CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Ahad, 7 Februari 2021

KESAN KONFLIK DAN KESIMPULAN

 

PEPERANGAN AKAN MERUGIKAN SEMUA PIHAK YANG TERLIBAT SEPERTI YANG DINYATAKAN PERPATAH MELAYU

“KALAH JADI ABU, MENANG JADI ARANG.”

APAKAH KESAN TERHADAP TAMADUN MANUSIA PADA MASA HADAPAN JIKA BERLAKU PERANG DUNIA SEKALI LAGI?

Jika berlaku Perang Dunia sekali lagi, ia adalah merupakan Perang Dunia Ketiga. Perang

ini akan melibatkan lebih banyak negara. Hal ini kerana negara-negara kuasa tentera tidak lagi tertumpu di Barat tetapi juga dimiliki negara-negara di pelbagai belahan dunia seperti India, Pakistan, Iran, Israel, Korea Utara dan China. Penglibatan lebih banyak negara dalam perang dunia menyebabkan peperangan yang akan terjadi semakin tersebar dan meluas. Hal ini pastinya menimbulkan kesan yang lebih besar.

Teknologi persenjataan tinggi yang dimiliki setiap negara akan menyebabkan

kemusnahan terhadap alam sekitar. Semasa berlaku Perang Dunia Kedua, senjata terhebat

yang dimiliki manusia ialah bom atom yang telah digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki oleh Amerika Syarikat. Pada hari ini manusia telah memajukan senjata yang lebih hebat kesannya iaitu bom nuklear. Senjata pemusnah bom nuklear bukan sahaja memusnahkan setiap kehidupan bernyawa tetapi juga menjadikan alam sekitar musnah dan tidak lagi sesuai ditempati untuk kehidupan kerana pencemaran radiasi yang tinggi bagi tempoh yang lama. Bencana loji nuclear di Chernobyl, Russia saja misalnya telah menjadikan tempat tersebut tidak lagi dihuni oleh manusia hari ini.

Antara negara yang memiliki senjata nuklear pada hari ini ialah Amerika Syarikat, Britain,

Perancis, India, China, Israel dan Pakistan. Iran dan Korea Utara pula sedang berusaha untuk memilikinya. Senjata nuklear yang dimiliki ini mampu dilancarkan dalam jarak yang jauh melalui peluru berpandu. Ini bermakna peperangan pada masa hadapan bukan lagi peperangan secara bersemuka tetapi melibatkan peperangan antara benua. Serangan daripada satu pihak pastinya akan dibalas oleh pihak yang lain. Faktor inilah yang menyebabkan pihak yang terlibat serta pihak yang tidak terlibat dalam peperangan akan menanggung akibatnya iaitu kemusnahan dunia.

 

Penggunaan kapal selam, satelit, jet pejuang berkelajuan tinggi, kapal pengangkut, dan

sebagainya mampu menjadikan peperangan jarak jauh berlaku dengan pantas serta

mempunyai kesan yang besar. Sebahagian senjata-senjata ini belum digunakan dalam perang dunia sebelumnya. Selain itu senjata kimia dan senjata biologi yang dimiliki setiap negara pada hari ini mampu mensasarkan kematian yang tinggi kepada manusia.

Jelaslah bahawa jika berlaku perang dunia sekali lagi, ia akan memusnahkan tamadun

manusia yang ada pada hari ini. Hal ini berlaku kerana ia akan melibatkan lebih banyak Negara serta penggunaan senjata yang mampu memberikan kesan kemusnahan yang lebih besar terhadap bumi sebagai tempat tinggal manusia. Akhirnya tamadun manusia akan lenyap.

 

APAKAH KEPENTINGAN SIKAP TOLERANSI/

KERJASAMA/ HORMAT-MENGHORMATI ANTARA NEGARA

DALAM MEWUJUDKAN SEBUAH DUNIA YANG AMAN?

 

Sikap toleransi dan kerjasama perlu wujud antara negara dapat membentuk struktur

dalam komuniti antarabangsa. Ini dapat dilakukan melalui pembentukan dasar luar untuk

memelihara dan mempertahankan kepentingan politik, keselamatan dan ekonomi serta

kepentingan utama yang lain. Ini dapat menggalakkan kewujudkan persekitaran serantau dan antarabangsa yang harmoni yang akan memberi ruang kepada setiap negara mencapai matlamat masing-masing tanpa gangguan daripada ancaman luar.

Sikap saling menghormati antara negara juga penting bagi memastikan setiap

perbincangan dan interaksi dapat dilaksanakan dengan efektif dan telus. Sikap ini juga perlu untuk tidak membantutkan usaha-usaha ke arah persepakatan dan kerjasama. Ini kerana dalam keadaan tegang atau wujudnya ketidaksefahaman, sebarang masalah tidak dapat diselesaikan. Contohnya konflik di Timur Tengah seperti konflik Palestin-Israel yang menemui jalan buntu.

Sikap toleransi dan hormat menghormati juga penting bagi menjaga hubungan antara

kuasa besar dengan negara seperti hubungan Malaysia-Amerika Syarikat. Ia dilakukan bagi

mengintimkan dan mengeratkan hubungan kedua-dua negara. Ini ditunjukkan semasa Perang Dingin antara Amerika Syarikat-Rusia dan China, Amerika dilihat sebagai pelindung kepada negara kecil Malaysia. Rakyat dan pemimpin antara kedua-dua negara saling mengunjungi. Ini menunjukkan hubungan yang baik dan progresif antara kedua-dua belah pihak hasil daripada sikap bertoleransi dan saling menghormati antara satu sama lain.

Kepentingan semangat kerjasama ialah bagi membolehkan setiap negara di dunia

memahami antara satu sama lain. Masyarakat dunia dapat mempelajari perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain. Mereka juga dapat memahami sensitiviti agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Dengan adanya semangat kerjasama, dapat membentuk masyarakat dunia yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.

 

PENUTUP / KESIMPULAN

 

Sejarah peradaban manusia sejak dari awal kewujudannya sentiasa dipenuhi konflik.

Sehingga hari ini kita terus mengulangi konflik tersebut. Manusia perlu membatasi konflik ini agar

tidak mengancam dan memusnahkan kehidupan manusia sejagat.

Kehidupan manusia pada era moden hari ini jauh berbeza dengan kehidupan pada masa

lalu. Kehidupan pada hari ini jauh lebih aman kerana kesedaran manusia tentang bahaya

peperangan yang akan datang serta peranan pencegahan melalui undang-undang

antarabangsa.

Namun begitu ia hanyalah seperti bom jangka yang menunggu masa untuk meledak.

Hayat kehidupan manusia di bumi sangat bergantung kepada sejauhmanakah manusia dapat mengelakkan perang dunia daripada tercetus pada masa hadapan.

Jika perang dunia berlaku maka itu adalah peperangan yang terakhir. Setelahnya,

manusia tidak perlu lagi berperang kerana manusia itu sendiri sudah tidak wujud.

Tiada ulasan:

Catat Komen