CIKGU RAZAK

CIKGU RAZAK

Khamis, 13 Januari 2011

koleksi frasa menarik

Pembentukan ayat Tanya:

  • persoalan ini perlu direnungkan dengan sikap berlapang dada dan berpandangan jauh
  • pernahkah terlintas dalam gawang minda para........
  • sejauh manakah jalan penyelesaian yang dilaksanakan selama ini memberi impak yang positif?

Tema perpaduan :

  • Setiap kaum menjunjung tinggi nilai perpaduan
  • Sikap bekerjasama dan bertolenrasi adalah ‘senjata’ utama yang menampilkan Malaysia sebagai juara perpaduan
  • Berpegang pada falsafah hidup sandar-menyandar bagai aur dengan tebing
  • Rakyat akur dengan nasihat peribahasa yang berbunyi kalah menjadi abu,menang menjadi arang
  • Pepatah ada menyatakan ‘hidup bersama yang menjadi tradisi seikat bak sirih, serumpun bak serai, dijadikan pegangan untuk kita terus kekal menjadi juara perpaduan
  • konflik perkauman yang tercetus hanya membawa kehancuranyang total
  • Umpama telur sesangkar, pecah satu pecah semua ,tamsilan yang memberi gambaran betapa pentingnya perpaduan masyarakat
  • terurainya ikatan perpaduan kaum telah menjerumuskan negara kita
  • sukan dilihat mampu memecahkan tembok perbezaan kaum

Tema kemajuan negara

  • cemerlang prestasi ekonominya dalam kalangan negara Dunia Ketiga
  • Pertumbuhan mapan ekonomi negara
  • Prestasi ekonomi yang mapan
  • Gahnya Malaysia di persada global
  • menjadikan Malaysia lebih tersohor
  • Malaysia mempunyai kewibawaan yang tinggi di mata dunia bak kata peribahasa kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa.
  • Putrajaya dan Cyberjaya merupakan lambang inspirasi pintar anak Malaysia
  • Hasil usaha gigih- menatijahkan kejayaan yang gilang-gemilang kepada negara sehingga mendapat pengiktirafan dunia
  • Kemajuan yang dinikmati telah mengubah landskap wajah Malaysia
  • menterjemahkan matlamat menjadi sebuah negara maju
  • wawasan globalisasi tajaan Barat banyak menyimpan agenda untuk melemahkan kebangkitan negara
  • mendepani abad milenium

tema : peranan kerajaan

  • citra budaya dan jati diri bangsa
  • tindakan secara kolaboratif

Tema : masyarakat

  • memperkasakan pemikiran rakyat berminda kelas pertama menjadi tuntutan utama
  • menuntut anjakan paradigma masyarakat seantero negara
  • Berpegang pada falsafah hidup sandar-menyandar bagai aur dengan tebing
  • Apabila rosak budi pekerti rakyat, maka binasalah seluruh negara
  • rakyat yang memiliki minda kelas pertama adalah teras ketiga dalam kerangka lima teras utama RMK-9
  • menjana pemikiran rakyat agar berpandangan jauh dan lebih positif
  • rakyat perlu memiliki nilai integriti yang bebas daripada segala tingkah laku negatif.
  • Kualiti minda rakyat perlu diubah daripada terus dibelenggu oleh pemikiran jumud bak katak di bawah tempurung kepada minda yang merdeka dan bermaruah.
  • Pemikiran rakyat hendaklah dibangunkan di atas landasan yang betul
  • revolusi pemikiran yang lebih agresif dan proaktif
  • umpama sepuluh jong masuk pelabuhan,anjing bercawat ekor jua-tidak mahu berubah walaupun banyak melihat perubahan
  • masyarakat madani
  • bangsa yang maju dan kompetitif

Tema : semangat kejiranan

  • Jiran sepakat membawa berkat, ungkapan yang cukup signifikan untuk
  • Kita tidak boleh menjadi seperti kera sumbang, hidup umpama enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing dengan menyombongkan diri bak merak kayangan
  • Kikis sikap prejudis
  • Membentuk bangsa yang berbudaya dan bertamadun
  • Berpaksikan acuan budaya sendiri/ berpaksikan nilai budaya
  • Bagi memperteguh tali-temali sosial
  • Budaya sekular semakin menguasai kehidupan masyarakat
  • Di bawah satu bumbung muafakat

Tema : generasi muda

  • Pembangunan modal insan yang berpaksikan anutan nilai dan peribadi luhur turut menjadi saudara kembar kepada kemajuan sains dan teknologi
  • Terjebak dalam kancah krisis peradaban dan nilai moral
  • Generasi penggerak wawasan yang berkaliber, berwibawa dan berintelek
  • Darah baru setampuk pinang, remaja melakukan pelbagai onar
  • Akibat limpahan kemewahan, remaja semakin ghaflah akan tanggungjawab yang digalas
  • Berkiblatkan budaya asing
  • Budaya hedonisme semakin subur bersarang di jiwa dan minda
  • Berpotensi untuk menggegarkan
  • Bertahan mendepani gelombang cabaran hidup
  • Bijak menyerap tekanan
  • Cabaran globalisasi yang kian menghimpit memberi impak terhadap kualiti insan
  • Dalam meniti perjalanan hidup
  • Dalam pancaroba dunia

Tema: kekeluargaan

  • mewarnakan jiwa anak-anak
  • menjadi uswah terbaik
  • tingkah laku negatif pasti diciplak habis-habisan oleh anak-anak. Sikap ini samalah seperti kata peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya dan ke manakah tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
  • Didedahkan dengan realiti kehidupan
  • Umpama rebung tidak jauh dari rumpun (perangai anak tidak jauh berbeza daripada perangai ibu bapa
  • Hadis ; anak-anak umpama kain putih, ibu bapa yang menentukan coraknnya sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi
  • Bertunjangkan kekuatan intelektual
  • Dipacu oleh tenaga muda
  • Dipasakkan dalam jiwa

Media massa

  • akhbar arus perdana
  • mendominasi minda generasi muda
  • Pepatah Arab yang berbunyi mata pena lebih tajam daripada mata pedang
  • Pendedahan media sahaja dapat menghangatkan senario ini
  • Berupaya menjadi wadah yang efektif
  • Bijak menterjemahkan kehendak dan agenda kerajaan
  • Media massa yang berpengaruh seyogia menjadi pasak dan watak utama dalam menyebarkan maklumat

Kempen :

  • Meniup / membangkitkan gelombang kesedaran masyarakat
  • Aktiviti kempen secara agresif wajar dilaksanakan
  • Ketidaksampaian mesej kempen disebabkan pelaksanaannya yang hanya dijalankan secara suam-suam kuku
  • Dilaksanakan secara berkesan dan efisien
  • Instrumen yang paling efektif

Semangat Patriotisme

  • Misi menyuburkan semangat patriotisme—bukan perkara enteng
  • Kegagalan misi---memberi kesan terhadap pembinaan jati diri bangsa dan kelangsungan hidup negara
  • Menjiwai patriotisme yang kental

Tema sekolah

  • Guru selaku arkitek pembangunan insan
  • menjana pembangunan insan yang seimbang dan harmoni
  • menyemarakkan nilai-nilai murni
  • sekolah –wadah penting untuk penyaluran ilmu
  • pendekatan konvensional
  • sekolah medan interaksi sosial
  • golongan pendidik yang berketerampilan
  • pendidik perlu memahami aspirasi negara
  • menghayati Falsafah Pendidikan Negara
  • Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
  • Hubungan ibu bapa, anak dan pihak sekolah sepatutnya bagaikan ikan dengan air
  • Menggalas tanggungjawab mengisi kekosongan minda dengan pengetahuan dan maklumat

Tema : Alam sekitar

  • Menjadi isu dominan yang menghiasi dada-dada akhbar
  • jika manusia semakin tandus dengan nilai akal budi, maka alamnya semakin gawat dengan persekitaran yang tidak sihat
  • masyarakat Jepun percaya pada semangat alam sekitar. Jika alam sekitarnya segar dan sihat maka penghuninya juga demikian
  • alam sekitar adalah gambaran wajah / imej kita

Tema Kesihatan :

  • pepatah Arab ada menyatakan otak yang cerdas terletak pada tubuh badan yang sihat
  • tamadun klasik seperti di Rom dan di Athens telah memberikan keutamaan dalam aktiviti riadah apabila sukan Olimpik bermula di situ.
  • Kelesuan,keletihan dan kemurungan berpunca daripada sistem fisiologi yang tidak sempurna
  • Menyerang sistem imunisasi badan

Tema usaha.langkah

  • Umpama patah sayap bertongkat paruh, patah paruh bertelekan-Terus berusaha
  • Umpama patah tongkat berjeremang ,hulubalang habis bersiak– meneruskan usaha sampai berjaya
  • Jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya
  • Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang
  • Jika sayang hendak basahkan pendayung,perahu hanyut
  • Jangan lakukan kerja sekerat jalan
  • Sekarang bukanlah masa bertopang dagu atau menunding jari kesalahan pihak lain
  • Jalan penyelesaian secara konkrit dan bijaksana perlu difikirkan
  • Usah biarkan masalah ....terus membebani .................
  • Usaha secara kolaboratif
  • Menuntut sinergi pelbagai pihak
  • Janganlah usaha ---umpama mencurahkan garam ke laut
  • Mencari resepi terbaik

Teknologi Maklumat:

  • Internet, teknologi komunikasi yang berada di lingkaran mayapada menghampirkan manusia sesama sendiri dan akhirnya menjadikan dunia bagaikan tiada sempada
  • Bagai galah di tengah arus –peribahasa yang dapat digambarkan mengenai sikap remaja serta masyarakat yang serakah menyalahgunakan teknologi
  • Revolusi teknologi maklumat mutakhir ini memberikan dampak malang kepada masyarakat
  • Dalam konteks era pascamoden, dunia dicanangkan oleh teknologi maklumat dan kmunikasi
  • Internet dan teknologi 3G menjadi pemangkin komunikasi manusia
  • Sekadar klik di laman sesawang, kita mampu menjelajah ke seantero dunia

Selasa, 11 Januari 2011

SEJ T 6 SISTEM RESIDEN DI T. MELAYU

Sistem Residen

Pengenalan

Pada 1860-an dan 1870-an, berlaku pelbagai kekacauan di Perak, Selangor, Pahang dan Sungai Ujong. Antara kekacauan itu ialah perebutan takhta, pergaduhan pembesar, pergaduhan antara pelombong Cina dan sebagainya. Kekacauan tersebut telah dijadikan alasan oleh British untuk campur tangan. Hasil usaha Andrew Clarke, dasar campur tangan bermula dari Perak, kemudian Selangor, Sungai Ujong dan Pahang. Berikutan dasar campur tangan, sistem Residen telah diperkenalkan di negeri-negeri tersebut. Di bawah sistem Residen, Sultan menerima seorang residen sebagai penasihat bagi menasihatinya dalam segala hal kecuali hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam dan adat resam Melayu.


Tugas Residen

1. Menasihati Sultan dalam urusan-urusan pentadbiran kecuali dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan agama dan adat istiadat orang Melayu.

2. Mengekalkan ketenteraman dan menegakkan peraturan serta undang-undang di wilayah pemerintahannya. Segala tindakan hendaklah jangan menggunakan paksaan.

3. Membentuk sebuah sistem cukai yang berkesan.

4. Merancang dan membangunkan kawasan-kawasan bandar.

5. Membaiki alat-alat perhubungan


Corak pentadbiran

1. Peringkat negeri

Pemerintahan secara tidak langsung dan nasihat Residen kepada Sultan dijalankan melalui pembentukan Majlis Mesyuarat Negeri. Tujuan utama majlis ini ialah untuk membolehkan para pegawai British berunding dengan para pembesar tempatan tentang segala hal yang berhubung dengan kepentingan masyarakat Melayu.

Majlis ini mula-mulanya ditubuhkan sebagai badan penasihat sahaja. Kemudian, tugas-tugasnya termasuk juga membuat segala undang-undang, menjadi mahkamah rayuan tertinggi dan menjadi badan kerajaan utama yang menguruskan perubahan dalam struktur cukai, pencen kepada orang Melayu dan perlantikan ketua tempatan, pegawai kerajaan dan kadi. Pada amnya, semua perkara yang berkaitan dengan kerajaan tempatan diuruskan oleh majlis ini kecuali urusan mengawal hasil-hasil yang berada di bawah Residen.

Seluruh Mesyuarat Majlis dijalankan dalam Bahasa Melayu dan segala perkara yang berkaitan dengan pentadbiran, ekonomi dan sosial dibincangkan dalam majlis ini. Semua cadangan dan usul Residen harus dibahaskan dan diundi sebelum diluluskan menjadi undang-undang. Semua rang undang-undang harus mempunyai tandatangan Sultan tetapi mestilah terlebih dahulu mendapat keizinan Gabenor yang mempunyai kuasa pembatal.

Sungguhpun majlis ini amat berguna untuk membincangkan pendapat mengenai perkara-perkara yang menyentuh orang Melayu tetapi sebenarnya, majlis ini tidak mempunyai kuasa perundangan yang luas. Lagipun, apabila pentadbiran menjadi semakin rumit, fungsi perundangan majlis ini diabaikan. Lama-kelamaan, majlis ini hanya meluluskan keputusan yang sudah dibuat.

2. Peringkat daerah

Setiap negeri dibahagikan kepada beberapa daerah. Pentadbiran daerah di bawah jagaan seorang Pegawai Daerah British. Di peringkat awal, pegawai daerah dikenali sebagai “Pemungut Cukai dan Majlistret” kerana beliau bertugas untuk memungut hasil dan menjadi majistret di peringkat daerah. Pegawai Daerah juga bertanggungjawab menjaga perbendaharaan daerah dan memungut cukai. Beberapa cawangan jabatan seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Polis dan Jabatan Perubatan ditubuhkan di bawah Ketua Pegawai Eropah dan Pegawai Daerah bertugas untuk mengawasi Kerja Ketua Jabatan tersebut.

3. Peringkat mukim

Setiap daerah dibahagikan kepada beberapa mukim. Seorang pembesar dilantik untuk menjadi Ketua Mukim dengan gelaran Penghulu. Anak raja dilantik menjadi Penghulu kerana

a. Mempunyai pengaruh yang kuat

b. Melibatkan mereka dalam pentadbiran British

c. Mereka lebih memahami sikap dan perasaan rakyat jelata

d. Mereka mempunyai pendidikan yang diperlukan untuk menjalankan tugas

Tugas mereka ialah:

a. Memungut hasil tanah

b. Mentadbir undang-undang tempatan

c. Menjaga keamanan dan keselamatan

d. Mengadakan hubungan erat dengan rakyat jelata

e. Menyampaikan dasar dan usaha kerajaan kepada rakyat jelata

f. Menyampaikan maklumat balas rakyat kepada kerajaan

g. Menyimpan kira-kira dan membuat laporan bertulis

4. Peringkat kampung

Pentadbiran kampung diketuai oleh Ketua Kampung. Biasanya, mereka terdiri daripada orang tua yang dihormati oleh penduduk sesebuah kampung. Ketua Kampung bekerjasama dengan Penghulu di mukim dan mendapat pengiktirafan daripada Sultan negeri masing-masing. Selain Penghulu dan Ketua Kampung, terdapat lagi Kapitan Cina dan Penghulu Dagang.

5. Peringkat bandar

Pada awal tahun 1890-an, sebuah lembaga kesihatan telah ditubuhkan untuk mentadbir Bandar Kuala Lumpur. Tugasnya adalah untuk

a. Mengeluarkan lesen peniaga dan penjaja

b. Meluluskan pelan bangunan

c. Menjaga kebersihan bandar

Ahli-ahlinya terdiri daripada:

a. Jurutera di Jabatan Kerja Raya

b. Ketua Polis Daerah

c. Individu yang dilantik oleh Residen

Masalah yang dihadapi oleh Residen

1. Tidak terdapat sistem pemerintahan pusat di Negeri-negeri Melayu. Ada sesetengah wilayah dan ketua-ketua wilayah tidak tertakluk di bawah kekuasaan Sultan. Mereka bebas menjalankan urusan pentadbiran sendiri.

2. Dalam kehidupan sehari-hari Sultan dan pembesar-pembesar Melayu telah mengikut cara hidup mereka sendiri sebagai warisan sejarah turun-temurun. Oleh itu, amatlah sukar untuk mempengaruhi dan mendesak mereka agar dapat mengubah dan mengikut sistem pentadbiran baru seperti mana sistem Barat.

3. Adalah sukar bagi Residen mengelakkan diri dari campur tangan dalam adat ketika menjalankan tugas kerana adar merupakan kehidupan orang-orang Melayu. Sebagai contoh, sudah menjadi corak pemerintahan di Negeri-negeri Melayu bahawa Sultan dan pembesar-pembesar termasuk ketua-ketua wilayah mempunyai kuasa untuk memungut cukai di wilayah masing-masing. Sultan akan mendapat pembayaran pula dari mereka.

Bukti yang jelas ialah Ngah Ibrahim (Menteri Larut) berkuasa dan bebas memungut cukai di Daerah Larut, Perak. Dato’ Bahaman (Orang Kaya Semantan) di Pahang mempunyai hak memungut cukai di Daerah Semantan terutamanya Sungai Semantan yang menjadi alat perhubungan penting bagi kapal-kapal. Perkara ini yang harus dihadapi oleh Residen kerana sudah menjadi tugas mereka membentuk sistem tersebut untuk pembangunan negeri bukan untuk kepentingan individu seperti yang telah berlaku.

4. Masalah yang tidak kurang pentingnya ialah masalah kewangan. Hal ini disebabkan Kerajaan British tidak memberi bantuan yang cukup kepada mereka. Malah, segala perbelanjaan termasuk gaji Residen ditanggung oleh Sultan atau kerajaan negeri. Masalah kewangan menjadi semakin serius apabila Residen terpaksa menyelesaikan hutang-hutang negeri kepada Negeri-negeri Selat. Negeri-negeri Selat telah membiayai kira-kira £15000 di Perak dan dalam tahun 1877 hutang negeri Perak telah berjumlah £160000. Selain itu, ramai pembesar-pembesar negeri juga telah berhutang, misalnya Ngah Ibrahim telah berhutang kira-kira £50000.

5. Banyak masalah dihadapi untuk mengawal ketenteraman. Hal ini juga disebabkan Residen tidak mempunyai anggota keselamatan yang cukup untuk membantunya di setiap wilayah. Hanya sesetengah Residen sahaja yang mempunyai pasukan polis dan askar seperti Kapten Speedy di Larut. Itupun pemberian dari Ngah Ibrahim kepadanya. Kapten Tatham di Sungai Ujong hanya dibantu oleh kira-kira 50 orang anggota polis.

Perubahan-perubahan yang berlaku

1. Pentadbiran

a. Pembentukan Majlis Mesyuarat Negeri (State Council)

Perubahan yang nyata dalam pemerintahan ialah pembentukan Majlis Mesyuarat Negeri (MMN). Suktan dilantik menjadi Presiden dan ahli-ahli yang lain terdiri daripada Residen, Penolong Residen, pembesar Melayu dan ketua-ketua puak Cina. MMN merupakan satu institusi yang mengendalikan urusan-urusan pentadbiran.

Di Perak, MMN ditubuhkan pada tahun 1877 yang mengandungi 7 ahli iaitu 3 Melayu, 2 Inggeris dan 2 Cina. Pada tahun 1895, keahliannya bertambah menjadi 12 orang iaitu 7 Melayu, 2 Inggeris dan 3 Cina.

Di Selangor, MMN ditubuhkan pada tahun 1878. MMN mempunyai kuasa meluluskan perkara-perkara yang berkaitan dengan kerajaan negeri seperti membincangkan hal-hal dalam negeri seperti cukai, perbelanjaan, perlantikan serta gaji pembesar. MMN juga boleh menimbangkan sama ada hukuman mati patut dijalankan atau ubah.

Namun demikian, perkara-perkara penting seperti belanjawan negeri tetap dirangka oleh Residen yang kemudiannya mendapat persetujuan daripada Gebenor Negeri-negeri Selat.

b. Penubuhan sistem cukai yang efektif

Adalah menjadi tugas Residen untuk menubuhkan satu sistem cukai yang berkesan. Hasil cukai yang diperolehi itu hendaklah digunakan untuk pembangunan negeri seperti membiayai pembinaan jalan raya, keretapi serta alat-alat perhubungan yang lain. Dengan adanya jabatan cukai dan penghasilan dalam negeri, beban Kerajaan Inggeris untuk membiayai pembangunan-pembangunan dalam negeri berkurangan.

Yang nyata kerajaan negeri dapat membayar gaji Residen dan pembesar Melayu. Kerajaan negeri akan dapat menyelesaikan sendiri masalah mereka seperti masalah hutang-piutang, misalnya ketika Hugh Low menjadi Residen Perak, dalam masa 6 tahun sahaja, Perak berjaya membayar kembali hutang-hutang terutama kepada Negeri-negeri Selat di samping telah menambahkan pendapatan negeri tersebut.

c. Terbentuknya satu pentabiran yang stabil

Sungguhpun pada peringkat awalnya pemerintahan Residen tidak berjaya seperti peristiwa Birch di Perak, namun kemudiannya Residen Inggeris telah berjaya mengadakan satu pentadbiran yang stabil di Negeri-negeri Melayu. Satu pentadbiran yang stabil hanya dapat diadakan jika mereka dapat menjamin ketenteraman dalam negeri. Oleh itu, perkara ketenteraman dan mengadakan peraturan dalam negeri mendapat perhatian yang utama.

Kejayaan sistem Residen dapat dibuktikan dalam zaman Hugh Low (1877-1889) di Perak dan zaman Frank Swettenham (1882-1889) di Selangor. Untuk menjamin adanya satu pentadbiran yang stabil, Residen perlu mendapat sokongan dan kerjasama dari pembesar-pembesar dan orang-ornag Melayu. Kelemahan-kelemahan Birch dalam tahun-tahun 1870-an telah memberi satu pengajaran yang besar.

d. Mengadakan undang-undang

Memandangkan adanya rancangan-rancangan dan kemajuan-kemajuan dalam bidang pertanian, maka dibentuk undang-undang mengenai penggunaan tanah, misalnya di Perak telah diadakan Undang-undang Tanah yang dibuat oleh Hugh Low. Dalam undang-undang tersebut dinyatakan peraturan-peraturan pengawalan penggunaan tanah, meletakkan projek-projek dan pendaftaran bagi tanah. Sistem yang serupa telah dibuat di Selangor oleh Frank Swettenham yang diberi nama Land Regulation.

e. Penubuhan badan perancang bandar

Dalam tahun 1890, telah ditubuhkan sebuah badan perancang bandar di Negeri-negeri Melayu yang diberi nama Town Sanitary Board. Badan tersebut bertanggungjawab terhadap pembangunan peraturan-peraturan pembangunan, membina parit-parit, bekalan air dan elektrik serta kesihatan.

2. Ekonomi

a. Pelancaran aktiviti ekonomi

Memandangkan Negeri-negeri Melayu sangat kaya dengan bahan-bahan mentah seperti Perak dan Selangor, maka melalui sistem Residen, pihak British akan mengadakan satu polisi menggunakan sepenuhnya bahan-bahan mentah tersebut untuk memajukan ekonomi yang bukan sahaja akan memberi manfaat kepada Negeri-negeri Melayu, malah juga kepada pihak British. Semua aktiviti ekonomi di Negeri-negeri Melayu akan diserahkan kepada kapitalis-kapitalis Barat.

b. Pembinaan alat perhubungan

Untuk menjayakan rancangan-rancangan pembangunan ekonomi, beberapa rancangan perlu dijalankan seperti membina alat-alat perhubungan, kemudian mendapatkan tanah dan kemudahan pinjaman wang. Kerajaan juga hendaklah memastikan tidak akan timbul pertikaian mengenai penggunaan tanah terutama di kawasan-kawasan perlombongan khasnya bijih timah. Jika perkara-perkara di atas dilakukan sudah pasti akan dapat menggalakkan kemasukan palabur-pelabur asing.

c. Kemajuan pertanian

Selain perkembangan perusahaan bijih timah, dalam pemerintahan Residen juga telah dicapai kemajuan pertanian. Beberapa jabatan tanaman diperkenalkan. Dalam tahun-tahun 1880-an dan awak 1890-an telah ditanam lada, tebu, tembakau, gambir dan kopi. Di Selangor penanaman kopi dan tembakau diperkenalkan oleh Frank Swettenham.

Pada tahun 1885, terdapat kira-kira 20000 ekar kawasan tanah untuk jenis tanaman tersebut di Selangor. Di Perak, penanaman kopi dan gula diperkenalkan oleh Hugh Low dan sejak tahun 1883, negeri itu telah berjaya mengeksport kopi dan gula. Dengan adanya kemajuan perusahaan bijih timah dan dibantu pula oleh pembinaan jalan raya dan keretapi, nilai perdagangan Negeri-negeri Melayu telah bertambah, misalnya, nilai perdagangan negeri Selangor pada tahun 1887 ialah $11 juta sementara negeri Perak dalam tahun yang sama ialah $19 juta.

3. Sosial

a. Kemasukan orang Cina dan India

Dasar imigrasi yang longgar telah membawa kepada kedatangan orang-orang India dan Cina ke Selangor. Kedatangan mereka telah menyebabkan orang-orang Melayu tidak lagi menjadi penduduk majority di Perak dan Selangor. Malah bilangan orang-orang Cina di kawasan perlombongan melebihi orang Melayu. Kedatangan mereka telah mewujudkan masyarakat majmuk di mana orang-orang Cina dan India adalah masyarakat yang berasingan yang tidak dapat mengasimilasikan di dalam masyarakat Melayu kerana beberapa perbezaan.

b. Perbandaran

Kemajuan ekonomi dan pentadbiran telah membawa kepada berlakunya proses urbanisasi perbandaran di mana kawasan-kawasan perlombongan telah muncul sebagai bandar-bandar seperti Taiping, Kuala Lumpur dan Klang. Kemudahan sosial seperti kesihatan, perhubungan, pelajaran dan sebagainya juga diwujudkan.

Kelemahan-kelemahan sistem Residen

1. Kuasa-kuasa Raja-raja Melayu semakin berkurangan

Sungguhpun dengan pentadbiran Residen turut dapat membantu melicinkan perjalanan pentadbiran dan menambahkan ekonomi Negeri-negeri Melayu, tetapi nyata raja-raja Melayu telah kehilangan kuasa yang ada padanya. Walaupun pada teorinya. Residen hanya bertugas memberi nasihat tetapi pada praktiknya ia tidak terlepas dari amalan campur tangan.

Raja-raja dan pembesar-pembesar Melayu hanya mendengar apa yang akan diperkatakan dan dibincangkan oleh Residen tanpa diberi peluang mengambil bahagian. Hanya perkara-perkara yang tidak penting terutamnya mengenai hal-ehwal kampung yang akan dibincangkan secara mendalam dengan Raja-raja dan pembesar-pembesar termasuk ketua-ketua kampung. Dalam membincangkan perkara-perkara penting seperti kewangan, belanjawan dan sebagainya, mereka telah dikecualikan.

Kehilangan kuasa Raja-raja Melayu dan pembesar-pembesar Melayu jelas kelihatan dalam Majlis Mesyuarat Negeri (MMN) kerana MMN tidak lagi berfungsi. Sungguhpun Raja-raja dan para pembesar Melayu mempunyai hak untuk memberi pendapat ataupun sebarang usul, jika ia bertentangan dengan polisi pemerintahan Inggeris maka usul itu ditolak.

Kadang-kala, keputusan yang dibuat oleh MMN tidak diterima oleh British misalnya pernah MMN di Selangor menyingkirkan salah seorang anggotanya iaitu Tengku Panglima Raja tetapi sebaliknya beliau tetap menjadi anggota MMN. Di Perak, Residen telah menolak usul yang dikemukakan oleh Raja Muda Yusuf yang menentang pengambilan orang Cina menjadi anggota MMN.

Kehilangan kuasa tersebut telah menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan Raja-raja Melayu termasuk pembesar-pembesar. Hal ini telah menimbulkan rasa bimbang kepada pihak Inggeris dan tindakan telah diambil untuk mengkaji semula polisi Inggeris ke atas Negeri-negeri Melayu. Pihak Inggeris tidak mahu peristiwa pembunuhan Residen Birch di Perak dan diikuti oleh Perang Perak pada 1875 berulang lagi.

2. Sistem Residen tidak sama

Ketidakseragaman dalam pentadbiran di kalangan Residen-residen British telah terjadi. Hal ini disebabkan setiap Residen tidak menerima arahan-arahan tertentu dan Gabenor Negeri-negeri Selat. Residen hanya diberitahu bahawa mereka bertanggungjawab atas keselamatan dan kepentingan rakyat Inggeris di Negeri-negeri Selat. Oleh sebab itu kelicinan pentadbiran dan kemajuan negeri adalah bergantung kepada peribadi Residen itu sendiri. Tugasnya bergantung kepada kecekapan dan kebijaksanaan individu. Misalnya kecekapan Hugh Low dan Frank Swettenham telah membawa kepada kejayaan negeri Perak dan Selangor.

3. Tekanan ekonomi

Sungguhpun kemajuan dan perkembangan ekonomi telah dicapai hasil perlaksanaan Sistem Residen, namun sebenarnya orang-orang Melayu tidak merasai kenikmatan itu. Sebaliknya orang-orang asing terutama pengusaha Eropah dan Cina telah menguasai sektor ekonomi dan perdagangan orang-orang Melayu kekal dengan corak tradisionalnya iaitu bertani dan menjadi nelayan. Sikap pemerintahan Inggeris menyebabkan perbezaan ekonomi antara orang Melayu dengan kaum-kaum lain terutama orang Cina semakin jauh. Inggeris tidak cuba membantu dan menggalakkan orang-orang Melayu menceburkan diri dalam bidang ekonomi dan perdagangan.

SEJ T 6 Sebab Johor Lebih Stabil dari Negeri Perak dan Selangor

Sebab Johor Lebih Stabil dari Negeri Perak dan Selangor


Pengenalan

Sejak pertengahan abad ke-19, orang Cina telah bermastautin di Johor. Mereka datang ke Johor dari Singapura dan membuka ladang gambir serta ladah hitam. Pemerintah Johor telah menggalakkan orang-orang Cina membuka perusahaan gambir dan lada hitam. Kekurangan tanah di Singapura dan galakan Temenggung merupakan dua faktor yang mendorong orang-orang Cina berpindah ke Johor.

Sebab-sebab

1. Sistem pentadbiran Sultan Abu Bakar

Semasa menjadi Temenggung, Abu Bakar melaksanakan sistem pentadbiran yang lebih kemas jika dibandingkan dengan sistem yang berkuatkuasa di Selangor dan Perak. Pengusaha ladang gambir dan lada hitam diberi kawasan tanaman yang khusus serta disahkan dengan “surat sungai”.

Pengusaha ladang yang memegang “surat sungai” dilantik menjadi “Kangchu” (ketua) di sesebuah “Kangkar” (tapak ladang). Perselisihan di antara Kangchu tidak timbul dan tidak menjadi masalah pentadbiran kerana sempadan di antara kawasan telah ditetapkan. Pada dasarnya, sistem pentadbiran di Johor yang mencontohi sistem British lebih sesuai dengan kehendak zaman.

2. Tidak timbul masalah orang-orang Cina

Temenggung hanya memberi pengiktirafan kepada hanya satu kongsi gelap iaitu Ghee Hin. Pengiktirafan ini bukan sahaja menguatkan kongsi gelap Ghee Hin tetapi menghalang pertumbuhan kongsi gelap lain. Sehingga penghujung abad ke-19, penduduk Cina di Johor yang menjadi peladang gambir dan lada hitam terdiri dari puak Teochew yang homogeneous. Mereka mempunyai perpaduan yang erat kerana sama-sama menetap di Riau pada lewat abad ke-18, kemudian Singapura dan akhirnya Johor.


Masa itu memberi kesempatan kepada puak Teochew untuk mewujudkan organisasi sosial yang lebih kemas tidak seperti pekerja-pekerja lombong di Perak dan Selangor yang terdiri dari dua puak yang bermusuhan. Di Johor, tidak ada perlombongan bijih timah yang menjadi rebutan di antara orang-orang Cina. Kegiatan pertanian boleh dijalankan di mana sahaja. Kerana faktor di atas masyarakat peladang di Johor lebih stabil. Rusuhan dan pertempuran tidak berlaku sebagaimana di Perak dan Selangor.

SEJ T 6 Perubahan Pentadbiran di Sabah dan Sarawak

Perubahan Pentadbiran di Sabah dan Sarawak


Sarawak

1. 1841-1946

Dalam tempoh masa ini, Sarawak adalah dibawah pemerintahan Raja Putih yang mengamalkan pemerintahan monarki. Raja adalah berkuasa mutlak (absolutisme). Walau bagaimanapun, sistem pemerintahan tradisional masih diteruskan. Raja Putih bekerja rapat dan mempunyai hubungan baik dengan pembesar tempatan. James Brooke melantik pembesar tempatan menjadi penasihat kanan dalam pentadbirannya, contohnya Dato’ Patinggi, Dato’ Temenggung, Dato’ Bandar dan Dato’ Imam.

James Brooke telah menubuhkan Majlis Tertinggi pada tahun 1855. Tujuan Majlis ini adalah untuk membuat semua dasar pentadbiran Sarawak. Ia dianggotai oleh pembesar tempatan yang terkemuka.

Pada tahun 1868, Charles Brooke telah menubuhkan Majlis Negeri. Majlis ini meberi peluang kepada pegawai dan pembesar dari kawasan baru untuk menyuarakan masalah mereka. Ahlinya terdiri daripada anggota Majlis Tertinggi, pegawai kanan Eropah dan Melayu serta ketua-ketua kaum Iban. Mesyuarat akan diadakan sekurang-kurangnya 3 tahun sekali. Majlis ini akan membincangkan perkara penting dan dasar kerajaan. Ia juga berhak membuat undang-undang, manasihati raja dan kerajaannya. Majlis ini mengadakan sidang pertamanya di Sibu pada tahun 1867.

Pada tahun 1868, Sarawak telah dibahagikan kepada 5 bahagian. Setiap bahagian ini diketuai oleh seorang Residen dan dibantu oleh seorang Penolong Residen yang berbangsa Eropah serta pegawai tempatan yang bergelar Pegawai Anak Negeri (dilantik dari kalangan pembesar). Pegawai Anak Negeri bertugas untuk menasihati Residen, mengutip cukai dan mengetuai ekspedisi tentera. Setiap bahagian juga mempunyai majlisnya yang sendiri yang dipengerusikan oleh Residen dan ketua-ketua pribumi serta pegawai Eropah.

Di peringkat kampung, ketua penduduk mengekalkan peraturan, menyelesaikan pergaduhan dan memungut cukai.

Pada tahun 1941, Vyner Brooke membentuk satu perlembagaan bagi Sarawak dan berjanji memberi kemerdekaan kepada Sarawak. Mengikut perlembagaan ini, kuasa mutlak Vyner Brooke diserah kepada Majlis Tertinggi dan Majlis Negeri. Majlis Tertinggi terdiri daripada 5 orang ahli manakala Majlis Negeri terdiri daripada 25 orang ahli iaitu 14 orang ahli rasmi dilantik daripada pegawai perkhidmatan awam Sarawak dan 11 orang ahli tidak rasmi dilantik oleh Raja Brooke bagi menjaga kepentingan penduduk Sarawak.

2. 1946-1963

Pada 1 Julai 1946, Sarawak menjadi tanah jajahan British. Perlembagaan 1941 dikekalkan selama 10 tahun yang pertama. Pada tahun 1948, Majlis Tempatan ditubuhkan untuk memberi latihan kepada penduduk pribumi dalam pemerintahan. Majlis Tempatan berkuasa menguruskan pelajaran, kesihatan, bekalan air/elektrik, jalan raya dan pungutan cukai. Pada tahun 1956, perlembagaan baru diluluskan. Pada 1 April 1957, perlembagaan baru dikuatkuasakan.

Mengikut perlembagaan 1956, Majlis Tertinggi dan Majlis Negeri terus wujud untuk membantu Gabenor Sarawak. Ahli Majlis Tertinggi sebanyak 10 orang dan Majlis Negeri 44 orang yang terdiri daripada 22 dipilih oleh rakyat secara tidak langsung dari Majlis Daerah ke Majlis Penasihat Bahagian dan akhirnya ke Majlis Negeri. Majlis Tempatan pula diubah menjadi Majlis Daerah.


Sabah

1. 1881-1946

Kompeni Berpiagam Borneo Utara (KBBU) menggabungkan institusi pentadbiran British dengan institusi-institusi tempatan dalam pentadbiran awam Sabah. Pentadbiran Sabah diketuai oleh seorang Gabenor (dilantik oleh KBBU atas persetujuan British). W.H. Treacher Gabenor pertama. Gabenor dibantu oleh Majlis Penasihat yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan kompeni (Setiausaha Kerajaan, Bendahari, Ketua Pasukan Keselamatan).


Sabah dibahagikan kepada 4 Residensi iaitu Tawau, Sandakan, Pantai Barat dan Pedalaman yang diketuai oleh Residen. Setiap Residensi dibahagikan kepada 7 daerah yang diketuai oleh Pegawai Daerah (orang Eropah) dan dibantu oleh Ketua Anak Negeri. Tugas Pegawai Daerah ialah menjalankan tugas-tugas menjaga keamanan, mengendalikan keadilan, mengutip cukai, membahagi tanah dan menguruskan hal pertanian. Pada tahun 1915, Majlis Penasihat Ketua-ketua Anak Negeri ditubuhkan. Ia berfungsi sebagai orang tengah di antara kerajaan dengan rakyat tempatan. Di peringkat kampung, ketua kampung digelar orang Tua dan tugasnya ialah menjaga hal pentadbiran kampung.


Mahkamah Anak Negeri pula diwujudkan secara tradisional di kalangan penduduk pribumi Sabah. Ia diketuai oleh Ketua Anak Negeri yang berfungsi sebagai hakim tempatan. Mahkamah ini membicarakan kes-kes yang berhubung dengan hokum adat dan syariah. Pada tahun 1912, Majlis Mesyuarat Undangan menggantikan Majlis Penasihat. Majlis ini ditubuhkan bagi memperoleh pandangan berbagai-bagai kaum dalam penggubalan undang-undang. Majlis ini mempunyai 7 orang ahli rasmi, 4 orang ahli tak rasmi (wakil kaum Cina, kaum peladang di Pantai Timur dan Pantai Barat).

2. 1946-1963

Pada 15 Julai 1946, Sabah diserahkan kepada Kerajaan British. Sebab penyerahan ini ialah KBBU tidak mempunyai keupayaan dan sumber kewangan yang mencukupi untuk membina semula Sabah yang mengalami kerosakan teruk semasa Perang Dunia Kedua. Sabah dieprintah oleh Gabenor dengan bantuan sebush Majlis Penasihat.


Pada 17 Oktober 1950, perlembagaan baru diperkenalkan. Mengikut perlembagaan ini, Gabenor dibantu oleh Majlis Eksekutif dan Majlis Mesyuarat Undangan. Majlis Eksekutif mempunyai 9 orang ahli yang bertugas untuk menasihatkan Gabenor atas hal-hal pentadbiran dan dasar kerajaan yang penting. Majlis Mesyuarat Undangan mempunyai 22 orang ahli di mana 4 orang ahli terdiri daripada penduduk tempatan.


Ahli-ahlinya mesti dilantik oleh Gabenor. Pada tahun 1952, Majlis Tempatan yang pertama diasaskan di Daerah Kota Belud, kemudian Sipitang (Januari 1955) dan Papar (1956). Tujuan Majlis Tempatan ialah memberi peluang kepada penduduk tempatan mengambil bahagian dalam pemtadbiran kawasan masing-masing. Majlis Tempatan juga bertanggungjawab dalam hal-ehwal kewangan, pendidikan, kesihatan, bekalan air/elektrik, pertanian dan penternakan. Majlis Tempatan ditukar nama kepada Majlis Daerah kemudian. Pada tahun 1960, perlembagaan digubal semula. Ahli Majlis Eksekutif menjadi 12 orang ahli dan Majlis Mesyuarat Undangan menjadi 25 orang ahli.

SEJ T 6 Perubahan Penduduk Akibat dari Perkembangan Perusahaan Bijih Timah dan Getah

Perubahan Penduduk Akibat dari Perkembangan Perusahaan Bijih Timah dan Getah


Pengenalan

Pada abad ke-19, Tanah Melayu bukan sahaja mengalami perubahan politik tetapi juga perubahan ekonomi yang membawa kepada perubahan sosial. Perkembangan perusahaan bijih timah telah membawa kepada kedatangan orang Cina dan perkembangan perusahaan getah membawa kepada kedatangan orang India. Kemudahan yang disediakan seperti Jabatan Perlindungan Orang-orang Cina 1871, Tabung Imigran Orang India 1907 dan sebagainya telah menggalakkan lagi kedatangan imigran-imigran yang berpunca daripada kesusahan yang dialami di negara mereka seperti bencana alam, pertambahan penduduk, takanan sosial, politik dan sebagainya. Mereka dibawa ke Tanah Melayu melalui beberapa sistem seperti Sistem Buruh Bebas, Sistem Buruh Kontrak, Sistem Kangani dan sebagainya.

Perubahan-perubahan penduduk

Sebelum 1848, hampir seluruh penduduk Tanah Melayu terutamanya penduduk Negeri-negeri Melayu terdiri daripada orang Melayu. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa petempatan kecil orang Cina di Negeri-negeri Selat, muara Seberang Perai, Johor, muara Sungai Pahang, Kuala Terengganu manakala sebilangan orang India lebih kecil dan mereka terdapat di Negeri-negeri Selat sebagai buruh di ladang-ladang kopi, tebu dan sebagainya. Mengikut bancian 1839, penduduk Tanah Melayu berjumlah 250 ribu orang. Akibat dari perkembangan perusahaan bijih timah dan getah, telah berlaku perubahan penduduk Tanah Melayu. Penduduk Tanah Melayu yang berjumlah 0.5 juta orang pada tahun 1870 telah meningkat kepada 3 juta orang pada tahun 1921. Pertambahan penduduk berpunca daripada kedatangan imigran-imigran yang kebanyakannya terdiri daripada buruh-buruh dari Selatan China terutamanya dari wilayah Kwantung, Kwangsi dan Fukkien serta dari Selatan India terutamanya Madras.

Kedatangan orang-orang Cina secara beramai-ramai berlaku antara tahun 1840-1914 semasa perkembangan perusahaan bijih timah, manakala kedatangan orang-orang India berlaku antara tahun 1906-1921 semasa perkembangan perusahaan getah. Akibat dari perkembangan perusahaan bijih timah dan getah, bilangan orang Melayu telah bertambah akibat dari kedatangan imigran Indonesia dari Sumatera, Jawa, Kalimantan, Riau dan lain-lain Kepulauan Indonesia. Selain itu, bilangan orang Eropah meningkat kerana mereka terlibat dalam kedua-dua perusahaan tersebut. Menjelang tahun 1921, 50% daripada kegiatan perlombongan bijih timah dikuasai oleh orang-orang Eropah dan kebanyakan ladang adalah kepunyaan mereka.

Akibat perkembangan perusahaan bijih timah dan getah juga komposisi penduduk mengalami perubahan. Walaupun sebelum 1848, orang Melayu menjadi majoriti penduduk Tanah Melayu tetapi menjelang tahun 1921 bilangan imigran hampir sama ramai dengan orang Melayu. Pada tahun 1911, 1/3 daripada penduduk Tanah Melayu terdiri daripada orang Cina. Mengikut bancian 1921, pecahan penduduk Tanah Melayu adalah seperti berikut:

a. Melayu: 3,338,545

b. Cina: 1,170,551

c. India: 472,000

d. Lain-lain: 46,000

Sebelum tahun 1870, penduduk Tanah Melayu adalah penduduk yang menetap di Tanah Melayu. Mereka terdiri daripada orang Melayu yang dilahirkan di Tanah Melayu dan nisbah antara lelaki dan perempuan seimbang. Menjelang tahun 1921, kira-kira ½ dari penduduk Tanah Melayu merupakan penduduk yang tinggal tidak menetap di tanah Melayu. Mereka terdiri daripada orang Cina dan India yang dilahirkan sama ada di China atau India dan nisbah antara lelaki dan perempuan tidak seimbang kerana majoriti imigran adalah lelaki. Pada tahun 1921, hanya 21% orang Cina dan 12% orang India yang dilahirkan di Tanah Melayu. Imigran-imigran Cina dan India masih menumpukan taat setia kepada negara asal mereka. Bilangan penduduk Tanah Melayu juga bergantung kepada keadaan ekonomi Tanah Melayu. Pada zaman ekonomi mewah, penduduk Tanah Melayu telah bertambah kerana keadaan ini menarik kedatangan imigran-imigran. Pada zaman ekonomi meleset, penduduk Tanah Melayu berkurangan kerana kecenderungan imigran terutama imigran India untuk pulang ke negara asal mereka.

Sebelum 1870, penduduk Tanah Melayu adalah penduduk desa kerana petempatan orang Melayu adalah di tepi pantai, kuala sungai dan pinggir sungai. Akibat perkembangan perusahaan bijih timah dan getah kawasan tempat tinggal orang Melayu telah mengalami perubahan penduduk orang Cina tinggal di pelabuhan dan kawasan perlombongan yang kemudiaannya berkembang sebagai bandar. Akibatnya, orang Cina menjadi penduduk bandar hingga hari ini. Manakala orang-orang India pula tinggal di ladang getah dan sebahagian mereka tinggal di bandar selain daripada kawasan ladang. Pekerjaan penduduk di Tanah Melayu juga mengalami perubahan. Orang India menjadi penoreh getah, pekerja ladang dan buruh di jabatan kerjaan terutamanya Jabatan Kerja Raya, Keretapi; orang Cina menjadi pelombong dan peniaga; orang Melayu menjadi penanam padi, nelayan dan sebagainya.

Kesimpulan

Selepas tahun 1921, terdapat tanda-tanda bahawa imigran Cina dan India mahu menetap di Tanah Melayu. Buktinya mereka mula membawa keluarga mereka ke Tanah Melayu. Tindakan mereka untuk menetap di Tanah Melayu telah membawa kepada wujudnya masyarakat majmuk di mana orang India dan Cina merupakan masyarakat yang tidak dapat mengasimilasikan diri mereka ke dalam masyarakat Melayu kerana beberapa perbezaan dari segi agama, adat resam, bahasa dan cara hidup. Berdasarkan pernyataan di atas, memang tidak dinafikan bahawa perkembangan perusahaan bijih timah dan getah membawa kepada perubahan penduduk di Tanah Melayu.

SEJ T 6 Perkembangan Sosial di Tanah Melayu

Perkembangan Sosial di Tanah Melayu


Pengenalan

Campur tangan British di Tanah Melayu sejak tahun 1874 bukan sahaja membawa kepada perubahan dari segi politik dan ekonomi, bahkan campur tangan mereka juga menyebabkan perubahan dari segi sosial. Sebelum British memperluaskan kuasanya di Tanah Melayu, sistem perhubungan yang wujud amat mundur. Begitu juga dalam bidang kesihatan. Selepas British campur tangan semuanya ini telah mengalami perkembangan yang pesat. British telah memperkenalkan cara membina jalan raya Barat, cara membina landasan keretapi dan amalan perubatan yang diamalkan oleh Barat. Kesemuanya ini telah berjaya meningkatkan tingkat taraf hidup penduduk di Semenanjung Tanah Melayu.


Perhubungan

1. Jalan keretapi

Keretapi merupakan cara pengangkutan moden yang pertama di Semenanjung Tanah Melayu. Jalan-jalan keretapi telah dibina untuk mempercepatkan pengangkutan bijih timah dari kawasan perlombongan ke pelabuhan untuk dieksport. Jalan keretapi yang pertama di Semenanjung Tanah Melayu telah dibina pada tahun 1855 oleh Sir Hugh Low bagi menghubungkan Taiping dengan Port-Weld. Jalan keretapi sepanjang 12.8 kilometer ini dibuka kepada lalulintas pada bulan Jun 1885.

Beberapa lagi jalan keretapi telah dibina oleh British di Perak. Jalan keretapi di antara Tapah dengan Teluk Anson telah dibina pada tahun 1893 manakala di antara Tapah dengan Ipoh pada tahun 1895. Sir Frank Swettenham telah membina beberapa jalan keretapi di Selangor. Jalan keretapi yang pertama telah dibina antara Kuala Lumpur dengan Bukit Kuda pada tahun 1886. Menjelang tahun 1889 jalan keretapi ini dipanjangkan ke Port Swettenham. Pada tahun-tahun 1892 dan 1893 British telah membina jalan-jalan keretapi yang pendek bagi menghubungkan Kuala Lumpur dengan kawasan-kawasan perlombongan bijih timah di Rawang, Kuala Kubu dan Sungai Besi.


Perhentian keretapi tetap yang pertama dibina di Kuala Lumpur pada tahun 1892. Jalan keretapi yang pertama di Negeri Sembilan, iaitu di antara Port Dickson dengan Seremban telah siap dibina pada tahun 1891. Jalan Keretapi sepanjang kira-kira 38 km ini dibina oleh Syarikat Keretapi Sungai Ujong. Pada tahun 1908 Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah membelinya daripada syarikat tersebut.

Selepas penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896, jalan-jalan keretapi yang sedia wujud mula disambungkan atas initiatif Sir Frank Swettenham. Menjelang tahun 1903, terdapat jalan keretapi yang menghubungkan Seremban dengan Perai. Jalan keretapi ini telah dipanjangkan ke Johor Bahru pada tahun 1909 dan ke Singapura pada tahun 1923.

Jalan keretapi di bahagian Utara Semenanjung Tanah Melayu yang menghubungkan Perai, Bukit Mertajam, Sungai Petani, Alor Setar dan Padang Besar di sempadan Siam telah siap dibina pada tahun 1918. Jalan keretapi di bahagian Timur yang menghubungkan Gemas dengan Bahau, Mentakab, Kuala Lipis, Gua Musang, Tumpat dan Sungai Golok disiapkan pada tahun 1931.

2. Jalan raya

Jalan-jalan raya yang pertama dibina untuk meghubungkan kawasan-kawasan bijih timah dan getah dengan pelabuhan-pelabuhan. Kegunaan jalan raya bertambah popular selepas pengenalan kenderaan bermotor pada tahun 1902. Menjelang tahun 1906, Negeri-negeri Melayu Bersekutu mempunyai kira-kira 2560 km jalan raya bertar (metal led roads). Mulai dekad pertama abad ke-20, jalan-jalan raya yang lebih lebar dan kukuh telah dibina bagi memenuhi keperluan kenderaan bermotor yang kian bertambah.


Jalan raya utama ke Perai siap dibina pada tahun 1911. Jalan raya utama dari Kuala Lumpur ke Kuantan telah siap pada tahun 1899. Menjelang tahun 1928 terdapat jalan raya yang menghubungkan Singapura di Selatan dengan Perlis di Utara. Jalan raya utama yang menghubungkan Terengganu dan Pahang dengan pantai Barat telah dibina hanya selepas tahun 1945. Semasa penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948, terdapat kira-kira 9600 km jalan raya motor yang baik.

3. Perkhidmatan udara

Syarikat perkhidmatan udara yang pertama di Tanah Melayu telah ditubuhkan pada tahun 1937 oleh Wearne Brothers. Ia dikenali sebagai Wearne’s Air Service. Syarikat tersebut telah memulakan perkhidmatan udara antara Singapura, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Perkhidmatan udara ini telah dihentikan apabila Perang Dunia Kedua meletus. Pada tahun 1920-an, lapan buah lapangan terbang telah dibina di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh, Taiping, Butterworth dan Alor Setar. Dalam pada itu terdapat sebuah lapangan terbang antarabangsa yang kian maju di Singapura. Pada tahun 1947, Malayan Airways Limited telah ditubuhkan. Pada tahun 1956, sebuah lapangan terbang antarabangsa dibina di Kuala Lumpur.

4. Perkhidmatan perkapalan

Menjelang tahun 1870-an, terdapat beberapa syarikat perkapalan yang menggunakan kapal-kapal stim untuk membawa hasil-hasil Tanah Melayu ke Singapura. Dalam perjalanan balik ke pelabuhan-pelabuhan Tanah Melayu, kapal-kapal tersebut membawa bekalan-bekalan dan alat-alat jentera. Pada tahun 1890, Theodore Cornelius Bogaardt (seorang Belanda) mengasaskan Straits Steamship Company yang muncul sebagai syarikat perkapalan yang terpenting. Selepas tahun 1896, Straits Steamship Company memulakan perkhidmatan penumpang kelas pertama.


Perkhidmatan ini menjadi penting selepas Kuala Lumpur dijadikan pusat pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan tidak dihubungi oleh jalan keretapi persekutuan. Pelabuhan-pelabuhan yang penting ialah Port Swettenham, Port Dickson, Teluk Anson dan Port Weld. Port Swettenham merupakan pelabuhan yang terpenting sekali. Dalam tahun 1930-an, syarikat-syarikat perkapalan menghadapi persaingan hebat dari sistem pengangkutan jalan raya dan keretapi.


Kesihatan

Tanah Melayu menghadapi beberapa masalah kesihatan pada abad ke-19. Penyakit-penyakit seperti malaria, disenteri, demam cacar dan kolera biasa terdapat. Penyakit-penyakit tersebut telah mengakibatkan kematian ramai orang. Sebagai contoh, kira-kira 65 orang telah menjadi mangsa kolera di Larut pada tahun 1874. Jumlah kes beri-beri yang dirawat di Selangor pada tahun 1894 ialah sebanyak 2817 di mana kadar kematian ialah 24%.

Selepas tahun 1900, taraf kesihatan penduduk Tanah Melayu telah bertambah baik. Penyakit-penyakit beri-beri dan malaria dapat dikawal. Antara tahun-tahun 1900-50 kadar kematian bagi orang dewasa dan kanak-kanak telah dikurangkan sebanyak 50%. Kerajaan British telah menubuhkan hospital-hospital, pusat-pusat perubatan dan menjalankan penyelidikan perubatan. Hospital kerajaan yang pertama di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dibuka di Taiping pada tahun 1878.

Pada kira-kira masa yang sama, sebuah hospital telah didirikan di Selangor. Selepas tahun 1884, pusat-pusat perubatan telah dibuka di Tanjung Malim, Batu Gajah, Gopeng, Kerian, Kuala Kangsar. Hospital Besar di Kuala Lumpur telah didirikan manakala sebuah hospital baru di Kelang dibina.

Masyarakat Cina juga membina beberapa hospital seperti Hospital Tai Wah (1895) dan Hospital Tung Shin di Kuala Lumpur.

Menjelang tahun 1896, Perak mempunyai 15 buah hospital, Selangor 14, Negeri Sembilan 3 dan Pahang 2. Menjelang tahun 1908, terdapat 52 buah hospital di Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Penyelidikan perubatan memainkan peranan penting dalam mengawal penyakit-penyakit malaria dan beri-beri. Institusi Penyelidikan Perubatan telah didirikan di Kuala Lumpur pada tahun 1901. Maktab Perubatan King Edward VII telah ditubuhkan di Singapura pada tahun 1905. Maktab tersebut telah menghasilkan beberapa orang doktor tempatan yang dapat berkhidmat di hospital-hospital kerajaan.

Selepas tahun 1909, pusat-pusat spesialis bagi kesihatan mental dan penyakit kusta telah didirikan. Menjelang tahun 1941, kira-kira satu pertiga daripada hospital-hospital di Tanah Melayu merupakan institusi-institusi kerajaan. Hospital-hospital lain dikendalikan oleh estet-estet (melalui undang-undang), persatuan-persatuan mubaligh dan pertubuhan-pertubuhan Cina. Kebanyakan daripada kemudahan perubatan ini terdapat di bandar.


SEJ T 6 Perkembangan Perusahaan Getah di Tanah Melayu

Perkembangan Perusahaan Getah di Tanah Melayu

Pengenalan

Getah mula diperkenalkan di Tanah Melayu pada tahun 1880-an. Sebelumnya, tanaman yang popular ialah kopi, gambir dan lada hitam. Pada tahun 1876, Pengarah Taman Kew di London iaitu Joseph Hooker telah menghantar Henry Wickham ke Brazil untuk mendapatkan bijih benih getah. Sebanyak 70 ribu bijih benih getah dibawa ke England dan disemai di Taman Kew, London. Tiga ribu bijih benih dari Taman Kew kemudian dihantar ke tanah jajahan British terutamanya ke Sri Lanka, dan Singapura. Pada tahun 1877, 22 ribu bijih benih dibawa ke Singapura dan ditanam di Taman Botanical Singapura dan di perkarangan rumah Sir Hugh Low (Residen Perak) di Kuala Kangsar. H.N. Ridley yang menjadi Pengarah Taman Botanical Singapura sejak 1888 memainkan peranan penting terhadap perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu. Beliau telah menjalankan penyelidikan dan menggalakkan penduduk Tanah Melayu menanam getah. Pada mulanya, galakan beliau tidak mendapat sambutan tetapi menjelang abad ke-20, tanaman getah mula diminati oleh orang ramai. Berikut ialah jadual perangkaan penanaman getah di Tanah Melayu:

Tahun Keluasan Tanah (ekar)

1897 345

1900 46000

1905 48000

1906 85000

1909 200000

1911 1000000

1914 1500000

1918 2500000

1940 3500000


Faktor-faktor perkembangan perusahaan getah

1. Permintaan

Menjelang abad ke-20, permintaan getah meningkat akibat dari perkembangan industri kereta di Eropah dan Amerika, lebih-lebih lagi selepas J.B. Dunlop berjaya mencipta tayar angin. Pada tahun 1905, perkembangan industri kereta di Amerika terbukti daripada pertambahan pengeluarannya. Pengeluaran kereta Amerika sebanyak 500 ribu buah pada tahun 1910 telah meningkat kepada 8 juta buah pada tahun 1920. Selain itu, getah juga diperlukan oleh industri lain seperti alat-alat elektrik, alat-alat perubatan, perkakas rumah dan lain-lain. Permintaan yang bertambah telah menyebabkan harga getah meningkat. Pada tahun 1900, harga getah hanya 2s 3d (penn) bagi sepaun tetapi pada tahun 1911, harganya meningkat kepada 5s 5d (penn) bagi sepaun. Antara tahun 1906 hingga 1918, harga getah ialah kira-kira 15s sepaun. Kenaikan harga sudah tentu menyebabkan orang-orang Melayu menanam getah.

2. Kejatuhan harga kopi

Kejatuhan harga kopi juga menjadi faktor menyebabkan perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu. Pada tahun 1890-an, berlaku kejatuhan harga kopi akibat saingan kopi Brazil dan juga pengeluaran berkurangan disebabkan penyakit yang dibawa oleh kupu-kupu “Beehawk”. Harga kopi $45 sepikul pada tahun 1975 telah jatuh kepada $19 sepikul pada tahun 1899. Kejatuhan harga kopi menyebabkan penduduk Tanah Melayu beralih kepada tanaman getah. Buktinya pada tahun 1898, taman-taman percubaan Kerajaan Perak telah menjual 32 ribu biji benih getah dan 60 ribu anak benih getah.

3. Tenaga buruh

Perusahaan getah memerlukan tenaga buruh yang ramai. Tenaga buruh didapati dengan mudah dan murah hasil dari usaha untuk membawa imigran-imigran dari Selatan India terutamanya dan Madras. Pelbagai kemudahan telah diadakan bagi menggalakkan kedatangan orang India seperti Tabung Percuma, tempat tinggal dan lain-lain. Pada tahun 1907, tabung imigran orang-orang India telah ditubuhkan bagi menguruskan kedatangan orang India. Pada tahun 1912, Undang-undang Buruh dilaksanakan bagi mengelakkan penindasan majikan kepada buruh-buruh ladang. Imigran-imigran India dibawa ke Tanah Melayu melalui beberapa sistem seperti Sistem Kontrak (Identuru), Sistem Kangani, buruh bebas yang dibantu dan yang tidak dibantu. Usaha untuk bantu orang-orang India ke Tanah Melayu bertambah mudah kerana adanya hubungan kerjasama Kerajaan British di India dan Tanah Melayu. Kedatangan ramai imigran India telah membolehkan lebih banyak ladang-ladang dibuka di Tanah Melayu. Orang India memberi sumbangan penting terhadap perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu dan mereka dianggap sebagai rakyat British yang kuat dan rajin bekerja, mudah dikawal dan tidak bercita-cita tinggi.

4. Campur tangan British

Campur tangan British dan perlaksanaan Sistem Residen di Tanah Melayu sejak tahun 1874 menamatkan kekacauan di Tanah Melayu seperti perebutan takhta, pergaduhan antara pembesar, pergaduhan di antara pelombong Cina, perlanunan dan lain-lain lagi. Kestabilan politik serta keamanan dan peraturan yang wujud telah memberi jaminan keselamatan terhadap nyawa dan harta benda. Keadaan ini menyebabkan berlaku perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu. Selain itu, keadaan ini telah menarik pelabur-pelabur untuk menanam modal.

5. Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu 1896

Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu 1896 yang menggabungkan Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang telah berjaya mewujudkan keseragaman dan kecekapan dalam pentadbiran seperti Undang-undang tanah dan sistem cukai yang seragam antara negeri-negeri itu diperkenalkan. Keseragaman pentadbiran telah mewujudkan kestabilan politik serta keamanan dan ini telah memberi tarikan kepada pelabur-pelabur untuk memperkembangkan perusahaan ini.

6. Sistem perhubungan

Pembinaan sistem perhubungan jalan raya dan jalan keretapi memudahkan pengangkutan getah dari kawasan pengeluaran ke kawasan pelabuhan untuk dieksport. Menjelang tahun 1904, terdapat jalan keretapi sejauh 340 batu dan jalan raya 2400 batu. Jalan kertapi pertama dibuka pada tahun 1885 yang menghubungkan antara Taiping – Port Weld, 1886 Kuala Lumpur – Kelang, 1891 Seremban – Port Dickson, 1893 Ipoh – Teluk Anson. Menjelang tahun 1903 sudah terdapat jalan keretapi dari Perai ke Seremban dan 1909 disambungkan ke Johor Bahru. Menjelang tahun 1911, sudah terdapat jalan raya dari Perai ke Singapura.

7. Sistem pengukuran tanah

Sistem pengukuran tanah yang tepat dan jelas telah menamatkan pertikaian kawasan merebut tanah, khususnya tanah penanaman. Keadaan yang tenteram membolehkan para pengusaha untuk mengembangkan perusahaannya dengan bersungguh-sungguh tanpa merisaukan peristiwa huru-hara berlaku.

8. Iklim dan tanah

Iklim dan tanah di tanah Melayu amat sesuai untuk tanaman getah. Percubaan yang dijalanlkan menunjukkan getah dapat ditanam di pelbagai jenis tanah di Tanah Melayu. Akibatnya getah dapat ditanam di seluruh Tanah Melayu.

9. Undang-undang Tanah

Undnag-undang Tanah yang liberal telah membolehkan pengusaha asing memiliki tanah untuk penanaman getah. Kerajaan British telah berjaya membatalkan hak milik tanah oleh pembesar-pembesar. Tanah menjadi hak kerajaan dan sesiapa sahaja boleh memohon untuk menanam getah. Pada tahun 1896, undang-undang yang berkaitan dengan penerokaan tanah untuk tanaman getah telah dilaksanakan. Mulai tahun 1897, cukai ke atas tanah yang ditanam dengan getah hanya sebanyak 10¢ seekar bagi 10 tahun pertama. Selepas tempoh tersebut, cukai tanah yang dikenakan hanya 50¢ seekar setahun. Cukai yang dikenakan ke atas getah hanya sebanyak 2.5% bagi tempoh 15 tahun pertama. Selepas tempoh itu, cukai yang dikenakan untuk getah tidak melebihi 5% setahun. Selain itu, mereka yang meneroka tanah untuk tanaman getah diberi hak milik kekal.

10. Peranan H.N. Ridley

H.N. Ridley yang menjadi pengarah Taman Botanical Singapura sejak tahun 1888 bertanggungjawab ke atas perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu. Beliau telah menjalankan penyelidikan dan menggalak penduduk Tanah Melayu menanam getah sehingga digelar “Ridley Getah” atau “Ridley Gila”. Pada peringkat awalnya saranan beliau tidak mendapat sambutan. Hanya beberapa orang pengusaha yang mengambil langkah menanam getah. Sebagai contoh, pada tahun 1896, seorang Cina di Selangor iaitu Tan Choy Yan telah menanam 40 ekar getah dan pada tahun yang sama, adik-beradik Kindersley telah menanam 5 ekar getah di Kajang. Pada tahun 1897, hanya terdapat 345 ekar getah diseluruh Tanah Melayu. H.N. Ridley telah mencipta teknik menoreh getah yang dikenali sebagai “Tulang Ikan Herring” yang membolehkan pokok getah hidup lebih lama dan pengeluaran susu getah meningkat. Beliau juga teleh mencipta cara mengangkut anak benih getah, iaitu membungkusnya dengan arang yang lembap. Cara ini membolehkan anak getah diangkut ke tempat yang jauh.

11. Penyelidikan

Penyelidikan juga dijalankan bagi memajukan perusahaan getah. Pada 1899 sebanyak $4 ribu diperuntukkan untuk tujuan tersebut. Pada tahun 1905, Jabatan Pertanian telah ditubuhkan bagi menguruskan tanaman getah. Pada tahun 1926, pusat penyelidikan getah (RRI) ditubuhkan bagi menjalankan penyelidikan mengenai penanaman getah seperti teknik menanam, penggunaan baja, teknik menoreh, cara memproses susu getah, penggunaan getah dan lain-lain.

12. Negeri-negeri Melayu Utara dan Johor

Penguasaan British ke atas Negeri-negeri Melayu Utara (1909) dan Johor (1914) juga memajukan perusahaan getah. Tanaman getah dapat dijalankan di negeri-negeri tersebut sedangkan sebelumnya tumpuan hanya pada Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

13. Dasar ekonomi bebas

Dasar ekonomi bebas dan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan British telah menarik ramai pelabur-pelabur Eropah untuk menanam modal dalam perusahaan getah.

14. Firma Eropah

Penglibatan firma Eropah telah memajukan perusahaan getah di Tanah Melayu. Kekuatan modal mereka membolehkan lebih banyak ladang getah dibuka. Pada tahun 1910, sebanyak 142 buah ladang getah di Selangor. Antara firma Eropah tersebut ialah Harrison dan Crossfield, Sime Darby, Guthurie, Dunlop dan sebagainya.

Sumbangan perusahaan getah

1. Ekonomi

Perusahaan getah merupakan punca hasil yang terbesar bagi kerajaan Semenanjung tanah Melayu. Hampir kesemua daripada hasil tersebut diperolehi melalui cukai ke atas eksport getah. Hasil daripada perusahaan getah telah membolehkan kerajaan memodenkan Semenanjung Tanah Melayu.

Pengeluaran getah juga menjadi sumber pendapatan penduduk dengan membekalkan pekerjaan dan pendapatan kepada penduduk.

2. Sosial

a. Jalan raya dan keretapi dibina bagi menghubungkan kawasan-kawasan getah dengan pelabuhan.

b. Perusahaan getah telah mewujudkan peluang pekerjaan bagi penduduk Semenanjung Tanah Melayu. Beberapa kilang yang menghasilkan barang buatan getah telah didirikan.

c. Perusahaan getah telah mengakibatkan penghijrahan orang India dan Indonesia dari Jawa dan Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu. Hal ini telah menyumbangkan kepada kemunculan masyarakat majmuk dan tambahan dalam bilangan penduduk yang pesat.

Kesimpulan

Walaupun harga getah meningkat kira-kira $5 sepaun antara tahun 1906-1918, tetapi pada tahun 1920-an, berlaku kejatuhan harga getah. Pada tahun 1920, harga getah hanya 20 sen sehingga 30 sen sepaun. Akibatnya, Kerajaan British terpaksa melakukan Rancangan Pembatasan Stevenson pada tahun 1922 bagi menghadkan pengeluaran agar tidak melebihi permintaan. Perlaksanaan Rancangan Pembatasan Stevenson telah menyebabkan harga getah meningkat kepada $2 sepaun (1925). Walau bagaimanapun, rancangan ini gagal dan dibatalkan pada tahun 1928 kerana hanya disertai oleh wilayah British. Indonesia yang mengeluarkan 24% getah dunia tidak menyertainya. Kegagalan rancangan ini menyebabkan kejatuhan harga getah pada tahun 1931, harga getah hanya 5 sen sehingga 7 sen sepaun. Akibatnya, pada tahun 1934, negara-negara pengeluar getah telah melaksanakan Rancangan Pembatasan Getah Antarabangsa. Rancangan ini meningkatkan harga getah kepada 40 sen sepaun pada tahun 1937.