CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Ahad, 28 Jun 2015

Contoh esei PT3 Sejarah



Tajuk : Persetiaan Persekutuan 1895 : Ke arah penubuhan Persekutuan yang kukuh
Nama : Haikal Bin Zamri

Pengenalan 

Menjelang  tahun 1874 British melaksanakan dasar campur tangan secara langsung dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu.  Namun begitu langkah mencampuri urusan dalam negeri Melayu telah bemula lebih awal di Pulau Pinang, Singapura dan Melaka melalui penubuhan Negeri-negeri Selat dan selepas termeterainya Perjanjian Inggeris Belanda 1824. Antara sebab campur tangan tersebut antara lain ialah kebimbangan Inggeris terhadap kuasa Eropah lain yang sedang berada di Asia Tenggara seperti Perancis di IndoChina, Sepanyol di Filipina, Belanda di Indonesia. British tidak mahu kepentingan ekonominya di Negeri Melayu diancam oleh kuasa ini.

Natijahnya British berjaya menguasai negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan terakhir ialah negeri Pahang. Di keempat-empat negeri ini British melaksanakan sistem Residen sebagai cara pentadbiran atau pemerintahan. Kejayaan British menguasai negeri tersebut banyak disebabkan oleh pertelingkahan antara raja dan pembesar negeri di samping berebut pengaruh dan kuasa.

Namun begitu sistem Residen memiliki beberapa kelemahan yang ketara yang turut disedari oleh British sendiri. Bagi raja Melayu pada masa itu kuasa Residen telah menjadi dominan dalam pentadbiran negeri. Residen mengambil alih kuasa pentadbiran dan pungutan cukai. Hal ini terjadi kerana Residenlah yang menjalankan semua urusan pentadbiran. Nasihat resdien sebenarnya merupakan kata putus yang perlu diikuti oleh sultan. Namun ada sesetengah Residen juga turut campur dalam isu berkaitan adat resam pembesar dan raja pada masa itu.

Sistem Residen juga bukanlah satu sistem yang terancang kerana kuasa Residen di setiap negeri dilihat berbeza, tidak seragam dan tidak memiliki satu panduan tugas yang sama antara keempat-empat buah negeri ini. Hal ini menyebabkan terdapatnya idea menyatukan pentadbiran keempat-empat negeri ini dalam sebuah pentadbiran.

Idea menyatukan pentadbiran negeri Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor  dikemukakan oleh Frank Swettenham pada tahun 1892 kepada Gabenor Negeri-negeri Selat, Cecil Smith. Pada tahun 1893, Cecil Smith menghantar laporan kepada Pejabat Tanah Jajahan mencadangkan penubuhan persekutuan . Dalam laporan itu, beliau menegaskan penubuhan persekutuan akan menguntungkan British dan negeri tersebut dari segi politik, ekonomi dan sosial. Frank Swettenham mengambil inisiatif dengan mendapatkan persetujuan Sultan Perak, Selangor, Pahang dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan terhadap penubuhan persekutuan. Pada 1 Julai 1895, Sultan tersebut menandatangani perjanjian persekutuan. Pada 1 Julai 1896, Negeri-negeri Melayu Bersekutu ditubuhkan semasa Sir Charles Mitchell menjadi Gabenor Negeri-negeri Selat.

Faktor-faktor penubuhan

1. Untuk mewujudkan keseragaman dan kecekapan pentadbiran 

Perlaksanaan sistem Residen telah menyebabkan Residen dilantik di Perak pada  1874,  Selangor ( 1874 ), Pahang (1888 ) dan Negeri Sembilan(1895 ). Pada awalnya Residen dihantar sebagai penasihat untuk menasihati sultan dalam semua hal kecuali hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam dan adat-istiadat orang Melayu. Walau bagaimanapun, Residen tidak diberi garis panduan di dalam melaksanakan tugas di Negeri-negeri Melayu. Perlaksanaan sistem Residen bergantung kepada sepenuhnya di atas kebijaksanaan Residen yang dilantik. Kejayaan dan kegagalan menjadi tanggungjawab Residen. Akibatnya, berlaku ketidakseragaman dalam pentadbiran di negeri Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan. Kemajuan di antara negeri ini juga tidak seimbang kerana kebolehan dan cara pentadbiran Residen berbeza-beza.

Terdapat juga perbezaan-perbezaan dalam pentadbiran Undang-undang Tanah, keadilan dan sistem cukai di antara negeri-negeri tersebut. Kemajuan juga tidak seimbang di mana negeri yang kaya iaitu Perak dn Selangor lebih maju dari negeri yang miskin seperti Pahang. Kerjasama antara negeri sukar dijalankan sebab negeri ini mempunyai unit politik yang berasingan. Frank Swettenham berpendapat penubuhan persekutuan akan mewujudkan keamanan dan kecekapan pentadbiran kerana pentadbiran akan dijalankan mengikut arahan pusat. Perkara yang berkaitan seperti sistem pentadbiran, cukai, undang-undang tanah dan keadilan akan dapat  disatukan dan diselaraskan. Hal ini akan menjimatkan kos pentadbiran. Usaha memajukan sistem perhubungan juga dapat dilaksanakan dengan menghubungkan jalan raya dan keretapi di negeri tersebut. Pada dasarnya, penubuhan persekutuan akan mewujudkan kerjasama ekonomi, politik dan sosial.
2. Menghadkan kuasa Residen
Perlaksanaan sistem Residen telah menyebabkan perlantikan Residen di keempat-empat negeri yang diperkatakan. Walaupun Residen dilantik sebagai penasihat, mereka muncul sebagai kuasa paling berkesan kerana segala urusan pentadbiran dijalankan atas arahan Residen. Sultan dan Majlis Negeri tidak dapat menyekat kuasa Residen. Malah Sultan dan pembesar Melayu terpaksa merujuk kepada Residen dalam menjalankan pentadbiran negeri. Majlis Mesyuarat Negeri kehilangan fungsi sebagai institusi pentadbiran kerana Residen mempunyai kuasa mutlak.

Semua undang-undang yang diluluskan seperti Undang-undang Tanah mesti ditandantangani oleh Residen sebelum berkuatkuasa. Gabenor Negeri-negeri Selat juga tidak dapat mengawal kuasa Residen kerana beliau berada di Singapura dan sibuk dengan urusan-urusan Negeri-negeri Selat. Penubuhan persekutuan akan mengurangkan kuasa Residen kerana mereka terpaksa tertakluk kepada arahan kerajaan pusat dan pentadbiran negeri.

3. Masalah kewangan Pahang 

Ahli-ahli sejarah seperti Profesor Khoo Kay Kim dan K.G. Tregonning berpendapat bahawa masalah kewangan Pahang menyebabkan British menubuhkan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. British menduduki Pahang pada tahun 1886 di mana J.P. Rodgers menjadi Residen pertama. British mengambil Pahang dengan harapan Pahang mempunyai prospek ekonomi cemerlang. Apa yang sebenarnya ialah Pahang merupakan negeri miskin dengan jumlah penduduk dan hasil bumi yang kurang.

Pada tahun 1890-an, Pahang menghadapi masalah kewangan. Dalam menjalankan pentadbiran, British mendapat bantuan kewangan dari Negeri-negeri Selat. Pada akhir tahun 1891, hutang Pahang pada Negeri-negeri Selat ialah $600 ribu. Pada akhir tahun 1892, hutang meningkat kepada $800 ribu. Masalah kewangan Pahang semakin runcing apabila berlaku kebangkitan Pahang 1891-1895.                                        
Diharapkan dengan penubuhan persekutuan, hasil negeri kaya seperti Perak dan Selangor dapat digunakan untuk membantu negeri-negeri miskin seperti Pahang jika negeri-negeri ini digabungkan sebagai satu unit politik. Frank Swettenham dan C.D. Cowan (Pegawai Tanah Jajahan) menegaskan British tidak sepatutnya berundur dari Pahang sebaliknya memajukan Pahang daripada hasil Perak dan Selangor apabila ia bergabung.


4. Keselamatan 

Sejarawan A.C. Miller menegaskan faktor keselamatan menyebabkan penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896. British bimbang kekacauan seperti Perang Perak pada 1875-an dan Kebangkitan Pahang 1891-1895 akan berlaku lagi. Penubuhan persekutuan akan membolehkan Negeri-negeri Melayu Bersekutu mempunyai kemampuan dan keupayaan dari segi ketenteraan, khususnya dalam menjaga keamanan persekutuan tanpa mengharapkan bantuan luar.
5. Dasar British
Memang menjadi dasar British pada akhir abad ke-19 untuk menggabungkan negeri kecil di bawah satu pentadbiran yang dikenali sebagai persekutuan. Penubuhan persekutuan akan memberi kebaikan politik, ekonomi dan sosial kepada British dan Negeri Melayu. Negeri-negeri Melayu Bersekutu ditubuhkan selepas kejayaan British dalam penubuhan persekutuan di Amerika Utara, India, Afrika, Australia dan New Zealand. Pendapat ini disokong oleh ahli sejarah seperti A.C. Miller dalam bukunya “Federation Decision of 1895” dan Jagjit Singh dalam bukunya “Administration of the Federation Malay States 1896-1920”.

Kesan-kesan

1.  Mewujudkan keseragaman dan kecekapan pentadbiran.

Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu berjaya mewujudkan keseragaman dan kecekapan pentadbiran di seluruh persekutuan. Keamanan dan peraturan yang stabil dan menyeluruh berjaya diwujudkan di seluruh persekutuan. Perkara yang berkaitan dengan persekutuan seperti sistem pentadbiran, cukai, keadilan, Undang-undang Tanah dapat disatu dan diselaraskan kerana semua urusan pentadbiran dijalankan atas arahan kerajaan pusat, khususnya arahan Residen Jeneral yang mengenai persekutan. Bagi memudahkan pentadbiran, beberapa jabatan seperti kewangan, polism kastam, perhutanan, hal-ehwal orang Cina, kerja raya, keretapi ditubuhkan. Frank Swettenham dilantik sebagai Residen Jeneral pertama pada 1 Julai 1896.

2. Residen Jeneral menjadi kuasa pentadbir yang baru

Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu menyebabkan Residen Jeneral muncul sebagai orang paling berkuasa dalam persekutuan kerana semua urusan pentadbiran dijalankan atas arahannya. Sultan, Residen dan Majlis Mesyuarat Negeri tidak dapat mengawal kuasanya. Mereka tertakluk di bawah arahan Residen Jeneral dalam menjalankan pentadbiran negeri.
Gabenor Negeri-negeri Selat yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan juga tidak dapat mengawal kuasa Residen Jeneral kerana beliau berada di Singapura untuk mentadbir Negeri-negeri Selat. Selain itu, sudah menjadi kecenderungan Residen Jeneral menjalankan pentadbiran tanpa merujuk kepada Pesuruhjaya Tinggi. Majlis Mesyuarat Persekutuan yang diharap mengawal kuasa Residen Jeneral tidak ditubuhkan sehingga tahun 1909.

Penubuhan persekutuan juga menyebabkan Sultan, Residen dan Majlis Mesyuarat Negeri kehilangan kuasa. Mereka tertakluk di bawah arahan Residen Jeneral dalam menjalankan pentadbiran. Kuasa Sultan hanya dalam hal-ehwal agama Islam dan adat resam Melayu. Residen tidak lagi bebas menjalankan pentadbiran negeri kerana mereka tertakluk di bawah arahan Residen Jeneral. Majlis Mesyuarat Negeri kehilangan fungsi sebagai institusi pentadbiran.
Majlis Mesyuarat Negeri diberi kuasa meluluskan undang-undang tetapi undang-undang digubal oleh Pegawai Persekutuan yang dikenali sebagai Penasihat Undang-undang. Majlis Mesyuarat Negeri tiada kuasa pembatal dan terpaksa meluluskan undang-undang yang dipersetujui. Penubuhan Jabatan Persekutuan telah menyebabkan lebih ramai Pegawai British yang diambil tugas. Keadaan ini menunjukkan seolah-olah Negeri-negeri Melayu Bersekutu ditadbir secara langsung oleh British.

Pemusatan kuasa yang keterlaluan telah menimbulkan bantahan Sultan, contohnya, dalam Majlis Mesyuarat Raja-raja Kedua di Kuala Lumpur pada tahun 1903, Sultan Idris (Perak) telah mengecam hebat pemusatan kuasa dan mendesak diambil langkah melaksanakan desentralisasi (pengagihan kuasa) bagi mengembalikan kuasa Sultan, Residen dan Majlis Mesyuarat Negeri. Sultan Idris juga mendesak lebih ramai orang Melayu dilantik dalam jabatan persekutuan. Penubuhan persekutuan membolehkan Sultan Perak, Selangor, Pahang dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan bertemu dan berbincang bersama-sama kepentingan bersama dalam Majlis Mesyuarat Raja-raja sejak tahun 1897 dan Majlis Mesyuarat Persekutuan sejak 1909.

3. kestabilan ekonomi 

Perkembangan ekonomi yang pesat di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan kestabilan politik telah membawa kepada kestabilan ekonomi. Keseragaman dan kecekapan, keamanan dan keaturan serta pentadbiran yang berkesan telah menyebabkan lebihan hasil dan hasil persekutuan dapat digunakan oleh semua negeri dalam semua gabungannya.
Kedatangan pelabur dari luar juga telah menyebabkan berlakunya pertambahan hasil di Negeri-negeri Melayu Bersekutu, contohnya hasil Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada 1896 berjumlah $8.5 juta telah meningkat kepada $24 juta pada tahun 1909. Pembinaan sistem jalan raya dan jalan keretapi terutamanya yang menghubungkan negeri telah memajukan lagi kegiatan ekonomi Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun 1904, sudah terdapat jalan raya sepanjang 2400 km dan jalan keratapi sepanjang 340 batu. Pada tahun 1903, terdapat jalan keretapi dari Perai ke Seremban dan disambungkan ke Johor Bahru pada tahun 1909.

Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah memajukan perusahaan bijih timah dan getah. Pada tahun 1889 eksport bijih timah dari negeri Perak, Pahang Selangor dan Negeri Sembilan berjumlah 20000 tan. Dan menjadi  700000 tan pada tahun 1904. Ianya berdasarkan faktor penggunaan kapal korek yang digunakan oleh pelabur tersebut.

 Begitu juga dengan perusahaan getah yang semakin berkembang selepas penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun 1897, hanya terdapat 345 ekar, 1905 – 50 ribu ekar dan 1909 meningkat kepada 200 ribu ekar yang ditanami getah.

4. mewujudkan keamanan  

Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah berjaya mewujudkan keamanan dan peraturan. Jaminan keselamatan dan persamaan hak di sisi undang-undang telah menggalakkan imigran Cina dan India memasuki bidang perlombongan bijih timah. Dan perushaan getah .Kedatangan imigran telah menyebabkan pertambahan penduduk di Negeri-negeri Melayu Bersekutu.
Selain itu, kedatangan imigran juga mewujudkan masyarakat majmuk. Orang-orang Cina dan India adalah masyarakat yang berasingan dan tidak dapat mengasimilasikan diri dalam masyarakat Melayu. Penubuhan pesekutuan menyebabkan perutmbuhan dan perkembangan . bandar-bandar seperti Taiping, Kuala Lumpur, Kelang dan lain-lain lagi.

5. kemajuan perkhidmatan sosial 

Selain itu, terdapat pelbagai kemudahan sosial seperti perhubungan, kesihatan, pelajaran dan lain-lain. Walau bagaimanapun, kemudahan sosial itu mempunyai kepentingan ekonomi kerana ia disediakan di kawasan yang mempunyai kegiatan ekonomi. Pada tahun 1909, terdapat 52 buah klinik di persekutuan dan 1904 kemudahan perhubungan diadakan (2400 km jalan raya dan 340 batu jalan keretapi).

Dalam bidang pelajaran, banyak sekolah-sekolah didirikan di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun 1907, terdapat 266 buah sekolah Melayu, 1903 terdapat 15 buah sekolah Tamil dan 1911, 50 buah sekolah Cina. Selain itu, terdapat sekolah Inggeris yang didirikan oleh kerajaan dan mubaligh.

22 ulasan:

  1. Terima kasih cikgu.. Senang pelajar saya buat rujukan nanti.

    BalasPadam
  2. Cikgu apa contoh peribahasa yang boleh dimasukkan dalam laporan?

    BalasPadam
  3. cikgu ape contoh perkaitan perjanjian dengan malaysia kini?

    BalasPadam
  4. Terima kasih Cikgu halalkan apa yang saya amik dalam ni

    BalasPadam
  5. Cikgu terima kasih sbb ada esei pt3 dalam internet THANK YOU

    BalasPadam
  6. Thank you very much,Cikgu..It really really help me for doing my 'Esei'...Ianya sngat berguna for me...Thanks,Cikgu:)

    BalasPadam
  7. terima kasih cikgu esei tersebut sangat berguna

    BalasPadam
  8. tak ada rumusan.....

    BalasPadam