CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Rabu, 29 Disember 2010

SEJ T 6 Dasar campur tangan British

Dasar Campur Tangan British


Pengenalan

Sebelum tahun 1874, British mengamalkan dasar tidak campur tangan di Negeri-negeri Melayu. Pegawai-pegawai British diarahkan supaya hanya menumpukan perhatian di Negeri-negeri Selat. Tujuannya ialah untuk mengelakkan permusuhan dengan Siam kerana Negeri-negeri Melayu, khususnya Negeri-negeri Melayu Utara yang diakui sebagai negeri-negeri naungan Siam. Selain itu, pengalaman British akan penglibatan mereka dalam Perang Naning (1831-1832) di mana British mengalami kerugian 100 ribu ringgit telah menyedarkan mereka supaya tidak campur tangan dalam negeri-negeri Melayu.

Walau bagaimanapun, sebelum 1874, terdapat beberapa peristiwa penglibatan British dalam hal-ehwal negeri Melayu seperti Perjanjian Burney, pembedilan kubu di Terengganu dan Kuala Selangor dan sebagainya. Penglibatan tersebut dianggap sebagai campur tangan tidfak langsung dan tidak mempunyai tujuan penjajahan. Akibat dari beberapa faktor, pada tahun 1874, British telah mengubah polisinya terhadap negeri-negeri Melayu dari dasat tidak campur tangan kepada dasar campur tangan.

Faktor-faktor campur tangan

1. Faktor ekonomi

a. Keperluan bahan mentah dan pasaran baru

Ahli-ahli sejarah seperti Profesor Khoo Kay Kim, Margaret Kuowler menegaskan tujuan ekonomi adalah faktor yang penting menyebabkan British campur tangan di Negeri-negeri Melayu sejak tahun 1874. Akibat perkembangan Revolusi Perusahaan, British memerlukan tanah jajahan untuk mendapatkan bahan serta pasaran barang-barang industri mereka.

Perkembangan industri mengetin terutamanya selepas terciptanya teknologi mengetin oleh Peter Durar & Nicholas Appot pada tahun 1810 telah menyebabkan permintaan bijih timah meningkat. Akibat permintaan yang tinggi, harga bijih timah meningkat kepada 7 paun 12 sherling 9 penn bagi 1 tan pada tahun 1872. Negeri-negeri Melayu terutamanya Perak, Selangor dan Sungai Ujong memang diketahui oleh British kaya dengan bijih timah. British menganggap penguasaan ke atas negeri-negeri tersebut akan menguntungkan British kerana mereka akan mendapat bijih timah negeri-negeri berkenaan. Campur tangan British kerana faktor ekonomi terbukti kerana British memulakan campur tangannya di negeri-negeri yang kaya dengan bijih timah seperti Perak, Selangor dan Sungai Ujong.

b. Kepentingan pelaburan British

Walaupun sebelum tahun 1874, British mengamalkan polisi tidak campur tangan di Negeri-negeri Melayu, tetapi sudah terdapat ramai pedagang British yang terlibat dalam kegiatan ekonomi di Negeri-negeri Melayu. Kebanyakan dari mereka melabur secara langsung dalam lombong bijih timah di Larut, Kelang, Kuala Lumpur, Sungai Ujong, Kuantan dan sebagainya. Malah, terdapat beberapa syarikat British yang telah mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk mendapatkan konsesi (pajakan) perlombongan di negeri-negeri Melayu.

Sebagai contoh, Syarikat Patterson & Simons pada tahun 1861 mengeluarkan 33 ribu ringgit untuk mendapatkan konsesi perdagangan di Kuantan dan Syarikat Bijih Timah Sungai Ujong telah membayar kepada Dato’ Kelana sebanyak $30 ribu untuk mendapatkan konsesi perlombongan di Sungai Ujong manakala W. Mansfield & Rakan-rakan mempunyai kepentingan perkapalan di Singapura, khususnya untuk mengangkut bijih timah ke Eropah. Pada tahun 1870-an, dianggarkan perdagangan bernilai $2.5 juta setahun yang dijalankan oleh pedagang-pedagang British dan orang-orang Cina di negeri-negeri Melayu dibiayai oleh modal Eropah.

Walau bagaimanapun, perdagangan dan pelaburan mereka di negeri-negeri Melayu terganggu akibat kekacauan yang berlaku seperti perebutan takhta, pergaduhan antara kongsi gelap Cina, pembesar-pembesar dan sebagainya. Pedagang-pedagang Eropah dan Cina telah mendesak Kerajaan British supaya campur tangan di negeri-negeri Melayu bagi melindungi pelaburan dan perdagangan mereka. Sebagai contoh, pada Mac 1873, seramai 248 orang pedagang Cina telah menandatangani surat rayuan mendesak British campur tangan di Negeri-negeri Melayu. Bagi menamatkan kekacauan-kekacauan supaya kegiatan perdagangan mereka dapat dijalankan tanpa gangguan, surat tersebut telah diterima oleh Lord Kimberley, Setiausaha Jabatan Pejabat Tanah Jajahan pada 31 Ogos 1873. Pada September 1873, Lord Kimberley telah mengarahkan Andrew Clarke supaya mengkaji dan melaporkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi melindungi pelaburan dan perdagangan di Negeri-negeri Melayu.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa campur tangan British di negeri-negeri Melayu sejak tahun 1874 dipengaruhi oleh faktor-faktor ekonomi kerana dasar tersebut dijalankan selepas Lord Kimberley menerima laporan dari Andrew Clarke pada tahun 1873. Walau bagaimanapun, ahli-ahli sejarah seperti C.D. Cowan, J.E. Cady dan K.G. Tregonning menganggap tujuan untuk melindungi kepentingan ekonomi British di negeri-negeri Melayu kurang penting jika dibandingkan dengan perlindungan ke atas jalan perdagangan ke negeri China.

2. Kebimbangan terhadap kuasa asing yang lain

Ahli-ahli sejarah seperti C.D. Cowan dan K.G. Tregonning, Hanny Miller, Emily, Kennedy dan Gullick menegaskan kebimbangan terhadap bertapaknya kuasa-kuasa asing di negeri-negeri Melayu menjadi faktor yang mempercepat campur tangan British. Pada pertengahan abad ke-19, terutamanya pada tahun 1870-an merupakan zaman imperialisme di mana kuasa-kuasa Barat berlumba-lumba untuk mendapatkan tanah jajahan bagi kepentingan bahan mentah dan pasaran.

Pembukaan Terusan Suez pada tahun 1869 telah memendekkan perjalanan laut dari Eropah ke Asia. Keadaan ini telah menarik minat kuasa-kuasa Barat untuk mengembangkan pengaruh mereka ke Asia. Pada tahun 1870-an, kebanyakan negeri di Asia Tenggara telah dijajah oleh kuasa-kuasa Barat, contohnya British di Burma, Perancis di Indo-China, Sepanyol di Filipina dan Belanda di Indonesia. Hanya Siam dan negeri-negeri Melayu yang masih belum dijajah oleh kuasa-kuasa Barat.

British tidak dapat menjajah Siam kerana tindakan tersebut akan mendapat tentangan kuasa-kuasa lain yang juga mempunyai kepentingan di Siam. British sedar bahawa jika mereka tidak menjajah negeri-negeri Melayu, kuasa-kuasa asing akan menjajahnya. Kuasa-kuasa lain mungkin akan menjadikan kekacauan-kekacauan sebagai alasan untuk campur tangan. Kuasa asing yang paling dibimbangi oleh British ialah Jerman yang telah muncul sebagai kuasa yang kuat selepas penyatuan Jerman oleh Bismarck pada tahun 1871. Kejayaan Jerman mengalahkan Perancis pada tahun 1871 telah menyebabkan Jerman muncul sebagai kuasa yang kuat di Eropah.

Pada tahun 1870-an, Jerman berusaha untuk mendapatkan tanah jajahan di Asia dan Afrika supaya dianggap setanding dengan kuasa-kuasa lain. Minat Jerman terhadap negeri-negeri Melayu terbukti apabila terdapat pedagang-pedagang Jerman di Singapura pada tahun 1870-an. Kebimbangan British terhadap tapaknya kuasa asing di negeri-negeri Melayu bertambah selepas Lord Kimberley menerima sepucuk surat dari Saymore Clark, iaitu pengarah Syarikat Bijih Timah Selangor pada 18 Julai 1873.

Dalam surat tersebut, Saymore Clark menegaskan Tengku Kudin sebagai wizurai Selangor telah memohon bantuan British bagi menamatkan Perang Kelang. Tengku Kudin telah mengugut sekiranya British enggan membantunya, beliau akan dapat bantuan daripada kuasa-kuasa lain, terutamanya Jerman. Kebimbangan British terhadap kuasa lain terbukti dari laporan Lord Kimberley pada 22 Julai 1873 yang menegaskan British tidak sanggup melihat kuasa-kuasa lain bertapak di mana-mana negeri Melayu kerana ia akan menjejaskan kepentingan British. Kebimbangan terhadap campur tangan asing telah mempercepat campur tangan British di negeri-negeri Melayu. Sekiranya kuasa-kuasa asing bertapak di negeri Melayu, bukan sahaja jalan perdagangan ke China terancam tetapi kedudukan British di Negeri-negeri Selat dan kepentingan ekonomi dan politik British di negeri-negeri Melayu akan terancam.

3. Keselamatan Negeri-negeri Selat

Pada 1860-an dan 1870-an, berlakunya kekacauan di negeri-negeri Melayu akibat daripada perebutan takhta, pergaduhan pembesar, pergaduhan pelombong-pelombong, pelanunan dan sebagainya. Antara kekacauan-kekacauan tersebut ialah Perang Kelang (1867-1873), Perang Larut (1861-1863), Perang Saudara Pahang (1857-1863). Kekacauan-kekacauan yang berlaku di negeri-negeri Melayu, terutamanya antara pelombong Cina telah menjejaskan Negeri-negeri Selat kerana kekacauan-kekacauan tersebut berlarutan ke Negeri-negeri Selat. Kennedy pada bukunya “History of Malaya” menegaskan faktor keselamatan Negeri-negeri Selat yang terjejas akibat kekacauan-kekacauan di negeri-negeri Melayu menjadi faktor paling penting menyebabkan British campur tangan di negeri-negeri Melayu. Pendapat ini disokong oleh C.D. Cowan dalam bukunya “Nineteen Century Malaya”.

Faktor ini dapat dibuktikan dalam kenyataan Lord Kimberley pada 7 Julai 1873 yang mendesak supaya dicari jalan penyelesaian British dapat menamatkan Perang Larut supaya keselamatan Negeri-negeri Selat tidak terjejas.

4. Faktor kemanusiaan

Frank Swettenham menegaskan bahawa campur tangan British di negeri-negeri Melayu sejak tahun 1874 dipengaruhi oleh faktor kemanusiaan. Beliau menganggap tanggungjawab orang-orang putih ialah untuk menamatkan kekacauan dan wujudkan peraturan serta keamanan bagi menjamin keselamatan harta benda dan nyawa. Walau bagaimanapun, faktor ini kurang penting jika dibandingkan dengan faktor ekonomi dan politik. Malah terdapat ahli-ahli sejarah yang menegaskan faktor kemanusiaan ini sengaja ditonjolkan dengan tujuan untuk melindungi sebab sebenar campur tangan British, iaitu sebab ekonomi dan politik.

5. Perubahan pegawai

Sebelum tahun 1870, pegawai-pegawai di Pejabat Tanah Jajahan dan kerajaan liberal di bawah Glodstone bersikap anti-imperialisme. Mereka menganggap campur tangan British di Negeri-negeri Melayu akan membebankan mereka dari segi kewangan. Mereka tidak bersimpati dengan rayuan pedagang-pedagang dan pegawai-pegawai Negeri-negeri Selat supaya British campur tangan di Negeri-negeri Melayu. Sejak tahun 1870, berlaku perubahan pegawai-pegawai di Pejabat Tanah Jajahan dan Kabinet British yang membawa kepada sentimen imperialisme. Golongan ini mahukan British campur tangan untuk melindungi kepentingan British.

Pada tahun 1870, Lord Kimberley dilantik sebagai Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan. Pada tahun 1871, Edward Knatchbull Hugessen telah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen dan Robert Herbert sebagai Setiausaha Rendah Tetap Pejabat Tanah Jajahan. Sekiranya kepentingan-kepentingan British terjejas maka mereka perlu campur tangan. Malah campur tangan setelah Lord Kimberley mengarahkan Andrew Clarke untuk mengkaji langkah-langkah yang boleh diambil bagi melindungi pelaburan di Negeri-negeri Melayu. Pada tahun 1873, Parti Konservatif di bawah Disraeli yang menganut fahaman imperialisme telah mempengaruhi politik England.

Kejayaan konservatif menguasai kerajaan pada Januari 1874 telah membawa kepada campur tangan British di Negeri-negeri Melayu. Selain itu, pada tahun 1870-an juga berlaku perubahan pegawai-pegawai Negeri-negeri Selat. Pegawai-pegawai tersebut juga menganut fahaman imperialisme seperti Andrew Clarke, Frank Swettenham, Kapten Speedy dan Kapten Tathan.

6. Tindakan Andrew Clarke

Tindakan Andrew Clarke yang melampaui arahan juga bertanggungjawab terhadap perubahan dasar British di Negeri-negeri Melayu. Andrew Clarke hanya diarahkan oleh Lord Kimberley untuk menkaji dan melaporkan langkah-langkah bagi melindungi kepentingan British di Negeri-negeri Melayu tetapi Andrew Clarke dengan inisiatifnya sendiri telah campur tangan di Perak (Januari 1974), Selangor (Februari 1874) dan Sungai Ujong (April 1874).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan