CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Jumaat, 13 Januari 2017

BM SPM RUMUSAN 5

Latihan Rumusan 5 (Negeri Sabah)

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor jenayah pemerdagangan orang dan implikasinya kepada negara. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


Pemerdagangan manusia ialah masalah global yang kian meningkat jumlah kesnya sejak seabad yang lepas. Jenayah ini membabitkan perbuatan eksploitasi pada skala yang besar terhadap wanita, lelaki dewasa dan kanak-kanak dalam bentuk perhambaan moden. Mengikut laporan Amnesty International, pada tahun 2004 dianggarkan 700, 000 orang diperdagangkan pada setiap tahun. Amat malang sekali kerana Malaysia dilihat sebagai tempat menarik oleh sindiket pemerdagangan manusia untuk menjalankan aktiviti mereka. Usaha kerajaan memerangi aktiviti pemerdagangan manusia berhadapan dengan pelbagai cabaran kerana isu ini merupakan jenayah rentas sempadan. Jenayah ini sukar dikesan kerana melibatkan banyak negara contohnya negara-negara yang berjiran dari segi kedudukan geografinya, orang yang diperdagangkan direkrut oleh agensi-agensi pekerjaan secara sukarela mahupun secara paksa. Pada mulanya, mereka diperdagangkan kerana telah dijanjikan pekerjaan yang baik di negara yang menjadi destinasi. Mereka juga diyakinkan bahawa aktiviti ini tidak menyalahi peraturan.


Perkembangan ekonomi dan kemakmuran Malaysia menjadi tarikan utama kepada ramai warga asing dari seluruh dunia berhijrah ke negara kita. Kebanyakan mereka yang datang dari Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Vietnam telah menjadi mangsa selepas dijanjikan pekerjaan dengan bayaran lumayan sedangkan semuanya palsu. Keadaan ini merancakkan aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Pada masa yang sama kewujudan pusat hiburan yang beroperasi secara haram menyebabkan permintaan yang tinggi kepada aktiviti ini. Hal ini ditambah oleh kedudukan Malaysia di tengah-tengah negara Asean yang menjadikan antara lokasi strategik untuk aktiviti pemerdagangan manusia. Menyedari masalah itu, Akta Antipemerdagangan Orang 2007 telah diluluskan tetapi akta ini masih belum cukup kuat untuk menghalang jenayah ini. Selain itu, modulus operandi sindiket yang membawa masuk mangsa sukar dikesan oleh pihak berkuasa disebabkan mereka memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial atau pas pelajar. Bukan hanya wanita, malahan lelaki dewasa turut diperdagangkan terutama untuk tujuan pengeksploitasian buruh. Kanak-kanak dan bayi juga mendapat permintaan yang tinggi bagi aktiviti meminta sedekah.


Selain itu juga, kesedaran dan kefahaman masyarakat Malaysia yang masih rendah tentang isu ini turut menjadi penyebab kepada permasalahan ini. Keuntungan lumayan yang diperoleh oleh sindiket dengan jumlah yang besar hasil daripada aktiviti pemerdagangan manusia juga menyebabkan kegiatan ini terus berleluasa. Kanak-kanak dan bayi diperdagangkan untuk dijadikan anak angkat kepada pasangan yang tidak mempunyai zuriat sendiri. Kemiskinan di negara asal membuatkan mangsa hilang pertimbangan kerana percaya akan janji-janji manis pihak sindiket. Penguatkuasaan undang-undang yang lemah seperti hukuman yang ringan turut menyebabkan kegiatan yang tidak bermoral ini terus berlaku. 

Kesimpulannya, sindiket pemerdagangan manusia dilihat semakin meruncing dari hari ke hari dan menggugat hak asasi manusia. Kerjasama masyarakat dunia diharap merupakan jalan terbaik bagi membendung jenayah ini daripada terus menjadi barah kepada masyarakat.


(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana
Globalisasi dan Fenomena Pemerdagangan Manusia
Informasiglobalisasi.blogspot.com, 22 Jun, 2015) 



Soalan 2(a) Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata semakin meruncing.

[ 2 markah]
(ii) Apakah faktor-faktor yang mendorong lelaki dang kanak-kanak diperdagangkan?

[3 markah

iii. Pada pendapat anda , bagaimanakah pelajar boleh didedahkan dengan isu di atas ?.


BM SPM RUMUSAN 4

Latihan Rumusan 4 (Negeri Johor)

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha mengekalkan keharmonian antara kaum dan cabaran memperkukuh perpaduan. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


Perpaduan dan keharmonian antara kaum adalah penting dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia. Sejak negara mencapai kemerdekaan, seluruh rakyat Malaysia telah menerima Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak semua kumpulan etnik dan Rukun Negara sebagai panduan dalam pembinaan negara. Keharmonian masyarakat dan kestabilan negara menjadi idaman negara lain, termasuklah negara yang maju.


Pembinaan negara-bangsa bukanlah suatu proses yang mudah. Pelbagai cabaran yang berliku perlu ditempuhi. Persefahaman, toleransi dan yang paling utama, komitmen serta pengorbanan yang tinggi amatlah penting. Jika kita telusuri sejarah negara sejak beberapa dekad ini, tidak dinafikan kita telah mencapai kejayaan dari segi pembangunan ekonomi, pemodenan dan teknologi maklumat. Oleh sebab itu, janganlah menghancurkan apa-apa yang telah kita capai selama ini melalui semangat muhibah dan persefahaman antara kaum di negara berbilang bangsa ini. Janganlah kita membiarkan fahaman ekstremis memecahbelahkan negara yang kita cintai ini kerana inilah tanah tempat kita dilahirkan, tempat membina kehidupan dan tempat kita mencari rezeki.


Rakyat Malaysia daripada pelbagai kumpulan etnik perlu membantu menjalin dan memperkukuh keharmonian hidup di Malaysia. Hanya keharmonian dan persefahaman antara kaum yang mampu menggalakkan kepercayaan dan perpaduan antara rakyat. Rakyat Malaysia tidak kira bangsa atau agama, seharusnya lebih peka terhadap peranan dan sumbangan mereka kepada perpaduan negara. Pembangunan ekonomi tidak akan bermakna tanpa persefahaman, keharmonian dan kepercayaan antara rakyat. Rakyat Malaysia harus sedar dan perlu mengelakkan diri daripada mengejar agenda yang bersifat perkauman. Hal ini demikian kerana benih-benih perbalahan yang wujud akan memudaratkan keharmonian dan perpaduan yang sudah sekian lama terjalin.


Di samping itu, semangat patriotisme mestilah sentiasa disemai dan dibajai dalam usaha mengekalkan keharmonian dan perpaduan sosial. Penyelesaian kepada kemelut yang menimbulkan rasa tidak puas hati antara kaum sewajarnya menggunakan pendekatan kesederhanaan. Dalam negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia, tindakan atau tutur kata yang bersifat provokasi yang dapat menjejaskan keharmonian kaum dan perpaduan hendaklah dielakkan.


Kesimpulannya, keharmonian hidup masyarakat antara kaum hendaklah dikekalkan. Setiap masalah perlu ditangani secara penuh berhemah dan teliti ibarat menarik benang di dalam tepung agar tidak menyinggung hati dan perasaan mana-mana pihak yang lain.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana
Jangan Langgar Sempadan Perpaduan
Utusan Malaysia, 1 Januari, 2012) 



Soalan 2(a) Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata benih-benih perbalahan.

[ 2 markah]
(ii) Mengapakah penulis menganggap pembinaan negara bangsa sebagai suatu proses yang sukar?

[3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, wajarkah jika kita katakan bahawa negara kita telah berjaya menjadi sebuah negara yang disegani kerana wujudnya perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum? Kemukakan alasan anda.

[4 markah 

BM SPM RUMUSAN 3

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah untuk memulihara sungai di bandar dan kepentingan memulihara sungai. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


Menjijikkan! Suatu gambaran kesedihan pencinta alam sekitar apabila melihat keadaan lesu Sungai Klang dan Sungai Gombak. Keadaan sungai bukan sahaja kotor malah berbau busuk. Kedua-dua batang sungai yang mengalir di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur itu sepatutnya menjadi destinasi yang menarik untuk warga kota beriadah dan berekreasi, tetapi menjadi tempat paling memualkan kerana persekitaran sungai telah menjadi sarang penagih dadah yang menjadikan tembok Sungai Klang sebagai lokasi strategik untuk berlindung daripada pihak berkuasa. Timbunan sampah di tebing sungai pula menjadi tempat pembiakan binatang seperti tikus, lipas dan lalat. Oleh sebab itu, pihak penguat kuasa perlu kerap turun padang untuk memantau pihak yang tidak bertanggungjawab ini daripada mencemarkan sungai.


Semasa pelancaran projek River of Life, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengingatkan betapa pentingnya warga kota mengubah sikap mereka dalam memastikan kebersihan Sungai Klang dan Sungai Gombak. Ingatan tersebut disampaikan kerana pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan supaya air sungai dapat terus mengalir. Namun begitu, usaha-usaha tersebut belum mampu mengubah nasib sungai di bandar raya itu. Sehubungan dengan itu, kerajaan perlu menilai semula kempen mengubah budaya membuang sampah untuk menyedarkan warga kota. Walaupun banyak pihak berpendapat bahawa undang-undang yang sedia ada lebih daripada mencukupi untuk menjaga kelestarian sungai, namun pihak penguat kuasa perlu melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan tegas.

Program-program pemuliharaan sungai yang dilaksanakan oleh DBKL seperti program pemuliharaan Sungai Klang dan Sungai Gombak, melibatkan masa yang panjang dan kos yang tinggi. Dalam hal ini, DBKL mesti merangka suatu pendekatan proaktif yang lebih komprehensif untuk memastikan keberkesanan program yang dijalankan. Pendekatan tersebut boleh dilakukan dengan menjalankan kajian secara terperinci agar dapat dilaksanakan dengan berkesan. Untuk tujuan itu, DBKL perlu mengaktifkan program sungai angkat selain menambah baik aktiviti pemuliharaan sungai. Kejayaan memulihara Sungai Melaka sehingga menjadi destinasi pelancongan utama di Melaka boleh dicontohi. Di samping itu, para pemilik kilang hendaklah bertanggungjawab menanggung kos pemulihan sungai yang dicemari oleh aktiviti mereka sendiri. Hal ini demikian kerana mereka tiada masalah untuk membayar denda yang dikenakan setelah mengaut keuntungan yang berjuta-juta ringgi hasil daripada operasi kilang mereka.

Dalam menangani permasalahan ini juga, warga kota mesti bekerjasama bagi meminimumkan pencemaran sungai agar sungai di bandar dapat dipulihara. Hal yang demikian tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada mereka untuk mencapai matlamat yang diinginkan kerana kebersihan sungai di bandar melambangkan cara hidup warganya.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada
Memulihara Sungai di Bandar
Oleh Abdul Kadir Mohd. Ayub
Dewan Masyarakat, Oktober, 2012) 



Soalan 2(a) Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata mengubah budaya.

[ 2 markah]
(ii) Pengarang berpendapat bahawa sungai-sungai di bandar sebagai tempat paling memualkan.

Nyatakan sebab-sebab pengarang berpendapat sedemikian.
[3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk menjadikan sungai sebagai destinasi pelancongan?

[4 markah

BM SPM RUMUSAN 2

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor yang menyebabkan makanan kesihatan tambahan dikatakan berbahaya dan peranan persatuan pengguna dalam menangani isu tersebut. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


Pada hari ini, kebanyakan pengguna disogokkan dengan pelbagai promosi makanan kesihatan yang dimomokkan dengan kebolehan luar biasa untuk tujuan merawat pelbagai penyakit, mengurangkan berat badan dan 1001 khasiat yang menakjubkan. Lambakan makanan kesihatan tambahan di Malaysia ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

Terdapat pelbagai isu yang membimbangkan pengguna berhubung dengan makanan kesihatan tambahan apabila label tidak mempunyai arahan penggunaan yang lengkap dan didapati mengandungi bahan yang belum dinilai atau diuji bagi menyediakan jaminan yang munasabah. Fenomena ini lazim berlaku di seluruh dunia, tetapi lebih kerap berlaku di negara Asia, terutamanya di India dan di China yang merupakan pengeluar dan pengguna herba terbesar. Pencemaran bahan logam berat seperti pestisid, mikroorganisma dan mikotoksin banyak didapati dalam herba.

Seterusnya, pencemaran berlaku secara tidak sengaja melalui proses pembuatan yang menggunakan mesin logam yang tidak berkualiti, dan penambahan secara sengaja seperti merkuri sulfida, arsenik sulfida dan arsenik trioksida yang diamalkan dalam perubatan ayurveda dan perubatan dari China. Namun begitu, isu ini tidak akan berlaku sekiranya pihak pengeluar menggunakan mesin logam yang disahkan selamat dan mereka tidak menambah bahan-bahan kimia tertentu dalam produk perubatan yang dihasilkan.

Walau bagaimanapun, terdapat bukti saintifik yang mengaitkan penggunaan arsenik sulfida berkesan untuk merawat penyakit leukemia. Hal ini bermakna sesetengah bahan yang digunakan dalam makanan kesihatan tambahan berkesan untuk merawat penyakit tertentu namun ada pengguna yang mengambilnya tanpa mendapatkan khidmat nasihat dan pengawasan daripada doktor yang bertauliah. Pencemaran daripada mikroorganisma dapat berlaku pada peringkat penghasilan dan pemasaran. Keadaan pemprosesan dan penyimpanan yang sesuai bagi bahan mentah dan produk siap sangat penting untuk menentukan kualiti produk yang bebas daripada mikroorganisma.

Suhu dan kelembapan yang tinggi di kawasan tropika dan subtropika menyumbang kepada pertumbuhan kulat dan penghasilan mikotoksin kepada produk herba. Selain itu, pemalsuan produk makanan bagi tujuan meraih keuntungan juga sengaja dilakukan oleh pengusaha. Terdapat juga kes melibatkan produk langsing yang dikesan mempunyai komponen kimia yang tidak dilabel, iaitu sibutramine dan sildenafil. Sibutramine diharamkan penggunaannya di Kanada kerana sering dikaitkan dengan strok dan serangan jantung.

Jelaslah di sini bahawa setiap produk dalam pasaran menjanjikan kehebatan yang tersendiri. Oleh itu, pengguna harus berfikir dan membuat keputusan secara bijak terhadap sebarang produk yang digunakan.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada
Makanan Kesihatan Tambahan, Madu atau Racun
Oleh Radhiah Shukri
Dewan Masyarakat, Disember, 2015)


Soalan 2(a) Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata khasiat yang menakjubkan.

[ 2 markah]
(ii) Dalam petikan terdapat beberapa tindakan untuk memastikan produk makanan tambahan dihasilkan dalam keadaan selamat.

Apakah tindakan-tindakan tersebut?
[3 markah]
(iii) Masyarakat kita mudah percaya akan keberkesanan promosi makanan tambahan.

Pada pendapat anda, mengapakah perkara ini berlaku?

[4 markah

BM SPM RUMUSAN 1

SPM 2016

BAHASA MELAYU KERTAS 2 RUMUSAN


 Latihan Rumusan 1 (Negeri Perlis)

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah menghadapi tekanan ketika peperiksaan dan peranan ibu bapa untuk mengurangkan tekanan. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


Proses penilaian melalui peperiksaan awam yang penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara masih relevan. Melalui penilaian inilah pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan disokong dengan kecemerlangan dalam bidang koakademik atau kokurikulum mempunyai peluang cerah untuk melanjutkan pengajian di universiti awam.


Namun begitu, isu yang paling menarik untuk diperkatakan bukanlah tentang puluhan ribu pelajar yang dapat melanjutkan pelajaran di universiti awam tetapi situasi yang dihadapi oleh pelajar sebelum menjelangnya kedua-dua peperiksaan penting itu.


Pelbagai ragam pelajar sama ada yang positif atau negatif sebelum menjelangnya peperiksaan awam termasuklah tekanan perasaan atau stres yang rata-ratanya dihadapi oleh pelajar. Tekanan ialah perkara yang berkaitan dengan ketegangan yang dialami oleh mental atau emosi seseorang disebabkan oleh pelbagai faktor. Pelajar atau remaja perlu mempunyai kemahiran untuk mengatasi masalah tekanan perasaan supaya fokus mereka untuk menghadapi peperiksaan tidak terjejas. Pelajar biasanya mendapat tekanan daripada ibu bapa,

guru atau rakan untuk meraih kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan. Dalam konteks ini, pelajar seharusnya berasa tenang dan sentiasa fokus tentang peperiksaan yang akan dihadapi. Ketenangan yang diperlukan tidak akan datang dengan tiba-tiba atau secara terpaksa tetapi akan terzahir apabila pelajar bersedia dengan sebaik-baiknya. Lantaran itu, pelajar perlu melaksanakan perancangan yang sesuai berdasarkan kemampuan dan komitmen mengikut keupayaan sebagai persiapan menjelang peperiksaan. Malahan mereka sepatutnya mengadakan jadual pembelajaran yang sistematik dan boleh diikuti agar tidak menggelabah atau mengalami kerisauan yang kronik sebelum peperiksaan.

Tekanan perasaan perlu ditangani dengan segera untuk mengelakkan perkara yang lebih buruk berlaku terutamanya bagi para pelajar. Pelajar perlu memahami Falsafah Pendidikan Negara yang mahu melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial. Oleh itu, mereka seharusnya belajar dalam persekitaran yang menyeronokkan agar emosi mereka berkembang secara natural dan memenuhi keperluan mereka sebagai remaja. Pelajar juga perlu menjauhkan diri daripada perkara yang merosakkan emosi dan ketenangan. Seelok-eloknya pelajar harus mempunyai hala tuju yang konsisten tentang masa depan mereka. Perkara sampingan yang mampu menjejaskan kestabilan emosi seperti hubungan peribadi dengan rakan-rakan, masalah keluarga, masalah dengan guru dan masalah kewangan perlu ditangani dengan bijaksana kerana dikhuatiri mampu menjejaskan tumpuan mereka terhadap peperiksaan.

Sekiranya pelajar menghadapi masalah kritikal yang mampu menjejaskan ketenangan, mereka perlu segera berjumpa dengan guru yang rapat atau kaunselor di sekolah. Guru atau kaunselor pasti mempunyai kaedah bagi mengatasi masalah ini. Di samping itu, pelajar perlu menjaga kesihatan diri kerana tanpa kesihatan yang baik sukar bagi pelajar untuk mengulang kaji pelajaran dan melakukan latihan intensif dengan baik. Pelajar sepatutnya membanyakkan amalan kerohanian yang dapat memberikan ketenangan kepada jiwa sebagai persiapan penting untuk menghadapi peperiksaan. Kesimpulannya, tugasan atau bebanan yang keterlaluan kepada pelajar semata-mata mahu menjadikan mereka cemerlang dalam bidang akademik perlu dielakkan demi melahirkan insan yang cemerlang dari segi ilmu dan akhlaknya.


( Dipetik dan diubahsuaikan daripada
Tekanan Perasaan Menggugat Peperiksaan” oleh Nizar Parman

Dewan Siswa, September, 2015) 

Soalan 2(a) Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata kerisauan yang kronik.

[ 2 markah]
(ii) Dalam petikan terdapat beberapa perkara sampingan yang mampu menjejaskan kestabilan emosi pelajar.

Apakah perkara-perkara sampingan tersebut?
[3 markah]
(iii) Sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan menyebabkan pelajar mengalami tekanan yang kronik.

Huraikan pendapat anda tentang tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membendung masalah ini.
[4 markah

PEDOMAN TB H


PERIHAL AYAT

 AYAT TUNGGAL
1.                  Ayat tunggal dikenali juga sebagai ayat selapis yang terdiri daripada satu subjek dan satu predikat.
2.                  Ayat tunggal boleh dibina dalam bentuk ayat bersusunan biasa dan bersusunan songsang.

AYAT MAJMUK

1.                  Ayat majmuk terbina daripada beberapa ayat tunggal. Oleh itu, dalam ayat majmuk terdapat dua atau lebih subjek atau predikat.
2.                  Ayat-ayat tunggal tersebut dihubungkan dengan kata hubung bagi membentuk ayat majmuk.
3.                  Jenis-jenis ayat amjmuk ialah:
(a)               Ayat Majmuk Gabungan
1.                  Ayat-ayat tunggalnya dihubungkan dengan menggunakan kata hubung gabungan seperti dan, atau, lalu, tetapi, kecuali dan lain-lain.
2.                  Ayat-ayat tunggal yang digabungkan adalah bersifat setara. Contohnya:
(a)                Ani ke dapur.
(b)               Liza ke dapur.
(c)                Ani dan Liza ke dapur.
    (ayat majmuk)

(b)               Ayat Majmuk Pancangan
Ayat-ayat tunggal dipancangkan pada satu ayat induk dengan menggunakan kata hubung pancangan seperti yang, bahawa, untuk, kerana, agar dan lain-lain. Contohnya:
(a)                Kereta itu berwarna merah.
(b)               Kereta itu milik Adam.
(c)                Kereta yang berwarna merah itu milik Adam.            (ayat majmuk)

KESALAHAN STRUKTUR AYAT MAJMUK PANCANGAN

1.                  Kata hubung pancangan tidak boleh ditiadakan jika hendak menghubungkan ayat induk dengan ayat tunggal yang lain. Contohnya:
(a)                Mazni pulang ibunya sakit tenat.                                                                    (û)
(b)               Mazni pulang kerana ibunya sakit tenat.                                                        (ü)

2.                  Menggunakan kata hubung yang menyalahi konteks. Contohnya:
(a)                Dia tahu yang itu suatu kesalahan.                                                                 (û)
(b)               Dia tahu bahawa itu suatu kesalahan.                                                                        (ü)

3.                  Ketidaktepatan kedudukan kata hubung dalam ayat sehingga menjadikan strukturnya salah. contohnya:
(a)                Baju itu yang berwarna biru tergantung.                                                        (û)
(b)               Baju yang berwarna biru itu tergantung.                                                        (ü)

 AYAT TERGANTUNG
Merupakan binaan ayat yang tidak dapat ditentukan dengan jelas subjek dan predikatnya atau tidak mempunyai subjek atau predikat. Contohnya:
(a)                Melukis yang menjadi kegemaran saya.                                                                      (û)
(b)               Melukislah yang menjadi kegemaran saya.                                                                 (ü)


RAGAM AYAT

AYAT AKTIF
1.                  Terbahagi kepada dua jenis, iaitu:
(a)               Ayat aktif transitif:
·         Mengutamakan subjek sebagai pelaku dan objek sebagai penderita.
·         Kata kerjanya terdiri daripada kata kerja transitif berimbuhan meN-, meN-…-kan, meN-…-i, mempeR-, mempeR-…-kan atau mempeR-…-i. Contohnya:
Taha                membaling                   batu.
            subjek                    KKT                      objek

(b)               Ayat aktif tak transitif:
·         Mengutamakan subjek sebagai pelaku.
·         Terdiri daripada kata kerja tak transitif yang berimbuhan meN-, beR- dan teR-. Contohnya:
Taha                bersukan
subjek                  KKT                       


AYAT PASIF
1.                  Mementingkan objek sebagai penderita.
2.                  Objek terletak di bahagian hadapan ayat.
3.                  Bagi ayat pasif diri pertama dan kedua, kata kerjanya diakhiri imbuhan –kan dan –i, manakala bagi ayat pasif diri ketiga, kata kerjanya berimbuhan di-, di-…-kan atau        di-…-i. Contohnya:
(a)                Buku itu saya baluti.
(b)               Laporan itu telah kami siapkan.
(c)                Baju itu dijahit oleh Puan Lee.

4.                  Ayat pasif berimbuhan pasif teR- dan beR- mengutamakan objek sebagai penderita, sementara bagi yang berimbuhan ke-…-an, pelaku menjadi penderita. Contohnya:
(a)                Hidangan itu telah terhidang.
(b)               Buah mangga itu belum berjolok.
(c)                Kami ketinggalan bas.


PEDOMAN TB G


 KATA SENDI & FRASA SENDI
 KATA NAMA
1.                  Merupakan suatu kata tugas yang terletak di hadapan kata nama.
2.                  Berfungsi sebagai sendi / penyambung antara kata nama dengan kata lain yang ada perkaitan dalam ayat. Contohnya:
(a)                Ani pergi pasar.                                                                                               (û)
(b)               Ani pergi ke pasar.                                                                                          (ü)

3.                  Berikut  merupakan kata sendi dan fungsi yang lazim digunakan.
(a)                di                                             =  tempat dan arah
(b)               ke                                            =  tempat, arah dan masa
(c)                dari                                         =  waktu, arah dan tempat
(d)               kepada                                    =  arah yang merujuk kepada manusia
(e)                daripada                                 =  unsur abstrak, asal sesuatu, orang perbandingan
    dan keanggotaan
(f)                pada                                        =  masa, tempat bagi sesuatu perbuatan, abstark dan
    manusia
(g)               tentang                                   =  hal yang diperkatakan
(h)               mengenai                                =  merujuk kena pada sasaran
(i)                 akan, kepada, terhadap        =  pernyataan perasaan / sikap selepas kata adjektif


 FRASA SENDI
1.                  Kata intinya ialah kata sendi.
2.                  Berfungsi sebagai predikat ayat.
3.                  Boleh diperluas dengan menambahkan unsur keterangan sebelum dan selepasnya. Contohnya:
Buku itu di atas meja.            (frasa sendi)
            *          atas      =  kata arah yang menjadi keterangan kepada kata sendi di.

 KESALAHAN UMUM FRASA SENDI

1.                  Kata sendi memerlukan kata nama selepasnya. Oleh itu, penggunaan oleh kerana adalah salah kerana kerana ialah kelas kata hubung. Kata yang sesuai digunakan ialah oleh sebab.
2.                  Kata sendi yang merujuk kepada pernyataan sikap / perasaan tidak boleh ditiadakan di antara kata adjektif dengan kata nama. Contohnya:
(a)                Saya suka aiskrim ini.                                                                                      (û)
(b)               Saya suka akan aiskrim ini.                                                                             (ü)

3.                  Kata sendi akan tidak boleh digugurkan di antara kata kerja tunggal dengan kata nama. Contohnya:
(a)                Biar dia kenal diri sendiri.                                                                               (û)
(b)               Biar dia kenal akan diri sendiri.                                                                      (ü)

4.                  Kata sendi demi dan untuk tidak boleh hadir serentak dalam ayat kerana dianggap lewah. Contohnya:
(a)                Dia berusaha demi untuk kejayaannya.                                                           (û)
(b)               Dia berusaha demi kejayaannya.                                                                     (ü)

  
5.                  Kata sendi tentang dan mengenai tidak boleh bertukar ganti sewenang-wenangnya. Contohnya:
(a)                Dia tahu mengenai perkara itu.                                                                       (û)
(b)               Dia tahu tentang perkara itu.                                                                           (ü)

6.                  Frasa sendi di dalam atau di antara hanya digunakan bagi frasa nama yang berpengertian tempat atau ruang. Contohnya:
(a)                Buku itu dalam laci meja.                                                                               (û)
(b)               Buku itu di dalam laci meja.                                                                           (ü)

7.                  Kata sendi dari tidak boleh hadir selepas kata sendi semenjak atau sejak kerana  membawa maksud lewah. Contohnya:
(a)                Sejak dari tadi dia ada di situ.                                                                                    (û)
(b)               Sejak tadi dia ada di situ.                                                                                (ü)

8.                  Kata sendi pada unsur kedua dalam ayat majmuk tidak boleh digugurkan jika dihubungkan dengan kata hubung dan atau atau secara pilihan. Contohnya:
(a)                Awak ingin bertemu dengan dia atau saya?                                                   (û)
(b)               Awak ingin bertemu dengan dia atau dengan saya?                                      (ü)

9.                  Kata sendi pada unsur kedua dalam ayat majmuk tidak boleh digugurkan jika kata tersebut adalah ke. Contohnya:
(a)                Kita mahu ke sana atau sini.                                                                            (û)
(b)               Kita mahu ke sana atau ke sini.                                                                       (ü)

10.              Kata sendi pada unsur kedua tidak boleh digugurkan jika kata sendi tersebut adalah ke dan tidak berkata hubung. Contohnya:
(a)                Lajim berjalan ke sana sini.                                                                             (û)
(b)               Lajim berjalan ke sana ke sini.                                                             (ü)