Soalan 9 :PERANAN KELUARGA DALAM MENANGANI GEJALA SOSIAL
Pada alaf globalisasi dan modenisasi ini, gejala sosial sentiasa menghiasi lembaran akhbar. Gejala sosial yang semakin meruncing telah menggusarkan masyarakat. Fenomena ini diibaratkan duri dalam daging dalam sosial kita. Kenapa pembangunan mentaliti rakyat kita tidak selaras dengan pembangunan fizikal kita sehingga penyakit sosial sentiasa menjadi-jadi bagai cendawan tumbuh selepas hujan? Tampaknya, masalah gengsterisme, vandalisme, samseng jalanan, pembuangan bayi, remaja lari dari rumah sering berkait rapat dengan kebejatan institusi keluarga. Walhal, peranan keluarga amat signifikan untuk mengekang sindrom sosial terutamanya masalah remaja.
Salah satu peranan institusi keluarga adalah ibu bapa perlu memberikan didikan agama dan moral kepada anak mereka sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Didikan agama dan moral bagaikan perisai yang berupaya menghalang segala godaan maksiat . Senario ini dapat membantu anak-anak mengelakkan diri daripada terlibat dengan gejala sosial. Sebagai contoh, bapa boleh mengajar anak-anak mereka sendiri atau menghantar mereka ke sekolah agama. Ketua keluarga perlu membimbing anggota keluarga untuk menjalankan solat sembahyang dan mengaji kitab-kitab. Sehubungan dengan itu, anak-anak dapat membezakan antara kaca dengan permata kerana mempunyai jati diri yang kukuh sebagai pedoman hidupnya.
Selain itu, ibu bapa juga bertanggungjawab untuk mengawasi pergerakan anak-anak. Ibu bapa perlulah mengawasi tingkah laku anak mereka sama ada di sekolah mahu pun di luar kawasan sekolah. Hal ini terjadi demikian kerana banyak pengaruh luaran seperti pengaruh rakan sebaya akan menghasut jiwa remaja yang bertelinga nipis dan pantang dicabar. Jika rakan sebaya mereka tidak berperibadi mulia, remaja yang setahun jagung dan darah setampuk pinang pasti akan mengikut jejak langkah rakan mereka, seperti melepak, berlumba haram dan sebagainya. Lantarannya, pergaulan anak tidak boleh dipandang enteng oleh ibu bapa. Dengan kata lain , ibu bapa perlu mewujudkan keluarga yang bahagia demi membentuk personaliti anak-anak yang mulia sehingga berjaya.
Tidak dapat disangkal lagi bahawa ibu bapa dan ahli keluarga yang lebih tua perlu menjadi contoh dan teladan yang baik kepada anak-anak. Suri teladan ibu bapa mampu membentuk sahsiah anak-anak. Tambahan pula, sikap anak-anak yang suka meniru apa-apa sahaja yang dilihatnya. Bak kata peribahasa, “bagaimana acuan begitulah kuihnya”. Ibu bapa perlu menjauhi kegiatan yang negatif seperti merokok, minum alkohol, mengakses laman web lucah dan lain-lain lagi. Bapa borek anak rintik merupakan peribahasa yang perlu dihayati oleh ibu bapa. Sikap ibu bapa yang ego, individualistik, materialistik, dan bongkak akan mencanai generasi muda yang berakhlak biadab dan berbudaya sumbang.
Dalam pada itu, kasih sayang yang sempurna dan kamil amat diperlukan oleh anak-anak. Ekoran daripada itu , ibu bapa wajar memberikan kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak-anak. Kejadian ini berlaku kerana anak-anak yang kurang mendapat kasih sayang akan mudah terpengaruh oleh gejala sosial. Ibu bapa perlu sentiasa melayani anak mereka bagai menatang minyak yang penuh. Sebagai contoh, ibu bapa sewajarnya membelai dan mengucapkan kata-kata sayang kepada anak-anak mereka. Sementelahan, ibu bapa perlu memberikan pujian yang ikhlas ketika anak mereka mencapai sesuatu kejayaan atau melakukan perkara yang betul. Dengan itu, anak-anak akan berasa gembira dan seronok berada di rumah bersama-sama keluarga mereka. Mereka pun sanggup meluahkan isi hati ketika mengalami kemusykilan kerana ibu bapa mereka bersedia mendengar rintihan jiwa mereka. Ternyata keluarga yang harmoni berdominan untuk membanteras kegiatan negatif.
Di samping itu , setiap ahli keluarga juga perlu sentiasa berkongsi masalah. Ibu bapa harus sentiasa bertanyakan masalah anak-anak. Seterusnya, ibu bapa perlu membantu anak-anak menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sebagai contoh, ibu bapa boleh meluangkan masa untuk membantu masalah pelajaran anak-anak. Sebaliknya anak-anak perlu memahami tanggungjawab dan bebanan ibu bapa mereka. Anak-anak perlu sentiasa membantu ibu bapa membuat kerja rumah tangga untuk meringankan tekanan mereka. Dengan itu, setiap anggota keluarga akan berasa diri mereka diberikan perhatian oleh ahli keluarga yang lain. Aktiviti keluarga seperti gotong-royong dan hari keluarga patut diadakan dari semasa ke semasa supaya mengeratkan silaturahim sekeluarga.
Secara tuntasnya, segala langkah di atas tidak akan berjaya sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada semua ahli keluarga seperti ibu bapa, abang dan kakak. Slogan “Keluargaku, syurgaku”, dan “Semakin hari semakin sayang” patut dihayati oleh seisi komuniti kita supaya melahirkan masyarakat madani dan sakinat.
Soalan 10 : Setiap ahli keluarga memainkan perananan masing-masing untuk menjamin kebahagiaan keluarga. Selain ibu bapa, setiap anak perlu memikul tanggungjawab untuk membahagiakan keluarga. Bincangkan peranan anak untuk membahagiakan institusi kekeluargaan.
Setelah mendepani gelombang globalisasi yang penuh dengan ranjua dan onak duri, hubungan institusi kekeluargaan semakin renggang. Hal ini turut mencetuskan pelbagai sindram sosial yang bagai duri dalam daging masyarakat kita, terutamanya penganiayaan kanak-kanak, lari dari rumah, mat rempit, penagihan dadah dan lain-lain lagi. Dalam konteks ini, ibu bapa sering diberikan amanah yang berat untuk memperkukuh ikatan institusi kekeluargaan. Bagiamanapun, bertepuk sebelah tidak akan berbunyi. Anak yang masih kecil juga perlu memikul tanggungjawab untuk menjamin kebahagiaan keluarga. Hal ini seiring dengan kata-kata mutiara, “Orang yang paling tidak bahagia ialah mereka yang paling takut pada perubahan.” Lantaran itu, anak yang kecil juga perlu dicelikkan peranan mereka dengan mengubah sikap mereka untuk menjayakan program keluargaku, syurgaku.
Salah satu peranan yang prioriti anak untuk menjamin kebahagiaan keluarga adalah bersahsiah mulia dan berbudi bahasa. Hal ini demikian kerana tingkah laku anak yang sopan dapat melegakan ibu bapa yang menghadapi pelbagai persaingan dalam kerjaya mereka. Hal ini selaras dengan peribahasa, “ yang merah itu saga, yang kurik itu kundi, yang baik itu bahasa, yang indah itu budi.” Sehubungan dengan itu, setiap anak perlu sentiasa bertutur dengan lemah lembut dan berhemah tinggi untuk melayani ibu bapa mereka. Kita tidak patut bertengkar dengan adik-beradik sehingga merisaukan orang tua kita. Sebagai jantung hati ibu bapa, anak hendaklah bersalam kepada orang tua dan mesti meminta kebenaran daripada mereka sebelum membuat sesuatu keputusan. Kata-kata hikmat harus sentiasa tertanam dalam bibir anak, seperti “ terima kasih”, “maafkan saya”, “bolehkah saya”, “tolong” dan lain-lain lagi. Segala penat lelah ibu bapa akan reda ketika menghadapi anak mereka yang berperangai murni . Tegasnya, tingkah laku anak yang berjati diri dan berbudi bahasa dapat meningkatkan keharmonian dalam rumah.
Selain itu, anak perlu mendukung tanggungjawab untuk meringankan beban ibu bapa dengan melakukan kerja rumah tangga. Pada alaf baru yang sentiasa berkompetitif, kebanyakan ibu telah bekerja di luar di samping memainkan peranan sebagai suri rumah tangga. Senario ini menyebabkan mereka sentiasa menghadapi lambakan kerja yang tidak pernah habis. Sebagai anak yang bertimbang rasa, kita juga patut melakukan kerja-kerja rumah tangga untuk meringankan beban ibu yang disayangi. Sebagai contoh, kita boleh menyapu rantai, mencuci baju dan kasut sekolah , mengelap tingkap, mencuci kereta malah memasak. Semangat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing harus diamalkan oleh setiap ahli keluarga. Bagaimanapun, kebanyakan remaja sekarang meremehkan kerja rumah tangga malah keadaan bilik mereka berselerakan. Ibu bapa yang penat dan sibuk dengan kerja rumah tangga pasti tidak mungkin dapat menaruh kasih sayang kepada anak mereka bagai menatang minyak yang penuh. Dengan kata lain, anak yang sanggaup melakukan kerja-kerka rumah tangga dapat meningkatkan kualiti kesejahteraan keluarga.
Seterusnya, anak yang bertanggungjawab hendaklah berdisiplin dan menjauhi kegiatan yang negatif. Sejak kebelakangan ini, ibu bapa sentiasa gelisah dan risau akan anak mereka yang terlibat dalam pelbagai kemelut sosial, tamsilnya gengsterime, vandalisme, melepak, mat rempit, merokok bahkan menagih dadah. Silaturahim ibu bapa dengan anak semakin tegang dan tidak mesra lagi ketika ibu bapa asyik menegur perbuatan anak mereka yang tidak sihat. Sebelum senario ini terjadi, anak yang terdidik perlu ada kesedaran diri dan membuat pertimbangan yang sewajarnya. Golongan remaja dan belia harus memiliki keimanan sebagai pedoman bagai jauhari yang mengenal manikam. Ajakan syaitan dan bisikan iblis harus dijauhi dengan mendalamkan ajaran agama. Ketika menghadapi sesuatu dilema, anak perlu meminta nasihat daripada ibu bapa atau adik-beradik mereka. Seandainya anak dapat mengamalkan prinsip yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan, mereka pasti dapat melepaskan diri daripada kepompong sindrom sosial. Perselisihan dalam keluarga pasti dapat diminimumkan. Natijahnya, anak yang berdisiplin dapat memastikan keamanan keluarga mereka.
Di samping itu, salah satu peranan anak adalah menghargai jasa ibu bapa mereka. Nilai kesyukuran perlu ada pada setiap insan. Kata orang yang bijak pandai, “orang yang bersyukur ialah manusia yang bahagia kerana dapat menikmati segala kurniaan-Nya.” Rentetan daripada itu, setiap anak perlu menghargai segala nikmat yang diperoleh. Mereka perlu mengenang jasa ibu bapa seperti peribahasa, “hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati”. Untuk berterima kasih kepada ibu bapa yang mengasuh, membimbing dan mendidik kita, sebagai anak, kita harus taat dan hormat kepada mereka. Ketika hari jadi ibu bapa, anak boleh membuat kad hari jadi kepada mereka. Anak boleh membeli hadiah kepada ibu bapa dengan wang saku. Kad yang berharga satu dua ringgit itu membawa makna yang tidak ternilai kepada penerima kerana anak itu sedar akan kesusahan dan pengorbanan ibu bapa mereka. Ketika Hari Bapa atau Hari Ibu, adik-beradik boleh menyediakan hidangan yang disukai oleh ibu bapa untuk mengambil hati mereka. Natijahnya, anak perlu menghargai jasa ibu bapa mereka dan berusaha membahagiakan mereka.
Sementelahan, anak berkewajipan untuk belajar dangan bersungguh-sungguh. Anak yang cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan sukan dapat mengharumkan nama keluarga. Ibu bapa akan berasa bahagia dan berpuas hati ketika anak mereka mencapai kejayaan dalam pelajaran. Tidak dapat dinafikan bahawa senario ini merupakan impian setiap ibu bapa. Mereka bekerja keras untuk menyekolahkan anak mereka supaya anak mereka dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading. Sebagai pelajar, anak perlu memikul tanggungjawab tersebut dengan belajar bersungguh-sungguh, ibarat genggam bara api, biarlah sampai jadi arang. Kepandaian atau kecerdikan setiap orang adalah berbeza tetapi usaha tangga kejayaan. Jika setiap anak dapat menelaah pelajaran dengan tekun dan teliti, pelajaran mereka pasti dapat menuju ke arah kegemilangan kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Segala usaha yang pahit dapat melahirkan buah yang manis. Kecemerlangan anak dalam pelajaran turut membantu mereka memperoleh biasiswa sehingga meringankan beban ibu bapa untuk menanggung kos pendidikan anak. Dengan kata lain, anak perlu belajar dengan tekun untuk mengharumkan nama keluarga.
Secara tuntasnya, anak memainkan peranan yang penting untuk membahagiakan keluarga mereka. Anak yang bersopan, bertanggungjawab, berdisiplin, rajin dan menghargai jasa ibu bpa dapat mencambahkan keluarga yang sakinat. Walau bagaimanapun, setiap anggota keluarga perlu bermuafakat seperti peribasasa, “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat” untuk mewujudkan institusi kekeluargaan yang utuh dan sejahtera. Atas persefahaman dan kerjasama setiap anggota keluarga, progaram “Keluargaku, syurgaku” dan “Semakin Hari Semakin Sayang” baru dapat direalisasikan.
ckgu..sy nk cnth syarahan yg brtjuk 'peranan ibu bapa penting untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dlm keluarga'
BalasPadamslamt pg.bolh ckgu beritahu maksud 'yang merah itu saga,yang kurik itu kundi,yang baik itu bahasa,yang indah itu bahasa'?
BalasPadamXtau la
Padam