Soalan:Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memupuk budaya membaca dalam diri anak-anak.
Huraikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.
Peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya memberikan bukti yang jelas akan peranan utama ibu bapa dalam aspek pembacaan anak-anak. Ibu bapa menjadi tunggak atau pendorong utama dalam memupuk sikap membaca generasi muda kita kelak. Maka, pelbagai peranan yang mampu dilaksanakan oleh ibu bapa dalam menyelesaikan isu ini.
Ibu bapa perlulah menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak dalam aspek ini. Mereka perlulah sendiri mengamalkan sikap membaca dengan jelas seperti membaca semua bahan-bahan penting seperti akhbar atau bersama-sama membaca bersama anak mereka. Contoh yang diberikan oleh ibu bapa ini sudah pasti akan tertanam dalam dalam sanubari anak-anak mereka lalu menjadi satu tabiat positif pula.
Malah, ibu bapa boleh membelikan bahan-bahan bacaan yang bersesuaian dengan peringkat umur anak mereka. Bahan bacaan ini tidak semestinya merupakan bahan bacaan sekolah sahaja tetapi mungkin bacaan umum. Kepelbagaian bahan bacaan ini mampu memberikan satu dimensi pengetahuan yang unik kepada anak selain memupuk sikap membaca mereka.
Malahan, satu sudut khas untuk menyimpan buku atau ruang membaca harus disediakan di rumah oleh ibu bapa. Ruang atau bilik ini perlulah dilengkapi dengan pelbagai jenis buku dan kerusi serta meja untuk menjadikan suasana membaca lebih selesa. Bilik ini boleh menjadi tempat anak-anak menghabiskan masa lapang mereka dengan begitu berfaedah.
Tambahan pula, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak mereka menyimpan wang untuk membeli buku. Setiap hujung bulan ibu bapa boleh membawa anak ke kedai buku dan membenarkan mereka membeli buku-buku yang mereka suka. Mungkin juga ibu bapa boleh memberi sedikit bantuan kewangan jika harga buku yang dibeli oleh anak itu melebihi daripada wang yang mereka kumpul sebelum ini sebagai tanda menghargai sikap membaca mereka itu.
Kesimpulannya, amalan membaca membolehkan pelbagai jenis ilmu diperoleh oleh generasi muda kita. Peranan dan sikap ibu bapa amat penting dalam memupuk sikap membaca ini kerana merekalah yang menjadi teladan kepada anak-anak. Sikap membaca yang tinggi juga mampu menjadikan warga masyarakat kita satu kelompok masyarakat yang berilmu tinggi kelak.
Soalan 2: Peranan Ibu Bapa Mengatasi Masalah Sosial Remaja
Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan penemuan seorang bayi yang baru lahir dalam bilik air di sebuah sekolah menengah di Gurun. Apa yang lebih menyedihkan ialah masalah ini melibatkan golongan remaja yang diharapkan bakal mencorak kegemilangan negara kelak. Pelbagai strategi telah dijalankan oleh pihak kerajaan dalam usaha untuk membendung masalah ini. Namun, masalah ini masih gagal diatasi. Dalam hal ini, ibu bapa selaku golongan yang paling hamper dengan remaja perlu memainkan peranan yang besar dalam menangani masalah remaja pada masa ini.
Ibu bapa hendaklah memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak. Kasih sayang yang mencukupi akan dapat menghalang anak-anak untuk mencari keseronokan di luar. Namun, sering kali kita lihat, ibu bapa kini lebih cenderung untuk menyerahkan tanggungjawab mendidik dan mengasuh anak-anak kepada pembantu rumah lantaran sibuk dengan kerjaya, seperti kata pepatah, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Tidak dapat dinafikan pada zaman ini, ibu bapa perlu bekerja keras demi menjamin kehidupan yang stabil. Walau bagaimanapun, ibu bapa perlulah bijak membahagikan dan meluangkan masa yang berkualiti bersama anak-anak. Contohnya, ibu bapa membawa anak-anak bersiar-siar pada hujung minggu. Melalui kasih sayang yang secukupnya, anak-anak tidak akan terasa tersisih sehingga menyebabkan mereka terdorong untuk mencari keseronokan di luar dan terjebak dengan budaya yang tidak sihat seperti melepak, merempit, dan mengunjungi pusat-pusat hiburan.
Selain itu, ibu bapa juga perlulah sentiasa menjaga kerukunan rumah tangga. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat tahun 2007, 90 peratus daripada pelajar yang bermasalah mempunyai latar belakang keluarga yang juga bermasalah. Ibu bapa seharusnya berusaha untuk mewujudkan suasana `Rumahku Syurgaku’ supaya anak-anak berasa seronok dan tidak tertekan berada di samping keluarga. Bait lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, ada menyatakan ‘sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri’. Masalah dalam keluarga memang tidak dapat dielakkan, namun ibu bapa perlu bijak menyelesaikannya, tanpa perlu sama mengheret anak-anak. Anak-anak yang berasa tertekan dengan keadaan keluarga, mempunyai kemungkinan yang tinggi untuk mereka melepaskan tekanan tersebut di luar rumah. Contohnya, mereka akan membuli rakan-rakan di sekolah. Oleh itu, untuk mengelakkan perkara seperti ini terjadi, ibu bapa perlulah terlebih dahulu memelihara keharmonian rumah tangga.
Di samping itu, ibu bapa perlu prihatin terhadap kehidupan sosial anak-anak. Sepertimana yang kita ketahui, rakan merupakan golongan kedua terhampir dengan remaja selepas ibu bapa. Pepatah arab ada menyebut, sekiranya kita berkawan dengan penjual minyak wangi, nescaya kita turut berbau harum dan sekiranya kita berkawan dengan pembuat besi, kita juga akan turut terkena percikan apinya. Ibu bapa seharusnya mengetahui dan memastikan anak-anak mempunyai rangkaian rakan-rakan yang positif dan berminat untuk belajar. Sifat lepas tangan sesetengah ibu bapa yang tidak menghiraukan keadaan anak-anak, mereka akan mendedahkan remaja tersebut untuk berkawan dengan mereka yang bersifat negatif dan terdorong untuk terlibat dengan gejala-gejala yang tidak sihat seperti merokok, mencuri, dan penyalahgunaan dadah. Sesungguhnya, keprihatinan ibu bapa sangat penting dalam memastikan remaja tidak terlibat dengan masalah sosial dan jenyah.
Ibu bapa juga perlu menunjukkan teladan yang baik dan menerapkan budaya-budaya sihat kepada anak-anaknya. Kebiasaannya, anak-anak akan terdorong untuk mencontohi perlakuan ibu bapa mereka. Seperti kata pepatah Melayu, bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Ibu bapa perlulah terlebih dahulu membudayakan sifat-sifat positif seperti menghormati orang tua, bersifat penyayang dan berdisiplin dengan harapan anak-anak akan berasa hormat kepada kedua-dua ibu bapa mereka dan seterusnya terdorong untuk mencontohi sifat-sifat tersebut. Dalam hal ini, ibu bapa seharusnya menyiapkan anak-anak dengan sifat-sifat terpuji sejak kecil lagi sebelum mendedahkan mereka kepada masyarakat kini yang semakin buas seperti kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Selain itu, ibu bapa berperanan memberikan didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak. Didikan agama yang cukup dapat melahirkan anak-anak yang dapat membezakan antara baik dan buruk serta mempunyai jati diri yang utuh bagi melawan serangan-serangan pemikiran dan budaya negatif. Namun, ibu bapa kini lebih cenderung untuk menghantar anak-anak mereka menghadiri kelas-kelas tambahan akademik berbanding program-program kerohanian, dengan alasan unsur-unsur kerohanian tidak memberi sumbangan yang besar kepada kemajuan diri seseorang. Pandangan ini sudah semestinya salah dan harus diubah. Sesungguhnya, tamadun Rom yang pernah gah suatu ketika dulu mampu membina tamadun dan melakar sejarah yang agung kerana rakyatnya mementingkan kestabilan antara unsur rohani, mental, dan fizikal. Sesungguhnya, didikan agama penting dalam mengawal perlakuan remaja supaya mereka tidak terjebak dengan budaya negatif.
Kesimpulannya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam menangani masalah remaja pada masa ini. Ibu bapa haruslah menyedari bahawa anak-anak ibarat pohon kecil yang perlu sentiasa dibaja dengan kasih sayang dan digemburkan dengan semangat dan harapan agar mereka dapat tumbuh menjadi remaja yang mampu menggalas aspirasi negara pada masa hadapan.
terbaik la ~~~
BalasPadamisi2 nyer semua padat dan sgt membantu saya dlm pelajaran
Tul2.....
PadamTerima kasih.
BalasPadamSama-Sama
PadamTerima kasih atas karangan ini sangat membantu.:D
BalasPadam