CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Sabtu, 4 Disember 2010

TPM ulas kaedah pengajaran Sejarah

TPM ulas kaedah pengajaran Sejarah

Daripada BORHAN ABU SAMAH
borhan.samah@utusan.com.my


JAKARTA 4 Dis. - Pengajaran dan pembelajaran Sejarah yang terlalu menumpukan kepada hafalan tarikh dan peristiwa semata-mata menyebabkan tidak ramai kalangan pelajar yang meminati matapelajaran itu.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kaedah tersebut akan diubah dan menjadikan matapelajaran Sejarah lebih menarik sekali gus meningkatkan kefahaman serta minat pelajar.

"Saya telah arahkan Ketua Pengarah (Pendidikan) supaya menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji subjek Sejarah di sekolah rendah dan menengah, supaya ia lebih menarik," katanya kepada pemberita di hari terakhir lawatan kerja rasmi selama empat hari ke Jakarta.

Jawatankuasa itu, jelas beliau akan disertai oleh pakar sejarah daripada semua kaum dan Ketua Pengarah sedang mengenal pasti mereka yang mempunyai kepakaran yang sesuai.
Beliau berharap dalam tempoh dua tahun sebelum pelaksanaan dasar wajib lulus matapelajaran itu, iaitu pada tahun 2013, kajian berkenaan dapat disiapkan.
Bagi tujuan itu juga guru terbabit akan dilatih semula dan Muhyiddin juga memberi jaminan kekurangan guru Sejarah akan diatasi.


Mengulas lanjut tentang perubahan kandungan matapelajaran tersebut, beliau berkata, ia perlu dimasukkan unsur-unsur penceritaan, nilai sejarah kepada kehidupan, pengajaran dan kepentingan sesuatu peristiwa.

"Kita boleh pelajari kaedah yang digunakan di Indonesia dan Jepun di mana anak-anak sejak peringkat awal mempelajari sejarah telah dibawa ke tempat berlakunya sesuatu peristiwa.

"Penceritaan tentang sejarah yang berlaku membangkitkan semangat dan pada masa yang sama memudahkan pelajar memahami sesuatu peristiwa," katanya.
Muhyiddin juga memberi jaminan setiap tokoh dan pemimpin yang menyumbang kepada sejarah tidak akan disingkirkan namanya.
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan