CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Selasa, 9 Februari 2021

KARANGAN SPM KELUARGA BAHAGIA

 

  1. Peranan Ibu Bapa dalam Melahirkan Keluarga Bahagia

 

Keluarga ialah satu kumpulan manusia yang dihubungkan melalui pertalian darah, perkahwinan atau penjagaan di mana para anggotanya tinggal di suatu tempat di bawah suatu atap dalam keadaan saling bergantungan. Keluarga merupakan suatu institusi yang amat penting daripada sesebuah masyarakat. Daripada keluarga, wujudnya sifat kasih-sayang di antara manusia. Rumah tangga yang bahagia dapat melahirkan insan yang akan berjaya di dunia serta akhirat. Seseorang yang dibesarkan dalam  keluarga yang bahagia akan sentiasa berasa dirinya dihargai. Tidak lupa juga, dirinya akan sentiasa diberikan sokongan moral dalam apa-apa jua perkara yang dilakukannya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa merupakan tonggak kepada keluarga yang bahagia. Sekiranya mereka tidak menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Tuhan, pasti sahaja rumah tangga akan berpecah-belah seterusnya keluarga bahagia tidak dapat diwujudkan. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam melahirkan keluarga bahagia?

Antara peranan ibu bapa dalam melahirkan keluarga bahagia ialah ibu bapa perlulah menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana, ibu bapa akan menjadi model ikutan kepada anak-anak. Hal ini bermaksud segala tingkah laku ibu bapa akan dicontohi oleh anak-anak. Oleh yang demikian ibu bapa perlulah sentiasa menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa tidak bergaduh di hadapan anak-anak, bercakap dengan lemah-lembut dengan anak-anak dan saling menghormati antara satu sama lain. Kesannya, mereka akan mengikuti perkara baik yang telah dilakukan oleh ibu bapa mereka kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Namun begitu, sekiranya ibu bapa menunjukkan sikap negatif kepada anak-anak seperti sentiasa bertengkar, maki hamun serta penderaan anak-anak pasti akan merasa kesannya juga. Mereka akan cuba untuk pulang lewat ke rumah atau melepak bersama-sama rakan sehingga lewat malam. Pada dasarnya, ibu bapa seharusnya menunjukkan sikap yang baik kepada anak-anak supaya kehidupan anak-anak menjadi lebih bahagia.

Selain itu, ibu bapa perlulah mencurahkan kasih-sayang kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana, anak-anak merupakan kurnian Tuhan yang tidak ternilai. Naluri mereka mudah untuk memberontak tetapi anak-anak mula membentuk keyakinan kepada persekitaran mereka. Dalam konteks ini ibu bapa perlulah mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan kesabaran. Sebagai contoh, ibu bapa tidak terlalu mengejar kemewahan dengan bekerja sehingga lewat maam sehingga tiada masa untuk diluangkan bersama dengan anak-anak. Seballiknya, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak makan angin di destinasi-destinasi yang menarik di dalam mahupun luar negara. Hal ini menyebabkan anak-anak merasakan diri mereka dihargai dan disayangi . Tambahan pula, perkembangan emosional dan fizikal mereka tidak akan terbantut. Anak-anak akan patuh kepada nasihat yang diberikan oleh ibu bapa mereka. Mereka tidak akan mudah memberontak. Tegasnya di sini, sebelum nasi menjadi bubur ibu bapa perlulah memberikan kasih-sayang kepada anak-anak dengan secukupnya supaya mereka tidak akan melakukan perkara yang akan merugikan diri mereka sendiri.

Seterusnya, ibu bapa perlulah memberikan didikan agama dan moral yang sempurna kepada anak-anak. Hal ini disebabkan oleh agama merupakan tunjang atau asas keperibadian anak-anak. Misalnya, ibu bapa memastikan anak-anak mereka memperoleh didikan yang sewajarnya. Dalam hal ini didikan agama dan pemupukan nilai ketimuran haruslah bermula dari peringkat akar umbi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa bertanggungjawab untuk melatih anak-anak dengan budaya hidup beragama Islam serta menghantar anak-anak mengikuti kelas-kelas pengajian agama. Usaha ini menyebabkan terbentuknya kerohanian yang mantap dalam diri anak-anak. Anak-anak juga akan sentiasa sopan dan menghormati orang tua mereka serta saling bekerjasama sesame adik-beradik. Kurang pergaduhan yang akan berlaku akibat daripada sifat ketidakpuasan hati mahupun salah faham. Jelaslah bahawa, didikan agama dan moral dapat mewujudkan keluarga yang harmoni serta sentiasa bekerjasama.

Akhir sekali, ibu bapa hendaklah bertanggungjawab terhadap kebajikan anak-anak mereka. Hal ini membawa konotasi bahawa anak-anak yang kurang kebajikan biasanya cenderung untuk menjadi anak-anak yang nakal dan kurang berdisiplin. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu menyediakan keprerluan asas anak-anak bagi menjamin keselesaan kepada mereka. Contohnya, tempat tinggal yang kondusif, pakaian yang bersesuaian serta makanan dan minuman yang berkhasiat perlulah disediakan oleh ibu bapa. Di samping itu, ibu bapa juga perluah menyediakan bilik yang sesuai dan selesa untuk kemudahan anak-anak belajar. Pada masa yang sama, ibu bapa mengetahui perkembangan pelajaran anak-anak di sekolah dan meluangkan masa untuk berkomunikasi dengan anak-anak. Hal ini dapat merangsang perkembangan diri yang seimbang kepda anak-anak. Sejajar dengan itu, anak-anak akan lebih suka meluangkan masa bersama dengan keluarga dan duduk di rumah. Secara ringkasnya, ibu bapa perluah memberikan keperluan asas kepada anak-anak supaya anak-anak berasa selesa.

Kesimpulannya, keluarga yang harmoni dan bahagia hanya akan dapat diwujudkan jika setiap individu yang menganggotainya telah melalui pelbagai proses pemupukan kejiwaan yang berkesan sejak kecil lagi. Kesediaan setiap anggota untuk bersedia berkorban dan bertolak ansur sesama mereka akan memudahkan proses pemupukan keluarga harmoni dan bahagia ini. Sesungguhnya keluarga bahagia merupakan asas pembentukan masyarakat yang penyayang dan masyarakat yang maju. Pembentukan masyarakat yang penyayang akan dapat direalisasikan apabila setiap anggota keluarga memainkan peranan mereka masing-masing untuk membentuk keluarga bahagia kerana Rumahku Syurgaku.

1 ulasan:

  1. Salam Cikgu. Mohon izin untuk dikongsi dengan anak didik saya ya cikgu

    BalasPadam