CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Isnin, 5 Julai 2010

KEFAHAMAN

Soalan 2 (b) Petikan Cerpen

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Mariah seperti tertawa sendiri. Buku yang sekolah pinjamkan sebanyak lima belas buah itu, hanya sebahagian halaman sahaja sempat ditatapnya. Teks wajib seperti Sejarah Melayu itu pun belum selesai juga dibacanya.

“Kalau teks sejarah bangsa tidak habis , bagaimana kita mahu mengenal akar umbi kita’” leter Cikgu Zahari sambil menggelengkan kepalanya yang besar itu.

Mariah tidak membantah leteran Cikgu Zahari itu. Banyak membaca makin banyak pengetahuan yang diperoleh. Tetapi Cikgu Zahari tidak tahu hambatan waktu, lalu kepada Edah dia bergantung dan bernaung.

Mariah minta diri, berundur dengan tertib.
Aku menangkapnya di muka pintu.
“Pengetua panggil kau terima duit biasiswa.”
Mariah tersengih.
“Kau mahu duit tak?” Aku ulangi, cuba menggembirakan hatinya.
Ketika kami memanjat tangga pejabat, Bibah menampar bahuku dari belakang.
“Ada orang cari Mariah,” kata Bibah.
“Ada lelaki berkumis di sana.”
Mariah tertegun melihat pemuda itu.
Bibah mengheret Mariah turun tangga. Pemuda berkumis menghampiri Mariah.

(Antologi kerusi halaman 107-108)
(i) Apakah yang dimaksudkan oleh Cikgu Zahari mengenal akar umbi kita seperti yang terdapat dalam petikan?[3 markah]
(ii) Sekiranya anda Mariah, bagaimanakah tindakan anda untuk membaiki prestasi akademik anda?3 markah]
(iii) Huraikan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan cerpen di ats dan dua pengajaran lagi daripada keseluruhan cerpen tersebut?
[3 markah]

Soalan 2 (c) Petikan Prosa Klasik

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Maka kata Saidah dengan tangisnya, “sebab pun hamba demikian ini daripada tiada hamba mahu memalingkan muka hamba daripada tuan hamba, yang niat hamba kepada Allah subhanahu wataala kepada siang dan malam dan hendak mati di bawah kadam tuan hamba juga. Daripada sangat belas hati hamba, maka hamba katakan rahsia ini kepada tuan hamba. Inilah hal saudara tuan hamba yang diharapkan itu. Hamba dapati afalnya itu selama ia diam pada kita di sini. Maka hari pun malamlah sudah, maka pada ketika awal dinihari tuan hamba pun tatkala tidur tiada sedarkan diri, tatkala itu hamba sakit perut hendak qada hajat, maka hamba pun pergi pada tempat buang air seni. Setelah sudah hamba buang air seni itu, maka hamba pun keluar hendak kembali. Maka dipegang oleh Sabor tangan hamba. Maka hamba pun hendak berteriak, maka dihunusnya jambiahnya hendak menikam; daripada hamba takutkan mati, maka hamba pun diamlah. Maka hendak dicabulinya hamba, maka hamba pun tiada mahu pula, daripada hamba takut akan Allah taala dan takut akan tuan hamba, malulah hamba, baiklah hamba mati dibunuhnya sekalipun, daripada derhaka akan tuan hamba”.

(i) Apakah maksud rangkai kata Hamba dapati afalnya berdasarkan petikan di atas?[2 markah]
(ii) Apakah yang diadukan oleh Saidah kepada Jibor?[ 3 markah]
(iii) Sekiranya anda Jibor, apakah tindakan-tindakan yang akan anda ambil terhadap Sabor selepas mendengar aduan Saidah?[3 markah]

Soalan 2 (d) Petikan Puisi

Baca puisi di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.


SYAIR KELEBIHAN ILMU


Ilmu itulah gemala sakti, Bagi yang duka ia penghibur,
Sinarnya cerah cahaya sejati, Ia penerang bagi yang kabur,
Asal puncanya lamun didapati, Ialah kandil di dalam kubur,
Sukar bercerai sehinga mati. Lamun dengannya beramal subur.

Harganya tidak dapat dinilaikan, Ia penerang jalan ke syurga,
Sebuah dunia belinya bukan, Ia pemuas tekak yang dahaga,
Kuasanya besar sukat digunakan, Ialah sungai ialah telaga,
Di laut di darat di rimba di pekan. Laut yang luas ialah juga.

Masa seorang ialah taulan, Ialah alat sangat berguna,
Teman berbeka suluh berjalan, Idaman orang yang bijaksana,
Masa berhimpun ia pengenalan, Hamparnya luas amat saujana,
Hias penyata polan si polan. Tepinya ajal sempadannya fana.
Za’ba
Puisi Warisan, 1994.
Dewan Bahasa dan Pustaka.


(i) Berikan maksud rangkai kata Ia penerang bagi yang kabur seperti dalam syair di atas.[2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah cara-cara untuk melahirkan masyarakat berilmu?
3 markah]
(iii) Nyatakan 3 persoalan yang terdapat dalam syair di atas.[3 markah]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan