CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Jumaat, 10 Disember 2010

SEKOLAH AMANAH

10 Sekolah Amanah

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 10 Dis. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan 10 buah sekolah berprestasi rendah, sederhana dan tinggi serta merentasi pelbagai latar belakang sosioekonomi sebagai Rangkaian Sekolah Amanah Yayasan Amir mulai tahun depan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, program di bawah tajaan Yayasan Amir, sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) itu bertujuan meningkatkan pembangunan modal insan untuk melahirkan pemimpin masa hadapan.

Menurutnya, sekolah perintis yang terpilih ialah lima buah di Johor iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Uda 2; SK Kampung Layau, Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Kangkar, Pulai; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semenchu dan SMK Gelang Patah.

Tambah beliau, lima buah lagi sekolah ialah di Sarawak iaitu SM Sains Kuching; SMK Bandar Kuching (2); SK Tabuan; SK Empila, Samarahan dan SK Combine.

‘‘Sekolah Amanah adalah sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan terpilih yang diurus secara usahasama oleh sektor swasta dan pentadbir-pentadbir sekolah di bawah naungan Kementerian Pelajaran.

‘‘Dari segi pengurusan sekolah, kementerian akan memberikan kebebasan kepada pentadbir, guru-guru dan pihak swasta dalam bidang-bidang tertentu seperti kurikulum, kewangan dan perolehan, pengurusan staf serta carta aliran pelaporan di samping menyediakan garis panduan akauntabiliti bagi mengelak pertindihan tugas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Rangkaian Sekolah Amanah Yayasan Amir di sini hari ini. Hadir sama Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengerusi Yayasan Amir, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda.

Menurut Muhyiddin, memandangkan projek berkenaan masih di peringkat awal, hanya 10 buah sekolah dipilih bagi mempermudahkan urusan memantau sekolah yang ada dalam satu negeri.

‘‘Jika di seluruh negara mungkin soal pemantauan dan untuk menentukan standard, kualiti pengajaran dan pengurusan itu akan lebih sukar. Justeru di peringkat awal ini, kita pilih dua buah negeri dulu (Johor dan Sarawak),” katanya.

Beliau berkata, pemilihan Sekolah Amanah tidak tertumpu kepada sekolah berprestasi tinggi sahaja kerana kerajaan mahu meningkatkan prestasi sekolah lemah dan sederhana dalam bidang akademik dan bukan akademik murid.

Katanya, satu pasukan petugas bersama bagi memperincikan lagi butiran mengenai perundangan dan pentadbiran, pengurusan sumber manusia, pembiayaan, operasi dan komunikasi telah ditubuhkan antara Kementerian Pelajaran dan Khazanah.

Menurutnya, banyak lagi syarikat swasta akan dipilih bagi memperluaskan lagi program Sekolah Amanah ke seluruh negara.

‘‘Kita tidak hadkan jumlah sekolah untuk program ini, beberapa buah syarikat termasuk institusi perbankan juga berminat. Inisiatif Khazanah ini akan dijadikan penanda aras bagaimana Sekolah Amanah hendak ditadbirkan,” katanya.

2 ulasan:

  1. cikgu subjek len x tahu ke nk dpt A perlu berape.. klu tahu tlg mention kt saye ye.. terutamanya.. for sc and bi k...

    BalasPadam