CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Rabu, 2 Oktober 2019

LATIHAN RUMUSAN BM 2 SPM


Soalan 1 : Rumusan
(30 markah)

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang perkara-perkara yang perlu dilakukan ketika berlakunya jerebu dan punca-punca masyarakat kurang prihatin akan kesan jerebu. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Jerebu merupakan satu fenomena yang disebabkan oleh kewujudan partikel-partikel kecil yang terapung-apung di udara dan tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Partikel-partikel ini terjadi sama ada secara semula jadi atau kesan daripada aktiviti manusia. Apabila partikel ini wujud dalam kuantiti yang banyak dan berkelompak akan terhasil jerebu yang mengundang pelbagai masalah kesihatan. Sekiranya hal ini terjadi, masyarakat perlu sentiasa berada di dalam bangunan atau rumah.
Punca utama berlakunya jerebu ialah akibat aktiviti pembakaran secara terbuka. Misalnya, pembakaran hutan untuk tujuan pertanian atau kebakaran hutan yang berlaku disebabkan kecuaian manusia dan pembakaran sampah secara terbuka. Tahap bahaya jerebu ditentukan berdasarkan Indeks Pencemaran Udara (IPU), iaitu semakin tinggi IPU semakin berbahaya kepada kesihatan manusia. Oleh itu, masyarakat diminta supaya memakai alat penutup hidung ketika berlakunya jerebu. Sekiranya bacaan IPU meningkat ke tahap bahaya masyarakat dicadangkan agar bercuti ke kawasan yang lebih selamat.
Pelepasan asap kenderaan di jalan raya juga menjadi penyumbang kepada masalah jerebu. Kandungan asap yang terdiri daripada gas-gas seperti karbon monoksida, sulfur monoksida dan nitrogen monoksida boleh menjejaskan kesihatan. Pengguna kenderaan seharusnya menggunakan alat pendingin hawa ketika berada di jalan raya bagi mengurangkan risiko terhidu udara yang tercemar. Selain itu, pelepasan asap tanpa kawalan oleh kilang-kilang turut memburukkan lagi keadaan. Kandungan bahan kimia dalam jerebu boleh menyebabkan penyakit paru-paru, sesak nafas, darah tinggi, sakit mata dan kegatalan pada kulit. Untuk mengelakkan masalah kesihatan yang lebih serius, mereka perlu segera mendapatkan rawatan di klinik atau di hospital. Bagi mereka yang beriskio tinggi, khususnya penghidap lelah diharapkan agar sentiasa mengambil ubat seperti yang dinasihatkan oleh pakar perubatan.
Pendedahan awal tentang kesan jerebu kepada kesihatan manusia amat penting. Oleh itu, masyarakat perlu sedar akan bahaya bahan kimia yang terkandung dalam jerebu yang masuk ke dalam tubuh badan. Hal ini demikian kerana bahan tersebut boleh menjejaskan kesihatan dalam jangka masa panjang. Sehubungan dengan itu, orang ramai hendaklah sentiasa membersihkan anggota badan yang terdedah kepada jerebu dengan menggunakan air bersih. Masyarakat juga disarankan agar banyak minum air dan mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti luar sekiranya kawasan mereka dilanda jerebu.
Sesungguhnya, fenomena jerebu mengundang pelbagai masalah yang menjejaskan kehidupan. Oleh itu, masalah jerebu ini perlu ditangani dan pada masa yang sama, masyarakat perlu peka terhadap penjagaan kesihatan ketika berlakunya jerebu.
Dipetik dan diubah suai daripada
“Jerebu Oh Jerebu
Generasi Pengguna, Jun 2013
Soalan 2 : Pemahaman
[35 markah]


Soalan 2 (a) – Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata mengurangkan risiko. [2 markah]
(ii) Pengarang menyatakan bahawa terdapat beberapa faktor yang menyebabkan
berlakunya jerebu.
Nyatakan faktor-faktor tersebut. [3 markah]
(iii) Berdasarkan pengetahuan anda, jelaskan cara-cara yang berkesan untuk
menghebahkan bahaya jerebu. [4 markah]

Soalan 1 : Rumusan
[30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kesan-kesan negatif penggunaan Internet dan langkah-langkah untuk membendung penyalahgunaannya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kelebihan utama Internet berbanding dengan media lain ialah keupayaannya memberikan maklumat tanpa sekatan. Internet membolehkan masyarakat memperoleh dan menyebarkan maklumat dengan bebas. Internet bukan sahaja menjelaskan konsep demokrasi maklumat, malah dapat mengubah cara manusia berkomunikasi. Perubahan cara komunikasi inilah yang menerbitkan krisis dalam aspek keselamatan maklumat dan aspek tanggungjawab.
Sesungguhnya, pengenalan Internet menimbulkan perdebatan dalam pelbagai isu. Penyebaran bahan imperialisme yang dapat meruntuhkan nilai-nilai budaya dan moral sesuatu bangsa jelas menunjukkan bahawa Internet mudah dikaitkan dengan perkara-perkara yang mendatangkan pelbagai keburukan. Internet merupakan media yang membolehkan sesiapa sahaja menerbitkan bahan kepada masyarakat dunia dengan kos yang sangat murah. Hakikat ini telah menyebabkan kerajaan-kerajaan di seluruh dunia cuba mengawal media baharu ini. Keupayaan rangkaian canggih ini menyebarkan imej digital menyebabkan Internet sering dijadikan wahana untuk menyebarkan bahan tidak bermoral secara talian terus.
Di samping itu, Internet digunakan juga untuk menyebarkan pelbagai judul buku yang diharamkan di sesetengah negara. Malah, penerbit buku di seluruh dunia mempersoalkan pelanggaran hak cipta yang banyak dilakukan dalam Internet. Selain itu, rangkaian ini juga digunakan untuk menyebarkan iklan yang mungkin tidak diterima oleh media lain kerana iklan itu melanggar kod etika pengiklanan seperti mengeksploitasikan wanita dan menarik cita rasa kanak-kanak. Kebebasan penyebaran maklumat ini menyebabkan Internet digunakan untuk menyebarkan fitnah dan khabar angin terhadap kerajaan atau organisasi tertentu. Internet turut menimbulkan masalah perundangan terbesar dalam undang-undang harta intelek dan kebebasan hak asasi.
Beberapa terbitan Ensiclopedia World Wide telah disebarkan melalui Internet tanpa izin pemegang hak ciptanya. Perbuatan tersebut memang menyalahi undang-undang, tetapi perkara ini telah berlaku dalam ruang siber dewasa ini. Kebimbangan terhadap Internet turut tertumpu terhadap kegiatan jenayah ekonomi dan penipuan dalam transaksi talian terus. Internet menjadikan sempadan geografi semakin tidak jelas. Internet sering mencabar amalan budaya dan moral. Menyedari hakikat ini, banyak negara berusaha mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi memerangi penyalahgunaan Internet.
Dipetik dan diubah suai daripada
“Penggunaan Internet: Kesan kepada Pengguna”
oleh Salmah Ali
Majalah Siswa,Jun 2012

Soalan 2 : Pemahaman
Soalan 2(a) – Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
i) Berikan maksud rangkai kata sering dijadikan wahana. [2 markah]
ii) Pengarang ada menyatakan beberapa kebaikan Internet.
Nyatakan kebaikan tersebut. [3 markah]
iii) Pada pendapat anda, apakah ciri-ciri laman sesawang mata pelajaran yang mampu menarik minat pelajar? Kemukakan tiga pendapat anda. [4 markah]
Soalan 1 : Rumusan
[30 markah]
Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah penggunaan dron dalam pengurusan hutan dan cara-cara untuk menggalakkan penggunaan dron . Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan. 

            Dron atau pesawat tanpa pemandu (UAV) ialah pesawat tanpa juruterbang yang dikawal jauh oleh juruterbang, sama ada juruterbang ini berada di stesen kawalan atau UAV diterbangkan secara automatik berdasarkan penerbangan praprogram yang dirancang oleh individu yang pakar atau terlatih sahaja. Belakangan ini, keupayaan dron lebih terserlah setelah ditingkatkan perkakasan kemudahan rakaman. Lantaran itu, seiring dengan perkembangan teknologi globalisasi pada hari ini, penggunaan dron menjadi pilihan pengkaji dalam pelaksanaan akitiviti penyelidikan dan pengurusan perhutanan. Hal ini dikatakan sedemikian kerana dron dapat diubah suai daripada pelbagai aspek untuk membantu memberikan hasil yang terbaik.

Aktiviti pengumpulan maklumat lapangan dengan menggunakan dron memerlukan perancangan kerja yang teliti kerana keadaan keliling kawasan perlu diambil kira. Bagi kawasan hutan yang agak ekstrem, perancangan yang teliti seperti mengenal pasti keadaan awan, cuaca dan faktor keliling perlu diambil kira. Dalam konteks ini, pihak Jabatan Perhutanan mengorak langkah dengan menggunakan dron untuk melakukan kerja pemantauan dan pengurusan hutan. Dron mampu bergerak dengan jarak yang laju dan jauh, iaitu sehingga 100 kilometer dengan sekali penerbangan. Oleh hal yang demikian, alat tersebut dapat  membantu jabatan ini memantau aktiviti kawasan hutan dengan lebih sistematik dan berkesan. Sementara itu, penambahan kemudahan rakaman dalam bentuk audio - visual membolehkan gambar kawasan hutan yang diambil, diolah menjadi data pelbagai guna seterusnya menambahkan nilai cerapan.

Di samping itu, penyelidik di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mengkaji kegunaan dron untuk  membantu kajian pemantauan aktiviti pembalakan dan kajian keadaan status kesihatan hutan untuk membolehkan tindak balas terhadap kawasan difokuskan serta tindakan segera kepada kawasan berimpak, seperti tanah runtuh atau kebakaran, dapat dilakukan. Berdasarkan hasil awal daripada kajian FRIM, didapati bahawa pengaplikasian dron dengan konsep perhutanan dapat membantu perolehan data untuk pemetaan yang lebih jitu. Pada masa yang sama, penggunaan tenaga kerja dalam bidang perhutanan dapat diminimumkan. Bagi aktiviti pemantauan hutan yang luas, dron jenis sayap kekal digunakan. Dron jenis ini mampu bergerak jauh dan tempoh penerbangannya lama. Walau bagaimanapun, ada juga kekangan terhadap penggunaan dron jenis ini dalam aktiviti pemantauan kawasan hutan kerana dron ini memerlukan kawasan untuk berlepas dan mendarat.

            Sektor perhutanan tidak mahu ketinggalan dalam penggunaan teknologi terkini, seperti dron, dalam pengurusan dan penyelidikan perhutanan. Penggunaan dron oleh Jabatan Perhutanan dalam pemantauan kawasan hutan, dan oleh FRIM dalam penyelidikan ternyata dapat menjimatkan kos dalam jangka masa yang panjang. Penggunaan dron menyumbang aktiviti yang berkaitan dengan pengurusan hutan secara signifikan. Berdasarkan hasil penggunaan dan penyelidikan, didapati bahawa dron ialah fenomena baharu dalam sektor perhutanan negara.

Dipetik  dan diubah suai daripada ‘Dron dalam Pengurusan Hutan’ oleh Mohd. Izwan Ramlan
Dewan Kosmik, Mac 2017

Soalan 2(a) - Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)         Berikan maksud rangkai kata ditingkatkan perkakasan.                       [2 markah
(ii)        Pengarang menyatakan bahawa terdapat beberapa masalah daripada penggunaan dron dalam pengurusan hutan.Nyatakan masalah-masalah tersebut. 
(iii)       Dron digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang pada hari ini. ( 3M)
Pada pendapat anda, selain fungsinya merakamkan gambar atau video apakah fungsi-fungsi dron yang lain?
[ 4 markah ]


9 ulasan:

  1. Ada jawapan tak untuk yang dron tu

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kantoi ah untuk holiday package

      Padam
    2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

      Padam
    3. Mamat ni hambar👆

      Padam
  2. Ad jwpan x untuk soalan 1:rumusan?

    BalasPadam
  3. https://lamanbahasa.files.wordpress.com/2019/10/skema-bm-2-1.pdf ( jawapan utk holiday package sbs)

    BalasPadam
  4. Ada jawapan tak yang jerebu tu

    BalasPadam
    Balasan
    1. https://sumberpendidikan.com/wp-content/uploads/2017/11/SKEMA-MODUL-POTENSI-CEMERLANG-BAHASA-MELAYU-SPM-KERTAS-2.pdf

      Padam
  5. ada tak jawapan utk rumusan yg dron ?

    BalasPadam