CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Selasa, 11 Januari 2011

SEJ T 6 Perkembangan Perusahaan Bijih Timah di Tanah Melayu

Perkembangan Perusahaan Bijih Timah di Tanah Melayu

Pengenalan

Perusahaan bijih timah dijalankan oleh orang-orang Melayu berabad-abad lamanya sebelum abad ke-19 dan dipercayai sejak abad ke-9, perusahaan ini dijalankan secara kecil-kecilan sebagai pekerjaan sambilan dengan menggunakan teknologi kuno terutamanya mendulang. Orang-orang Melayu menguasai perusahaan bijih timah sehingga tahun 1830. Sejak tahun 1840, pembesar-pembesar Melayu seperti Long Jaafar dan Ngah Ibrahim (Larut), Dato’ Kelana (Sungai Ujong), Raja Abdullah (Kelang) dan lain-lain telah membawa masuk orang-orang Cina dari Negeri-negeri Selat untuk mengerjakan perlombongan bijih timah mereka. Sejak itu, perusahaan bijih timah dikuasai oleh orang-orang Cina. Serentak dengan penglibatan orang-orang Cina, berlaku perkembangan perusahaan bijih timah di Tanah Melayu.

Faktor-faktor perkembangan perusahaan bijih timah

1. Revolusi perusahaan

Perkembangan Revolusi Perusahaan sejak awal abad ke-19 telah menyebabkan permintaan bijih timah oleh industri-industri di Eropah dan Amerika Syarikat meningkat lebih-lebih lagi selepas terciptanya teknologi mengetin makanan oleh Peter Durar dan Nicholas Appot pada tahun 1810. Permintaan bijih timah juga meningkat akibat dari berlakunya Perang Saudara Amerika pada tahun 1860-an di mana bijih timah diperlukan untuk mengetin makanan tentera yang terlibat dalam peperangan. Permintaan yang bertambah menyebabkan harga bijih timah meningkat kepada 7 paun 12 sherling 9 pence pada tahun 1872. Harga yang meningkat telah menggalakkan pengeluaran bijih timah di Tanah Melayu. Permintaan terhadap bijih timah juga meningkat kerana bijih timah mempunyai kualiti-kualiti tertentu yang tidak terdapat pada logam-logam lain. Apabila bijih timah dicampurkan dengan logam lain, ianya akan menambahkan kegunaan logam tersebut.

2. Campur tangan British

Campur tangn British dan perlaksanaan Sistem Residen sejak tahun 1874 di negeri-negeri yang kaya dengan bijih timah seperti Perak dan Selangor telah menamatkan kekacauan seperti pergaduhan di antara pembesar, pergaduhan antara pelombong Cina, lanun dan sebagainya. Keamanan dan peraturan yang wujud serta kestabilan politik telah membolehkan kegiatan perlombongan bijih timah dijalankan tanpa gangguan. Selain itu, keadaan ini telah menarik pelabur-pelabur sama ada dari Tanah Melayu atau seberang laut untuk menambah modal dalam perusahaan bijih timah di Tanah Melayu.

3. Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu 1896

Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu 1896 yang menggabungkan Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang telah berjaya mewujudkan keseragaman dalam Undang-undang Tanah, cukai dan sebagainya di negeri-negeri tersebut. Keseragaman dan kecekapan dalam pentadbiran, keamanan serta kestabilan akibat penubuhan persekutuan telah membolehkan kegiatan perlombongan bijih timah dapat dijalankan dengan lebih giat. Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu juga telah menarik ramai pelabur terutama dari Eropah untuk menanam modal di Tanah Melayu.

4. Sistem perhubungan

Pembinaan sistem perhubungan jalan raya dan keretapi telah memudahkan pengangkutan bijih timah dari kawasan perlombongan ke pelabuhan utama untuk dieksport. Jalan keretapi pertama dibina pada tahun 1885 untuk menghubungkan Taiping dengan Port Weld, 1886 Kuala Lumpur – Kelang, 1891 Port Dickson – Seremban, 1893 Ipoh – Teluk Anson. Menjelang 1903, terdapat jalan keretapi menghubungkan Perai ke Seremban dan disambungkan ke Johor Bahru pada tahun 1909. Pada tahun 1911, sudah terdapat jalan raya dari Perai ke Singpura.

5. Penubuhan bandar

Penubuhan bandar-bandar di kawasan perlombongan bijih timah telah menyediakan pelbagai kemudahan seperti pejabat kerajaan, klinik, sekolah dan sebagainya. Kemudahan-kemudahan ini telah memberi kebaikan kepada penduduk di kawasan yang terlibat/terdiri dari perlombongan. Sebagai contoh, kemudahan kesihatan yang disediakan dapat menjamin kesihatan pekerja-pekerja dan membolehkan kegiatan perlombongan bijih timah dapat dijalankan tanpa gangguan.

6. Kilang pelebur

Pada tahun 1890-an, kilang pelebur telah didirikan di Pulau Pinang dan Singapura. Pembinaan kilang pelebur ini menyebabkan bijih timah tidak perlu dihantar ke Eropah untuk dileburkan. Bijih timah dapat dilebur di Tanah Melayu dan dieksport ke Eropah dan Amerika dalam bentuk jongkong.

7. Kapal korek

Pengenalan kapal korek sejak 1912 telah memberi sumbangan dalam perusahaan bijih timah di Tanah Melayu. Penggunaan kapal korek telah menambahkan pengeluaran bijih timah kerana kapal korek dapat digunakan di kawasan di mana teknik-teknik lain tidak dapat digunakan terutama kawasan berpaya. Oleh sebab harganya mahal, pada peringkat awal, hanya mempu dimiliki oleh pemodal Eropah. Kapal korek yang pertama digunakan dengan jayanya pada tahun 1912 oleh Malayan Tin Trading, Batu Gajah (Perak). Menjelang tahun 1929 terdapat 105 buah kapal korek di Tanah Melayu.

8. Dasar British yang liberal

Dasar British yang liberal terhadap kemasukan imigran-imigran juga memberi sumbangan terhadap perusahaan bijih timah. British bukan sahaja tidak menyekat kemasukan imigran malah menggalakkan lagi kedatangan mereka. Buktinya, British telah menandatangani perjanjian dengan pemilik kapal dan saudagar-saudagar Cina di mana British akan memberi subsidi sebanyak $5 terhadap tiap-tiap imigran Cina yang dibawa masuk ke Tanah Melayu. Untuk menggalakkan kedatangan orang Cina, British menyediakan pelbagai kemudahan. Pada tahun 1877, Jabatan Perlindungan Orang-orang Cina telah ditubuhkan bagi mengurus hal-ehwal orang Cina terutamanya yang berkaitan dengan kemasukan, pekerjaan, perlindungan dan sebagainya. Untuk mendapat keyakinan orang Cina, Jabatan Perlindungan Orang-orang Cina diketuai oleh W.A. Pickering yang dapat bertutur dalam 4 jenis dialek Cina.

9. Bantuan modal

Pelombong-pelombong Cina bukan sahaja mendapat bantuan modal daripada saudagar Negeri-negeri Selat, tetapi juga dari pihak British. Sebagai contoh, pada tahun 1883, Frank Swettenham telah memberi pinjaman sebanyak $52 ribu kepada pelombong Cina di Selangor dan pada tahun 1890, Maxwell telah memberi pinjaman sebanyak $57 ribu kepada pelombong Cina di Perak.

10. Sistem ekonomi orang Cina

Perkembangan perusahaan bijih timah di Tanah Melayu berkait rapat dengan kejayaan orang Cina yang berpunca dengan sistem ekonomi mereka. Dalam sistem ekonomi orang Cina terdapat 4 aspek penting yang memberi sumbangan kepada perkembangan perusahaan bijih timah, iaitu tenaga buruh, teknik peleburan, modal dan pengusaha.

Tenaga buruh didapati dengan mudah dan murah hasil daripada usaha-usaha mereka untuk membawa imigran-imigran Cina dari Selatan Cina terutama dari Kwantung, Kwangsi, Fukkien. Terdapat di antara buruh-buruh ini yang sudah mempunyai pengalaman dalam kegiatan perlombongan di negeri mereka. Merekalah yang kemudiannya menjadi tenaga mahir dan separuh mahir dalam perlombongan bijih timah di Tanah Melayu.

Orang-orang Cina juga telah memperkenalkan teknik-teknik melombong yang lebih baik dari orang Melayu. Antara teknik-teknik tersebut ialah lombong dedah, enjin wap, pam berantai dan lain-lain. Orang-orang Cina juga telah memperkenalkan teknik roda air yang dapat mengelakkan banjir di kawasan perlombongan. Saudagar-saudagar Cina di Negeri-negeri Selat pula telah memberi sumbangan modal bagi menjalankan perusahaan bijih timah di Negeri-negeri Melayu. Selain itu, terdapat pengusaha-pengusaha yang berkebolehan dalam menjalankan perlombongan bijih timah di Tanah Melayu.

11. Kanun Galian 1896

Kanun Galian 1896 meletakkan hal ehwal perlombingan bijih timah di bawah 2 orang penguasa galian persekutuan. Di bawah mereka terdapat merinyu-merinyu yang ditugaskan untuk melicinkan kegiatan perlombongan bijih timah seperti mengeluarkan lesen/menentukan kawasan perlombongan. Pada tahun 1893, seorang ahli kaji bumi telah dilantik untuk menjalankan kerja-kerja saintifik yang berkaitan dengan perlombongan bijih timah terutamanya bagi menentukan kawasan-kawasan yang kaya dengan bijih timah.

12. Perang Dunia Pertama

Perang Dunia Pertama yang meletus di Eropah pada tahun 1914 hingga 1918 juga memberi sumbangan kepada perusahaan bijih timah di Tanah Melayu. Peperangan tersebut menyebabkan permintaan bijih timah meningkat kerana ianya diperlukan untuk menetin makanan tentera yang terlibat dalam peperangan dan membuat senjata.

13. Undang-undang Tanah

Undang-undang Tanah yang liberal telah mebolehkan pengusaha-pengusaha asing memiliki tanah untuk menjalankan perlombongan bijih timah. British juga berjaya menghapuskan hak permilikan tanah oleh pembesar. Tanah menjadi hak kerajaan dan sesiapa sahaja dibenarkan memohon untuk mendapatkan tanah terutamanya bagi menjalankan perusahaan bijih timah.

14. Sistem pengukuran

Sistem pengukuran tanah yang tepat dan hak milik yang jelas telah menamatkan pertikaian merebut tanah terutamanya tanah perlombongan. Keadaan ini sudah tentu membolehkan kegiatan perlombongan bijih timah dapat dijalankan tanpa gangguan.

15. Terusan Suez 1869

Pembukaan Terusan Suez 1869 telah memendekkan perjalanan laut dari Eropah ke Tanah Melayu. Keadaan ini sudah tentu menarik ramai pelabur Eropah untuk datang ke Tanah Melayu dan melabur dalam perusahaan bijih timah.

16. Firma Eropah

Penglibatan firma-firma Eropah telah memajukan lagi perusahaan bijih timah di Tanah Melayu. Kekuatan modal mereka membolehkan lebih banyak lombong bijih timah dibuka. Antara-antara firma-firma itu ialah Syarikat Peterson and Simons, Syarikat Bijih Timah Sungai Ujong dan Syarikat Bijih Timah Selangor, Syarikat Tin Trading dan sebagainya. Selain itu, terdapat juga firma kuasa Barat lain yang menjalankan kegiatan perlombongan bijih timah di Tanah Melayu. Sebagai contoh, firma Perancis yang menjalankan perlombongan bijih timah di Tapah – Do Societe des Mines d’Etains.

17. Dasar Kerajaan British

Dasar Kerajaan British di Tanah Melayu dan di England memberi sumbangan terhadap perkembangan perusahaan bijih timah di Tanah Melayu. Untuk menggalakkan eksport, Kerajaan British di Tanah Melayu telah mengurangkan cukai eksport ke atas bijih timah. Kerajaan British juga berjaya menghalang pembesar-pembesar mengenakan cukai ke atas bijih timah yang dibawa melalui kawasan mereka. Kerajaan British di England pula menghapuskan cukai import ke atas bijih timah pada tahun 1823.


Kesimpulan

Mulai pertengahan abad ke-19, perusahaan bijih timah di Tanah Melayu telah berkembang dengan pesat. Menjelang tahun 1883, Semenanjung Tanah Melayu merupakan pengeluar bijih timah yang terbesar di dunia. Hasil daripada perusahaan bijih timah membolehkan British memodenkan Tanah Melayu

SEJ T 6 Perjanjian Sulit Inggeris Siam 1897

Perjanjian Sulit Inggeris Siam 1897

Pengenalan

Selepas berjaya menyekat pengaruh Siam dari mara ke selatan, pihak British mula memikirkan rancangan untuk mengambil 4 buah negeri Melayu di utara dari kekuasaan Siam. Matlamat British ialah untuk menyatukan negeri-negeri itu dalam suatu gabungan iaitu Tanah Melayu. Ketika ini, British sudah berjaya meletakkan Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang di bawah pentadbiran mereka. Satu perjanjian sulit antara Inggeris dengan Siam telah diadakan pada tahun 1897 sebagai perintis untuk mengambil keempat-empat buah negeri Melayu di utara dari Siam.

Faktor-faktor yang membawa kepada perjanjian

1. British berasa bimbang selepas mendapat berita bahawa kuasa Perancis berminat meluaskan pengaruhnya ke Lembah Menam Chao Phraya dan merancang untuk membina “Terusan Kra” pada tahun 1880.

2. British juga bimbang akan peluasan pengaruh Jerman apabila mendapat berita bahawa negara Jerman sedang berusaha untuk membina sebuah pangkalan di kawasan Siam selatan terutama di Pulau Langkawi.

Syarat-syarat perjanjian

1. Kebimbangan campur tangan kuasa-kuasa barat tersebut mendesak British untuk menandatangani Perjanjian Sulit dengan Siam pada 6 April 1897. Menurut perjanjian ini:

2. Raja Siam bersetuju tidak akan memindahkan sebarang kawasan di Selatan Muang Bang Tapan dekat Tenasserim.

3. British mengakui hak Siam di Selatan Muang Bang Tapan berhampiran pantai Tenasserim hingga ke negeri-negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu.

4. British akan membantu Siam jika ia diserang.

5. Jika Raja Siam memutuskan hendak membuat sebarang pemberian tanah kepada kuasa asing, ia mestilah terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis dari British.

Kesan-kesan perjanjian

1. Dengan perjanjian ini, permintaan Jerman untuk dibenarkan bertapak di Langkawi ditolak oleh pihak Siam.

2. British berjaya menyekat Negeri-negeri Melayu dan wilayah Siam di utara Semenanjung Tanah Melayu dari jatuh ke tangan kuasa-kuasa asing.

3. Oleh sebab perjanjian ini ditandantangani secara sulit, tidak ada pihak lain yang mengetahuinya. Sesetengah sultan telah berasa hampa berada di bawah naungan Siam dan cuba bertindak secara bebas. Keadaan ini memaksa British dan Siam menandatangani satu perjanjian yang dinamakan Perjanjian Sempadan (1899) untuk menentukan sempadan antara negeri-negeri Siam, Kedah, Perak, Kelantan dan Terengganu. Di bawah perjanjian ini, Reman menjadi wilayah Siam sementara Kedah, Kelantan dan Terengganu hanya sebagai wilayah jajahan Siam.

4. Ekoran daripada perjanjian ini, timbul pula isu Duff yang mendorong Siam dan British menandatangani satu pengisytiharaan pada 1902. British mengakui secara rasmi hak Siam ke atas Negeri-negeri Melayu Utara. Ini adalah disebabkan keinginan British untuk mengekalkan kemerdekaan Siam supaya Siam dapat dijadikan negara penampan yang memisahkan British dengan Perancis kerana sempadan bersama boleh menimbulkan peperangan di antar kedua-dua pihak itu.

SEJ T 6 Perjanjian Inggeris-Belanda 1824

Perjanjian Inggeris-Belanda 1824


Pengenalan

Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 juga dikenali sebagai Perjanjian London 1824. Perjanjian ini ditandatangani untuk mengatasi masalah antara Inggeris dan Belanda yang mana hubungan keduanya sentiasa dalam keadaan tegang di samping adanya kepentingan-kepentingan mereka sendiri. Termeterainya perjanjian tersebut merupakan peristiwa paling penting dalam sejarah Tanah Melayu dan juga Indonesia.

Faktor-faktor membawa kepada perjanjian

1. Persaingan perdagangan di Timur

Sejak kedatangan pihak Belanda dan British di Timur terutamanya di Asia Tenggara pada awal abad ke-17, kedua-dua ini sudah tidak mempunyai perhubungan baik. VOC yang bertapak di Betawi (1619) telah menjalinkan hubungan baik dengan raja-raja tempatan. Kemudian, Belanda berjaya meluaskan empayarnya ke Melak (1641). Pada ketika itu, SHTI sedang mencari pangkalan perdagangan dan pangkalan tentera di rantau Asia Tenggara.

Perselisihan sentiasa timbul atas dasar perdagangan yang diamalkan iaitu sikap Belanda yang menjalankan dasat ingin memonopoli perdagangan di Asia Tenggara; manakala orang Inggeris berpendapat semua bangsa mempunyai hak dan kebebasan untuk berdagang di rantau ini.

Hubungan yang buruk ini semakin meruncing kerana terdapat pegawai-pegawai Belanda yang bersifat anti-Inggeris. Contoh yang baik bagi pegawai Belanda yang bersifat anti-Inggeris ialah Jan Peterzoon Coen dan Van der Capellan, kedua-duanya ialah Gabenor Jeneral Betawi. Bagi pihak Inggeris pula yang bersifat anti-Belanda ialah John Jourdain.

Oleh sebab sifatnya yang anti-Inggeris menyebabkan Jan Peterzoon Coen menyerang orang Inggeris di Jakarta dengan tujuan menghalau mereka keluar dari Pulau Jawa (1619). Kota Jakarta telah dibakar hangus, lalu didirikan kota yang baru dan diberi nama “Betawi”. Keadaan menjadi semakin serius apabila berlaku peristiwa “Pembunuhan Beramai-ramai di Pulau Ambon” pada tahun 1623. dalam kejadian ini, beberapa orang Inggeris dan Portugis telah dihukum bunuh kerana ditubuh mengadakan komplot untuk menggulingkan pemerintah Belanda di Ambon.

Akibat dari kejadian ini, hubungan di antara mereka menjadi tegang dan pihak British hampir menutup hampir semua lojinya kecuali di Bangkahulu di selatan pantai barat Sumatera dan berundur dari Kepulauan Hindia Timur. Kegiatan perdagangan mereka kemudian bertumpu di India.

2. Dasar persahabatan Inggeris-Belanda di Eropah

Bagi British persahabatannya dengan Belanda adalah penting dari segi “pertahanan/keselamatan”. Ini disebabkan kedudukan antara Negeri Belanda dengan British adalah berdekatan. Negeri Belanda ialah tempat yang paling sesuai untuk digunakan oleh pihak musuh sebagai tapak untuk menyerang British. Peristiwa ini telah pun terjadi pada tahun 1795, apabila Napoleon Bonaparte menggunakan negeri Belanda sebagai pusat gerakan tenteranya untuk menyerang British.

Dalam peristiwa ini, British sedar bahawa Belanda dapat menentukan masa depan Btitish. Oleh itu, pihak British benar-benar mengharapkan bantuan dan persahabatan dari Belanda untuk menentang musuh. Malahan, British terpaksa membantu Belanda menguatkan pasukan tenteranya supaya negeri itu dapat mempertahankan diri dari serangan musuh. Ini membuktikan bahawa British berharap agar Belanda menjadi barisan hadapan jika terjadi sebarang peperangan.

British juga sedar bahawa kedudukannya di Eropah mulai terancam. Ini disebabkan perhubungannya dengan negara-negara Barat yang lain telah pudar. Selepas Perang Napoleon (1795-1815), British terpencil dari rakan-rakan sekutunya yang pada satu ketika dahulu sama-sama menentang Napoleon. Prusia, Austria dan Rusia mulai mengasingkan diri dari England kerana perbezaan idea dan juga disebabkan perbezaan mazhab agama. Oleh itu, British mengharapkan Belanda dapat menjadi penyokongnnya di Eropah.

Keinginan British untuk berbaik-baik dengan Belanda jelas kelihatan dalam Konvensyen 1815 yang berlangsung selepas tamatnya Perang Napoleon. Inggeris telah bersetuju untuk menyerahkan Jawa pada tahun 1816 dan Melaka pada tahun 1818 kepada Belanda yang diperolehi melalui Surat-surat Kew 1795. Kerajaan British berbuat demikian sungguhpun mendapat tentangan hebat daripada SHTI memandangkan Pulau Jawa merupakan sebuah pelabuhan perdagangan yang berpotensi.

3. Dasar-dasar Raffles di Singapura dan pertelingkahan mengenai Singapura

Stamford Raffles menentang keputusan pihak British yang hendak memulangkan Pulau Jawa kepada Belanda. Raffles berpendapat bahawa Pulau Jawa amat penting bagi strategi British sama ada dari segi perdagangan mahupun ketenteraan. Tambahan pula, Pulau Pinang yang dibuka pada tahun 1786 tidak lagi dapat berfungsi sebagai pusat perdagangan SHTI di rantau ini kerana kedudukannya yang jauh di utara dan di luar laluan perdagangan. Selain itu, Bengkahulu juga kurang strategik memandangkan kedudukannya di pantai barat Sumatera terpisah daripada laluan perdagangan di Selat Melaka.

Oleh itu, Raffles berhasrat membuka sebuah pelabuhan yang berkedudukan strategik untuk bersaing dengan pelabuhan Betawi dan menyekat pengaruh Belanda di Hindia Timur. Akhirnya, beliau telah berjaya membuka Singapura pada tahun 1819.

Tindakan Raffles menduduki Singapura dan membuat perjanjian dengan ketua-ketua di Singapura telah dibantah oleh Belanda. Pihak Belanda mendakwa bahawa Singapura adalah wilayah di bawah naungannya. Belanda mengatakan Raffles mencerobohi wilayah mereka dan mengugut akan menggunakan kekerasan sekiranya British enggan berundur dari Singapura. Dengan itu, masalah ini telah menimbulkan perang dingin antara British dan Belanda.

Bantahan juga dibuat oleh Gabenor Jeneral Betawi iaitu Baron Van der Capellan kepada Gabenor Jeneral India, iaitu Lord Hastings. Ini telah mencetuskan sati “peperangan kertas” di antara mereka antara tahun 1819 hingga 1824.

4. Kemajuan Singapura

Gabenor Jeneral Lord Hastings menolak dakwaan Belanda memandangkan Singapura merupakan sebuah pelabuhan bertaraf bebas yang membawa keuntungan kepada pihak Inggeris. Dalam jangka masa setahun sahaja, nilai perdagangan melebihi $4 juta. Pada tahun 1823, nilai perdagangan Singapura bertambah kepada $13.2 juta. Selain itu, penduduk di Singapura juga meningkat kepada 10000 orang. Dalam keadaan ini, saudagar-saudagar SHTI di Calcutta mendesak petempatan Singapura dikekalkan.

Kemajuan pesat Singapura telah menjejaskan perdagangan Belanda di Hindia Timur. Perdagangan pelabuhan-pelabuhan Belanda di Hindia Timur seperti Betawi mulai mengalami kemerosotan. Untuk mengelakkan pertempuran yang terbuka, pihak British mengambil langkah untuk berunding dengan Belanda.

5. Masalah kewangan Belanda

Negara Belanda menghadapi krisis kewangan yang amat teruk akibat daripada Perang Napoleon. Belanda telah kehilangan perusahaan perkapalan dan perdagangannya yang diambil alih oleh Britain. Kini VOC hampir dengan garis kebankrapan. Untuk mengelakkannya daripada berlaku, VOC telah berhutang kepada pihak British.

Bantuan dan pinjaman telah diberikan oleh British. Menurut J.S. Furnival, hutang Belanda pada tahun 1815 ialah 600 juta Florin dimana hutang terhadap British adalah sebanyak £144 juta.

Apabila VOC dibubarkan pada tahun 1799, Kerajaan Belanda bertanggungjawab memikul beban hutang yang ditinggalkannya. Untuk menyelesaikan masalah hutang piutang ini, Belanda telah mengambil langkah untuk berunding dengan British bagi mencapai suatu persefahaman melalui perjanjian selain mengelakkan pertempuran daripada berlaku.


Syarat-syarat Perjanjian

Perjanjian Inggeris-Belanda telah ditandatangani pada 17 Mac 1824 di London. Pihak British diwakili oleh George Canning dan pihak Belanda pula diwakili oleh Charles W. Wymn. Kandungan perjanjiannya ialah:

1. Syarat-syarat kewilayahan

a. Belanda menarik balik bantahannya terhadap pendudukan British di Singapura. British bersetuju tidak membuat sebarang pelabuhan di Pulau-pulai Karimon, Bantam, Bintang, Lingga atau di pulau-pulau yang terletak di selatan Selat Singapura. British juga bersetuju tidak akan membuat perjanjian dengan ketua-ketua di pulau-pulau tersebut.

b. British menarik semula bantahannya terhadap pendudukan Belanda di Pulau Belitong dan lain-lain kawasan.

c. Bandar dan pelabuhan Melaka serta tanah jajahannya diserahkan kepada British. Belanda bersetuju tidak akan membuat sebarang perjanjian atau pelabuhan di kawasan tersebut.

d. Bangkahulu di Sumatera diserahkan kepada Belanda. British bersetuju tidak akan membuat tempat persinggahan atau perjanjian dengan ketua-ketua di Sumatera.

e. Belanda menyerahkan semua lojinya di India serta hak istimewanya yang ada kepada British. Belanda juga akan membayar sebanyak £100000 kepada Britsh sebagai penyelesaian hutang-piutangnya.

f. Wilayah-wilayah tersebut tidak boleh diberikan kepada kuasa-kuasa lain. Jika salah satu kuasa itu meninggalkannya, wilayah itu mestilah diserahkan kepada kuasa yang satu lagi.

g. Semua penduduk di wilayah jajahan yang telah ditukarkan diberi tempoh selama 6 bulan untuk menguruskan harta mereka sekiranya mereka hendak berpindah ke negeri-negeri yang mereka pilih.

h. Perpindahan hak-hak kedua-dua pihak hendaklah mula dijalankan pada 1 Mac 1825.

2. Syarat-syarat perdagangan

a. Kedua-dua pihak bersetuju membenarkan saudagar mereka menjalankan perniagaan di Kepulauan Timur, India dan Ceylon dengan hak masing-masing. Kedua-dua pihak hendaklah mengikuti peraturan-peraturan perdagangan di tiap-tiap kawasan.

b. Rakyat dari satu negeri mestilah membayar cukai tidak lebih daripada bayaran yang dikenakan kepada rakyat dari negeri yang mempunyai pelabuhan.

c. Kedua-dua pihak mestilah mengarahkan rakyat, pihak yang berkuasa tentera dan awam supaya menghormati kebebasan perdagangan.

d. Kedua-dua pihak mestilah menghapuskan lanun-lanun di laut sebelah timur dan jangan membenarkan lanun-lanun menjual barang-barang dagangan mereka di kawasan atau daerah kepunyaan mereka.

e. Pelabuhan-pelabuhan yang baru tidak dibenarkan ditubuhkan di Kepulauan Timur tanpa mendapat pengesahan terlebih dahulu dari kerajaan mereka di Eropah.

f. British mengakui monopoli Belanda terhadap perdagangan rempah di Kepulauan Maluku.

Kesan-kesan Perjanjian

1. Pembahagian Kepulauan Melayu kepada 2 lingkungan pengaruh

Kesan yang nyata hasil daripada perjanjian ini ialah terbentuknya 2 kawasan pengaruh. Belanda ingin menguasai kawasan-kawasan meliputi Pulau Jawa, Sulawesi atau dengan kata-kata lain semua gugusan Kepulauan Melayu ke selatan Selat Singapura; manakala British menguasai kawasan-kawasan yang meliputi Singapura, Melaka dan daerah-daerah lain di Tanah Melayu. Perjanjian ini merupakan satu titik peralihan dalam perkembangan politik di Kepulauan Melayu. British dan Belanda kini dapat meluaskan pengaruh perdagangan dan politik mereka di kawasan masing-masing tanpa gangguan daripada pihak lain.

2. Perpecahan Empayar Johor

Dengan pembahagian 2 kawasan pengaruh itu, secara tidak langsung telah membawa kepada runtuhnya Empayar Johor. Kini Singapura dan Tanah Besar Johor dikuasai oleh British dan Riau-Lingga jatuh ke bawah pengaruh Belanda. Perjanjian ini juga menyelesaikan masalah perebutan takhta Johor kerana Sultan Hussein menjadi sultan yang sah di Tanah Besar Johor dan Sultan Abdul Rahman menjadi sultan di Kepulauan Riau-Lingga. Bendahara Ali di Pahang juga mengambil kesempatan untuk cuba membebaskan diri dari kekuasaan Johor. Pada tahun 1853, Bendahara Ali telah mengisytiharkan kemerdekaan Pahang dan Empayar Johor dikatakan runtuh sejak saat ini.

3. Perhubungan Inggeris-Belanda di Timur

Perhubungan mereka masih tegang. Rasa benci orang Inggeris terhadap Belanda disuarakan dalam laporan-laporan pegawai-pegawai Negeri-negeri Selat dan dalam akhbar-akhbar Singapura. Persaingan perdagangan terus menjadi sengit. British menuduh Belanda melanggar syarat-syarat perjanjian, tetapi, British terpaksa menelan hakikat ini dan terus memberi bantuan kepada Belanda dan memastikan bahawa Belanda benar-benar menjadi sekutu yang dapat mengimbangkan kekuatan British terutama di Eropah.

4. Pertelingkahan mengenai Borneo

Perbalahan antara pihak British dan Belanda di Kepulauan Melayu tersetus akibat salah faham terhadap syarat-syarat kewilayahan. Perbalahan mengenai syarat “sebarang pulau lain ke selatan Singapura” tercetus apabila Sultan Brunei menyerahkan Labuan kepada pihak British pada tahun 1846. Belanda menganggap bahawa Labuan terletak di selatan Selat Singapura dan berada di lingkungan pengaruhnya. Walau bagaimanapun, masalah ini dapat diselesaikan apabila pihak British dapat membuktikan kedudukan geografi Labuan yang sebenarnya.

5. Pelanunan

Belanda tidak mematuhi sepenuhnya syarat yang berkenaan dengan penghapusan lanun di perairan Kepulauan Melayu. Pihak Belanda hanya mengambil tindakan terhadap kegiatan pelanunan di kawasan perairan di bawah pengaruhnya iaitu Kepulauan Hindia Timur. Akibatnya, British terpaksa mengambil langkah-langkah sendiri untuk menghapuskan pelanunan dan ini memakan masa serta menelan banyak perbelanjaan

SEJ T6 Perjanjian Burney 1826

Perjanjian Burney 1826


Pengenalan

Pengaruh Siam di negeri-negeri Melayu Utara membimbangkan British kerana perkembangan ini menjejaskan pendudukan British di Pulau Pinang serta kepentingan British di Tanah Melayu. Akibatnya pada Disember 1825, Kapten Burney dihantar oleh Robert Fullerton bagi mengadakan rundingan dan menandatangani perjanjian dengan Siam. Henry Burney telah diarah berbincang mengenai hubungan perdagangan dan persahabatan antara Siam dengan British, kepentingan British di Tanah Melayu mengenai perdagangan, masalah pembahagian takhta, Sultan Ahmad Tajuddin dan soal kemerdekaan Perak dan Selangor. Selepas berada di Siam selama 6 bulan, Henry Burney berjaya menandatangani perjanjian pada 20 Jun 1826.

Syarat-syarat perjanjian

1. Pedagang-pedagang British dibenarkan berdagang di Bangkok dan dikenakan cukai yang berpatutan.

2. Mengenai Kedah:

a. Kedah kekal sebagai tanah jajahan Siam.

b. Sultan Kedah tidak dibenarkan tinggal di Pulau Pinang, Seberang Perai, Perak, Selangor atau Burma.

c. British bertanggungjawab untuk menghalang Sultan Kedah dan pengikut-pengikutnya menyerang Siam dan wilayah-wilayahnya.

d. British dibenarkan berdagang di Kedah tetapi tidak boleh campur tangan dalam hal pentadbiran.

e. Siam mengiktiraf pendudukan British di Pulau Pinang dan Seberang Perai.

3. Mengenai Perak:

a. Siam mengiktiraf kemerdekaan Perak dan Selangor.

b. British dibenarkan berdagang di Perak tetapi tidak boleh campur tangan dalam hal pentadbiran.

c. Siam dibenarkan menghantar perwakilan antara 40-50 orang ke Perak tetapi tidak dibenarkan menyerang, mengancam dan mencabul Perak.

d. British bertanggungjawab menghalang Selangor menyerang Perak.

e. Mengenai penghantaran bunga emas dan lain-lain hantaran ke Siam, negeri Perak diberi kebebasan sama ada menghantar atau tidak. Sekiranya Perak bersetuju menghantar ke Siam, maka British tidak berhak untuk menghalang.

4. Mengenai Kelantan dan Terengganu:

a. Siam berjanji tidak akan mengganggu perdagangan British di Kelantan atau Terengganu.

b. British dibenarkan berdagang di Terengganu tetapi tidak boleh campur tangan dalam hal pentadbiran.

c. Kelantan dan Terengganu akan terus menghantar ufti yang berupa bunga emas kepada Siam tiap-tiap 3 tahun sekali.


Kesan-kesan perjanjian

1. Kedah

Perjanjian Burney yang telah ditandatangani mengecewakan Sultan Ahmad dan baginda tidak dapat menerimanya. Baginda kecewa kerana dengan terang British telah memperdayakannya. Oleh itu, Sultan Ahmad yang masih menetap di Pulau Pinang mengambil keputusan melancarkan serangan ke atas Siam. Dengan bantuan orang Melayu Kedah, Kelantan dan Terenngganu, Sultan ahmad menyerang Kedah pada tahun 1831, 1836 dan 1838 tetapi kesemua serangan ini gagal kerana British telah mengepung dan melindungi Kedah daripada serangan Sultan Ahmad. Malah, Sultan Ahmad telah dipindahkan dari Pulau Pinang untuk menetap di Melaka.


Baginda terpaksa menetap di Melaka sehingga 1842 bagi mematuhi syarat-syarat Perjanjian Burney. Menjelang tahun 1840, sikap Sultan Kedah, Raja Siam dan British mulai berubah. Sultan Ahmad yang telah lanjut usianya merasai penentangan terhadap Siam tidak berfaedah kerana pihak British tetap menyebelahi mereka. Pihak Siam pula merasa penglibatannya dalam hal ehwal negeri Kedah tidak lagi penting kepada mereka. Pertempuran-pertempuran yang berterusan hanya akan membebankan negeri Siam. Melalui kesedaran itu, Sultan Ahmad mengambil jalan yang lebih berkesan iaitu melalui rundingan. Dengan kerjasama British, satu perwakilan yang diketuai oleh Putera Sultan Ahmad, iaitu Tengku Daik telah dihantar ke Bangkok pada tahun 1841 bagi membincangkan soal pembahagian takhta Sultan Ahmad Tajuddin.

Pada tahun 1842, Sultan Ahmad Tajuddin diserahkan kembali takhtanya dan Kedah mestilah kekal sebagai jajahan takluk Siam dan menghantar bunga emas tiap-tiap 3 tahun sekali. Kedah juga diperkecilkan kawasannya iaitu Setul dan Kubang Pasu diletakkan di bawah pemerintahan Siam dan Perlis dipisahkan dan diperintah oleh Syed Sapee dengan gelaran Raja Perlis.

2. Perak

Siam tidak mematuhi Perjanjian Burney berkaitan dengan Perak. Pada bulan Ogos 1826, pihak berkuasa di Selatan Siam, iaitu Raja Ligor telah menghantar satu angkatan tentera ke Perak dengan alasan untuk membantu Perak dalam hal ehwal pentadbiran. Muslihat Raja Ligor yang sebenarnya ialah untuk memaksa Raja Perak menghantar bunga emas ke Siam. Pada September 1826, Sultan Perak telah memohon bantuan British bagi menghapuskan naungan Siam ke atas Perak.

Akibatnya, Gabenor Fullerton telah menghantar satu angkatan ke Perak yang terdiri daripada 40 orang askar yang diketuai oelh Kapten James Low ke Perak. James Low telah diarahkan untuk menasihati Sultan Perak mengenai haknya untuk memilih sama ada hendak menghantar bunga emas ke Siam atau tidak. Selain itu, Low juga memberi jaminan bantuan kepada Sultan Perak jika Perak diserang oleh Siam. Setelah di Perak, Low berjaya menggulingkan golongan pro-Siam. Askar-askar Siam juga berundur dari Perak. Pada 18 Oktober 1826, Low telah melampaui arahan dan menandatangani persetiaan dengan Sultan Abdullah. Syarat-syaratnya ialah:

a. Perak berjanji tidak akan mengadakan hubungan politik dengan Siam atau negeri-negeri lain.

b. Perak bersetuju tidak akan menghantar bunga emas atau lain-lain persembahan kepada Siam atau negeri-negeri Melayu lain.

c. British beratnggungjawab untuk melindungi Perak daripada sebarang serangan luar.

d. Pedagang-pedagang dari mana-mana negeri dibenarkan berdagang di Perak asalkan mereka tidak campur tangan dalam hal ehwal Perak.

e. Sultan Perak tidak akan membenarkan wakil-wakil yang lebih daripada 30 orang lelaki daripada negara-negara lain masuk ke Perak dengan tujuan untuk campur tangan dalam hal ehwal politik.

f. Dinding dan Pulau Pangkor diserahkan kepada British.

James Low juga berjaya menghancurkan kegiatan lanun di Sungai Kurau selepas tertangkapnya ketua lanun, iaitu Nakhoda Udin yang pro-Siam. Tindakan British ini telah berjaya menyelamatkan Perak daripada menerima nasib seperti Kedah dan menghentikan kemaraan Siam.

3. Kelantan/Terangganu

Perjanjian Burney tidak menentukan dengan jelas hubungan Kelantan dan Terengganu dengan Siam. Akibatnya, Kelantan menerima pertuanan Siam tetapi Terengganu menolaknya. Terengganu menganggap negerinya tidak pernah dijajah oleh Siam. Penghantaran bunga emas hanya menjadi tradisi dan mengekalkan persahabatan dengan Siam. Oleh itu, Siam berusaha untuk mengukuhkan pengaruhnya di Terengganu dan mengekalkan pengaruhnya ke Pahang. Usaha ini dijalankan dengan melibatkan diri dalam perang saudara di Pahang (1857-1863) antara Wan Ahmad dan Wan Mutahir.

Pada Oktober 1862, satu angkatan Siam telah tiba di Kuala Terengganu dalam usaha membantu Wan Ahmad menyerang Pahang. Selain itu, kehadiran angkatan tersebut juga bertujuan membantu Sultan Mahmud dari Lingga merampas takhta Terengganu daripada bapa saudaranya, Sultan Omar yang tidak menerima pertuanan Siam. Kekacauan yang berlaku bukan sahaja mengganggu perdagangan di Pahang tetapi juga di Kelantan dan Terengganu. Akibat dari desakan pedagang-pedagang, gabenor Negeri-negeri Selat, iaitu Cavenagh telah menghantar sebuah kapal perang ke Kuala Terengganu pada November 1862 dengan tujuan hendak mendesak Siam dan Sultan Mahmud dari Lingga berundur dari Terengganu dan tidak melibatkan diri dalam perang saudara Pahang.

Keengganan Siam telah menyebabkan kapal perang British membedil Kuala Terengganu pada 4 November 1862. Akibatnya, angkatan tentera Siam dan Sultan Mahmud dari Lingga mengundurkan diri. Tindakan British ini berjaya menghalang pengaruh Siam dan merebak ke Pahang.

SEJ T 6 PERJANJIAN BANGKOK

Perjanjian Bangkok 1909

Pengenalan

Inggeris semakin bertekad untuk mengambil alih pentadbiran ke atas keempat-empat Negeri-negeri Melayu Utara itu. Bagi Inggeris, masanya telah tiba untuk berbuat demikian apabila Jerman menawarkan tawaran Siam untuk membina jalan keretapi di Siam Selatan. Matlamat Inggeris ini semakin menyakinkan apabila satu Pakatan Inggeris-Perancis ditandatangani. Untuk mempengaruhi Siam agar bersetuju untuk berunding, Inggeris dan Perancis telah bersedia menamatkan hak wilayah asing yang diperolehi sejak tahun 1855 dan 1856. Siam sedar bahawa Inggeris begitu serius terhadap perkara mengenai Negeri-negeri Melayu Utara lalu bersetuju untuk mengadakan perundingan. Rundingan telah diadakan dan akhirnya Perjanjian Bangkok telah ditandatangani pada 9 Julai 1909.

Faktor-faktor yang membawa kepada perjanjian

1. Pakatan Inggeris-Perancis 1904

Selepas ditandatangani Pengisytiharaan Inggeris-Siam, sikap Inggeris terhadap Siam mulai berubah. Hal ini adalah disebabkan Inggeris dan Perancis telah menamatkan permusuhan mereka di Eropah dengan termeterainya Pakatan Inggeris-Perancis pada 8 April 1904. Pakatan ini telah manamatkan ancaman peluasan kuasa Perancis di Siam dan dasar kemaraan di Negeri-negeri Melayu Utara. Perjanjian ini meletakkan Siam dalam bahaya. Kemungkinan besar Inggeris tidak akan menolong Siam sekiranya Perancis melanggarnya dari Indo-China. Kebimbangan Siam menjadi nyata apabila Perancis merampas Battambang dan Siem Reap, iaitu jajahan-jajahan takluk Siam di sempadan Siam-Kampuchea. Inggeris tidak membantu Siam malah ia bersikap berkecuali. Hal ini merugikan Siam.

2. Kebimbangan campur tangan kuasa asing yang lain

Perancis, Rusia dan Jerman berminat untuk membina terusan di Segenting Kra sebab tertarik dengan kepesatan perdagangan Asia-Eropah kesan daripada pembukaan Terusan Suez. Pada tahun 1906, Jerman pula mendapat persetujuan Siam untuk membina jalan keretapi di Negeri-negeri Melayu Utara. Tindakan ini dianggap oleh Inggeris sebagai satu helah untuk menguasai Negeri-negeri Melayu Utara. Siam cuba mendapatkan bantuan modal dan buruh dari Jerman untuk membina jalan keretapi yang akan menghubungkan Bangkok dengan sempadannya di Kedah. Inggeris berasa bimbang bahawa langkah Siam akan membawa kepada kemungkinan besar Jerman campur tangan di Kedah dan mengancam kepentingan Inggeris di situ.

3. Pembatalan hak-hak wilayah asing

Siam tidak senang hati dengan pemberian hak-hak istimewa kepada Inggeris sejak tahun 1855. Siam kini ingin membatalkan perjanjian-perjanjian berat sebelah seperti Perjanjian Bowring (1855) dan Perjanjian Sulit (1897). Sudah tentu Inggeris tidak akan memansuhkan hak-hak tersebut dengan rela tanpa sebarang ganti rugi. Oleh itu, Siam mengambil keputusan untuk menyerahkan Negeri-negeri Melayu Utara yang sebenarnya tidak menguntungkan kepada Inggeris. Sebagai balasan, Inggeris akan memansuhkan segala-gala hak wilayah asing di Siam.

4. Masalah kewangan Siam

Sementara itu, Kelantan dan Terengganu menaruh dendam dan tidak pernah mengakui pertuanan Siam. Kedah pula menghadapi masalah kewangan yang teruk selepas tahun 1904 kerana sikap Sultan Kedah yang boros. Siam terpaksa memberikan pinjaman sejumlah $2 juta kepada Kedah.

Syarat-syarat perjanjian

1. Siam memindahkan segala haknya ke atas keempat-empat buah Negeri-negeri Melayu Utara di bawah pemerintahannya iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, termasuk semua pulau yang dimiliki oleh negeri-negeri itu kepada Inggeris.

2. Siam bersetuju tidak akan menyewakan mana-mana wilayahnya kepada kuasa-kuasa asing tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran dari Inggeris.

3. Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu akan menanggung segala hutang keempat-empat buah negeri yang diperolehinya. Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu juga akan memberi pinjaman wang sebanyak £4 juta kepada Siam untuk membina jalan keretapi di Selatan Siam.

4. Inggeris menyerahkan hak wilayah asing yang diperolehinya dari Persetiaan Persahabatan dan Perdagangan pada tahun 1855.

5. Inggeris berjanji tidak akan campur tangan di wilayah-wilayah Siam yang lain.

6. Perjanjian Sulit Inggeris-Siam 1897 dibatalkan.

Kesan-kesan perjanjian

1. Negeri-negeri Melayu Utara berpindah tangan dari Siam kepada Inggeris dan negeri-negeri itu menerima seorang Penasihat British yang tugasnya seperti Residen di Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

2. Selanjutnya Penasihat British dilantik untuk berkhidmat di Perlis, Kelantan dan Kedah. Terengganu menerima Penasihat Inggeris pada tahun 1919.

3. Perjanjian ini telah menetapkan sempadan di antara Siam dengan Tanah Melayu.

4. Perjanjian ini menjamin Inggeris agar dapat menjalankan dasar monopoli perdagangannya di Semenanjung Tanah Melayu.

SEJ T 6 SINGAPURA

Perdagangan Singapura

Pengenalan

Singapura dibuka oleh Stamford Raffles pada tahun 1819. Dalam masa yang singkat, ia telah muncul sebagai pusat perdagangan yang maju dan terpenting di Asia Tenggara. Nilai perdagangan Singapura telah bertambah daripada $8568151 pada tahun 1822 kepada kira-kira $18 juta pada tahun 1833. Nilai perdagangan tersebut seterusnya bertambah sehingga melebihi $88 juta pada tahun 1873.

Sebab-sebab pertumbuhan perdagangan Singapura yang pesat

1. Kedudukan geografi Singapura

Seperti yang dinyatakan oleh N.J. Ryan, kedudukan alam Singapura merupakan faktor penting bagi pertumbuhan perdagangannya. Singapura menempati kedudukan yang strategic di tengah-tengah jalan perdagangan yang utama antara timur barat. Barangan perdagangan dari Eropah (tekstil dan barangan logam) dan India (candu) dibawa ke Singapura untuk dihantar ke negara China atau diedarkan ke seluruh Asia Tenggara. Singapura juga terletak di pertengahan Asia Tenggara. Keadaan ini menyebabkan Singapura menjadi pusat pengumpulan bagi hasil Asia Tenggara. Singapura terlindung dari tiupan angin monsun oleh Pulau Sumatera. Dengan itu, pelabuhan Singapura mempunyai air yang tenang. Perairan yang tenang telah membolehkan Singapura menjadi pusat utama bagi perdagangan melalui perahu dan tongkang. Singapura juga merupakan tempat persinggahan yang sesuai bagi pedagang-pedagang Asia Tenggara, China dan Eropah. Sebelum pembukaan Hong Kong pada tahun 1842, Singapura merupakan pusat pengumpulan yang penting bagi barang-barang dari negara China seperti sutera dan teh.

2. Dasar-dasar Inggeris

a. Dasar pelabuhan bebas

Dasar Inggeris menjadikan Singapura sebuah pelabuhan bebas telah mendorongkan perkembangan perdagangan Singapura. Pedagang-pedagang tidak dikenakan bayaran cukai import dan eksport. Bagi sepuluh tahun yang pertama, Singapura merupakan pelabuhan bebas yang tunggal di Gugusan Kepulauan Melayu. L.A. Mills berpendapat bahawa polisi pelabuhan bebas ini merupakan faktor bagi perkembangan pesat perdagangan Singapura.

b. Sistem pentadbiran

Selepas Perjanjian Inggeris-Belanda (1824), Inggeris telah menubuhkan sistem pentadbiran yang menjamin keselamatan nyawa dan harta. Keamanan telah menggalakkan perkembangan perdagangan Singapura.

c. Dasar penghijrahan

Dasar Inggeris tidak menyekat penghijrahan telah menyebabkan kemasukan ramai orang Cina yang telah mendorong memajukan perdagangan Singapura. Bilangan penduduk Cina di Singapura telah meningkat daripada 3000 orang pada tahun 1820 kepada 50043 pada tahun 1860.

d. Kemudahan-kemudahan perkapalan

Inggeris telah membekalkan kemudahan-kemudahan seperti membaiki kapal, limbungan kapal dan gudang arang batu yang mendorong sebilangan besar kapal-kapal untuk singgah di Singapura.

e. Pemansuhan monopoli perdagangan dengan negara China

SHTI telah memansuhkan monopoli perdagangan dengan negara China pada tahun 1833. Pemansuhan ini menggalakkan ramai pedagang berdagang dengan negara China melalui Singapura.

3. Pembukaan pasaran-pasaran baru di sekitar Singapura

Perluasan kuasa dan pengaruh Inggeris di Asia Tenggara telah mengakibatkan pembukaan pasaran-pasaran baru bagi hasil perdagangan Singapura yang mendorong perkembangan perdagangan Singapura. Perlantikan James Brooke sebagai Gabenor Sarawak pada tahun 1841 telah menambahkan perdagangan Singapura. Kejayaan James Brooke menghapuskan kegiatan lanun di sekitar Borneo telah merintis jalan bagi perkembangan perdagangan antara Sarawak dengan Singapura. Pada tahun 1833, tidak terdapat perdagangan antara Sarawak dengan Singapura. Menjelang tahun 1873, nilai perdagangan tersebut melebihi setengah juta ringgit. Pada tahun 1855, Siam (Raja Mongkut) telah membuka pintu kepada pedagang-pedagang Inggeris melalui Perjanjian Bowring. Perkembangan ini telah memberi peluang kepada Singapura menjalankan perdagangan yang maju dengan Siam. Perluasan kuasa dan pengaruh Belanda di Indonesia telah juga membuka pasaran-pasaran baru bagi hasil-hasil perdagangan Singapura. Antara tahun 1826-1858, Belanda membuka lebih daripada 30 buah pelabuhan bagi perdagangan di Jawa, Sumatera, Bali dan lain-lain tempat.

4. Pembukaan Terusan Suez

Pembukaan Terusan Suez pada tahun 1869 telah menambahkan perdagangan Singapura dengan memendekkan perjalanan laut di antara Eropah dan Asia dan mengurangkan kos pengangkutan. Pembukaan Terusan Suez membolehkan pemasaran lebih banyak jenis dan kuantiti barangan perdagangan. Terusan baru ini memungkinkan penghantaran barangan yang memerlukan ruang yang luas seperti beras dan gula. Pembukaan Terusan Suez merupakan faktor penting bagi perkembangan perdagangan Singapura. Sesungguhnya seorang ahli sejarah, G. Bogaars, berpendapat bahawa pembukaan Terusan Suez telah memulihkan perdagangan Singapura dan menghasilkan satu zaman kemewahan.

5. Pengenalan kapal-kapal stim

Perubahan daripada kapal layar kepada kapal stim telah menyenangkan perdagangan dan mengurangkan kegiatan-kegiatan lanun. Perkembangan teknologi ini telah menyebabkan bertambahnya bilangan kapal dan pedagang asing yang datang berdagang di Singapura.

6. Perkhidmatan telegraf di antara Singapura dan London

Perkhidmatan telegraf di antara Singapura dan London yang dimulakan pada tahun 1870 telah mempercepatkan urusan perniagaan kerana laporan-laporan mengenai kedudukan pasaran dapat dihantar dalam masa yang singkat. Menurut C.D. Cowan, perkembangan teknologi ini telah melicinkan dan menambahkan perdagangan Singapura.

SEJ T 6 Penubuhan Pusat-pusat Perdagangan oleh Inggeris di Tanah Melayu

Penubuhan Pusat-pusat Perdagangan oleh Inggeris di Tanah Melayu


Pengenalan

Hasil daripada kegiatan perdagangan teh di antara China dengan British yang semakin maju, British ingin mencari sebuah pusat perdagangan dan pelabuhan persinggahan yang sesuai di Alam Melayu untuk membolehkannya berlabuh semasa angin monsun dan memperlengkapkan dan mengisi bekalan mereka serta membaiki kapal sementara menunggu masa yang sesuai untuk berlayar ke China lagi.

Pembukaan Pulau Pinang, 1786

Pada tahun 1780-an, sultan Kedah, Sultan Abdullah Mukarram Syah (1778-1798) telah meminta bantuan SHTI untuk menentang serangan Siam. Baginda telah menawarkan Pulau Pinang kepada SHTI untuk dijadikan pangkalan perdagangan dan pelabuhan persinggahan. SHTI bersetuju menerima Pulau Pinang tetapi berasa keberatan untuk memberikan jaminan perlindungan tentara bagi menentang musuh Kedah. Namun, Francis Light, seorang pegawai SHTI telah menyakinkan Sultan Abdullah bahawa permintaan baginda sedang dipertimbangkan walaupun beliau sedar bahawa SHTI tidak akan memberi naungan kepada Kedah. Bagi mencapai matlamatnya, Francis Light telah menipu Sultan Abdullah dengan memberikan janji-janji kosong. Atas janji-janji ini, Sultan Abdullah membenarkan Light menduduki Pulau Pinang tetapi dengan syarat Light akan berundur jika naungan tidak diberi oleh SHTI.

Pada 11 Ogos 1786, British telah menduduki Pulau Pinang dengan rasminya. Hubungan antara Sultan Abdullah dan SHTI mula tegang apabila Francis Light tidak menghiraukan syarat yang dikemukakan oleh baginda pada bulan Ogos 1785. Antara syarat-syarat utama baginda ialah:

1. SHTI dibenarkan menduduki Pulau Pinang dengan syarat ia mengawal kawasan perairan Kedah daripada musuh.

2. Segala perbelanjaan perang hendaklah ditanggung oleh SHTI.

3. SHTI akan membantu Kedah sekiranya Kedah diserang dari darat oleh musuhnya dan segala perbelanjaan akan ditanggung oleh Kedah.

Baginda tidak puas hati apabila SHTI enggan membayar ganti rugi dan bantuan tentera untuk melindungi Kedah daripada musuhnya iaitu Bugis dan Siam. Hubungan antara Francis Light dan Sultan Abdullah bertambah buruk apabila Light tidak mengambil sebarang langkah untuk memastikan SHTI mematuhi syarat-syarat tersebut.

Sultan Abdullah berasa kecewa atas sikap Light dan membuat rancangan untuk mengambil semula Pulau Pinang. Rancangan itu dapat diketahui oleh Light. Beliau telah bertindak dahulu dengan menyerang dan memusnahkan angkatan tentara Kedah yang berhimpun di Seberang Perai pada bulan April 1791. Sultan Abdullah mengalami kekalahan yang teruk dan terpaksa menandatangani perjanjian damai dengan SHTI pada bulan Mei 1791. Syarat-syarat perjanjian 1791 ialah:

1. Kedah mengakui kedudukan SHTI di Pulau Pinang.

2. Kedah akan menerima elaun tahunan sebanyak Sp$6000 selagi SHTI menduduki Pulau Pinang.

3. British akan membeli bekalan makanan di Kedah tanpa sebarang sekatan atas cukai.

Walau bagaimanapun, perjanjian damai ini tidak menjanjikan sebarang bantuan kepada Kedah untuk menentang musuhnya.

Pengambilan Seberang Perai, 1800

Di bawah pentadbiran Francis Light dan penggantinya, Pulau Pinang telah mengalami kemajuan yang pesat dan membawa kepada pertambahan penduduk. Pertambahan penduduk ini telah menyebabkan Pulau Pinang terpaksa bergantung kepada Kedah untuk mendapatkan bekalan makanan. Akan tetapi, permusuhan masih berterusan di antara SHTI dengan Kedah walaupun selepas Perjanjian Damai 1791. Ini telah menyebabkan Kedah menghalang bekalan makanan ke Pulau Pinang.

Oleh itu, SHTI berasa perlu untuk mengambil Seberang Perai, sebuah wilayah yang bertentangan dengan Pulau Pinang untuk dijadikan kawasan pertanian. Pihak syarikat telah berunding dengan sultan Kedah dan berjaya menandatangani satu perjanjian pada tahun 1800. Syarat-syarat perjanjian 1800 ialah:

1. Sultan Kedah menyerahkan Seberang Perai kepada SHTI.

2. SHTI bersetuju menambahkan ganti rugi daripada Sp$6000 kepada Sp$10000 setahun selagi syarikat menduduki Pulau Pinang.

Perjanjian ini tidak menjanjikan perlindungan kepada sultan Kedah tetapi berjanji akan melindungi pantai Kedah daripada serangan musuh.

Pembukaan Singapura, 1819

Minat untuk membuka Singapura sebagai pusat perdagangan pelabuhan persinggahan bagi kapal-kapal dagangan antara India dan China berlaku selepas Perang Napoleon yang tamat pada tahun 1815.

Selepas tamatnya Perang Napoleon, Jawa dipulangkan semula kepada Belanda pada tahun 1816 dan Melaka pada tahun 1818. Apabila Belanda kembali ke Jawa, mereka mula melaksanakan dasar monopoli perdagangan dan menyekat perdagangan Inggeris di rantau Kepulauan Melayu.

Oleh itu, SHTI telah mengambil langkah untuk memenuhi keperluan-keperluan berikut:

1. Melindung perdagangan Inggeris di Gugusan Kepulauan Melayu.

2. Mencegah perluasan pengaruh Belanda di rantau kepulauan Melayu dan memecahkan monopoli perdagangannya.

3. Menyediakan kemudahan-kemudahan bagi kapal-kapal British yang belayar di antara India dan China berlabuh, membaiki dan melengkapi bekalannya.

4. Mempunyai kedudukan yang sesuai untuk mengumpul hasil-hasil selat untuk ditukar dengan barangan China.

Pada tahun 1818, Gabenor Jeneral India, Lord Hastings, telah menghantar Stamford Raffles untuk mencari pangkalan di Acheh dan Riau. Raffles mendapati kedudukan Singapura yang strategik di pintu masuk Selat Melaka dan Selat Sunda amat sesuai untuk mengawal monopoli perdagangan Belanda. Pada masa itu, Singapura merupakan sebahagian daripda Empayar Johor dan ditadbir oleh Temanggung Abdul Rahman.

Pada bulan Januari 1819, Raffles telah menandatangani satu perjanjian dengan Temenggung Abdul Rahman. Menurut perjanjian ini, SHTI dibenarkan membina loji di Singapura. Sebagai balasan, syarikat berjanji akan melindungi Temenggung dan akan memberi bayaran tahunan sebanyak Sp$3000 kepada Temenggung. Walau bagaimanapun, Raffles masih perlukan kebenaran Sultan Johor. Sultan Johor pada masa itu ialah Sultan Abdul Rahman yang berada di Riau di bawah pengaruh Belanda. Oleh itu, Raffles yakin Sultan Abdul Rahman tidak akan melayan permintaannya untuk membuka sebuah loji perdagangan di Singapura.

Seterusnya, Raffles telah memujuk Temenggung Abdul Rahman supaya melantik Tengku Hussein, putera sulung Sultan Mahmud III sebagai Sultan Johor. Tengku Hussein menerima tawaran itu dan menaiki takhta Kerajaan Johor dengan Sultan Hussein Muhammad Syah. Pada 6 Februsri 1819, Sultan Hussein dan Temenggung Abdul Rahman telah menandatangani perjanjian rasmi dengan Raffles. Menurut perjanjian ini, Singpura diserahkan kepada SHTI. British akan membayar Sp$5000 setahun kepada sultan dan Sp$3000 kepada Temenggung. Selain itu, British juga akan melindungi baginda dan temenggung.