CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Jumaat, 24 Julai 2015

PENDEKATAN PEMBELAJARAN KONSTRUKTIVISME



PENDEKATAN PEMBELAJARAN KONSTRUKTIVISME

Pengenalan
                Pengajaran dan pembelajaran matematik melibatkan kemahiran mengira  yang melibatkan daya pemikiran dan kreativiti yang tinggi. Pembelajaran matematik  memerlukan kefahaman sesuatu konsep dengan mantap dan menyeluruh. Perlaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran matematik perlu mengambil kira keperluan dan tahap pencapaian para murid.
                Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) mempunyai matlamat memperkembangkan fungsi  murid secara  menyeluruh dan bersepadu bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani.emosi dan jasmani supaya mereka dapat menjalani kehidupan  dengan berkesan dan bertanggungjawab. Bagi mencapai matlamat ini, guru perlu memilih kaedah pengajaran dan pembelajaran dengan bijaksana supaya kaedah yang dipilih itu sesuai dengan murid-murid yang pelbagai kebolehan dan minat. Salah satu trend matematik yang perlu diamalkan ialah melalui pendekatan Pembelajaran Konstruktivisme.

Pengertian Konstruktivisme

Pendekatan konstruktivisme merupakan proses pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda pelajar. Pengetahuan dikembangkan secara aktif oleh pelajar itu sendiri dan tidak diterima secara pasif dari persekitarannya. Ini bermakna pembelajaran merupakan hasil daripada usaha pelajar itu sendiri dan bukan dipindahkan daripada guru kepada pelajar. Iaitu tidak lagi berpegang pada konsep pengajaran dan pembalajaran yang  lama , di mana guru hanya “menuang ilmu “ kepada murid tanpa murid itu sendiri berusaha dan menggunakan pengalaman atau pengetahuan sedia ada mereka .
                Untuk membantu murid membina konsep atau pengetahuan baru, guru perlu mengambil kira  struktur kognitif yang sedia ada pada mereka. Apabila maklumat baru telah disesuaikan dan diserap untuk dijadikan sebahagian daripada pegangan kuat mereka, barulah bentuk baru tentang sesuatu ilmu pengetahuan dapat dibina. Proses ini dinamakan Konstruktivisme.Beberapa ahli konstruktivisme berpendapat bahawa pembelajaran bermakna bermula dengan pengetahuan atau pengalaman sedia ada murid.
                Rutherford dan Algren berpendapat bahawa murid mempunyai idea mereka sendiri tentang hampir semua perkara sama ada betul atau salah.Jika kefahaman
dan pandangan diabaikan dan tidak diatasi, kefahaman atau kepercayaan asal mereka itu akan tetap kekal walaupun dalam peperiksaan , mereka memberi jawapan seperti yang dikehendaki oleh guru.
                John Dewey menguatkan lagi teori konstruktivisme dengan mengatakan bahawa pendidik cekap harus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sebagai proses menyusun  atau membina pengalaman secara berterusan. Beliau juga menekankan kepentingan penyertaan murid di dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.


Ciri-ciri Utama Pendekatan Konstruktivisme

                Mengikut pandangan ahli konstruktivisme, setiap orang murid mempunyai  peranan dalam menentukan apa yang dipelajari. Ini bermakna kepala pelajar bukanlah kosong. Penekanan diberi kepada murid supaya berpeluang untuk membentuk kemahiran dan pengetahuan  iaitu dengan mengaitkan pengalaman lampau dengan kegunaan masa depan. Murid bukan sahaja diberi fakta sahaja tetapi penekanan diberi kepada proses berfikir dan kemahiran berkomunikasi.

Peranan Guru Dalam Kelas Konstruktivisme
 Melalui pendekatan konstruktivisme, guru perlu mengubah peranannya dalam bilik darjah.. Guru akan berperanan sebagai penyelidik . Dengan cara ini, guru lebih memahami bagaimana murid membina konsep atau pengetahuan. 
                Ahli konstruktivisme menganggap peranan guru di dalam kelas adalah sebagai pengurus atau fasilitator untuk menangani masalah disiplin dengan sempurna. Murid diterima sebagai individu yang mempunyai ciri-ciri perlakuan yang berbeza dan perlu diberi perhatian. Mereka diberi peluang untuk membina keputusan sendiri.tentang perkara yang mereka pelajari. Melalui proses ini mereka lebih bertanggungjawab dan melibatkan diri dalam aktiviti  pembelajaran. Sebaliknya mengikut ahli objektivisme berpendapat bahawa guru harus berperanan sebagai pengawal kelas. Murid tidak ada pilihan kecuali menurut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan. Sekiranya ingkar mereka akan diberikan hukuman atau didenda oleh guru tersebut.
               

Prinsip-prinsip Pendekatan Konstruktivisme

Dalam pembelajaran secara konstruktivisme pengetahuan tidak diterima secara pasif tetapi dibina secara aktif oleh pelajar. Manakala fungsi pembelajaran adalah bersifat penyesuaian dan bertanggungjawab untuk mengorganisasi dunia pengalaman dan bukan untuk menemui dunia realiti.

Model Pengajaran Konstruktivisme
1.    Model Pengajaran Interaktif (Biddulph & Osborne)
v     Guru lebih sensitif kepada idea dan persoalan pelajar.
v     Guru menyediakan pengalaman penerokaan yang membolehkan pelajar menimbul persoalan dan mencadangkan penerangan yang munasabah.
v     Guru menyediakan aktiviti yang memfokuskan kepada idea dan persoalan oleh pelajar.
v     Guru menyediakan aktiviti yang menggalakkan pelajar membuat penyiasatan.
v     Guru berinteraksi dengan pelajar untuk mencabar dan melanjutkan idea mereka.

2.    Pengajaran Model Berpusatkan Masalah (Wheatley)
v     Guru memilih tugasan yang  berkemungkinan menjadi masalah besar kepada pelajar.
v     Pelajar membuat tugasan dalam kelompok kecil.
v     Kelas akan berkumpul semula untuk membentangkan kepada kelas dan guru. Guru hanya berperanan sebagai fasilitator.

Cara-cara Pelajar Membina Konsep Matematik
v     Pelajar membuat penyelesaian matematik dengan manipulatif.
v     Pelajar berbincang keputusan penyiasatan mereka.
v     Pelajar menulis hasil pengalaman mereka.
v     Pelajar belajar cara penemuan mereka.
v     Pelajar berfikir secara mencapah.
v     Pelajar menyelesaikan masalah yang terbuka.
Keberkesanan Strategi Pengajaran Matematik Melalui Pendekatan
Kontruktivisme
v     Pelajar berpeluang mengemukakan pandangan mereka terhadap sesuatu konsep.
v     Pelajar dapat berkongsi persepsi /pandangan / idea antara satu sama lain.
v     Pelajar dapat menerima serta menghormati semua pandangan daripada rakan-rakan mereka.
v     Semua pandangan diterima dan tidak dipandang rendah.
v     Pelajar dapat mengaplikasi idea baru dalam konteks yang berbeza untuk mengukuhkan kefahaman tersebut.
v     Pelajar dapat merenung atau mengimbas kembali proses pembelajaran yang telah dilalui.
v     Pelajar dapat menghubungkaitkan idea yang asal dengan idea yang baru dibinanya.
v     Pelajar dapat mengemukakan hipotesis daripada aktiviti yang dilaluinya tetapi bukan guru yang menerangkan teori.
v     Pelajar dapat berinteraksi dengan pelajar lain dan guru.
v     Memupuk semangat kerjasama antara individu dan kumpulan melalui aktiviti koperatif.
v     Pengajaran berpusatkan kepada pelajar.
v     Guru akan dapat meningkatkan kemahiran berfikir di kalangan pelajarnya.
v     Guru menjadi lebih prihatin terhadap keperluan , kebolehan serta minat pelajar.
v     Guru hanya mengemukakan soalan yang boleh merangsangkan pelajar mencari jawapan.

Kesimpulan

                Kesimpulannya pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan konstruktivisme akan memberi peluang kepada guru untuk memilih kaedah pengajaran  dan pembelajaran  yang sesuai dan murid dapat menentukan sendiri masa yang diperlukan untuk memperolehi sesuatu konsep atau pengetahuan. Di samping itu, guru dapat membuat penilaian kendiri  dan menilai kefahamannya tentang sesuatu bidang pengetahuan dapat ditingkatkan lagi. Selain itu, beban guru sebagi pengajar akan berkurangan di mana guru lebih bertindak sebagai pemudahcara atau fasilitator.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan