Soalan 1 : Rumusan
[30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan melancong dalam negeri dan faktor perkembangan industri pelancongan. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 perkataan.
Program Cuti-Cuti Malaysia yang diperkenalkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan pada tahun 1999 berjaya mengubah pandangan percutian domestik dalam kalangan penduduk negara ini. Rakyat Malaysia sudah melihat percutian sebagai satu keperluan hidup. Mereka tidak lagi menganggap pergi bercuti sebagai satu pembaziran wang, tenaga, atau masa. Oleh hal yang demikian, kerajaan memperkenalkan program tersebut untuk menggalakkan rakyat pergi melancong dalam negeri.
Kerajaan menyedari bahawa dengan bercuti rakyat dapat merehatkan minda sekali gus dapat mempertingkatkan kualiti hidup seseorang. Perjuangan kerajaan untuk memenuhi keperluan hidup rakyat dapat dikatakan selesai khususnya dalam aspek penyediaan kemudahan asas untuk hidup. Rakyat digalakkan beriadah, bersukan, bersantai, serta bercuti kerana semua aktiviti itu adalah untuk meningkatkan kualiti hidup mereka. Seseorang itu perlu berehat, kerana apabila seseorang berada dalam keadaan letih dan lesu produktivitinya pasti menurun. Apabila seseorang itu pergi bercuti, mereka bukan sahaja dapat berseronok dengan keluarga, malah pada masa yang sama menimba pelbagai pengetahuan dan pengalaman baru.
Program Cuti-Cuti Malaysia juga memberi peluang kepada rakyat negara ini mengenal tempat-tempat menarik dalam negeri sendiri sekali gus membantu untuk merancakkan sektor pelancongan domestik. Memang tidak dapat dinafikan bahawa bukan semua rakyat Malaysia mengenal tempat sendiri. Tegasnya, melancong dalam negeri jauh lebih murah berbanding dengan melancong ke luar negara. Oleh hal demikian, komponen terpenting dan utama dalam percutian ialah soal berkaitan dengan kos pengangkutan. Dengan memandu sendiri, berkongsi kereta atau menaiki kenderaan pengangkutan awam seperti bas dan kereta api, kos pengangkutan dapat dijimatkan. Pada masa yang sama, aktiviti berbelanja dapat mempercepat aliran pusingan wang bagi menjana ekonomi negara. Sebelum Program Cuti-Cuti Malaysia diperkenalkan, kadar penginapan bilik di hotel-hotel di negara ini amat menyedihkan, tetapi selepas itu kadar penginapan bilik mencecah antara 40 hingga 80 peratus khususnya pada musim cuti sekolah dan cuti umum. Oleh itu, kerajaan yakin sektor pelancongan akan menjadi salah satu penyumbang utama ekonomi negara jika diberi perhatian serius.
Selepas melalui kegawatan ekonomi yang begitu meruncing pada tahun 1997, kerajaan sudah melihat bahawa negara tidak boleh bergantung selamanya kepada ekonomi luar negara. Oleh itu, kerajaan membuat keputusan untuk memperkukuh sektor pelancongan domestik sebagai satu industri yang akan menyumbang kepada pendapatan negara. Setelah sektor pelancongan domestik memperlihatkan momentum perkembangan yang menarik, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan telah memperluas usaha menarik kedatangan para pelancong luar ke negara ini khususnya dari negara-negara di rantau Asia Tenggara dan Asia seperti Singapura, Thailand, Indonesia, Hong Kong, Taiwan, China, serta negara-negara di Asia Barat.
(Dipetik dan diubah suai daripada petikan Pelancongan domestik momentum baru ekonomi oleh Rozaman Ismail, Utusan Malaysia, 20 Ogos 2003)
Soalan 2: Pemahaman
Soalan 2 (a) Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata mempertingkatkan kualiti hidup.
[2 markah]
(ii) Mengapakah Program Cuti-cuti Malaysia yang diperkenalkan kepada rakyat tempatan?
[3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang dapat dilakukan untuk memperkukuh sektor pelancongan domestik di negara ini?
[4 markah]
Soalan 2 (b) Petikan Cerpen
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
“Daneng, cikgu meminta maaf jika menyinggung perasaanmu. Cikgu perlu berterus terang. Daneng perlu meneruskan pelajaran sampai SPM, sampai menara gading. Kau bijak, Daneng. Gunakanlah kebijaksanaanmu itu, mungkin untuk membantu kaummu. Setakat ini, cuma ada lebih 50 atau 60 orang sahaja, mahasiswa kaummu di universiti.”
Daneng merenung jauh ke tengah danau biru.
“Cikgu kasihan melihat cara hidup masyarakatmu.”
“Cikgu menganggap kami miskin, bukan? Bukan sahaja cikgu, ramai orang luar yang simpati akan kami. Tetapi konsep miskin itu tidak ada dalam kamus kami. Seluruh hutan dan belantara ini, danau dan tanah ini, milik kami bersama, milik kami sejak berzaman. Hutan ini tidak membenarkan sebarang kekurangan kepada kami.” Daneng bersuara dengan agak serius.
Kekaguman mengisi benak Jo sekali lagi melihat kepetahan anak muridnya itu berpidato. Tidak dapat disangkal lagi bahawa Daneng memang bijak dan mempunyai masa depan yang cerah jika diberi peluang. Keinginan untuk meneruskan niatnya terus membara.
“Tentu sekali! Belantara ini sememangnya satu anugerah. Tetapi dunia sentiasa berubah. Kemajuan menerpa manusia. Suka ataupun tidak, manusia perlu bergelut dan menyesuaikan diri dengan perubahan itu ketika disapa kemajuan. Jika tidak, manusia itu menempah kepupusan.”
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada cerpen Lambaian Malar Hijau, oleh Saroja Theavy a/p Balakrishnan dalam antologi Anak Laut, Dewan Bahasa dan Pustaka)
(i) Mengapakah Cikgu Jo memujuk Daneng untuk kembali ke sekolah?
[3 markah]
(ii) Pada pendapat anda, mengapakah hutan belantara sangat penting dalam kehidupan manusia?
[3 markah]
(iii) Nyatakan satu perwatakan Cikgu Jo dalam petikan di atas dan dua perwatakan Cikgu Jo dalam cerpen tersebut.
[3 markah]
Soalan 2 (c) Petikan Prosa Klasik
Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Maka Jibor pun segera pergi pada suatu tempat sunyi. Maka disuruhnya panggil empat orang sipahi seraya diberinya seratus dinar pada seorang, katanya, “Apabila waktu Maghrib sekarang, segala orang pergi sembahyang ke dalam masjid, tatkala itu barang siapa memakai kopiah kaulihat buatan Rom, maka kamu penggal lehernya, tatkala ia pergi sembahyang, orang bertandakan kopiah itu.”
Maka kata sipahi, “Baiklah, tuan hamba,” serta dengan takzimnya.
Setelah sudah ia bersetia itu, maka Jibor pun kembalilah ke rumahnya lalu ia tidur. Maka hari pun malamlah. Maka Jibor pun terkejut daripada tidurnya lalu ia keluar pergi ke masjid mengambil air sembahyang. Setelah sudah lalu ia masuk masjid.
Bahawa pada ketika itu Sabor pun ada hadir di dalam masjid memakai kopiah yang diberi Jibor itu. Maka dirasanya oleh Sabor itu kepalanya pening. Maka kopiah di atas kepalanya itu ditanggalkannya. Maka diletakkannya di atas mihrab. Maka ia memakai sapu tangan bertelepuk intan baiduri. Setelah itu, maka bilal pun banglah. Maka dengan takdir Allah taala menggerakkan hati jauhari itu, maka dilihatnya kopiah itu di atas mihrab itu. Maka oleh jauhari diambilnya lalu dipakainya kopiah itu, daripada sangat ia ingin akan kopiah itu.
(Dipetik daripada Sabor dalam antologi Kerusi, Dewan Bahasa dan Pustaka)
(i) Apakah maksud menggerakkan hati jauhari?
[2 markah]
(ii) Bagaimanakah cara Jibor membunuh Sabor?
[3 markah]
(iii) Perbuatan membunuh merupakan satu jenayah.
Pada pendapat anda, apakah tindakan yang boleh diambil oleh Jibor selain melakukan pembunuhan?
[3 markah]
Soalan 2 (d) Petikan Puisi
Baca puisi di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
SYAIR PEMBUNUHAN ANGRENI
Setelah sampai ke tepi pantai,
Pasirnya putih sangat permai,
Batunya indah bagai dicanai,
Ombak memecah di tepi pantai.
Ada sepohon bunga cina,
Cempaka berapit dengan angsana,
Kuntum indah serba warna,
Berhentilah Raden Kartabangsa.
Ada suatu batu yang rata,
Terhampar rupa seperti geta,
Raden Perbangsa segera berkata,
Di sinilah adinda berhenti kita.
Angreni turun dari juli,
Melungguh di batu berjuntai kaki,
Rasa hati sangatlah Sali,
Pada perasaan salah sekali.
Perlahan bermadah Ratna Angreni,
Tuanku mengapa kita ke mari,
Kerana waktu sudah tengah hari,
Di manakah tempat Raden Menteri.
Dahulu tuanku sanggup menghantar,
Kepada adinda muda yang sabar,
Sekarang mengapa dalam belukar,
Raden menyahut rasanya sukar.
Antologi Anak Laut,
Dewan Bahasa dan Pustaka
(i) Gambarkan unsur alam seperti yang terdapat dalam rangkap pertama hingga ketiga syair di atas.
[2 markah]
(ii) Jika anda Angreni, apakah tindakan yang akan anda lakukan untuk menyelamatkan diri?
[3 markah]
(iii) Huraikan nilai-nilai murni yang terdapat dalam syair tersebut.
[4 markah]
Soalan 3: Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa
[30 markah]
Jawab semua soalan
(a) Tulis satu ayat bagi perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambah, menukar imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa.
(i) pindah - pindah milik
(ii) reka - reka bentuk
(iii) ganti - ganti rugi
[6 markah]
(b) Tukarkan ayat biasa kepada ayat songsang tanpa mengubah maksud asalnya.
(i) Kerajaan akan memberikan perhatian dalam bidang pertanian.
(ii) Orang ramai sedang berusaha memerangi wabak denggi di negara ini.
(iii) Sebuah kapal kargo dari Jepun telah tenggelam di perairan Selat Melaka semalam.
[6 markah]
(c) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat kesalahan pengguna ejaan dan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat-ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.
(i) Kerajaan telah putuskan untuk terus mengekalkan bangunan Parlimen di ibunegara dan tidak akan memindahkannya ke tempat lain termasuk ke Putrajaya.
(ii) Kerajaan Selangor bercadang membina laluan khas untuk motorsikal di jalan-jalan negeri bagi mengurangi jumlah kemalangan jalan raya.
(iii) Guru-guru di kawasan pendalaman dijangka menikmati insentif baru termasuk insuran keselamatan serta yuran tajaan pengajian ke pusat pengajian tinggi.
[6 markah]
(d) Dalam ayat-ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan kata atau istilah atau kesalahan bahasa. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.
(i) Penjajah yang pernah menangkap Melaka telah mengambil koleksi bahan-bahan bertulis dan pelbagai barangan yang berkaitan dengan Kesultanan Melayu ke negara mereka.
(ii) Isu kenaikan harga minyak baru-baru ini turut mendapat prihatin mesyuarat Jemaah Menteri-menteri yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri.
(iii) Jabatan Pertanian memperuntukkan bantuan kewangan bagi program pemutihan tanah di dalam usaha membangunkan tanah terbiar.
[6 markah]
3 (e) Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti dan kemudian lengkapkan peribahasa yang sesuai dengan ayat-ayat tersebut.
(i) Ramli kelihatan tenang sahaja ibarat pepatah _____________________________ ketika pihak polis menggeledah rumahnya yang disyaki menjadi pusat pengedaran dadah kerana dia tahu bahawa tuduhan itu tidak benar.
(ii) “Hasrat pihak tuan yang ingin mengadakan kursus motivasi kepada pelajar-pelajar kami sangat dialu-alukan seperti kata peribahasa ______________________________________, “ kata Pengetua kepada wakil syarikat perunding motivasi tersebut.
(iii) “Untuk menyelesaikan masalah algebra ini, lebih baik kamu bertanya kepada guru matematik kamu sendiri kerana beliau lebih arif ibarat _____________________________,” kata Cikgu Norulain kepada muridnya.
[6 markah]
Soalan 4: Novel
[15 markah]
Jawab soalan di bawah. Jawapan anda hendaklah berdasarkan novel-novel yang anda pelajari.
(i) Terminal Tiga karya Othman Puteh.
(ii) Perlumbaan Kedua karya Marwilis Hj. Yusof
(iii) Di Hadapan Pulau karya A. Samad Said
(iv) Bukit Kepong karya Ismail Johari
(v) Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain
(vi) Seteguh Karang karya Tuan Faridah Syed Abdullah
(vii) Julia karya Abu Hassan Morad
(viii) Putera Gunung Tahan karya Ishak Hj. Muhammad
4 (a). Huraikan dua peristiwa yang memberi kesan mendalam kepada pembaca berdasarkan satu daripada novel yang anda pelajari.
[7 markah]
(b) Berdasarkan dua novel yang anda pelajari, bandingkan satu latar masyarakat dalam setiap novel itu.
[8 markah]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan