Assalamualaikum wbr dan selamat
sejahtera
Rasa syukur
kita panjatkan kehadrat Allah kerana dapat berkhidmat lagi di sekolah ini. Tahun 2016 tentunya
menjanjikan beberapa cabaran kepada para warga pendidik di sekolah ini terutama
dalam bidang kurikulum , kokurikulum dan pembangunan sahsiah pelajar di samping
memenuhi hasrat ibu bapa dan kementerian.
Pada asasnya
,sekolah merupakan salah satu institusi yang diberikan tanggungjawab untuk
mendidik dan menerapkan sahsiah yang baik kepada para pelajarnya. Dengan
pelbagai kemudahan yang disediakan pada masa kini , seharusnya fungsi sekolah
dapat dijayakan melalui peranan yang dimainkan oleh anggota di dalamnya. Salah
satu aspek yang menjadi tuntutan pada masa kini ialah persoalan dasar dan tujuan
pendidikan. Oleh yang demikian kita wajar memahami dan menyelami hal ini bagi membolehkan warga pendidik mempunyai gambaran
yang jelas tentang dasar dan hala tuju pendidikan negara pada tahun- tahun
mendatang.
Pendidikan
adalah proses “memanusiakan” manusia dalam ertikata yang sebenar. Hasrat murni
ini seharusnya dijelmakan dalam semua tindakan dan perlakuan setiap anggota
pendidik yang menjadi titik akhir bagi matlamat suci pendidikan . Pendidikan di
negara ini juga merupakan sebagai satu usaha untuk membentuk insan yang
holistik iaitu memiliki ilmu dan
kemahiran yang sesuai di samping nilai
dan disiplin selaras dengan hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara
Dalam nada
yang sama , dasar dan misi Kementerian Pendidikan adalah bermatlamatkan untuk
mewujudkan sistem pendidikan yang terbaik bagi menghasilkan insan yang
mempunyai daya ketahanan tinggi dalam memenuhi aspirasi dan kehendak individu,
masyarakat dan negara. Enam aspirasi
pelajar yang digariskan , 11 anjakan oleh Kementerian Pendidikan dan lima
bidang keberhasilan utama , seharusnya mampu dicapai dalam usaha memenuhi
matlamat pendidikan di peringkat sekolah.
Pembaharuan
sistem pendidikan merupakan satu usaha yang berterusan ke arah pembaikan dalam teori dan amalan pendidikan. Oleh
itu para guru seharusnya memahami dan menjiwai perubahan dan kehendak semasa
dalam dunia pendidikan pada masa kini. Dalam menempuh gelombang kedua
(2016-2020 ) fokus utama Kementerian Pendidikan
ialah akan melaksanakan perubahan struktur sistem pendidikan negara untuk
mempercepatkan perjalanan perubahan
dalam usaha menangani kebimbangan mengenai pengetahuan, kemahiran dan
nilai untuk maju sesuai dengan perkembangan ekonomi dunia hari ini.Antara yang diberikan
penekanan ialah berkaitan dengan KSSM,
peningkatan penguasaan Bahasa Inggeris, inovasi ICT dan meningkatkan bimbingan
dan sokongan kepada guru bagi penambahbaikan penyampaian pengetahuan,
kemahiran, dan nilai merentasi semua aspek kurikulum dan kokurikulum.
Saya berharap
agar semua warga sekolah ini dapat memenuhi tuntutan semasa dan meningkatkan komitmen diri. Kerjasama pelbagai pihak yang
jitu dan kompeten mampu menjulang nama
sekolah ke arah pencapaian yang lebih gemilang pada masa hadapan.
Sekian
terima kasih.
Join group Perkongsian ABM sejarah spm. https://telegram.me/joinchat/ADZaNAQpQcTYAEf4ag2dgw
BalasPadam