Penerapan Komponan Sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu diharapkan dapat melahirkan generasi muda yang ’berakhlak’. Berikan ulasan anda berdasarkan karya sastera yang telah anda pelajari.
Pada zaman era globalisasi dan pasca
modenisasi, masyarakat kini terutamanya
generasi muda kurang menitikberatkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian
mereka. Selaras dengan ledakan
teknologi, generasi muda yang imannya
hanya setebal kulit bawang kini
lebih terdedah kepada unsur-unsur
negatif di sekeliling mereka.
Natijahnya, kebejatan sosial kini kian menular dan merunsingkan pelbagai
pihak. Kementerian Pelajaran telah
mengambil langkah memperkenalkan komponan sastera dalam mata pelajaran Bahasa
Melayu di sekolah dengan harapan agar
nilai-nilai murni yang terdapat
dalam karya-karya sastera yang
dipelajari akan dapat dijadikan
ikhtibar dan teladan dalam diri mereka. Langkah ini bertujuan untuk melahirkan
generasi muda yang berakhlak sesuai dengan pepatah ’yang baik jadikan teladan,
yang buruk jadikan sempadan’.
Melalui komponan sastera dalam mata pelajaran
Bahasa Melayu, generasi muda yang berakhlak dapat diwujudkan kerana banyak
nilai murni dan budaya dapat diambil sebagai iktibar dan teladan dalam meniti
kehidupan seharian. Hal ini jelas ditonjolkan
dalam novel Di Hadapan Pulau karya A. Samad Said melalui watak-watak remaja
seperti Aziz dan Afidah. Mereka
mengamalkan sikap dan nilai positif seperti berdikari, tabah dan kasih sayang
dalam mengharungi kehidupan pada zaman perang.
Dalam usia setahun jagung mereka mampu meneruskan kelangsungan hidup
walaupun dikelilingi keperitan dan penderitaan,
Oleh hal yang demikian, sekiranya generasi muda kini mempraktikkan
nilai-nilai murni yang dipelajari ini, sudah pastilah hasrat negara untuk
melahirkan generasi muda yang dinamik dan berwawasan di masa hadapan akan
menjadi kenyataan.
Selain itu, komponan sastera dalam mata pelajaran
Bahasa Melayu juga mampu mempengaruhi sikap dan tindakan remaja selaras dengan
kehendak dan norma masyarakat. Banyak unsur
sastera yang bersifat deduktif dapat melahirkan generasi
muda
yang berakhlak mulia contohnya watak
Muliati dalam cerpen Menatap Wajahnya karya Siti Hajar Mohd.Zaki. Muliati menunjukkan sikap tidak mengalah
kepada kecacatan dan kekurangan kasih sayang dalam memperjuangkan cita-citanya
untuk sampai ke menara gading. Meskipun
dianggap lemah kerana kecacatan fizikalnya, berkat dorongan cikgu Balkis,
Muliati akhirnya berjaya menggenggam
segulung ijazah. Hal ini jelas
menunjukkan bahawa sekiranya remaja mempunyai keazaman dan daya juang yang
tinggi segala impian akan menjadi kenyataan bak kata pepatah ’hendak seribu
daya tak nak seribu dalih’ dan ’jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat
sagunya’.
Di samping itu, komponan sastera dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu juga dapat memberikan impak yang besar dalam membina
sahsiah remaja kerana mereka boleh membuat perbandingan melalui bahan-bahan
yang dibaca dengan realiti kehidupan masyarakat kini. Melalui pembelajaran komponan sastera ini
banyak unsur kehidupan yang ditonjolkan dalam kisah-kisah dan pemerian watak
contohnya dalam mempelajari prosa tradisional berjudul ’Sabor’. Cerita ini
memaparkan unsur-unsur akhlak yang negatif seperti kecurangan, penipuan,
pemfitnahan dan hubungan terlarang.
Kesannya remaja dapat membuat pertimbangan antara nilai positif yang
perlu diikuti dan nilai negatif yang perlu dijauhi. Generasi yang berakhlak akan dapat menilai
’yang mana intan dan yang mana kaca’.
Begitu juga mereka dapat melihat realiti kehidupan masyarakat melalui
garapan sastera.
Komponan sastera yang diterapkan dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu juga dapat memupuk nilai-nilai kemasyarakatan dalam
diri pelajar. Nilai-nilai kemasyarakatan
perlu diterapkan dalam kalangan generasi muda
kini kerana kebanyakan mereka lebih bersikap individualistik dan
materialistik. Mereka bersikap demikian
kerana didikan ibu bapa yang rapuh dan keadaan masyarakat sekeliling yang
bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Sikap individualistik dan materialistik ini
telah mendatangkan kesan yang buruk contohnya masyarakat kini sudah tiada
semangat bergotong-royong, sering mencetuskan perkelahian antara jiran tetangga
dan menimbulkan suasana huru-hara. Hal
ini telah menyukarkan proses integrasi nasional. Nilai-nilai kemasyarakatan ini dapat
diterapkan dalam diri generasi muda melalui pembacaan bahan sastera
seperti drama ’Serinara’. Dalam drama tersebut rakyat ketika itu
digambarkan hidup dalam keadaan bersatu padu dan bekerjasama dalam melakukan sesuatu
pekerjaan sesuai dengan pepatah ’bersatu kita teguh bercerai kita roboh’dan
’yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing’. Tanpa perpaduan sebarang usaha yang dilakukan tidak dapat dijayakan. Hal ini jelas dipaparkan oleh Raja Sulaiman dalam
drama tersebut yang menyeru rakyatnya agar bersatu padu dan bekerja dengan
ikhlas untuk membina sebuah negeri yang aman.
Sikap tidak yakin akan kebolehan diri sendiri dan
kurang kepercayaan terhadap kebesaran agama begitu ketara dalam kalangan generasi
kini. Hal ini demikian kerana mereka
tidak mempunyai komitmen terhadap diri sendiri dan cetek pengetahuan agama. Mereka sukar membuat
keputusan, akhirnya segala usaha akan
menemui kegagalan. Segala yang berlaku itu adalah ketentuanNya juga. Lantaran
itu, alangkah baiknya jika generasi muda
kini mencontohi sikap Muliati yang berusaha keras demi mencapai kejayaan dalam
cerpen yang berjudul ’Menatap Wajahnya’
karya Siti Hajar Mohd.Zaki . Kebesaran agama pula dipaparkan dalam karya prosa tradisional yang berjudul
Sabor. Generasi muda yang berakhlak akan
dapat dilahirkan jika mereka benar-benar menghayati nilai-nilai murni tersebut
dalam kehidupan seharian.
Tuntasnya, komponan sastera dalam Bahasa Melayu
yang kurang diberi perhatian oleh
pelajar selama ini mampu menjana generasi muda ke arah mewujudkan insan yang
berketerampilan dan bersasiah tinggi. Oleh hal yang demikian, semua pihak
perlulah berganding bahu memartabatkan komponan sastera dalam Bahasa Melayu
sebagai wadah pembentuk generasi berakhlak.
Hasrat Perdana Menteri untuk melahirkan insan yang cemerlang, gemilang
dan terbilang akan menjadi realiti kerana generasi muda merupakan pewaris
bangsa yang akan memimpin negara pada masa hadapan. Akhir kata terimalah serangkap pantun :
Pagi-pagi
Ke Batu Pahat,
Sambil
Membawa Buah Salak,
Komponan
Sastera Kaya Nasihat,
Wadah
Utama Generasi Berakhlak
Cikgu saya spm hari ni
BalasPadamSaya copy
BalasPadam