangan kongsi-kongsi gelap Cina.

Langkah-langkah mengawal kegiatan kongsi-kongsi gelap Cina

1. Sebelum tahun 1867

Sehingga tahun 1867, tiada langkah-langkah positif yang diambil untuk mengawal kongsi-kongsi gelap. Pentadbiran Negeri-negeri Selat sehingga tahun tersebut adalah di bawah kawalan Kerajaan India yang telah mengamalkan sikap tidak peduli dalam hal ehwal tempatan. Langkah yang diambil oleh kerajaan sebelum tahun 1867 adalah hanya memanggil pemimpin-pemimpin pelbagai puak Cina apabila berlaku kekacauan dan meminta mereka menjaga ketenteraman.

2. Selepas tahun 1867

a. Akta Pemeliharaan Keamanan 1867

Pada tahun 1867, Sir Harry Ord, iaitu Gabenor pertama tanah jajahan Negeri-negeri Selat telah meluluskan Akta Pemeliharaan Keamanan. Melalui akta ini, Gabenor mempunyai kuasa untuk membuang negeri orang-orang salah yang mengancam ketenteraman awam tanpa sebarang perbicaraan atau hak kerakyatan. Hukuman dera (Corporal Punishment) dan menembak perusuh-perusuh dibenarkan.

b. Akta Pendaftaran Pertubuhan-pertubuhan 1869

Pada tahun 1869, kerajaan meluluskan Akta Pendaftaran Pertubuhan-pertubuhan yang mewajibkan pendaftaran semua pertubuhan yang terdiri daripada 10 atau lebih orang ahli. Semua pertubuhan dikehendaki memberi nama ahli-ahli yang memegang jawatan dan menyatakan tujuan-tujuan penubuhan mereka.1

c. Penubuhan Protektorat Orang Cina 1877

Pada tahun 1877, kerajaan menubuhkan Protektorat Orang Cina yang diketuai oleh W.A. Pickering. W.A. Pickering yang boleh bertutur dalam bahasa Cina teklah mendapat keyakinan kaum Cina.

d. Kelulusan Undang-undang

Dua undang-undang untuk mencegah kuli-kuli serta melindungi pendatang-pendatang Cina telah diluluskan

e. Ordinan Pertubuhan-pertubuhan 1889

Pada tahun 1889, kerajaan meluluskan Ordinan Pertubuhan-pertubuhan yang mengharamkan kongsi-kongsi gelap Cina. Kongsi-kongsi gelap diberi tempoh 6 bulan untuk menghentikan kegiatan mereka. Ordinan tersebut memaksa kongsi-kongsi gelap bergerak secara rahsia atau disusun semula dengan menggunakan nama lain.

Walau bagaimanapun, langkah-langkah yang diambil oleh Kerjaan Negeri-negeri Selat untuk menghapuskan sama sekali kongsi-kongsi gelap Cina tidak berjaya. Kongsi-kongsi gelap Cina meneruskan kegiatan mereka secara rahsia dan masih wujud hingga hari ini.

SEJ T 6 Kemunculan Kuasa Asing

Kemunculan Kuasa Asing

Pengenalan

Kuasa asing di Tanah Melayu sering kali merujuk kepada kuasa-kuasa barat seperti Belanda, Portugis dan British. Kemunculan kuasa asing di Tanah Melayu merupakan hasil daripada penjelajahan dan penerokaan kawasan-kawasan baru di dunia oleh negara-negara itu sejak kurun ke-15 dan ke-16. Faktor yang mendorong mereka ke sini adalah disebabkan oleh keperluan dari segi bahan mentah, kemjuan dalam pengangkutan dan perhubungan dan sebagainya.

Belanda

Negara Belanda menjadi sebuah negara yang maju dan mekmur akibat kegiatan perdagangan di Eropah. Orang Portugis yang telah berdagang dengan Timur membenarkan Belanda menyebarkan barang-barang Timur di Eropah. Dengan cara ini, Belanda menjadi orang tengah bagi barang-barang Timur di Eropah dan mendapat keuntungan yang amat besar. Peranan Belanda dalam penyebaran barang-barang Timur di Eropah membolehkannya muncul sebagai sebuah negara mekantile yang mekmur.

Disebabkan persengketaan politik dan agama yang tercetus di antara Sepanyol dan Belanda, Portugis menjadi musuh ketat orang Belanda di Eropah dan di Timur. Maka, orang Belanda berniat mencari jalan laut yang baru ke Timur dan berazam merebut monopoli perdagangan di situ. Tujuan ini telah membawa kepada persaingan di antara pedagang-pedagang Belanda dan Portugis di Asia Tenggara.

Pada tahun 1595, ekspedisi pertama yang diketuai oleh Cornelius de Houtman belayar ke Timur melalui Lautan Hindi dan melalui Selat Sunda ke Bantam. Antara tahun 1595 dan tahun 1601, banyak ekspedisi dibiayai oleh syarikat-syarikat Belanda ke Asia Tenggara. Banyak loji Belanda didirikan di Asia Tenggara terutamanya di Bantam, Banda, Pulau Ambon, Acheh, Ternate, Grisek, Johor dan Patani.

Pada 20 Mac 1602, semua syarikat di Belanda disatukan menjadi sebuah Syarikat Hindia Timur Bersatu atau Vereenidge Oostandische Compagnie (VOC). VOC ini menjalankan perdagangan di Timur dan juga mendirikan kubu-kubu di jalan perairan penting untuk menguasai perdagangan di pelabuhan-pelabuhan tempatan. Malah VOC juga bertujuan melancarkan peperangan ke atas raja-raja tempatan atau kuasa-kuasa asing untuk memperoleh hak-hak perdagangan.

Menjelang tahun 1660-an, Belanda dapat memonopoli perdagangan di Hindia Timur. Hakikat ini terbukti apabila Belanda menawan Melaka daripada Portugis pada tahun 1641 dan memaksa orang Inggeris menutup semua loji mereka di Kepulauan Melayu kecuali Bangkahulu selepas peristiwa “Pembunuhan Beramai-ramai di Ambon” pada tahun 1623.


British

British muncul sebagai sebuah negara mekantile pada permulaan abad ke-17. Hakikat ini jelas kelihatan apabila kerajaan Inggeris menghantar ekspedisi-ekspedisi ke Timur pada akhir abad ke-16 dan pada awal abad ke-17.

Pada tahun 1600, SHTI ditubuhkan untuk berniaga di Timur. Syarikat ini telah menghantar ekspedisi-ekspedisi ke Timur di bawah pimpinan James Lancaster (1602), Henry Middleton (1605) dan David Middleton (1610) dan mendirikan loji-loji perdagangan di Bantam, Maluku, Sulawesi, Borneo, Siam, Kepulauan Banda, Sumatera dan Jawa. Penubuhan-penubuhan loji ini menimbulkan persaingan antara British dengan Belanda. Persaingan ini bertambah buruk dan memuncak apabila berlakunya peristiwa “Pembunuhan Beramai-ramai di Pulau Ambon” pada 23 Februsri 1623 dimana orang Belanda menyerang pangkalan Ambon secara mengejut dan membunuh beberapa orang Inggeris di situ. Peristiwa ini menyebabkan SHTI menutup loji-loji mereka di Hindia Timur dna berundur ke India. Hanya Bangkahulu dikekalkan sebagai ibu pejabat SHTI.

Namun, menjelang pertengahan abad ke-18, SHTI kembali semula ke Hindia Timur kerana ia memerlukan sebuah pelabuhan serta pusat perdagangan terutamanya di sepanjang Selat Melaka untuk menjalankan perdagangan dengan negara China.

Pada tahun 1751, kerajaan China membenarkan SHTI berdagang di pelabuhan Canton. Akibat tindakan ini, perdagangan the di antara British dengan China semakin bertambah. Langkah British (1784) untuk mengurangkan cukai import ke atas teh dari kadar 100% ke 12½% telah meningkatkan lagi kepentingan perdagangan teh dengan Canton.

Walau bagaimanapun, SHTI tidak mempunyai sebuah pusat perdagangan dan pelabuhan persinggahan yang sesuai si antara India dengan China yang boleh memberi kemudahan berlabuh semasa penukaran angin-angin monsun, untuk memperlengkapkan dan mengisi bekalan serta membaiki kapal dalam pelayaran mereka ke India atau China apabila tibanya angin monsun yang sesuai. Kehendak ini akhirnya menyebabkan SHTI membuka satu petempatan di Pulau Pinang pada tahun 1786.


SEJ T 6 Kemelesetan Ekonomi 1920-an-1930-an ke Atas Perusahaan Getah

Kemelesetan Ekonomi 1920-an-1930-an ke Atas Perusahaan Getah

Pengenalan

Getah mula diperkenalkan di Tanah Melayu pada abad ke-19 dan menjadi tanaman yang popular sejak awal abad ke-20. Getah melalui zaman mewah antara tahun 1906 hingga tahun 1918 apabila harga meningkat kepada $5 sepaun. Pada tahun 1920-1930, berlaku kejatuhan harga getah di mana pada tahun 1920 harga getah hanya 20 sen sepaun dan 1931-1932 herganya hanya 5 sen sehingga 7 sen sepaun. Kenaikan harga getah antara tahun 1906-1918 telah menggalakkan penanaman getah bukan sahaja di Tanah Melayu tetapi juga di negeri-negeri lain seperti Indonesia, Thailand, Indo-China dan sebagainya.

Perang Dunia Pertama antara tahun 1914 hingga 1918 menyebabkan getah tidak dapat dieksport ke Eropah dan Amerika kerana kekurangan kapal dan masalah peperangan. Akibatnya terdapat banyak simpanan getah di negara-negara pengeluar getah. Keadaan semakin runcing apabila Amerika yang menjadi pengimport utama telah mengurangkan pengeluaran kereta sejak tahun 1920 lagi bagi menumpukan perhatian dalam industri mengeluarkan perkakas perang. Kemelesetan ekonomi 1920-1930 telah memberi kesan ke atas perusahaan getah di Tanah Melayu.

Kemelesetan perusahaan getah semasa 1920-an-1930-an

Tahun-tahun 1920-an

Pada tahun 1920-an, peladang dan pekebun getah menghadapi kehidupan perit terutamanya semasa Perang Dunia Pertama (1914-1918) dan beberapa tahun selepas tamatnya peperangan itu. Hal ini kerana harga getah telah jatuh ke paras yang paling rendah. Sebab-sebab harga getah merosot:

a. Amerika yang menggunakan kira-kira 77% daripada pengeluaran getah dunia telah mengurangkan penggunaan getah kerana perusahaan keretanya dihadkan demi menumpukan perhatian kepada pengeluaran alat-alat kelengkapan perang.

b. Kekurangan pengangkutan perkapalan semasa peperangan telah menjejaskan eksport getah ke Amerika Syarikat dan Eropah.

c. Walaupun begitu, pengeluaran getah di Tanah Melayu tidak berhenti. Pokok-pokok getah yang ditanam sebelum Perang Dunia Pertama mulai mengeluarkan hasil.

d. Apabila peperangan tamat, pengeluaran getah menjadi terlalu banyak, manakala permintaan bagi getah amat terhad.

e. Ini menyebabkan harga getah jatuh dengan teruknya sedangkan kos pengeluarannya masih tinggi. Harga getah menjunam jatuh dari $5.50 sepaun kepada 85 sen pada tahun 1918 dan seterusnya kepada 20 sen pada tahun 1922. Pada masa itu, kos pengeluaran getah adalah 40-50sen sepaun.

Kemelesetan perusahaan getah membimbangkan Kerajaan Inggeris kerana masalah ini memburukan lagi masalah kewangan kerajaan yang terpaksa membayar balik hutang peperangan kepada Amerika Syarikat yang telah membantunya dalam peperangan itu. Oleh itu, Kerajaan Inggeris telah mengambil langkah yang tegas untuk mengawal kemerosotan harga dan lebihan pengeluaran getah.

Tahun-tahun 1930-an

Zaman kemelesetan ekonomi dunia berlaku sekali lagi pada awal tahun 1930-an. Keadaan perusahaan getah di Tanah Melayu ibarat “sudah jatuh ditimpa tangga”.

Pada awal tahun 1932, harga getah jatuh kepada 7 sen sepaun dan pada bulan Jun 1932 pula, getah mencatatkan harga yang paling rendah iaitu 5 sen sepaun. Kemelesetan ekonomi dunia telah mengurangkan permintaan terhadap getah di kalangan negara-negara pengimport getah sementara pengeluaran getah yang semakin bertambah dan simpanan yang bertimbun di kalangan negara-negara pengeluar.

Punca utama pengurangan permintaan dunia terhadap getah ialah berkurangnya penggunaan getah di Amerika Syarikat akibat kemerosotan perusahaan keretanya. Amerika Syarikat mengeluarkan hampir 90% daripada jumlah keluaran kereta dunia dan menggunakan 75-80% daripada pengeluaran getah dunia. Akibat kemelesetan ekonomi dunia, keluaran keretanya telah merosot daripada 5 juta unit kepada 1 juta unit pada tahun 1929. Oleh itu, perusahaan tayar kereta turut menurun dari 77 juta unit pada tahun 1928 kepada 4 juta unit pada tahun 1932.

Kejatuhan harga getah telah membimbangkan negara-negara pengeluar terutamanya Kerajaan Inggeris. Hal ini menyebabkan negara-negara pengeluar dunia bersetuju untuk mengadakan perundingan bagi mengatasi masalah tersebut. Hasil daripada perundingan itu, negara-negara pengeluar getah dunia menandatangani Rancangan Peraturan Getah Antarabangsa pada bulan Mei 1934. Rancangan ini dianggotai oleh hampir semua pengeluar getah dunia termasuk Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Thailand, Myanmar, Indonesia, Indo-China Sri Lanka dan India. Negara-negara tersebut mengeluarkan kira-kira 98.7% daripada jumlah pengeluaran getah dunia pada tahun 1934.

Rancangan Sekatan Stevenson (1922-1928)

Pada tahun 1921, jawatankuasa Stevenson telah ditubuhkan oleh Kerajaan British untuk mengkaji langkah-langkah mengawal kemerosotan perusahaan getah. Pada tahun 1922, Rancangan Sekatan Stevenson dimulakan hasil daripada kaji selidik jawatankuasa ini.

Mengikut rancangan ini, pengeluaran getah dihadkan kepada lebih kurang 60% sahaja daripada jumlah pengeluaran tahun 1920. Bagi menjayakan rancangan ini, Tanah Melayu mengurangkan pengeluarannya daripada 50% kepada 38%. Hasilnya pada tahun 1925, harga getah meningkat kepada $2 sepaun.

Sungguhpun begitu, rancangan ini tetap gagal kerana pengeluaran getah dari negara lain tidak dapat dikawal. Indonesia telah menambahkan pengeluarannya dari 24% kepada 38%. Syarikat-syarikat Amerika telah membuka ladang getah baru seperti Syarikat Ford di Brazil dan Syarikat Firestone di Liberia.

Rancangan ini ditamatkan pada tahun 1928.

Rancangan Peraturan Getah Antarabangsa (1934-1943)

Rancangan Peraturan Getah Antarabangsa telah dimulakan pada tahun 1934 yang bertujuan mengurangkan pengeluaran dan mengawal harga getah. Negara-negara yang menjadi anggota ialah Tanah Melayu, Borneo Utara, Sarawak, Sri Lanka, India, Myanmar, Indo-China, Indonesia dan Thailand. Negara-negara ini mengeluarkan 98.7% daripada jumlah pengeluaran getah sedunia.

Kuota eksport telah ditetapkan untuk setiap anggota tersebut. Penanaman baru dan penanaman semula tidak digalakkan. Atas usaha ini, harga getah telah meningkat daripada 30 sen sepaun pada tahun 1935 kepada 43 sen sepaun pada tahun 1937 dan seterusnya menjadi stabil.

Rancangan ini berjaya menstabilkan harga getah kerana:

a. Hampir semua negara pengeluar getah sedunia telah menganggotai dan mematuhi peraturan-peraturan rancangan tersebut.

b. Kemelesetan ekonomi dunia telah berakhir menjelang pertengahan tahun-tahun 1930-an dan permintaan getah dunia semakin bertambah.

c. Ekonomi Amerika Syarikat berkembang dengan pesat dan kemajuan dalam industri automibil menambahkan penggunaan getah kepada 80% daripada pengeluaran getah dunia.

Perusahaan getah semasa dan selepas Perang Dunia Kedua

Semasa pendudukan Jepun (1942-1945) di Tanah Melayu, pengeluaran getah hampir terhanti sama sekali. Hubungan perdagangan Tanah Melayu dengan pasarannya di Amerika Syarikat dan Eropah terputus. Banyak ladang getah telah dimusnahkan oleh pihak British semasa mereka berundur supaya orang Jepun tidak mendapat hasil getah. Ada di antara ladang-ladang yang telah terbiar. Pihak Jepun pula telah melancarkan gerakan memusnahkan pokok getah dan menggantikannya dengan tanaman makanan.

Semasa Perang Dunia Kedua, Amerika Syarikat menghadapi masalah kekurangan getah apabila Asia Tenggara diserang oleh Jepun. Untuk mengatasi masalah ini, Amerika Syarikat telah mengeluarkan getah tiruan. Selepas peperangan, getah tiruan memberi persaingan kepada getah asli sebab penggunaannya telah diperkenalkan ke semua negeri perindustrian. Pada tahun 1955, penggunaan getah tiruan telah menjadi 1/3 penggunaan getah di dunia.

Getah asli dari Tanah Melayu masih diperlukan kerana ia mempunyai keistimewaan sendiri yang tidak boleh diatasi oleh getah tiruan.

Kesan kemelesetan perusahaan getah 1920-an-1930-an

1. Kesan umum

Kejatuhan harga getah bukan sahaja dirasai oleh pemilik ladang getah tetapi juga orang ramai. Ramai pekerja ladang telah diberhentikan dan menyebabkan berlakunya pengangguran. Sebahagian daripada mereka terutamanya orang India telah dihantar pulang ke India atas perbelanjaan kerajaan. Kejatuhan harga getah telah menyebabkan pemilik ladang tidak dapat menjelaskan hutang mereka kepada ceti. Akibatnya banyak ladang getah jatuh ke tangan ceti. Sebagai contoh, pada tahun 1922, berpuluh-puluh ekar ladang getah telah dirampas oleh ceti kerana kegagalan pemilik-pemilik menjelaskan hutang. Sebelum itu, British juga terpaksa menjelaskan hutangnya kepada Amerika yang telah membantu British dalam Perang Dunia Pertama. Keadaan ini juga tentu akan membahayakan kedudukan mata wang sterling.

Tindakan memberhentikan pekerja ladang menyebabkan berlakunya pengangguran dan kerajaan tidak mampu untuk menghantar pulang semua pekerja ladang yang diberhentikan. Akibatnya, berlaku pelbagai kegiatan jenayah kerana penglibatan mereka dalam kegiatan merompak, mencuri, pecah rumah dan sebagainya. Pada tahun 1930, terdapat 9000 kes yang dilaporkan tetapi pada tahun 1931, terdapat 10500 kes yang dilaporkan. Kejatuhan harga getah telah menyebabkan pekebun kecil mengambil sikap yang negatif. Mereka tidak sanggup menanam semula getah kerana mengambil masa 7-8 tahun untuk mendapatkan hasil dan pada masa yang sama, harga getah masih rendah. Akibatnya, ramai pekebun kecil telah beralik kepada kegiatan ekonomi lain seperti menanam padi, nelayan dan sebagainya. Tindakan pekebun kecil ini telah menyebabkan kemerosotan pengeluaran getah pekebun-pekebun kecil. Sebagai contoh, pada tahun 1934, pekebun kecil mengeluarkan 48% getah Tanah Melayu dan ladang mengeluarkan 52%. Tetapi pada tahun 1942, keluaran pekebun kecil menjadi 39% dan ladang 61%

2. Pusat Penyelidikan Getah (RRI)

Kejatuhan harga getah menyebabkan kerajaan mengambil langkah untuk menjalankan penyelidikan bagi membaiki mutu getah. Untuk tujuan tersebut, Pusat Penyelidikan Getah (RRI) telah ditubuhkan pada tahun 1926 di Sungai Buloh, Selangor dan Kota Tinggi, Johor. RRI bertujuan untuk menjalankan penyelidikan bagi mencari cara-cara yang lebih baik bagi menanam getah, penggunaan getah, cara memproses susu getah dan sebagainya. RRI kemudiannya memberi sumbangan penting dalam perusahaan getah di Tanah Melayu.

3. Langkah berjimat-cermat

Kejatuhan harga getah menyebabkan pendapatan kerajaan melalui cukai eksport ke atas getah berkurangan. Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa mengurangkan perbelanjaan pada Oktober 1931. Laporan Jawatankuasa tersebut menetapkan bilangan kakitangan kerajaan serta gaji mereka dikurangkan 13%. Antara jabatan yang terlibat ialah Jabatan Polis, Kesihatan dan Pelajaran. Tindakan mengurangkan kakitangan kerajaan menyebabkan berlakunya pengangguran antara mereka manakala tindakan mengurangkan gaji membebankan ekonomi mereka. Selain itu, pembangunan awam diberhentikan 2 tahun.

4. Rang undang-undang imigran

Pada tahun 1930, kerajaan telah mengeluarkan rang undang-undang imigran bagi menyekat imigran ke Tanah Melayu. Pada tahun 1933, rang undang-undang orang dagang dilaksanakan bagi menyekat kemasukan mereka serta kebolehan mereka. Rang undang-undang ini bertujuan untuk menyekat kemasukan imigran supaya tidak berlaku pengangguran yang berleluasa di Tanah Melayu.

5. Mempelbagaikan tanaman

Kejatuhan harga getah menyebabkan kerajaan sedar bahayanya pergantungan kepada satu jenis tanaman sahaja. Akibatnya penduduk Tanah Melayu mula menanam tanaman seperti koko, nenas dan sebagainya selain dari menanam getah. Selain itu, penduduk Tanah Melayu juga digalakkan menceburi bidang ekonomi lain selain dari bertani.

6. Menambahkan pengeluaran makanan

Sejak 1920-an, terutamanya pada tahun 1930-an, kerajaan mula mengambil langkah-langkah bagi menambahkan pengeluaran makanan, terutamanya padi. Buat pertama kali, kerajaan mula mengambil langkah-langkah bagi membina sistem pengairan, membuka tanah pertanian baru dan menggalakkan penanaman padi 2 kali setahun. Tujuannya supaya penduduk Tanah Melayu tidak akan mengalami kekurangan makanan sekiranya berlaku lagi kemelesetan ekonomi seperti pada tahun 1920-an dan 1930-an.

7. Menyusun semula pentadbiran ladang

Kejatuhan harga getah menyebabkan pengusaha-pengusaha ladang terutamanya ladang Eropah mengambil langkah menyusun semula pentadbiran yang dianggap “Top Heavy” bagi menjimatkan perbelanjaan. Pegawai-pegawai Eropah digantikan dengan penyelia-penyelia berbangsa Asia dan bilangan kakitangan serta gaji mereka dikurangkan. Sebagai contoh, pada tahun 1918 terdapat 4 orang pegawai Eropah di setiap ladang, 1928 hanya tinggal 2 orang pegawai Eropah di setiap ladang dan 1932 hanya tinggal seorang pegawai Eropah di setiap ladang.

8. Mengurangkan gaji dan pekerja

Kerugian yang dialami akibat dari kejatuhan harga getah telah menyebabkan pihak pengurusan ladang mengambil langkah-langkah mengurangkan pekerja ladang. Tindakan memberhentikan mereka menyebabkan berlakunya pengangguran. Pada tahun 1929, terdapat 258 ribu orang pekerja tetapi pada tahun 1932, hanya tertinggal 145 ribu orang pekerja ladang. Sebahagian daripada mereka telah dihantar pulang ke India atas perbelanjaan kerajaan. Antara tahun 1930-1933, 370 ribu orang telah dihantar pulang ke India. Selain itu, gaji mereka juga dikurangkan. Pada tahun 1932, gaji pekerja ladang ditetapkan 20 sen sehari sedangkan sebelumnya iaitu pada tahun 1929, gaji pekerja ladang adalah antara 50-55 sen sehari.

9. Rancangan Sekatan Stevenson

10. Rancangan Peraturan Getah Antarabangsa

Kesimpulan

Menjelang tahun 1930-an, perusahaan getah telah berkembang sehingga menjadi perusahaan dan sumber pendapatan eksport yang utama di Semenanjung Tanah Melayu. Namun, perusahaan ini telah terbantut semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu (1942-1945). Selepas Perang Dunia Kedua pula, getah tiruan yang diperkenalkan oleh Amerika Syarikat telah menyaingi pasaran getah asli. Namun masih terdapat pasaran bagi getah asli memandangkan mutunya yang lebih tinggi.

SEJ T 6 Kemelesetan Ekonomi 1920-an-1930-an ke Atas Perlombongan Bijih Timah

Kemelesetan Ekonomi 1920-an-1930-an ke Atas Perlombongan Bijih Timah

Pengenalan

Perusahaan bijih timah merupakan perusahaan yang tertua di Tanah Melayu. Sehingga tahun 1820, perlombongan bijih timah merupakan perusahaan orang Melayu. Lombong-lombong bijih timah dikuasai oleh raja-raja dan pembesar-pembesar Melayu. Perlombongan bijih timah dianggap sebagai kerja sambilan oleh orang Melayu. Mulai 1820-an, orang Cina mula melibatkan diri dalam perlombongan bijih timah.

Mulai pertengahan abad ke-19, pelombong Cina telah mengambil alih perusahaan ini daripada orang Melayu dan perusahaan ini telah berkembang dengan pesat. Selaras dengan Revolusi perusahaan di Barat, permintaan terhadap bijih timah amat tinggi. Pada 1920-an, berlaku kemelesetan ekonomi di seluruh dunia. Akibatnya perkembangan perusahaan ini mulai menjadi lembap dan harga bijih timah telah jatuh dengan teruk.

Kemelesetan perusahaan bijih timah semasa 1929-1932

Pada zaman kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 1929-1932, perusahaan bijih timah telah terjejas. Harga bijih timah telah menjunam ke paras yang rendah akibat kekurangan permintaan di pasaran Eropah. Harganya merosot dari $2414 setan pada tahun 1926 kepada $1020 setan pada tahun 1931.

Kemerosotan harga telah mengakibatkan pengangguran di kalangan pelombong-pelombong. Akibatnya, kerajaan telah menghantar pulang ramai pekerja ke negeri Cina. Misalnya, pada tahun 1931, kira-kira 10000 orang pekerja lombong dari Perak dihantar pulang ke negara China. Ramai lagi pulang secara sukarela. Banyak lombong bijih timah terpaksa ditutup. Oleh sebab itu, Kerajaan Tanah Melayu telah mengambil beberapa langkah untuk mengawal pengeluaran bijih timah. Sebagai contoh, pada tahun 1929, kerajaan tidak melayan permohonan baru bagi membuka lombong bijih timah baru dan menghadkan pengeluaran bijih timah atas dasar sukarela.

Walau bagaimanapun, langkah-langkah tersebut tidak berkesan. Sebagai pengeluar bijih timah yang terbesar di dunia, Kerajaan Inggeris mencadangkan satu skim untuk mengawal harga dan pengeluaran bijih timah. Skim ini dipersetujui oleh negara-negara pengeluar bijih timah termasuk Bolivia, Nigeria dan Indonesia dan dilaksanakan menerusi Perjanjian Bijih Timah Antarabangsa yang ditandatangani buat pertama kali pada tahun 1931 dan kemudian pada tahun-tahun 1934 dan 1937. Menurut perjanjian ini negara pengeluar ditetapkan kuota pengeluarannya. Perjanjian Bijih Timah Antarabangsa ini telah berjaya mengukuhkan harga bijih timah.

Perusahaan bijih timah semasa dan selepas Perang Dunia Kedua

Perusahaan bijih timah semakin merosot pada zaman pendudukan Jepun (1942-1945). Perusahaan ini merosot adalah disebabkan oleh:

a. Inggeris memusnahkan lombong bijih timah dan peralatan lain seperti kapal korek sebelum berundur ke Singapura.

b. Eksport bijih timah ke pasaran dunia telah terganggu kerana hubungan dengan dunia luar telah putus.

c. Permintaan bijih timah juga telah merosot kerana negara-negara perindustrian terlibat dalam Perang Dunia Kedua.

d. Jepun telah menyekat pengeluaran dan pengeksportan bijih timah dengan memusnahkan lombong-lombong dan peralatan melombong.

Peristiwa kemerosotan pengeluaran bijih timah amat ketara pada tahun 1945.

Pengeluaran bijih timah pada tahun 1941 ialah 79000 tan tetapi telah merosot kepada 3000 tan pada tahun 1945.

Keadaan perusahaan bijih timah telah berubah selepas tamatnya Perang Dunia Kedua. Sejak tahun 1946, harga bijih timah turun naik akibat permintaan yang tetap di seluruh dunia. Oleh itu, pengeluar-pengeluar bijih timah utama telah menandatangani Perjanjian Timah Antarabangsa pada tahun 1956. Perjanjian ini bertujuan menghadkan pengeluaran dan menstabilkan harga bijih timah.

SEJ T 6 Kegagalan British Campur Tangan di Johor Sehingga Tahun 1914

Kegagalan British Campur Tangan di Johor Sehingga Tahun 1914

Pengenalan

Johor merupakan sebuah Negeri Melayu yang paling lama dan rapat hubungan dengan British. Penglibatan British di Johor bermula sejak kedatangan Raffles dan pembukaan Singapura pada tahun 1819. Walau bagaimanapun, Johor merupakan negeri yang paling akhir menerima Penasihat British. Dengan ini, Johor dianggap sebagai negeri yang paling lama mengekalkan kemerdekaannya berbanding dengan Negeri-negeri Melayu yang lain, terutamanya Negeri-negeri Melayu yang menerima campur tangan British mulai 1874. mengikut Rupert Emerson dan K.G. Tregonning, kemerdekaan Johor pada umumnya adalah disebabkan dua faktor, iaitu hubungan berbaik-baik dengan British dan kebijaksanaan pemerintah-pemerintah Johor terutama Tememggung Daeng Ibrahim dan Maharaja Abu Bakar.

Sebab Johor mengekalkan kemerdekaannya

1. Hubungan berbaik-baik dengan British

Sejak pembukaan Singapura 1819, pemerintah Johor dari keluarga Temenggung mengadakan hubungan berbaik-baik dengan pegawai-pegawai British di Negeri-negeri Selat dan Kerajaan British di London. Hubungan yang dimulakan oleh Temenggung Abdul Rahman pada tahun 1819 dengan Raffles telah diteruskan oleh pengganti-penggantinya seperti Temenggung Ibrahim, Sultan Abu Bakar dan Sultan Ibrahim sehingga tahun 1914. Di samping mengekalkan kebebasan Johor, hubungan berbaik-baik dengan British amat menguntungkan Johor.

Dengan usaha British, Temenggung Ibrahim dapat mengukuhkan kekuasaannya ke atas Johor menerusi satu perjanjian pada tahun 1855 dengan Tengku Ali, putera Sultan Hussein yang menuntut takhta Kerajaan Johor dan kekuasaan penuh ke atas Johor. Tuntutan takhta Johor oleh Tengku Ali tidak menjejaskan kestabilan politik Johor kerana tuntutan itu dapat dielakkan oleh pihak British dengan sokongan pihak British terhadap keluarga Temenggung. Sultan Abu Bakar (1862-1895) telag mengeratkan hubungan mesra Johor dengan British. Gelaran Maharaja dan gelaran Sultan telah diiktirafkan oleh pihak British. British juga mengakui kebebasan Johor melalui satu perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1885 dengan Sultan Johor. Perjanjian tahun 1885 telah mengukuhkan kedudukan Sultan Abu Bakar sebagai Sultan berdaulat.

2. Kebijaksanaan pemerintah-pemerintah Johor

Pemerintah-pemerintah Johor telah melaksanakan sistem pentadbiran yang lebih cekap dan sistematik berbanding dengan sistem pemerintah di Negeri-negeri Melayu yang lain terutamanya di Perak dan Selangor. Pada tahun 1895, Sultan Abu Bakar telah memperkenalkan sebuah perlembagaan baru bagi Johor. Perlembagaan bertulis yang berdasarkan sistem perlembagaan di Britain menjamin sistem pentadbiran yang teratur. Dengan adanya perlembagaan ini, kuasa Sultan dapat diperkukuhkan.

Perlembagaan ini merupakan perlembagaan yang bertulis yang pertama di Semenanjung Tanah Melayu. Kebijaksanaan Sultan Abu Bakar dapat dilihat dengan jelas apabila baginda menandatangani perjanjian 1885 dengan British dan bersetuju membenarkan British melantik seorang wakilnya, seorang Konsul untuk kepentingan British di Johor. Kebijaksanaan baginda turut terserlah dalam mengadakan pembaharuan-pembaharuan berdasarkan Barat di Johor. Di samping memperkenalkan beberapa pembaharuan sosial, jentera pentadbiran yang lebih kemas dan sistematik diperkenalkan dengan menerap nilai-nilai pentadbiran Barat. Baginda mengupah beberapa penasihat Eropah tetapi pentadbiran dijalankan oleh Sultan dan Majlis Mesyuarat Negeri.

Perlembagaan memperuntukkan sebuah Jemaah Menteri yang terdiri daripada orang Melayu. Mereka ditugaskan untuk menasihati Sultan. Majlis Negeri yang didirikan terdiri daripada rakyat Johor yang meliputi semua kaum dan dilantik oleh Sultan untuk membuat undang-undang. Dalam keadaan ini, pihak British merasa tidak perlu untuk mengambilalih pentadbiran Negeri Johor kerana satu sistem pentadbiran yang kemas telah wujud di Johor.

3. Tidak berlaku kekacauan di Johor

Temenggung-temenggung Johor seperti Daeng Ibrahim dan puteranya menggunakan kebijaksanaan mereka dalam menangani penghijrahan masuk orang Cina ke Johor dalam pertengahan abad ke-19. Temenggung Daeng Ibrahim menggunakan sistem Kangcu sebagai satu kaedah yang tersusun untuk mengawal peneroka-peneroka yang rajin berusaha itu.

Melalui sistem Kangcu, orang Cina digalakkan berpindah, menetap kekal di Johor dan membuka ladang-ladang lada hitam dan gambir. Temenggung memberikan satu surat tauliah yang disebut surat sungai kepada setiap Kangcu atau ketua puak-puak orang Cina. Surat ini menentukan hak-hak dan tanggungjawab mengawal dan membayar sewa bagi kawasan-kawasan yang dibuka. Sistem Kangcu ini membolehkan kemasukan orang Cina secara beramai-ramai ke Johor.

Pada awal tahun 1860-an lebih kurang 10000 orang Cina telah masuk ke Johor. Mereka menjadi buruh-buruh di ladang-ladang lada hitam dan gambir yang dibuka pada pertengahan abad ke-19. Berbeza dengan Negeri-negeri Melayu yang lain seperti di Perak dan Selangor, tidak terdapat kekacauan yang diakibatkan oleh kongsi gelap di Negeri Johor. Keadaan terkawal kerana baginda membenarkan hanya satu kongsi gelap sahaja iaitu Ghee Hin untuk masuk ke Johor. Malah baginda menggalakkan hanya orang Teochew memasuki Johor.

Dengan cara pentadbiran yang agak sistematik, pergaduhan di antara orang Cina terkawal. Mereka hidup aman damai. Keadaan perebutan kuasa di kalangan pembesar-pembesar seperti yang berlaku di Negeri-negeri Melayu yang lain juga tidak berlaku di Johor. Pemindahan kuasa dari keluarga Sultan kepada keluarga Temenggung terutamanya selepas kemangkatan Sultan Hussein telah berlaku secara lancar dan tanpa sebarang peristiwa yang tidak diingini. Oleh sebab tidak ada kekacauan sama ada dari segi perebutan kuasa di kalangan pembesar atau permusuhan kongsi-kongsi gelap di kalangan orang Cina, maka British tidak mempunyai alasan untuk campur tangan di Johor sehingaa tahun 1914.

4. Kurang potensi ekonomi

Walaupun Johor terletak berhampiran dengan Singapura, British tidak memberi tumpuan yang tegas untuk mengawal Johor kerana negeri itu tidak mempunyai sumber alam yang kaya seperti bijih timah. Kekurangan kepentingan ekonomi British di Johor mengurangkan kecenderungannya untuk mengawal negeri tersebut.

Pengenalan sistem penasihat di Johor 1914

Hubungan Johor dengan British mulai regang pada zaman pemerintahan Sultan Ibrahim (1895-1959). Baginda tidak mengekalkan hubungan baik dengan Pejabat Tanah Jajahan. Sebaliknya baginda menentang kuasa pihak British. Baginda memerintah secara bebas dan sering mengabaikan nasihat British. Malah baginda mengambil beberapa tindakan yang mengecewakan pihak British.

Pada tahun 1899, Sultan Ibrahim enggan membenarkan British membina sebuah landasan keretapi dari Negeri Sembilan ke Johor Bahru. Baginda mahu membina jalan keretapi mengikut syarat-syarat sendiri dengan mendapatkan pinjaman dan jurutera-jurutera sendiri. Tindakan ini tidak disenangi oleh pihak British. Namun demikian, pada 11 Julai 1904, Sultan Ibrahim bersetuju menandatangani Konvensyen Keretapi Johor setelah A. Lyttleton, Setiausaha Tanah Jajahan mengancam akan mengambil tindakan yang tegas ke atas baginda.

Tindakan-tindakan Sultan Ibrahim terus mengancam kepentingan-kepentingan British di Johor. Pada tahun 1905, baginda memebrikan satu konsesi yang luas kepada Perbadanan Negeri Johor yang disokong oleh usahawan-usahawan Belanda. Perbadanan ini diberi hak monopoli selama 20 tahun. Sultan Ibrahim juga mengambil langkah untuk memajukan Johor Bharu sebagai sebuah pelabuhan supaya negeri Johor tidak perlu bergantung dari segi ekonomi kepada Singapura dari Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Tindakan baginda mengamcam kedudukan Singapura sebagai pelabuhan dan pusat perdagangan. Tindakan-tindakan Sultan Ibrahim yang radikal dan pengabaian nasihat British menyebabkan Gabenor Anderson menggunakan alasan pentadbiran negeri Johor untuk memaksa baginda supaya menerima seorang Penasihat British. Akhirnya pada tahun 1914, Sultan Ibrahim menandatangani satu perjanjian dan bersetuju menerima seorang pegawai British yang nasihatnya mesti diminta dan dijalankan dalam semua perkara yang ada hubungan dengan pentadbiran umum negeri dan mengenai semua perkara selain daripada yang menyentuh agama dan adat resam orang Melayu. Dengan ini, British dapat meluaskan kuasanya ke Johor.