CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Rabu, 29 Disember 2010

SEJ T 6 Pengaruh agama Islam dalam masyarakat Melayu

Pengaruh agama Islam dalam masyarakat Melayu

Penerimaan agama Islam oleh masyarakat Melayu bukan sahaja mempengaruhi akidah tetapi juga membawa pengaruh dari segi pentadbiran, undang-undang, adat dan pendidikan.

1. Dari segi pentadbiran

Unsur-unsur Islam banyak mempengaruhi pentadbiran kerajaan-kerajaan Melayu. Cirri-ciri kerajaan ini sama seperti kerajaan di Timur Tengah seperti Kerajaan Turki Uthmaniyyah. Perubahan konsep sultan yang dianggap zul-illahi-fil-alam iaitu pegangan bahawa sultan itu adalah amanah Allah s.w.t.. di muka bumi. Sultan dianggap sebagai Amirul Mukminin iaitu ketua kepada umat Islam. Sultan menjadi ketua agama Islam dan bertanggungjawab memerintah dengan adil dan menjaga kebajikan rakyat jelata. Ahli-ahli sufi dan ulama-ulama menjadi penasihat kepada raja. Islam menjadi agama rasmi.

2. Dari segi undang-undang

Undang-undang Islam telah memainkan peranan yang penting dalam kerajaan Melayu di Tanah Melayu. Para ulama memainkan peranan penting dalam perundangan Islam. Perundangan Islam menjadi tunjang kepada undang-undang bertulis. Undang-undang Syariah yang meliputi pelbagai perkara seperti hukum kesalahan jenayah (mencuri, membunuh dan sebagainya), jual beli, hal-hal perkahwinan dan pembahagian harta pusaka diperkenalkan. Tokoh-tokoh yang memelihara undang-undang ini terdiri daripada hakim dan kadi. Namun demikian, hukuman dijatukan oleh raja ikut adat dan bukan hokum Islam.

3. Dari segi kehidupan masyarakat

Cara hidup telah diubah. Kepercayaan telah berubah dari animisme kepada agama Islam. Islam mengubah cara pemikiran orang Melayu. Islam menyuruh umatnya berfikir untuk menerapkan unsur-unsur rasionalisme dalam pemikiran masyarakat. Unsur-unsur metafizik dalam ajaran Islam telah terterap ke dalam nilai hidup masyarakat tempatan. Pandangan dan falsafah hidup sentiasa berkait dengan unsur-unsur Islam seperti mencari rezeki yang halal, kewajipan mencari ilmu pengetahuan dan sebagainya.

4. Dari segi adat resam

Islam juga membawa pengaruh dalam adat resam. Islam membawa sistem nilai sosial yang berbeza dengan sebelumnya. Penyesuaian unsur-unsur Hindu dengan Islam dilakukan untuk menyelakan amalan ini bertentangan dengan ajaran Islam. Islam menghapuskan sistem nilai sosial yang berasaskan perbezaan taraf (sistem kasta). Gagasan bahawa semua umat Islam yang beriman, bersaudara menjadi prinsip ke arah perpaduan masyarakat. Orang asing yang beragama Islam adalah bersaudara dengan orang tempatan yang beragama Islam. Adat resam dalam masyarakat banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur Islam seperti adat bercukur, adat perkahwinan dan sebagainya. Banyak aspek Islam diamalkan seperti membayar zakat, bekerjasama, bergotong-royong dan kekeluargaan.

5. Dari segi pendidikan

Pendidikan formal mula kedatangan para pendakwah dan alim ulama. Istana merupakan pusat pendidikan terawal, pusat kegiatan intelektual dan menjadi tumpuan alim ulama dari negara-negara Arab, India, Parsi. Mereka berbincang dan berdebat tentang hal-hal yang berkaitan dengan hal-hal agama Islam. Misalnya, mereka pernah membahaskan Kitab Darul Manzum yang menjadi panduan pendidikan agama.


Terdapat juga tokoh-tokoh tempatan seperti Tun Muhammad yang merupakan ulama Melayu yang pakar dalam nahu Arab, ilmu sarf dan pengetahuan fikah yang mendalam. Istana menjadi khazanah hikayat yang memberi pengajaran agama bertemakan kisah para nabi. Sebagai contoh, Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Bulan Berbelah, Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Nabi Wafat, Hikayat Nabi Yusuf, Hikayat Jumjumah, Hikayat Abu Samah, Hikayat Tamin-ad-Dari dan sebagainya.


Tujuan pendidikan Islam ialah untuk melahirkan pelajar-pelajar yang tahu tentang ajaran-ajaran Islam, memupuk akhlak mulia, sentiasa beribadat dengan betul. Pendidikan ini diutamakan oleh ibu bapa. Kanak-kanak dihantar ke rumah guru agama untuk menerima pelajaran agama. Mereka belajar pada masa selepas waktu Zohor atau Maghrib di rumah tok guru. Murid lelaki dikehendaki duduk berasingan dengan murid perempuan. Pelajar-pelajar diwajib berpakaian yang menutup aurat.


Pada peringkat pertama, mereka membaca Muqaddam dan al-Quran mengikut tajwid yang betul. Setelah tamatnya upacara Khatam Quran yang dijalankan oleh tok guru, peringkat pertama habis. Pendidikan mengenai fardu ain dan akhlak mulia akan diberi bagi melahirkan umat Islam yang sempurna bagi peringkat kesua. Pelajar-pelajar tidak dikenakan bayaran tetapi ibu bapa akan memberi penghargaan dengan menghantarkan padi, beras, ubi dan sebagainya kepada tok guru sebagai membalas budinya.


Selepas peringkat ini, mereka akan masuk ke masjid atau surau untuk melanjutkan pelajaran tentang ilmu agama. Kadi, bilal dan sebagainya akan memberikan pelajaran tentang al-Quran, mendalami fardu ain pada siang pagi. Sukatan pelajaran termasuk ilmu tajwid, lagu dan bacaan.

Di samping itu, kanak-kanak akan diajar qasidah lagi yang bercorak agama yang memuji-muji nabi. Kitab-kitab seperti fikah, usuluddin, tasawuf, hadis, tafsir dan sebagainya digunakan bagi menerangkan pengertian yang berkaitan dengan agama Islam. Kitab yang terkenal ialah Riazah as-Salihim.

Kaedah hafalan digunakan dalam pembelajaran sekiranya terdapat kesulitan untuk memahami isi kitab tersebut. Di sebelah malam, masjid menjadi pusat pengajian orang dewasa. Seseorang guru akan membaca kitab-kitab tertentu dan menerangkan maksudnya kepada penuntut yang duduk di sekelilingnya dalam bulatan yang dipanggil halaqah. Walaupun pelajaran ini berbentuk formal tetapi kurang teratur kerana bilangan muridnya tidak terhad dan gurunya berkhidmat secara sukarela.

Sistem pengajian Madrasah nerupakan satu sistem pendidikan formal, ia merupakan lanjutan daripada sistem pendidikan di masjid atau surau. Di Madrasah, kitab bahasa Arabatau kitab bahasa Melayu yang ditulis ikut struktur bahasa Melayu digunakan. Kitab dipegang atau diletakkan di lantai dan kemudian tok guru menjelaskan pengertian kandungannya yang disebut kaedah menadah kitab.


Sehingga 1850, sekolah pondok merupakan pusat pengajian yang tertinggi di Tanah Melayu. Tidak ramai yang mampu menghantar anak mereka ke sekolah pondok kerana kesempitan wang. Pondok telah melahirkan penulis-penulis yang terkemuka dan ulama-ulama yang terkenal seperti Syeikh Muhammad Idris al-Mabawi dan Haji Hassan bin Yunus dari Johor. Kelantan merupakan negeri pertama di Tanah Melayu yang terkenal dalam sekolah pondok, maka Kelantan digelar sebagai “Serambi Mekah”.


Pondok yang tertua ialah “Pondok Tok Kenali” di Kelantan dan “Pondok Pokok Sena” di Seberang Perai. Selain Kalantan dan Seberang Perai, kebanyakan sekolah pondok terletak di Kedah, Perlis, Perak, Terengganu, Melaka dan sejumlah kecil di Negeri Sembilan. Sekolah pondok didirikan apabila terdapat seorang guru atau ulama yang mempunyai kepakaran dalam ilmu agama yang dipelajari dari Mekah atau pondok-pondok lain seperti di Patani dan Sumatera. Penduduk tempat itu akan mendirikan sebuah Madrasah dan memberikan kawasan tanah wakaf. Pondok-pondok kecil didirikan oleh murid-murid di sekitar Madrasah dan didiami oleh pelajar secara berkongsi. Guru besarnya digelar Mudir dan ketokohannya amat dihormati oleh masyarakat Melayu pada masa itu.


Sukatan pelajaran menekankan aspek pengajaran agama dan sistem menghafal hokum fekah, nahu Arab, al-Quran dan Hadis nabi. Mata pelajaran saraf, tafsir, wujudiyyah, pendidikan akhlak san sejarah Islam diajar. Pelajar yang lulus akan berkhidmat sebagai guru dipondoknya juga atau yang belajar lebih 10 tahun boleh melanjutkan pelajaran di Mekah. Guru tidak dibayar bayaran tetap kecuali bayaran zakat atau sedekah daripada orang ramai.

3 ulasan: