CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Selasa, 11 Januari 2011

SEJ T 6 PERJANJIAN BANGKOK

Perjanjian Bangkok 1909

Pengenalan

Inggeris semakin bertekad untuk mengambil alih pentadbiran ke atas keempat-empat Negeri-negeri Melayu Utara itu. Bagi Inggeris, masanya telah tiba untuk berbuat demikian apabila Jerman menawarkan tawaran Siam untuk membina jalan keretapi di Siam Selatan. Matlamat Inggeris ini semakin menyakinkan apabila satu Pakatan Inggeris-Perancis ditandatangani. Untuk mempengaruhi Siam agar bersetuju untuk berunding, Inggeris dan Perancis telah bersedia menamatkan hak wilayah asing yang diperolehi sejak tahun 1855 dan 1856. Siam sedar bahawa Inggeris begitu serius terhadap perkara mengenai Negeri-negeri Melayu Utara lalu bersetuju untuk mengadakan perundingan. Rundingan telah diadakan dan akhirnya Perjanjian Bangkok telah ditandatangani pada 9 Julai 1909.

Faktor-faktor yang membawa kepada perjanjian

1. Pakatan Inggeris-Perancis 1904

Selepas ditandatangani Pengisytiharaan Inggeris-Siam, sikap Inggeris terhadap Siam mulai berubah. Hal ini adalah disebabkan Inggeris dan Perancis telah menamatkan permusuhan mereka di Eropah dengan termeterainya Pakatan Inggeris-Perancis pada 8 April 1904. Pakatan ini telah manamatkan ancaman peluasan kuasa Perancis di Siam dan dasar kemaraan di Negeri-negeri Melayu Utara. Perjanjian ini meletakkan Siam dalam bahaya. Kemungkinan besar Inggeris tidak akan menolong Siam sekiranya Perancis melanggarnya dari Indo-China. Kebimbangan Siam menjadi nyata apabila Perancis merampas Battambang dan Siem Reap, iaitu jajahan-jajahan takluk Siam di sempadan Siam-Kampuchea. Inggeris tidak membantu Siam malah ia bersikap berkecuali. Hal ini merugikan Siam.

2. Kebimbangan campur tangan kuasa asing yang lain

Perancis, Rusia dan Jerman berminat untuk membina terusan di Segenting Kra sebab tertarik dengan kepesatan perdagangan Asia-Eropah kesan daripada pembukaan Terusan Suez. Pada tahun 1906, Jerman pula mendapat persetujuan Siam untuk membina jalan keretapi di Negeri-negeri Melayu Utara. Tindakan ini dianggap oleh Inggeris sebagai satu helah untuk menguasai Negeri-negeri Melayu Utara. Siam cuba mendapatkan bantuan modal dan buruh dari Jerman untuk membina jalan keretapi yang akan menghubungkan Bangkok dengan sempadannya di Kedah. Inggeris berasa bimbang bahawa langkah Siam akan membawa kepada kemungkinan besar Jerman campur tangan di Kedah dan mengancam kepentingan Inggeris di situ.

3. Pembatalan hak-hak wilayah asing

Siam tidak senang hati dengan pemberian hak-hak istimewa kepada Inggeris sejak tahun 1855. Siam kini ingin membatalkan perjanjian-perjanjian berat sebelah seperti Perjanjian Bowring (1855) dan Perjanjian Sulit (1897). Sudah tentu Inggeris tidak akan memansuhkan hak-hak tersebut dengan rela tanpa sebarang ganti rugi. Oleh itu, Siam mengambil keputusan untuk menyerahkan Negeri-negeri Melayu Utara yang sebenarnya tidak menguntungkan kepada Inggeris. Sebagai balasan, Inggeris akan memansuhkan segala-gala hak wilayah asing di Siam.

4. Masalah kewangan Siam

Sementara itu, Kelantan dan Terengganu menaruh dendam dan tidak pernah mengakui pertuanan Siam. Kedah pula menghadapi masalah kewangan yang teruk selepas tahun 1904 kerana sikap Sultan Kedah yang boros. Siam terpaksa memberikan pinjaman sejumlah $2 juta kepada Kedah.

Syarat-syarat perjanjian

1. Siam memindahkan segala haknya ke atas keempat-empat buah Negeri-negeri Melayu Utara di bawah pemerintahannya iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, termasuk semua pulau yang dimiliki oleh negeri-negeri itu kepada Inggeris.

2. Siam bersetuju tidak akan menyewakan mana-mana wilayahnya kepada kuasa-kuasa asing tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran dari Inggeris.

3. Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu akan menanggung segala hutang keempat-empat buah negeri yang diperolehinya. Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu juga akan memberi pinjaman wang sebanyak £4 juta kepada Siam untuk membina jalan keretapi di Selatan Siam.

4. Inggeris menyerahkan hak wilayah asing yang diperolehinya dari Persetiaan Persahabatan dan Perdagangan pada tahun 1855.

5. Inggeris berjanji tidak akan campur tangan di wilayah-wilayah Siam yang lain.

6. Perjanjian Sulit Inggeris-Siam 1897 dibatalkan.

Kesan-kesan perjanjian

1. Negeri-negeri Melayu Utara berpindah tangan dari Siam kepada Inggeris dan negeri-negeri itu menerima seorang Penasihat British yang tugasnya seperti Residen di Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

2. Selanjutnya Penasihat British dilantik untuk berkhidmat di Perlis, Kelantan dan Kedah. Terengganu menerima Penasihat Inggeris pada tahun 1919.

3. Perjanjian ini telah menetapkan sempadan di antara Siam dengan Tanah Melayu.

4. Perjanjian ini menjamin Inggeris agar dapat menjalankan dasar monopoli perdagangannya di Semenanjung Tanah Melayu.

SEJ T 6 SINGAPURA

Perdagangan Singapura

Pengenalan

Singapura dibuka oleh Stamford Raffles pada tahun 1819. Dalam masa yang singkat, ia telah muncul sebagai pusat perdagangan yang maju dan terpenting di Asia Tenggara. Nilai perdagangan Singapura telah bertambah daripada $8568151 pada tahun 1822 kepada kira-kira $18 juta pada tahun 1833. Nilai perdagangan tersebut seterusnya bertambah sehingga melebihi $88 juta pada tahun 1873.

Sebab-sebab pertumbuhan perdagangan Singapura yang pesat

1. Kedudukan geografi Singapura

Seperti yang dinyatakan oleh N.J. Ryan, kedudukan alam Singapura merupakan faktor penting bagi pertumbuhan perdagangannya. Singapura menempati kedudukan yang strategic di tengah-tengah jalan perdagangan yang utama antara timur barat. Barangan perdagangan dari Eropah (tekstil dan barangan logam) dan India (candu) dibawa ke Singapura untuk dihantar ke negara China atau diedarkan ke seluruh Asia Tenggara. Singapura juga terletak di pertengahan Asia Tenggara. Keadaan ini menyebabkan Singapura menjadi pusat pengumpulan bagi hasil Asia Tenggara. Singapura terlindung dari tiupan angin monsun oleh Pulau Sumatera. Dengan itu, pelabuhan Singapura mempunyai air yang tenang. Perairan yang tenang telah membolehkan Singapura menjadi pusat utama bagi perdagangan melalui perahu dan tongkang. Singapura juga merupakan tempat persinggahan yang sesuai bagi pedagang-pedagang Asia Tenggara, China dan Eropah. Sebelum pembukaan Hong Kong pada tahun 1842, Singapura merupakan pusat pengumpulan yang penting bagi barang-barang dari negara China seperti sutera dan teh.

2. Dasar-dasar Inggeris

a. Dasar pelabuhan bebas

Dasar Inggeris menjadikan Singapura sebuah pelabuhan bebas telah mendorongkan perkembangan perdagangan Singapura. Pedagang-pedagang tidak dikenakan bayaran cukai import dan eksport. Bagi sepuluh tahun yang pertama, Singapura merupakan pelabuhan bebas yang tunggal di Gugusan Kepulauan Melayu. L.A. Mills berpendapat bahawa polisi pelabuhan bebas ini merupakan faktor bagi perkembangan pesat perdagangan Singapura.

b. Sistem pentadbiran

Selepas Perjanjian Inggeris-Belanda (1824), Inggeris telah menubuhkan sistem pentadbiran yang menjamin keselamatan nyawa dan harta. Keamanan telah menggalakkan perkembangan perdagangan Singapura.

c. Dasar penghijrahan

Dasar Inggeris tidak menyekat penghijrahan telah menyebabkan kemasukan ramai orang Cina yang telah mendorong memajukan perdagangan Singapura. Bilangan penduduk Cina di Singapura telah meningkat daripada 3000 orang pada tahun 1820 kepada 50043 pada tahun 1860.

d. Kemudahan-kemudahan perkapalan

Inggeris telah membekalkan kemudahan-kemudahan seperti membaiki kapal, limbungan kapal dan gudang arang batu yang mendorong sebilangan besar kapal-kapal untuk singgah di Singapura.

e. Pemansuhan monopoli perdagangan dengan negara China

SHTI telah memansuhkan monopoli perdagangan dengan negara China pada tahun 1833. Pemansuhan ini menggalakkan ramai pedagang berdagang dengan negara China melalui Singapura.

3. Pembukaan pasaran-pasaran baru di sekitar Singapura

Perluasan kuasa dan pengaruh Inggeris di Asia Tenggara telah mengakibatkan pembukaan pasaran-pasaran baru bagi hasil perdagangan Singapura yang mendorong perkembangan perdagangan Singapura. Perlantikan James Brooke sebagai Gabenor Sarawak pada tahun 1841 telah menambahkan perdagangan Singapura. Kejayaan James Brooke menghapuskan kegiatan lanun di sekitar Borneo telah merintis jalan bagi perkembangan perdagangan antara Sarawak dengan Singapura. Pada tahun 1833, tidak terdapat perdagangan antara Sarawak dengan Singapura. Menjelang tahun 1873, nilai perdagangan tersebut melebihi setengah juta ringgit. Pada tahun 1855, Siam (Raja Mongkut) telah membuka pintu kepada pedagang-pedagang Inggeris melalui Perjanjian Bowring. Perkembangan ini telah memberi peluang kepada Singapura menjalankan perdagangan yang maju dengan Siam. Perluasan kuasa dan pengaruh Belanda di Indonesia telah juga membuka pasaran-pasaran baru bagi hasil-hasil perdagangan Singapura. Antara tahun 1826-1858, Belanda membuka lebih daripada 30 buah pelabuhan bagi perdagangan di Jawa, Sumatera, Bali dan lain-lain tempat.

4. Pembukaan Terusan Suez

Pembukaan Terusan Suez pada tahun 1869 telah menambahkan perdagangan Singapura dengan memendekkan perjalanan laut di antara Eropah dan Asia dan mengurangkan kos pengangkutan. Pembukaan Terusan Suez membolehkan pemasaran lebih banyak jenis dan kuantiti barangan perdagangan. Terusan baru ini memungkinkan penghantaran barangan yang memerlukan ruang yang luas seperti beras dan gula. Pembukaan Terusan Suez merupakan faktor penting bagi perkembangan perdagangan Singapura. Sesungguhnya seorang ahli sejarah, G. Bogaars, berpendapat bahawa pembukaan Terusan Suez telah memulihkan perdagangan Singapura dan menghasilkan satu zaman kemewahan.

5. Pengenalan kapal-kapal stim

Perubahan daripada kapal layar kepada kapal stim telah menyenangkan perdagangan dan mengurangkan kegiatan-kegiatan lanun. Perkembangan teknologi ini telah menyebabkan bertambahnya bilangan kapal dan pedagang asing yang datang berdagang di Singapura.

6. Perkhidmatan telegraf di antara Singapura dan London

Perkhidmatan telegraf di antara Singapura dan London yang dimulakan pada tahun 1870 telah mempercepatkan urusan perniagaan kerana laporan-laporan mengenai kedudukan pasaran dapat dihantar dalam masa yang singkat. Menurut C.D. Cowan, perkembangan teknologi ini telah melicinkan dan menambahkan perdagangan Singapura.

SEJ T 6 Penubuhan Pusat-pusat Perdagangan oleh Inggeris di Tanah Melayu

Penubuhan Pusat-pusat Perdagangan oleh Inggeris di Tanah Melayu


Pengenalan

Hasil daripada kegiatan perdagangan teh di antara China dengan British yang semakin maju, British ingin mencari sebuah pusat perdagangan dan pelabuhan persinggahan yang sesuai di Alam Melayu untuk membolehkannya berlabuh semasa angin monsun dan memperlengkapkan dan mengisi bekalan mereka serta membaiki kapal sementara menunggu masa yang sesuai untuk berlayar ke China lagi.

Pembukaan Pulau Pinang, 1786

Pada tahun 1780-an, sultan Kedah, Sultan Abdullah Mukarram Syah (1778-1798) telah meminta bantuan SHTI untuk menentang serangan Siam. Baginda telah menawarkan Pulau Pinang kepada SHTI untuk dijadikan pangkalan perdagangan dan pelabuhan persinggahan. SHTI bersetuju menerima Pulau Pinang tetapi berasa keberatan untuk memberikan jaminan perlindungan tentara bagi menentang musuh Kedah. Namun, Francis Light, seorang pegawai SHTI telah menyakinkan Sultan Abdullah bahawa permintaan baginda sedang dipertimbangkan walaupun beliau sedar bahawa SHTI tidak akan memberi naungan kepada Kedah. Bagi mencapai matlamatnya, Francis Light telah menipu Sultan Abdullah dengan memberikan janji-janji kosong. Atas janji-janji ini, Sultan Abdullah membenarkan Light menduduki Pulau Pinang tetapi dengan syarat Light akan berundur jika naungan tidak diberi oleh SHTI.

Pada 11 Ogos 1786, British telah menduduki Pulau Pinang dengan rasminya. Hubungan antara Sultan Abdullah dan SHTI mula tegang apabila Francis Light tidak menghiraukan syarat yang dikemukakan oleh baginda pada bulan Ogos 1785. Antara syarat-syarat utama baginda ialah:

1. SHTI dibenarkan menduduki Pulau Pinang dengan syarat ia mengawal kawasan perairan Kedah daripada musuh.

2. Segala perbelanjaan perang hendaklah ditanggung oleh SHTI.

3. SHTI akan membantu Kedah sekiranya Kedah diserang dari darat oleh musuhnya dan segala perbelanjaan akan ditanggung oleh Kedah.

Baginda tidak puas hati apabila SHTI enggan membayar ganti rugi dan bantuan tentera untuk melindungi Kedah daripada musuhnya iaitu Bugis dan Siam. Hubungan antara Francis Light dan Sultan Abdullah bertambah buruk apabila Light tidak mengambil sebarang langkah untuk memastikan SHTI mematuhi syarat-syarat tersebut.

Sultan Abdullah berasa kecewa atas sikap Light dan membuat rancangan untuk mengambil semula Pulau Pinang. Rancangan itu dapat diketahui oleh Light. Beliau telah bertindak dahulu dengan menyerang dan memusnahkan angkatan tentara Kedah yang berhimpun di Seberang Perai pada bulan April 1791. Sultan Abdullah mengalami kekalahan yang teruk dan terpaksa menandatangani perjanjian damai dengan SHTI pada bulan Mei 1791. Syarat-syarat perjanjian 1791 ialah:

1. Kedah mengakui kedudukan SHTI di Pulau Pinang.

2. Kedah akan menerima elaun tahunan sebanyak Sp$6000 selagi SHTI menduduki Pulau Pinang.

3. British akan membeli bekalan makanan di Kedah tanpa sebarang sekatan atas cukai.

Walau bagaimanapun, perjanjian damai ini tidak menjanjikan sebarang bantuan kepada Kedah untuk menentang musuhnya.

Pengambilan Seberang Perai, 1800

Di bawah pentadbiran Francis Light dan penggantinya, Pulau Pinang telah mengalami kemajuan yang pesat dan membawa kepada pertambahan penduduk. Pertambahan penduduk ini telah menyebabkan Pulau Pinang terpaksa bergantung kepada Kedah untuk mendapatkan bekalan makanan. Akan tetapi, permusuhan masih berterusan di antara SHTI dengan Kedah walaupun selepas Perjanjian Damai 1791. Ini telah menyebabkan Kedah menghalang bekalan makanan ke Pulau Pinang.

Oleh itu, SHTI berasa perlu untuk mengambil Seberang Perai, sebuah wilayah yang bertentangan dengan Pulau Pinang untuk dijadikan kawasan pertanian. Pihak syarikat telah berunding dengan sultan Kedah dan berjaya menandatangani satu perjanjian pada tahun 1800. Syarat-syarat perjanjian 1800 ialah:

1. Sultan Kedah menyerahkan Seberang Perai kepada SHTI.

2. SHTI bersetuju menambahkan ganti rugi daripada Sp$6000 kepada Sp$10000 setahun selagi syarikat menduduki Pulau Pinang.

Perjanjian ini tidak menjanjikan perlindungan kepada sultan Kedah tetapi berjanji akan melindungi pantai Kedah daripada serangan musuh.

Pembukaan Singapura, 1819

Minat untuk membuka Singapura sebagai pusat perdagangan pelabuhan persinggahan bagi kapal-kapal dagangan antara India dan China berlaku selepas Perang Napoleon yang tamat pada tahun 1815.

Selepas tamatnya Perang Napoleon, Jawa dipulangkan semula kepada Belanda pada tahun 1816 dan Melaka pada tahun 1818. Apabila Belanda kembali ke Jawa, mereka mula melaksanakan dasar monopoli perdagangan dan menyekat perdagangan Inggeris di rantau Kepulauan Melayu.

Oleh itu, SHTI telah mengambil langkah untuk memenuhi keperluan-keperluan berikut:

1. Melindung perdagangan Inggeris di Gugusan Kepulauan Melayu.

2. Mencegah perluasan pengaruh Belanda di rantau kepulauan Melayu dan memecahkan monopoli perdagangannya.

3. Menyediakan kemudahan-kemudahan bagi kapal-kapal British yang belayar di antara India dan China berlabuh, membaiki dan melengkapi bekalannya.

4. Mempunyai kedudukan yang sesuai untuk mengumpul hasil-hasil selat untuk ditukar dengan barangan China.

Pada tahun 1818, Gabenor Jeneral India, Lord Hastings, telah menghantar Stamford Raffles untuk mencari pangkalan di Acheh dan Riau. Raffles mendapati kedudukan Singapura yang strategik di pintu masuk Selat Melaka dan Selat Sunda amat sesuai untuk mengawal monopoli perdagangan Belanda. Pada masa itu, Singapura merupakan sebahagian daripda Empayar Johor dan ditadbir oleh Temanggung Abdul Rahman.

Pada bulan Januari 1819, Raffles telah menandatangani satu perjanjian dengan Temenggung Abdul Rahman. Menurut perjanjian ini, SHTI dibenarkan membina loji di Singapura. Sebagai balasan, syarikat berjanji akan melindungi Temenggung dan akan memberi bayaran tahunan sebanyak Sp$3000 kepada Temenggung. Walau bagaimanapun, Raffles masih perlukan kebenaran Sultan Johor. Sultan Johor pada masa itu ialah Sultan Abdul Rahman yang berada di Riau di bawah pengaruh Belanda. Oleh itu, Raffles yakin Sultan Abdul Rahman tidak akan melayan permintaannya untuk membuka sebuah loji perdagangan di Singapura.

Seterusnya, Raffles telah memujuk Temenggung Abdul Rahman supaya melantik Tengku Hussein, putera sulung Sultan Mahmud III sebagai Sultan Johor. Tengku Hussein menerima tawaran itu dan menaiki takhta Kerajaan Johor dengan Sultan Hussein Muhammad Syah. Pada 6 Februsri 1819, Sultan Hussein dan Temenggung Abdul Rahman telah menandatangani perjanjian rasmi dengan Raffles. Menurut perjanjian ini, Singpura diserahkan kepada SHTI. British akan membayar Sp$5000 setahun kepada sultan dan Sp$3000 kepada Temenggung. Selain itu, British juga akan melindungi baginda dan temenggung.

SEJ T6 Pengisytiharaan Inggeris-Siam 1902

Pengisytiharaan Inggeris-Siam 1902

Pengenalan

Antara tahun 1899 dan 1900, Jerman telah beberapa kali cuba mendapatkan Pulau Langkawi walaupun ditolak oleh Siam. Dalam tahun 1900, timbul pula isu Duff di Kelantan menyebabkan hubungan Inggeris-Siam terjejas. Memandangkan keadaan yang demikian British berasa satu rundingan harus diadakan dengan Siam bagi menyelesaikan masalah ini. Hubungan Siam dengan British bertambah runcing apabila Siam mengambil tindakan ke atas Pattani yang cuba melepaskan diri dari kekuasaan Siam. Pada bulan Disember 1901, Setiausaha Negara bagi Tanah Jajahan iaitu Joseph Chamberlin telah mengarahkan Menteri Inggeris di Bangkok mendesak Siam supaya mengadakan rundingan dengan Inggeris. Hasil daripada peranan Frank Swettenham, satu pengisytiharaan telah diadakan pada bulan Oktober 1902.

Sebab-sebab yang membawa kepada pengisytiharaan

1. Kebimbangan campur tangan kuasa asing

Kebimbangan Inggeris terhadap penguasaan kuasa di Negeri-negeri Melayu Utara semakin bertambah. Pada tahun 1901, Inggeris mendengar khabar angin yang ada pihak-pihak tertentu di Pattani dan Kelantan yang cuba mendapat sokongan Jerman untuk membebaskan negeri-negeri itu daripada cengkaman Siam. Antara tahun 1899-1901 kuasa Jerman, Rusia dan Amerika Syarikat pula berusaha untuk mendapatkan hak-hak kewilayahan di Negeri-negeri Melayu Utara. Jerman telah mempergiatkan usahanya pada tahun 1899-1900 untuk memperoleh Pulau Langkawi untuk digunakan sebagai pangkalan laut di Asia Tenggara. Rusia juga berikhtiar memperoleh Ujong Salang (Pulau Phuket) untuk dijadikan sebagai pangkalan arang batu. Amerika Syarikat berusaha untuk mendapatkan konsesi kewilayahan di Terengganu dan pulau-pulau di sekitarnya. Dengan itu, Inggeris berasa bimbang kalau-kalau Siam tunduk kepada tekanan kuasa-kuasa asing ini.

2. Kegiatan R.W. Duff di Kelantan

Dengan keadaan ini, pada tahun 1900, Sultan Kelantan telah bertindak seolah-olah merdeka. Baginda telah memajakkan tanah seluas 2000 batu persegi atau hampir satu pertiga daripada keluasan Kelantan kepada R.W. Duff, seorang saudagar Inggeris tanpa kebenaran daripada Raja Siam. Tindakan Sultan Kelantan ini telah menimbulkan kebimbangan dan kerumitan Inggeris kerana kemungkinan penyerahan serupa akan dibuat kepada kuasa-kuasa asing yang lain. Justeru itu, Siam pula membantah kepada Inggeris tentang perbuatan Duff itu. Pada tahun 1902, Sultan Terengganu menerima permohonan Amerika Syarikat untuk melombong di Pulau Redang. Dalam keadaan ini, Duff meminta sokongan pihak Inggeris bagi menentang bantahan Siam terhadap pajakan tanah itu. Beliau mengancam mendapatkan sokongan Perancis atau Jerman jika Kerajaan Inggeris enggan menyokong hak pajakannya di Kelantan.

3. Rusuhan dalam negeri

Rusuhan dalam negeri akibat daripada dasar Siam untuk mengetatkan kekuasaannya ke atas Negeri-negeri Melayu Utara juga merupakan faktor yang membawa kepada Pengisytiharaan Inggeris-Siam. Raja Abdul Kadir dari Pattani dan Sultan Mahmud IV dari Kelantan telah meminta bantuan Inggeris untuk mengelakkan ancaman dari Siam. Hal ini kerana Raja Abdul Kadir telah dipenjarakan oleh Siam dalam bulan Februari 1902, manakala Sultan Mahmud IV berasa bimbang akan kedudukannya. Kalau Inggeris tidak memberi bantuan, kemungkinan besar mereka akan meminta bantuan daripada kuasa Eropah yang lain.

4. Peranan Swettenham

Pada masa itu, Frank Swettenham ialah Gabenor Negeri-negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Swettenham menyokong kuat tuntutan Duff sebagai alasan untuk meluaskan pengaruh Inggeris di Negeri-negeri Melayu Utara naungan Siam khususnya ke atas Kelantan dan Terengganu. Beliau mencadangkan kepada Kerajaan Inggeris supaya melantik pegawai-pegawai Inggeris yang berkhidmat di Bangkok sebagai penasihat untuk menguruskan hal-ehwal negeri-negeri Kelantan dan Terengganu. Cadangan ini dibuat atas pendapat bahawa Siam tidak berupaya menguruskan hal-ehwal tempatan negeri-negeri Melayu berkenaan dan berkemungkinan besar Siam akan mendapatkan bantuan daripada kuasa-kuasa Eropah yang lain. Sistem penasihat ini diharap akan memelihara kepentingan Inggeris di negeri-negeri tersebut dan juga melindungi negeri-negeri itu daripada ancaman kuasa-kuasa asing yang lain. Cadangan Swettenham mendapat bantahan kuat daripada Siam tetapi beliau telah menggugut akan mengiktiraf Kelantan dan Terengganu sebagai negeri yang bebas jika sekiranya Siam enggan berunding dengan Inggeris untuk menerima cadangan tersebut sebelum bulan September 1902. Siam berasa terancam dengan ugutan ini dan bersetuju menandatangani satu perjanjian baru pada 6 Oktober 1902.

Syarat-syarat Pengisytiharaan

1. Siam akan menguasai hubungan luar negeri-negeri Kelantan dan Terengganu.

2. Siam tidak akan campur tangan dalam hal-ehwal dalam negeri Kelantan dan Terengganu.

3. Penasihat-penasihat berbangsa Inggeris akan dilantik oleh Siam untuk menasihati Sultan Kelantan dan Terengganu dalam semua hal pentadbiran kecuali perkara-perkara yang berkenaan agama dan adat resam orang Melayu.

4. Kelantan dan Terengganu tidak berhak memberi sebarang konsesi kepada orang asing tanpa perakuan Siam.

5. Siam akan menerima 10% daripada pendapatan jika pendapatan Negeri-negeri Melayu Utara naungan Siam melebihi $100000.

Kesan-kesan Pengisytiharaan

1. Pada tahun 1903, Kelantan menerima W.A. Graham sebagai Penasihat Siam dan pada tahun 1905 Kedah menerima Meadows Frost sebagai Penasihat Kewangan.

2. Terengganu enggan mengesahkan perjanjian tersebut dan enggan menerima penasihat Siam.

3. Mengernai Kedah pula, Inggeris cuba menguatkan kedudukannya dengan memulihkan kewangan Kedah melalui pinjaman tambahan kepda Siam. Pihak Siam pula bersetuju berbuat demikian dengan syarat seorang Penasihat Kewangan bangsa Inggeris dilantik untuk menguruskannya. Dengan itu, J.F. Williamson dilantik sebagai Penasihat Kewangan Kedah untuk memulihkan kewangannya.

4. Walaupun persetiaan ini telah menjelaskan kedudukan Kelantan dan Terengganu sebagai negeri naungan Siam tetapi tidak menenangkan fikiran pihak Inggeris. Hal ini kerana pihak Jerman ingin membantu Siam membina jalan keretapi di Siam Selatan.

5. Peringkat akhir yang membawa kepada penguasaan sepenuhnya Inggeris ke atas Negeri-negeri Melayu Utara ialah melalui Perjanjian Bangkok yang ditandatangani pada 9 Julai 1909.

SEJ T6 Penentangan di Terengganu

Penentangan di Terengganu

Pengenalan

Usaha British meluaskan kuasanya di Terengganu menyebabkan rakyat bangkit menentang British antara tahun 1922-1928. Kebangkitan itu berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah. Punca kebangkitan rakyat Terengganu adalah pelaksanaan sistem pentadbiran dan undang-undang bercorak Barat dan cukai-cukai baru yang membebankan rakyat seperti cukai tanah dan pas kerajaan untuk membuka tanah dan mengambil hasil hutan. Pemimpin ulama penentangan ini ialah seorang ulama yang bernama Haji Abdul Rahman Limbong. Penentangan ini bertumpu di Hulu Telemong, Kuala Telemong, Kuala Berang, Alor Limbat dan Tersat.

Kebangkitan tahun 1922 dan 1925

Penentangan terhadap British yang pertama berlaku pada tahun 1922 di Hulu Telemong. Penentangan ini bermula apabila 43 orang rakyat ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membersihkan tanah dan bercucuk tanam tanpa mendapatkan pas kebenaran daripada Kerajaan British. Mereka dibela oleh Haji Abdul Rahman Limbong. Beliau berjaya membebaskan mereka dari tuduhan dengan menitikberatkan undang-undang Islam.

Pada tahun 1925, satu lagi kebangkitan menentang undang-undang British berlaku di Kuala Telemong. Kebangkitan ini disebabkan oleh beberapa orang telah membersihkan tanah kawasan Kuala Telemong untuk bercucuk tanam. Tanah itu adalah kepunyaan Tengku Haji Nik (200 ekar) dan tanah kerajaan yang terbiar (400 ekar). Mereka membersihkan tanah itu tanpa meminta pas kebenaran daripada kerajaan kerana Tengku Haji Nik sendiri yang meminta mereka mengerjakan tanah itu. Kebangkitan ini mendapat sokongan yang kuat daripada ramai rakyat Terengganu. Walau bagaimanapun, tidak berlaku sebarang kejadian buruk dalam kebangkitan tersebut.

Kebangkitan tahun 1928

Peristiwa-peristiwa kebangkitan rakyat Terengganu di Hulu Telemong dan Kuala Telemong pada tahun 1922 dan 1925 telah menambahkan kebencian rakyat terhadap British. Semangat kebangkitan rakyat Terengganu sampai ke kemuncaknya pada tahun 1928 di Kuala Berang.

Penduduk Kuala Berang, Kampung Pelam (Telemong), Tersat dan Dungun telah membuka tanah untuk bercucuk tanam tanpa mengambil pas kebenaran dari pihak British. British mengancam hendak mengambil tindakan ke atas penduduk yang terlibat. Berikutan dengan ancaman itu, penduduk dari kawasan-kawasan tersebut telah berhimpun beramai-ramai untuk bangkit menentang British. Menurut buku “Pemberontakan Tani 1928 di Terengganu”, karangan Timah Hamzah, kira-kira 1000 orang penduduk berkumpul di Tersat, Hulu Telemong pada 21 Mei 1928 dengan tujuan untuk memulakan peperangan terhadap orang kafir.

Pada 23 Mei 1928, penduduk yang berhimpun di Kuala Berang telah menduduki pejabat kerajaan dan memusnahkan balai polis di situ. Pegawai-pegawai British di Kuala Berang terpaksa berundur ke Kuala Terengganu.

Setelah kemenangan awal itu, pejuang-pejuang itu telah menuju ke arah Kuala Terengganu untuk mengadu masalah mereka kepada Sultan Sulaiman. Pada masa itu, Kerajaan British telah menghantar sepasukan polis di bawah pimpinan Dato’ Seri Lela Diraja dari Kuala Terengganu ke Kuala Berang untuk mengawal keadaan. Pasukan polis itu telah bertempur dengan rakyat yang sedang mara di Padang Kachong. Di situ, Dato’ Seri Lela Diraja telah memberi amaran kepada rakyat supaya berhenti dan tidak meneruskan pergerakan. Walau bagaimanapun, kebanyakan tidak menghiraukan amaran tersebut. Akibatnya, pasukan polis telah melepaskan tembakan.

Dengan bantuan polis tambahan dari Negeri-negeri Melayu Bersekutu, British dapat memadamkan kebangkitan rakyat Terengganu. Semua pemimpin yang terlibat ditangkap dan dipenjarakan iaitu Haji Zakaria 7 tahun; Abu Bakar Chinting 10 tahun; Abdullah Jurukka 10 tahun; Mat Tok Pitas 5 tahun dan Lebai Hassan 5 tahun. Penghulu Salleh Pasir Nyior pula telah dibebaskan. Haji Abdul Rahman Limbong juga didapati bersalah tetapi beliau tidak dihukum penjara. Beliau dibuang negeri ke Makkah.

Sebab Haji Abdul Rahman Limbong tidak dipenjarakan ialah beliau dianggap sebagai pemimpin yang sangat berpengaruh dan kehadirannya akan meningkatkan lagi semangat kebangkitan terhadap British. Selain itu, British juga tidak mahu menimbulkan lagi kemarahan penyokong-penyokong beliau sekiranya beliau dihukum penjara. Beliau dihantar ke Makkah juga disebabkan beliau berhasrat pergi ke tanah suci untuk mendalami dan mengajar agama Islam. Haji Abdul Rahman Limbong meninggal dunia di Makkah pada 16 November 1929.

Sabtu, 1 Januari 2011

SEJ TING 6 Penentangan di Sabah dan Sarawak

Penentangan di Sabah

Pengenalan

Seperti Negeri-negeri Melayu di Tanah Melayu, Sabah juga dijajahi oleh British melalui Kompeni Berpiagam Borneo Utara. Di bawah pemerintahan kompeni, rakyat Sabah telah bangkit menentang kerana tindakan pegawai kompeni yang melanggar adat mereka. Antara penentangan yang terkenal ialah penentangan oleh Mat Salleh dan penentangan oleh Antanum.

Penentangan oleh Mat Salleh

Mat Salleh atau Mohammad Salleh ialah seorang pahlawan di Sabah yang bangkit menentang pemerintahan Kompeni Berpiagam Borneo Utara di Sabah. Mat Salleh dilahirkan di Inanam dan berketurunan Bajau-Suluk. Beliau berkahwin dengan seorang puteri Sulu yang bernama Dayang Bandung. Beliau merupakan pembesar di hulu Sungai Sungut dan memerintah kawasannya dengan bebas.

Pada tahun 1894, Mat Salleh telah bangkit menentang Kompeni Berpiagam kerana kompeni campur tangan di kawasannya. Kompeni telah menyerang dan membakar kampung Mat Salleh di Sungai Sugut apabila beliau membuat aduan tentang pergaduhan di antara pegawai British dengan Iban. Kompeni juga telah membina jalan raya dari jalan keretapi merentasi kawasan Ranau yang dikuasai oleh Mat Salleh. Selain itu, kompeni juga mengenakan pelbagai cukai ke atas rakyat dan mengerah buruh paksa.

Pada tahun 1897, Mat Salleh menyerang dan memusnahkan pelabuhan kompeni di Pulau Gaya. Beliau kemudiannya membina sebuah kubu di Ranau untuk meneruskan serangannya. Kompeni membalas dengan menyerang dan memusnahkan kubu Mat Salleh di Ranau. Mat Salleh tidak dapat ditewaskan tetapi beliau terpaksa beundur ke kawasan pedalaman.

Kompeni khuatir Mat Salleh akan menyerangnya lagi. Oleh itu, Pengarah Urusan Kompeni iaitu William Cowie mengesyorkan supaya diadakan perdamaian di antara kompeni dan Mat Salleh. Satu rundingan damai telah diadakan di antara Cowie dengan Mat Salleh. Menurut rundingan damai ini:

a. Mat Salleh dibenarkan mentadbir kawasan Tambunan dengan bebas.

b. Kompeni berjanji memberi pengampunan kepada pengikut Mat Salleh

Kompeni telah memungkiri janjinya. Pada tahun 1897, Kompeni telah membuat keputusan untuk mengambilalih kawasan Tambunan. Mat Salleh sangat marah dan membina sebuah kubu di Tambunan untuk mempertahankan diri. Pada tahun 1900, pasukan kompeni telah menyerang kubu Mat Salleh di Tambunan. Mat Salleh terbunuh dalam serangan tersebut pada bulan Februari 1900.

Penentangan oleh Antanum

Pada tahun 1915, seorang Murut dari kawasan pedalaman Sabah telah bangkit menentang Kompeni Berpiagam Borneo Utara. Orang Murut bangkit menentang kompeni kerana:

a. Mereka dilarang menebas hutan rimba untuk membuka tanah pertanian.

b. Mereka terpaksa membina jalan raya di kawasan pedalaman tanpa dibayar gaji.

c. Mereka percaya bahawa pembinaan jalan raya itu telah mengusir roh nenek moyang dan menimbulkan kemarahan yang akan mengakibatkan kemarau selama 4 tahun.

Kebangkitan orang Murut dipimpin oleh pemimpin murut yang bernama Antanum. Pemberontakan tercetus pada tahun 1915 apabila orang Murut menyerang dan membakar Pensiangan. Kemudian mereka menyerang Rundum tetapi Rundum dapat diselamatkan oleh Kompeni. Oleh itu, pemberontakan ini juga dikenali sebagai Pemberontakan Rundum.

Selepas itu, Antanum dan pengikutnya (seramai 900 orang) telah membina sebuah kubu di Sungai Selangit. Kubu itu diserang oleh askar kompeni. Antanum serta 400 orang pengikutnya telah terkorban. Pemberontakan Rundum tamat selepas kematian Antanum tetapi orang Murut di kawasan pedalaman telah berpindah ke Kalimantan kerana tidak lagi takin terhadap pemerintahan Kompeni.

Penentangan di Sarawak

Pengenalan

Sarawak di bawah pemerintahan Brooke telah berlaku banyak perubahan dari segi politik, ekonomi dan social. Perubahan ini telah menyebabkan penduduk pribumi bangun untuk menentangnya kerana perubahan ini telah melanggar adat dan kepercayaan mereka. Antaranya ialah penentangan oleh Syarif Masahor, Rentap dan Banting.

Penentangan oleh Syarif Masahor

Syarif Masahor dilantik oleh Sultan Brunei sebagai Gabenor Sarikei di Sungai Rajang. Beliau adalah pembesar yang sangat dihormati dan disegani oleh orang Melanau dan Iban. Walau bagaimanapun, kuasa Syarif Masahor telah tergugat apabila James Brooke mengambilalih kawasan Sungai Rajang daripada Sultan Brunei pada tahun 1853. James Brooke kemudian membina sebuah kubu di Kanowit di Sungai Rajang.

Tindakan Brooke telah mencabar kewibawaan Syarif Masahor sebagai pembesar di Sungai Rajang. Syarif Masahor telah berpakat dengan Dato’ Patinggi Abdul Gapur di Kuching untuk menyerang kubu Brooke di Kanowit dan mengusirnya keluar dari Sarawak. Tentera bersekutu Syarif Masahor dan Dato’ Patinggi Abdul Gapur telah menyerang kubu Kanowit dan membunuh 2 orang pegawai Inggeris, iaitu Charles Fox dan Henry Steel.

Pada tahun 1860, angkatan perang Syarif Masahor telah menyerang Kuching tetapi dapat dipatahkan oleh pasukan tentera Brooke di bawah pimpinan Charles Brooke. Syarif Masahor dapat menyelamatkan diri dan berlindung di Brunei. Namun James Brooke telah memaksa Sultan Brunei supaya Syarif Masahor dibuang negeri ke Singapura.

Dengan itu, Syarif Masahor dihantar ke Singapura dan meninggal dunia di situ pada tahun 1890. Dato’ Patinggi Abdul Gapur cuba menyerang Kuching dari Pontianak tetapi beliau ditahan oleh Belanda dan dipenjarakan di Betawi.

Penentangan oleh Rentap

Rentap ialah seorang pahlawan Iban yang bangkit menentang pemerintahan James Brooke di Sarawak. Rentap ialah ketua orang Iban yang sangat berpengaruh di hulu Sungai Sekrang. Beliau digelar “Raja Darat”. Nama sebenar beliau ialah Libau.

Rentap tidak suka kemaraan kuasa Brooke ke kawasan orang Iban. Pada tahun 1853, Rentap menyerang kubu James Brooke di Sungai Sekrang dan membunuh seorang pegawai Brooke yang bernama Alan Lee. Kemudian Rentap meminta sebuah kubu yang kuat di Bukit Sadok di hulu Sekrang. Kubu itu dilengkapkan dengan meriam besi yang besar yang telah dirampas dari Pontianak, Kalimantan. Kubu di Bukit Sadok sangat kuat sehingga serangan Charles Brooke sebanyak 2 kali pada tahun 1854 gagal menawan kubu tersebut.

Pada tahun 1861, Charles Brooke telah menyerang Bukit Sadok dengan sebuah meriam tembaga bernama Bujang Sadok yang dibuat di Kuching. Kali ini, kubu Rentap di Bukit Sadok dapat ditawan oleh Charles Brooke. Rentap berjaya melepaskan diri ke kawasan pedalaman.

Penentangan oleh Banting

Pada tahun 1893, orang Iban di bawah pimpinan Banting bangkit menentang pemerintahan kerajaan Brooke di Sarawak. Banting ialah penghulu Iban di hulu Sungai Batang Lupar di kawasan Hulu Air. Banting menentang Charles Brooke yang cuba menghapuskan adat dan upacara yang diamalkan oleh orang Iban.

Pada tahun 1902, Charles Brooke telagh menghantar satu pasukan tentera untuk menawan Banting tetapi beliau dapat mempertahankan dirinya dan memerintah dengan bebas sehingga tahun 1908. Pada tahun itu, tentera Brooke berjaya menewaskan Banting tetapi gagal menangkapnya. Selepas itu, kuasa Banting semakin lemah dan beliau menamatkan penentangannya terhadap Kerajaan Brooke.

SEJ T 6 Penentangan di Perak

Penentangan di Perak

Pengenalan

Kekacauan yang berlaku di Perak membimbangkan British terhadap campur tangan asing. Akibatnya, Gabenor Negeri-negeri Selat, Andrew Clarke telah mengambil langkah campur tangan di Perak. Hasil usaha beliau, satu rundingan telah diadakan sejak 17 Januari 1874 dan hasil rundingan tersebut, Perjanjian Pangkor ditandatangani pada 20 Januari 1874. Mengikut Perjanjian Pangkor, Sultan Abdullah diiktiraf sebagai Sultan. Baginda bersetuju menerima seorang Residen sebagai penasihat dalam semua hal pentadbiran kecuali adat resam orang Melayu dan hal ehwal agama Islam. Lebih kurang 10 bulan kemudian, J.W.W. Birch telah dihantar sebagai Residen yang pertama pada 1 November 1874. Kehadiran Birch telah menjejaskan kekuasaan dan kewibawaan Sultan dan pembesar dari segi politik, ekonomi dan sosial. Akibatnya, Birch telah dibunuh di Pasir Salak pada 2 November 1875 selepas berada di Perak hanya selama 12 bulan.

Sebab-sebab berlaku Penentangan di Perak

1. Kelemahan Perjanjian Pangkor

Ahli-ahli Sejarah seperti Kennedy, Tregonning dan C.D. Cowan menganggap kelemahan Perjanjian Pangkor adalah sebab utama membawa kepada pembunuhan Birch pada tahun 1875. Perjanjian Pangkor tidak menyelesaikan masalah tentang perebutan takhta Perak antara Raja Abdullah, Raja Ismail dan Raj Yusof. Pembesar Perak dan ramai rakyat Perak tidak mengiktiraf Raja Abdullah sebagai Sultan kerana baginda tidak dilantik mengikut adat resam. Di samping itu, Raja Abdullah tidak mempunyai alat-alat kebesaran yang diperlukan dalam perlantikan Sultan. Ramai pembesar dan rakyat Perak masih menganggap Raja Ismail sebagai Sultan kerana baginda dilantik sebagai Sultan Perak pada tahun 1871 selepas kemangkatan Sultan Ali. Selain itu, Raja Ismail masih lagi menyimpan alat-alat kebesaran diraja yang diterima semasa perlantikannya pada tahun 1871.

Walaupun Perjanjian Pangkor ditandatangani pada 20 Januari 1874, tetapi Birch dilantik sebagai Residen yang pertama pada 1 November 1874, iaitu 10 bulan kemudian. Dalam tempoh tersebut, Sultan Abdullah dan pembesar-pembesar mempunyai kuasa penuh dalam pentadbiran Perak. Kehadiran Birch dirasai oleh Sultan dan pembesar-pembesar yang British cuba mengambil alih semua kuasa pentadbiran Perak. Perlaksanaan sistem Residen juga mendapat tentangan dari Menteri Larut (Ngah Ibrahim). Beliau tidak lagi bebas mentadbir Larut seperti sebelumnya. Semua urusan pentadbiran terpaksa merujuk kepada Kapten Speedy yang dilantik sebagai Penolong Residen.

Bagi British, perlantikan Raja Abdullah sebagai Sultan dianggap sebagai satu kesilapan kerana Raja Abdullah dikatakan tidak mengetahui hal pentadbiran moden. Raja Abdullah dianggap tidak menerima pembaharuan yang cuba dilaksanakan di Perak. Kelemahan Perjanjian Pangkor juga terbukti kerana perjanjian ini tidak mengiktiraf Sultan Ismail kerana beliau amat berpengaruh ketika itu.

2. Kelemahan Birch

Kelemahan Birch juga merupakan faktor yang penting yang membawa kepada berlakunya Perang Perak pada 1874-1875. British menganggap perlantikan Birch sebagai Residen lebih-lebih lagi sebagai Residen Pertama sebagai satu kesilapan. Birch tidak dapat bertutur dalam Bahasa Melayu serta tidak memahami dan menghormati adat resam orang Melayu. Birch merupakan seorang yang degil dan tidak berganjak dari kemahuannya. Beliau tidak berdiplomasi dan tidak bertolak-ansur. Birch mahu melaksanakan pembaharuan secara tergesa-gesa tanpa memikirkan kepentingan Sultan dan pembesar. Kelemahan peribadi Birch ternyata dari peristiwa Ogos 1875 bila Sultan Abdullah serta pembesar-pembesar mengunjungi tempat kediaman dengan tujuan untuk mendapat ganti rugi akibat penghapusan beberapa keistimewaan. Birch dengan biadap menegaskan ganti rugi akan dibayar sekiranya Sultan dan pembesar berhenti memungut cukai di kawasan masing-masing. Kelemahan peribadi Birch lebih ternyata pada Disember 1874 bila beliau membakar rumah Raja Ngah dan Tengku Panglima Besar kerana mereka terus memungut cukai walaupun ditegah oleh Birch. Kennedy dalam bukunya: History of Malaya menganggap Birch sebagai “an idealist in a hurry” kerana mahu melaksanakan pembaharuan secara terburu-buru tanpa memikirkan itu dianggap radikal oleh Sultan dan para pembesar.

3. Pembaharuan-pembaharuan Birch

Pembaharuan-pembaharuan yang cuba dilaksanakan oleh Birch telah menjejaskan kepentingan Sultan dan pembesar sama ada dari segi politik, ekonomi mahupun sosial.

a. Politik

Dari segi politik, Sultan dan pembesar kehilangan kuasa kerana semua urusan pentadbiran dijalankan atas arahan Birch. Keadaan ini menunjukkan Residen lebih berkuasa dari Sultan. Sultan Abdullah yang menganggap kehadiran Birch sebagai Penasihat mendapati Birch bukan menasihatinya tetapi mengeluarkan arahan-arahan yang perlu dipatuhi oleh Sultan dan pembesar-pembesar. Sultan Abdullah yang tidak berpuas hati dengan tindakan Birch telah menulis surat kepada Gabenor Negeri-negeri Selat iaitu Sir Andrew Clarke meminta kuasa Residen dihadkan ataupun ditukar. Jawapan yang diterima amat mengecewakan Sultan Abdullah kerana bukan sahaja suratnya tidak mendapat layanan, malah Andrew Clarke telah arahkan bahawa hubungan antara Sultan dan pembesar dengan Gabenor mesti dibuat melalui Residen. Keadaan ini menunjukkan bahawa Residen lebih berkuasa dari Sultan. Kehadiran Birch menjejaskan kuasa-kuasa pembesar daerah kerana Birch telah melantik pegawai-pegawai British untuk menjalankan pentadbiran daerah. Selain itu, Sultan dan pembesar dilarang menjatuhkan hukuman, lebih-lebih lagi hukuman mati, lebih-lebih lagi kepada orang-orang Melayu. Arahan ini mendapat bantahan Sultan dan pembesar-pembesar kerana ini menjejaskan kekuasaan dan kewibawaan mereka serta kuasa tradisional. Kerajaan British telah mengarahkan bahawa hukuman hanya boleh dijatuhkan oleh hakim-hakim yang dilantik oleh British.

b. Ekonomi

Dari segi ekonomi, pembaharuan British juga telah menjejaskan kepentingan Sultan dan pembesar. Sultan dan pembesar dilarang memungut cukai seperti sebelumnya. Arahan ini menjejaskan pendapatan Sultan dan pembesar kerana Birch tidak membayar ganti rugi akibat penghapusan keistimewaan tersebut. Dalam masyarakat tradisional Melayu, cukai adalah penting bagi Sultan dan pembesar-pembesar. Birch telah mengarahkan bahawa kutipan cukai hanya boleh dijalankan oleh pegawai-pegawai yang dilantik oleh Residen. Kemarahan Sultan Abdullah bertambah apabila Birch membatalkan pajakan memungut cukai kastam bernilai $26 ribu setahun yang diberikan oleh Sultan Abdullah kepada seorang saudagar Cina dari Singapura iaitu Lee Cheng Tee. Sebaliknya, Birch telah memberikan pajakan baru ke atas minuman keras dan candu bernilai $6 ribu sebulan kepada Lee Cheng Tee dan rakan-rakannya kerana salah seorang rakannya telah memberi hutang dengan jumlah yang besar kepada Birch. Tindakan Birch bukan sahaja mendapat tentangan Sultan dan pembesar, tetapi juga gabenor dan pedagang-pedagang Negeri-negeri Selat kerana ia bertentangan dengan arahan.

c. Sosial

Dari segi sosial, Birch telah campur tangan dalam adat resam orang Melayu. Apabila beliau cuba menghapuskan perhambaan yang merupakan adat tradisional orang Melayu. Dalam masyarakat Melayu tradisional, perhambaan merupakan lambing status yang menentukan kekuasaan dn kewibawaan Sultan dan pembesar dari segi politik, ekonomi dan sosial. Birch hanya membebaskan hamba-hamba perempuan sahaja. Tindakan beliau melindungi hamba-hamba perempuan di kemudiannya yang terdapat ramai tentera telah mencurigakan Sultan dan para pembesar. Perasaan curiga mereka bertambah apabila Birch menyeludup 2 orang hamba perempuan berketurunan Melayu, berpakaian Cina ke Pulau Pangkor. Hubungan Sultan Abdullah dan Birch bertambah runcing apabila Birch enggan memulangkan 2 orang hamba perempuan Sultan Abdullah yang malarikan diri ke kediaman Birch pada Oktober 1875. Kemarahan Sultan terhadap tindakan Birch bukan sahaja kerana mereka menjadi tuan kepada hamba tetapi kerana tindakan Birch bertentangan dengan syarat Perjanjian Pangkor yang berkaiatan dengan adat resam orang Melayu.

4. Tindakan Sir William Jervais

Tindakan Sir William Jervais yang menggantikan Andrew Clarke sebagai Gabenor Negeri-negeri Selat pada Mei 1875 juga membawa kepada berlakunya Perang Perak 1875. Selepas melawat Perak, William Jervois tidak puas hati terhadap pentadbiran Birch secara tidak langsung di Perak. Beliau mahukan pentadbiran British dijalankan secara langsung di Perak di mana pentadbiran dijalankan oleh pegawai-pegawai British. Beliau mahukan Sultan dan pembesar dibayar wang persaraan supaya menyerahkan kekuasaan kepada British. Pada 2 Oktober 1875, Sultan Abdullah telah dipaksa untuk menandatangani perjanjian menyerahkan pentadbiran kepada British. Beliau telah mengugut sekiranya beliau enggan menandatangani perjanjian tersebut, Sultan Abdullah akan disingkirkan dan Raja Yusof akan dilantik sebagai Sultan. Akibatnya, Sultan Abdullah terpaksa menandatangani persetujuan tersebut.

Peristiwa Pembunuhan J.WW. Birch

Kemarahan Sultan Abdullah dan pembesar-pembesar sampai kemuncaknya menjelang akhir tahun 1875 dan keputusan diambil untuk membunuh Birch. Pada 20 Julai 1875, satu perjumpaan telah diadakan di Durian Sebatang yang dihadiri oleh pembesar-pembesar Perak atau wakilnya kecuali Raja Yusof. Dalam pertemuan itu, Dato’ Maharaja Lela dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan tugas tersebut. Raja Ismail menyatakan persetujuannya untuk membantu Dato’ Maharaja Lela. Sebagai persiapan, Raja Abdullah dan Raja Ismail telah menyediakan alat-alat senjata yang dibeli dari Pulau Pinang.

Selepas beberapa hari dari peristiwa perjumpaan di Durian Sebatang, hubungan Sultan Abdullah dengan British menjadi genting. Pada 24 Julai 1875, pihak British mengugut Raja Abdullah jika baginda tidak mengikut arahan mereka. Pada 2 Oktober 1875, Sultan Abdullah dipaksa untuk menyerahkan kuasa pentadbiran kepada British. Birch ditugaskan untuk mengumumkan perubahan sistem pentadbiran tersebut. Beberapa hari selepas persetujuan itu, Sultan Abdullah memerintah Dato’ Maharaja Lela membunuh Birch.

Sungguhpun telah diketahui adanya komplot membunuh Birch, namun rancangan tetap dilaksanakan. Swettenham ditugaskan untuk membantu Birch dan beliau bertolak dari Singapura pada 23 Oktober 1875. Swettenham ditugaskan di bahagian Hulu Perak sementara Birch di Hilir Perak. Mereka bertolak dari Bandar Bahru dan akan bertemu di Pasir Salak pada 30 November 1875.

Pada 27 Oktober 1875, Birch telah menampal pengisytiharaan itu di rumah dan kemudian belayar ke Pasir Salak. Pada 1 November 1875, Birch bersama keraninya Mat Arshad telah tiba di Pasir Salak. Ketibaan beliau mendapat tentangan hebat daripada Dato’ Maharaja Lela. Pada 2 November 1875, Birch ditikam oleh orang suruhan Dato’ Maharaja Lela, iaitu Pandak Induk dan Seputum ketika Birch mandi di Sungai Pasir Salak.

4 November 1875, Swenttenham di Blanja menerima peristiwa pembunuhan. Dengan pertolongan beberapa orang Melayu, beliau berjaya menyelamatkan diri.

Perang Perak 1875-1876

Pembunuhan Birch telah mengemparkan pihak British.

15 November 1875, tentera British dari Pulau Pinang menyerang Pasir Salak. Dato’ Maharaja Lela mengundurkan diri ke Blanja. Kemudian, tentera tambahan British dari Hong Kong di bawah perintah Major Jeneral Calalborne menawan Pasir Salak. Dari India, tentera di bawah Brig. Jeneral J. Rose menawan Kuala Kangsar.

Sebelum tentera British menawan Blanja, Dato’ Maharaja Lela dan Raja Ismail berundur ke Kinta. Dari Kinta mereka bergerak menuju Kota Lama. British menawarkan hadiah kepada sesiapa yang menangkap orang yang dikehendaki iaitu $6 ribu untuk Maharaja Lela dan $3 ribu untuk Dato’ Sagor dan Pandak Induk.

Pada pertengahan Januari 1876, Raja Ismail meminta bantuan dari Kedah. Pada akhir bulan Mac, baginda menyerah diri dan dihantar ke Singapura kemudian Johor. Dalam bulan yang sama, Dato’ Sagor ditawan di Bandar Bahru sementara pada Julai 1876, Dato’ Maharaja Lela menyerah diri. Dengan ini semua orang yang terlibat dalam pembunuhan Birch ditangkap.

Dengan itu, suatu perbicaraan diadakan dan keputusannya ialah:

a. Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Sagor, Pandak Induk dan Seputum dihukum gantung sampai mati di Matang pada 20 Januari 1877.

b. Cik Gondoh, Ngah Ahmad Ngah Jabbar, Panjang Nur dan Cik Ali dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

c. Sultan Abdullah, Ngah Ibrahim, Dato’ Laksamana dan Dato’ Syahbandar dibuang ke Pulau Seychelles di Lautan Hindi.

d. Raja Ismail dipindah ke Johor.

e. Raja Yusof dilantik sebagai Sultan.

Perang Perak ini akhirnya berkesudahan dengan kemenangan British. Kemenangan ini membolehkan British meneruskan sistem Residen dan memajukan ekonomi Perak tanpa halangan.