CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Ahad, 2 Disember 2018

KARANGAN BM SPM


SUMBER :ZAINAFSIAH BINTI ZAKARIASMK SERI PERLING,  JOHOR BAHRU JOHOR



CONTOH KARANGAN CEMERLANG ~ BAHAGIAN A

                Pada mayapada yang mendepani ombak globalisasi ini, Unit Bimbingan dan Kaunseling di sekolah telah memikul obligasi yang vital untuk memastikan perkembangan mental dan rohani pelajar-pelajar sejajar dengan perkembangan fizikal bagi memacu kejayaan Malaysia ke ambang 2020.  Hal ini demikian kerana pelajar-pelajar yang masih berdarah muda setampuk pinang memerlukan bimbingan daripada guru-guru untuk menghadapi kehidupan yang penuh dengan ranjau ini.  Dengan adanya Unit Bimbingan dan Kaunseling di sekolah, mestilah para pelajar dapat mengecap kemaslahatan yang dibawa oleh unit tersebut.  Persoalan yang bermain-main dalam gawang minda kita ialah apakah peranan Unit Bimbingan dan Kaunseling di sekolah?  Persoalan ini akan dibincangkan secara terperinci hingga ke akar umbi sebentar lagi.

                Marilah kita capahkan lensa perbincangan dengan menghuraikan peranan Unit Bimbingan dan Kaunseling dalam menyediakan khidmat nasihat kepada pelajar yang menghadapi masalah.  Pelajar-pelajar yang masih muda merupakan insan yang kurang berpengalaman bak kata orang tua-tua kurang makan garam dalam meniti kehidupan.  Oleh itu, mereka memerlukan nasihat atau saranan yang bernas daripada guru-guru kaunseling yang banyak makan garam.  Sebagai tamsilannya, pelajar-pelajar yang menghadapi masalah tentang pergaulan mereka dengan kawan atau masalah pembelajaran boleh merujuk guru bimbingan dan kaunseling.  Menurut kata-kata Richard Nixon, “Anda memerlukan pengalaman getir untuk menzahirkan keunggulan anda.”  Jelaslah di sini bahawa dengan adanya nasihat, bimbingan dan dorongan daripada guru-guru kaunseling, tentulah para pelajar dapat mengembangkan sayap mereka dengan keberanian, kepintaran dan jiwa besar mereka untuk mencari resolusi bagi segala kemelut yang dihadapi oleh mereka.

                Seterusnya, marilah kita luaskan perspektif  dengan mendalami peranan Unit Bimbingan dan Kaunseling dalam memberikan bimbingan kerjaya kepada pelajar-pelajar  yang bakal menjejaki alam pembelajaran yang baharu.  Disebabkan para pelajar bakal menjadi modal insan yang menggerakkan transformasi negara kita pada masa hadapan, guru-guru kaunseling memainkan peranan yang signifikan  untuk membimbing para pelajar mengenal pasti bakat dan potensi dalam diri mereka.  Dengan uslub ini, para pelajar dapat mengasah lagi potensi dan kemahiran mereka dan seterusnya menyerlahkan kehebatan mereka dalam bidang-bidang profesional.  Sebagai evidensnya, kerjasama antara pihak sekolah dengan pihak universiti untuk mengadakan pameran pendidikan dan kerjaya, dapat menghasilkan sinergi bagi membimbing pelajar-pelajar untuk meneroka minat mereka dalam bidang-bidang baharu.  Sementelahan pula, ceramah-ceramah tentang peluang melanjutkan pelajaran membolehkan para pelajar untuk memahami jurusan dan kursus-kursus pelbagai yang ditawarkan oleh universiti.  Pepatah Melayu ada menyatakan bahawa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.  Maka, bantuan daripada guru-guru kaunseling dapat membimbing mereka supaya tidak tersalah pilih kerjaya yang menjadi idaman di hati pelajar.

                Jika ditinjau dari skop  yang lain, Unit Bimbingan dan Kaunseling berperanan penting untuk meningkatkan motivasi murid.  Allahyarham Profesor Hamka berpendapat bahawa biarpun seribu kapal tenggelam di tengah lautan, namun cita-cita mansia tidak pernah karam.  Ungkapan ini jelas membuktikan betapa pentingnya jiwa besar untuk menggapai bintang kecemerlangan.  Lantaran itu, bagi mengelakkan semangat dan cita-cita pelajar daripada luntur, Unit Bimbingan dan Kaunseling senantiasa berpenat lelah memerah idea untuk mengobarkan jiwa besar dalam diri pelajar.  Sebagai justifikasinya, unit tersebut sering mengadakan kem motivasi untuk meningkatkan semangat pelajar untuk menghadapi pancaroba dalam kehidupan.  Bagi pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan ini adalah seperti PT3, SPM dan STPM, minhaj ini adalah amat drastik agar para pelajar dapat meningkatkan keyakinan diri mereka bagi menongkah arus dalam kehidupan mereka.  Izharlah, Unit Bimbingan dan Kaunseling dapat memastikan perkembangan mentaliti pelajar agar tidak terjerumus ke dalam lembah kehinaan.

                Sebelum pena diskusi melabuhkan noktahnya, Unit Bimbingan dan Kaunseling telah menjamin pembentukan modal insan yang sempurna dari segi mental, iman dan rohani untuk menerajui negara Malaysia pada persada antarabangsa.  Justeru, para pelajar seyogia menghargai nasihat dan bimbingan daripada guru-guru kaunseling supaya tidak menjadi insan yang bobrok dan terlibat dalam kebejatan moral.  Pihak sekolah juga perlu proaktif dalam menggiatkan peranan unit ini demi kemaslahan para pelajar.  Anak-anak umpama permata yang perlu digilap sehingga bersinar.  Oleh hal yang demikian, marilah kita bersama-sama mengimplementasikan strategi-strategi yang pragmatik, efektif dan efisien bagi mengembangkan lagi peranan Unit Bimbingan dan Kaunseling supaya dapat melahirkan modal insan yang berkaliber untuk menerajui cerucuk kepimpinan negara kita ke arah yang lebih maju.  Biarlah pepohon terus menghijau, biarlah matahari terus bersinar dan biarlah Malaysia terus gemilang.
[654 patah kata]



CONTOH KARANGAN CEMERLANG BAHAGIAN B

SOALAN 1

Setiap anak seharusnya mempunyai impian untuk menjadi individu kebanggaan keluarga.
a
Berikan komen anda.

                                                                Tiada ibu dan bapa,
Tiadalah anak yang dilahirkan. 

Untaian kata di atas jelas menunjukkan betapa peri pentingnya keberadaan ibu bapa kerana tanpa mereka berdua, siapalah kita di dunia ini.  Ibu bapalah yang melahirkan, membesarkan dan memberikan kasih sayang kepada anak-anak.  Tugas bapa adalah untuk mencari nafkah untuk keperluan segenap isi keluarga malahan ibu pula telah melahirkan kita.  Tidakkah kita teringin untuk membalas jasa mereka walaupun sebenarnya kita tidak mampu?  Bagi saya, anak-anak perlu memberikan kasih sayang, menghormati dan mentaati mereka. Kenapa wujudnya golongan yang menderhaka kepada ibu bapa?  Jika difikirkan, ibu bapalah yang mencorakkan kita umpama kain putih dengan pelbagai corak dan warna yang menarik. Jadi, menapa kita harus menderhakai mereka?  Ibu bapa orang yang paling rapat dalam kehidupan kita dan memahami kah  gerak geri serta tingkah laku kita.  Sebagai contoh, apabila kita pulang ke rumah selepas tamat persekolahan, sudah pastinya makanan telah terhidang di atas meja sedangkan kita tidak memintanya.  Jelaslah di sini, ibu bapa menjaga kita seperti menatang minyak yang penuh bagi memastikan kita mendapat apa-apa yang kita kehendaki.  Oleh itu, setiap anak seharusnya mempunyai impian untuk menjadi individu kebanggan keluarga.

                Perkara pertama yang boleh dilakukan oleh seorang anak adalah dengan mencari ilmu.  Seperti yang kita ketahui, ibu bapa ingin melihat anaknya berjaya dan tiada ibu bapa yang ingin melihat anaknya gagal dalam kehidupan.  Misalnya, ibu bapa bertungkus lumus mencari pendapatan untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah bahkan ada sesetengah ibu bapa yang bersengkang mata dan membanting tulang empat kerat semata-mata melakukan beberapa pekerjaan dalam satu-satu masa untuk memberikan pendidikan kepada anak-anaknya.  Oleh hal yang demikian, kita sebagai anak perlu membalas jasa mereka dengan menimba ilmu.  Ilmu amat berharga persis mutiara yang bersinar. Justeru, mutiara itu hendaklah selalu digilap aga ilmu tersebut lebih bernilai.  Hakikatnya, kita seharusnya bersungguh-sungguh menimba ilmu agar menjadi insan yang berjaya pada masa hadapan.  Malahan, dengan kejayaan yang dimiliki dapat membanggakan keluarga terutama ibu bapa yang banyak berkorban kepada anak-anak.  Jadi, anak-anak yang telah berjaya janganlah seperti kacang lupakan kulit kerana ibu bapalah yang bersungguh-sungguh dalam memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna.  Janganlah kita mengetepikan mereka selepas kita berjaya, sebaliknya tunjukkanlah kejayaan kepada mereka dan bahagiakan mereka.  Sesungguhnya, melihat anak mereka berjaya merupakan suatu detik terindah buat mereka.  Oleh itulah, janganlah kita menunjukkan tindak-tanduk yang boleh mematahkan hati dan harapan mereka.  Misalnya, meninggikan suara, tidak menghormati malah lebih teruk iaitu menghantar mereka ke rumah  orang tua-tua.  Jelaslah di sini, jika kita menimba ilmu, kita tidak akan melakukan perkara yang melanggar norma-norma masyarakat.

                Seterusnya, anak-anak perlu membalas jasa ibu bapa.  Sebagai contohnya, anak-anak haruslah menjaga ibu bapa sehingga ajal mereka sudah tiba.  Hal ini adalah satu cara untuk menjadi individu kebanggan keluarga.  Anak-anak juga boleh memberikan sedikit wang perbelanjaan kepada ibu bapa mereka sebagai tanda terima kasih kepada ibu bapa.  Pada masa yang sama, hal ini akan dapat menggembirakan dan menyenangkan hati ibu bapa.  Sesungguhnya, hidup ini ibarat roda jika kita tidak menghormati ibu bapa kita, anak-anak kita juga tidak akan menghormati kita.  Oleh itu, kita perlu  mengerah keringat untuk membalas jasa mereka.  Dalam agama Islam juga menyuruh umat-Nya menghormati ibu bapa dan suruhan itu jugalah yang merupakan tiket untuk memasuki syurga.  Di samping itu, anak yang berjaya ialah anak yang menghormati kedua-dua orang tua mereka.  Justeru, kita hendaklah memberikan sepenuh kasih sayang kepada mereka agar mereka sentiasa mendoakan kesejahteraan kita pula.   Dari kecil, kita sudah diajar cara beradab dengan ibu bapa tetapi mengapa  anak-anak pada zaman sekarang ini sering tidak menghormati ibu bapa dan ahli keluarganya?  Adakah kerana mereka sudah berjaya selayaknya mereka sombong?  Ingatlah anak-anak, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

                Selain itu, kita seharusnya menyayangi kedua-dua ibu bapa.  Anak yang menjadi kebanggaan keluarga ialah anak yang mentaati ibu bapa dan melakukan syariat Islam.  Menghormati ibu bapa adalah salah satu syariat Islam yang amat dituntut.  Jika kita berpegang teguh pada prinsip ini, insya-Allah kita akan berjaya di dunia dan di akhirat.  Jadi, menyayangi mereka adalah salah satu cara menghormati ibu bapa.  Contoh lain yang boleh diketengahkan ialah anak-anak perlu menjaga mereka ketika sakit, menyediakan tempat tinggal dan sentiasa menziarahi mereka.  Hal ini akan membuatkan mereka berasa disayangi dan akan meredai segala yang kita lakukan.  Realitinya, doa paling baik dan mustajab ialah doa daripada ibu bapa.  Jadi, kita seharusnya sentiasa memohon restu dan keredaan mereka sepanjang mengharungi onak dan duri dalam meniti kehidupan.  Kita juga seharusnya mewujudkan keluarga sakinah supaya kehidupan kita diberkati kelak.  Ibu bapa tidak mengharapkan anak-anak mengharapkan anak-anak mereka memperoleh keputusan cemerlang malahan mereka amat berharap anak-anaknya menghormati mereka.  Jelaslah bahawa setiap anak seharusnya mempunyai impian untuk menjadi individu kebanggaan keluarga.

                Kesimpulannya, banyak cara yang boleh dilakukan oleh anak-anak dalam memastikan mereka menjadi individu kebanggaan keluarga.  Jadi, tiada sebab untuk kita lari daripada peranan kita sebagai anak-anak.  Ibu bapa yang telah mengorak langkah membentuk keperibadiaan anak-anak sejak awal sudah pasti akan berasa bangga dan bahagia kelak.   Jadi, usahlah kita menidakkan tanggungjawab kita sebagai anak adalah sangat besar.  Justeru,  anak-anak perlulah menyusun strategi bagi memastikan mereka akan menjadi kebanggaan keluarga suatu hari nanti.  Tuntasnya di sini, ibu bapa dan keluarga haruslah diberi perhatian sewajarnya kerana merekalah insan yang paling rapat dan sentiasa ada di sisi kita sama ada susah mahupun senang.  Jelaslah, kita seharusnya sentiasa ingat dan menjalankan obligasi sebagai anak yang dapat menjadi kebanggaan keluarga kelak.  Terserlah bahawa jika kita berjaya, sebenarnya kejayaan itu datangnya daripada hasil didikan ibu bapa kita sejak usia kita setahun jagung lagi.  Jikalau tiada ibu bapa kita yang melentur buluh dari rebungnya, tidaklah seseorang anak itu berjaya sehingga sekarang.
[904 patah kata]


SOALAN 2

Sekolah turut berperanan dalam pemupukan amalan mencintai alam sekitar dalam diri murid-murid.
Huraikan peranan sekolah dalam pemupukan amalan tersebut dalam diri murid-murid.

                Sedasawarsa ini, dek terlalu dilingkari dengan kemajuan sains dan teknologi, negara ini acap kali tersentak dengan isu masyarakat yang semakin luntur kecintaannya terhadap alam sekitar yang seharusnya dipupuk sejak kecil lagi.  Isu ini bukan sahaja menular di media massa seperti akhbar, televisyen dan Internet malahan, isu ini sering meniti dari bibir ke bibir seluruh masyarakat di negara ini termasuklah di warung-warung kopi mahupun di dewan-dewan parlimen.  Persoalannya, apakah yang dimaksudkan dengan nilai kecintaan terhadap alam sekitar?  Mengapakah nilai ini sewajarnya dipupuk sejak usia masih kecil lagi?  Nilai kecintaan terhadap alam sekitar  ialah sikap cinta terhadap alam sekitar sehingga melahirkan usaha untuk sentiasa memelihara dan memulihara keindahan alam sekitar.   Nilai ini sangat wajar untuk dipupuk kerana nilai ini sangat penting dalam melestarikan keindahan alam di negara kita demi kebaikan bersama.  Apabila nilai ini mulai disemai sejak kecil lagi, isu pencemaran alam sekitar yang semakin meruncing malah membimbangkan masyarakat dapat ditangani dengan drastik dan dapat dikurangkan.  Apalah gunanya jika negara makmur dengan teknologi canggih tetapi muflis nilai kecintaan terhadap alam sekitar.  Siapakah golongan sasaran yang perlu memikul obligasi berat dalam melaksanakan uslub kudsi ini?  Sudah tentulah murid-murid yang masih berada di alma mater menjadi sasaran masyarakat bagi menjaga dan melestarikan alam sekitar ini.  Hal ini adalah kerana peribahasa Melayu yang berbunyi melentur buluh biarlah dari rebung seharusnya diaplikasikan demi kebaikan bersama.  Oleh itu, peranan pelbagai pihak di sekolah dalam memupuk amalan mencintai alam sekitar dalam diri murid-murid akan mewarnai fokus perbincangan ini demi kemaslahatan bersama.

                Antara peranan pihak sekolah adalah dengan menganjurkan program ataupun ‘Kempen Mencintai Alam Sekitar’ setiap tahun dan menyuburkan sikap cinta terhadap alam sekitar.  Dengan ini, murid-murid akan semakin tinggi pengetahuan mereka tentang kebaikan dan kepentingan menjaga keindahan alam sekitar.  Sebagai contohnya, pihak sekolah boleh melaksanakan pelbagai aktiviti yang lebih menarik supaya dapat menggamit minat murid-murid untuk menyertai aktiviti ataupun kempen yang dijalankan.  Seperti Kuiz Alam Sekitar yang boleh dianjurkan oleh Kelab Pencinta Alam Sekitar di setiap sekolah.  Kembara Alam Sekitar juga boleh dilaksanakan dengan melibatkan guru-guru dan murid-murid supaya dapat memberikan pendedahan yang dapat membuka minda murid tentang peri pentingnya alam sekitar pada masa ini.  Dalam aktiviti tersebut, guru-guru seharusnya membimbing murid-murid untuk lebih mengetahui spesies dan kehidupan alam sekitar supaya mereka dapat mengetahui pelbagai prakarsa untuk melestarikan keindahan alam sekitar.  Secara tidak langsung, generasi akan datang juga dapat menikmati keindahan alam sekitar yang sentiasa terjaga ini.  Dengan pendekatan ini, nilai-nilai negatif dalam diri murid dapat dilunturkan supaya tidak menjadi bebaun kepada negara pada masa akan datang.  Apakah nilai-nilai negatif yang dimaksudkan itu?  Nilai tersebut adalah seperti nilai mementingkan diri yang hanya mengutamakan ganjaran material tetapi tidak terhadap nilai kemanusiaan sehingga sanggup beraja di hati, bersultan di mata demi selaut ganjaran yang dijanjikan.  Oleh itu, guru-guru seharusnya bersikap prihatin dan sentiasa berusaha menggembleng tenaga untuk melaksanakan kempen dan aktiviti tersebut supaya dapat menyemaikan amalan mencintai alam sekitar dalam diri murid-murid.

                Selain itu, guru-guru juga sewajarnya menjalankan pelbagai uslub seperti mengadakan Sudut Info Alam Sekitar supaya dapat memberikan dan menambahkan pengetahuan murid-murid tentang alam sekitar yang semakin ditelan kerakusan manusia dek pembangunan sehingga mengorbankan keindahan dan kesucian alam sekitar.  Contoh yang boleh diketengahkan adalah dengan mengadakan pameran tentang informati dasi alam sekitar di papan kenyataan sekolah  sama ada di kantin, di lobi mahupun di dinding-dinding sekolah yang memaparkan ilustrasi yang menarik supaya dapat memikat minat murid untuk membaca, menghayati dan mengaplikasikan sikap mencintai alam sekitar dalam kehidupan seharian mereka sehinggalah ke usia tua nanti.  Hal ini adalah kerana apabila murid-murid sering dikelilingi dengan pelbagai informasi yang bermanfaat, maka akan lahirlah individu yang berpengetahuan luas, berimformasi yang sering menjadi visi dan misi setiap sekolah.  Oleh itu, dengan golongan sasaran inilah yang akan menjadi cerucuk utama dan pencetus kemajuan negara dalam pelbagai aspek termasuklah maju pemikirannya sehingga mampu untuk memikirkan akibat dan padahnya jika hanya mengikut hati dalam setiap tindakan.  Dengan ini, tangan dan kaki mereka tidak akan teradaya untuk memusnahkan alam sekitar yang penting untuk dilestari  supaya mereka tidak tergolong dalam  kalangan yang rakus memuaskan hati mereka semata-mata mengaut segunung keuntungan.  Jadi, guru-guru seharusnya tidak mengamalkan sikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing ataupun melepaskan  batuk di tangga dalam memupuk nilai kecintaan murid terhadap alam sekitar.

                Pena ini akan terus membicarakanbaik di hadapan murid-murid malahan guru-guru juga seharusnya menjadi suri teladan yang perlu dicontohi oleh setiap murid dalam pelbagai aspek.  Oleh itu,  guru-guru adalah antara golongan yang sering bersama dengan murid selain ibu bapa mereka.  Justeru, guru-guru mahupun semua pihak di sekolah juga seharusnya menunjukkan sikap yang baik seperti membuang sampah di tempat yang sepatutnya dan bersama-sama membersihkan halaman sekolah mahupun kelas supaya mereka dapat bekerjasama sekali gus mengeratkan silaturahim sesama mereka.   Tiada gunanya guru-guru sekadar menasihati tetapi tidak berusaha mendekati murid-murid untuk melakukan setiap pekerjaan yang digalakkan itu.  Jika guru-guru mengamalkan sikap sedemikian, mereka akan berasa malas dan alpa dengan hanya bersembang dan berbual-bual kosong semasa menjayakan aktiviti membersihkan sesuatu kawasan tersebut.   Melalui pemantauan guru-guru, murid-murid akan lebih fokus dan bekerjasama menjayakan setiap aktiviti yang dirancang.  Izharlah bawaha pihak sekolah seharusnya berusaha bersama-sama murid-murid bagi  setiap aktiviti yang dijalankan supaya akan terpaparlah nilai kecintaan terhadap alam sekitar dalam diri murid-murid.

                Sebagai kesimpulannya, semua pihak terutamanya pihak guru-guru di alma mater seharusnya bersatu untuk memupuk amalan men-murid cintai alam sekitar dalam diri murid supaya golongan ini dapat menjadi pembangun kepada keindahanan alam sekitar di negara kita.  Jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.  Oleh itu, pihak sekolah seharusnya berusaha untuk menganjurkan dan melaksanakan uslub-uslub tersebut supaya amalan mencintai alam sekitar dapat disuburkan dalam diri murid-murid sejak di bangku sekolah lagi.  Mereka seharusnya didedahkan dengan pelbagai informasi dan maklumat supaya mereka tidak seperti di bawah tempurung kerana sekiranya kita maju dalam pelbagai bidang dan cabang di peringkat antarabangsa tetapi tidak ada nilai mencintai alam sekitar, tiada gunanya.  Oleh itu, murid-murid juga perlu sedar bahawa alam sekitar sangat penting kepada negara.  Persis kata-kata Allahyarham Profesor Hamka, “kecantikan bukanlah pada wajah semata-mata tetapi pada akhlaknya.”  Jadi, kita perlulah melestarikan dan mencintai alam sekitar demi kebaikan sejagat.
[984 patah kata]


SOALAN 3

Sebagai negara yang subur dan kaya dengan pelbagai sumber, Malaysia seharusnya menuju ke arah negara yang membekalkan makanan yang cukup kepada rakyatnya di samping mengurangkan kebergantungan kepada makanan yang diimport.

Jelaskan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang menghasilkan makanan yang cukup untuk rakyatnya.

                Pada era langit terbuka ini,  kita sering diuar-uarkan dengan hasil pertanian Negara yang tidak mencukupi untuk membekalkan makanan kepada rakyat sehingga terpaksa diimport dari negara luar.   Sebagai contoh, beras diimport dari negara Thailand walaupun Malaysia mempunyai tanah yang subur untuk menanam padi.  Antara tanah yang subur untuk menanam padi di Malaysia adalah di Kedah, di Kelantan dan di Sabah.  Hal ini dikatakan demikian kerana kurangnya kesedaran rakyat dan pihak berwajib berkaitan makann di Malaysia.  Jika Malaysia berselisihan faham dengan negara-negara mengimport barang ke Malaysia maka negara kita akan terputus sumber makanan.    Oleh itu, jelaslah bahawa Malaysia sebagai negara yang kaya dengan pelbagai sumber seharusnya mampu membekalkan makanan yang cukup kepada rakyatnya di samping mengurangkan kebergantungan terhadap makanan yang diimport.  Dengan hal yang demikian, pelbagai langkah yang perlu diambil untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang menghasilkan makanan yang cukup untuk rakyatnya.

                Langkah yang perlu diambil oleh pihak berwajib adalah dengan menggalakkan pembukaan tanah-tanah pertanian yang baharu.  Hal ini dikatakan demikian kerana dengan pembukaan tanah-tanah pertanian yang baharu ini, semakin banyak sumber makanan yang dapat ditanam dan diusahakan oleh petani khususnya petani yang berkemahiran ataupun graduan-graduan mengganggur yang tidak mampu untuk membeli tanah untuk bertani.   Pembukaan tanah-tanah pertanian yang baharu ini boleh diletakkan di bawah rancangan FELDA atau FELCRA. Kesannya, petani yang berkemahiran ataupun mahasiswa mengganggur ini dapat memanfaatkan tanah pertanian tersebut sebaik-baik mungkin di samping dapat menghasilkan produk pertanian yang berkualiti tinggi.  Hasil pertanian ini dapat dibekalkan kepada rakyat sebagai sumber makanan secara berterusan.  Dengan ini, kebergantungan Malaysia terhadap makanan yang diimport dari negara luar dapat dikurangkan.  Jelaslah bahawa dengan membuka tanah-tanah pertanian yang baharu dapat menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar makanan yang cukup kepada rakyatnya.

                Selain itu,  kerajaan juga boleh memberikan galakan kepada rakyat dengan mengadakan kempen dan menyediakan modal dari segi kewangan kepada rakyat.  Kerajaan boleh mengadakan pameran pertanian di tempat-tempat yang berpotensi untuk membuka tanah pertanian seperti di Kedah, di Sarawak dan di Terengganu.  Pameran yang diadakan ini dapat memberikan pengetahuan kepada rakyat berkaitan pertanian di samping dapat menarik minat rakyat untuk bertani.  Dari segi penyediaan modal, kerajaan boleh menyediakan peruntukan kewangan kepada petani atau rakyat yang berminat untuk bertani dan mempunyai tanah pertanian untuk membeli anak pokok, biji benih dan baja.  Dengan ilmu yang diperoleh daripada pameran pertanian dan modal yang disediakan, sudah tentu rakyat berminat untuk bertani sekali gus dapat menghasilkan sumber makanan yang baik kepada Malaysia.  Hal ini dikatakan demikian kerana dengan ilmu pengetahuan berkaitan pertanian, petani-petani dapat menghasilkan produk pertanian yang berkuali tinggi dan dapat dijadikan sumber makanan negara.   Namun, ilmu pengetahuan sahaja tidak mencukupi untuk menjadikan seseorang itu petani.  Sumber kewangan dan modal juga penting untuk menjadi petani.  Sebagai contoh, jika seseorang itu berpengetahuan tinggi dalam bidang pertanian tetapi tidak mempunyai sebarang modal untuk memulakan pertanian tidak berguna, begitu juga sebaliknya.  Jika seseorang itu mempunyai modal yang banyak tetapi tidak berilmu  dalam bidang pertanian juga tidak berguna.  Oleh itu, jelaslah bahawa dengan mengadakan kempen dan menyediakan modal dapat menjadikan Malaysia sebagai negara yang mampu menyediakan makanan yang cukup kepada rakyatnya.

                Di samping itu, rakyat juga haruslah prihatin dengan menyahut segala kempen yang diadakan oleh pihak kerajaan agar hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai negera yang mampu menyediakan makanan yang cukup kepada rakyatnya.  Hal ini dikatakan demikian kerana usaha rakyat dan kerajaan haruslah bergerak seiring agar hasrat tersebut dapat dicapai.  Rakyat yang prihatin akan menghadirkan diri ke pameran-pameran pertanian yang berdekatan dengan tempat tinggal mereka untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan pertanian.  Rakyat juga boleh membaca risalah pertanian yang diedarkan untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat berkaitan pertanian.  Rakyat juga boleh memohon untuk membuka tanah pertanian yang baharu di samping boleh memohon pinjaman modal untuk membeli anak-anak pokok, baja dan jentera pembajak.  Kesannya, rakyat dapat memanfaatkan kemudahan yang diberikan oleh pihak kerajaan dalam bidang pertanian sebaik-baik mungkin dan dapat menghasilkan sumber makanan yang berkualiti tinggi untuk mencapai hasrat menjadikan negara yang mampu menyediakan makanan yang cukup kepada rakyatnya.   Persefahaman dan permuafakatan yang terjalin antara pihak kerajaan dengan rakyat membawa pelbagai kebaikan kepada Negara bak kata pujangga muafakat membawa berkat.  Oleh itu, jelaskah bahawa jika rakyat menyahut segala kempen yang diadakan oleh kerajaan maka Malaysia dapat menjadi negara yang menghasilkan makanan yang cukup kepada rakyatnya.

                Kesimpulannya, dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mampu menghasilkan makanan yang cukup kepada rakyatnya, pihak kerajaan dan rakyat haruslah bekerjasama mengambil langkah yang bersesuaian dan pragmatik agar dapat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mampu menyediakan makanan yang cukup untuk rakyatnya.  Pertanian merupakan sumber makanan utama negara di samping mengimport makan dari negara luar.  Hal ini akan dapat menjimatkan perbelanjaan ke luar Negara dalam sektor pertanian.
[756 patah kata]






SOALAN 4

Anda ingin menulis sebuah rencana dalam akhbar tempatan.  Tajuk rencana anda ialah ‘Kebaikan-kebaikan Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi kepada Masyarakat Antarabangsa’.

Tulis rencana itu selengkapnya.


Kebaikan-kebaikan Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK)
Oleh Nur Sakeena binti Azhar


                Pada era globalisasi ini, teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) digunakan oleh masyarakat serata dunia.  Teknologi ini digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira umur dan bangsa.  Tambahan pula, dengan kecanggihan peranti elektronik yang membolehkan mereka mengakses teknologi ini dengan mudah dan pantas di mana-mana sahaja mereka berada.  Dengan kemudahan yang ada, tidak hairanlan pengguna teknologi maklumat dan komunikasi semakin meningkat dari masa ke masa.  Persoalannya, apakah kebaikan-kebaikan teknologi maklumat dan komunikasi kepada masyarakat antarabangsa sehinggakan penggunanya semakin meningkat?

                Antara kebaikan teknologi ini ialah kita dapat berhubung antara satu sama lain dengan pantas.  Media-media sosial seperti ‘Facebook’, ‘Twitter’, ‘Kik’ dan ‘Instagram’ membolehkan kita mengikuti perkembangan rakan-rakan kita terutamanya yang bermastautin di luar Negara.  Dengan kemudahan ini, kita dapat bersembang dengan mereka di atas talian untuk bertanyakan khabar.  Lebih-lebih lagi, kita juga boleh membuat panggilan video dengan mereka yang sudah semestinya lebih efisien untuk melepaskan rindu.  Disebabkan kewujudan teknologi ini, kita tidak perlu lagi mengutus surat semata-mata untuk berhubung dengan orang yang jauh di mata seperti keadaan pada zaman dahulu kala.  Pengeposan surat mengambil masa berhari-hari ataupun berbulan-bulan berbeza dengan bersembang di laman media sosial yang dapat dilakukan sekelip mata sahaja asalkan ada akses Internet.  Kita tidak perlu lagi membazirkan duit untuk membeli setem ataupun membeli kad prabayar terutamanya pelajar-pelajar yang bergantung pada wang saku yang diberikan oleh ibu bapa.  Duit lebihan wang saku boleh disimpan ke dalam tabung untuk sediakan payung sebelum hujan kerana kita tidak tahu kesempitan wang yang akan kita hadapi kelak.  Lebih-lebih lagi, kita hidup pada zaman atom iaitu kos sara hidup semakin melambung tinggi.  Jadi, menabung untuk masa depan adalah salah satu langkah yang bijak perlu dilakukan oleh semua lapisan masyarakat.

                Tambahan pula, kita juga dapat belajar bahasa asing dengan teknologi terkini ini.  Kemudahan Internet membolehkan kita belajar bahasa-bahasa asing yang digunakan secara meluas di seluruh dunia seperti bahasa Korea, Bahasa Jepun mahupun Bahasa Sepanyol.  Tidak dapat dinafikan lagi bahawa banyak kelebihan yang kita akan dapat apabila kita dapat bertutur dalam bahasa asing.  Sebagai contohnya, pengembara atau pelancong dari jepun lebih berpotensi untuk mendapatkan harga yang murah apabila berada di Mexico kerana berkebolehan bertutur dalam Bahasa ibunda negara Mexico yang mengagumkan penduduk di sana.  Selain itu, kemudahan komunikasi juga mengelakkan pelancong sesat jalan kerana kebolehan untuk bertanyakan penduduk tempatan arah jalan.  Tambahan lagi, peluang juga akan terbuka luas apabila kita dapat bertutur dalam bahasa asing seperti bahasa Mandarin.  Majikan lebih cenderung akan mengambil orang yang dapat berbahasa Mandarin untuk dihantar ke China untuk berbincang tentang perniagaan.  Kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi memberikan peluang kepada kita untuk belajar bahasa asing tanpa perlu menghadiri kelas bahasa asing secara formal yang pasti memerlukan kos yang mahal.

                Seterusnya, kita dapat mengetahui perkembangan semasa di seluruh dunia.  Apabila kita mengikuti perkembangan semasa di seluruh dunia, kita tidak akan menjadi seperti katak di bawah tempurung.  Pada masa ini, dunia dihangatkan dengan isu penindasan etnik minority Rohingnya di Myanmar.  Perilaku penduduk Myammar yang menyalahi hak asasi manusia terhadap etnik Rohingnya sangat menyayat hati.  Hal ini menyebabkan etnik Rohingnya bertungkus lumus untuk mendapatkan perlindungan.  Walaupun ramai yang sudah Berjaya untuk ke luar negara sebagai pelarian, masih ramai antara mereka yang terkandas di Myanmar.  Ada yang dirogol, ada yang diseksa, ada juga yang dibunuh secara kejam.  Atas dasar kemanusiaan, pihak sukarelawan sedang berusaha untuk mengumpulkan dana agar hak asasi manusia etnik Rohingnya dapat diperjuangkan.

                Di samping itu, kita dapat menjana pendapatan secara atas talian.  Kita tidak memerlukan kedai untuk menjalankan perniagaan.  Sebaliknya, kita hanya perlu ada kemudahan Internet.  Barang-barang atau produk-produk tempatan dapat dipasarkan di laman sesawang antarabangsa ‘Ebay’.  Hal ini akan menguntungkan penjual kerana barang dipasarkan berpotensi untuk laku seperti pisang goreng panas kerana pengguna ‘Ebay’ mencecah jutaan pengguna.  Tambahan pula, apabila barangan kita dibeli oleh penduduk Eropah, kita akan mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda kerana nilai mata wang mereka yang tinggi.  Jelaslah bahawa kita dapat menjalankan perniagaan dari rumah dengan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi.

                Akhir sekali, kita dapat menambahkan ilmu pengetahuan melalui teknologi maklumat dan komunikasi.  Semua perkara dapat diketahui menerusi kemudahan Internet.  Penggemar Sejarah dunia dapat mengetahui kisah Gengkhis Khan yang merupakan seorang pemeringah yang berpengaruah pada suatu ketika dahulu iaitu semasa Dinasti Chang.  Pengetahuan sejarah ini sangatlah unik kerana Gengkhis Khan sangat mahir dalam menyusun strategi kerana keturunannya dapat menakluki dunia pda jangka masa yang panjang.  Mengikut kajian yang dilakukan oleh tiga orang daripada 10 orang lelaki di Asia Tengah merupakan keturunan Gengkhis Khan.  Rupa paras keturunan pemerintah berpengaruh ini sangat unitk kerana mempunyai paras rupa mirip orang berbangsa Cina.  Keturusan Gengkhis Khan mempunyai darah campuran bangsa Mongolia, Arab dan Kaukasia.  Rupa paras mereka sangat menarik kerana mereka berkulit putih, mata bercelak, hidung mancung dan tinggi.

                Konklusinya, teknologi maklumat dan komunikasi banyak memberikan kebaikan kepada masyarakat antarabangsa.  Sebagai rakyat Malaysia, kita wajarlah memanfaatkan teknologi ini supaya duduk sama rendah, berdiri sama tinggi sejajar dengan negara maju yang lain di peringkat antarabangsa.
[796 patah kata]




CONTOH KARANGAN CEMERLANG (3 isi)
BAHAGIAN B

Soalan SPM 2015
Aktiviti rekreasi seperti aktiviti melancong, berkelah dan bersenam membawa pelbagai manfaat kepada masyarakat.
Ulas pernyataan tersebut.

Arus globalisasi yang menerjah dan melanda negara kita telah menyaksikan pelbagai amalan yang sering dilakukan pada zaman dahulu semakin dilupakan.  Manusia pada zaman mencabar ini lebih banyak menghabiskan masa dengan bekerja dan sibuk mengejar arus pemodenan yang bersifat materialistik.  Ada kalanya, sikap mereka membawa padah kepada diri sendiri.  Hari demi hari, sikap manusia berubah seiring dengan peredaran zaman.  Antara amalan yang semakin dilupakan pada masa ini ialah amalan melibatkan diri dalam aktiviti rekreasi.  Secara analoginya, aktiviti rekreasi boleh ditakrifkan sebagai apa-apa aktiviti yang dilakukan di luar rumah untuk mengisi masa lapang.  Antara aktiviti rekreasi yang popular adalah dengan melancong, berkelah dan bersenam.  Secara izharnya, ramai orang sama ada golongan tua mahupun golongan muda  tidak melakukan aktiviti sebegini lagi.  Adakah mereka berasakan bahawa aktiviti rekreasi ini tidak membawa faedah dan hanya membuang masa?  Sesungguhnya, masih ramai yang tidak tahu akan manfaat aktiviti rekreasi kepada masyarakat.  Sekiranya manfaatnya kita tahu sehingga ke akar umbi, maka sudah pasti aktiviti rekreasi ini tidak akan dilupakan.

Umum mengetahui bahawa antara manfaat melakukan aktiviti rekreasi ialah aktiviti ini dapat merapatkan hubungan dalam kalangan masyarakat.  Sejak dahulu lagi, perpaduan bangsa amat dititikberatkan untuk membentuk sebuah negara yang aman dan harmoni.  Dalam konteks ini, semua rakyat sudah tahu dan maklum akan kepayahan pemimpin negara untuk membentuk perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang bangsa di negara kita.  Oleh itu, kita perlu mengekalkan perpaduan yang ada pada zaman sekarang.  Melalui aktiviti rekreasi, hubungan dapat dieratkan kerana masyarakat dapat berinteraksi dan saling mengenali antara satu sama lain.  Aktiviti seperti melancong dan berkelah boleh dilakukan bersama-sama tanpa mengira bangsa dan keturunan.  Melalui aktiviti ini,  masyarakat akan dapat mengenal hati budi masing-masing.  Hal ini dapat menjadikan perasaan sangsi dan persepsi buruk terhadap orang lain dilenyapkan dalam diri individu.  Aktiviti rekreasi juga  merupakan medium untuk masyarakat berbual-bual dan bertanya khabar tentang perkembangan diri masing-masing.  Sebagai akibatnya, masyarakat akan dapat mengeratkan hubungan dan meluangkan masa bersama tanpa ada batasan dari aspek warna kulit mahupan agama yang dianuti.  Malahan, hubungan yang akrab bagai dakwat dan kertas juga dapat diwujudkan.

Memang tidak dapat dinafikan bahwa aktiviti rekreasi juga dapat membantu masyarakat untuk melepaskan tekanan.  Pada zaman pascamerdeka ini, kebanyakan individu mempunyai pekerjaan yang menuntut mereka untuk bekerja siang dan malam.  Pada masa yang sama, kerja yang perlu disiapkan juga banyak dan menyebabkan tekanan kepada setiap individu.  Dalam hal ini, aktiviti rekreasi dapat membantu masyarakat melepaskan tekanan kerana aktiviti ini boleh menyebabkan masyarakat melupakan masalah buat sementara waktu dan bergembira.  Sehubungan dengan itu, aktiviti seperti melancong dan bersenam boleh dilakukan pada hari cuti bersama-sama keluarga atau rakan.  Kebanyakan orang hanya memikirkan masalah yang dihadapi sehingga memberikan kesan kepada kesihatan mental dan fizikal mereka.  Melalui aktiviti rekreasi, masyarakat dapat merasai keseronokan meluangkan masa bersama dengan orang tersayang.  Implikasinya, masyarakat yang sihat dari segi mental dan fizikal dapat dilahirkan dan masyarakat seperti ini juga dapat membantu negara mencapai status negara maju.

Lontaran idea terakhir, aktiviti rekreasi sememangnya dapat melahirkan masyarakat yang cerdas dan cergas.  Pada zaman perkembangan teknologi IT ini, kebanyakan daripada masyarakat lebih gemar menghabiskan masa melayari Internet daripada duduk di dalam rumah.  Mereka jarang melakukan aktiviti-aktiviti luar  untuk mengisi masa lapang.  Sekiranya masa mereka banyak dihabiskan dengan gajet-gajet sahaja, minda mereka sudah tentu tidak akan berkembang dan membawa kemudaratan kepada tubuh badan mereka.  Melalui aktiviti rekreasi seperti bersenam, masyarakat dapat mengekalkan kesihatan tubuh badan di samping mengisi masa lapang.  Situasi ini dapat disamakan dengan peribahasa sambil menyelam minum air.  Masyarakat boleh melakukan senaman seperti joging untuk mengeluarkan peluh.  Sekiranya aktiviti rekreasi seperti ini kembali menjadi amalan, maka slogan badan cergas dan minda cerdas dapat dihidupkan semula.  Demi mewujudkan masyarakat yang cergas dan cerdas, setiap individu perlu meluangkan masa untuk melakukan aktiviti rekreasi tanpa alasan kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Sudah terang lagikan bersuluh, jelaslah bahawa aktiviti rekreasi membawa banyak faedah kepada masyarakat.  Setiap lapisan masyarakat perlu meluangkan masa untuk melakukan aktiviti rekreasi walaupun sibuk dengan urusan harian.  Sekiranya aktiviti  rekreasi ini kembali menjadi amalan, maka faedahnya akan dapat dinikmati oleh masyarakat dan juga negara.  Negara bukan sahaja dapat melahirkan masyarakat yang sihat mentalnya, bahkan fizikalnya juga.  Negara juga akan dapat membentuk masyarakat yang harmoni dan keamanan yang selama ini dikecapi oleh negara akan dapat dikekalkan.  Sesungguhnya, rakyat merupakan tunjang utama kepada pembangunan negara.  Dalam usaha memajukan negara, rakyat juga tidak harus lupa akan diri sendiri.  Oleh itu, aktiviti rekreasi ini perlu dijadikan amalan dalam kalangan masyarakat Malaysia.
[723 patah kata]






CONTOH KARANGAN A+ [SPM 2010]

Seorang ibu dapat menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu  dapat menjaga seorang ibu.

Situasi seperti di atas seharusnya tidak berlaku dalam sesebuah masyarakat.
Jelaskan tanggungjawab yang sepatutnya dilaksanakan oleh anak-anak terhadap ibu bapa.

Pada era pascaglobalisasi ini, isu keruntuhan institusi keluarga semakin hangat menjadi bicara semua rakyat Malaysia tidak kira tua mahupun muda. Walaupun berbagai-bagai prakarsa telah dimainkan oleh para ibu bapa untuk mengekalkan keharmonian keluarga, namun hal ini seolah-olah tiada nokhtah pengakhiran. Adakah peranan yang dimainkan oleh Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak cukup bersepadu untuk membawa paradigma baru ke dalam institusi kekeluargaan? Adakah peranan yang digerakkan oleh institusi keluarga dalam memacu keluarga mereka di bawah payung keharmonian gagal. Hal ini mungkin berpunca daripada prakarsa yang dimainkan oleh anak-anak yang tidak cukup mapan untuk membantu menyelesaikan masalah yang menunjangi keluarga mereka. Oleh itu, sudah menjadi amanah yang perlu dipikul anak-anak dalam merangka uslub terbaik untuk sama-sama memikul amanah kerana berat sama dipikul, ringan sama dijinjing supaya usaha membentuk keluarga yang cemerlang dalam segenap aspek kehidupan berjaya. Jadi, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih dan oleh itu prakarsa ini hendaklah dimulakan dari sekarang kerana kita perlu menyediakan payung sebelum hujan. Jadi, anak-anak hendaklah menggerakkan kembali jentera yang lebih bersepadu bagi membahagiakan ibu bapa dan sekali gus membentuk keluarga yang bahagia.

Sebenarnya, banyak prakarsa yang boleh dimainkan oleh anak-anak untuk membahagiakan ibu bapa mereka antaranya adalah dengan memberikan kejayaan dan kecemerlangan kepada mereka. Tidakkah semua orang melihat, saban tahun apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan pasti ada yang berduka dan bergembira. Tetapi tidakkah mereka menyedari bahawa seorang insan yang bergelar ibu bapa pasti akan mengalirkan air mata kegembiraan apabila melihat keputusan cemerlang yang diraih oleh anak-anak mereka? Sudah pastinya terselit seribu kepuasan dalam diri ibu bapa kerana keperitan dan penderitaan mendidik dan membesarkan anak-anak telah terbalas dengan kejayaan anak-anak mereka. Oleh itu, anak-anak hendaklah belajar bersungguh-sungguh dan membesar mengikut acuan yang telah dibentuk oleh ibu bapa mereka. Orang tua-tua ada menyatakan bahawa usaha tangga kejayaan, jadi usaha yang gigih tanpa mengenal erti putus asa akan membuahkan kejayaan yang manis untuk dikecapi. Kegigihan anak-anak semata-mata untuk mencapai kejayaan bagi dihadiahkan kepada ibu bapa mereka akan dapat direalisasikan sekiranya mereka berjaya menangkis segala ancaman yang masuk ke tingkap globalisasi kehidupan mereka. Tuntasnya, sudah jelaslah bahawa kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran merupakan salah satu tunjang utama untuk membahagiakan ibu bapa.

Sedasawarsa ini, anak-anak yang mempunyai akhlak dan budi pekerti mulia juga merupakan salah satu elemen utama dalam memberikan kebahagiaan kepada orang tua mereka. Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara merupakan kata-kata hikmat yang acap kali ditujukan khas kepada generasi muda tetapi tidak melampaukah jika semua orang mengatakan bahawa anak-anak merupakan tonggak utama keluarga, jantung hati, permata bernilai buat ibu bapa? Bagi segelintir pihak, anggapan ini dipandang sinis tetapi itulah realiti sebenar bahawa anak merupakan tunjang utama keluarga dalam memacu ke arah kebahagiaan keluarga. Selama bertahun-tahun anak-anak dididik dengan kebanyakan ibu bapa yang mengamalkan konsep melentur buluh biarlah dari rebungnya dan hasilnya, anak-anak telah berjaya menjadi insan yang berguna dan mampu menangkis segala hedonisme serta panji-panji kejahatan yang berleluasa kini. Jadi, hati ibu mana yang tidak sejuk melihat anak yang dipelihara mereka mempunyai keperibadian yang unggul. Oleh itu, anak-anak seharusnya berusaha menjaga akhlak dan budi pekerti mereka walaupun di mana-mana mereka berada kerana imej dan maruah keluarga bersandarkan tingkah laku mereka malah itulah juga yang menjadi kunci kebahagiaan buat ibu bapa mereka.

Sementelahan pula, ibu bapa juga akan bahagia jika anak-anak mereka menghormati mereka. Dalam menyoroti hal ini, aspek jasmani, emosi, intelektual dan sosial yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan negara sebenarnya mampu menjadi platform utama untuk anak-anak membahagiakan ibu bapa mereka. Bagi menyingkap hal ini, aspek jasmani yang boleh dipraktikkan anak-anak adalah dengan menghormati orang tua mereka sama ada dalam bentuk perbuatan mahupun perkataan. Sebagai contoh terdekat yang sangat ketara dengan semua pihak ialah seorang anak hendaklah bersalaman dengan ibu bapa mereka sebelum pergi ke mana-mana dan mereka hendaklah menundukkan badan sedikit apabila berjalan di hadapan orang tua. Dalam aspek emosi pula, anak-anak hendaklah menjaga perasaan ibu bapa mereka dan tidak melakukan sesuatu perkara yang boleh menguris hati mereka. Dalam menghayati peribahasa yang berbunyi kerana mulut santan binasa dan sudah terhantuk baru nak tengadah, anak-anak hendaklah sentiasa menjaga segala tutur bicara mereka supaya perkataan yang diucapkan tidak menyinggung perasaan ibu bapa mereka. Dalam memperincikan aspek intelektual pula, anak-anak hendaklah mendengar nasihat yang diberikan ibu bapa bagi membolehkan mereka memperoleh keberkatan ketika mereka belajar. Hal ini sekali gus membolehkan segala ilmu yang dipelajari mampu diserap dengan mudah tidak seperti masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Eksplisitnya, memang benarlah bahawa sifat hormat seseorang anak terhadap kedua-dua orang tua mereka mampu membahagiakan mereka.

Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing merupakan peribahasa yang sering berlegar-legar dan bermain-main di segenap kehidupan harian rakyat Malaysia. Jadi, dalam mempraktikkan hal ini, anak-anak hendaklah mengaplikasikan sikap ringan tulang dengan membantu ibu bapa menguruskan kerja-kerja rumah. Perkara ini bukan sahaja memudahkan urusan ibu bapa mereka malah dapat mengeratkan hubungan ukhwah kekeluargaan yang tersimpul rapi. Dalam menyingkap hal ini, konsep muafakat membawa berkat boleh diamalkan oleh ibu bapa dan anak-anak dengan saling membantu mengemaskan rumah. Bertitik tolak daripada aktiviti melakukan kerja-kerja rumah, rumah bukan sahaja cantik malah dapat menghindari diri daripada segala wabak penyakit akibat tidak mengutamakan kebersihan persekitaran. Lanjutan daripada hal ini, beban yang digalas oleh ibu bapa akan menjadi ringan malah mampu melestarikan warna-warni kebahagiaan dan keharmonian keluarga tersebut. Senario ini sekali gus mengurangkan jurang perpecahan sesebuah institusi keluarga seperti statistik sahih yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada tahun 2007 hingga 2008 yang menunjukkan bahawa satu daripada sepuluh pasangan di Malaysia bercerai setiap hari. Tuntasnya, memang benarlah bahawa peranan anak-anak dalam membantu meringankan beban ibu bapa mereka menguruskan kerja-kerja rumah amat signifikan untuk mewujudkan kebahagiaan buat mereka.

Selain itu, prakarsa lain yang boleh dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa adalah dengan mendengar nasihat mereka. Bagi menghuraikan perspektif ini, semua orang dapat menyaksikan bahawa hampir saban hari ada sahaja kes-kes yang membabitkan ibu bapa dan anak-anak menghiasi muka-muka depan akhbar di Malaysia sama ada kes pembuangan ibu bapa atau pergaduhan antara anak dengan kedua-dua ibu bapa mereka. Cuba kita renungkan kembali peristiwa yang berlaku pada 27 Oktober 2010 di akhbar Harian Metro bertajuk, ‘Trajedi pilu 9 anak membuang ibu mereka yang sudah tua’. Wajarkah 9 orang anak bertindak sedemikian rupa? Pastinya peristiwa dan tragedi hitam ini tidak akan berlaku jika seorang anak tidak mengamalkan peribahasa seperti kacang lupakan kulit dan mendengar nasihat. Anak-anak yang mendengar nasihat sudah pasti akan menjaga kebajikan ibu bapa mereka terutama ketika umur senja mereka. Janganlah anak-anak membiarkan nasihat ibu bapa mereka umpama mencurah air ke daun keladi kerana segala nasihat itu tidak lebih untuk kebahagiaan anak-anak itu juga. Deduksinya, memang izharlah bahawa jika seseorang anak mendengar nasihat ibu bapa maka perkara inilah yang menjadi kunci kebahagiaan kepada ibu bapa mereka.

Tambahan lagi, mendoakan kesejahteraan ibu bapa juga adalah antara prakarsa yang boleh dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa. Dalam menghayati hal ini, boleh dilihat dari dua perspektif yang berbeza. Perspektif pertama, mendoakan kesejahteraan ibu bapa ketika mereka masih hidup dan yang keduanya, mendoakan kesejahteraan mereka setelah mereka meninggal dunia. Oleh hal yang demikian, seseorang anak hendaklah menjadikan doa sebagai budaya yang sinonim dengan diri mereka. Bagi merealisasikan hal ini, kekerapan berdoa kepada ibu bapa hendaklah dilakukan sebagai aktiviti rutin selepas solat kerana alah bisa tegal biasa. Tidak mustahil rasanya langkah ini dipraktikkan dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Jadi, anak-anak hendaklah mendoakan kesejahteraan, keselamatan, kesihatan dan kemurahan rezeki untuk pihak ibu bapa mereka. Hal ini bukan sahaja bakal memudahkan urusan ibu bapa mereka di akhirat kelak malah akan membawa kebahagiaan di dunia lagi. Bagi merungkai kehidupan selepas mati, ibu bapa pastinya berasa bahagia dan tenang apabila berada di alam barzakh berkat doa seorang anak yang soleh. Konklusinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa doa merupakan senjata yag penting dan utama untuk membahagiakan ibu bapa.

Secara kesimpulannya, memang terdapat banyak peranan yang boleh dimainkan oleh anak-anak untuk membahagiakan ibu bapa. Oleh itu, anak-anak hendaklah selalu berusaha membahagiakan ibu bapa mereka secara istiqamah bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam mahupun bersikap melepaskan batuk di tepi tangga. Hal ini juga mampu membawa kebahagiaan kepada ibu bapa mereka malah menjadi kayu ukur falah anak-anak dalam meniti kehidupan yang serba mencabar di alam fana ini. Seterusnya, anak-anak akan menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang bersama-sama berganding bahu, selangkah sederap dengan pihak kerajaan dalam menjalankan tranformasi besar-besaran untuk memastikan keluarga sakinah dapat dilahirkan. Perkara ini sekali gus mampu membawa evolusi bermakna dalam institusi kekeluargaan dan seterusnya merealisasikan aspirasi kerajaan dalam mencapai visi kudsi Wawasan 2020. Jadi, kejayaan seseorang anak membahagiakan ibu bapa mereka sebenarnya mampu menjadi khazanah berharga untuk memajukan nusa dan bangsa.
 [1415 patah kata]























Bahagian B  (Karangan MATANG) ~ SPM 2016

1.       Remaja kini terdedah kepada pelbagai cabaran hidup akibat pengaruh rakan sebaya, media massa dan budaya Barat.
Huraikan peranan ahli keluarga dalam membantu para remaja menghadapi cabaran-cabaran tersebut.

                Dalam mendepani arus modenisasi tanpa limitasi ini, pelbagai cabaran hidup yang perlu diharungi oleh setiap strata masyarakat. Golongan remaja pastinya difokuskan kerana mereka merupakan golongan majoriti yang mendiami planet Bumi ini. ‘Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’, begitulah slogan yang kini menjadi tunjang utama kepada kemajuan peradaban negara. Hal ini jelas merujuk kepada golongan remaja kerana mereka memainkan peranan yang amat besar dalam memastikan kejayaan Malaysia terus memacu ke hadapan. Namun, apa yang menyayat hati adalah apabila golongan remaja diperhatikan amat mudah tewas dengan cabaran dunia. Kebobrokan akhlak golongan remaja yang kian jelas semakin memuncakkan kerisauan semua pihak. Oleh itu, ahli keluarga perlulah sedar dan membuka mata bahawa terdapat satu tanggungjawab yang besar di pundak mereka dalam membantu para remaja yang kian terjerumus dalam lembah kegelapan.

                Peranan pertama yang utama ialah ahli keluarga perlulah memastikan para remaja berkawan dengan mereka yang mantap akhlak dan sahsiahnya. Memetik kata-kata Saidina Ali bin Abi Talib, “Manusia yang lemah imannya adalah mereka yang tidak mampu mencari sahabat, dan yang lebih lemah dari itu ialah mereka yang mensia-siakan sahabat yang telah dicari”. Kata-kata tokoh Islam yang masyhur ini jelas membuktikan bahawa sahabat merupakan insan yang penting dalam mencerminkan diri kita yang sebenar. Tamsilnya, ibu bapa berperanan untuk mengetahui maklumat yang terperinci tentang rakan anak emas mereka. Tindakan pantas yang pragmatik ini amatlah signifikan kerana para remaja majoritinya amat mudah terpengaruh dengan rakan sebaya. Ibu bapa juga perlulah tahu setiap tindak-tanduk para remaja bersama dengan rakan-rakan mereka di luar rumah. Oleh itu, mereka pastinya berasa takut untuk melakukan perkara yang berunsurkan negatif dan menurut hawa nafsu semata-mata bak kata peribahasa Melayu, beraja di hati, bersultan di mata.  Hal ini jelas menunjukkan peranan ahli keluarga terutamanya ibu bapa dalam mengawasi para remaja agar tidak mudah terpengaruh dengan rakan sebaya.

                 Seperkara yang tidak kurang penting juga, media massa kini semakin rancak berkembang dan maju ke hadapan. Media sosial terutamanya merupakan medium canggih yang majoritinya digunakan oleh golongan remaja. Hal ini kerana mereka telah pintar dan bijak dalam mengakses aplikasi-aplikasi seperti ini. Sebagai tamsilan, remaja pastinya mempunyai aplikasi media sosial seperti ‘Facebook’, ‘Twitter’, ‘Instagram’ dan ‘Whatsapp’ di dalam telefon pintar mereka.  Oleh itu, banyak masa yang telah dihabiskan oleh mereka dengan menatap skrin bercahaya dari pagi hingga ke petang.  Masyarakat Melayu lazim dengan peribahasa masa itu emas. Bertitik tolak daripada itu, ahli keluarga perlulah memainkan peranan masing-masing dalam menasihati remaja agar tidak mensia-siakan waktu yang ada. Ahli keluarga seperti abang dan kakak sewajarnya berusaha bagai air mencari jenisnya bagi memastikan adik-beradik mereka agar tidak lalai dan leka dengan media massa. Mereka seharusnya mengaplikasikan peribahasa buang yang keruh, ambil yang jernih. Media massa hakikatnya menyediakan kita dengan pelbagai maslahat. Namun, jika tersilap langkah media tersebut juga berupaya menyajikan kita dengan seribu mafsadah. Oleh itu, ahli keluarga mestilah tidak mengambil enteng dalam tugas mereka menasihati para remaja agar tidak terpengaruh dengan media massa.

                Disingkap dari aspek yang lain pula, ahli keluarga perlulah bahu-membahu dalam membantu para remaja agar tidak rosak akibat budaya Barat. Hal ini kerana, budaya Barat yang merupakan budaya hedonistik ini kian menular dalam sukma setiap remaja. Sebagai uswah, para remaja gemar melayan drama-drama artis dari Korea. Hal ini menyebabkan mereka mengikut jejak langkah setiap artis pujaan mereka dari aspek penggayaan rambut, pemakaian baju sehinggalah gaya pertuturan mereka. Para remaja berasa hidung tinggi dan berbangga apabila mereka dimiripkan dengan artis-artis luar negara. Rentetan itu, ahli keluarga perlulah mengambil langkah sederap untuk menghalangkan penerapan budaya asing dalam diri para remaja. Hal ini kerana, peribahasa Melayu sering mengingatkan, biar mati anak, jangan mati adat. Peribahasa ini jelas menunjukkan peri pentingnya adat dan budaya resam kaum kita agar dipelihara sehingga ke generasi yang seterusnya. Oleh itu, ahli keluarga perlulah menghalang para remaja daripada menyaksikan drama-drama luar negara, membeli majalah-majalah yang tidak berfaedah serta pertuturan loghat asing. Oleh itu, para remaja akan terpelihara daripada unsur budaya Barat. Ahli keluarga juga terutamanya ibu bapa perlulah menerapkan nilai-nilai agama dan unsur-unsur kerohanian dalam diri remaja. Oleh itu, atma para remaja akan bersih dan mereka mampu membezakan antara intan dan kaca.

                Jika ditelusuri, remaja juga perlu dipadatkan dengan aktiviti seharian bersama-sama ahli keluarga. Hal ini kerana golongan remaja mudah lupa tentang asal usul keturunan mereka. Oleh itu, ahli keluarga wajarlah menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik untuk dilakukan bersama-sama remaja. Sebagai contoh, aktiviti mengemas rumah, menonton televisyen, beriadah di taman dan melancong ke luar negara. Ahli keluarga berperanan memastikan para remaja sentiasa berada di sisi mereka. Oleh itu, remaja akan terjaga daripada terjebak dengan aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral seperti menghisap rokok, menagih dadah dan ponteng kelas. Ahli keluarga tidak sewajarnya memainkan peranan masing-masing bagai melepaskan batuk di tangga. Para remaja pastinya akan berasa terabai lantas memberikan seribu alasan untuk melakukan perkara-perkara yang negatif.   Ibu bapa perlulah menjaga anak mereka bagai menatang minyak yang penuh kerana sesungguhnya anak-anak terutamanya yang sedang meniti usia remaja amatlah menagih kasih sayang ibu bapa. Jelaslah bahawa, aktiviti yang membawa kepada pelbagai maslahat sesama keluarga amatlah signifikan dalam memastikan para remaja tidak tewas dengan cabaran hidup.

                Natijahnya, terdapat pelbagai peranan yang perlu digalas oleh ahli keluarga dalam memastikan para remaja mempunyai kekuatan mental dan fizikal dalam menghadapi cabaran hidup yang mendatang.   Ingatlah bahawa kemajuan negara pada masa hadapan ditentukan oleh golongan remaja pada masa ini.   Inspirasi daripada kata-kata George Washington Carver, “99 peratus kegagalan datangnya daripada mereka yang suka memberi alasan”. Kata-kata beliau jelas mengingatkan bahawa tiada alasan yang wajar diberi oleh masyarakat terutamanya ahli keluarga dalam membantu golongan remaja mengatasi rintangan-rintangan dalam kehidupan mereka.   Pada saat getir seperti ini, ahli keluarga tidak wajar bersikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Golongan remaja tidak kuat dan mudah goyah untuk mengorah langkah dalam kehidupan mereka. Ahli keluarga yang merupakan darah daging mereka sendiri merupakan insan yang paling penting untuk berada di sisi mereka dalam membantu mereka membuat keputusan yang tepat yang menjanjikan kecemerlangan hidup mereka.

[962 patah kata]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan