CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Ahad, 7 Februari 2021

BAGAIMANA KONFLIK DAPAT DIELAKKAN. MENGAPA ?

 

BAGAIMANAKAH PERANG DUNIA PADA

MASA HADAPAN DAPAT DIELAKKAN?

 

Perang dunia pada masa hadapan dapat dielakkan dengan mengambil pendekatan

berunding dalam menyelesaikan konflik antara sesebuah negara. Hal ini kerana melalui

perundingan, pemimpin kedua-dua belah pihak boleh duduk semeja dan berusaha untuk mencari jalan keluar bagi mengatasi konflik yang dihadapi. Perbincangan yang melibatkan golongan pemimpin ini pasti akan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit.

Melalui perundingan, sesuatu pelan damai dapat dicari untuk menyelesaikan konflik antara negara bagi mengelak berlakunya peperangan.

 

Langkah seterusnya adalah dengan menjalin hubungan diplomatik dengan negara

luar. Semua negara di dunia perlulah menjalin hubungan yang baik demi kebaikan dan

kepentingan bersama. Hubungan ini boleh dieratkan dalam semua bidang termasuk bidang

politik, perdagangan dan pelancongan. Contohnya melalui perkongsian budaya, pertukaran

teknologi, dan penyertaan dalam pertandingan sukan. Cara ini dapat menjamin kestabilan politik  sesebuah negara seterusnya menyumbang kepada keamanan dunia. Hubungan ekonomi dapat diperkukuh memandangkan ekonomi antarabangsa saling melengkapi antara satu sama lain. Melalui hubungan diplomatik yang baik, setiap negara akan bekerjasama antara satu sama lain dan secara tidak langsung akan wujud sikap saling menghormati kedaulatan negara lain.

 

PBB juga hendaklah menggubal undang-undang persenjataan global dan

mengetepikan kepentingan mana-mana pihak. Sehingga kini, badan dunia ini tidak mampu

menyelesaikan masalah dunia seratus peratus kerana badan ini dipengaruhi oleh negara yang memiliki kuasa veto. Contohnya Amerika Syarikat sering menggunakan kuasa veto membantu tindakan Israel menyerang negara Palestin. Justeru itu, reformasi perlu dilakukan kepada PBB agar dapat menangani permasalahan negara dunia terutama negara-negara kecil seperti Palestin.

 

Memupuk dan menyemai budaya cintakan keamanan dan membenci peperangan di

peringkat kanak-kanak dan orang ramai boleh dilakukan melalui program-program tertentu. Contohnya melancarkan “Pameran Keamanan” dan kempen untuk menjadikan perang sebagai jenayah. Semua masyarakat dunia perlu menganggap pembunuhan secara beramai-ramai dalam perang sebagai satu jenayah dan mereka yang melancarkan peperangan perlu dihukum dengan hukuman yang berat. Dalam hal ini, media massa, media cetak dan media sosial perlu memainkan peranan yang lebih berkesan dalam usaha menyedarkan rakyat tentang kesan-kesan buruk peperangan. Program-program cintakan keamanan ini perlu disebar luas bagi memberi mesej kepada masyarakat dunia tentang pentingnya kita menolak peperangan kerana peperangan bukan penyelesaian kepada sesuatu konflik.

 

MENGAPAKAH KONFLIK DUNIA PERLU DIELAKKAN?

 

Saat ini di segenap ceruk dunia terdapat sahaja konflik dan peperangan. Konflik dunia

perlu dielakkan kerana ia bakal mencetuskan peperangan besar seperti Perang Dunia

Pertama. Sekiranya berlaku konflik, ia akan mempengaruhi secara langsung politik dan dasar luar negara, ekonomi serta perdagangan antarabangsa. Pertembungan Amerika Syarikat dan China misalnya jika gagal dibendung dapat menjejaskan keamanan dunia.

Kenaikan harga bahan api adalah kesan kepada konflik di peringkat antarabangsa

melibatkan dua atau lebih negara yang terlibat. Ia mendorong kepada kenaikan kos pengeluaran barangan dan perkhidmatan. Ini akhirnya akan membawa kepada masalah ekonomi dan inflasi.

 

Konflik dunia yang berterusan akan mencetuskan masalah pelarian. Konflik di beberapa

buah negara seperti Syria dan Myanmar menyebabkan majoriti daripada mereka tidak

mempunyai pilihan sehingga terpaksa keluar dari negara asal. Fakta yang dilaporkan oleh agensi pelarian PBB menunjukkan 26 juta orang pelarian mendapatkan perlindungan di negara lain.

 

Konflik hanya akan membawa lebih ramai golongan masyarakat terjerumus kepada

kesan yang lebih buruk termasuklah masalah mental. Kesan psikologi mula dilihat selepas

perang dunia seperti trauma, ketakutan dan mudah marah atau rasa terancam. Contohnya,

pengeboman Hiroshima dan Nagasaki telah memberi kesan psikologi kepada masyarakat Jepun khususnya dan masyarakat dunia secara amnya.

Justeru itu, usaha kolektif, holistik dan bersepadu oleh semua pihak diperlukan bagi

memberi tekanan kepada negara yang terlibat untuk segera menghentikan konflik.

Tiada ulasan:

Catat Komen