CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Rabu, 29 Disember 2010

SEJ T 6 Ing di Sabah dan Sarawak

Imperialisme British

di Sabah dan Sarawak

Pengenalan

Sementara melihat penubuhan pusat perdagangan di Tanah Melayu oleh British, di Sabah dan Sarawak juga berlakunya keadaan yang sama. Apa yang tidak sama ialah di Borneo, penguasaan sesuatu kawasan adalah bercorak imperialis khasnya di Sarawak. Keluarga Brooke telah menduduki Sarawak dan menjadi raja putih; manakala Kompeni Berpiagam Borneo Utara hanya memainkan peranannya dalam sector ekonomi di Sabah.

Sarawak

Pada tahun 1841, James Brooke, seorang bekas tentera SHTI, telah dilantik sebagai Gabenor Sarawak oleh Raja Muda Hashim, iaitu wakil Sultan Brunei di Sarawak. Perlantikan Brooke adalah untuk membalas jasa beliau menghapuskan pemberontakan yang dicetuskan oleh Pangeran Indera Mahkota.

Pada 24 Januari 1841, James Brooke dilantik sebagai “Raja Sarawak” oleh Pangeran Muda Hashim. Dengan itu, James Brooke telah memulakan pemerintahan Raja Putih di Sarawak.

Pada tahun 1842, James Brooke telah melawat Brunei untuk mendesak Sultan Brunei supaya mengiktirafnya sebagai wakil baginda di Sarawak.

Dalam usaha mengukuhkan kuasanya di Sarawak, James Brooke mendapat tentangan daripada pribumi Sarawak seperti orang Iban di kawasan Saribas dan Skrang serta Sharif Sahap, seorang ketua lanun di Sadung. Antara tahun 1843 hingga 1846, James Brooke telah melancarkan beberapa serangan ke atas petempatan pribumi dengan mendapat bantuan angkatan tentera laut British.

James Brooke kemudian meluaskan kuasanya ke atas Mukah yang kaya dengan sagu. Selepas mendapatkan kebenaran Sultan Brunei untuk meletakkan Mukah di bawah kuasanya, James Brooke telah mendirikan kota di Sarikei dengan alasan untuk menjaga keamanan di situ.

Antara tahun 1853-1861, Sultan Brunei terpaksa menyerahkan beberapa kawasan kepasa James Brooke. Antaranya ialah Sungai Sadong, Saribas, Rajang, Semarahan, Krian, Sekrang dan kawasan dari Rajang hingga Tanjung Kindurong.

Pada tahun 1890, Sultan Brunei telah menyerahkan kawasan Limbang kepada Raja Charles Brooke kerana beliau mewujudkan keamanan di wilayah tersebut.

Sabah

Sebelum British bertapak, Sabah dikuasai oleh 2 pihak iaitu bahagian barat Sabah yang terletak di bawah Kesultanan Brunei dan bahagian Timur Sabah yang dikuasai oleh Kesultanan Sulu.

British mula berdagang dengan Sabah apabila seorang pegawai British yang bernama Alexander Dalrymple berjaya menandatangani perjanjian perdagangan dengan Sultan Sulu, Sultan Muizuddin pada tahun 1761. Menurut perjanjian tersebut, pihak British diberi kebenaran untuk mendirikan pusat perdagangan dan berniaga dalam kawasan taklukan Sulu, iaitu wilayah-wilayah di Timur Kimanis.

Pada tahun 1763, Dalrymple dibenarkan mendirikan pusat perdagangan di Pulau Balambangan tetapi telah dimusnahkan oleh Datu Tating, saudara Sultan Israel Sulu pada tahun 1775.

Kemudian, John Herbert, seorang pegawai British yang mentadbir Pulau Balambangan, terpaksa membuka petempatan baru di Pulau Labuan. Walaupun beliau memajukan Pulau Labuan tetapi petempatan ini terpaksa dibatalkan kerana pembukaannya bercanggah dengan arahan SHTI. Walau bagaimanapun, pada tahun 1846, British dengan arahan James Brooke telah berjaya mendapatkan Labuan daripada Sultan Brunei dan dijadikan Tanah Jajahan Mahkota British.

Namun, British tidak dapat menjajah Sabah sehingga penubuha Kompeni Berpiagam Borneo Utara (KBBU) pada tahun 1881.

Sebelum pentadbiran KBBU, kegiatan ekonomi Sabah dijalankan oleh seorang wakil Amerika Syarikat bernama Charles Lee Moses. Pada tahun 1865, C.L. Moses telah mendapat konsesi ke atas beberapa kawasan di pantai barat Sabah selama 10 tahun dengan bayaran $9500 daripada Sultan Brunei – Sultan Abdul Mumin (1852-1885). C.L. Moses tidak berniat memajukan konsesi ini lalu dijual kepada The American Trading Company yang diketuai oleh William Torrey, seorang pedagang Amerika Syarikat di Hong Kong.

William Torrey telah datang ke Sabah untuk memajukan kawasan yang dibelinya dengan menanam tebu dan kopi di Kimanis tetapi tidak menguntungkan. Pada tahun 1875, William Torrey telah menjual secara konsesinya kepada 2 orang ahli perniagaan iaitu Baron Von Overbeck (Konsul Jeneral Austria di Hong Kong) dan Alfred Dent (seorang peniaga British). Pada masa pembelian konsesi itu, tempoh konsesi selama 10 tahun itu telah tamat.

Oleh itu, Overbeck dan Dent pergi ke Brunei memperbaharui perjanjian dengan Sultan Brunei pada tahun 1877. Syarat-syarat perjanjian 1877 ialah:

a. Sultan Brunei menyerahkan hak kedaulatannya ke atas Sabah kepada Syarikat Overbeck dan Dent.

b. Sultan dibayar $15000 setahun sebagai ganjaran.

Seterusnya pada tahun 1878, Sultan Sulu di Jolo telah menandatangani perjanjian dengan Overneck dan Dent. Baginda bersetuju menyerahkan haknya ke atas Sabah kepada Syarikat Overbeck dan Dent.

Kemudian, Syarikat Overbeck dan Dent membuat keputusan untuk membentuk sebuah syarikat British supaya rakyat British boleh melabur dalam syarikat itu. Overbeck terpaksa menjual segala bahagian konsesinya kepada Alfred Dent kerana syarikat yang akan dibentuk itu ialah syarikat British dan Overbeck bukan bangsa British.

Kini, Alfred Dent menjadi pemilik tunggal konsesi di Sabah dan memohon piagam daripada kerajaan British dan Kompeni Berpiagam Borneo Utara (KBBU) ditubuhkan untuk mentadbir Sabah. Dengan menganugerahkan piagam kepada syarikat itu, Kerajaan British dapat meluaskan pengaruhnya secara tidak langsung ke atas Sabah. KBBU telah memerintah Sabah dari tahun 1881 hingga tahun 1946.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan