CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Rabu, 29 Disember 2010

sistem beraja

Sistem Beraja

Pengenalan

Institusi beraja di Tanah Melayu di kesan seawall abad ke-15 iaitu semasa pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka. Pada masa ini, mereka mengamalkan sistem pemerintahan beraja. Sistem ini menerima pengaruh yang amat kuat dari India dan agama Hindu-Buddha. Mengikut sistem ini, raja merupakan seorang ketua negara dan baginda dibantu oleh golongan pembesar. Sistem pemerintahan beraja Kerajaan Melayu Melaka ini kemudian diwarisi oleh negeri-negeri Malayu yang lain seperti Johor, Perak, Pahang dan Terengganu.

Konsep Raja Melayu

1. Dewa raja

Dalam sistem beraja, raja itu dianggap sebagai dewa raja. Baginda disifatkan sebagai seorang yang mulia dan berkebolehan dalam pelbagai bidang. Menurut Sejarah Melayu, raja dianggap sebagai wakil Tuhan di bumi atau Zul-Illahi fil-alam. Menurut Adat Raja-raja Melayu dan Undang-undang Melaka pula, raja dianggap sebagai “Khalifah Allah di Dunia”. Raja juga dianggap sebagai seseorang yang paling berkuasa dan menjadi perantaraan rakyat dan Tuhan. Kepercayaan ini menyebabkan raja itu wajib disembah.

2. Mulia

Raja dianggap sebagai seorang yang mulia. Keadaan ini dapat dilihat dari segi pentadbiran. Raja dianggap sebagai ketua kerajaan di mana semua keputusan yang hendak diambil perlu disahkan oleh baginda. Baginda berkuasa untuk melakukan apa sahaja mengikut budi bicaranya. Kekuasaannya bukan sahaja meliputi bidang pentadbiran tetapi juga soal ekonomi, agama dan peradatan orang Melayu. Kata-kata baginda adalah muktamat dan menjadi undang-undang. Di sini dapat kita membuat kesimpulan bahawa raja sebagai seorang ketua kerajaan, merupakan kuasa tertinggi dengan budi pekerti yang mulia.

3. Kuasa mutlak

Dalam pemerintahan, raja itu berkuasa mutlak. Raja berkuasa mutlak bermakna bahawa semua undang-undang yang dibuat bertujuan untuk mengukuhkan kedudukannya, rakyat tidak dibenarkan mempersoalkan segala undang-undang yang dibuat oleh baginda. Baginda juga berkuasa penuh ke atas semua aspek dalam kerajaan seperti memegang jawatan penting dan menjatuhkan hukuman mati. Selain itu, baginda juga boleh melantik sesiapa sahaja yang akan menjadi pembesar. Walaupun baginda berkuasa mutlak tetapi baginda masih tidak boleh memerintah sesuka hati. Dalam Sejarah Melayu menasihatkan : “Raja-raja itu jikalau bagaimana sekalipun bijaksananya dan tahunya sekalipun, jikalau tiada muafakat dengan segala pegawai, tiada akan sentosa kerajaannya; kerana raja-raja itu umpama api, segala menteri itu umpamanya kayu, kerana api itu tidak akan nyala, jikaalau tiada kayu…”

4. Daulat

Daulat dikatakan berasal daripada perkataan Arab, “daulah” yang bermaksud “negeri”. Walau bagaimanapun, daulat bermaksud kesucian seseorang raja dan bagi masyarakat melayu, konsep ini menjadi batas pemisah antara raja dengan rakyat biasa. Konsep ini juga merupakan unsur asas kepada kekuasaan dan keagungan seseorang raja dan kerajaannya. Di Tanah Melayu, telah banyak berlaku kes yang membabitkan persoalan daulat ini.

5. Derhaka

Konsep derhaka ini seiring dengan konsep daulat. Dalam konsep ini, seseorang yang melanggar konsep daulat didapati menderhaka kepada sultan atau raja dan akan ditimpa tulah. Kepercayaan yang begini terus diperturun sejak zaman berzaman. Sebenarnya, konsep ini dibiuat semata-mata untuk meninggikan kedudukan raja-raja Melayu. Golongan ini akan dipandang mulia dan disanjung sebagai seorang yang sakral.

6. Hak istimewa

Raja-raja Melayu ini mempunyai hak-hak istimewa dan hak ini tidak boleh digunakan oleh rakyat. Contohnya, warna kuning merupakan warna diraja dan hanya boleh digunakan oleh raja dan keluarga raja. Warna kuning digunakan untuk perhiasan, membuat sapu tangan, tepi tabir dan tilam. Rakyat adalah dilarang menggunakan kain berwarna kuning kecuali untuk baju dan destar. Selain itu, paying putih adalah khas untuk sultan yang memerintah dan paying kuning adalah khas bagi anak raja. Penggunaan bahasa dalaman seperti santap, gering dan beta juga dilarang sekali terhadap rakyat jelata. Hanya golongan diraja sahaja berhak menggunakannya.

7. Lambang kebesaran

Sejak dahulukala, sultan adalah lambang kebesaran tetapi baginda merasakan kedudukan sultan sebagai pucuk kerajaan bergantung kepada alat-alat kebesaran yang dimilikinya. Alat-alat kebesaran ini ialah cop mohor, keris, payung, kendi, lembing, tombak dan sebagainya. Alat kebesaran ini yang akan membezakan hak istimewa sultan daripada pembesarnya. Contohnya, cop mohor yang melambangkan kuasa sultan yang memerintah digunakan dalam surat-menyurat rasmi untuk menunjukkan pengesahan kuasa dan arahan daripada kerajaan. Nama raja yang memerintah terukir dalam cop mohor ini. Dengan cop mohor ini, baginda dapat melaksanakan pemerintahan dan pentadbiran.

Struktur sultan dan raja

1. Perak

Di negeri Perak, raja yang memerintah dipanggil sultan. Pengganti yang akan menaiki takhta adalah secara bergilir-gilir di antara 3 ketua keluarga iaitu apabila sultan mangkat, Raja Muda menjadi Sultan, Raja Bendahara pula menjadi Raja Muda, Raja Dihilir menjadi Raja Bendahara dan putera sulung sultan menjadi Raja Dihilir.

2. Negeri Sembilan

Di Negeri Sembilan, raja yang memerintah dipanggil Yang Dipertuan Besar. Sistem politik yang diamalkan dipengaruhi oleh adat perpatih. Baginda dilantik oleh 4 orang Undang atau Penghulu yang menjadi ketua Luak, iaitu Undang Sungai Ujong, Rembau, Johol dan Jelebu.

3. Negeri-negeri Melayu yang lain

Sistem pemerintahan yang diamalkan dipengaruhi oleh adat temegung. Raja yang memerintah digelar sultan kecuali negeri Perlis dimana dikenali sebagai Raja. Apabila sultan yang memerintah mangkat, baginda akan diganti oleh putera baginda yang sulung yang masih hidup.

Peranan sultan dan raja

1. Sebelum kehadiran British, Sultan bertanggungjawab sebagai :

a. Ketua kerajaan dan bertanggungjawab terhadap aspek pentadbiran.

b. Wajib mengekalkan keamanan dan kesejahteraan wilayah.

c. Merupakan seorang ketua tentera danpenjaga undang-undang dalam negeri.

d. Mengambil bahagian dalam perniagaan dan mendapat keuntungan yang banyak.

e. Melantik sesiapa sahaja untuk menyandang jawatan Bendahara, Menteri atau Orang-orang Besar.

f. Menjatuhkan hukuman bunuh terhadap orang-orang yang didapati menderhaka.

g. Melantik penggantinya sendiri iaitu di kalangan putera-putera.

2. Selepas kehadiran British, kuasa seseorang sultan dikurangkan. Peranan baginda diambil alih oleh Residen.

a. Di bawah sistem Residen, Residen merupakan kuasa tertinggi dalam pemerintahan. Sultan kehilangan kuasa pentadbirannya. Majlis Sultan diganti dengan Majlis Negeri tetapi semua keputusan dalam majlis itu dibuat oleh Residen.

b. Menjadi ketua agama Islam atau mengenai adat-istiadat orang Melayu.

c. Melantik waris-waris, Permaisuri, Pemangku Raja atau Jemaah Pemangku Raja.

d. Membuat peraturan mengenai balai diraja dan istana.

e. Merupakan pihak yang penting bagi menyatupadukan rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan