CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Selasa, 9 Februari 2021

BM KARANGAN = KENAIKAN HARGA BARANG

 

SPOT: KARANGAN TUNDINGAN BAHAGIAN B

  1. Peranan Ahli Keluarga Menangani Masalah Kenaikan Harga Barang (Langkah-Langkah)

Isu kenaikan harga barang telah mendapat reaksi yang berbagai-bagai daripada penduduk tempatan. Media massa juga sering memaparkan berita ini. Bagi golongan berpendapatan tinggi, mereka mungkin tiada masalah tetapi bagi golongan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, mereka akan mengalami masalah untuk membeli barang keperluan. Sehubungan dengan itu, isu kenaikan harga barang ini telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan penduduk tempatan mahupun yang kaya, sederhana dan miskin. Hal ini menyebabkan kehidupan mereka terjejas dan mereka tidak dapat membeli barangan yang mereka perlukan. Hal ini tidak boleh dipandang ringan. Rakyat mestilah mempraktikkan langkah-langkah untuk menangani masalah kenaikan harga barang. Dengan cara ini sahaja mereka dapat menjalani kehidupan yang serba cukup. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang dapat diambil oleh setiap ahli keluarga untuk menangani masalah kenaikan harga barangan?

           Salah satu langkah yang dapat diambil oleh setiap hari keluarga untuk menangani masalah kenaikan harga barangan ialah setiap ahli keluarga hendaklah mengamalkan sikap menabung. Amalan ini memerlukan mereka menyimpan sebanyak 20 peratus daripada pendapatan bulanan mereka. Mereka perlu mendisiplinkan diri dapat menggunakan tabungan pada waktu kecemasan bak kata pepatah sediakan payung sebelum hujan. Dengan kata lain, mereka tidak perlu berhutang apabila mengalami krisis kewangan. Sesebuah keluarga juga tidak perlu melakukan catuan makanan apabila tidak mempunyai wang yang cukup kerana mereka masih mempunyai wang tabungan. Jelaslah bahawa, mengamalkan sikap menabung merupakan salah satu langkah untuk menangani masalah kenaikan barangan. 

 

           Seterusnya, langkah yang dapat diambil oleh setiap ahli keluarga untuk menangani masalah kenaikan masalah kenaikan harga barangan ialah ibu bapa mestilah menjadi suri teladan kepada anak-anak dengan berhemat ketika berbelanja.  Oleh hal yang demikian, ibu bapa hendaklah merancang perbelanjaan untuk membeli barang keperluan. Contohnya, ibu atau bapa hendaklah pergi ke beberapa buah kedai yang berlainan untuk melihat-lihat harga barang sebelum membelinya. Mereka hendaklah membeli barang di kedai yang menjual barangan pada harga yang lebih berpatutan dan murah. Amalan ini dapat menjimatkan wang mereka daripada membeli barangan pada harga yang mahal sedangkan terdapat kedai yang menjual barangan tersebut pada harga yang lebih murah. Terbuktilah bahawa, berhemat dalam berbelanja juga merupakan salah satu langkah untuk menangani masalah kenaikan harga barangan. 

          Di samping itu, langkah yang dapat diambil oleh setiap ahli keluarga untuk menangani masalah kenaikan harga barangan ialah anak-anak hendaklah mengamalkan sifat berjimat-cermat dalam berbelanja. Amalan ini dapat dilaksanakan dengan mengurangkan perbelanjaan. Hal ini demikian kerana, jika suatu ketika dahulu kita berbelanja sebanyak 90 peratus daripada wang gaji, kita mestilah mengurangkan perbelanjaan tersebut kepada 50 atau 60 peratus sahaja. Dalam hal ini, anak-anak memainkan peranan penting kerana mereka selalu membeli makanan-makanan ringan seperti keropok dan coklat dalam jumlah yang banyak tanoa mengambil kira tarikh tamat tempoh makanan tersebut. Dalam erti kata lain, terdapat juga anak-anak yang membeli makanan tersebut tetapi mereka langsung tidak mahu menjamahnya .  Hal  ini akan menyebabkan duit yang dibelanjakan terbazir begitu sahaja. Jelaslah bahawa, amalan berjimat-cermat merupkan salah satu langkah untuk menangani masalah kenaikan harga barangan. 

              Akhir sekali, langkah yang dapat diambil oleh setiap ahli keluarga untuk menangani masalah kenaikan harga barangan ialah ibu bapa perlu mendidik anak-anak dengan mengutamakan barang keperluan melebihi kehendak mengikut hawa nafsu. Konsep ini memerlukan setiap ahli keluarga terutamanya anak-anak untuk membeli barangan yang benar-benar diperlukan sahaja dalam kehidupan seharian. Mereka tidak perlu mengamalkan amalan bermewah-mewah atau menunjuk-nunjuk. Apabila amalan ini dilaksanakan, kewangan sesebuah keluarga pasti menjadi stabil. Cara berbelanja dengan mengikut hawa nafsu akan membawa padah. Sebaliknya, kita diseru supaya berbelanja mengikut kemampuan sendiri ibarat mengukur baju di badan sendiri. Terbuktilah bahawa, membeli mengikut keperluan juga merupakan salah satu langkah yang dapat dapat diambil untuk menangani masalah kenaikan barangan. 

             Kesimpulannya, terdapat banyak langkah yang dapat diambil oleh setiap ahli keluarga untuk menangani masalah kenaikan harga barangan. Setiap ahli keluarga masing-masing memainkan peranan penting bagi menangani masalah ini. Oleh itu, kita perlulah mencari alternatif untuk menyelesaikan masalah kenaikan barang supaya tidak terjerumus dengan masalah hutang keliling pinggang. Sebagai pengguna yang bijak, berhematlah ketika berbelanja, belilah mana-mana yang perlu sahaja. Amalan berimat-cermat merupakan amalan mulia sedangkan membazir itu merupakan amalan syaitan. Janganlah kita mengalami kesukaran di kemudian hari kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Tiada ulasan:

Catat Komen