Sumber
Soalan Contoh:
Gejala gengsterisme semakin menjadi-jadi pada masa ini. Keadaan ini
amat membimbangkan masyarakat keseluruhannya. Bincangkan langkah-langkah yang
boleh diambil untuk membendung gejala ini daripada terus menular.
Sejak kebelakangan
ini, gejala gangsterisme semakin menjadi-jadi di negara kita. Perkara ini tidak
akan ada penamatnya jika tidak dipandang berat oleh semua pihak. Gejala ini
dapat dilihat dengan jelas apabila berlakunya peningkatan mengenai kes ini
dalam dada-dada akhbar dan perkara sebegini telah membimbangkan masyarakat
kita. Tegasnya, pelbagai langkah yang proaktif dan konkrit sewajarnya diambil bagi menangani masalah ini.
Antara langkah yang
boleh diambil bagi mengurangkan masalah ini ialah ibu bapa mestilah memantau
dan mengambil berat dengan setiap aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak. Hal
ini demikian kerana pada masa ini ibu bapa lebih banyak mementingkan kerjaya
dan wang berbanding meluangkan waktu bersama-sama anak-anak di rumah bak kata
pepatah ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’. Lantaran itu,
anak-anak akan mudah untuk melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Selagi
ibu bapa kurang memberikan perhatian kepada anak-anak, selagi itulah perkara
ini tidak boleh diselesaikan.
Selain itu, setiap
individu mestilah pandai dalam memilih rakan. Hal ini demikian kerana remaja
pada masa ini lebih banyak membazirkan waktu mereka bersama-sama rakan-rakan
sebaya hanya untuk menginginkan kebebasan. Implikasinya, remaja-remaja akan
terjerumus dalam melakukan aktiviti yang tidak sihat. Tamsilnya, mereka akan
mengikut kumpulan-kumpulan gangster dan sebagainya. Jika perkara sebegini masih
berleluasa maka kes-kes seperti ini tidak akan berkurangan.
Di samping itu,
pihak kaunselor sekolah juga perlulah mengambil inisiatif dalam membendung
masalah ini dengan cara mengadakan program yang berkaitan dengan masalah
pelajar di sekolah. Hal ini disebabkan kerana remaja sekarang lebih suka
membuang masa dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah berbanding
menyertai program yang memberi keinsafan dan pengajaran. Dengan ini, pelajar
yang bermasalah akan berminat untuk menyertai program yang diadakan ini.
Sebagai contoh, guru kaunselor mestilah dapat menarik minat pelajar-pelajar
tersebut dengan cara berjumpa dan memberi nasihat kepada pelajar itu. Dengan
adanya cara sebegini, remaja-remaja akan berubah dan insaf jika mengikuti
program tersebut.
Konklusinya, kita
seharusnya mengambil langkah-langkah di atas bagi mengurangkan berlakunya
gejala gangsterisme ini. Oleh itu, masyarakat juga mestilah prihatin terhadap
setiap aktiviti yang dilakukan oleh remaja. Sekiranya perkara ini diambil
berat, gejala ini dapat diatasi dengan mudah. Jelaslah bahawa peranan dan
tanggungjawab semua pihak sangat penting bagi mengurangkan berlakunya gejala
gangsterisme bak kata peribahasa ‘tepuk sebelah tangan tidak berbunyi’
Soalan Contoh:
Benteng utama untuk menghadapi pelbagai gejala sosial dewasa ini
terletak pada pengukuhan institusi keluarga. Berikan komen anda berkaitan
dengan pandangan ini.
Institusi keluarga
biasanya terbentuk daripada kelompok yang paling asas, iaitu ayah, ibu, dan
anak-anak. Sementara itu, gejala sosial
merujuk kepada perkara-perkara negatif yang dilakukan oleh sesiapa saja. Gejala
sosial yang melanda masyarakat kita hari ini berkait rapat dengan nilai
kehidupan dalam institusi keluarga.
Banyak pihak yang berpendapat bahawa kanak-kanak yang dididik dengan
baik dapat meryerapkan nilai-nilai murni sebagai persiapan untuk menghadapi
pelbagai cabaran kehidupan.
Salah satu usaha
pengukuhan institusi keluarga terletak pada usaha pemupukan semangat yang kental. Melalui cara ini, benteng bagi menangkis
sebarang masalah sosial yang melanda masyarakat kita dewasa ini akan
wujud. Antara masalah sosial itu
termasuklah masalah penyalahgunaan dadah, perlakuan sumbang mahram, kes
pembuangan bayi, jenayah perogolan yang membabitkan pelajar, dan gejala laku
musnah. Oleh itu, setiap anggota
keluarga perlulah berganding bahu untuk memastikan bahawa semangat yang kental
terjelma dalam kalangan anggota keluarga dan akhirnya dapat mengelak daripada
gejala-gejala sosial.
Selain itu, melalui
usaha pengukuhan institusi keluarga, ibu bapa perlu diberi pendedahan tentang
kemahiran keibubapaan. Hal ini demikian
kerana kemahiran keibubapaan bagi sesesetengah ibu bapa amat terhad. Antara
kemahiran yang dapat diterapkan termasuklah komunikasi efektif, mesra keluarga,
nilai kekeluargaan, toleransi, keibubapaan cemerlang, dan kasih sayang. Penerapan ciri-ciri tersebut dalam kehidupan
alam rumah tangga dapat membentuk keluarga bahagia. Oleh yang demikian, dengan
sendirinya anak-anak remaja tidak akan terdorong untuk keluar rumah mencari
keseronokan yang berkemungkibnan mendedahkan gejala-gejala negatif kepada
mereka.
Selanjutnya,
pemupukan nilai-nilai murni mampu mengukuhkan institusi keluarga. Dengan
berlandaskan anggapan bahawa daya kekuatan sesebuah keluarga itu bermula dari
rumah, yang penting kini ialah usaha mencurahkan segala tenaga kita untuk
mengukuhkan institusi tersebut. Dalam
konteks ini, ibu bapa yang berjaya ialah ibu bapa yang dapat menerapkan
nilai-nilai murni sosial dan kekeluargaan di kalangan anak mereka. Lantaran itu, saranan agar ibu bapa
memberikan perhatian yang sewajarnya untuk mengawasi segala tindak-tanduk
anak-anak mereka perlu disambut oleh semua ibu bapa agar anak-anak mereka tidak
terperangkap dalam gejala penyalahgunaan dadah dan keruntuhan moral.
Kesimpulannya,
masalah sosial perlu ditangani segera.
Jika tidak ditangani segera, masalah ini pasti akan menggugat kestabilan
masyarakat dan negara. Peranan ibu bapa
dan anggota keluarga amat penting untuk melahirkan anak yang mampu menangani
segala dugaan dan cabaran ini. Tegasnya,
pengukuhan institusi keluarga tetap menjadi benteng utama demi menghadapi
pelbagai masalah sosial dewasa ini.
Pencemaran alam telah menjadi satu isu global yang diputuskan oleh
Perhimpunan Bangsa-bangsa Bersatu. Impak ini memberi kesan yang ketara kepada
manusia terutama di Malaysia.
Nyatakan kesan-kesan negatif yang timbul daripada kemelut ini dan
langkah mengatasinya.
Pencemaran alam
memang telah menjadi satu ancaman utama dalam pembangunan manusia sejagat.
Tindakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang mengakui berlakunya perubahan
cuaca dunia akibat pencemaran yang dilakukan oleh manusia telah membuktikan
masalah ini semakin kronik. Pencemaran alam memang disebabkan oleh sikap
manusia itu sendiri sehingga menyebabkan banyak impak negatif yang timbul.
Agaknya manusia tidak serik melihat kemusnahan yang mereka lakukan selama ini?
Bencana alam
semakin menjadi-jadi terutama di Kuala Lumpur. Kawasan tanah runtuh di Ampang
dan Puchong suatu ketika dahulu begitu menakutkan masyarakat di sini. Banjir
kilat yang pasti berlaku sebaik sahaja hujan turun menyebabkan masyarakat
berjaga-jaga setiap kali musim hujan menjelang. Keadaan ini menyebabkan
kehidupan masyarakat dalam risiko dan menimbulkan rasa takut dalam perasaan
mereka. Sekali hujan, sekali banjir, sekali Kuala Lumpur berubah.
Tambahan pula,
kejadian tanah runtuh dan banjir serta jerebu membawa keadaan kesihatan
masyarakat yang kurang baik.Kejadian demam, batuk dan wabak penyakit yang
merebak menyebabkan kos rawatan perubatan masyarakat kita terus meningkat.
Keadaan ini sudah pasti membebankan terutama kepada golongan berpendapatan
rendah yang terpaksa memikirkan keseinambungan hidup selain mendapatkan rawatan
penyakit mereka. Jadi,pencemaran alam memang memberi impak yang ketara dalam
kehidupan kita.
Lantaran itu, masyarakat
kita terutama generasi muda yang dilahirkan ialah generasi yang sudah terdedah
dengan pencemaran alam. Generasi muda kita ialah generasi yang sudah ‘sakit’.
Jadi, tidaklah kita terkejut apabila kita sering mendapat khabar tentang
golongan belia yang tidak mampu untuk mengharungi cabaran alam yang memerlukan
ketahanan fizikal yang tinggi. Generasi muda mudah berasa penat dan tidak mampu
menyelesaikan masalah fizikal yang mereka tempuhi. Mungkin juga generasi muda
kita kekurangan kemahiran mendengar atau mempunyai penyakit lelah sejak kecil.
Imej negara sudah
pasti akan terjejas terutama pada mata masyarakat antarabangsa. Pada mereka
sikap masyarakat negara ini yang tidak peka yang menyebabkan alam kita tercemar
begitu teruk. Kita dipandang sebagai masyarakat materialistik kerana terlalu ghairah
memusnahkan alam semata-mata untuk mengaut keuntungan kebendaan. Kehadiran
pelancong turut berkurangan bukan sahaja imej negara tetapi kurangnya kawasan
untuk dilawati akibat pencemaran alam ini.
Mungkin langkah
yang terpenting dalam menangani isu ini ialah kerajaan menguatkuasakan akta
yang lebih tegas dan berat hukumannya. Kerajaan hendaklah berani mengambil
tindakan bersama-sama menghukum pesalah pencemaran alam ini tanpa rasa segan
silu. Kerajaan perlulah mempamerkan sikap yang telus dalam memastikan alam kita
terus terbela. Kerajaan merupakan benteng pertama negara dalam menentang
pencemaran alam.
Kesimpulannya,
semua pihak harus menjadikan alam sebagai fokus perjuangan mereka. Alam
bukanlah hak kita tetapi alam warisan yang kita tinggalkan untuk generasi akan
datang. Jadi, alam bukan satu anugerah tetapi satu tanggung jawab yang
memerlukan pengorbanan masyarakat untuk memastikan alam terus menerus diwarisi
oleh manusia sejagat. Mungkin kali ini kita akan berjaya menangani kemelut yang
semakin mencengkam ini.
Soalan Contoh:
Gaya hidup sihat satu amalan yang murni. Nyatakan cara-cara mencapai
gaya hidup sebegini.
Gaya hidup sihat
bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif
kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh kehidupan yang
sihat ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang
masalah yang boleh menjejaskan kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula.
Sudah pasti dalam kehidupan era moden yang begitu banyak tekanan ini gaya hidup
sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai segera. Oleh itu, terdapat
pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini.
Tindakan awal ialah
seseorang itu perlu mengamalkan satu diet pemakanan yang seimbang dalam
kehidupannya. Dalam keadaan kehidupan sebenar, ramai yang suka mengambil satu
jenis makanan sahaja seperti hanya memakan daging tanpa mengambil sayur dalam
diet mereka. Ketiadaan diet yang seimbanglah atau hanya menumpukan pemakanan
mereka terhadap satu aspek sahaja yang menyukarkan seseorang untuk mencapai
matlamat gaya hidup yang baik ini. Jelaslah, diet yang seimbang membolehkan
kita semua mencapai satu kehidupan yang ceria kerana semua zat yang diperlukan
oleh badan diperoleh menerusi pemakanan yang baik itu.
Selain itu,
aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan kehidupan yang dijalani oleh
seseorang itu lebih sihat dan menceriakan. Kita boleh menjalankan aktiviti
berjalan atau berlari bersendirian atau melakukan aktiviti bersukan
bersama-sama keluarga atau ketika hujung minggu untuk mendapatkan senaman
sebegini. Aktiviti senaman sudah lama diakui oleh pakar perubatan mampu
menjadikan sistem peredaran darah manusia lebih stabil dan baik serta
menjadikan sistem imunisasi mereka lebih tinggi. Maka, semakin kerap senaman
dilakukan maka semakin tinggilah tahap kesihatan seseorang itu kerana minda
yang cerdas datangnya daripada badan yang cergas.
Gaya hidup yang
sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang
lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati
lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian
atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa
bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan
efektif. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi untuk
memperoleh gaya hidup yang sihat ini.
Pada masa yang sama
sikap atau mentaliti positif penting dimiliki oleh seseorang itu untuk
menangani tekanan kehidupan moden. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang
itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik
tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di
pejabat memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Maka,
semakin positif minda seseorang itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat
yang mampu dicapainya kelak.
Kesimpulannya, gaya
hidup yang sihat ini boleh diperoleh menerusi semua amalan yang dipaparkan
tadi. Cuma sikap masyarakat yang masih memandang rendah kepentingan gaya hidup
sebeginilah yang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan timbul kelak. Kita
semua perlulah memahami bahawa mencegah lebih baik daripada mengubatinya.
Soalan Contoh:
Aktiviti kokurikulum berperanan
untuk melahirkan remaja yang berwawasan dan berdisiplin.Berikan pendapat anda
tentang perkara tersebut.
Aktiviti
kokurikulum merujuk aktiviti yang luar darjah yang melibatkan aktviti yang
berpersatuan, lasak dan mungkin kemahiran tertentu. Kegiatan luar darjah ini
berupaya untuk memberikan satu perspektif baharu kepada pelajar dalam menjalani
kehidupan mereka di sekolah dan luar sekolah. Kelebihan kegiatan ini turut
dipaparkan di dalam pelbagai media massa di negara ini yang membuktikan manfaat
menyertainya. Jadi, pembabitan pelajar dalam kegiatan ini memang membawa
pelbagai impak positif dalam kehidupan mereka.
Sebenarnya,
aktiviti kokurikulum memberikan pelajar satu keyakinan diri yang hakiki
menerusi pembabitan mereka dalam setiap aktiviti kokurikulum yang dijalankan
itu. Keyakinan diri ini timbul kerana setiap kali berjaya melaksanakan sesuatu
tugasan itu mereka akan menimba pengalaman yang memberi mereka satu jangkaan
awal apabila melakukan aktiviti lain pula. Sudah pasti perasaan ini memudahkan
mereka untuk menjalani kehidupan selepas sekolah yang lebih mencabar
suasananya. Maka, penglibatan kokurikulum memang memberi manfaat kepada
seseorang pelajar itu.
Selain itu, pelajar
yang melibatkan diri dalam kokurikulum turut memiliki tahap disiplin diri yang
tinggi dalam diri mereka. Pemilikan disiplin yang tinggi ini terhasil kerana
semua aktiviti kokurikulum memerlukan seseorang pelajar itu mematuhi beberapa
peraturan tertentu yang meliputii pakaian seragam, aktiviti, masa berlatih dan
tempoh akhir untuk menyiapkan sesuatu projek itu. Semua aktiviti ini hanya
boleh dilakukan jika seseorang pelajar itu mempunyai disiplin yang tinggi
kerana masa untuk belajar dan beraktivti hanya boleh diseimbangkan menerusi
satu disiplin yang tinggi. Oleh itu, pelajar yang melibatkan diri mereka secara
aktif dalam aktiviti ini akan mempunyai satu sikap mementingkan disiplin yang
tinggi.
Malah, pembabitan
pelajar dalam kokurikulum menghasilkan pelajar yang berhati mulia dan baik.
Rasa hormat kepada ibu bapa, guru dan rakan sebaya terhasil kerana setiap
aktiviti kokurikulum menekankan aspek menghormati orang lain. Kekerapan
melakukan aktivit ini secara tidak langsung akan menerapkan nilai-nilai
kesopanan yang jitu dalam diri mereka. Jelaslah, kokurikulum mampu membentuk
pelajar menjadi pelajar yang memiliki ciri-ciri sopan yang tinggi.
Mungkin satu impak
positif kegiatan kokurikulum yang baik ialah aktiviti ini memberikan pelajar
satu sikap bersaing yang tinggi. Sikap persaingan positif ini menyebabkan
pelajar tidak gentar untuk menghadapi setiap cabaran yang mendatang. Mereka
seolah-olah sudah lali untuk mengharungi kehidupan yang penuh dengan dugaan
dalam aspek alam persekolahan atau kehidupan biasa mereka.
Konklusinya,
pelajar yang melibatkan diri mereka dalam aktiviti kokurikulum akan berjaya
memiliki satu personaliti yang berkualiti tinggi. Semua ciri yang diutarakan di
dalam hujah ini akan membantu mereka untuk mengharungi kehidupan yang penuh
dengan dugaan yang besar ini. Cuma pelajar yang sebegini lebih mudah untuk
menyelesaikan masalah mereka itu. Slogan 'pemuda tiang negara, pemudi harapan
bangsa” sesuai menjadi pedoman kita dalam aspek ini.
soalan Contoh:
Perkembangan Sains dan Teknologi
menyebabkan ramai dalam kalangan kita mencari maklumat melalui internet.
Jelaskan kelebihan yang diperoleh apabila kita menggunakan internet.
Mayapada, manusia
tidak dapat dipisahkan dengan pelbagai kemudahan teknologi komunikasi yang
canggih dalam kehidupan seharian mereka. Kemudahan internet merupakan salah
satu ciptaan manusia yang telah menjadi suatu kemestian dalam urusan kehidupan
kini. Internet telah digunakan oleh jutaan manusia tanpa mengira faktor jantina
dan juga usia. Pelbagai faedah yang dapat diperoleh sekiranya kita tahu
menggunakan aplikasi ini dengan sebaik-baiknya.
Antara faedah
apabila kita menggunakan internet ialah kita mudah mendapat informasi melalui
laman-laman sesawang yang disediakan oleh pelbagai pihak. Sebelum adanya
internet kita terpaksa menghabiskan banyak masa untuk mencari sesuatu maklumat
yang hanya terdapat dalam buku-buku atau media cetak yang lain. Oleh itu, kita
boleh mendapatkan sebarang maklumat dengan cepat tanpa perlu menghabiskan
terlalu banyak masa untuk mencarinya. Sebagai contoh, kita boleh mendapatkan
maklumat mengenai sesuatu perkara dengan hanya menaip kata kunci di bahagian
kotak pencarian dan maklumat tersebut siap untuk digunakan. Sememangnya,
internet memudahkan kita mendapat maklumat yang diperlukan menggunakan hanya
hujung jari kita.
Selain itu,
internet juga memudahkan kita berhubung dengan orang lain sama ada melalui
e-mel ataupun ruang sembang. Sebelum ini kita hanya bergantung kepada surat
yang mengambil masa yang agak lama untuk sampai kepada penerimanya ataupun
telefon untuk berhubung dengan orang yang jauh daripada kita. Dengan internet,
kita dapat berutus surat secara elektronik dan bersembang dalam alam maya
dengan suasana yang lebih kondusif dan pantas. Misalnya, terdapat pelbagai
penyedia platform untuk kita mengutus surat dan bersembang seperti “Yahoo
Messenger” dan “Gmail”. Internet sememangnya telah sedikit sebanyak telah
mendominasi penghantaran surat pada hari ini.
Seterusnya,internet
juga memudahkan kita untuk mendapatkan hiburan, sama ada lagu ataupun filem
dari dalam dan luar negara. Sebelum ini kita hanya bergantung kepada media
elektronik seperti televisyen dan radio untuk mendapatkan hiburan. Dengan ini,
kita boleh mendengar dan menonton secara ‘online’ sesuatu program hiburan yang
kita inginkan. Tamsilnya, terdapat pelbagai perisian seperti ‘Ares’ yang
membolehkan kita memuat turun sesuatu bahan hiburan dengan hanya menaip di
ruangan pencarian yang disediakan. Hal ini jelas menunjukkan betapa internet
telah memudahkan kita semua untuk mendapatkan pelbagai bentuk jenis hiburan
dalam sekelip mata sahaja.
Sebagai kesimpulan,
jelaslah bahawa terdapat banyak faedah yang kita peroleh sekiranya menggunakan
kemudahan ini. Dengan demikian, kita hendaklah menguasai teknologi ini dengan
sebaik mungkin. Sekiranya kita menguasai teknologi ini, sudah tentu kita tidak
akan ketinggalan dalam menguasai ilmu yang semakin berkembang pesat ini.
Jelaslah bahawa internet telah membantu kita dalam banyak aspek kehidupan kita
pada masa ini.
Telefon bimbit sudah menjadi kemestian kepada setiap
golongan masyarakat. Lebih-lebih lagi, golongan remaja pada masa ini yang
begitu ghairah menggunakan telefon bimbit. Huraikan pendapat anda tentang kesan
negatif penggunaan telefon bimbit kepada mereka.
Kebelakangan ini,
isu penggunaan telefon bimbit merupakan suatu perkara yang tidak asing lagi
dalam kalangan masyarakat Malaysia. Perkara yang menimbulkan pertanyaan kepada
kita adalah mengapakah telefon bimbit yang sepatutnya digunakan bagi
menyenangkan pengguna berubah menjadi suatu barang yang boleh memberikan unsur
negatif kepada mereka? Siapakah yang bertanggungjawab dalam menangani masalah
ini daripada terus berlaku? Segala persoalan ini kerap kali menerjah minda kita
namun penyelesaiannya masih belum ditemui. Adakah kerjasama yang diberikan oleh
beberapa pihak dalam membendung isu ini seperti ibu bapa, pihak sekolah serta
masyarakat sekeliling masih tidak mencukupi? Apakah kesan negatif yang akan
timbul sekiranya golongan remaja tersebut begitu ghairah menggunakan telefon
bimbit?
Antara kesan negatif
yang akan diperoleh sekiranya para remaja begitu ghairah sewaktu menggunakan
telefon bimbit ialah berlakunya kerosakan bahasa Melayu. Hal ini berlaku
demikian kerana golongan remaja ini gemar meringkaskan perkataan semasa
menggunakan Sistem Khidmat Pesanan (SMS) dengan alasan menjimatkan ruang
pesanan. Lantaran itu, golongan remaja yang sudah terbiasa menggunakan
perkataan singkatan ini akan turut menggunakan perkataan singkatan tersebut
sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran(P&P) di sekolah terutamanya dalam
subjek-subjek yang memerlukan mereka menulis atau mengarang. Tamsilnya,
golongan remaja yang begitu ghairah menggunakan telefon bimbit ini akan
terbawa-bawa menggunakan perkataan singkatan tersebut semasa mengarang essei
sekaligus menjadikan bahasa Melayu terjejas. Oleh itu, keghairahan penggunaan
telefon bimbit dalam kalangan muda-mudi jelas merosakkan bahasa Melayu
sekiranya tidak digunakan dengan sebaik-baiknya.
Selain itu, kesan
negatif yang akan diperoleh jika para remaja begitu ghairah sewaktu meggunakan
telefon bimbit ialah mereka akan kurang memberi tumpuan sewaktu menelaah
pelajaran di sekolah dan hilang minat untuk mengulang kaji pelajaran di rumah.
Hal ini berlaku bemikian kerana mereka terlalu taksub menikmati kecanggihan
telefon bimbit sehingga hilang fokus untuk belajar. Lantaran itu, prestasi
akademik remaja tersebut akan merosot dan keinginan mereka untuk terus belajar
akan mula terhakis. Tamsilnya,kemudahan-kemudahan yang di sediakan dalam
telefon bimbit tersebut seperti permainan, Sistem Khidmat Pesanan(SMS) dan
sebagainya telah menjadikan mereka menggunakan kemudahan-kemudahan tersebut
tanpa batasan. Oleh itu, penggunaan telefon bimbit tanpa kawalan jelas
menghilangkan minat golongan remaja untuk memberi tumpuan kepada pelajaran
mereka.
Penggunaan telefon
bimbit tanpa kawalan juga akan mendatangkan kesan negatif kepada remaja
tersebut seperti berhadapan risiko menerima maklumat palsu atau gambar yang
mencolok mata. Hal ini berlaku demikian kerana terdapat sebilangan individu
yang gemar menangguk di air keruh untuk kesenangan mereka sendiri. Justeru,
remaja tersebut akan berasa seronok tanpa menyedari pada hakikatnya mereka
ditipu oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Tamsilnya, remaja tersebut
akan berhabisan wang semata-mata ingin menikmati tawaran-tawaran yang
disediakan seperti gambar-gambar lucah yang kerap menerjah dunia moden ini.
Oleh itu, penggunaan telefon bimbit tanpa kawalan jelas memberikan kesan
negatif kepada minda generasi muda hari ini.
Natijahnya,
jelaslah bahawa keghairahan muda-mudi masa ini menggunakan telefon bimbit
banyak mendatangkan impak negatif dalam kehidupan seharian mereka. Oleh itu,
pemantauan daripada pihak yang terlibat haruslah segera dilakukan sebelum
perkara ini menjadi barah dalam masyarakat Malaysia. Sekiranya semua pihak
bekerjasama dalam menangani isu ini, sudah pasti isu ini akan dapat ditangani
dengan mudah. Jelaslah isu penggunaan telefon bimbit tanpa kawalan terutamanya
dalam golongan remaja perlulah diselesaikan bersama-sama dan tidak hanya
menuding jari kepada sebelah pihak sahaja. Bak kata pepatah, berat sama di
pikul, ringan sama dijinjing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan