CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Jumaat, 9 September 2011

isu sekolah

CARA-CARA UNTUK MENCERIAKAN KAWASAN SEKOLAH

Sekolah ialah tempat kita belajar dan menimba ilmu. Lantarannya alam sekitar kawasan sekolah yang kondusif akan mempengaruhi pelajar menuntut ilmu dan menelaah pelajaran. Sebagai pelajar, kita seharusnya menjaga kebersihan dan keindahan sekolah. Setiap pelajar akan berasa selesa jika persekitaran sekolahnya bersih dan ceria. Bak kata peribahasa, “Hendak seribu daya, tak hendak dalih.” Oleh itu, pihak sekolah perlu mengaturkan strategi yang dominan untuk menceriakan kawasan sekolah.

Salah satu langkah yang dominan untuk menceriakan kawasan sekolah adalah mengadakan program bergotong-royong. Aktiviti bergotong royong harus diadakan berkala untuk membersihkan kawasan sekolah. Aktiviti ini perlu melibatkan seisi warga sekolah. Gotong-royong bertujuan untuk memastikan setiap warga sekolah dapat bekerjasama untuk menjaga kebersihan sekolah. Selain itu, kerja dapat disiapkan dengan cepat dan mudah, bak kata pepatah,yang berat sama dipikul, yang ringan sama dengan dijinjing. Pada hujung minggu,pelajar sekolah boleh hadir untuk aktiviti gotong-royong. Contohnya, pelajar dikehendaki memungut sampah atau membersihkan longkang.

Tindakan yang seterusnya adalah mengadakan taman bunga di sekolah. “Program Sekolah dalam Taman” patut diadakan dengan menanam pokok-pokok bunga dan tumbuh-tumbuhan yang menghijau di kawasan sekolah. Lantarannya persekitaran sekolah lebih nyaman dan berudara segar. Dalam situasi ini, pelajar-pelajar juga boleh membawa pokok bunga dari rumah untuk ditanam di kawasan sekolah. Landskap sekolah juga patut dilengkapi dengan kolam ikan dan gunung-gunungan serta pondok atau bebalai untuk membaca. Nescaya pelajar lebih selasa dan minat untuk menuntut ilmu dalam persekitaran seperti taman daripada bangunan konkrit yang kaku.

Di samping itu pihak sekolah boleh mengecat bangunan semula. Mengecat bangunan boleh mencantikkan sekolah. Pelajar juga akan berasa seronok untuk datang ke sekolah yang berseri-seri. Cogan kata ada menyatakan , “sekolahku syurgaku.” Dengan bantuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru, pihak sekolah boleh menyediakan cat dan berus cat. Pelajar juga boleh bekerjasama bagai ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk mengecat pagar dan dinding bangunan sekolah. Kelab atau persatuan kokurikulum juga digalakkan melukis di dinding sekolah. Mereka boleh melukis gambar landskap, pemandangan, lukisan dan corak serta cogan kata. Dalam konteks ini, sekolah kelihatan lebih cantik dan lebih sesuai untuk belajar.

Dalam pada itu, pertandingan kelas terbersih perlu diadakan setiap minggu. Melalui aktiviti ini, setiap pelajar akan menjalankan tugas masing-masing untuk membersihkan kelas mereka, seperti mengelap cermin tingkap, menyapu lantai dan mengemaskan meja dan kerusi. Guru bertugas harian akan memantau dan menilai kebersihan kelas setiap hari. Kelas terbersih dan terkotor akan diumumkan dalam perhimpunan mingguan. Kelas terbersih akan diberikan sijil penghargaan. Sebaliknya kelas terkotor perlu didenda untuk menjalankan pembersihan pada petang, seperti mencuci tandas dan kantin. Secara anjakan paradigma, pelajar akan mengamalkan tabiat menjaga kebersihan dalam kehidupan sehari-harian mereka.

Selain itu, sekolah juga perlu menjalankan Program 3K. Program 3K bermaksud mengutamakan Kebersihan, Keindahan dan Keselamatan. Dalam program ini, pihak sekolah perlu memastikan kawasan sekolah dalam keadaan yang bersih, indah dan selamat. Hal ini demikian kerana pihak sekolah sentiasa mengadakan pemeriksaan dan penyeliaan dari semasa ke semasa. Lebih-lebih lagi, pihak Kementerian Pelajaran akan membuat pemantauan terhadap sekolah tersebut. Hal ini akan memangkinkan semangat pihak sekolah untuk memastikan program berjaya diadakan. Sebagai impaknya, program 3K perlu diadakan di sekolah.

Intihanya, semua warga sekolah hendaklah bekerjasama untuk menceriakan sekolah. Dalam hal ini, guru,pelajar-pelajar dan kakitangan sekolah perlu bersama-sama menjaga persekitaran sekolah supaya bersih dan ceria.

1 ulasan:

  1. Terima kasih banyak-banyak cikgu atas buat blog ni dengan bahan-bahan sejarah dan juga bm... saya boleh muat turun untuk adik saya yang sedang belajar...

    BalasPadam