CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Rabu, 24 Jun 2015

BAHAN RUJUKAN PT S SEJ 2015



DI BAWAH MERUPAKAN NOTA SEJARAH TINGKATAN ENAM. ANDA BOLEH MENGGUNAKANNYA SEBAGAI RUJUKAN BAGI MEMBUAT TUGASAN PT 3 SEJARAH 2015. 

TINDAKAN

- PRINT
- BACA
- FAHAMKAN
- CARI ISI PENTING
- BUAT CATATAN RINGKAS
- MASUKKAN DALAM PENULISAN TUGASAN PT 3



SEJ T 6 Negeri-negeri Melayu Bersekutu 1896( PERSETIAAN 1895 )

Negeri-negeri Melayu Bersekutu 1896

Pengenalan 

Idea penubuhan persekutuan dikemukakan oleh Frank Swettenham pada tahun 1892 kepada Gabenor Negeri-negeri Selat, Cecil Smith. Pada tahun 1893, Cecil Smith menghantar laporan kepada Pejabat Tanah Jajahan mencadangkan penubuhan persekutuan yang terdiri daripada Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Dalam laporan itu, beliau menegaskan penubuhan persekutuan akan menguntungkan British dan negeri tersebut dari segi politik, ekonomi dan sosial. Frank Swettenham mengambil inisiatif dengan mendapatkan persetujuan Sultan Perak, Selangor, Pahang dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan terhadap penubuhan persekutuan. Pada 1 Julai 1895, Sultan tersebut menandatangani perjanjian persekutuan. Pada 1 Julai 1896, Negeri-negeri Melayu Bersekutu ditubuhkan semasa Sir Charles Mitchell menjadi Gabenor Negeri-negeri Selat.

Faktor-faktor penubuhan

1. Untuk mewujudkan keseragaman dan kecekapan pentadbiran
Perlaksanaan sistem Residen telah menyebabkan Residen dilantik di Perak pada November 1874, di Selangor pada Disember 1874, Pahang pada tahun 1888 dan Negeri Sembilan pada tahun 1895. Residen dihantar sebagai penasihat untuk menasihati Sultan dalam semua hal kecuali hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam dan adat-istiadat orang Melayu. Walau bagaimanapun, Residen tidak diberi garis panduan di dalam melaksanakan tugas di Negeri-negeri Melayu. Perlaksanaan sistem Residen bergantung kepada sepenuhnya di atas kebijaksanaan Residen yang dilantik. Kejayaan dan kegagalan menjadi tanggungjawab Residen. Akibatnya, berlaku ketidakseragaman dalam pentadbiran di negeri Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan. Kemajuan di antara negeri ini juga tidak seimbang kerana kebolehan dan cara pentadbiran Residen berbeza-beza.

Terdapat juga perbezaan-perbezaan dalam pentadbiran Undang-uhndang Tanah, keadilan dan sistem cukai di antara negeri-negeri tersebut. Kemajuan juga tidak seimbang di mana negeri yang kaya iaitu Perak dn Selangor lebih maju dari negeri yang miskin seperti Pahang. Kerjasama antara negeri sukar dijalankan sebab negeri ini mempunyai unit politik yang berasingan. Frank Swettenham berpendapat penubuhan persekutuan akan mewujudkan keamanan dan kecekapan pentadbiran kerana pentadbiran akan dijalankan mengikut arahan pusat. Perkara yang berkaitan seperti sistem pentadbiran, cukai, undang-undang tanah dan keadilan akan disatukan dan diselaraskan. Hal ini akan menjimatkan kos pentadbiran. Usaha memajukan sistem perhubungan juga dapat dilaksanakan dengan menghubungkan jalan raya dan keretapi di negeri tersebut. Pada dasarnya, penubuhan persekutuan akan mewujudkan kerjasama ekonomi, politik dan sosial.

2. Menghadkan kuasa Residen
 
Perlaksanaan sistem Residen telah menyebabkan perlantikan Residen di Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan. Walaupun Residen dilantik sebagai penasihat, mereka muncul sebagai kuasa paling berkesan kerana segala urusan pentadbiran dijalankan atas arahan Residen. Sultan dan Majlis Negeri tidak dapat menyekat kuasa Residen. Malah Sultan dan pembesar Melayu terpaksa merujuk kepada Residen dalam menjalankan pentadbiran negeri. Majlis Mesyuarat Negeri kehilangan fungsi sebagai institusi pentadbiran kerana Residen mempunyai kuasa mutlak.

Semua undang-undang yang diluluskan seperti Undang-undang Tanah mesti ditandantangani oleh Residen sebelum berkuatkuasa. Gabenor Negeri-negeri Selat juga tidak dapat mengawal kuasa Residen kerana beliau berada di Singapura dan sibuk dengan urusan-urusan Negeri-negeri Selat. Penubuhan persekutuan akan mengurangkan kuasa Residen kerana mereka terpaksa tertakluk kepada arahan kerajaan pusat dan pentadbiran negeri.

3. Masalah kewangan Pahang
 
Ahli-ahli sejarah seperti Profesor Khoo Kay Kim dan K.G. Tregonning berpendapat bahawa masalah kewangan Pahang menyebabkan British menubuhkan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. British menduduki Pahang pada tahun 1886 di mana J.P. Rodgers menjadi Residen pertama. British mengambil Pahang dengan harapan Pahang mempunyai prospek ekonomi cemerlang. Apa yang sebenarnya ialah Pahang merupakan negeri miskin dengan jumlah penduduk dan hasil bumi yang kurang.

Pada tahun 1890-an, Pahang menghadapi masalah kewangan. Dalam menjalankan pentadbiran, British mendapat bantuan kewangan dari Negeri-negeri Selat. Pada akhir tahun 1891, hutang Pahang pada Negeri-negeri Selat ialah $600 ribu. Pada akhir tahun 1892, hutang meningkat kepada $800 ribu. Masalah kewangan Pahang semakin runcing apabila berlaku kebangkitan Pahang 1891-1895. Jadi beberapa cadangan dikemukakan oleh British untuk mengatasi masalah ini.
Cadangan pertama ialah British berundur dari Pahang dan menyerahkan pentadbiran kepada Sultan. Langkah ini tidak dapat dilaksanakan kerana ia menjatuhkan maruah British. Tindakan ini juga membuka peluang kepada kuasa lain untuk bertapak di Pahang yang sudah tentu akan menjejaskan kepentingan British.

Cadangan kedua ialah British mendapatkan pinjaman dari Negeri-negeri Selat. Ia tidak dapat dilaksanakan kerana pada tahun 1890-an, Negeri-negeri Selat juga menghadapi masalah kewangan. Hutang yang berjumlah $800 ribu pada tahun 1892 masih belum diselesaikan.
Cadangan ketiga ialah British mendapat bantuan kewangan dari negeri yang kaya seperti Perak dan Selangor. Cadangan ini tidak dapat dilaksanakan kerana Perak dan Selangor enggan membantu sebab ianya satu unit politik berasingan.
Diharapkan dengan penubuhan persekutuan, hasil negeri kaya seperti Perak dan Selangor dapat digunakan untuk membantu negeri-negeri miskin seperti Pahang jika negeri-negeri ini digabungkan sebagai satu unit politik. Frank Swettenham dan C.D. Cowan (Pegawai Tanah Jajahan) menegaskan British tidak sepatutnya berundur dari Pahang sebaliknya memajukan Pahang daripada hasil Perak dan Selangor apabila ia bergabung.

4. Keselamatan
 
A.C. Miller menegaskan faktor keselamatan menyebabkan penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896. British bimbang kekacauan seperti Perang Perak pada 1875-an dan Kebangkitan Pahang 1891-1895 akan berlaku lagi. Penubuhan persekutuan akan membolehkan Negeri-negeri Melayu Bersekutu mempunyai kemampuan dan keupayaan dari segi ketenteraan, khususnya dalam menjaga keamanan persekutuan tanpa mengharapkan bantuan luar. C.P. Lucan dalam laporannya menegaskan penubuhan persekutuan perlu dilihat dari segi aspek keselamatan negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat.

5. Dasar British
 
Memang menjadi dasar British pada akhir abad ke-19 untuk menggabungkan negeri kecil di bawah satu pentadbiran yang dikenali sebagai persekutuan. Penubuhan persekutuan akan memberi kebaikan politik, ekonomi dan sosial kepada British dan Negeri Melayu. Negeri-negeri Melayu Bersekutu ditubuhkan selepas kejayaan British dalam penubuhan persekutuan di Amerika Utara, India, Afrika, Australia dan New Zealand. Pendapat ini disokong oleh ahli sejarah seperti A.C. Miller dalam bukunya “Federation Decision of 1895” dan Jagjit Singh dalam bukunya “Administration of the Federation Malay States 1896-1920”.


Kesan-kesan

1. Politik 

Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu berjaya mewujudkan keseragaman dan kecekapan pentadbiran di seluruh persekutuan. Keamanan dan peraturan yang stabil dan menyeluruh berjaya diwujudkan di seluruh persekutuan. Perkara yang berkaitan dengan persekutuan seperti sistem pentadbiran, cukai, keadilan, Undang-undang Tanah dapat disatu dan diselaraskan kerana semua urusan pentadbiran dijalankan atas arahan kerajaan pusat, khususnya arahan Residen Jeneral yang mengenai persekutan. Bagi memudahkan pentadbiran, beberapa jabatan seperti kewangan, polism kastam, perhutanan, hal-ehwal orang Cina, kerja raya, keretapi ditubuhkan. Frank Swettenham dilantik sebagai Residen Jeneral pertama pada 1 Julai 1896.

Negeri-negeri Melayu Bersekutu bukan merupakan sebuah persekutuan dalam erti kata sebenarnya lebih merupakan kesatuan politik. Semua urusan pentadbiran dijalankan atas arahan kerajaan pusat khususnya Residen Jeneral yang berkuasa penuh dalam semua hal-ehwal termasuk kewangan. Punca utama hasil (duti eksport) juga dibawah kawalan kerajaan pusat. Tiada pembahagian antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Kerajaan negeri hanya mengikut arahan pusat dalam menjalankan pentadbiran. Penubuhan Jabatan Persekutuan menyebabkan tumpuan besar ke atas kerajaan pusat. Jabatan negeri mengikut arahan jabatan pusat.

Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu menyebabkan Residen Jeneral muncul sebagai orang paling berkuasa dalam persekutuan kerana semua urusan pentadbiran dijalankan atas arahannya. Sultan, Residen dan Majlis Mesyuarat Negeri tidak dapat mengawal kuasanya. Mereka tertakluk di bawah arahan Residen Jeneral dalam menjalankan pentadbiran negeri.

Gabenor Negeri-negeri Selat yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan juga tidak dapat mengawal kuasa Residen Jeneral kerana beliau berada di Singapura untuk mentadbir Negeri-negeri Selat. Selain itu, sudah menjadi kecenderungan Residen Jeneral menjalankan pentadbiran tanpa merujuk kepada Pesuruhjaya Tinggi. Majlis Mesyuarat Persekutuan yang diharap mengawal kuasa Residen Jeneral tidak ditubuhkan sehingga tahun 1909.

Penubuhan persekutuan juga menyebabkan Sultan, Residen dan Majlis Mesyuarat Negeri kehilangan kuasa. Mereka tertakluk di bawah arahan Residen Jeneral dalam menjalankan pentadbiran. Kuasa Sultan hanya dalam hal-ehwal agama Islam dan adat resam Melayu. Residen tidak lagi bebas menjalankan pentadbiran negeri kerana mereka tertakluk di bawah arahan Residen Jeneral. Majlis Mesyuarat Negeri kehilangan fungsi sebagai institusi pentadbiran.

Majlis Mesyuarat Negeri diberi kuasa meluluskan undang-undang tetapi undang-undang digubal oleh Pegawai Persekutuan yang dikenali sebagai Penasihat Undang-undang. Majlis Mesyuarat Negeri tiada kuasa pembatal dan terpaksa meluluskan undang-undang yang dipersetujui. Penubuhan Jabatan Persekutuan telah menyebabkan lebih ramai Pegawai British yang diambil tugas. Keadaan ini menunjukkan seolah-olah Negeri-negeri Melayu Bersekutu ditadbir secara langsung oleh British.

Pemusatan kuasa yang keterlaluan telah menimbulkan bantahan Sultan, contohnya, dalam Majlis Mesyuarat Raja-raja Kedua di Kuala Lumpur pada tahun 1903, Sultan Idris (Perak) telah mengecam hebat pemusatan kuasa dan mendesak diambil langkah melaksanakan desentralisasi (pengagihan kuasa) bagi mengembalikan kuasa Sultan, Residen dan Majlis Mesyuarat Negeri. Sultan Idris juga mendesak lebih ramai orang Melayu dilantik dalam jabatan persekutuan. Penubuhan persekutuan membolehkan Sultan Perak, Selangor, Pahang dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan bertemu dan berbincang bersama-sama kepentingan bersama dalam Majlis Mesyuarat Raja-raja sejak tahun 1897 dan Majlis Mesyuarat Persekutuan sejak 1909.

2. Ekonomi
 
Perkembangan ekonomi yang pesat di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan kestabilan politik telah membawa kepada kestabilan ekonomi. Keseragaman dan kecekapan, keamanan dan keaturan serta pentadbiran yang berkesan telah menyebabkan lebihan hasil dan hasil persekutuan dapat digunakan oleh semua negeri dalam semua gabungannya. Keadaan politik dan peluang-peluang ekonomi telah menggalakkan pelabur-pelabur dari Negeri-negeri Melayu atau Seberang Laut untuk melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi, khususnya bijih timah dan getah.

Kedatangan mereka telah menyebabkan berlakunya pertambahan hasil di Negeri-negeri Melayu Bersekutu, contohnya hasil Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada 1896 berjumlah $8.5 juta telah meningkat kepada $24 juta pada tahun 1909. Pembinaan sistem jalan raya dan jalan keretapi terutamanya yang menghubungkan negeri telah memajukan lagi kegiatan ekonomi Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun 1904, sudah terdapat jalan raya sepanjang 2400 km dan jalan keratapi sepanjang 340 batu. Pada tahun 1903, terdapat jalan keretapi dari Perai ke Seremban dan disambungkan ke Johor Bahru pada tahun 1909.

Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah memajukan perusahaan bijih timah dan getah. Buktinya pada tahun 1889 eksport bijih timah Perak, Pahang Selangor dan Negeri Sembilan berjumlah 20000 tan. Pada tahun 1904, eksport bijih timah persekutuan ialah 70000 tan. Selepas penubuhan persekutuan, orang-orang Eropah mula mengambil alih penguasaan ke atas perlombongan-perlombongan bijih timah yang dikuasai oleh orang-orang Cina. Begitu juga dengan perusahaan getah yang semakin berkembang selepas penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun 1897, hanya terdapat 345 ekar, 1905 – 50 ribu ekar dan 1909 meningkat kepada 200 ribu ekar yang ditanami getah.

3. Sosial
 
Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah berjaya mewujudkan keamanan dan peraturan. Jaminan keselamatan dan persamaan hak di sisi undang-undang telah menggalakkan imigran Cina dan India, lebih-lebih lagi terdapat peluang dalam perkhidmatan persekutuan dan perkembangan bijih timah. Kedatangan imigran telah menyebabkan pertambahan penduduk di Negeri-negeri Melayu Bersekutu.
Selain itu, kedatangan imigran juga mewujudkan masyarakat majmuk. Orang-orang Cina dan India adalah masyarakat yang berasingan dan tidak dapat mengasimilasikan diri dalam masyarakat Melayu. Penubuhan pesekutuan menyebabkan perutmbuhan dan perkembangan bandar-bandar seperti Taiping, Kuala Lumpur, Kelang dan lain-lain lagi.
Selain itu, terdapat pelbagai kemudahan sosial seperti perhubungan, kesihatan, pelajaran dan lain-lain. Walau bagaimanapun, kemudahan sosial itu mempunyai kepentingan ekonomi kerana ia disediakan di kawasan yang mempunyai kegiatan ekonomi. Pada tahun 1909, terdapat 52 buah klinik di persekutuan dan 1904 kemudahan perhubungan diadakan (2400 km jalan raya dan 340 batu jalan keretapi).

Dalam bidang pelajaran, banyak sekolah-sekolah didirikan di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun 1907, terdapat 266 buah sekolah Melayu, 1903 terdapat 15 buah sekolah Tamil dan 1911, 50 buah sekolah Cina. Selain itu, terdapat sekolah Inggeris yang didirikan oleh kerajaan dan mubaligh. Pada tahun 1905, Maktab Melayu Kuala Kangsar dibina khas untuk anak-anak golongan bangsawan. Pada tahun itu, kerajaan membina maktab teknik di Kuala Lumpur untuk menyediakan tenaga mahir bagi Jabatan Kerja Raya dan keretapi.

Pada hari ini dalam tahun 1896, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Selangor telah bergabung menjadi Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbirannya.
Usaha untuk menubuhkan Persekutuan Negeri-negeri Melayu Bersekutu ini bermula menjelang tahun 1892 apabila didapati bahawa Sistem Residen telah tidak sesuai lagi dan tidak dapat memenuhi kehendak pentadbiran penjajah Inggeris di Tanah Melayu. Cadangan rasmi yang pertama bagi mengadakan suatu bentuk persekutuan datangnya dari Sir Charles Lucas, seorang Pegawai Tetap di Pejabat Jajahan London dalam bulan Mac 1892 yang telah diasaskan dari perbincangan dengan Frank Swettenham. Penjajah British mendapati bahawa sistem yang paling sesuai bagi negeri-negeri Melayu ialah satu sistem di mana pentadbirannya diseragamkan supaya negeri-negeri yang lebih kuat dan kaya akan dapat membantu negeri-negeri yang lemah dan kurang mewah.

Untuk melaksanakan rancangan ini, pada tahun 1895, Frank Swettenham telah diutus ke negeri-negeri yang berkenaan untuk menerangkan rancangan tersebut kepada Raja-Raja Melayu serta mendapatkan persetujuan mereka. Frank Swettenham telah berjaya mendapatkan persetujuan daripada Raja-Raja berkenaan. Berikutannya satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Persekutuan 1895 telah ditandatangani di antara Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Cecil Clementi Smith bagi pihak Kerajaan British dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan Idris, Perak; Sultan Suleiman, Selangor; Sultan Mahmud, Pahang; dan Yam Tuan Besar Sri Menanti, Dato Bandar Sungai Ujong, Undang Johol, Undang Rembau dan Tengku Dewa Tampin. Menurut Perjanjian ini, Raja-Raja yang berkenaan bersetuju menempatkan diri mereka dan negeri-negeri mereka di bawah lindungan Kerajaan British dan menjadikan negeri-negeri mereka satu persekutuan yang akan dikenali sebagai Protected Malay States yang akan ditadbirkan dengan nasihat dari Kerajaan British.

19 ulasan:

  1. panjang tapi sangat berguna !!!
    tqvmch cikgu ....

    BalasPadam
  2. this is a ....what the.....is this.......ok blog cikgu mmang terbaik ........

    BalasPadam
  3. cikgu bolehkah beri cadangan kpd saya tentang tajuk tugasan sej pt3? terima kasih~ :D

    BalasPadam
    Balasan
    1. Persetiaan Persekutuan 1895

      Padam
    2. Pengukuhan Negara Bangsa Baru

      Padam
  4. kesan-kesan pemeteraian perjanjian 1895
    isi penting/huraian jawapan

    BalasPadam
  5. kesan-kesan pemeteraian perjanjian 1895
    isi penting/huraian jawapan

    BalasPadam
  6. panjng nmpak sehingga pening kepala\
    anywayss thks
    cikgu

    BalasPadam
  7. cikgu bleh bagi sye sej form 1 x tq

    BalasPadam
  8. cikgu bleh bagi sye sej form 1 x tq

    BalasPadam
  9. Cikgu Razak😅 pt3 2016 pnye takde ke 😔 nakk 😁

    BalasPadam